Utama Blog Laman 86

Tripowin TC-01: IEM Dengan Kualiti Bunyi Premium

0

 

Saya baru berkenalan dengan jenama ini setelah diperkenalkan oleh sahabat dan juga admin di omghackers.com. Sebelum ini, saya hanya menggunakan IEM dari China yang bolehlah dikatakan separa premium, dan kategori bajet.

Antara yang pernah saya sendiri masukkan ulasan di sini ialah TINHiFi T1 Plus dan TINHiFi T2 Plus. Manakala model yang saya tidak terasa hendak tulis ialah Blon-03, dek kerana kualiti bunyinya yang menghampakan.

Tetapi sebaik telinga saya memasukkan kedua belah pemacu TC-01 dengan kemas, dan lagu mula dimainkan, saya terpukau lalu terpikat dengan TC-01 ini. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Kualiti bunyinya melangkau jangkaan. Apa pun, sebelum jauh kita ke depan, ada eloknya kita lihat dulu kandungan dalam kotak.

Spesifikasi Tripowin TC-01

HargaLingkungan RM225 (dari China) hingga RM539 (penjual tempatan)
Galangan16 Ohms
Kadar Kepekaan104db SPL/mW
Jarak Frekuensi20Hz-20kHz
Pengasingan Bunyi BisingPasif, 26db
Sambungan0.78mm, 2 pin
Jenis Plug3.5mm, palam lurus bersadur emas
Berat9gm setiap satu
Panjang Kabel 1.2m, boleh tanggal

Tanggapan Awal

‘Shell’ Tripowin TC-01 diperbuat daripada besi, lalu menjadikan hasil akhirnya kelihatan dan juga terasa premium. Profil audio/bunyi IEM ini ialah v-shaped, tetapi tidak sama seperti IEM China yang lain apabila ia ditala dengan begitu baik sekali.

Anda boleh lihat graf dari laman In-Ear Fidelity ini:

Pertama kali membawanya keluar dari kotak, saya melihat TC-01 bersinar dan berkilau. Bila diteliti, jelaslah kerana ‘finishing’ dari tampilan chrome yang menyerlahkan reka bentuk yang nampak seakan mahal.

Bila dibuka satu lagi kotak kecil, di dalamnya ada disertakan silikon telinga bersaiz kecil, sederhana, dan besar. Sayang sekali itu sahaja yang ada. Tidak banyak silikon sandaran disertakan sekali. Saya terus memasukkan saiz besar ke dalam pemacu untuk digunakan bersama.

Kualiti Audio

Saya yakin, ramai golongan peminat kualiti bunyi atau audiophile tidak suka membaca artikel yang terlalu panjang. Sama dengan saya, saya kurang gemar menonton ulasan di YouTube yang terlalu meleret. Disebabkan itu, saya lebih suka terus kepada apa yang ingin saya nyatakan.

Terus terang, IEM yang saya gunakan sebelum ini sudah pun tersimpan rapi dalam laci almari. TC-01 mengambil tempat untuk memainkan lagu di rumah, manakala Tronsmart Apollo Bold pula apabila saya ingin mendengar lagu ketika keluar pergi bekerja atau bersiar-siar.

Dengan dipadukan bersama DAC, TC-01 tidak menghampakan sama sekali. Pun begitu, meski tanpa sebarang DAC sekalipun, audio terhasil masih menyerlah tanpa perlu talaan rapi equalizer.

Saya mendengar senarai lagu ujian seperti biasa, dari lagu cinta tahun 90an hinggalah kepada lagu-lagu metal pilihan.

Tripowin nyata berjaya menala pemacunya untuk mengeluarkan bunyi yang berkadar sesedap rasa, tidak terlalu nyaring seperti Blon-03, dan tidak terlalu menghentak dengan bass sehingga mendap bunyi yang lain. Berikut ialah senarai-senarai main yang saya gunakan untuk ujian audio.

Dari pelbagai jenis genre lagu, hinggalah kepada pelbagai jenis audio, boleh dikatakan TC-01 ini merupakan sejenis IEM yang pelbagai atau versatil. Saya peminat lagu-lagu keras, oleh itu talaan untuk treble amatlah penting.

Panggung suara atau soundstage terasa agak luas, manakala kadar kejelasan (clarity) begitu jitu.

Bass

Saya tidak rasa bass untuk IEM ini berlebihan, dan untuk basshead pula jika anda ingin melayani bunyi bass sehingga otak bergegar, anda perlu tingkatkan lagi frekuensi ini dalam equalizer. Untuk diri saya sendiri, bassnya adalah mencukupi, tidak nipis sehingga menimbulkan rasa marah kerana ‘tidak puas’.

Sub-bass dapat didengari memenuhi ruangan lagu apabila menguji senarai main lagu-lagu dalam BASS TESTER dan JBL Bass Test. Tetapi antara album artis kegemaran saya ialah GAWNE – Wings, tidak pernah menghampakan untuk tujuan ujian. Dengan sedikit talaan sendiri, hentakan atau ‘punch’ dapat dirasakan.

Lagu 708 oleh Luke Gawne memuaskan halwa telinga saya dari sudut bass hingga ke vokal. Tidak dinafikan saya mengulang lagu ini hingga gegendang berdengung.

Mid

Apabila mendengar lagu Misty dan Journey oleh Cromok, saya seringkali tercari-cari bunyi ‘misteri’ yang seringkali saya dengar sewaktu kecil dulu. Bunyi ini hanya dapat didengari apabila menggunakan kaset atau CD beserta set earphone mahal yang dihadiahkan oleh saudara saya pada waktu itu.

Ternyata TC-01 berjaya menonjol dan mengeluarkan bunyi yang saya harap akan kedengaran. Walau ‘lapisan’ instrumen yang ada mungkin hanyalah gitar dan drum, tetapi saya yakin ada elemen lain dimasukkan. Itulah dia Cromok, tak pernah mengeluarkan lagu yang tidak misteri.

Lagu Journey ialah trek yang paling sesuai untuk mendengar kebolehan TC-01 dalam ‘menajamkan’ bunyi pertengahan, tanpa berlakunya mendapan.

Treble

Saya berani untuk katakan talaan bagi treble dibuat dengan baik. Selalunya profil v-shaped mencacatkan bahagian ini sehingga bunyi kedengaran runcing dan meletihkan telinga, tetapi tidak dengan TC-01.

Saya mendapati lagu Enough, juga oleh Cromok, lebih mantap dari biasa. Seperti yang kita ketahui, Cromok ialah band thrash metal, atau ‘metal Melayu’ seperti diterangkan oleh ahli kumpulan mereka dan vokal pula dilontarkan dengan cara ‘growl’ oleh Sam.

Lagu Enough agak mencabar untuk mana-mana gajet audio sekalipun kerana jika talaan tidak seimbang, vokal boleh tenggelam, manakala bunyi gitar akan semakin runcing. TC-01 dapat mengeluarkan bunyi seperti dikehendaki oleh para pemuzik tersebut.

TC-01 mempunyai tempatnya yang tersendiri. Peminat IEM harus memilikinya kerana muzik ialah satu bentuk bahasa global yang mesti difahami oleh semua. Seperti yang saya katakan dulu, selera telinga setiap orang tidak sama, tetapi jika produk itu berkualiti, maka standardnya akan menjadi universal.

Setakat ini untuk penjual tempatan, saya menemui harga sehingga RM400-500+ untuk TC-01, manakala penjual dari China pula dari RM225 ke atas. Sekiranya ia menepati bajet, dapatkan IEM ini kerana ia masih akan relevan lagi untuk beberapa waktu yang lama!

Untuk mudah, anda boleh beli melalui laman web mereka di: Linsoul Audio.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Tronsmart Apollo Q10: Fon Kepala Dengan ANC Hibrid

0

Tronsmart bukan nama baru dalam industri. Kami sudah banyak kali mengulas produk mereka, yang kebanyakannya terdiri dari gajet audio, dan juga adapter pengecasan pantas. Pelbagai produk Tronsmart ini jarang sekali menghampakan, walaupun adakalanya harga ditetapkan sedikit mahal berbanding jenama lain.

Kali ini, Tronsmart mengeluarkan produk baharu iaitu Apollo Q10, sebuah fon kepala yang disertakan dengan fungsi Active Noice Cancellation (ANC) Hibrid.

Apa Itu ANC Hibrid?

ANC atau Active Noise Cancellation (Pembatalan Kebisingan Aktif) Hibrid ialah bagaimana Apollo Q10 mengendalikan pembatalan bunyi secara berbeza dengan sokongan kecanggihan cip yang tidak diketahui pembuatnya setakat ini. Cip tersebut menyokong pembatalan kebisingan aktif dan pemprosesan isyarat Bluetooth sama seperti Qualcomm QCC5124, menjadikan kedua-dua ciri tersebut mencapai prestasi terbaik tanpa gangguan serentak. Sementara model ANC lain di pasaran harus menggunakan dua cip untuk isyarat Bluetooth dan pembatalan bunyi aktif.

Apollo Q10 dapat membatalkan kebisingan semua frekuensi untuk memberi anda pendengaran mendalam – 360°. Bersama dengan 5 mikrofon, ia juga memberikan anda panggilan yang sangat jelas. Ia berfungsi dengan menggunakan rangkaian mikrofon bersepadu untuk menyekat kebisingan latar belakang dengan berkesan.

‘Hibrid’ yang dimaksudkan ialah Apollo Q10 mempunyai dua jarak frekuensi ANC yang ‘dijaga’, iaitu Feedforward dan Feedback. Feedforward membatal kebisingan dari frekuensi dari jarak sempit iaitu di sekitar 1kHz, manakala Feedback pula membatal kebisingan dari jarak lebar, iaitu pada 1-2kHz. Teknologi ini menjadikan jarak frekuensi yang dibatal oleh TWS/fon kepala Bluetooth lebih baik dan komprehensif.

Ada baiknya sebelum kita teruskan, kita lihat dahulu apa yang ada dalam kotaknya.

Seperti disenaraikan, apa yang tersimpan dalam kotak ialah:

1 unit Tronsmart Apollo Q10.
1 unit bag penyimpanan (Kulit PU).
1 kad waranti.
1 kabel pengecas.
1 manual panduan pengguna.

Kalau video tadi kurang jelas, anda boleh lihat pula pada gambar berikut.

Reka Bentuk

Tronsmart Apollo Q10 menggunakan reka bentuk boleh lipat, yang memudahkan anda untuk membawanya ke mana-mana bila ia dapat disimpan dalam bag tanpa mengambil ruang yang banyak. Ia juga seberat 225g, amat ringan jika anda hendak ‘sangkutkan’ di leher dan bawa berjalan.

Sayangnya, fon kepala ini hanya mempunyai warna hitam. Saya bayangkan jika ia ada warna merah, merah jambu, oren, dan sebagainya lagi, pasti ia dapat memberi lebih pilihan kepada pelbagai minat individu lain. Fon kepala diperbuat dari plastik, menjadikan keseluruhan reka bentuk tampak sedikit ‘murah’, tetapi masih lagi terasa mantap sewaktu dipakai.

Kesemua butang-butang penting seperti butang kuasa, MFB, dan port pengecasan USB-C diletakkan di sebelah kanan. Anda boleh lihat pada gambar-gambar di bawah.

Spesifikasi

Model Tronsmart Apollo Q10
Warna Hitam sahaja yang ada
Versi Bluetooth 5.0
Jarak Transmisi Sehingga 15 meter/50 kaki
Kapasiti Bateri 1200mAh
Waktu Main Sehingga 100 jam
Tempoh Pengecasan Dalam lingkungan 3 jam
Julat Frekuensi 20 – 20K Hz
Unit Pemacu 40mm, dinamik
Galangan 32 ohms
Berat 225g
Kandungan Pakej 1 x Tronsmart Apollo Q10, 1 x Manual Panduan Pengguna, 1 x Kabel Pengecasan, 1 x Kad Waranti, 1 x Bag Penyimpanan PU

 

Kualiti Bunyi

Saya dapat rasakan sewaktu mendengar lagu, ANC Hibrid itu berfungsi dengan cemerlang, cuma tidaklah sehingga 100% anda tidak dapat mendengar bunyi luar. Saya boleh katakan ia berkesan sehingga 80-90%, yang dapat dikategorikan sebagai cukup baik. Bunyi tiba-tiba atau tidak dijangka diredam dengan baik tetapi tidak disekat sepenuhnya kerana ini bukanlah sesuatu yang sebenarnya disekat oleh ANC.

Kadar laras bunyi pada telingan saya sendiri adalah tidak mencukupi. Saya bukan hendak mendengar sehingga pekak, tetapi apabila dinaikkan hingga maksimum sekalipun, bunyinya belum cukup memuaskan halwa telinga saya.

Tetapi anda tidak boleh bandingkan telinga saya ini dengan telinga anda, kerana saya sudah banyak kali masuk ke studio rakaman (waktu zaman muda dulu) untuk menjalani proses rakaman lagu band saya pada ketika itu. Barangkali akibat terlalu banyak mendengar julat bunyi yang kuat menyebabkan saya sudah lali dengan bunyi ‘manja’ dan mahukan lebih lagi.

Apabila mula mendengar beberapa buah lagu, saya simpulkan fon kepala ini dalam kategori ‘seimbang’, di mana nada pertengahan dan tinggi agak sempurna dan tidak melangkau jauh antara satu dengan yang lain. Replikasi dan keseimbangan keduanya membuatkan bunyi terhasil tidak melelahkan telinga.

Vokal kedengaran begitu jelas dan ‘terang’, akan tetapi bahagian bass membuatkan saya inginkan hentakan yang lebih. Contohnya lagu Michael Jackson – Billie Jean, tidak begitu terasa hentakan drum dan bassnya. Oh ya, Apollo Q10 boleh dipadankan dengan aplikasi ‘Tronsmart’ yang anda dapat muat turun di Google Play Store atau App Store, yang memberi anda kemudahan untuk menukar EQ, menukar mode, dan mengubahsuai kawalan butang.

Pun begitu, walau saya tukar EQ kepada Deep Bass sekalipun, perubahannya tidak signifkan seperti diharapkan.

Fungsi ANC benar-benar membantu untuk menaikkan ‘kualiti’ panggung suara (soundstage) dalam usaha mendapatkan kadar bunyi optimumnya.

Jangkat Hayat Bateri

Dengan kapasiti 1200mAh dan teknologi penjimatan kuasa yang telah dipatenkan, Apollo Q10 mampu memainkan semula lagu sehingga 100 jam. Dalam percubaan saya sendiri, saya tidak dapat menghabiskan kuasa baterinya dalam masa sehari. Bahkan setelah beberapa hari menggunakannya semenjak ia sampai di rumah, baterinya belum perlu dicas semula setakat ini.

Dalam hal ini, Tronsmart berjaya memenangi hati saya. Dalam mode ANC sekalipun, kuasa bateri begitu hemat sekali digunakan, dan saya tidak pernah gunakan fon kepala ini dengan kadar suara di bawah 100%. Saya sentiasa menggunakan ia dengan kelantangan 100% untuk semua jenis genre lagu, tidak kiralah Hip-Hop, R&B, mahupun metal.

Paling penting, seperti yang selalu saya katakan, Apollo Q10 menggunakan antara muka USB-C, dan ini amatlah menyenangkan aktiviti seharian. Tidak perlu tercari-cari kabel USB mikro untuk tujuan pengecasan. Tronsmart mengatakan hanya dengan 10 minit pengecasan, anda dapat gunakan Apollo Q10 sehingga 3 jam lamanya. Waktu untuk pengecasan penuh pula dijangka dalam 3 jam sahaja.

Konklusi

Dengan tanda harga RM299, untuk sesetengah orang, Apollo Q10 mungkin tidak berbaloi, dan untuk sesetengah golongan lain, ia menepati bajet dan citarasa untuk genre lagu yang selalu dilayani ketika waktu lapang.

Lingkungan harga sebegini, memang sukar untuk dapatkan fon kepala Bluetooth yang sempurna dari segala segi. Untuk Apollo Q10, isolasi instrumen muzik agak baik, walaupun saya rasa ia boleh dipertingkat dan diperbaiki lagi.

Elemen atau unsur lain, sekadar menjadi penyeri kepada fon kepala, seperti kawalan sesentuh dan butang MFB yang jarang sekali saya gunakan. Kawalan sesentuh pada mulanya terasa agak leceh, tetapi bila dah terbiasa, ia mudah untuk diingati dan dilancarkan.

Saya tidak rasa fon kepala ini dicipta untuk golongan audiophile, sebaliknya lebih kepada mereka yang gemarkan fon kepala berbanding TWS biasa, dan ingin fon kepala yang tidak terlalu mengoyakkan poket.

Ia juga agak bergaya ketika dipakai, atau disangkut di leher. Saya bercadang hendak sangkut ketika sedang membeli-belah di pasar raya. Barulah terasa sedikit muda, kerana jiwa di dalam tubuh saya masih lagi segar berbanding umur. Young-at-heart bak kata orang putih.

Anda boleh beli melalui:

Shopee

Lazada

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Laman Sugarbook Disekat SKMM

0
Laman Sugarbook

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat akses ke laman utama Sugarbook. Sugarbook telah dilanda kontroversi kerana telah didakwa menjadi penyumbang kepada aktiviti tidak bermoral di kalangan wanita muda dan juga pelajar wanita di institusi pendidikan tinggi. Ia berikutan beberapa kontroversi yang mengaitkan golongan pelajar beberapa institusi pendidikan tinggi ternama di negara yang telah dikatakan menjadi pengguna tertinggi di laman dan aplikasi tersebut.

Sugarbook merupakan satu platform yang memudahkan lelaki yang bekerjaya dan memiliki taraf ekonomi yang tinggi untuk mencari wanita yang lebih muda sebagai kekasih. Ia mendapat tentangan kerana telah didakwa menggalakkan aktiviti sosial dan gejala yang tidak bermoral di kalangan pelajar dan wanita di negara ini dalam mencari kekasih lelaki yang lebih tua dan mempunya kewangan yang kukuh.

Laman Sugarbook

SKMM telah menyekat laman tersebut kerana telah melanggar Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Media 1998. SKMM juga memberi nasihat kepada ibu bapa dan penjaga untuk memantau aktiviti di internet anak-anak sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang meragukan.

SKMM memandang serius terhadap dakwaan laman tersebut yang mengiklankan pelajar wanita Malaysia di platform berkenaan sebagai Sugar Babies untuk Sugar Daddies. Penggunaan terma berkenaan dilihat sebagai satu penghinaan dan eksploitasi terhadap wanita.

Terdahulu, laman Sugarbook telah dikatakan menjadi penyumbang kepada aktiviti tidak bermoral seperti pelacuran dalam talian, parti liar dan perhubungan sulit.

 

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Mpow M30: Tanggapan Awal

0

Mpow, antara jenama pengeluar True Wireless Stereo (TWS) yang semakin meningkat naik namanya. Bukan kerana ia seringkali mengeluarkan reka bentuk dan material premium, tetapi kerana model-model yang ada di pasaran adalah mampu milik dari kalangan marhaen.

Selaras dengan harganya, kualiti diberi tidak menghampakan juga. Saya berpeluang mencuba model M30 yang sudah berada di pasaran sejak tahun lepas.

Mari kita tonton apa yang ada dalam kotak terlebih dahulu.

Spesifikasi Mpow M30

  • Bluetooth 5.0.
  • Kalis air IPX7 (hujan lebat dan tahan peluh).
  • 5 jam mendengar dengan pengecasan penuh.
  • Casing/bekas pengecasan boleh mengecas fon telinga sepenuhnya sebanyak 4 kali.
  • Dilengkapi dengan 6 saiz silikon telinga dan kabel USB-C.

Mpow M30 ini ada dua versi, dan saya menguji model M30 (satu lagi versi ialah M30 Plus, yang mempunyai bekas pengecasan lebih besar, dan boleh berfungsi sebagai powerbank).

M30 mempunyai bekas pengecasan yang kecil, sangat mudah dibawa dalam poket. Bentuknya comel, seakan alat dari masa hadapan dalam komik. Bentuk bekas ini mengingatkan saya kepada bekas Tronsmart Spunky Beat.

Paling penting, ia menggunakan antara muka USB-C untuk tujuan pengecasan. Anda tidak tahu betapa leganya saya apabila syarikat pengeluar menggunakan USB-C. Setakat ini, saya lihat masih banyak pengeluar yang tegar dengan USB mikro dengan alasan hendak mengurangkan kos pengeluaran.

Kita sudah masuk ke tahun 2021. Mikro USB sudah jauh ketinggalan di belakang. Ibarat menggunakan motosikal dengan reka bentuk moden tetapi masih menggunakan karburetor.

YA, ia berfungsi tetapi tidak efisien seperti suntikan minyak.

Untuk tanggapan awal, saya belum mahu membicarakan mengenai kualiti bunyi.

Di sini, saya lebih mahu membicarakan mengenai apa yang saya suka dan tidak pada M30. Sebaik saya keluarkan dari bekasnya, saya dapati M30 ini mempunyai ‘sport wing’, yang melekap dengan baik pada telinga.

Malah ada lagi 4 sport wing yang diberikan sebagai sandaran sekiranya hilang. Maaf, dalam video buka kotak tak nampak benda ini kerana saya sendiri tidak perasan ia melekat di belakang bahagian tempat terletaknya TWS M30. Saya sertakan gambar untuk tatapan anda.

Kebiasaannya, saya lebih suka menggunakan silikon telinga besar, supaya bass lebih terasa dan ia dapat melekap dalam telinga dengan lebih kemas. Tetapi, untuk M30 saya gunakan terus silikon telinga kecil yang sudah tersedia padanya, kerana ia terasa selesa sungguh.

Jika anda hendak gunakan M30 untuk aktiviti bersukan, sesuai sangatlah kerana ia sukar untuk jatuh dari telinga. Itu belum disebut lagi tentang tahap ketahanan air iaitu IPX7 yang membenarkan anda bersukan walau dalam hujan.

Mpow M30 ada butang sesentuh di bahagian tepinya. Kadar sentuhan adalah berpatutan, tidak terlalu sensitif hingga menyebabkan anda terasa ia menjengkelkan. Fungsinya juga mudah diingati dan meresap ke dalam memori otot, iaitu seperti tekan sekali untuk memain atau menjeda lagu, dan tekan dua kali untuk beralih ke lagu seterusnya.

Untuk menaikkan laras bunyi, anda perlu tekan lama sedikit pada sebelah kanan, dan tekan lama pada sebelah kiri untuk turunkan kadar kekuatan bunyi. Mudah bukan?

Bluetooth 5.0 tidak perlu diperkenalkan lagi. Kadar kelewatan (delay) bunyi tidak terasa, dan pada saya jika anda hendak bermain permainan, pun sesuai walaupun bunyi untuk aktiviti ini tidaklah ‘boom’ seperti sesetengah TWS lain.

Baiklah, untuk artikel tanggapan awal, saya rasa cukuplah setakat ini dahulu.

Saya akan sertakan ulasan saya mengenai kualiti bunyi dalam artikel ulasan penuh yang akan datang. Jangan lupa ikuti laman Facebook kami untuk tidak terlepas sebarang perkongsian.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Mundurnya IT di Malaysia Kerana Pembudayaan Yang Terkebelakang

0

Tahun 2020 telah berlalu. Satu wawasan dan visi kononnya kita akan muncul sebagai negara maju hanya tinggal kenangan dan angan-angan. Jangankan kata menuju negara maju, malahan kita masih lagi digelumangi dengan masalah dan beban sebuah negara yang mundur dan terkebelakang. Capaian teknologi maklumat yang lemah, pengetahuan teknologi yang rendah di kalangan rakyat, kurangnya pengetahuan tentang hak dan penjagaan privasi, serta betapa parahnya sistem pengurusan data keselamatan.

Ini dapat dilihat dengan jelas apabila murid sekolah terpaksa mendaki bukit dan gunung, meredah ranjau dan duri, memanjat pokok dan lereng hanya semata-mata ingin mendapatkan capaian asas internet bagi pembelajaran dalam talian. Sangat sedih dan tragis melihat rakyat di sebuah negara yang begitu gah dan bangga dan pencapaian golongan elit tetapi rakyat biasa masih lagi merana untuk mendapatkan kemudahan asas dan teknologi.

Tahun 2020, masih ada lagi pelajar perlu mendaki bukit untuk mendapatkan internet. Lebih menyedihkan, ini bukan “kes terpencil”.

Kes-kes penipuan pembelian gajet dan peralatan elektronik juga semakin meningkat. Apabila kerajaan memperkenalkan inisiatif teknologi baharu seperti pembayaran tanpa sentuh dan juga penjagaan kesihatan, ada pula golongan yang mempersenda malah mengaitkan pula ia dengan teori konspirasi. Jika sebilangan kecil, boleh lah kita katakan sebagai isu kecil. Tetapi, bilangan mereka ramai dan membimbangkan. Malah semakin bertambah dan didoktrinkan pula kepada anak-anak mereka yang masih kecil!

Malaysia tidak ketinggalan dalam menerima capaian teknologi pembayaran tanpa sentuh.

Sama juga halnya dengan agensi kerajaan. Penjawat awam khususnya. Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif pentadbiran secara tanpa kertas dan tanpa wayar. Dimulakan dengan perubahan besar melalui portal 1GovUC. Kini perkhidmatan ini telah dinaiktaraf pula kepada MyGovUC. Setiap penjawat awam telah diberikan satu emel dan akaun MyGovUC.

IceWarp dilengkapi dengan fungsi sembang, panggilan dan sidang video, serta klien emel yang selamat dan privasi.

MyGovUC juga dilengkapi dengan sistem emel daripada IceWarp, satu servis yang selamat, privasi, malah dilengkapi dengan fungsi panggilan video dan simpanan data di atas awan. Saya tidak rasa servis ini murah untuk ditanggung kerajaaan. Namun, masih ramai pegawai-pegawai atasan berdegil untuk melaksanakan mesyuarat dan kursus sewaktu PKP menggunakan laman awam seperti Facebook, Zoom dan Google Meet. Apa guna kerajaan menanggung kos IceWarp sekiranya tidak digunakan pun? Pegawai-pegawai dan penjawat seharusnya celik IT dan mendokong tinggi aspirasi kerajaan ke arah memacu perkembangan teknologi kerajaan, bukan sebaliknya.

Kita lihat pula kepada kes-kes melibatkan privasi dan hak-hak kita sebagai seorang individu bebas. Percaya atau tidak, Malaysia masih lagi tidak mempunya akta yang khas dan spesifik untuk menjaga hak privasi. Kita ada Personal Data Protection Act 2010 (PDPA), tapi akta ini hanya menggariskan panduan untuk keselamatan data di persekitaran komersil.

Selain PDPA, kita juga ada Communications and Multimedia Act 1998 yang menghalang penyiaran sebarang media dengan tujuan untuk menimbulkan kekacauan ataupun sebarang kandungan yang bersifat untuk mendatangkan bahaya kepada seseorang. Tetapi akta ini juga lebih kepada pengawalan terhadap kandungan penyiaran, bukannya untuk menjaga hak privasi secara khusus.

Masyarakat secara mudah menerima dan menjadikan kelakuan mengganggu dan mengacau privasi itu sesuatu yang normal dan norma. Apabila ada pegawai, pekerja, atau penguatkuasa mencuri nombor telefon daripada pelanggan dan orang awam pula, itu adalah perkara biasa dan tidak perlu diperbesarkan atas alasan “itu usaha cari jodoh“. Sedarkah anda, ini adalah satu pelanggaran etika kerja dan pencerobohan hak privasi yang serius? Anda sudah masuk ke kategori stalker. Jika benar ingin mencari jodoh, minta sahajalah secara berdepan. Tidak perlu menggunakan kuasa dan kedudukan sebagai seorang pekerja untuk mencuri data dan maklumat orang lain.

Tidak kiralah sama ada anda lelaki atau wanita, pegawai bank atau penghantar makanan, anda tidak boleh sesekali menggunakan data dan maklumat yang anda perolehi melalui kerja dan kedudukan anda untuk tujuan peribadi. Walaupun individu yang anda ingin berkenalan itu bekerja sebagai GRO sekalipun, itu tidak boleh menjadi hak dan alasan anda untuk menceroboh privasi mereka. Ingin berkenalan, berkenalanlah sebagai seorang manusia yang ingin mengenali manusia yang lain. Bukannya menyalahgunakan kuasa dan akses anda kepada maklumat peribadi orang lain.

Beralih kepada isu melibatkan pengendalian data peribadi dan keselamatan dalam penyimpanan data. Kita dapat lihat menerusi #OpsWakeUp21 yang telah menceroboh pelbagai laman dan database kerajaan dan juga komersil. Mereka tidak melakukan sebarang aktiviti yang berisiko setakat ini tetapi cuma memaparkan bukti pencerobohan sistem.

Anonymous Malaysia juga telah berkali-kali memberi amaran kepada keselamatan data di Malaysia.

Namun setakat ini, apa tindakan daripada pihak yang telah “diuji” oleh #OpsWakeUp21 ini? Sekadar menyalahkan dan marah-marah. Walhal, mereka seharusnya berasa malu dan bersyukur kerana kelemahan sistem mereka telah didedahkan malah diberi peluang pula untuk membuat penambahbaikan. Bayangkan pula jika yang menceroboh mereka itu adalah penggodam yang berniat jahat?

Lebih parah lagi, apabila ada saja laporan daripada media mengenai penggodaman, pihak yang terlibat menyerang pula media dengan gelaran-gelaran yang tidak sopan dan sombong. Sedangkan, media adalah media. Tugas media adalah melaporkan dan menerima maklumat. Penggodam juga biasanya akan menghantar maklumat secara kaedah hantar dan bakar kepada media untuk tujuan hebahan dan cabaran kepada pihak yang digodam.

Akan tetapi, bendul sekali langkah di Malaysia kerana apabila ada sahaja berita penggodaman, maka media lah yang akan dijadikan watak jahat kononnya ingin menjatuhkan organisasi dan individu yang digodam. Seharusnya, langkah awal mereka apabila menerima berita adalah siasat dahulu dakwaaan yang didakwa oleh penggodam dan lakukan langkah pemulihan sekiranya benar ada godaman. Sekiranya tidak benar, buat penafian rasmi dan hantarkan siaran media kepada media. Ini adalah isu yang sama dan berulang-ulang dan antara faktor yang saya secara peribadinya, merasakan #OpsWakeUp21 ini juga akan menemui jalan buntu dan gagal mencapai matlamat mereka.

Views: 7

Iklan Newspaper Inline

Shanling MTW100 V2: Cinta Pandang Pertama

0

Shanling bukan nama asing dalam dunia audio. Depa ditubuhkan pada tahun 1988.
Depa banyak menghasilkan IEM, DAP, Hi-Fi Amp dan pelbagai produk audio yang menjadikan depa salah satu nama besar dalam dunia audiophile.

Kali ini Mamu berpeluang mencuba Shanling MTW100 untuk ulasan TWS dan tatapan hangpa. MTW100 ada 2 variasi iaitu dynamic drivers (DD) dan balanced armature (BA). Dalam ulasan ini Mamu dapat variasi DD.

Sebelum kita mulakan ulasan, mai kita tengok apa ada dalam kotak dan video unboxing untuk tatapan hangpa semua.

Ini adalah rekabentuk luaran kotak produk MTW100 dengan tona warna putih dan kelabu. Gambar model TWS dijadikan sebagai subjek utama dalam kotak ni.

Spesifikasi TWS dan informasi berkaitan terletak di belakang kotak.

Di sebelah kiri kotak, hangpa dapat tengok model dan serial number produk tersebut. Macam mamu dapat ni versi DD.

Spesifikasi MTW100

Audio

Pemacu Graphene 6mm Dynamic Driver (DD)
Impedan 20Ω
Respon Frekuensi 20-40000Hz
Kepekaan 113db

 

Sambungan & Kawalan

Sambungan Wireless Bluetooth V5.0
Mikrofon Ya
Jangka Hayat Bateri TWS 6 Jam
Jangka Hayat Bateri Kotak Simpanan TWS 21 Jam
Masa Mengecas 1.5 Jam (TWS)
1.5 Jam (Kotak Simpanan)
Input DC 5V 1A
Sokongan Codec SBC/AAC
Jarak Wireless Sehingga 10m
Protokol Bluetooth HSP/HFP/A2DP/AVRCP/SPP/PBAP

 

Rekabentuk 

Cara Penggunaan In-Ear
Dimensi 23.1*17.2*22mm (TWS)
56*25*30mm(Bekas Simpanan)
Berat 4.7g (TWS)
39.5g(Bekas Simpanan)

 

Bila hangpa buka kotak, hangpa akan dihidangkan dengan produk tu sendiri dikelilingi span untuk keselamatan dari gegaran bila J&T campak barang hangpa sejauh 100 meter.

Dalam kotak, hangpa akan dapat barang berikut :

  • MTW100 Dynamic Driver
  • Leather Lanyard
  • 6 Pasang eartips (1st time dapat eartips banyak macam nih.)
  • Manual
  • Kabel Type C (awat la warna hijau. Buat warna merah lagi menarik)

Selama hampir sebulan penggunaan Mamu dengan TWS ini, prestasi MTW100 hampir mencapai piawaian ideal TWS Mamu. Antara ciri yang memang Mamu berkenan, ia didatangkan dengan IPX7, jadinya sesuai untuk hangpa yang suka berbasikal, lari, jogging ataupun gim. Tak perlu risau peluh hangpa rosakkan TWS ni.

Advanced DSP dia memang terbaik bila Mamu buat panggilan. Orang yang dok dengaq panggilan Mamu depa kata suara Mamu jelas tanpa ada gangguan bunyi asing.

Kalau hangpa jenis macam Mamu suka pakai sebelah ja masa buat kerja, MTW100 ni boleh diguna dalam mod mono atau stereo. Takdak la hangpa risau boss hangpa keriau panggil nama, hangpa tak dengaq kan?

MTW100 menggunakan kawalan sesentuh. Kawalan ni ada hit & miss bila guna. Ambil masa sedikit untuk hangpa serasi dengan kawalan dia. MTW100 ni takda kawalan untuk hangpa laraskan kelantangan audio hangpa.

Mamu pi kerja naik motor dan selalu gak dengaq lagu sambil bawa motor ke tempat kerja. Pakai MTW100 ni memang selesa seakan hangpa tak pakai TWS. Fits like a glove bak kata orang putih.

Fungsi Surrounding Awareness mode (tap 4 kali di earbud sebelah kanan) banyak membantu nak dengaq bunyi kereta hon atau motor lalu kat lampu trafik dengan tak menghiraukan nyawa sendiri. Fungsi ni boleh diperbaiki lagi pasal bagi Mamu bunyi dihasilkan ada sedikit robotik pada pendengaran Mamu.

Mari kita tengok macam mana MTW100 ni bila Mamu mainkan lagu kegemaran Mamu. Kesemua lagu Mamu gunakan Tidal. Hangpa boleh dengaq kat pautan bawah :

Secara keseluruhan, profil talaan TWS ni lebih kepada profil Balanced.

Talaan treble pada MTW100 ni bagi Mamu secukup rasa tanpa ada gangguan pada spektrum ni. Mids pada TWS ni agak terbuka dan bunyi jelas bila hangpa dengaq lagu macam Hotel California. Talaan bass dia pula secukup rasa dan tidak keterlaluan. Fast attack & decay dia tidak mencacatkan lagu hangpa dengaq macam Mamu suka dengaq lagu Warrior dari Mark With A K. Soundstage pada MTW100 ni memang tidak mengecewakan. Kedalaman dan keluasan dapat didengari bila Mamu dengaq lagu kegemaran Mamu, Careless Whisper(ya, Mamu dah tua dan suka lagu lama)

Vokal wanita pada MTW100 bagi Mamu cukup memberangsangkan. Ada sesetengah TWS Mamu pakai, vokal perempuan akan tenggelam. Kejelasan dapat didengari bila Mamu dengaq lagu Within Temptation – Aquarius. Lagu Offspring & Limp Bizkit tidak mengecewakan halwa telinga Mamu. Ketukan drum dan riff guitar cukup mengasyikkan sehingga hangpa seolah-olah dalam dunia hangpa sendiri. (takut bini keriau panggil tak dengaq, on ja surround awareness mode)

Sebagai kesimpulannya, Shanling MTW100 ini boleh dijadikan pilihan TWS untuk hangpa yang masih mencari TWS pertama atau untuk hangpa tambah koleksi TWS (satu mana cukup bro). Keselesaan dan ringan masa pakai tu buat Mamu jatuh hati. Dengan tanda harga RM379 hangpa boleh merasai apa yang Mamu dah rasa selama penggunaan Mamu.

Hangpa boleh beli di pautan dibawah dan boleh tengok barang baru depa di Facebook depa.

E1 Personal Audio Malaysia

E1 Personal Audio Lazada

E1 Personal Audio Facebook

Berjumpa kita lagi di ulasan yang lain. Mamu signing out!

Views: 5

Iklan Newspaper Inline

Syarikat Jual Android Box Didakwa

0

KPDNHEP telah mendakwa sebuah syarikat yang menjual Android Box di Shah Alam atas kesalahan menjual perkakasan dan perisian TV sebagai langkah perlindungan teknologi terhadap karya siaran pemilik hak cipta. Dalam bahasa mudahnya, penjualan Android Box tersebut telah didakwa atas kesalahan pelanggaran hak cipta.

Pendakwaan yang dilakukan oleh KPDNHEP itu telah melibatkan penjualan Android Box berjenama Long TV pada 22 September 2020, kira-kira jam 4.55 petang. Syarikat berkenaan beralamat di I-City, Seksyen 7 dan telah didakwa atas kesalahan di bawah seksyen 41(1)(ha) Akta Hak Cipta 1987 kerana menjual apa-apa teknologi atau alat bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi yang disebut dalam subseksyen 36A(3) akta yang sama.

Android Box jenama Long TV

Pengarah syarikat kemudiannya mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen Jenayah 8. Sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih daripada RM40,000. Pujian juga harus diberikan kepada KPNDHEP kerana telah membuat pendakwaan yang tepat dan tidak menimbulkan rasa susah hati kepada para penjual dan pengguna Android Box secara halal yang lain.

Seperti yang telah dibincangkan oleh kami dahulu dalam artikel Android Box Patut Di”ban” Di Malaysia, kami juga telah menjelaskan beberapa garis panduan dan peraturan dalam penjualan Android Box. Kami berpendapat, Android Box adalah satu peralatan dan kesalahan hak cipta adalah satu penyalahgunaan. Kesalahan penyalahgunaan tidak boleh dipersalahkan ke atas perkakasan.

Semakin ramai juga penjual tanpa segan silu dan rasa takut dalam penjualan Android Box dan servis strim video internet haram. Mereka menjual Android Box yang telah diubahsuai dan dipasang aplikasi cetak rompak untuk menonton siaran berbayar secara percuma atau dibayar pukal. Pengiklanan juga dibuat di ruang terbuka dan bebas dijual di atas talian.

Ini satu trend dan permasalahan yang serius dalam memperkenalkan teknologi baru ke dalam masyarakat. Android Box merupaakan satu teknologi yang masih belum begitu mendapat tempat di Malaysia. Sekiranya trend ini berterusan, tidak mustahil penjualannya akan terus diharamkan atas sentimen Android Box=cetak rompak. Kita sudahpun mempunyai masalah celik IT di kalangan pembuat dasar, jadi tidak mustahil satu hari nanti Android Box akan diharamkan kerana ia adalah jalan yang lebih mudah.

Sekali lagi kami menyeru, kenalilah teknologi dan gunakanlah ia secara berhemah. Patuhi undang-undang dan hormatilah hak cipta.

Sumber : Sinar Harian

 

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Cara Menukar Paparan Firefox Kepada Proton UI

0

Firefox sudah banyak melalui fasa perubahan demi perubahan. Mozilla memperkenalkan Firefox Quantum pada tahun 2017 yang membawakan penambahbaikan dari segi kelajuan pelayaran.

Setelah itu, mereka membangunkan reka bentuk paparan antara muka baharu yang dinamakan sebagai Proton. Proton ini adalah reka bentuk ketiga selepas Australis UI (2014), dan Photon (2017).

Reka bentuk terbaru ini akan dilepaskan tidak lama lagi. Tetapi semestinya ada cara, untuk anda yang ingin cuba melihat pra-tonton awal – dan ingat, disebabkan ini belum lagi dilepas kepada umum, ia bermaksud segala-galanya belum diputuskan lagi.

Boleh jadi ia kekal, boleh jadi juga banyak yang berubah.

Jika anda berminat nak cuba, bolehlah muat turun Firefox Nightly. Kemudian, taipkan about:config di bar URL.

Seterusnya, taipkan ‘proton’ di bar carian dan tukar status browser.proton.enabled kepada true. Kemudian, mulai semula pelayar Firefox anda.

Setelah itu, anda perlu menambah sendiri beberapa string Boolean berstatus true iaitu:

browser.proton.tabs.enabled

browser.proton.appmenu.enabled

(Dua string di atas anda perlu tambah sendiri).

browser.newtabpage.activity-stream.newNewtabExperience.enabled

(String ini pula anda hanya perlu cari dan tukar statusnya kepada true sahaja).

Dah selesai? Mulai semula pelayar Firefox.

Sekarang pelayar Firefox sudah pun berwajah baru. Anda boleh teroka dan lihat sendiri sama ada anda suka atau tidak dengan pembaharuan ini.

Secara peribadi, saya memang sangat sukakan reka bentuk terbaru Proton, kerana ia memaparkan elemen yang lebih moden berbanding reka bentuk terdahulu. Menu juga tidak kelihatan begitu serabut dan rumit. Ia tampak lebih ‘direct to the point’.

Saya cuma masih tak jumpa ke mana menghilangnya butang ‘Customize’ setelah Firefox ‘bersalin kulit’. Kalau anda tahu di mana letaknya butang itu, silalah komen. 🤔

Apa pun, saya ucapkan selamat mencuba.

Sumber: OMG! Ubuntu!

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

MSMDownloadTool, Penyelamat Masalah Perisian Pada Peranti OnePlus

0

MSMDownloadTool, penyelamat peranti OnePlus 2|3|3T|5|5T|6|6T|7|7 Pro|7T|7T Pro|8|8 Pro|8T|Nord yang mengalami masalah perisian.

Nota tambahan : sebelum nak jual telefon kat orang atau kedai, elok la guna perisian ni, bagi standard telefon tu baru jual. Semua pautan dalam ni ambik dari forum XDA terima kasih kepada Some_Random_Username.

AMARAN = Pastikan dah buat salinan data sebelum mulakan sesuatu proses dan risiko tanggung sendiri tau. Kita tak tanggungjawab sekiranya telefon tu koma atau pening.

Sedut dulu barang ni mengikut model telefon, kita mula dengan perisian MSMDownloadTool ni.
Model Biasa
OnePlus 2 (OxygenOS 3.6.1)

OnePlus 3 (OxygenOS 9.0.6)
OnePlus 3T (OxygenOS 9.0.6)
OnePlus 5, Cheeseburger (OxygenOS 9.0.11)
OnePlus 5T, Dumpling (OxygenOS 9.0.11)
OnePlus 6, Enchilada (OxygenOS 10.3.8)
OnePlus 6T, Fajita (OxygenOS 10.3.8)
OnePlus 7, Guacamoleb
GM57AA, International (OxygenOS 10.3.7)
GM57BA, Europe (OxygenOS 10.0.10)
OnePlus 7 Pro, Guacamole
GM21AA, International (OxygenOS 10.3.7)
GM21BA, Europe (OxygenOS 10.0.10)
OnePlus 7T, Hot Dogb
HD65AA, International|‌India (OxygenOS 10.0.15)
HD65BA, Europe (OxygenOS 10.0.15)
OnePlus 7T Pro, Hot Dog
HD01AA, International|India (OxygenOS 10.0.13)
HD01BA (OxygenOS 10.0.13)
OnePlus 8, Instant Noodle
IN11AA, International (OxygenOS 10.5.11)
IN11AA, International (OxygenOS 11.0.2.2)
IN21BA, Eropah (OxygenOS 10.5.10)
IN21BA, Eropah (OxygenOS 11.0.3.3)
IN21DA, India (OxygenOS 10.5.11)
IN21DA, India (OxygenOS 11.0.2.2)
OnePlus 8 Pro, Instant Noodlep
IN11AA, International (OxygenOS 10.5.12)
IN11AA, International (OxygenOS 11.0.2.2)
IN11BA, Eropah (OxygenOS 10.5.11)
IN11BA, Eropah (OxygenOS 11.0.3.3)
IN11DA, India (OxygenOS 10.5.13)
IN11DA, India (OxygenOS 11.0.3.3)
OnePlus 8T, Kebab
KB05AA, International (OxygenOS 11.0.5.6)
KB05BA, Eropah (OxygenOS 11.0.5.6)
KB05DA, India (OxygenOS 11.0.5.6)
OnePlus Nord, Avicii
AC01AA, Global (OxygenOS 10.5.10)
AC01BA, Europe (OxygenOS 10.5.10)
AC01DA, India (OxygenOS 10.5.10)
OnePlus Nord N100, Clover
BE81AA , Global (OxygenOS 10.5.3)
BE81BA , Europe (OxygenOS 10.5.6)
OnePlus Nord N10 5G, Billie
BE86AA, Global (OxygenOS 10.5.9)
BE89BA, Europe (OxygenOS 10.5.9)

Model Telco & Lain-Lain
OnePlus 6T
A6013 (OxygenOS 10.3.8)

OnePlus 7 Pro
GM31CB (OxygenOS 9.5.10)

OnePlus 7 Pro 5G
GM1920 GM27BA (OxygenOS 9.5.11)

OnePlus 7T T-Mobile,
HD1907 HD63CB (OxygenOS 10.0.13)

OnePlus 7T Pro 5G T-Mobile
HD1925 (HD61CB|OxygenOS 10.0.42)
OnePlus 8 T-Mobile
IN2017 (OxygenOS 10.5.22)

OnePlus 8 Visible
IN2015 (IN68CE|OxygenOS 10.5.4)
OnePlus 8 Verizon
IN2019 (IN67CD|OxygenOS 10.5.5)
OnePlus 8T T-Mobile
KB20XX (KB09CB|OxygenOS 11.0.7.9)

MSMDownloadTool ni, bahasa mudah dia nak bagi telefon ampa jadi standard balik, semua partition jadi seperti asal, macam baru keluar dari kilang.

Untuk driver qualcomm pulak sedut dekat sini atau sini.
Untuk pengguna Windows 8 dan ke atas, kena masuk mod Disable Driver Signature Enforcement (untuk overwrite driver), ambik option two.

Ada cara lain, rasanya dalam tu ada ajar. Tapi selalu buat disable driver signature enforcement.

Untuk pasang driver tu, sila matikan telefon dulu kemudian buat macam ni
– Tekan butang volume atas selama 5 saat lalu connect telefon dengan komputer. (untuk OnePlus 6T dan ke atas kena tekan bulang volume atas dan bawah serentak)
– Perhatikan dia install driver apa, tengok Device Manager tu ada tak US8_BULK? Kalau ada, klik kanan dekat driver tu ambik update dan cari lokasi fail driver yang download tadi tu
– Pastikan dekat Device Manager tu, keluar qualcomm dekat port (COM). Windows 10 dia akan pasang driver ni secara automatik. Kalau program tu ada pilihan target, sila pilih ikut versi MSM Tool (atau firmware) mana ampa pilih. Ok, ni bahagian yang mana kita biarkan perisian buat kerja, iaitu perisian MSM Tool.
– Pastikan telefon steady connect dengan komputer. (untuk OnePlus 6T dan ke atas kena masuk balik EDL Mode kalau dia keluar dari mode tu)
– Klik kanan ambik run as administrator dekat msmdownloadtool tu.
– Tekan start untuk mulakan proses. Kalau kat sini sangkut, tekan butang power lama-lama (dalam 10 saat), kemudian on balik lepas off balik (tekan butang power lama-lama sampai padam). Ulang balik proses atas ni, yang msmdownloadtool.
– Bila proses dah siap, akan dengar bunyi disconnect dekat komputer dan telefon dah hidup sendiri (boleh cabut cable dah time ni)
– Telefon jadi macam baru keluar kilang, yang mana dah buka bootloader, jadi tutup. Ya, baru keluar kilang, kosong, standard pekak.

Untuk OnePlus 7T Pro T-Mobile 5G dan 8 Series, dekat ‘login prompt’, pilih Other dekat ‘dropdown menu’ dan tekan Next dan tunggu beberapa saat untuk window utama keluar. Serta sila pilih O2 sekiranya dekat ‘dropdown menu’ ada pilihan O2.
Peringatan untuk OnePlus 8 Series, pastikan buat salinan partition /persist sebelum menukar firmware (seperti India ke International) kerana akan bagi masalah dekat pengimbas cap jari untuk daftarkan jari ampa.

Untuk model baru (OnePlus 6T sampai la yang terkini), nak masuk EDL Mode lain sikit – Sila matikan telefon
– Tekan butang volume bawah dan atas untuk masuk EDL Mode dan connect telefon dengan komputer.
– Klik kanan ambik run as administrator dekat msmdownloadtool tu.
– Tekan start untuk mulakan proses. Kalau kat sini sangkut, tekan butang power, volume atas dan bawah, kemudian akan masuk fastboot mode dan ambik power off (guna butang volume untuk pilihan dan butang power untuk pilih). Ulang balik proses atas ni, yang MSM Tool tu. (jangan biar lama, kalau tak tekan start, dia akan terkeluar dari EDL Mode)
– Bila proses dah siap, akan dengar bunyi disconnect dekat komputer dan telefon dah hidup sendiri (boleh cabut cable dah time ni)
– Telefon jadi macam baru keluar kilang, yang mana dah buka bootloader, jadi tutup. Ya, baru keluar kilang, kosong, standard pekak.

Lepas tu, boleh la sedut versi terkini OxygenOS sama ada Stabil kemaskini ja (lakukan pemasangan bersih, iaitu format data (TWRP) atau erase everything (stock recovery) atau ikut cara yang ampa selesa.

Untuk pertukaran model T-Mobile kepada firmware Global, boleh usya dan cuba pada pautan ni OnePlus 6T T-Mobile.

Kesimpulannya, pakai MSMDownloadTool ni merupakan pilihan yang terakhir setelah pelbagai cara tiada jalan penyelesaian. Kena ingat, selagi masalah perisian, boleh guna kaedah ini. Kecuali masalah perkakasan, itu kena rujuk yang pakar la.

Serta, status bootloader akan dikunci semula. (boleh la guna ni sebelum jual telefon) Kalau yang dah usik partition tu, molek benar la guna kaedah ini.

Kalau telefon takda masalah, sedut siap-siap benda alah ni. Mana la nak tau suatu hari nanti ada masalah perisian, ada penyelesaian. Boleh dikatakan ini persediaan situasi kecemasan.

Moga kaedah ini dapat menyelamatkan telefon ampa dalam masalah perisian.

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

Giliran CD Projekt Red Pula Digodam: Penggodam Tinggalkan Nota Ugutan

0

CD Projekt Red tidak habis lagi dengan kontroversi dan tumpuan kebencian menerusi pelancaran permainan video mereka baru-baru ini, Cyberpunk 2077. Tidak habis lagi dengan masalah Cyberpunk 2077, kini mereka berdepan lagi dengan masalah yang lebih serius, iaitu masalah penggodaman. Penggodam dikatakan telah berjaya memecah masuk ke sistem syarikat dan berjaya mencuri pelbagai dokumen penting dan maklumat dalaman termasuk emel, memo dan maklumat pemegang saham.

Bertindak balas dengan penggodaman ini, CD Projekt Red telah membuat ciapan di akaun Twitter rasmi mereka dan menceritakan tentang serangan ini beserta kandungan nota ugutan yang diterima mereka kepada awam.

 

Ciapan CD Projekt Red di akaun Twitter rasmi mereka.
Kenyataan media rasmi CD Projekt Red mengenai kejadian.
Nota ugutan yang ditinggalkan oleh penggodam.

Penggodam telah meminta CD Projekt Red akur kepada permintaan mereka. Setakat ini, tidak diketahui apa permintaan mereka. Namun, mereka memberi 48 jam untuk CD Projekt Red untuk menghubungi mereka.

Penggodam telah mendakwa akan mendedahkan maklumat sulit dan skandal dalaman syarikat kepada semua wartawan sekiranya CD Projekt Red tidak menuruti permintaan mereka. Penggodam juga mendakwa telah memiliki data daripada server dalaman termasuklah segala aset permainan video mereka yang masih belum dilancarkan, Witcher 3.

CD Projekt Red masih belum berjaya menentukan jumlah data yang terjejas setakat ini.

CD Projekt Red juga, dalam kenyataan balas tidak boleh memberi jaminan bahawa segala data pekerja mereka selamat. Akan tetapi, mereka bertegas untuk tidak akur kepada permintaan penggodam. CD Projekt Red juga memberi jaminan segala data dan savegame di dalam server tidak terjejas kerana berada di server yang berbeza daripada server yang digodam.

Kejadian ini juga menambahkan lagi persepsi buruk terhadap komuniti gaming secara keseluruhannya kerana komuniti dilihat gagal mengawal perasaan dan sifat fanatik mereka terhadap sebarang permasalahan di dalam permainan video. CD Projekt Red telah melancarkan permaianan video mereka secara pra-matang, namun ia bukan alasan untuk mana-mana individu melakukan jenayah terhadap mereka. Komuniti perlu sedar bahawa Cyberpunk 2077 adalah produk yang dihasilkan oleh sebuah syarikat yang memiliki ramai pekerja. Sebarang keputusan diambil oleh syarikat melalui jemaah pengurusan. Tindakan penggodam memperjudikan nasib para pekerja CD Projekt Red demi kepuasan diri sendiri adalah satu perbuatan yang tidak disenangi ramai.

 

 

Views: 1

Iklan Newspaper Inline