11 Tips Kritikal Memilih Servis VPN Terbaik: Tingkatkan Privasi Dan Sekuriti

Kami pernah menerbitkan artikel bagaimana hendak memilih servis VPN yang terbaik buat diri anda. Cuma disebabkan ia sudah lama, maka setiap yang lama adalah perlu untuk diperbaharui dengan penambahbaikan.

Terdapat berbagai sebab mengapa seseorang itu (atau sesuatu orgnanisasi/jabatan) mahu menggunakan VPN. VPN bukan khusus untuk jurnalis sahaja. Ia perlu digunakan oleh semua individu yang mementingkan tahap sekuriti tinggi pada peranti digunakan. VPN juga mampu meningkatkan tahap privasi kepada aras berbeza dek kerana enkripsi yang dijalankan.

Sesetengah orang menggunakan VPN untuk melepasi berbagai jenis firewall dan sekatan terhadap internet. Ada juga yang menggunakannya untuk melepasi sekatan TV dalam talian di negara luar yang hanya membenarkan IP dari rakyat tempatan sahaja melayari dan strim video pada laman web mereka seperti Hulu, Netflix, dan lain-lain lagi. Sesetengah yang lain pula hanya mahukan privasi terjaga dan menggunakan VPN sebagai langkah keselamatan untuk melindungi sambungan internet mereka dan menyembunyikan IP yang asal.

Atas sebab itu maka adalah sangat kritikal bagi setiap orang memilih servis VPN terbaik tanpa mengorbankan pula sekuriti dan data peribadi. Anda perlu faham, bahawa kepercayaan adalah kunci kepada pemilihan, oleh itu integriti dan sejarah rekod bersih merupakan salah satu ‘muka depan’ servis.

Pemilihan dapat dilakukan dengan mengikuti tips-tips berikut.

1. Jangan pilih servis percuma.

VPN percuma bukan sahaja tidak bagus malahan berbahaya kepada sekuriti dan privasi data anda. Sentiasa ingat sifirnya, jika sesuatu itu percuma, maka anda adalah PRODUKNYA. Dari mana para pengendali VPN ini hendak menjana pendapatan bagi menampung kos penggunaan pelayan jika mereka ‘menyewakan’ ia kepada anda secara percuma pula?

Salah satu caranya adalah dengan menjual data anda kepada pihak ketiga. Zaman ini data adalah satu-satunya bentuk kandungan digital paling mahal boleh diurusniagakan.

Anda boleh baca lebih lanjut mengenai hal ini di sini: Mengapa VPN Percuma Tidak Bagus (Untuk Semua Sebab)

2. Jauhi promo ‘unlimited quota service’.

Jika anda terpesona dengan promosi ‘servis unlimited kuota’, maka berhentilah dari situ. Anda perlu perhatikan kepada semua servis VPN premium dan terkenal dunia yang pernah kami ulas sebelum ini. Pernahkah mereka promosikan faedah seperti itu?

TIDAK. Ini adalah kerana sebarang perkara seperti itu hanyalah wujud disebabkan kerentanan dalam sistem telco, dan secara kebetulan dapat dimanipulasi oleh sambungan VPN. Ia bukan teras kepada sebab penggunaan VPN, dan anda boleh lihat sendiri setiap pengendalinya belum cukup mahir dan matang dalam memahami selok-belok VPN.

Tapi terpulang. Anda yang percayakan mereka. Kami tidak.

3. Semak sokongan teknikal dan kualiti perkhidmatan sebelum dan selepas jualan yang diberikan oleh pembekal VPN.

Ini juga adalah teramat penting. Selain sokongan maklum balas pelanggan melalui emel, sokongan tetingkap bual (chat) juga adalah perlu. Sistem perkhidmatan sebelum dan selepas jualan adalah sangat penting bagi memastikan pengguna terutamanya yang baru dapat menyelesaikan masalah atau isu yang bersangkut paut dengan klien dan sistem operasi.

Jika servis tersebut hanya mempunyai sokongan emel, maka pantau berapa lama staf mereka membalasnya. Juga lihat sama ada syarikat itu mempunyai laman-laman media sosial dan Reddit, supaya anda dapat hubungi mereka di situ.

4. Tidak menyimpan log pengguna, tidak memantau, dan tidak peduli apa yang kita lakukan.

Rekod trek yang bersih adalah cara bagaimana anda hendak mengetahui tahap kebolehpercayaan sesuatu syarikat VPN. Dengan adanya kajian kes, pengguna akan dapat menilai sejauh mana syarikat mengekalkan tahap integriti mereka apabila didesak dengan saluran undang-undang.

Syarikat yang memilih untuk menutup pelayannya daripada menyerahkan data pengguna kepada pihak berkuasa adalah syarikat yang boleh diharapkan.

Ada juga syarikat yang tidak membenarkan aliran trafik tertentu seperti torrent digunakan pada servis mereka. Ini jelas bertentangan dengan kebebasan berinternet yang tidak selari dengan prinsip asas VPN. Sama ada torrent digunakan untuk memuat turun fail yang dilindungi Akta Hak Cipta atau tidak adalah satu perkara berbeza.

5. Ambil kira faktor negara 14 Eyes dan bidang kuasa.

Perikatan perisikan antara 14 buah negara yang dipanggil dengan nama 14 Eyes, merupakan faktor kritikal dalam menentukan keberkesanan VPN menjaga hak privasi pengguna. Seperti kajian kes yang telah dilakukan sebelum ini, ada antara syarikat VPN dan emel yang didesak untuk memberikan maklumat sulit pengguna kepada pihak berkuasa.

Syarikat yang berjaya mengendalikan sepina dari mahkamah antaranya adalah seperti Private Internet Access dan ExpressVPN.

Jadi, ada dua perkara yang perlu dilihat dalam hal ini.

a) Semak dahulu negara dan bidang kuasa di mana servis atau syarikat VPN itu berada.

b) Semak rekod trek syarikat, sama ada mereka pernah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan ataupun sebaliknya.

6. Menggunakan OpenVPN Dan Anti-DPI.

Berkali-kali ditekankan tentang ciri ini. Anti-DPI sangat penting terutamanya bagi rangkaian yang dilindungi dengan pelbagai perisian sekatan serta firewall.

Deep Packet Inspection (DPI) ialah suatu bentuk proses tapisan paket rangkaian komputer yang memeriksa bahagian-bahagian data pada suatu paket (dan bahkan juga pada header) apabila ia melepasi titik pemeriksaan bagi mencari protokol ketidakpatuhan, virus-virus, spam-spam, pencerobohan, atau mana-mana kriteria yang telah didefinisikan untuk membuat keputusan sama ada sesuatu paket boleh masuk melepasi atau jika ia perlu dihalakan ke destinasi yang berbeza, atau, bagi tujuan mengumpulkan maklumat-maklumat statistik.

Menggunakan Anti-DPI VPN adalah satu-satunya jalan yang paling terdekat dan mudah. Sepertimana namanya, Anti-DPI VPN akan dapat memberhentikan data-data anda daripada dipantau, direkod, dan dilog oleh pihak ISP mahupun kerajaan.

7. Menyokong laman penstriman (Ciri Bonus).

Sejak beberapa tahun ke belakang ini, banyak laman penstriman seperti Netflix yang sudah mula melakukan sekatan terhadap alamat-alamat IP dari VPN. Akibat dari ini, penstriman tersekat apabila VPN dihidupkan. Anda boleh lihat contoh pada gambar di bawah.

Sejak itu, kebanyak servis VPN ini mula mencipta pelbagai ‘workaround’ yang mampu melepasi sekatan dibuat. Jika VPN yang anda pilih itu mempunyai ciri sokongan terhadap laman-laman penstriman, ia adalah servis yang boleh diletak dalam senarai pendek pemilihan.

8. Pelbagai kaedah pembayaran, terutamanya anonymous.

Dari kad kredit, kad debit, PayPal, hinggalah kepada Bitcoin, kesemua kaedah pembayaran ini perlulah ditawarkan. Jika hanya ada kad kredit dan debit sahaja, anda perlu cuba cari servis lain terlebih dahulu. Lihat sahaja sistem pembayaran yang ditawarkan oleh NordVPN ini. Pemilihan matawang crypto sebagai pembayaran adalah langkah yang boleh dipuji kerana ia penting bagi mereka yang mahukan lebih ‘privasi’, bayar kepada servis tanpa dapat dijejaki.

9. Menggunakan pelayan sendiri.

Cuba fikirkan, prinsip yang saya dapat sewaktu menggunakan VyprVPN dahulu, akan bagaimana sesuatu servis VPN itu dapat menjaga privasi anda apabila setiap pelayan bukan dimiliki oleh mereka sendiri! Pemilik kepada pelayan tersebut boleh bila-bila masa memantau penggunanya.

Anda boleh dapatkan maklumat mengenai pelayan yang digunakan oleh syarikat tersebut sama ada melalui chat, emel, ataupun laman F.A.Q mereka.

10. Cuba dahulu.

Sama ada anda cari servis yang mempunyai tempoh percubaan, atau langgan sahaja terlebih dahulu selama sebulan. Ada juga servis yang menawarkan tempoh langganan percubaan 7 hari, tetapi anda perlu juga membayar sedikit. Percubaan ini sekurang-kurangnya memberikan anda masa untuk menilai sama ada servis tersebut mampu memuaskan hati anda untuk satu tempoh yang lama atau tidak.

Mungkin ia nampak remeh, tetapi setelah anda mencuba beberapa servis, anda akan tahu kenapa ianya juga adalah penting. Anda pasti mula mengkaji satu demi satu tips dari artikel ini apabila anda telah melakukan langkah percubaan itu.

11. Klien Linux.

Ada klien Windows? Bagus. Ada klien Android? Bagus. Klien Mac dan iOS ada juga? Bagus.

Tetapi tiada pula untuk Linux. Kalau ada pun dalam bentuk baris perintah. Saya rasa mungkin pengguna Linux tidak begitu kisah tentang hal klien yang mempunyai paparan antaramuka pengguna atau GUI ini, tetapi anda akan faham apabila servis tersebut mempunyai klien GUI pada Linux (terutamanya Arch Linux!), itu bererti mereka sangat mengambil serius tentang bisnes yang sedang mereka jalankan.

Contoh, TorGuard VPN.

*Tips: Gunakan kod OMGHACKERS50 bagi mendapatkan diskaun 50% seumur hidup jika anda hendak melanggan TorGuard.

Penutup:

Terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum memilih sesuatu servis, terutamanya VPN.

Pengguna perlu memastikan terlebih dahulu integriti syarikat yang mengendalikan perkhidmatan, sama ada mereka benar-benar menjalankan amanah, serta menjaga seboleh mungkin data peribadi atau pun tidak.

Jika anda sukakan artikel seperti ini, jangan lupa komen dan kongsikan ia kepada semua rakan-rakan di media sosial anda.

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x