10 Alternatif Sumber Terbuka Dan Percuma Bagi Perisian Komersial

‘Sumber Terbuka’ merujuk kepada sesuatu yang dapat diubah, dilakukan modifikasi terhadapnya, dan dikongsikan kerana rekaannya adalah dapat diakses secara bebas dan terbuka. Perisian sumber terbuka pula adalah perisian yang punyai kod sumber boleh diperiksa, diubah, dan ditambah baik oleh sesiapa sahaja.

Terdapat berbagai faedah yang dapat diperoleh secara langsung atau tidak apabila kita menggunakan perisian sumber terbuka. Secara ringkas, pengguna peroleh lebih kawalan, sekuriti, dan keyakinan terhadap perisian yang digunakan. Bagi mengupas faedah-faedah ini, artikel yang lebih panjang diperlukan.

Kali ini kita akan membicarakan mengenai alternatif perisian sumber terbuka kepada perisian komersial yang sekian lama digunakan. Mari kita mulakan dengan Nextcloud.

1. Nextcloud > Dropbox

Nextcloud adalah storan awan sumber terbuka, platform komunikasi dan perkongsian fail yang dihoskan sendiri. Anda boleh baca bagaimana cara mendapatkan storan permulaan percuma 10GB di sini: [Tips Dan Tutor] Cara Mendapatkan Storan Awan 10GB Dengan Nextcloud

Tidak seperti Dropbox (contoh), disebabkan ianya bersumber terbuka, maka pengguna boleh mengehoskan fail pada pelayan peribadi.

2. Signal > WhatsApp

Signal adalah aplikasi permesejan yang benar-benar menumpukan kepada sekuriti. Ia menggunakan protokol Signal, sejenis protokol yang moden, bersumber terbuka, dan mempunyai enkripsi yang sangat kuat. Ia juga menyokong fungsi SMS. WhatsApp juga menggunakan protokol signal dalam versi terbarunya, namun sejauh mana implementasi mengikut cara atau kaedah yang digunakan oleh aplikasi Signal itu sendiri tidak dapat dipastikan kerana ia memerlukan telemetri.

Jika anda mahu memasang Signal, bolehlah ke pautan ini: Signal.

3. Thunderbird > Outlook/Apple Mail

Sukar hendak menggantikan Outlook dengan lain-lain aplikasi pengurus emel dek kerana sudah terlalu biasa dengannya. Sama ada dari paparan antaramuka atau ciri, ia menjadi sebati dengan diri. Tetapi Thunderbird tidak mengecewakan. Selain percuma dan bersumber terbuka, ia mampu menguruskan pelbagai jenis emel dari pelbagai domain.

Mungkin ada ciri yang masih kurang, namun ia dapat ditampung oleh addon/extension. Apa yang pasti, jika anda ada kekeliruan atau masalah, komuniti di forum sedia membantu.

Muat turun: Thunderbird.


4. Brave > Firefox > Chrome

Rasanya tidak perlu lagi kami perkenalkan pelayar web ini kerana kami sudah pun menulis mengenainya. Anda boleh baca maklumat dan info terperinci tentang pelayar web Brave di sini: Brave Kini Berasaskan Chromium: Lebih Pantas Dan Menyokong Chrome Extension.

5. LibreOffice > Microsoft Office

Secara jujurnya, saya bukan peminat LibreOffice. Paparan antaramuka penggunanya yang tidak ‘menyumbang’ kepada mudahnya untuk beralih dari Microsoft Office (Word) menjadi penyebab utama. Namun bagi peminat tegar sumber terbuka, LibreOffice adalah alternatif paling menarik digunakan sebagai pengganti.

Saya pula? Saya memilih Kingsoft WPS Office 2016.

6. Linux > Windows

Secara teknikalnya Linux bukanlah aplikasi atau perisian, kerana ia adalah sistem operasi seperti Windows dan macOS. Namun ia dimasukkan ke dalam senarai kerana peminat sumber terbuka perlu tahu, perlu mahir, dan juga perlu fahami selok belok sistem operasi ini jika mereka hendak beralih secara penuh dari Windows/macOS.

Kami telah tuliskan pelbagai artikel tentang Linux. Anda boleh rujuk dan cari menggunakan kata kunci Linux di bar carian.

7. FreeCAD > AutoCAD

Sukar hendak mencari alternatif terbaik kepada AutoCAD. Perisian AutoCAD berada dalam kelasnya yang tersendiri. Namun buat anda yang baru hendak mulakan perniagaan, syarikat baru beroperasi, rasanya FreeCAD sudah memadai. Tak perlulah gunakan perisian AutoCAD yang cracked.

Info lanjut: FreeCAD.

8. GIMP > Photoshop

Sama seperti AutoCAD, Photoshop juga berada dalam kelasnya yang tersendiri. Saya tidak akan sesekali merendahkan taraf perisian ini, cuma jika anda mahukan sesuatu yang hampir menyamai ciri Photoshop tetapi percuma (dan sumber terbuka semestinya), GIMP adalah pilihan tepat.

Muat turun: GIMP.

9. OpenShot > EDIUS Pro 9

Saya adalah pengguna EDIUS Pro. Perisian ini memang sangat-sangat ‘berkuasa’ dalam menjadikan sesuatu tugas penyuntingan video lebih efisien. Tetapi apabila menggunakan Linux, perisian komersial seperti ini memerlukan alternatif yang setara dengannya.

Di sinilah hadirnya OpenShot.

OpenShot ialah perisian penyunting video percuma dan bersumber terbuka untuk Linux, Mac, dan Windows. Tampilannya tampak mudah untuk difahami, jika anda biasa menggunakan EDIUS Pro atau lain-lain perisian penyunting video.

Muat turun: OpenShot.

10. SMPlayer > MPC-HC

Asalnya, saya adalah pengguna MPC, kemudian beralih kepada UMPlayer, beralih lagi sebentar kepada VLC, dan akhirnya terus menggunakan SMPlayer sebagai pemain media video utama.

Ia mempunyai pelbagai ciri menarik, contohnya integrasi dengan OpenSubtitles, sokongan tema, dan strim video dari YouTube.

Muat turun: SMPlayer.

Baiklah, setakat ini sahaja perkongsian. Di artikel akan datang, mungkin saya akan cuba ulas mana-mana aplikasi atau perisian yang masih belum mendapat ulasan penuh.

Harap anda dapatlah manfaatkan kesemua perisian percuma dan sumber terbuka ini.

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x