Pewdipie Vs T-Series : Pengakhiran Takhta Sang Raja Youtube?

 

Setelah hampir 7 tahun di puncak dan dinobat sebagai “Raja YouTube“, bintang popular dari Sweden, Felix Arvid Ulf Kjellberg ataupun lebih dikenali sebagai PewDiePie mungkin akan benar-benar kehilangan takhtanya pada kali ini. Saluran YouTube beliau kini dicabar dekat oleh pencabarnya, saluran T-Series dengan jumlah perbezaan pengikut kurang dari 500,000 orang.

Sepanjang 7 tahun dinobat sebagai Raja YouTube, bintang ini tidak asing dengan pencabar untuk merebut takhtanya di samping beberapa kontroversi yang telah sedikit sebanyak menggugat reputasi dan kedudukan beliau di tangga YouTube.

Pengikut setia pastinya masih ingat bagaimana saluran PewDiePie mula melonjak dengan pantas ke tangga teratas melalui videonya bermain permainan video Happy Wheels dan juga beberapa permainan video seram yang lain seperti Amnesia dan SlenderMan. PewDiePie telah menjadi pelopor genre video yang merakam pengalaman dan permainan video di YouTube yang mana pada ketika itu masih lagi dianggap sebagai suatu perkara yang mengarut. Boleh juga dikatakan, tanpa PewDiePie, mungkin tiada Twitch pada hari ini.

 

 

Sebelum ini juga, banyak juga kontroversi yang melanda bintang ini seperti mana kontroversi dengan laman khidmat Fiver di mana PewDiePie telah menggunakan khidmat Fiver untuk membuat video ucapan “Hitler did nothing wrong” (Hitler tidak membuat sebarang kesalahan). Tindakannya itu telah menangkap perhatian hampir kesemua media massa dunia yang telah melabelkan tindakannya itu sebagai anti-semantik ataupun anti-yahudi walaupun PewDiePie berkali-kali menafikannya dan menjelaskan tindakannya itu hanya sekadar untuk berjenaka. Hasil kontroversi ini, rancangan YouTube premiumnya, Scare PewDiePie Season 2 juga telah dibatalkan.

Tidak lupa juga pencabarnya yang lalu, saluran YouTube Ryan’s ToyReview yang telah mendapat pengikut dengan terlalu pantas tetapi akhirnya tetap gagal menyaingi jumlah pengikut saluran PewDiePie walaupun telah diiklankan dan dicanang dengan hebat sebagai saluran yang akan menyaingi saluran PewDiePie dengan mudah pada bila-bila masa.

Namun lain pula dengan pencabarnya pada kali ini iaitu T-Series yang merupakan sebuah syarikat korporat dari India dengan formula kejayaan yang betul dan sasaran penonton yang betul. Bagi yang belum mengenali T-Series, saluran T-Series menyajikan kandungan video muzik India yang mana menjadi kegemaran masyarakat India. India juga, seperti yang kita ketahui, mempunyai jumlah penduduk sebanyak 1.3 bilion. Di atas kerja sahaja, T-Series kelihatannya hampir pasti mampu memintas PewDiePie dalam masa terdekat ini.

 

Felix bersama tunangya, Marzia telah bersama melancarkan jenama pakaian mereka sendiri, “Tsuki”.

 

Berbeza dengan PewDiePie, T-Series tidak perlu bersusah payah menghasilkan kandungan original mereka sendiri dan juga tidak perlu berhati-hati dengan muat naik mereka supaya digemari penduduk di serata dunia. Mereka dengan mudah sahaja berjaya dengan “niche” mereka sendiri yang memfokuskan satu golongan sahaja.

Setelah 7 tahun dinobat sebagai Raja YouTube, dan telah berjaya mengharungi pelbagai siri kegagalan dan kontroversi seperti Revel Mode, Adpocalypse, dan juga pelbagai fitnah sensasi daripada pelbagai media massa, PewDiePie telah menjadi ikon yang bagus secara keseluruhannya. Malahan, tunangnya, Marzia juga telah membuat video berjudul “Goodbye Youtube” yang mengatakan beliau akan berhenti dari membuat video YouTube baru-baru ini.

 

Marzia Bisognin, 26, mengumumkan akan berhenti daripada membuat video YouTube.

 

Setelah berjaya menempatkan diri di dalam senarai penggiat YouTube terkaya di dunia, menjadi duta, model, dan juga menghasilkan produk pakaian mereka sendiri, PewDiePie dan Marzia kelihatan tidak takut dengan perebutan ini. Tidak dinafikan, PewDiePie telah menjadi pengaruh besar dalam dunia internet dan telah berjaya menjadi jenamanya tersendiri.

Selamat maju jaya, Pewds.

Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x