Wajarkah SKMM Sekat Penjualan Android Box di Malaysia?

Kecoh lagi kali ini berkenaan penggunaan android box di Malaysia. Setelah pengharaman android box di Singapura pada November 2018 yang lepas, banyak ura-ura dan laporan akhbar telah memberikan ganbaran yang sama terhadap pengharaman android box di Malaysia. Tambahan lagi, langkah pengharaman android box juga telah disokong rapat oleh para penggiat filem atas alasan android box telah menyebabkan penurunan kadar kutipan filem dan juga aktiviti cetak rompak yang berluasa. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula dilihat masih lagi samar-samar dalam pengharaman android box di Malaysia namun senada dengan para penggiat filem yang menekankan bahaya cetak rompak.

SKMM Dalam Membanteras Cetak Rompak

Pendirian SKMM dalam membanteras cetak rompak dan pencurian harta intelek adalah langkah yang tepat dan sesuai. Setelah mengambil kira permasalahan cetak rompak sejak sekian lama, SKMM kini dilihat lebih efisyen dalam membanteras cetak rompak terutamanya melibatkan kandungan filem dan telefilem televisyen yang telah dimuat naik secara haram di laman kongsi ataupun di simpanan awan dengan bantuan orang awam yang telah melaporkannya. Pelaksanaan akta cetak rompak juga jelas dijalankan antara contoh yang popular adalah di antara pihak Skop Production dan juga seorang individu yang telah berkongsi pautan cetak rompak filem Munafik 2 sedangkan filem Munafik 2 masih lagi dalam tempoh tayangan.

Di Mana Silapnya?

Dalam usaha membanteras cetak rompak SKMM seringkali dilihat secara sengaja atau tidak sengaja cuba mensinonimkan android box dengan kegiatan cetak rompak dan penstriman haram. Artikel rasmi di laman web SKMM juga dilihat celaru dan tidak tepat. SKMM dilihat masih lagi terkeliru di antara hardware dan software. Walhal, android box itu cuma sebuah peranti yang menjalankan sistem operasi android sama seperti telefon pintar android. Lihat contoh pada tangkap layar yang saya tunjukkan pada baris “aplikasi Android Box“, sepatutnya ditulis “aplikasi DI DALAM Android Box“. Begitu juga dengan penggunakan kata “setup box” untuk merujuk kepada “Android Box“. (Jika digunakan perkataan ‘dekoder‘ sekurang-kurangnya masih lagi boleh diterima).

Ini menyebabkan suatu kekeliruan di kalangan marhaen terutama sekali bagi yang masih rendah dalam literasi teknologi. Mereka yang masih lagi buta IT akan cepat menuduh dan anti kepada android box dengan membaca kenyataan demi kenyataan oleh SKMM dan ditambah pula dengan siaran media tangkapan penjualan dan pemilikan android box ini. Tidak pelik lah apabila ada pengusaha filem menyalahkan android box sebagai punca tontonan filem beliau rendah. Beliau secara terbuka mengatakan android box telah menyebabkan penonton menonton filem beliau secara haram lantas menyebabkan kutipan filem beliau merudum.

Iklan Google
Iklan Google

Hakikat Yang Sebenar

Sebetulnya, SKMM perlu memberi gambaran dan pendidikan yang sebenar mengenai android box memandangkan teknologi ini masih lagi boleh dikatakan baru. Walaupun HyppTV sudah lama berada di pasaran, namun terma dan pemahaman marhaen mengenai android box dan penstriman internet masih lagi rendah.  Dalam hal ini juga, kami di OMG! Hackers? turut sama berusaha memberi pendidikan dan membuat pengenalan tentang apa itu android box, cara penggunaannya dan langkah-langkah keselamatan yang perlu pengguna ambil dalam penggunaan android box.

Semakin ramai pengguna mula beralih kepada android box kerana mereka sudah muak dengan penyiar televisyen satelit tunggal di Malaysia yang menyajikan rancangan dan program sampah serta berulang-ulang. Tambahan pula, rancangan yang disajikan pula dipenuhi dengan iklan malah kadang-kadang melebihi daripada iklan siaran televisyen percuma. Sekiranya membayar langganan televisyen tetapi masih perlu menonton iklan, mengapa pelanggan masih perlu mambayar langganan? Rancangan pula berjadual dan seringkali penguna terlepas masa tontonan kerana pelbagai urusan seharian. Ini sangat memualkan.

Berbeza pula dengan android box yang menyediakan khidmat tontonan secara on-demand. Tontonan secara on-demand ini bermaksud pengguna boleh memilih apa yang ingin ditonton pada bila-bila masa sahaja yang dikehendaki. Tidak perlu lagi membuat jadual dan menunggu di hadapan tv untuk menonton rancangan kegemaran. Pengguna juga boleh memilih samada untuk membayar ataupun tidak perkhidmatan strim. Di YouTube contohnya, anda boleh memilih samada untuk membayar ataupun tidak kepada YouTube.

Sekiranya anda memilih untuk menonton secara percuma, maka anda akan menonton rancangan kegemaran anda tetapi disajikan juga dengan iklan secara berselang seli. Tetapi sekiranya anda membayar, akaun YouTube anda akan dinaiktaraf kepada YouTube Red dan anda boleh menonton semua rancangan tanpa gangguan iklan serta menikmati sebilangan besar koleksi video dan siri ekslusif YouTube Red. Kelebihan ini tidak terdapat pada pembekal tunggal siaran berbayar Malaysia. Bayar atau tidak bayar, anda tetap perlu menghadap iklan demi iklan sepanjang rancangan.

Apa Yang Saya Harapkan Daripada SKMM?

Dalam isu android box ini, saya berharap SKMM perlu kekal dalam peringkat mendidik sebelum melaksanakan hukuman tegas. Sepertimana langkah yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam hukuman denda merokok di restoran, begitu juga lah langkah yang patut diambil oleh SKMM. Bagaimana SKMM hendak mengambil tindakan terhadap pemilik android box sedangkan kefahaman masyarakat ramai malah pengguna sendiri pun masih lagi rendah?

Dalam tangkapan baru-baru ini juga, bagi saya lebih berkesan sekiranya SKMM menangkap dan mendenda penjual android box tersebut di atas kesalahan cetak rompak sekiranya ada. SKMM tidak pula mengesahkan samada android box tersebut telah diubah suai dan dipasang dengan aplikasi penstriman haram ataupun tidak. Bukankah denda melakukan cetak rompak itu lebih tinggi nilainya dan lebih serius berbanding dengan kesalahan menjual android box “tanpa stiker SKMM dan SIRIM“? Kekeliruan jelas dilihat di kalangan netizen rendah literasi IT dalam tindakan dan siaran media SKMM yang secara membuta tuli menyerang penjualan fizikal android box dan bukannya penggunaannya yang menyalahi undang-undang. Inilah yang dikatakan Marahkan Nyamuk Kelambu Dibakar, Lembu Punya Susu Sapi Dapat Nama, Seekor Kerbau Membawa Lumpur Habis Semua Terpalit.

 

Masih ramai lagi yang keliru di antara penggunaan dan salah guna.

Kesimpulannya…

Memandangkan kita sudah bersetuju untuk mengatakan bahawa punca permasalahan adalah software dan bukannya hardware, segala-gala cakap-cakap dan ugutan mengenai pengharaman android box adalah tidak relevan lagi. Seperti yang telah saya katakan di atas, kita sudah pun sedia ada akta untuk memerangi malah memenjarakan pesalah laku lanun cetak rompak, maka teruskan lah sahaja. Hapuskan salah guna, bukan penggunaan. Sekiranya SKMM mampu dan ada daya untuk menghalang laman web porno dan kandungan berunsur hasutan, mengapa tidak pada laman web dan kandungan cetak rompak?

Iklan Google
Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di mm@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

1 komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img