Setelah Sekian Lama, Netflix Malaysia Akhirnya Akur Dengan Permintaan Ramai
Netflix adalah salah satu servis penstriman video atas talian yang mula popular di seluruh dunia dan Malaysia khasnya. Syarikat yang besar juga tidak ketinggalan untuk memiliki akaun media sosial mereka sendiri dalam usaha meningkatkan capaian di antara syarikat dan pengguna.
Akaun Twitter Rasmi Netflix Jepun.
Lazimnya, akaun media sosial ini akan berbahasa dan berkomunikasi dalam bahasa dan lenggok bahasa yang santai dan mudah difahami masyarakat sasar setempat. Hal ini dapat dilihat pada akaun Netflix Indonesia contohnya. Ciapan di akaun berkenaan kadangkala nakal, melucukan, dan juga berinformasi dalam gaya bahasa seolah-olah ditulis oleh warga Indonesia urban itu sendiri.
Akaun Twitter Rasmi Netflix Indonesia membuat ciapan dalam Bahasa Indonesia.
Lain pula halnya pada akaun Twitter Netflix Malaysia yang hanya menulis dalam Bahasa Inggeris. Ini menjadikan setiap ciapan dari akaun berkenaan tiada jiwa. Sombong dan bernada angkuh. Tiada wajah dan perencah tempatan. Ia datang sebagai servis yang asing dan mahu kekal berwajah asing.
Ciapan-ciapan Netflix Malaysia di akaun Twitter rasmi mereka hanya dalam Bahasa Inggeris.
Bertahun juga usaha menggesa agar akaun berkenaan membuat ciapan dalam Bahasa Kebangsaan tapi gagal. Mujurlah, setelah tular semula baru-baru ini, akhirnya mereka akur. Ini adalah perkembangan yang baik. Di samping meningkatkan imej korporat di mata warga tempatan, ia juga sebagai tanda penghormatan kepada lokasi bisnes mereka.
Antara ciapan terawal mereka dalam Bahasa Melayu. Akhirnya.
Saya secara peribadi mahukan servis dan perkhidmatan asing membawa budaya baik mereka ke sini sambil menjunjung tinggi tata dan tertib budaya tempatan. Jika anda sebagai seorang yang asing, datang berdagang ke tempat yang asing, janganlah menjadi asing di tanah orang. Sebaliknya, belajar mengikut resam tempatan. Janganlah menjadi orang asing yang sombong. Jadilah simbiosis, bukan parasit mahupun virus. Masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak.
Beberapa dekad yang lalu, encik Tim Berners-Lee, mengasaskan sesuatu yang dinamai sebagai World Wide Web, iaitu suatu rangka piawaian mudah namun kuat, untuk mencari, menghubung, dan mempersembahkan dokumen multimedia secara dalam talian.
Kini, umurnya sudah mencecah 65 tahun.
Padanya, dunia dalam talian sudah begitu tersasar dari matlamat asal. Terlalu banyak kuasa, dan terlalu banyak maklumat atau data peribadi berada dalam syarikat gergasi teknologi seperti Google dan Facebook. Didorong oleh sejumlah besar data, katanya, mereka (Google, Facebook) telah menjadi platform pemantauan manusia dan penjaga inovasi.
Dalam usaha untuk menyelamatkan ciptaannya, Berners-Lee merancang satu plan bagi mengembalikan internet ke zaman kegemilangannya yang ada – iaitu sebelum zaman pengambilan data invasif oleh golongan pemerintah dan perusahaan.
Berners-Lee mengambil pendekatan yang berbeza: jawapan terhadap masalah tersebut adalah teknologi yang memberi kekuatan lebih kepada individu. Tujuannya, adalah bergerak menuju “web yang saya mahukan sejak dari mula.”
Berners-Lee tidak hanya menyokong kedaulatan data, bahkan beliau membangunkan teknologi untuk mendukungnya. Baru-baru ini beliau menubuhkan Inrupt, sebuah syarikat dengan tujuan yang jelas untuk menuju ke arah jenis web di seluruh dunia – yang pada awal dibayangkan sepertimana oleh penciptanya.
Inrupt merancang untuk melakukannya melalui sistem baru yang dipanggil ‘pods‘ – iaitu stor data dalam talian peribadi (personal online data stores).
Pod berfungsi seperti peti besi data peribadi. Dengan menyimpan data dalam kumpulan, individu mengekalkan pemilikan dan kawalan data mereka sendiri, dan bukannya memindahkan ia ke platform digital. Di bawah sistem ini, syarikat boleh meminta akses ke pod individu, dengan menawarkan perkhidmatan tertentu sebagai balasan, tetapi mereka tidak dapat mengekstrak atau menjual data tersebut.
Syarikat dapat memperoleh akses ke data seseorang, dengan izin pemiliknya, melalui pautan (yang dienkrip) untuk tugas tertentu seperti memproses permohonan pinjaman atau menyampaikan iklan yang diperibadikan. Mereka boleh memaut dan menggunakan maklumat peribadi secara selektif, tetapi tidak dapat menyimpannya.
Selama bertahun-tahun, syarikat yang fokus untuk melindungi privasi pengguna dalam talian telah datang dan pergi. Perisian seperti ini sering terbatas dan kekok untuk digunakan, hanya menarik bagi orang yang paling sedar akan privasi. Tetapi teknologi telah menjadi lebih cepat dan lebih pintar – dan tekanan terhadap syarikat teknologi besar semakin meningkat.
Idea kedaulatan data berakar pada tuntutan masyarakat pribumi dunia, yang memanfaatkan konsep untuk melindungi harta intelek warisan budaya mereka.
Diterapkan kepada semua pengguna web, kedaulatan data bermaksud memberikan individu sepenuhnya autoriti atas data peribadinya. Ini termasuk penentuan sendiri elemen mana dari data peribadi yang diizinkan oleh pengguna untuk dikumpulkan, dan bagaimana mereka membenarkannya dianalisis, disimpan, dimiliki dan digunakan.
Ini akan sangat bertentangan dengan amalan data semasa yang menyokong model perniagaan teknologi besar. Amalan ‘pengekstrakan data’, misalnya, merujuk kepada maklumat peribadi yang diambil dari orang yang melayari web tanpa persetujuan yang bermakna, atau pampasan yang adil. Ini bergantung pada model di mana data anda tidak dianggap sebagai milik anda.
Para sarjana berpendapat bahawa pengekstrakan data, digabungkan dengan ‘kesan rangkaian’, telah menyebabkan pengajaran monopoli. Kesan rangkaian dilihat apabila platform menjadi dominan, mendorong lebih banyak pengguna bergabung lalu menggunakannya.
Ini membolehkan platform dominan lebih banyak kemungkinan untuk mengekstrak data, yang mereka gunakan kononnya bagi menghasilkan perkhidmatan yang lebih baik. Sebaliknya, perkhidmatan yang lebih baik ini menarik lebih ramai pengguna. Hal ini cenderung untuk memperkuat kekuatan (dan ukuran pangkalan data) firma dominan dengan mengorbankan syarikat lebih kecil.
Kecenderungan monopolisasi ini menjelaskan mengapa pengekstrakan data dan landskap pemilikan didominasi oleh apa yang disebut GAFAM – Google, Apple, Facebook, Amazon dan Microsoft – di AS dan apa yang disebut BAT – Baidu, Alibaba dan Tencent – di China. Selain syarikat, pemerintah juga memiliki kekuatan monopoli terhadap data warga negaranya.
‘Kedaulatan data’ telah diusulkan sebagai cara yang menjanjikan untuk membalik kecenderungan monopoli. Ini adalah idea yang dilancarkan di pinggir perdebatan internet untuk beberapa waktu, tetapi sokongannya oleh Tim Berners-Lee bermaksud ia akan mendapat perhatian yang jauh lebih besar.
Salah satu kritikan terhadap idea pod ini adalah bahawa ia mendekati data sebagai komoditi. Konsep ‘pasar data’ telah diperdebatkan, misalnya sebagai sistem yang memungkinkan perusahaan membuat pembayaran mikro sebagai pertukaran data pengguna. Kekurangan asas sistem seperti itu adalah bahawa data tidak bernilai ketika dibeli dan dijual sendiri – nilai data hanya muncul dari agregasi dan analisis, yang diperoleh melalui kesan rangkaian tersebut.
Alternatif untuk komodifikasi data mungkin terletak pada mengkategorikan data sebagai kategori ‘umum’. Idea ‘umum’ ini pertama kali dipopularkan oleh karya ahli ekonomi politik dan pemenang Hadiah Nobel, Elinor Ostrom.
Pendekatan kategori umum terhadap data akan menganggapnya dimiliki bukan oleh individu atau syarikat, tetapi sebagai sesuatu yang dimiliki oleh masyarakat. Data sebagai kategori umum adalah idea yang dapat membuka nilai data sebagai barang terbuka, menjaga kepemilikannya di tangan masyarakat.
Campur tangan Tim Berners-Lee dalam perbahasan mengenai nasib internet adalah satu perkembangan yang dialu-alukan. Kerajaan dan masyarakat akan menyedari bahawa dominasi digital yang didorong oleh teknologi besar adalah tidak sihat bagi masyarakat. Pod mewakili satu jawapan di antara banyak persoalan mengenai bagaimana kita harus bertindak balas ke atas isu data peribadi.
Saya sudah pun merasa model T1 Plus. Mungkin model itu bukan untuk halwa telinga saya, kerana bunyinya agak sedikit ‘tajam’ menikam gegendang. Kali ini saya ingin mengulas mengenai T2 Plus pula. Model ini ialah satu bentuk naik taraf atau pengganti dari model sebelumnya iaitu T2 dan T2 Pro, sepertimana yang dinyatakan di laman web Linsoul:
“An upgraded 10mm NanoPure nickel-zinc alloy dynamic driver
Tuned to refine the sound characteristics of its predecessors,
Extends its linear bass response even below 10Hz
Using the same aluminum alloy.”
Sebelum kita mulakan, seperti biasa kita layan dulu video buka kotaknya, dan seperti biasa juga jangan lupa tekan butang subscribe sekiranya belum ya.
Apa Dalam Kotak?
1 unit TINHiFi T2 Plus.
10 pasang silikon telinga (tidak termasuk yang ada pada T2 Plus).
1 pasang eartips (seakan memory foam).
1 manual panduan pengguna.
1 kad informasi.
Saya faham antara kita semua, selera telinga kita tidak sama. Tetapi untuk satu produk berkualiti, saya boleh katakan standardnya menjadi sama. Justeru saya menyeru meskipun genre muzik yang kita layan tidak semestinya perlu global, hasil akhir dalam penilaian ada kemungkinan besar perasaan kita selari.
Bass
Seperti dijangka, tidak sama macam model adiknya T1 Plus, tuning atau penalaan bunyi T2 Plus adalah berbunyi natural. Oleh yang demikian, bass pada T2 Plus kedengaran cukup untuk pelbagai jenis genre dari Hip-Hop, R&B, hinggalah kepada metal.
Ia tidaklah ber-bass begitu ‘punchy’ sehingga menenggelamkan unsur alat muzik lain, dan dengan sedikit talaan equalizer, saya rasa ‘basshead’ boleh menikmati dentuman bass yang lebih mendalam.
Saya menilai menggunakan beberapa lagu Hip-Hop dan lagu cinta tahun 90an yang biasa dilayan untuk tujuan penilaian seperti Method Man – Episode 2 – Eastside (feat. Intell & Snoop Dogg). Senarai main yang sama juga saya gunakan untuk menilai bahagian vokal. Berikut ialah senarai main saya – Everlasting Love Songs:
Bahagian Mid/Vokal
Bila mendengar lagu cinta lama zaman 90an ini, terasa sungguh nilai seni yang semakin menghilang. Saya tak tahulah pandangan anda, tetapi lagu zaman itu memberi lebih banyak ‘perasaan’ yang dapat dirasa berbanding lagu sekarang.
Dalam lagu Girlfriend oleh NSYNC, vokal lelaki dapat didengar dengan jelas sekali, dan saya ingin perkatakan juga tentang ketukan drum yang amat jitu kedengaran. Kalau ditinggikan sedikit lagi laras suara, mungkin saya akan pekak kedua belah telinga apabila runcingnya bunyi drum itu memasuki kawasan gegendang.
Ya, ‘lazat’ sekali bunyinya. Masuk saja lagu Gotta Tell You oleh Samantha Mumba, badan ingin bergerak menarik seiring lagu. Setiap instrumen adalah seimbang, dan kadar kejelasan amat bagus tanpa menyebabkan bunyi menjadi tajam seperti T1 Plus.
Treble
Untuk menguji high dan treble, saya membuka senarai main lain, iaitu The Best of Cromok:
Seperti yang saya katakan, kualiti bunyi T2 Plus ialah seimbang, tidak terlalu tajam, tidak pula terlalu tumpul. Lagu Farewell, memperdengarkan kualiti bunyi gitar yang dapat dinikmati apabila tiada lagi audio berprofil v-shape ditalakan pada pemacu.
Kadar ketinggian treble tidak akan menyebabkan anda terasa ‘penat’ mendengar kerana ia tidak berbunyi tajam mahupun runcing. Anda boleh melayan lagu metal 24 jam seperti anda melayan lagu R&B.
Saya ingin memetik tentang pengasingan bunyi yang boleh dikatakan antara kekuatan T2 Plus. Intrumen gitar, drum, vokal, dan sebagai lagi diadun ke dalam profil dengan sempurna, seakan kualiti studio mini di rumah.
Konklusi
Dengan julat harga di bawah RM200, IEM ini menjadi pilihan saya dalam aktiviti seharian. Saya menjadikan T2 Plus sebagai medium audio utama untuk mendengar lagu dan menyunting video.
Kalau anda inginkan satu IEM yang masih lagi mampu milik dan memberi lebih pulangan wang dengan nilai, T2 Plus ialah jawapannya. Soal wang ialah subjektif, namun untuk kualiti, adakalanya wang dapat membeli kualiti diinginkan.
Tak perlu berbelanja lebih tinggi dalam cita-cita anda memperolehi IEM impian. Saya sedar, tak perlu berbicara panjang bagi menyampaikan apa yang saya rasa. Paling penting di sini, ialah apa yang anda sendiri akan rasai.
Jalan cerita filem ini agak menarik pada saya, kerana kebiasaannya apabila sesuatu cerita itu melibatkan dunia yang hampir musnah, pasti saja ia akan melibatkan robot atau kecerdasan buatan yang menjadi ‘jahat’ kerana manusia. Namun tidak begitu dengan Space Sweepers.
Plot penceritaan tiadalah apa yang luar biasa, atau tidak ada sesuatu yang anda belum pernah tonton, cuma saya suka beberapa perincian yang diubah supaya menampakkan perbezaan filem ini dengan yang lain.
Pada awalnya, ia mengisahkan planet bumi yang terlalu uzur, tidak betah untuk didiami lagi. Kebanyakan manusia mula mendiami kawasan satelit. Namun, orbit bumi terlalu penuh dengan sampah ruang angkasa sehingga industri baru muncul. ‘Space Sweepers’ ialah pekerja di kawasan ruang angkasa, yang akan mencari sampah peninggalan penduduk bumi untuk dijual semula.
Mereka ini hidup susah, perlu berlumba-lumba mencari barangan berharga untuk kelangsungan hidup. Kadangkala berlaku ‘pergaduhan’ dengan kru kapal angkasa lain kerana berebutkan barang.
Sewaktu mereka membuat ‘kerja’, mereka menemui bangkai kapal angkasa mengandungi sebuah barang berbahaya yang berharga iaitu bom hidrogen. Akan tetapi, ia tidak seperti bom lain, kerana ia berbentuk seorang manusia dalam rupa kanak-kanak perempuan.
Tae-ho (Song Joon-ki), mencadangkan kepada kru kapal angkasa Victory untuk menjual sahaja bom tersebut kepada pihak yang berminat. Dalam perjalanan mereka hendak menjualnya, mereka menemui pelbagai bentuk halangan hingga beberapa nyawa terkorban.
Berulang kali kita disajikan dengan filem seperti ini, tetapi berapa banyak yang membawa tajuk atau isu sampah sarap di ruang angkasa, dan para kru yang membuat kerja sebagai ‘tukang cuci’ untuk rungan tersebut.
Tidak lupa juga beberapa elemen menarik seperti alat penterjemah yang dipakai di telinga, di mana ia akan menerjemah secara automatik kepada bahasa dituturkan oleh di pemakai. Kemudian, elemen hidup abadi menggunakan nanobots, dan pelbagai lagi perkara boleh dilakukan dengan unsur itu.
Di planet Eden, iaitu satu penempatan diasaskan oleh James Sullivan, hanya menempatkan mereka yang ‘terpilih’ sahaja, tetapi tidak pula diperincikan bagaimanakah pemilihan itu berlaku, dan apakah pula kriteria manusia yang dipilih untuk mendiami ‘syurga buatan’ itu.
Ada yang tertanya-tanya sekiranya Eden mempunyai teknologi cukup canggih hingga membolehkan manusia hidup di luar bumi, mengapakah teknologi sama tidak digunakan untuk ‘memperbaiki’ bumi, ataupun mengambil seramai mungkin manusia bagi menjadi penduduk baharu di Eden?
Di sini, kita dapat lihat apabila sesuatu agenda itu dimulakan oleh para ilmuan, pengakhiran agenda pastinya untuk segenap umat. Tetapi apabila ia dimulakan oleh seorang ahli korporat berfikiran kurang siuman, pastinya tidak ada kebaikan buat manusia sejagat.
Hanya selepas satu jam berita laman rasmi kerajaan negeri Kelantan dicerobohi, laman itu telah diserang oleh pasukan lain. Pasukan kedua ini tiada kaitan dengan Malaysia Darknet ataupun MCA.
Pasukan kedua ini telah memuat naik hantaran baru di laman rasmi kerajaan negeri Kelantan dengan mesej PWND. Kami tidak sempat membuat tangkap layar mesej yang telah dimuat naik tetapi sisa cache pada hantaran baru tersebut masih ada. Hantaran telah dibuat di URL https://www.kelantan.gov.my/index.php/mediasuk/berita-terkini/514-pwnd
Menurut pemberi maklumat kami, exploit yang dilakukan oleh pasukan kedua tersebut tidak boleh memberikan mereka akses kepada database laman rasmi kerajaan negeri Kelantan. Sebaliknya, exploit tersebut membolehkan mereka membuat hantaran baru di laman rasmi tersebut. Akan tetapi, exploit yang dilakukan oleh Malaysia Darknet membolehkan Malaysia Darknet mengakses database pada laman rasmi itu.
Ini bermakna, menurut pemberi maklumat kami yang dilihat seolah-olah mempunyai pengalaman sebagai pentester itu, laman rasmi kerajaan negeri Kelantan mempunya dua direktori yang boleh dieksploit dan mudah terdedah terhadap serangan.
Setakat ini, pengendali asal laman rasmi kerajaan negeri Kelantan sudah mendapatkan semula akses mereka dan semua muat naik asing termasuklah logo Malaysia Darknet dan logo MCA di laman itu juga telah dibuang.
Hantaran PWND telah memberikan 404.Logo MCA 404.Logo MD 404.
Diharapkan agar semua pengendali laman rasmi kerajaan boleh mula mengemaskini laman dan keselamatan mereka bagi menghindari serangan lain.
Baru sahaja menerima maklumat mengenai serangan oleh Malaysia Darknet terhadap laman rasmi kerajaan negeri Kelantan. Kini mereka tampil lagi dengan serangan lain. Maklumat serangan telah disampaikan kepada kami oleh seorang pemberi maklumat.
MD x MCA
Pemberi maklumat berkenaan mengatakan, kelompongan keselamatan laman itu adalah lubang lama yang tidak ditutup sejak daripada zaman RileksCrew lagi.
Motif serangan pada kali ini adalah untuk memberi peringatan kepada pengendali laman mengenai kepincangan keselamatan laman yang lemah. Malaysia Darknet juga didakwa berjaya mengakses database laman yang dicerobohi dan boleh membaca data yang ada di dalam database. Data-data ini boleh sahaja disalin tetapi setakat ini belum ada berita mengenai sebarang kebocoran data di kedua-dua subdomain perak.gov.my yang dicerobohi ini.
Baru sahaja kami terima mesej dari sebuah entiti yang menggelarkan diri mereka sebagai Muslim Cyber Army (MCA) di laman Instagram rasmi kami. Mesej daripada mereka hanya sekadar alamat URL yang membawa kepada Laman Rasmi Kerajaan Negeri Kelantan.
Cuma yang menariknya, URL yang ditunjukkan di dalam mesej mereka menunjukkan logo yang mereka telah berjaya dimuatnaik ke dalam laman sesawang kerajaan negeri Kelantan itu. Logo MCA dan logo Malaysia Darknet telah dimuatnaik.
Logo MCA di laman rasmi kerajaan negeri Kelantan.Logo Malaysia Darknet di laman rasmi kerajaan negeri Kelantan.
Setakat ini, tiada lagi laporan kehilangan mahupun kebocoran data oleh kerajaan negeri Kelantan. Motif serangan dan pencerobohan juga masih tidak dapat dipastikan. Ini satu peringatan kepada para pengendali laman untuk lebih berhati-hati pada masa sekarang kerana serangan siber kini datang dalam pelbagai bentuk dan arah.
Logo MCA di laman rasmi kerajaan negeri Kelantan.Logo Malaysia Darknet di laman rasmi kerajaan negeri Kelantan.
Ada sebabnya, mengapa Linux digunakan terutamanya dalam hal penetration test. Kali Linux menjadi popular bukan sahaja kerana ada bermacam jenis tools, tetapi kerana:
Kerana ia Linux, duh.
Disebabkan ia Linux, maka ia percuma.
Dan disebabkan ia Linux, percuma, serta sumber terbuka, maka pengguna sistem operasi tersebut boleh melakukan sesuka hati mereka dengan membuat modifikasi atau ‘tweaks’.
Tidak begitu dengan Windows. Walaupun OS itu anda BELI (hnnggghhh), anda tidak dapat berbuat sesuka hati anda.
Ninjutsu OS
Itulah yang terjadi kepada Ninjutsu OS.
Ninjutsu OS merupakan projek oleh seorang pakar sekuriti iaitu Hasan A. Ia menggunakan skrip dan beberapa alatan untuk menukar Windows 10 menjadi lebih ‘selamat’ dan lebih privasi.
Disebabkan itu, Ninjutsu OS menerima notis dari DMCA.
Menurut notis pelanggaran akta hak cipta itu, sebarang;
Penyesuaian (customizing), pengubahsuaian (tweaking), dan menyahaktifkan ciri Windows 10, walaupun untuk meningkatkan sekuritinya, merupakan satu bentuk pelanggaran terhadap lesen perisian Microsoft.
Ini boleh diibaratkan anda sudah beli sebuah kereta mahal, tetapi anda tidak boleh menambah atau mengubah sebarang cirinya sama ada bertujuan untuk meningkatkan keselamatan mahupun menambah elemen pemain media dan pembesar suara.
Projek ini nampaknya masih diteruskan, tetapi secara ‘senyap’ di Telegram dan Twitter. Heh.
TL;DR – Gunakanlah Linux sebagai asas sistem operasi jika anda ingin ‘bermain’ dengannya dan mengubahsuai berbagai perkara. Anda tidak akan disaman atau menerima sebarang notis dari DMCA.
Pengguna WhatsApp Plus, GB WhatsApp, dan sebagainya lagi, boleh dah beralih semula ke aplikasi rasmi.
WhatsApp Plus.GBWhatsApp.WhatsApp+.
Pada kenyataan terbaru yang diubahsuai dalam F.A.Q, WhatsApp menyatakan aplikasi dari pihak ketiga ini melanggar terma penggunaan kerana amalan sekuritinya tidak dapat disahkan.
FM WhatsApp.FM WhatsApp.
Antara frasa yang ditambah ialah:
“If you don’t switch to the official app after being temporarily banned, your account might be permanently banned from using WhatsApp.”
Ini bermaksud sekiranya pengguna masih lagi tidak beralih kepada aplikasi rasmi, akaun mereka berkemungkinan akan disekat untuk selamanya.
Klien YouTube untuk AndroidTV bukan tak elok, cuma masih belum cukup ‘umph‘ untuk para ‘geek‘ dan ‘nerd‘ yang kepingin hendak mengubahsuai tetapan mengikut citarasa.
SmartTubeNext hadir mengisi kelompongan itu. Ia merupakan klien sumber terbuka untuk YouTube, disasar kepada Android TV.
Antaramuka yang kemas.Pemain video juga tampak kemas dengan pelbagai pilihan fungsi.
Aplikasi ini ada pelbagai ciri tambahan seperti kebolehan untuk menukar resolusi yang menggunakan codec AVC (H.264), meninjau saluran yang telah dilanggan, menukar kelajuan main semula, dan sebagainya lagi.
Susunan video tidak bercelaru. Senang untuk dilihat.Menyokong pelbagai kualiti video.Turut juga menyokong codec YouTube vp9 untuk penggunaan data yang lebih cekap.Sesuai untuk Android TV.
Kalau di aplikasi YouTube, selepas habis main semula dan kita menekan butang kembali, ia akan ‘refresh‘, lalu mana-mana video yang kita bercadang hendak tonton selepas itu akan ‘hilang’.
Perkara ini tidak berlaku pada aplikasi SmartTubeNext.
Tak lupa juga ia ada ciri ‘pop-up player‘, yang memberi peluang kepada anda untuk melihat video lain, sambil menonton video semasa yang sedang dimainkan.
Walaupun masih diperingkat beta, ia boleh dikatakan stabil, dan tidak ada isu lag atau crash. Buat ‘YouTube addicts‘, aplikasi ini adalah jawapan yang anda cari selama ini untuk Android TV.