Penggunaan VPN adalah bergantung kepada dasar kepercayaan. Tanpa kepercayaan kepada penyedia servis/khidmat VPN, pengguna akan tersepit antara rasa keperluan dan hak penjagaan privasi serta keselamatan data.

Kontroversi, skandal, bukan perkara baru dalam arena ini. NordVPN dan ProtonVPN pernah dikaitkan dengan Tesonet, sebuah syarikat penggalian data. Cuma sebagai media dan pengulas, kami tidak boleh berat sebelah dan hanya mendengar dari sebelah pihak. Atas sebab itu kami dapatkan jawapan dari pihak ProtonVPN/ProtonMail dan ini merupakan apa yang mereka kongsi di Twitter rasmi pada Jun lepas.

Selain dari hal ini, rekod ProtonVPN adalah bersih. Bersempena berita terbaru mereka membuat kerjasama dengan Mozilla bagi menawarkan plan VPN kepada sebilangan kecil pengguna rawak, kami berasa terpanggil untuk mencuba dan mengulas mengenai servis ini.

Pertama sekali, aplikasi (Windows) ProtonVPN mempunyai pilihan dua paparan antaramuka, iaitu paparan beserta graf trafik, sesi trafik, dan peta lokasi. Manakala satu lagi ialah pilihan untuk menyembunyikannya (paparan minima).

ProtonVPN dengan paparan antaramuka penuh.

 

Paparan minima yang masih memberikan pilihan sempurna.

Seperkara yang perlu diketahui tentang ProtonVPN ialah ia masih baru. Dilancar pada 20 Jun 2017, ia diasaskan bagi melengkapi pengguna ProtonMail dengan sambungan rangkaian yang mempunyai enkripsi. Oleh itu tidak menghairankan sekiranya aplikasi bagi servis ini masih terasa seperti dalam status beta.

Namun dari penggunaan, soal sekuriti tidak lagi menjadi satu persoalan. Tiada isu ketirisan alamat IP sama ada melalui DNS, WebRTC mahupun IPv6.

Tiada ketirisan alamat IP melalui ujian.

Bagi aplikasi Android pula, agak menghampakan apabila ia hanya menawarkan protokol IKEv2, tanpa OpenVPN. Tetapi ia masih ada ciri istimewa yang diwarisi dari klien Windows iaitu ‘Secure Core’.

Secure Core pada saya adalah sama seperti ciri ‘Double VPN’ pada NordVPN, iaitu rangkaian yang bersambung kepada dua lapisan pelayan VPN. Ini meningkatkan lagi tahap sekuriti, namun dalam masa yang sama berkemungkinan kelajuan akan ‘terkorban’.

Saya petik kata-kata dari seorang rakan, “Hendak dapatkan sesuatu, kena korbankan sesuatu”.

Satu ciri yang saya paling suka ada pada ProtonVPN ini ialah pelayan premium mereka yang dilabel dengan huruf P, boleh digunakan untuk strim laman-laman yang telah menyekat servis VPN seperti Hulu dan Netflix.

Setakat ini tiada masalah sama ada di Windows, atau di Android. Hulu dan Netflix dapat distrim dengan lancar sekali.

Selaku pendatang baru, ciri ini amatlah dialu-alukan dan boleh dikatakan juga ia agak mengagumkan kerana contoh servis VPN veteran seperti Private Internet Access juga masih belum menyokong ciri ini.

ProtonVPN digunakan untuk strim Netflix.

 

ProtonVPN digunakan untuk strim Hulu.

 

Adakah anda patut langgan ProtonVPN?

Jika anda tanya saya, ProtonVPN dapat memberikan kepuasan dari segi paparan antaramukanya, yang mana walaupun kelihatan agak ‘sibuk’ dengan pelbagai indikator trafik dan peta yang tidaklah menambah fungsi signifikan, namun saya lebih menggemari paparan seperti itu kerana ia lengkap dengan info-info yang saya suka, seperti berapa banyak bandwidth yang telah saya gunakan pada hari itu.

Juga tidak dilupakan ciri sokongan laman penstriman seperti Netflix yang agak jarang sudah didengarkan implementasinya pada sesebuah servis, menjadikan ia ciri terbaik selain sekuriti yang mantap.

Kalau pun ada kekurangannya, saya cuma berharap protokol OpenVPN akan ditambah pada klien Android dan rangkaian lebih stabil apabila permulaan ketika membuka aplikasi Hulu (kerap berlaku ralat). Ya, setakat ini, itu sahaja perkara yang saya ingin pembangun perbaiki di rilisan akan datang.

Langgan ProtonVPN: ProtonVPN