A regular tech blogger who have passions for cats.

Apabila diri sudah lama menyampah bersabar dengan pelbagai kerenah Chrome, tetapi tidak pula terasa mahu beralih kepada Firefox, maka tersekatlah niat di situ.

Muncul Brave, pelayar web yang mula memecahkan dominasi Google dan Mozilla.

Dicipta dengan tumpuan ke arah privasi, kini ia beralih kepada kod sumber Chromium. Ini bererti ia sepantas Chrome, tetapi tanpa sebarang telemetri penuaian data pengguna.

Untuk anda yang masih belum mengenali Brave,

Brave ialah pelayar web sumber terbuka dan terdesentralisasi yang memberi penghargaan kepada pencipta kandungan dan pengguna dalam bentuk dengan Basic Attention Token (BAT). BAT ialah platform pertukaran iklan sumber terbuka dan terdesentralisasi berdasarkan Ethereum, diasaskan oleh Brendan Eich.

Sama sahaja seperti pelayar web lainnya, Brave memberikan kebolehan kepada pengguna untuk melayari laman sesawang, strim video, dan apa sahaja yang dapat dilakukan oleh Chrome (senang faham).

Jadi, di mana perbezaannya, selain dari token penghargaan BAT?

Seperti yang ditulis di atas, Brave menumpukan kepada privasi dan sekuriti. Dua perkara ini menjadi titik tolak kepada terciptanya pelayar web Brave.

Atas sebab itu pada pelayar Brave, ia sudah tersedia ciri penyekat iklan (yang amat bagus sekali) dan juga penyekat trackers, pop-up, cookies, dan malware. Tidak seperti Chrome, ia tidak akan sesekali memberi peluang kepada trackers menjejak aktiviti anda.

Ia juga berasaskan kod sumber Chromium, lalu ia bebas dari sebarang jenis aktiviti ‘belakang’ dalam hal pengutipan data. Privasi anda terjaga dengan pelayar web ini.

Apa yang menarik mengenai sistem pemberian token penghargaan tersebut ialah, kedua-dua pengguna Brave dan juga penerbit/pencipta kandungan akan dapat menikmatinya dalam bentuk token crypto. Ini hanya dapat diperolehi melalui pelayar web Brave, bukan Chrome, bukan Firefox. Menarik bukan?

Jika anda mahu mula menggunakan Brave dan mengumpul BAT, sila muat turun ia (secara percuma ya) melalui pautan ini: Brave Browser.

Oh ya, Brave juga terdapat bagi sistem operasi Android dan iOS.

Pro Dan Kontra:

Pro: Ada pelbagai ciri yang menitik beratkan sekuriti serta privasi. Ia juga serasi dengan extension pelayar web Chrome, jadi anda tidak perlu bimbang tentang itu. Tidak lupa juga Basic Attention Token yang diberikan kepada pengguna dan penerbit kandungan. Pengguna juga boleh menderma kepada mana-mana laman sesawang yang mereka suka menggunakan platform BAT tersebut.

Bagus kan?

Kontra: Buat sementara waktu ini ia masih belum lagi mengaktifkan fungsi penyegerakan (synchronization). Jadi, jalan penyelesaian mudahnya, anda bolehlah import sejarah pelayaran, nama pengguna serta kata laluan yang penting dari pelayar web Chrome ke dalam Brave.

Ianya dalam perancangan untuk dilepaskan pada hujung tahun ini.

Bonus:

Pelayar web Brave boleh juga digunakan sebagai klien torrent kerana ia turut dikuasakan dengan WebTorrent.

Ianya tidaklah sebagus klien torrent penuh, tetapi cukup ‘sifat’ untuk muat turun mana-mana fail torrent dengan cepat.