Utama Blog Laman 121

Ulasan Private Internet Access: Murah, Ringkas, Dengan Sedikit Kelemahan

0

Private Internet Access atau PIA ialah sebuah penyedia perkhidmatan VPN yang bertapak di negara Amerika Syarikat. Ianya murah, mempunyai klien untuk pelbagai platform, dan ada ciri-ciri sampingan yang mampu menarik perhatian, meskipun aplikasinya ringkas sahaja.

Pada saya selaku pengguna, jika anda lebih mahukan kepada servis yang murah dan mempunyai rekod trek yang bersih (terbukti), maka PIA adalah pilihan yang baik.

Intro

Ianya tidaklah mempunyai ciri-ciri yang ‘mampat’ seperti TorGuard di mana kliennya sahaja sudah menempatkan pelbagai fungsi di dalamnya.

Bahkan, klien pada desktop Windows tidak pula mempunyai sebarang paparan antaramuka pengguna yang boleh ditatap.

Saya tahu anda tidak mahu membaca artikel yang terlalu meleret, maka sesuai dengan itu saya persembahkan sahaja kepada anda bagaimana rupanya paparan tetapan aplikasi/klien desktop Windows PIA. Lihat tangkap layar di bawah.

Ciri PIA

Salah satu ciri menarik yang ingin saya ketengahkan adalah ‘PIA MACE™’. Ianya adalah ciri penyekat iklan berniat jahat, trackers, dan malware.

Ini boleh dikatakan sama dengan ciri CyberSec oleh NordVPN. Sedikit quote dari NordVPN:

“When enabled, CyberSec will automatically block harmful websites so that no malware or other cyber threats can infect your device. Additionally, no flashy pop-ups, auto-play ads and other advertisement material will come at your sight”.

Sedikit quote dari PIA pula tentang MACE:

“MACE is a system developed by Private Internet Access to help protect our customer’s privacy and security. Private Internet Access MACE returns IP addresses of unwanted domain names as an address that’s not routable on the public internet”.

Saya tiada sebarang komen mengenai ciri ini, sama ada positif atau negatif kerana sama seperti NordVPN, saya lebih memilih untuk menyahaktifkan ia. uBlock Origin pada saya sudah memadai bagi tujuan penyekatan iklan. Anda boleh pilih untuk aktifkan dan lihat sendiri perbezaan sekiranya ada.

Anda tanya bagaimana hendak bersambung kepada rangkaian PIA?

Kliennya bertempat di taskbar, dan dikendalikan hanya dari situ.

Dari segi sekuriti, ia menawarkan ciri perlindungan kebocoran DNS dan IPv6. Berikut adalah tangkap layar ujian yang dijalankan selepas saya bersambung kepada pelayan PIA yang terletak di AS (Seattle).

Bagaimana pula dengan sokongan terhadap laman penstriman?

Di zaman ini apalah gunanya mempunyai sekuriti rangkaian paling ketat dan hebat dalam dunia sekiranya tidak dapat menikmati YouTube, Netflix, Hulu, dan lain-lain lagi laman penstriman.

Setakat yang saya uji, terdapat beberapa pelayan PIA dari AS yang masih ‘lepas’ dari sekatan Netflix, bahkan Hulu juga dapat dibuka, dilayari dan distrim.

Menurut pembangun PIA, mereka dengan membangunkan satu ‘workaround’ bagi menyelesaikan isu sekatan Netflix terhadap alamat-alamat IP pelayan mereka.

Di bawah adalah tangkap layar demo bagaimana saya dapat strim Netflix dengan PIA diaktifkan.

Kelajuan bagi PIA boleh dikatakan berada pada tahap pertengahan. Tidak terlalu bagus, tidak pula terlalu teruk. Anda tetap akan dapat strim kandungan berdefinisi tinggi penuh tanpa buffering, melainkan liputan rangkaian anda sendiri yang bermasalah.

Itu, saya tak dapatlah nak tolong.

Sokongan Kepada Pelanggan Selepas Jualan

Kalau ada sesuatu yang saya boleh katakan tidak beberapa ‘berkenan’ dengan PIA selain klien desktop-nya yang agak mengecewakan, ialah sokongan terhadap para pelanggan selepas jualan (atau sebelum).

Tiada sebarang kemudahan tetingkap bual (chat) di laman rasminya, dan apa-apa urusan untuk penyelesaian masalah (troubleshoot) atau urusan bayaran balik (refund) perlu diteruskan melalui emel.

Ini bererti anda perlu menunggu staf PIA untuk membalas emel (tiket) yang dibuka oleh anda. Isu akan lebih cepat dapat diselesaikan sekiranya mereka menggunakan tetingkap bual di laman sesawang.

Isu Negara Lima Mata (AS)

Sama seperti TorGuard, PIA tetap mendapat perakuan dari kami untuk digunakan oleh anda walaupun mereka bertapak dalam negara Amerika Syarikat. Dalam kajian kes yang dilakukan sebelum ini, PIA terbukti berjaya mengendalikan sapina dengan baik tanpa perlu mengorbankan data peribadi penggunanya.

Rekod trek mereka bersih dari sebarang kerjasama dengan FBI atau lain-lain agensi perisikan kerajaan dan persendirian. Oleh itu, isu syarikat ini bertapak atau dikendalikan dalam negara Lima Mata sepatutnya sudah tidak menjadi satu perkara yang membimbangkan bakal pengguna.

Namun ia dapat difahami sekiranya masih terdapat keraguan, kerana maklum saja Amerika Syarikat adalah pengasas kepada semua kesepakatan negara 14 Mata.

Outro

Anda dapat apa yang anda bayar. Jika anda hendak merasa bagaimana servis VPN premium yang lain berfungsi, anda bolehlah langgan NordVPN, ExpressVPN, ProtonVPN, BolehVPN atau TorGuard. Jika anda rasa memadailah sekadar anda mempunyai satu servis VPN ‘standard’ yang dapat menjaga privasi, sekuriti, serta keselamatan data dan rangkaian, maka PIA dapat melakukan perkara itu untuk anda.

Untuk melanggan dengan cara yang paling senang, anda pasang dan gunakan aplikasi PIA dari Google Play Store. Terdapat kemudahan in-app purchase untuk langganan sebulan atau setahun. Saya bayar lebih kurang RM27 untuk tempoh langganan sebulan.

Anda dah bersedia untuk melanggan dan mencuba PIA VPN?

Gunakan pautan berikut bagi mendapatkan langganan beserta diskaun 58% (2 tahun):

>>> Private Internet Access – OMG Hackers

Views: 9

Iklan Newspaper Inline

10 Alternatif Sumber Terbuka Dan Percuma Bagi Perisian Komersial

0

‘Sumber Terbuka’ merujuk kepada sesuatu yang dapat diubah, dilakukan modifikasi terhadapnya, dan dikongsikan kerana rekaannya adalah dapat diakses secara bebas dan terbuka. Perisian sumber terbuka pula adalah perisian yang punyai kod sumber boleh diperiksa, diubah, dan ditambah baik oleh sesiapa sahaja.

Terdapat berbagai faedah yang dapat diperoleh secara langsung atau tidak apabila kita menggunakan perisian sumber terbuka. Secara ringkas, pengguna peroleh lebih kawalan, sekuriti, dan keyakinan terhadap perisian yang digunakan. Bagi mengupas faedah-faedah ini, artikel yang lebih panjang diperlukan.

Kali ini kita akan membicarakan mengenai alternatif perisian sumber terbuka kepada perisian komersial yang sekian lama digunakan. Mari kita mulakan dengan Nextcloud.

1. Nextcloud > Dropbox

Nextcloud adalah storan awan sumber terbuka, platform komunikasi dan perkongsian fail yang dihoskan sendiri. Anda boleh baca bagaimana cara mendapatkan storan permulaan percuma 10GB di sini: [Tips Dan Tutor] Cara Mendapatkan Storan Awan 10GB Dengan Nextcloud

Tidak seperti Dropbox (contoh), disebabkan ianya bersumber terbuka, maka pengguna boleh mengehoskan fail pada pelayan peribadi.

2. Signal > WhatsApp

Signal adalah aplikasi permesejan yang benar-benar menumpukan kepada sekuriti. Ia menggunakan protokol Signal, sejenis protokol yang moden, bersumber terbuka, dan mempunyai enkripsi yang sangat kuat. Ia juga menyokong fungsi SMS. WhatsApp juga menggunakan protokol signal dalam versi terbarunya, namun sejauh mana implementasi mengikut cara atau kaedah yang digunakan oleh aplikasi Signal itu sendiri tidak dapat dipastikan kerana ia memerlukan telemetri.

Jika anda mahu memasang Signal, bolehlah ke pautan ini: Signal.

3. Thunderbird > Outlook/Apple Mail

Sukar hendak menggantikan Outlook dengan lain-lain aplikasi pengurus emel dek kerana sudah terlalu biasa dengannya. Sama ada dari paparan antaramuka atau ciri, ia menjadi sebati dengan diri. Tetapi Thunderbird tidak mengecewakan. Selain percuma dan bersumber terbuka, ia mampu menguruskan pelbagai jenis emel dari pelbagai domain.

Mungkin ada ciri yang masih kurang, namun ia dapat ditampung oleh addon/extension. Apa yang pasti, jika anda ada kekeliruan atau masalah, komuniti di forum sedia membantu.

Muat turun: Thunderbird.


4. Brave > Firefox > Chrome

Rasanya tidak perlu lagi kami perkenalkan pelayar web ini kerana kami sudah pun menulis mengenainya. Anda boleh baca maklumat dan info terperinci tentang pelayar web Brave di sini: Brave Kini Berasaskan Chromium: Lebih Pantas Dan Menyokong Chrome Extension.

5. LibreOffice > Microsoft Office

Secara jujurnya, saya bukan peminat LibreOffice. Paparan antaramuka penggunanya yang tidak ‘menyumbang’ kepada mudahnya untuk beralih dari Microsoft Office (Word) menjadi penyebab utama. Namun bagi peminat tegar sumber terbuka, LibreOffice adalah alternatif paling menarik digunakan sebagai pengganti.

Saya pula? Saya memilih Kingsoft WPS Office 2016.

6. Linux > Windows

Secara teknikalnya Linux bukanlah aplikasi atau perisian, kerana ia adalah sistem operasi seperti Windows dan macOS. Namun ia dimasukkan ke dalam senarai kerana peminat sumber terbuka perlu tahu, perlu mahir, dan juga perlu fahami selok belok sistem operasi ini jika mereka hendak beralih secara penuh dari Windows/macOS.

Kami telah tuliskan pelbagai artikel tentang Linux. Anda boleh rujuk dan cari menggunakan kata kunci Linux di bar carian.

7. FreeCAD > AutoCAD

Sukar hendak mencari alternatif terbaik kepada AutoCAD. Perisian AutoCAD berada dalam kelasnya yang tersendiri. Namun buat anda yang baru hendak mulakan perniagaan, syarikat baru beroperasi, rasanya FreeCAD sudah memadai. Tak perlulah gunakan perisian AutoCAD yang cracked.

Info lanjut: FreeCAD.

8. GIMP > Photoshop

Sama seperti AutoCAD, Photoshop juga berada dalam kelasnya yang tersendiri. Saya tidak akan sesekali merendahkan taraf perisian ini, cuma jika anda mahukan sesuatu yang hampir menyamai ciri Photoshop tetapi percuma (dan sumber terbuka semestinya), GIMP adalah pilihan tepat.

Muat turun: GIMP.

9. OpenShot > EDIUS Pro 9

Saya adalah pengguna EDIUS Pro. Perisian ini memang sangat-sangat ‘berkuasa’ dalam menjadikan sesuatu tugas penyuntingan video lebih efisien. Tetapi apabila menggunakan Linux, perisian komersial seperti ini memerlukan alternatif yang setara dengannya.

Di sinilah hadirnya OpenShot.

OpenShot ialah perisian penyunting video percuma dan bersumber terbuka untuk Linux, Mac, dan Windows. Tampilannya tampak mudah untuk difahami, jika anda biasa menggunakan EDIUS Pro atau lain-lain perisian penyunting video.

Muat turun: OpenShot.

10. SMPlayer > MPC-HC

Asalnya, saya adalah pengguna MPC, kemudian beralih kepada UMPlayer, beralih lagi sebentar kepada VLC, dan akhirnya terus menggunakan SMPlayer sebagai pemain media video utama.

Ia mempunyai pelbagai ciri menarik, contohnya integrasi dengan OpenSubtitles, sokongan tema, dan strim video dari YouTube.

Muat turun: SMPlayer.

Baiklah, setakat ini sahaja perkongsian. Di artikel akan datang, mungkin saya akan cuba ulas mana-mana aplikasi atau perisian yang masih belum mendapat ulasan penuh.

Harap anda dapatlah manfaatkan kesemua perisian percuma dan sumber terbuka ini.

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

Brave Kini Berasaskan Chromium: Lebih Pantas Dan Menyokong Chrome Extension

0

Apabila diri sudah lama menyampah bersabar dengan pelbagai kerenah Chrome, tetapi tidak pula terasa mahu beralih kepada Firefox, maka tersekatlah niat di situ.

Muncul Brave, pelayar web yang mula memecahkan dominasi Google dan Mozilla.

Dicipta dengan tumpuan ke arah privasi, kini ia beralih kepada kod sumber Chromium. Ini bererti ia sepantas Chrome, tetapi tanpa sebarang telemetri penuaian data pengguna.

Untuk anda yang masih belum mengenali Brave,

Brave ialah pelayar web sumber terbuka dan terdesentralisasi yang memberi penghargaan kepada pencipta kandungan dan pengguna dalam bentuk dengan Basic Attention Token (BAT). BAT ialah platform pertukaran iklan sumber terbuka dan terdesentralisasi berdasarkan Ethereum, diasaskan oleh Brendan Eich.

Sama sahaja seperti pelayar web lainnya, Brave memberikan kebolehan kepada pengguna untuk melayari laman sesawang, strim video, dan apa sahaja yang dapat dilakukan oleh Chrome (senang faham).

Jadi, di mana perbezaannya, selain dari token penghargaan BAT?

Seperti yang ditulis di atas, Brave menumpukan kepada privasi dan sekuriti. Dua perkara ini menjadi titik tolak kepada terciptanya pelayar web Brave.

Atas sebab itu pada pelayar Brave, ia sudah tersedia ciri penyekat iklan (yang amat bagus sekali) dan juga penyekat trackers, pop-up, cookies, dan malware. Tidak seperti Chrome, ia tidak akan sesekali memberi peluang kepada trackers menjejak aktiviti anda.

Ia juga berasaskan kod sumber Chromium, lalu ia bebas dari sebarang jenis aktiviti ‘belakang’ dalam hal pengutipan data. Privasi anda terjaga dengan pelayar web ini.

Apa yang menarik mengenai sistem pemberian token penghargaan tersebut ialah, kedua-dua pengguna Brave dan juga penerbit/pencipta kandungan akan dapat menikmatinya dalam bentuk token crypto. Ini hanya dapat diperolehi melalui pelayar web Brave, bukan Chrome, bukan Firefox. Menarik bukan?

Jika anda mahu mula menggunakan Brave dan mengumpul BAT, sila muat turun ia (secara percuma ya) melalui pautan ini: Brave Browser.

Oh ya, Brave juga terdapat bagi sistem operasi Android dan iOS.

Pro Dan Kontra:

Pro: Ada pelbagai ciri yang menitik beratkan sekuriti serta privasi. Ia juga serasi dengan extension pelayar web Chrome, jadi anda tidak perlu bimbang tentang itu. Tidak lupa juga Basic Attention Token yang diberikan kepada pengguna dan penerbit kandungan. Pengguna juga boleh menderma kepada mana-mana laman sesawang yang mereka suka menggunakan platform BAT tersebut.

Bagus kan?

Kontra: Buat sementara waktu ini ia masih belum lagi mengaktifkan fungsi penyegerakan (synchronization). Jadi, jalan penyelesaian mudahnya, anda bolehlah import sejarah pelayaran, nama pengguna serta kata laluan yang penting dari pelayar web Chrome ke dalam Brave.

Ianya dalam perancangan untuk dilepaskan pada hujung tahun ini.

Bonus:

Pelayar web Brave boleh juga digunakan sebagai klien torrent kerana ia turut dikuasakan dengan WebTorrent.

Ianya tidaklah sebagus klien torrent penuh, tetapi cukup ‘sifat’ untuk muat turun mana-mana fail torrent dengan cepat.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Free Download Manager: Gantikan IDM Dan Klien Torrent Dengan FDM

0
Gambar sekadar hiasan. Heheh.

Baru-baru ini saya mencuba kembali sebuah perisian yang sekian lama tidak digunakan iaitu Free Download Manager ataupun singkatannya FDM. Tidak lain tidak bukan adalah kerana hendak mencuba versi terbarunya.

Apa yang saya dapati, perisian ini mempunyai ciri yang tidak dipunyai oleh IDM, contohnya ‘bertukar’ menjadi klien pemuat turun fail torrent.

Paparan antaramuka penggunanya? Anda boleh lihat di bawah. Untuk pengetahuan anda, ia mempunyai dua tema iaitu paparan cerah dan paparan gelap. Pada tangkap layar ini saya menggunakan tema gelap.

Berikut adalah contoh bagaimana ia memuat turun fail torrent.

Gambar sekadar demo. ?

Berikut pula adalah bagaimana ia memuat turun fail biasa, contohnya fail ISO Ubuntu.

Nampak bukan? Tiada beza apabila muat turun kedua jenis fail. Ianya dirasakan natif, dan kelajuan muat turun juga adalah sangat-sangat memuaskan.

Pro dan Kontra:

Pro: Ianya percuma, jadi anda tidak lagi perlu membeli perisian seperti IDM, apatah lagi menggunakan perisian crack. Kelajuan muat turun juga adalah sama atau bahkan lebih baik berbanding IDM. Ia juga mempunyai integrasi dengan pelayar-pelayar web seperti Chrome dan Firefox (oh ya, Internet Explorer juga ada).

Kontra: Saiznya tidak dapat dikecilkan, cuma hanya dapat ditambah besar. Selain itu, tetapan bagi torrent juga tidaklah beberapa memuaskan seperti aplikasi ‘penuh’ pemuat turun torrent yang lain. Anda boleh lihat contohnya di bawah ini. Ia tidak mempunyai tetapan bagi ratio seed – jadi jika anda hendak buat ia buang fail dari senarai seed setelah cukup ratio yang dikehendaki, anda tidak dapat melakukan sedemikian.

Bagaimanapun, anda boleh undi ciri baru apa yang anda mahu dalam forum FDM.

Anda sudah tidak sabar hendak cuba?

Muat turun: Free Download Manager

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

[Tips Dan Tutor] Cara Mendapatkan Storan Awan 10GB Dengan Nextcloud

1

Terdapat pelbagai jenis dan nama storan awan yang boleh digunakan. Nextcloud berada dalam kelasnya yang tersendiri kerana ia adalah sumber terbuka dan dapat digunakan dengan mengehos ia pada pelayan anda sendiri.

Jika tidak, anda bolehlah hoskan storan melalui penyedia yang berkolaborasi dengan Nextcloud.

Bagi mendapatkan ruang storan maksimum 10GB, ini adalah caranya.

Pertama sekali, buka laman Nextcloud.

Kemudian, klik pada ‘Get Nextcloud’, dan kemudian klik pada ‘Sign up now’.

Setelah itu, akan terdapat pilihan ‘change provider’ di bawah pilihan lalai yang diberikan.

Klik pada opsyen tersebut.

Anda perlu skrol hingga kepada CloudFiles. Biasanya dipaparkan paling bawah. Klik pada opsyen CloudFiles.

Dari sini, masukkan alamat emel yang anda ingin gunakan sebagai nama pengguna, klik pada kotak ‘I agree to the Terms of service’ dan klik ‘Sign up’.

Siap. Setelah anda tetapkan kata laluan, anda sudah boleh gunakan Nextcloud yang dihoskan melalui CloudFiles.

Jangan lupa bookmark laman CloudFiles tersebut supaya anda mudah untuk log masuk di kemudian hari.

Nextcloud juga mempunyai aplikasi bagi Windows, macOS, Linux, Android, iOS dan Windows Mobile.

Anda boleh cari aplikasi Nextcloud yang anda mahukan di sini: Install – Nextcloud.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

[Tips Dan Tutor] Filemail.com: Hantar Fail Bersaiz Hingga 50GB Melalui Emel

0

Seringkali apabila ingin menghantar emel beserta fail yang bersaiz besar, maka akan timbul masalah apabila emel tersebut tidak menyokong kapasiti yang membebankan pelayan. Kebiasaannya hanya 25MB sahaja yang dibenarkan. Kombinasi Gmail dan Google Drive membantu, namun sebenarnya ada cara yang lebih efisien dalam menghantar fail sebesar 50GB ke atas melalui emel.

Perkenalkan, Filemail.com.

Laman ini direka khas bagi menyelesaikan permasalahan penghantaran fail bersaiz besar menggunakan emel. Tidak kiralah medium emel apa sekalipun, ia boleh menjadi pengantara yang memudahkan. Fikirkan ia seperti gabungan antara Gmail dan Google Drive, tetapi anda tidak perlu memisahkan kedua servis, sebaliknya ia dijadikan satu.

Sebenarnya ia masih tidak dihantar melalui Gmail (contohnya anda gunakan Gmail), kerana ia dihantar secara terus melalui laman Filemail.com. Tetapi emel Gmail anda dapat digunakan sebagai penghantar, boleh memasukkan subjek serta mesej, sama seakan anda menghantar emel seperti biasa.

Cuma kelebihannya disini, anda dapat melampirkan fail besar tanpa perlu memuat naik ia ke storan awan terlebih dahulu. Penghantaran melalui Filemail.com juga adalah

Cara menggunakannya:

Buka laman Filemail.com.

Anda akan terus dipaparkan dengan paparan pengarang emel. Anda boleh terus masukkan alamat emel yang anda ingin gunakan sebagai maklumat penghantar, masukkan subjek dan mesej, dan terus klik butang ‘Add Files’.

Dari situ anda bolehlah lampirkan mana-mana fail yang anda mahu.

Paling menarik? Anda tidak perlu pun mendaftar sebarang akaun. Ia dapat terus digunakan begitu sahaja. Anda juga boleh muat naik keseluruhan folder dengan cara seret dan lepas.

Klik butang Send untuk memulakan proses muat naik. Di bahagian bawahnya terdapat ruang informasi tempoh berapa lama masa yang diperlukan untuk memuat naik fail tersebut.

Apabila fail telah siap dimuat naik, tekan butang Send sekali lagi.

Fail akan berada dalam simpanan pelayan selama satu minggu bagi perkhidmatan percuma. Bagi akaun Filemail Pro, fail akan disimpan selama laman ini masih wujud sampai bila-bila.

Apabila ia telah dihantar, anda akan mendapat notifikasi seperti berikut.

Ini ialah contoh paparan bagaimana emel diterima. Saya menggunakan Protonmail bagi tujuan demo.

Apabila butang ‘Download File’ diklik, ia akan mengarahkan anda kepada laman Filemail.com, siap beserta alamat emel penghantar, subjek, dan mesejnya. Dari situ anda bolehlah terus muat turun fail yang diberikan.

Pasti ada yang tertanya-tanya kenapa tidak menggunakan Send This File yang tidak mempunyai limitasi saiz fail bukan?

ini adalah kerana meskipun saiz tidak diberikan limitasi atau had, kelajuan bagi muat naik dan muat turun pula dihadkan. Ya, servis percuma pasti akan ada sesuatu pengehadan.

Tambahan pula, laman Send This File perlu daftar terlebih dahulu sebelum dapat menggunakannya.

Baiklah, mudah bukan? Semoga anda berpuas hati dengan tips dan tutorial kali ini.

Layari Filemail.com untuk mula menghantar fail bagak bersaiz besar tanpa berfikir tentang limitasinya.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Sejarah Dan Asal Usul ‘Wilhelm Scream’

0

Wilhelm Scream ialah ‘stock’ bunyi untuk jeritan yang paling popular digunakan dalam bidang perfileman.

Ia telah pun digunapakai dalam 389 filem dan pelbagai siri TV. Filem pertama yang menggunakannya ialah Distant Drums (1951). Jeritan ikonik ini terjadi apabila dalam filem tersebut, seorang askar diheret ke dalam sungai oleh buaya.

Apa yang menarik, askar yang melakonkan watak itu tidak pula ‘menciptakan’ jeritan ‘Wilhelm’. Ia disuarakan oleh Sheb Wooley, seorang pelakon dan ahli muzik yang bekerja dengan krew perfileman tersebut sebagai suara latar.

Dua tahun kemudiannya, audio jeritan Wilhelm diguna semula dalam filem The Charge at Feather River. Ia kemudiannya dijadikan sebagai ‘stock audio’ bagi Warner Brothers.

Namun, ia masih tidak popular hinggalah 20 tahun kemudian.

Pada pertengahan 1970an, seorang pereka bunyi iaitu Ben Burtt mengambil keputusan untuk memberi penghormatan kepada jeritan Wilhem apabila beliau meletakkan ia ke dalam filem Star Wars: A New Hope.

Disebabkan asal usul audio itu yang agak ‘misteri’ Ben tidak dapat mencari perincian penciptanya, lalu menamakan ia sebagai ‘Wilhelm Scream’, dinamakan selepas Private Wilhelm iaitu watak dalam filem The Charge at Feather River kerana Ben percaya ia muncul buat pertama kali dalam filem itu.

Terima kasih kepada Sheb Wooley, kerana jeritan ikonik ciptaannya itu digunakan lagi dalam filem Deadpool 2, Avenger: Infinity War, dan juga filem Venom baru-baru ini.

Anda boleh tonton video kompilasi jeritan Wilhelm di bawah.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

[Tutorial] Send Anywhere: Alternatif Terbaik Bagi Tujuan Pemindahan Fail

0

Saya adalah pengguna Pushbullet sejak sekian lama, dan secara jujurnya memang saya tidak mahu menggunakan aplikasi atau sumber lain bagi memindahkan/berkongsi fail.

Hinggalah ia seringkali memberikan ralat apabila saya hendak menghantar paparan tangkap layar dari telefon kepada PC, ketika itulah baru saya terfikir untuk mencari alternatif. Kalau kerja seringkas itu pun sudah memberikan masalah, mana mungkin dapat saya bersabar.

Akhirnya saya ‘terjumpa’ dengan Send Anywhere. Terima kasih Pushbullet untuk servis kamu selama ini. Terima kasih juga apabila kamu mula bermasalah, kerana tanpanya saya tidak akan bertemu dengan alternatif terbaik ini.

Send Anywhere berfungsi dengan cara yang berbeza dari Pushbullet. Ia menggunakan pendekatan peer-to-peer (P2P) untuk mengongsikan fail, yang bererti anda tidak menyimpan sebarang fail dalam simpanan storan awan (seperti Pushbullet). Ia juga bererti tiada rekod yang boleh anda semak atau muat turun di kemudian hari.

Perkara ini mungkin menjadi sesuatu hal yang kontra bagi seseorang, namun jika anda sememangnya jarang mencari semula fail (seperti saya), maka hal ini bolehlah diabaikan.

Anda boleh gunakan Send Anywhere bagi berkongsi fail dengan peranti Android, iOS, PC dan Mac.

Tiada isu keserasian peranti di sini. Anda boleh lihat tangkap layar aplikasi Send Anywhere di Android pada gambar berikut.

Paling penting, anda tidak perlu mendaftar sebarang akaun sebelum dapat menggunakannya. Akaun hanya digunakan bagi mendapatkan pautan khas. Selain dari itu, anda boleh terus memindah fail tanpa proses pendaftaran pengguna.

Berikut adalah paparan tangkap layar Send Anywhere versi web.

Cara menggunakannya adalah amat mudah.

Untuk memulakan penghantaran fail, anda perlu pilih satu fail yang diingini dan klik butang SEND.

Pilih pula Send Anywhere dari tetingkap yang terbuka.

Seterusnya aplikasi Send Anywhere akan memberikan enam digit nombor. Anda perlu gunakan nombor ini bagi mengesahkan pemindahan.

Pada web Send Anywhere, masukkan enam digit nombor tersebut. Klik pada butang terima di sebelahnya.

Apabila anda ingin menghantar fail lain, web Send Anywhere akan menerimanya tanpa perlu lagi pengesahan nombor. Anda klik sahaja butang DOWNLOAD.

Demikianlah cara menggunakan Send Anywhere. Kami berharap anda dapat memanfaatkan artikel tutorial ini. Kongsikan ia dengan rakan-rakan agar dapat sama menggunakan aplikasi yang sangat membantu ini.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Ulang Kaji Risikan Antarabangsa Fourteen Eyes (14 Eyes)

1

Kenapa penting untuk anda mengetahui mengenai perjanjian serta perikatan perisikan antara 14 negara ini? Supaya anda tahu bidang kuasa mereka dan dapat mengambil langkah berjaga-jaga sebelum melanggan sesuatu servis VPN.

Five Eyes (5 Eyes)

Negara-negara ‘Five Eyes’ adalah tapak permulaan kepada semua ini. Mereka ‘terhasil’ dari Perjanjian UKUSA, sebuah perjanjian persetujuan untuk mengumpul, menganalisa, dan berkongsi hasil maklumat risikan antara lima negara. Negara-negara tersebut adalah:

*Australia
*Canada
*New Zealand
*The United Kingdom
*The United States

Hari ini, ia telah berkembang di luar matlamat ketenteraan dan diplomatik selepas perang untuk menjadi sistem global pemintasan komunikasi peribadi dan komersial.

Walaupun negara-negara ini telah bersetuju untuk tidak mengintip satu sama lain sebagai musuh, mereka sering mengintip satu sama lain supaya sesebuah negara tertentu tidak terjebak dengan bidang kuasa sendiri. Sebagai contoh, jika ia bertentangan dengan undang-undang kerajaan Amerika Syarikat mengintip rakyat sendiri, mereka mungkin meminta kerajaan U.K melakukannya untuk mereka.

Nine Eyes (9 Eyes)

Gabungan risikan Nine Eyes termasuk negara dari kategori Five Eyes itu tadi, diikuti dengan:

*Denmark
*France
*Netherlands
*Norway

Fourteen Eyes (14 Eyes)

Rangkaian Perjanjian UKUSA berkembang lagi dari 9 kepada 14 buah negara. Mereka mempunyai nama rasmi bagi gabungan ini iaitu SIGINT Seniors Europe (SSEUR). Ianya bertujuan bagi bertukar-tukar maklumat risikan ketenteraan antara kesemua negara terlibat.

Negara-negara tersebut adalah:

*Germany
*Belgium
*Italy
*Sweden
*Spain

Kenapa ia penting untuk diambil tahu?

Perkara ini penting untuk beberapa sebab, tetapi isu utama adalah hal perisikan dan pengintipan negara. Anda mungkin tidak menyedarinya, tetapi agensi keselamatan di negara-negara yang paling maju mempunyai keupayaan untuk mengintip dan memantau hampir semua perkara yang anda lakukan.

Jadi, adakah anda harus mencari VPN yang berasaskan luar dari 14 negara tersebut?

VPN yang terletak di luar negara teras ‘Empat Belas Mata’ ini akan dilindungi dengan lebih ketat daripada cabaran undang-undang dan pengawasan serta pengintipan negara yang berasal dari Amerika Syarikat (AS).

Berdasarkan kepada kajian kes terdahulu, terdapat juga syarikat VPN yang berjaya mempertahankan data sulit penggunanya, meskipun ia berpusat dari AS. Ada juga syarikat VPN yang berada di luar kawasan kekuasan negara itu tetapi dengan mudah menyerahkan ia apabila diminta.

Anda boleh rujuk Kajian Kes Bidang Kuasa: PureVPN, Private Internet Access, Dan ExpressVPN.

Dengan itu, secara ringkas, jika anda inginkan privasi, cubalah cari syarikat VPN yang:

1. Berada di luar negara Fourteen Eyes,

Atau,

2. Jika ia berada dalam negara Fourteen Eyes, pastikan ia telah mempunyai rekod yang baik dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga data peribadi anda.

Artikel asal: Perikatan Perisikan Antarabangsa: 5 Eyes, 9 Eyes, Dan 14 Eyes

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

11 Tips Kritikal Memilih Servis VPN Terbaik: Tingkatkan Privasi Dan Sekuriti

0

Kami pernah menerbitkan artikel bagaimana hendak memilih servis VPN yang terbaik buat diri anda. Cuma disebabkan ia sudah lama, maka setiap yang lama adalah perlu untuk diperbaharui dengan penambahbaikan.

Terdapat berbagai sebab mengapa seseorang itu (atau sesuatu orgnanisasi/jabatan) mahu menggunakan VPN. VPN bukan khusus untuk jurnalis sahaja. Ia perlu digunakan oleh semua individu yang mementingkan tahap sekuriti tinggi pada peranti digunakan. VPN juga mampu meningkatkan tahap privasi kepada aras berbeza dek kerana enkripsi yang dijalankan.

Sesetengah orang menggunakan VPN untuk melepasi berbagai jenis firewall dan sekatan terhadap internet. Ada juga yang menggunakannya untuk melepasi sekatan TV dalam talian di negara luar yang hanya membenarkan IP dari rakyat tempatan sahaja melayari dan strim video pada laman web mereka seperti Hulu, Netflix, dan lain-lain lagi. Sesetengah yang lain pula hanya mahukan privasi terjaga dan menggunakan VPN sebagai langkah keselamatan untuk melindungi sambungan internet mereka dan menyembunyikan IP yang asal.

Atas sebab itu maka adalah sangat kritikal bagi setiap orang memilih servis VPN terbaik tanpa mengorbankan pula sekuriti dan data peribadi. Anda perlu faham, bahawa kepercayaan adalah kunci kepada pemilihan, oleh itu integriti dan sejarah rekod bersih merupakan salah satu ‘muka depan’ servis.

Pemilihan dapat dilakukan dengan mengikuti tips-tips berikut.

1. Jangan pilih servis percuma.

VPN percuma bukan sahaja tidak bagus malahan berbahaya kepada sekuriti dan privasi data anda. Sentiasa ingat sifirnya, jika sesuatu itu percuma, maka anda adalah PRODUKNYA. Dari mana para pengendali VPN ini hendak menjana pendapatan bagi menampung kos penggunaan pelayan jika mereka ‘menyewakan’ ia kepada anda secara percuma pula?

Salah satu caranya adalah dengan menjual data anda kepada pihak ketiga. Zaman ini data adalah satu-satunya bentuk kandungan digital paling mahal boleh diurusniagakan.

Anda boleh baca lebih lanjut mengenai hal ini di sini: Mengapa VPN Percuma Tidak Bagus (Untuk Semua Sebab)

2. Jauhi promo ‘unlimited quota service’.

Jika anda terpesona dengan promosi ‘servis unlimited kuota’, maka berhentilah dari situ. Anda perlu perhatikan kepada semua servis VPN premium dan terkenal dunia yang pernah kami ulas sebelum ini. Pernahkah mereka promosikan faedah seperti itu?

TIDAK. Ini adalah kerana sebarang perkara seperti itu hanyalah wujud disebabkan kerentanan dalam sistem telco, dan secara kebetulan dapat dimanipulasi oleh sambungan VPN. Ia bukan teras kepada sebab penggunaan VPN, dan anda boleh lihat sendiri setiap pengendalinya belum cukup mahir dan matang dalam memahami selok-belok VPN.

Tapi terpulang. Anda yang percayakan mereka. Kami tidak.

3. Semak sokongan teknikal dan kualiti perkhidmatan sebelum dan selepas jualan yang diberikan oleh pembekal VPN.

Ini juga adalah teramat penting. Selain sokongan maklum balas pelanggan melalui emel, sokongan tetingkap bual (chat) juga adalah perlu. Sistem perkhidmatan sebelum dan selepas jualan adalah sangat penting bagi memastikan pengguna terutamanya yang baru dapat menyelesaikan masalah atau isu yang bersangkut paut dengan klien dan sistem operasi.

Jika servis tersebut hanya mempunyai sokongan emel, maka pantau berapa lama staf mereka membalasnya. Juga lihat sama ada syarikat itu mempunyai laman-laman media sosial dan Reddit, supaya anda dapat hubungi mereka di situ.

4. Tidak menyimpan log pengguna, tidak memantau, dan tidak peduli apa yang kita lakukan.

Rekod trek yang bersih adalah cara bagaimana anda hendak mengetahui tahap kebolehpercayaan sesuatu syarikat VPN. Dengan adanya kajian kes, pengguna akan dapat menilai sejauh mana syarikat mengekalkan tahap integriti mereka apabila didesak dengan saluran undang-undang.

Syarikat yang memilih untuk menutup pelayannya daripada menyerahkan data pengguna kepada pihak berkuasa adalah syarikat yang boleh diharapkan.

Ada juga syarikat yang tidak membenarkan aliran trafik tertentu seperti torrent digunakan pada servis mereka. Ini jelas bertentangan dengan kebebasan berinternet yang tidak selari dengan prinsip asas VPN. Sama ada torrent digunakan untuk memuat turun fail yang dilindungi Akta Hak Cipta atau tidak adalah satu perkara berbeza.

5. Ambil kira faktor negara 14 Eyes dan bidang kuasa.

Perikatan perisikan antara 14 buah negara yang dipanggil dengan nama 14 Eyes, merupakan faktor kritikal dalam menentukan keberkesanan VPN menjaga hak privasi pengguna. Seperti kajian kes yang telah dilakukan sebelum ini, ada antara syarikat VPN dan emel yang didesak untuk memberikan maklumat sulit pengguna kepada pihak berkuasa.

Syarikat yang berjaya mengendalikan sepina dari mahkamah antaranya adalah seperti Private Internet Access dan ExpressVPN.

Jadi, ada dua perkara yang perlu dilihat dalam hal ini.

a) Semak dahulu negara dan bidang kuasa di mana servis atau syarikat VPN itu berada.

b) Semak rekod trek syarikat, sama ada mereka pernah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan ataupun sebaliknya.

6. Menggunakan OpenVPN Dan Anti-DPI.

Berkali-kali ditekankan tentang ciri ini. Anti-DPI sangat penting terutamanya bagi rangkaian yang dilindungi dengan pelbagai perisian sekatan serta firewall.

Deep Packet Inspection (DPI) ialah suatu bentuk proses tapisan paket rangkaian komputer yang memeriksa bahagian-bahagian data pada suatu paket (dan bahkan juga pada header) apabila ia melepasi titik pemeriksaan bagi mencari protokol ketidakpatuhan, virus-virus, spam-spam, pencerobohan, atau mana-mana kriteria yang telah didefinisikan untuk membuat keputusan sama ada sesuatu paket boleh masuk melepasi atau jika ia perlu dihalakan ke destinasi yang berbeza, atau, bagi tujuan mengumpulkan maklumat-maklumat statistik.

Menggunakan Anti-DPI VPN adalah satu-satunya jalan yang paling terdekat dan mudah. Sepertimana namanya, Anti-DPI VPN akan dapat memberhentikan data-data anda daripada dipantau, direkod, dan dilog oleh pihak ISP mahupun kerajaan.

7. Menyokong laman penstriman (Ciri Bonus).

Sejak beberapa tahun ke belakang ini, banyak laman penstriman seperti Netflix yang sudah mula melakukan sekatan terhadap alamat-alamat IP dari VPN. Akibat dari ini, penstriman tersekat apabila VPN dihidupkan. Anda boleh lihat contoh pada gambar di bawah.

Sejak itu, kebanyak servis VPN ini mula mencipta pelbagai ‘workaround’ yang mampu melepasi sekatan dibuat. Jika VPN yang anda pilih itu mempunyai ciri sokongan terhadap laman-laman penstriman, ia adalah servis yang boleh diletak dalam senarai pendek pemilihan.

8. Pelbagai kaedah pembayaran, terutamanya anonymous.

Dari kad kredit, kad debit, PayPal, hinggalah kepada Bitcoin, kesemua kaedah pembayaran ini perlulah ditawarkan. Jika hanya ada kad kredit dan debit sahaja, anda perlu cuba cari servis lain terlebih dahulu. Lihat sahaja sistem pembayaran yang ditawarkan oleh NordVPN ini. Pemilihan matawang crypto sebagai pembayaran adalah langkah yang boleh dipuji kerana ia penting bagi mereka yang mahukan lebih ‘privasi’, bayar kepada servis tanpa dapat dijejaki.

9. Menggunakan pelayan sendiri.

Cuba fikirkan, prinsip yang saya dapat sewaktu menggunakan VyprVPN dahulu, akan bagaimana sesuatu servis VPN itu dapat menjaga privasi anda apabila setiap pelayan bukan dimiliki oleh mereka sendiri! Pemilik kepada pelayan tersebut boleh bila-bila masa memantau penggunanya.

Anda boleh dapatkan maklumat mengenai pelayan yang digunakan oleh syarikat tersebut sama ada melalui chat, emel, ataupun laman F.A.Q mereka.

10. Cuba dahulu.

Sama ada anda cari servis yang mempunyai tempoh percubaan, atau langgan sahaja terlebih dahulu selama sebulan. Ada juga servis yang menawarkan tempoh langganan percubaan 7 hari, tetapi anda perlu juga membayar sedikit. Percubaan ini sekurang-kurangnya memberikan anda masa untuk menilai sama ada servis tersebut mampu memuaskan hati anda untuk satu tempoh yang lama atau tidak.

Mungkin ia nampak remeh, tetapi setelah anda mencuba beberapa servis, anda akan tahu kenapa ianya juga adalah penting. Anda pasti mula mengkaji satu demi satu tips dari artikel ini apabila anda telah melakukan langkah percubaan itu.

11. Klien Linux.

Ada klien Windows? Bagus. Ada klien Android? Bagus. Klien Mac dan iOS ada juga? Bagus.

Tetapi tiada pula untuk Linux. Kalau ada pun dalam bentuk baris perintah. Saya rasa mungkin pengguna Linux tidak begitu kisah tentang hal klien yang mempunyai paparan antaramuka pengguna atau GUI ini, tetapi anda akan faham apabila servis tersebut mempunyai klien GUI pada Linux (terutamanya Arch Linux!), itu bererti mereka sangat mengambil serius tentang bisnes yang sedang mereka jalankan.

Contoh, TorGuard VPN.

*Tips: Gunakan kod OMGHACKERS50 bagi mendapatkan diskaun 50% seumur hidup jika anda hendak melanggan TorGuard.

Penutup:

Terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum memilih sesuatu servis, terutamanya VPN.

Pengguna perlu memastikan terlebih dahulu integriti syarikat yang mengendalikan perkhidmatan, sama ada mereka benar-benar menjalankan amanah, serta menjaga seboleh mungkin data peribadi atau pun tidak.

Jika anda sukakan artikel seperti ini, jangan lupa komen dan kongsikan ia kepada semua rakan-rakan di media sosial anda.

Views: 8

Iklan Newspaper Inline