QCY T2C: TWS Bajet Untuk Penggemar Muzik

Teknologi Bluetooth semakin berkembang maju. Masih saya teringat suatu waktu dahulu, saya menggunakan Beyerdynamic Byron BT Wireless, dengan aptX codec. Meskipun ia satu produk premium, saya masih agak keberatan hendak mengesyorkannya kerana kualiti bunyi yang dikeluarkan belum ‘sampai’ ke tahap yang saya sendiri ingini.

Begitu cepat masa berlalu, hingga kini kita berada dalam lambakan produk-produk True Wireless Stereo atau TWS. Dari yang mahal hinggalah ke lingkungan murah atau bajet, pengguna dapat memilih mana-mana yang mereka rasa sesuai dengan diri.

QCY merupakan satu jenama yang bermula sejak dari tahun 2009 lagi. Produk-produk mereka sudah banyak, dan ia meliputi dari TWS, Mono, Portable Sports, dan beberapa aksesori bagi peminat.

Kalau dilihat dari profil, mereka sememangnya mengkhusus kepada gajet Bluetooth berkualiti bagi mendengar muzik dan lain-lain aktiviti. Teknologi audio tanpa wayar menjadi teraju dalam setiap produk yang dihasilkan.

Dalam artikel ini, kita akan cuba meneliti salah satu dari rangkaian produk mereka iaitu QCY T2C.

Saya tertarik untuk mendapatkannya selepas salah seorang dari admin kami mengesyor kepada saya kerana beliau tahu saya amat meminati muzik dan mendengar lagu. Saya membelinya tanpa meletakkan sebarang harapan tinggi kerana yang pertama harganya murah (RM64.90), dan keduanya ini merupakan produk pertama dari QCY yang saya miliki.

*Gambar muka depan kredit: WikiVersus.

Beginilah rupa kotaknya, sebaik ia sampai di meja saya.

Buka Kotak

Apa yang ada dalam kotaknya?

1x Bekas tempat penyimpanan yang juga berfungsi sebagai pengecas/power bank QCY T2C.
1x QCY T2C.
1x Manual pengguna.
1x Wayar microUSB 2.0.
1x Set penutup telinga silikon (dua saiz berbeza dari yang tersedia).

Rasa puas juga apabila buka kotak dan lihat set seperti ini.

 

Wayar pengecas microUSB 2.0 dan set penutup telinga.

Kepenggunaan

Setiap satunya boleh berfungsi seperti berikut:

Main/jeda: Tekan sekali.
Hidupkan QCY T2C: Tekan dan tahan selama 1 saat.
Matikan QCY T2C: Tekan dan tahan selama 3 saat.
Aktifkan pembantu maya: Tekan dan tahan selama 1 saat semasa tidak mendengar lagu atau membuat panggilan.

Manakala untuk fungsi lain,

Dengar lagu sebelumnya: Tekan dua kali pada butang di sebelah kiri.
Langkau lagu: Tekan dua kali pada butang di sebelah kanan.

Ia juga boleh digunakan untuk penggunaan panggilan telefon, contohnya:

Jawab panggilan: Tekan sekali.
Buat panggilan semula: Tekan dua kali pada butang tengah.
Senyapkan panggilan: Tekan dua kali.
Semasa panggilan masuk, tolak panggilan: Tekan dan tahan selama 1 saat.

Seperti yang anda boleh lihat pada gambar di atas, itu adalah bekas pengecasnya. Terdapat dua lampu LED yang akan menyala apabila dicas.

Pada unit QCY T2C juga ada lampu LED yang akan bernyala untuk status berbeza contohnya mode berpasangan, status dihidupkan, status pematian, dan sebagainya lagi.

Jangka Hayat Bateri

Spesifikasi kapasiti bateri bagi setiap unit ialah 43mAh. Manakala untuk bekas pengecasnya pula ialah 800mAh.

Jika dirujuk kepada anggaran masa main, QCY T2C dikatakan dapat bertahan sehingga 4 jam untuk setiap satu, manakala waktu bersedia pula adalah sehingga 120 jam.

Saya sendiri masih belum sempat hendak cuba berapa lama ia mampu bertahan untuk masa mainnya. Setiap kali penggunaan, lebih kurang sejam, bateri masih berbaki lebih dari separuh.

Kemudian, saya akan tempatkan ia semula ke dalam bekasnya. Ia akan mengecaj sekiranya perlu, oleh itu sebaik dimasukkan, sudah semestinya unit-unit tersebut akan dicaj hingga penuh.

Bekas pengecas tersebut boleh dicas menggunakan port USB mikro di belakangnya. Tempoh pengecasan lebih kurang 2 jam.

Kualiti Bunyi

Tujuan utama saya membelinya tidak lain tidak bukan, adalah kerana hendak mendengar lagu. Tidak munasabah pula dan tidak lengkap sekiranya saya tidak menulis tentang kualiti audio.

QCY T2C mengguna pakai codec audio AAC yang popular pagi para pengguna Apple. Codec ini lebih dikenali sebagai ‘power hungry codec’ bagi peranti Android. Bagaimanapun, dari saya membiarkan sistem operasi memilih codec SBC, saya sendiri mengaktifkan AAC bagi mendapatkan kualiti bunyi lebih baik.

Set lagu ujian saya adalah seperti berikut:

Slipknot – Album penuh We Are Not Your Kind.
Cannibal Corpse – Album penuh The Wretched Spawn.
Floor 88 – Hutang.
Yuna – Forevermore.
Lio – I Wonder.
Michael Jackson – Top Tracks.
I Prevail – This Is I Prevail (Senarai Main).
Machine Gun Kelly – Album penuh Hotel Diablo.
Eminem – Album penuh Recovery.
GAWNE (Luke Gawne) – Album penuh Wings.
Cromok – Album penuh Forever In Time dan Image Of Purity.

Berikut pula adalah apa yang saya dapat simpulkan melalui kedua telinga saya:

Frekuensi Rendah

Ini merupakan frekuensi di mana bunyi yang ‘dalam’ kedengaran. Pada frekuensi ini, bunyi bass agak bagus. Contohnya lagu Eminem – Talkin’ 2 Myself, ada pukulan bass yang terasa di telinga.

Pada saya bunyi bassnya tidak terlalu berdentum, tetapi ianya ‘cukup’ dan memuaskan. Apa yang dikeluarkan oleh QCY T2C bagi frekuensi rendah ini tidak mengaburi talaan yang lain.

Bass terasa lebih ‘punchy’ pada lagu Luke Gawne – 708. Asyik sungguh dibuatnya.

Frekuensi Pertengahan

Di frekuensi ini, yang dapat dijelaskan secara ringkas ialah bunyi yang merujuk kepada asas pembentukan lagu seperti instrumen, vokal (lelaki) dan lain sebagainya.

Secara mudah faham, di sinilah segala yang membentuk muzik atau lagu ada padanya. Anda tidak akan mendengar lagu jika yang keluar semata-mata bunyi bass atau suara perempuan ‘menjerit’ bukan?.

Pada sesetengah keadaan, QCY T2C dapat menonjolkan bunyi yang saya ingin dengar, sepertimana saya dengari dari zaman Walkman dahulu.

Tetapi adakalanya ia ‘tidak mampu’ mengeluarkan bunyi gitar seperti sepatutnya. Saya beri contoh lagu Floor 88 – Hutang, pada intronya terdapat bunyi gitar yang mana tidak kedengaran ‘garang’.

Apabila saya beralih ke (antara) lagu Cromok kegemaran saya iaitu Misty dan Journey, saya cuba mencari bunyi ‘tersembunyi’ yang hanya dapat didengari jika anda betul-betul mencuba.

Agak terperanjat juga kerana ada beberapa ‘notes’ dapat saya dengar dengan jelas. Ada juga yang masih ‘tersembunyi’, dan pada saya ini bukan kesalahan QCY T2C, sebaliknya lebih kepada kejuruteraan semula lagu-lagu tersebut yang diolah dan disunting mengikut zaman.

Frekuensi Tinggi

Di sini bunyi-bunyian treble mewarnai lagu agar ia kedengaran lebih berkarakter dan tidak terlalu kosong.

Bunyinya bagus secara keseluruhan. Agak seimbang, dan berkualiti ‘bersih’ dengan jasa noise reduction.

Lagu Cromok – Memories dapat menjelaskan hal ini secara terperinci. Bagi sesiapa yang sudah biasa mendengar melalui Walkman/pemain kaset, pasti tahu apa yang saya cuba sampaikan. Manakala bagi anda yang tidak faham, cukup sekadar anda tahu bunyian di frekuensi ini tidak menyakitkan hati apabila terlalu nyaring dan ‘kotor’.

Untuk pengetahuan anda, saya tidak menggunakan sebarang equalizer, DAC luaran, dan lain-lain alat. Saya hanya menggunakan Mi 9T, dan QCY T2C, sama seperti mana zaman saya mendengar lagu menggunakan pemain kaset dahulu.

Hanya ada kaset – dan pemainnya. Itu pun sudah cukup membuatkan saya tidak keluar dari bilik kerana ‘ralit’ dengan lagu.

Perkara yang saya harap dapat dibuat pada TWS ini ialah alangkah bagus kiranya kelantangan bunyi dapat dinaikkan lagi. Terasa seakan belum cukup tinggi lagi kelantangan yang diperlukan oleh kedua telinga saya. Pada kebanyakan orang mungkin sudah mencukupi, kerana apa yang perlahan pada saya, barangkali sudah kuat pada orang lain.

Konklusi

Adakah QCY T2C sesuai buat golongan audiophile?

Jawapan saya mungkin tidak, jika anda mahukan tahap kelantangan yang lebih sedikit dari apa yang akan anda dengar pada TWS ini. Anda boleh panggil saya pekak badak (dan comel), tapi saya juga boleh gelar anda bukan pendengar muzik sejati.

Pun begitu, ia tidak bererti QCY T2C ini lemah. Pada beberapa genre, ia punyai kekuatan tersendiri. Metalhead seperti saya barangkali perlukan audio lantang untuk headbanging, tetapi dengan bantuan penalaan dari equalizer, kekurangan ini mungkin dapat diatasi.

Kalau anda gemar mendengar lagu, saya boleh syorkan TWS bajet ini kepada anda.

QCY T2C boleh dibeli pada platform Shopee atau Lazada. Belilah dari mana-mana platform yang anda biasa gunakan. Julat harga lebih kurang RM65-70 sahaja.

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

2 Comments

Apa pendapat anda?

2 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
2
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x