A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at arya@omghackers.com

TWS sudah menjadi buah mulut masyarakat siber atau netizen sejak ia dilancarkan. Ramai memilih untuk menggunakan fon kepala berwayar kerana ia memberikan bunyi yang lebih baik.

Inilah dia cabaran yang perlu dihadapi bagi pengeluar TWS kerana terdapat penanda aras yang tinggi dari kebanyakan fon kepala/telinga berwayar.

Dikatakan codec aptX™ dapat memenuhi keperluan terhadap bunyi berkualiti tinggi bagi peranti Bluetooth. Maka berbondong-bondonglah syarikat berebut dalam mengeluarkan produk sendiri berteraskan codec itu.

Tronsmart tidak mahu terkecuali dan ketinggalan apabila mereka melancarkan produk terbaru iaitu Spunky Beat.

Sebelum ini saya telah menggunakan Spunky Pro yang mengguna pakai codec AAC. Ianya memuaskan, berharga mampu milik, dan mempunyai kualiti binaan akhir yang begitu baik sekali.

Tetapi apabila saya cuba sahaja Spunky Beat buat pertama kali, saya terdiam sebentar.

Ini adalah apa yang dapat saya catatkan sepanjang penggunaan saya beberapa hari ini.

Tapi sebelum kita teruskan, seperti biasa ada eloknya kita buat buka kotak dulu.

Apa yang ada dalam kotaknya?

1x Spunky Beat.
1x Paket silikon penutup telinga (ada dua saiz berbeza di dalamnya).
1x Manual panduan pengguna.
1x Kad waranti.
1x Kabel pengecas USB-C.
1x Bekas penyimpanan yang juga berfungsi sebagai bekas pengecas.

Anda boleh lihat gambar-gambar yang saya ambil di bawah untuk mendapat gambaran apa yang ada dalam pakej.

Jadi, macam mana kualitinya, dari segi binaan akhir dan bunyi?

Tronsmart menggunakan Cip Bluetooth Qualcomm untuk Spunky Beat, yang seperti disebutkan di atas, mempunyai codec aptX bagi menghasilkan kualiti bunyi berdefinisi ‘studio’.

Apakah senarai main yang saya gunakan dalam penilaian?

Lio – I Wonder
Method Man & Snoop Dogg – Eastside feat. iNTeLL
Machine Gun Kelly – Hollywood Whore
Coolio – Gangsta’s Paradise
Too Phat – Just A Lil’ Bit
I Prevail – Come And Get It
Dissection – Thorns of Crimson Death
Like A Storm – Love the Way You Hate Me
Slipknot – Orphan
From the Twisted Mind of Arya Putra (senarai main saya).

Apa yang boleh saya rumuskan?

Saya cuba simpulkan melalui tiga pecahan frekuensi bunyi. Sebenarnya terdapat 7 tahap frekuensi audio, iaitu Sub-bass > Bass > Low midrange > Midrange > Upper midrange > Presence > Brilliance.

Tetapi saya hanya ambil tiga sahaja iaitu rendah (low), pertengahan (mid), serta tinggi (upper/high). Anda boleh rujuk ulasan QCY T2C untuk mengetahui apa itu frekuensi rendah, pertengahan, dan tinggi itu.

Frekuensi Rendah

Saya amat menyukai bunyi di frekuensi ini. Ianya tidak menenggelamkan bunyi penting dari frekuensi pertengahan, sebaliknya ada karakter tersendiri yang memisahkan identitinya. Contohnya lagu Lio – I Wonder, bass kedengaran begitu jelas sekali, menonjolkan karakter lagu tersebut yang sememangnya punyai bunyi bass tebal, namun bunyi drum tidak tenggelam bahkan setiap ketukan amat jelas, diiringi vokal Lio yang merdu, memeriahkan lagi lagu tersebut.

Frekuensi Pertengahan

Inilah frekuensi yang menjadi kekuatan Spunky Beat. Saya mendengar Killswitch Engage – The Signal Fire, bunyi gitar utama dilapis oleh gitar rhythm dan gitar bass, tidak terdengar terlalu kasar dan bingit. Namun, terdapat juga kelemahan di beberapa tempat yang barangkali menjadi kontra kepada kekuatannya ini. Contoh di lagu Parasite Inc – The Pulse of the Dead, bunyi bass (hanya tekaan saya, kerana tak pasti apakah alat muzik tersebut. Boleh jadi juga ia adalah keyboard piano. Tetapi ahli band ini tiada pemain keyboard piano pula) tidak begitu kuat bunyinya.

Frekuensi Tinggi

Bunyi-bunyian di frekuensi ini agak ‘bersih’, dan memenuhi lagu dengan lapisan bunyi yang tidak menyakitkan telinga. Anda boleh cuba dengar sendiri lagu dari Soilwork iaitu As We Speak. Bunyi cymbal adalah sedap didengari.

Jangka Hayat Bateri

Setiap satu earbud mempunyai bateri berkapasiti 35mAh, manakala bekas pengecasnya pula berkapasiti 350mAh. Tronsmart menjanjikan masa main selama 7 jam pada tahap suara/bunyi 50%. Dari ujian penggunaan yang saya lakukan, saya sentiasa gunakan ia melebihi 50%, tetapi setakat ini ia berjaya melepasi 3 jam. Jika ditambah dengan sandaran kuasa dari bekas pengecas, boleh mengulang dengar sehingga 24 jam.

Oleh itu, masa main yang ditawarkan Spunky Beat ini tidak perlu dibimbangi pengguna. Terbukti cip Qualcomm jimat/hemat dalam hal penggunaan bateri.

Ia boleh dicaj melalui port USB-C, ataupun menggunakan kabel yang bersambung dengan USB-A (rujuk gambar di atas).

Konklusi

Adakah ini jawapan kepada audiophile, bagi mendapatkan peranti fon telinga Bluetooth TWS yang mampu memberikan eargasm? Saya tidak mahu menjawab bagi pihak anda, tetapi saya rasa untuk diri saya sendiri, tak perlu tercari-cari lagi TWS lain.

Cukuplah Spunky Beat menemani saya dalam bilik mesyuarat sewaktu saya sudah bosan mendengar perbincangan orang lain yang tidak melibatkan diri saya. Harganya tak terlalu mahal seperti model dari Sennheiser atau Beyerdynamic, tetapi kualiti bunyinya mampu bersaing, bahkan memuaskan hati.

Tronsmart Spunky Beat Earbuds boleh dibeli di platform Shopee dan Lazada pada pautan di bawah:

Shopee:http://bit.ly/SpunkyBeat-SP
Lazada:http://bit.ly/SpunkyBeat-LZM