Utama Blog Laman 99

Isharefans Scam Atau Tidak?

0

Ramai yang tanya tentang isharefans. Sebenarnya malas nak tulis. Sebabnya modus operandi sama saja. Saya tak nak kata isharefans ini scam atau tidak. Tapi mari saya bagi pencerahan. Maaf, bahasa post ini mungkin agak pasar sebabnya saya tak sihat sangat ni. Mungkin saya edit balik nanti.

Pertama sekali, bila ada apps, atau website, atau program “bagi duit percuma”, pertama sekali kita mesti cari maklumat syarikat di internet. Mesti ada website rasmi. Bila dah jumpa website rasmi, kita boleh teruskan ke langkah kedua.

Isharefans.com adalah website rasmi. Jadi kita ke whois domain search untuk melihat maklumat pemilik domain ini. Yakni maklumat siapakah tokey isharefans ini. Dan…. maklumat isharefans di carian whois adalah…”RAHSIA”. Tiada maklumat. Private. RED FLAG #1.

Seterusnya kita lihat tarikh domain didaftar. Baru bulan 8 lepas. Terlalu baru. Domain pula didaftar hanya untuk setahun sahaja. Jarang syarikat besar daftar domain setiap tahun. Biasanya mereka renew lump sump minima 3 tahun. RED FLAG #2 DAN #3.

Kita korek lagi. Sistem reward pun pelik. Takde la pelik. Tapi jelas nampak ponzi di situ. User boleh recruit user lain. User direcruit tak akan dapat buat task lebih banyak dari recruiter a.k.a upline. Jadi kalau downline nak duit lebih dr upline, downline kena beli lagi VIP level supaya “mata reward tak terbazir”. Semakin tinggi level VIP, semakin mahal harga “lesen” VIP dan semakin mahal reward. Cash out pun belum lagi, anda dah kena keluarkan duit. RED FLAG #4, #5 dan #6.

Lagi. Isharefans ni nampaknya macam website China. Tapi maklumat di whois menunjukkan registration di Amerika? Pelik. Segala maklumat ini membawa bau ikan dan mengimbau kembali sejarah silam melanda netizen. Buat task macam nak gila, tapi nak cashout kena bayar dulu. Dah bayar company hilang, domain ghaib. Nak report, nama company pun tak tahu.

Akhir sekali, semakan terkini mendapati isharefans sudah menambah domain “tambahan” iaitu isharefans.vip dan isharefans.net. Kalau tanya saya, agak mencurigakan. Seperti sediakan kenderaan untuk melarikan diri dari kawasan rompakan.

Akhir kata, tak ada orang suka-suka nak bagi duit percuma. Orang gila pun tahu hatta nak beli air teh beng sekali pun kena guna duit. Janganlah kita dikencing dua tiga kali dengan skim yang sama cuma nama berbeza.

Views: 9

Iklan Newspaper Inline

Tails: Cara Hidup Sebagai Manusia Halimunan Di Internet

1

Hidup di zaman penuh pemantauan dari pihak ketiga ini memerlukan satu dinding penghalang agar aktiviti mereka dapat dijeda sebentar.

Tidak kisahlah siapa pun anda, ada masanya kita perlu bersendirian agar dapat memberi ruang kepada minda untuk dapat bertenang dalam memikirkan perancangan hidup.

Kadangkala kita juga tidak mahu diri dijejaki oleh insan-insan yang kita sudah tidak mahu lagi berurusan dengan mereka, atau kita hanya mahu hidup tanpa ada apa kaitan dengan dunia luar.

********

Anda memenuhi kriteria di atas? Oleh itu, anda layak menggunakan Tails. Biasanya pengguna Tails terdiri dari ‘whitleblower’, jurnalis, dan beberapa lagi kategori individu yang enggan hidupnya dipantau atau diburu.

Apa Itu Tails?

Tails merupakan singkatan daripada perkataan The Amnesic Incognito Live System. Ia adalah sebuah sistem operasi jenis ‘incognito’, iaitu ia tidak akan menyimpan sebarang data dalam sistem. Sesuai dengan namanya, kesemua data akan dihapus a.k.a ‘dilupakan’.

Antara ciri Tails yang penting ialah ia akan terus bersambung ke rangkaian Tor sebaik sahaja berhubung ke internet. Tails tidak akan membiarkan anda menggunakan rangkaian biasa yang terdedah kepada pemantauan sama ada daripada ISP mahupun pihak lain.

Pelayar web yang digunakan juga menggunakan sambungan Tor (Tor Browser). Manakala rangkaian dilindungi oleh Onion Circuits. Anda boleh lihat beberapa paparan tangkap layar di bawah.

Anda boleh muat turun Tails di pautan: Tails.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

China Menggelar AS Sebagai ‘Empayar Penggodaman’

0

 
Berikutan dari tuduhan NSA ke atas penggodam dari China mengeksploit ralat sekuriti siber, China membalas kembali dengan memanggil Amerika sebagai empayar penggodaman.
 
Sebelum itu NSA menyenaraikan 25 kerentanan pada perisian umum yang dikatakan dapat dieksploitasi oleh penggodam upahan negara China untuk dapat mengakses data sensitif.
 
Sebilangan besar kerentanan dapat dimanfaatkan untuk mendapatkan akses awal ke rangkaian mangsa menggunakan produk yang dapat diakses secara terus dari internet dan bertindak sebagai pintu masuk ke rangkaian dalaman.
 
Kerentanan yang disenaraikan oleh agensi tersebut sudah diketahui umum, dalam perisian seperti Microsoft Windows atau produk kerja jarak jauh Citrix Systems Inc.
 
Walaupun kerentanan telah didedahkan, pakar sekuriti komputer mungkin berhadapan kesukaran untuk menerapkan perbaikan yang memadai bagi mengurangkan kelemahan.
 
Dalam beberapa keadaan, kerentanan sudah berusia beberapa tahun sementara yang lain baru ditemui pada bulan September lalu.
 
Selepas dituduh sebagai pengeksploitasi kerentanan, jurucakap Kementerian Luar China membalas dengan kenyataan – AS adalah ’empayar penggodaman’, kata jurucakap kementerian, Zhao Lijian dalam sidang media pada hari Rabu, dengan memetik program perisian/pemantauan yang didedahkan oleh bekas kontraktor NSA iaitu Edward Snowden pada tahun 2013.
 
Program dimaksudkan ialah PRISM.
 
PRISM ialah kod nama bagi sebuah program di bawah NSA yang mengumpulkan komunikasi internet dari berbagai syarikat internet di AS.
 
Prism adalah salah satu program pengawasan/pengintipan dibocorkan oleh Snowden, yang memperlihatkan bagaimana NSA mengumpulkan komunikasi internet dari syarikat teknologi seperti Google, Facebook dan Microsoft.
 
Zhao juga menuduh AS menduduki posisi paling hadapan dalam perisian dan perkakasan, memberikan negara itu ‘kelebihan semula jadi’ dalam mengeksploitasi kerentanan.

Infografik oleh: National Security Agency (NSA).

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Privado Private Search Engine: Enjin Carian Yang Mementingkan Privasi

0

Sebelum ini kita hanya ada beberapa pilihan untuk enjin carian yang mensasarkan kepada privasi. Salah satunya ialah DuckDuckGo, yang mula meluncur kepada populariti selepas kemunculannya pada tahun 2008.

Bukan sedikit penggunanya. Dikatakan pada tahun 2019 sahaja, ia memperoleh carian dari pengguna sebanyak 36 juta dalam sehari. Terlalu ramai pengguna yang tidak mahu carian mereka dijejak oleh enjin carian arus perdana seperti Google dan Bing.

Tetapi sebut mengenai Bing, tahukah anda, enjin carian dari Microsoft itu mempunyai versi fokus ke arah privasi?

Ia dinamakan sebagai Privado, sebuah enjin carian dari CodeFuel yang menyasar kepada pengguna yang inginkan privasi ketika membuat carian.

Hasil carian dikuasakan oleh Bing, tetapi dipacu oleh carian pengguna dan bukan dari demografi atau data peribadi mereka.

Pada akhir tahun lepas, enjin carian privasi Startpage memperkenal satu tab khusus untuk berita, menambahkan ciri seperti carian web, gambar, video, dan sebagainya lagi. Suapan berita disediakan oleh Microsoft melalui Bing.

Iklan keluar berdasarkan pertanyaan carian pengguna yang ditaip oleh mereka. Tetapi dengan Privado, Bing tidak menggunakan informasi tentang pengguna untuk mensasarkan iklan.

Anda boleh tukar beberapa tetapan. Walaupun tidak banyak, tetapi cukuplah untuk enjin carian yang lebih menumpu kepada privasi ini.

Kalau ada sesuatu yang masih belum berfungsi ialah hasil carian untuk gambar.

Privado ada extension/addon untuk Google Chrome (dan mana-mana pelayar berasaskan Chromium) dan Firefox.

Chrome
Firefox
Google Play Store

Anda boleh cuba sendiri Privado di: Privado Private Search Engine.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Oppo Enco W11 : Tumbukan Bass Yang Mantap!

 

Tidak ketinggalan dengan pesaingnya, Oppo turut sama menambahkan satu lagi produk tersendiri ke dalam ekosistem mereka. Dengan kepesatan dan peningkatan permintaan dalam aksesori tanpa wayar, Oppo hadir dengan TWS baru mereka dalam siri Enco; Oppo Enco W11.

 

 

Pandang Pertama

 

Terus dari kotak, penjenamaan mereka jelas dilihat. Dengan tulisan “oppo” yang terpampang nyata pada bekas TWS, ia mungkin disukai atau tidak disukai oleh pengguna. Ia agak jelas dan tidak nampak seperti ingin diasembunyikan. Satu langkah yang agak berani dalam jabatan rekabentuk Oppo. Hadir dalam pakej serba putih dan minimalis, di dalamnya anda akan menerima kabel pengecas USB-C, dua pasang getah gantian telinga berlainan saiz, sebuah buku manual dan juga sebuah buku jaminan hayat. Walaupun sedikit minimalis, namun Oppo masih masih lagi cuba sedikit berusaha dalam pembungkusan mereka dengan melabel bahagian dalam kotak di ruangan simpanan kabel dan juga getah gantian telinga. Satu seni rekabentuk yang tidak menyerlah, namun jelas menunjukkan yang mereka peduli dengan pelanggan mereka.

 

 

Kualiti Binaan

 

Oppo Enco W11 hadir dengan bekas bersaiz kecil. Dengan plastik berkilat, ia terasa dan kelihatan agak murah berbanding jenama lain. Tapi bagi saya, Oppo ingin mengekalkan bahasa rekabentuk mereka. Warna dan skim warna TWS ini saling tak tumpah seperti pengecas telefon mereka. Putih mutiara. Sangat mencuri perhatian dan memantulkan cahaya. Cantik, tetapi agak mudah menangkap kelam dan cela untuk mereka yang aktif atau suka mencampakkan TWS mereka ke merata tempat. Tekstur plastiknya memudahkannya untuk dicuci sekiranya anda rajin, tapi seperti yang saya katakan, ia agak mudah menangkap cela dan warna kekotoran.

 

 

Penutupnya menggunakan mekanisme magnet untuk membuka dan menutup penutup. Untuk memegang kedua-dua belah TWS juga terdapat magnet dan dua pin pengecasan pada setiap satu belah TWS ini. Kesemuanya melekap dengan kuat dan tahan goncangan. Sekalipun penutup bekas terbuka, TWS di dalamnya tidak mudah terjatuh walau digoncang dengan kuat. Sememangnya kualiti yang dijangkakan dari pengeluar dengan reputasi yang bagus.

 

 

Pengecasan pada bekas TWS ini menggunakan USB-C. Sesuatu yang sangat saya suka kerana kesemua telefon saya kini menggunakan USB-C. Jadi saya hanya perlu menyimpan satu sahaja kabel pengecas yang mampu mengecas telefon mahupun TWS saya. Untuk tahun 2020 ini, saya berpendapat semua pengeluar sepatutnya sudah mula beralih kepada USB-C.

 

Satu lubang LED sahaja berada di bahagian hadapan bekas ini. Merah apabila bateri rendah, oren apabila sedang mengecas dan hijau apabila bateri penuh. Ini bermakna tiada penyukat bateri pada TWS ini. Anda tidak dapat mengagak berapa peratus lagi bateri yang tinggal pada bekas ini. Jadi anda hanya perlu mengagak sahaja atau tunggu sahaja sehingga LED berwarna merah untuk mengecas semula.

 

Bateri

 

Oppo Enco W11 berupaya untuk memainkan muzik selama 5 jam pada kedua-dua belah TWS. 20 jam sekiranya termasuk dengan kapasiti bateri pada bekasnya. Bekas pengecas berkapasiti 400 mAh manakala pada kedua-dua TWS adalah sebanyak 40 mAh. Nombor yang cantik. Dalam ujian saya, pada kelantangan 70%, saya dapat mendengar muzik selama 4 jam 30 minit tanpa henti. Agak bagus untuk TWS pada lingkaran harga ini. Saya kira, rata-rata TWS berkualiti di pasaran pun berada dalam lingkaran tempoh ketahanan bateri sekitar 4-5 jam sahaja.

 

 

Kualiti Bunyi

 

Oppo mengiklankan Oppo Enco W11 ini sebagai TWS dengan Enhanced Bass. Saya mempunyai jangkaan yang tinggi pada setiap produk yang begitu berani mengiklankan kualiti bunyi mereka dengan ciri bunyi yang spesifik. Untuk menguji Oppo Enco W11, saya telah mendengar lagu-lagu dengan julat bunyi pelbagai seperti Kyoto Protocol – Jelita, TWKUA – Great Glass City, Dylan Locke ft Davie504 – Coffin Dance 2, kompilasi lagu-lagu dari Nujabes dan lagu-lagu dari genre Modern Psychedelia.

 

Pada tetapan asal, Oppo Enco W11 kedengaran sangat berat pada bass dan agak runcing pada frekuensi rendah. Tiada aplikasi untuk menala bunyi TWS mereka daripada Oppo, namun dengan menggunakan Dolby pada telefon dan juga komputer saya, kualti bunyi Oppo Enco W11 dapat ditala dengan begitu baik dan memuaskan halwa telinga saya. Bagi saya, sekiranya sesebuah TWS dapat memberi tindak balas yang bagus pada talaan equalizer, itu bermakna TWS itu berkualiti dan dibina dengan komponen yang berkualiti.

 

Pemacu audionya yang bersaiz 8mm mampu menghasilkan bunyi yang seimbang dengan bass yang bergegar serta kejelasan yang mencukupi pada frekuensi tinggi. Untuk kegunaan muzik dan menonton video, anda tidak akan silap dengan Oppo Enco W11. Tidak berlebihan juga untuk saya katakan, Oppo Enco W11 ini mampu menghasilkan bass seakan-akan kualiti pada sepasang headphone. Kejituan penghasilan bassnya tidak terasa palsu seperti TWS dan earphone murahan di pasaran.

 

Kualiti mikrofonnya pula pada saya adalah baik sahaja. Dengan bentuknya yang berada di dalam telinga, kualiti mikrofonnya sudah tentu tidak akan sebagus TWS lain dengan rekabentuk yang memanjang ke luar. Namun begitu, suara saya masih jelas kedengaran dengan pengasingan bunyi bising persekitaran yang bagus. Rata-rata pemanggil saya tidak mempunyai masalah untuk mendengar suara saya ketika panggilan. Oppo Enco W11 tidak mempunyai sebarang masalah untuk dijadikan sebagai hands-free dengan kejelasan bunyinya.

 

 

 

Kualiti Sambungan

 

Dengan Bluetooth 5.0, ia menyokong codec AAC dan SBC. Sayang juga kerana Oppo Enco W11 tidak menyokong codec aptX mahupun aptX HD. Pun begitu, Oppo nampaknya berupaya meletakkan keupayan sambungan serentak di kira dan kanan TWS mereka sama seperti yang terdapat pada aptX TWS+. Ini memberikan Oppo Enco W11 sambungan yang pantas dengan kelalaian bunyi yang minima. Semasa menonton video di YouTube atau pemain video, tidak terasa jeda pada audio dan video. Sambungannya pula stabil walau dalam jarak yang agak jauh. Oppo memberi jaminan sambungan sehingga 10 meter. Ujian di dalam rumah dengan saya berjalan dari bilik ke bilik adalah memuaskan. Lagu tidak tersekat-sekat walaupun saya berada di dua bilik bejauhan dengan dinding di antara keduanya.

 

Sambungan juga sangat mudah. Anda tidak perlu menekan apa-apa butang untuk memasang Oppo Enco W11 pada peranti anda atau ketika mahu menukar peranti. Cuma perlu keluarkan daripada kotak dan pilih untuk dipasangkan dengan telefon atau PC anda. Apa yang paling saya suka dengan Oppo Enco W11 ini, ia sangat mudah untuk ditukar-tukar di antara pelbagai peranti. Contohnya, sekiranya saya ingin menggunakan Oppo Enco W11 saya di PC, saya cuma perlu menutup Bluetooth di telefon saya dan pilih untuk memasang Oppo Enco W11 saya di PC. Tidak perlu untuk saya menekan butang ataupun reset TWS ini. Sangat mudah!

 

KAWALAN

Oppo Enco W11 menggunakan kawalan sentuhan.Sejujurnya, ia mempunyai kawalan yang paling baik setakat ini. Satu sentuhan untuk main/jeda lagu, dua sentuhan untuk mainkan lagu seterusnya/sebelumnya, 3 sentuhan untuk menggunakan Google Assistant dan tahan untuk menaikkan dan menurunkan kelantangan bunyi. Tiada lagi masalah tidak sengaja menghentikan lagu, atau memanggil Google Assistant ketika mahu menukar kelantangan di TWS.

KELEBIHAN

Secara purata, bagi saya kekuatan bagi TWS ini adalah keselesaan dan bunyi bass yang tidak terasa palsu. TWS ini sangat ringan dan melekap dengan kemas walaupun ketika bersukan. Dengan jangka hayat bateri sehingga 5 jam satu kitaran, ia sudah mencukupi untuk sekali penggunaan. Bekas TWS ini juga bersaiz kecil dengan sokongan sehingga 4 kali pengecasan penuh sebelum perlu dicas menggunakan USB-C. Selain itu, antara faktor lain yang saya suka ialah ketika menggunakan TWS ini, tiada LED yang menyala pada TWS ini. Dengan itu, orang sebelah tidak akan silau dengan LED anda sekiranya menggunakannya di dalam bilik yang gelap ataupun ketika dalam perjalanan menggunakan kenderaan di waktu malam.

 

KEKURANGAN

Ada beberapa kekurangan yang saya dapati pada Oppo Enco W11 walaupun ia tidak terlalu kritikal, tapi bagi sesetengah orang, ia mungkin menjadi faktor mereka tidak akan mendapatkan TWS ini. Pertamanya, tiada penunjuk aras bateri pada bekas TWS. Anda tidak dapat mengetahui berapa peratus lagi bateri yang tinggal di dalam bekas TWS dan perlu menunggu LED bertukar ke warna merah untuk akhirnya sedar bateri anda sudah hampir habis. Oppo Enco W11 juga tidak mempunyai codec aptX. Kita melihat semakin banyak TWS di pasaran sekarang sudah hadir dengan aptX atau aptX HD dalam harga yang mampu milik. Pilihan Oppo untuk tidak mendatangkan Oppo Enco W11 dengan sokongan aptX mungkin tidak menjadi pilihan sesetengah pengguna. Akhir sekali, ia isu yang agak melucukan sebenarnya. Saya dapati agak sukar untuk mengeluarkan TWS ini daripada bekasnya. Mungkin kerana jari saya besar, mungkin kerana teksturnya yang agak glossy, atau mungkin kerana magnet pada bekasnya terlalu kuat. Tapi agak mengganggu juga terutama sekali apabila saya sedang memandu dan ingin mengeluarkan TWS untuk menjawab panggilan di dalam kereta.

 

 

KESIMPULAN

Oppo Enco W11 adalah sebuah produk berkualiti daripada sebuah syarikat pengeluar telefon pintar paling tinggi di dunia. Berjaya mendominasi pasaran Asia Tenggara selama 2 tahun berturut di tangga pertama, Oppo sememangnya terkenal dengan produk yang berkualiti dan berjaya memenuhi citarasa pembeli majoriti. Oppo Enco W11 hadir dalam pakej yang comel, senang dibawa dan nampak premium. Dengan bunyi yang tepat dan bass yang jitu, ia mampu memberi kepuasan kepada banyak jenis penggemar lagu dan genre. Sekiranya anda seorang yang aktif, Oppo Enco W11 adalah sesuai untuk anda dengan saiz yang kecil, pemakaian yang selesa dan ringan di telinga serta kalis air sehingga IPX5. Saya telah mengharungi hujan selama 45 minit sambil menunggang motosikal dan terlupa TWS ini berada di dalam poket. Setibanya di rumah, ia masih berfungsi tanpa sebarang masalah!

 

Ia tidak menyokong codec popular seperti aptX dan aptX TWS+, serta tidak mempunyai mod gaming. Namun Oppo nampaknya berjaya mencipta formula mereka sendiri dengan protokol sambungan secara individu ke kedua-dua belah TWS. Untuk bermain permainan mudah alih, anda akan dapat mendengar sedikit jeda tapi bagi saya ia tidaklah terlalu mengganggu. Untuk video dan YouTube hampir tiada jeda. Sepertimana TWS lain kebanyakannya, ini antara masalah umum dengan TWS. Sekiranya anda benar-benar mahupun pengalaman permainan dengan audio sifar jeda secara hardcore, adalah lebih baik anda menggunakan earphone dengan wayar atau TWS dengan mod gaming dan Oppo Enco W11 mungkin tidak sesuai untuk anda.

Tonton video unboxing di bawah:

DAPATKAN OPPO ENCO DI KEDAI RASMI OPPO :

Harga terkini : RM159

Shopee

Lazada

 

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Lenovo IdeaPad Slim 3: Laptop Gaya ‘Tradisional’ Dengan Prestasi Moden

1
*Gambar dari thumbnail YouTube Deal Unboxing.

Saya baru sahaja menjual kedua-dua buah laptop yang telah dibeli sejak 2013 lagi, iaitu sejak dari zaman laman web ini bernama My Hackers Are Here. Kedua laptop tersebut ada faktor nostalgia yang tersendiri, tetapi untuk melakukan kerja-kerja penyuntingan video atau gambar, ia tidak mampu membuatnya dengan baik kerana prestasi yang ada tidaklah mencukupi.

Atas sebab itu, saya bertindak mengumpul wang yang ada, dan membeli laptop dari Illigear. Tetapi dalam masa menunggu ini, laptop dari Lenovo sampai ke tangan saya untuk diulas.

Laptop yang dimaksudkan ialah Lenovo IdeaPad Slim 3 (15, AMD). Mari kita lihat terlebih dahulu nyahkotak (senyap) dan sedikit sebanyak spesifikasinya. Maaf seandainya nyahkotak yang dibuat nampak kurang menarik, tetapi saya tidak mahu membuang masa anda dengan membebel benda-benda yang tidak perlu disebut.

Spesifikasi Lenovo IdeaPad Slim 3 (15, AMD)

PemprosesAMD Ryzen 5 4500U (juga terdapat pilihan AMD Ryzen 7 4700U Mobile Processor)
Sistem OperasiWindows 10 Home
Paparan Skrin15.6" FHD (1920 x 1080) IPS, 200 nits, 45% NTSC
Memori (RAM)Sehingga 12GB (4GB soldered).
BateriSehingga 7.5 jam.
StoranSehingga 1TB HDD SATA, 5400rpm
128GB PCIe SSD M.2
Sehingga 256GB SSD + 1TB storan berkembar HDD
GrafikGrafik AMD Radeon™
Grafik AMD Terintegrasi
Kamera0.3MP
SambunganWiFi 2 x 2 AC
Bluetooth® 4.2
SekuritiPengimbas cap jari (pilihan)
Webcam privacy shutter
Audio2 pembesar suara x 1.5W
Dolby Audio™
Dimensi362.2mm x 253.4mm x 19.99mm / 14.25" x 9.98" x 0.79"
BeratDari 1.85kg
Port dan Slot2 x USB 3.1 (Gen 1)
USB 2.0
HDMI 1.4b
Pembaca kad SD
WarnaPlatinum Grey
Abyss Blue
Cherry Red
Almond
Business Black

Reka Bentuk

Tiada apa yang luar biasa, tetapi saya sukakan reka bentuk casisnya yang besar, tetapi nipis dan ringan. Dengan berat dari 1.85kg, ia terasa mudah dibawa ke mana-mana tanpa menyakitkan bahu. Ia diperbuat dari plastik, tetapi tidak terasa murah dan masih berkualiti. Warnanya kebiru-biruan di bahagian atas. Cuma, bahagian ini mudah mendapat lekatan dari cap jari.

Grill pembesar suara pula terletak di bahagian hadapan.

Di bahagian bawah juga terdapat grill, yang bertujuan membebaskan haba dari laptop. Anda boleh melihat kipas laptop dengan jelas dari situ.

Informasi laptop dipaparkan pada pelekat. Ternyata laptop saya ini dibuat pada bulan Julai yang lalu. Masih berbau kilang.

Memori Dan Papan Kekunci

Untuk pengetahuan anda, saya dapat laptop secara terus ‘dari kilang’, yang bermaksud tiada sebarang pengubahsuaian atau pilihan yang dibuat. Ia didatangkan dengan hanya 4GB RAM, iaitu RAM yang dipasang secara terus (soldered) padanya.

Saya membuat keputusan untuk memasang RAM tambahan sebanyak 8GB, iaitu mengikut spesifikasi yang ditunjukkan di laman web Lenovo, memaksimumkan kapasiti memorinya kepada 12GB. Tak terlalu besar, tak terlalu kecil.

Anda harus tahu, saya menggunakan model Lenovo G480 dan Lenovo ThinkPad T440 sebelum ini. Antara dua model itu, ThinkPad memiliki papan kekunci terbaik bagi tujuan menaip. Sehingga kini, saya masih belum boleh ‘move on’ dari papan kekunci ThinkPad yang pada saya amatlah sedap untuk ditekan-tekan, tambahan saya sememangnya kerap kali menulis artikel di laptop.

Jadi, bagaimana dengan papan kekunci pada IdeaPad ini?

Salah satu perkara yang saya suka ialah ia sangatlah senyap. Ya, ia sangat senyap, bahkan bunyi klik pada tetikus murah saya di pejabat jauh lebih kuat lagi bunyinya. Pun begitu, pengalaman menaip pada ThinkPad untuk diri saya adalah lebih baik lagi. Papan kekunci IdeaPad Slim 3 ini, menggunakan reka bentuk seperti papan kekunci desktop. Apa yang sedikit menghampakan, ia tiada lampu yang bernyala di belakangnya sebagai panduan untuk menaip dalam gelap. Errr..

Skrin Dan Pembesar Suara

Skrin inilah bahagian yang boleh disebut sebagai ‘tradisional’, kerana meskipun dengan bingkai (bezel) yang agak nipis, tetapi ianya masih kelihatan agak jelas buat mereka yang sudah terbiasa menggunakan bingkai lebih nipis lagi. Dengan aspek ratio 16:9, dan keterangan sebanyak 200-233 nits, ia cukup jelas untuk menonton YouTube, atau Netflix, tetapi jika anda ingin bermain permainan, kualitinya boleh jadi sedikit mengecewakan dan hanya cukup terang jika anda menggunakannya di dalam rumah atau pejabat, sebaliknya jika anda gunakan ia di luar, cahaya matahari akan menyebabkan skrin ini kelihatan malap.

Resolusi diberi ialah 1920x1080p beserta saiz sebesar 15.6 inci TN AntiGlare LED (142 ppi), dan apabila memainkan video beresolusi 4K (untuk tujuan pengujian), ia tampak lebih ‘tajam’ dan cantik. Diserikan oleh AMD Radeon™ Graphics, anda tidak akan menghadapi masalah ‘lag’ ketika memainkan video dalam apa jua format. Jika saya ingin komen dari segi sudut pandangan skrin, anda akan dapat melihat dengan baik sekiranya anda hanya melihat dari hadapan. Apabila anda mula memandang dari tepi, pandangan akan mula menjadi sukar sekali. Ya, sudut pandangnya tidaklah begitu bagus.

Pembesar suaranya ialah bahagian yang saya terasa begitu kecewa. Walaupun ada sokongan Dolby Audio, tetapi bunyi yang dikeluarkan tidak begitu kuat sehingga memaksa saya memasang perisian FxSound Enhancer. Jika dari segi kekuatan bunyi sudah menyedihkan, usah lagi ditanya bagaimanakah bunyi ketika memainkan lagu atau video. Anda perlu duduk begitu hampir dengan unit pembesar suaranya baru dapat menikmati apa-apa yang anda ingin dengari.

Touchpad

Touchpad yang ada tidak seperti apa yang diberi pada ThinkPad. Ia merupakan TouchPad normal, tetapi yang bagusnya ia serasi dengan semua gerakan isyarat (gestures) Windows 10.

Kuasa Bateri

Pun begitu, tidaklah semua benda tidak elok pada IdeaPad Slim 3 ini. Contohnya untuk kuasa bateri, saya berjaya menggunakan laptop ini melebihi dari 5 jam dengan memainkan video secara strim di laman web seperti YouTube, Netflix, dan lain-lain lagi. Saya membuat kadar keterangan skrin pada 100% sepanjang menggunakannya, kekuatan pembesar suara juga ialah pada 100%.

Andainya anda hanya gunakan ia untuk membuat kerja-kerja penyuntingan atau menaip, saya rasa tiada masalah untuk laptop ini dapat mencapai masa sepertimana ditunjukkan pada spesifikasi (7.5 jam). Kalau saya tidak mampu memuji skrin atau pembesar suaranya, saya mampu memuji bateri laptop ini. Anda tidak akan berasa ‘battery anxiety’ sekiranya pengecas berada jauh dari anda. Benar, Lenovo boleh berikan bateri lebih besar kapasiti kuasanya, namun seperti biasa kita tak dapat semuanya secara sempurna pada harga bajet.

Apa pun bravo Lenovo.

Oh ya, sebut mengenai pengecas, ia didatangkan dengan pengecas 65W. Ini juga sesuatu yang boleh dipuji, kerana adakalanya mereka memberi pilihan sama ada hendak membeli adapter 45W atau 65W (yang perlu ditambah sebanyak RM10). Masa untuk mengecas pula lebih kurang 2 jam (saya mula mengecas ketika bateri sudah tinggal 20%).

Dan ya, ia menggunakan pengecas dengan reka bentuk/port ‘old school’. Sebab itu saya katakan ia laptop ‘tradisional’. Ia tidak menggunakan USB-C sebagai port pengecas. Mungkin ini akan menjadi antara titik negatif kepada sesetengah orang. Saya pula, asalkan ada adapter disediakan dalam kotak, saya pakai sahaja, janji kalau dicas, elektrik masuk dengan normal.

*Sebelum ini saya ada buat beberapa tinjauan model-model ThinkPad yang ingin dibeli melalui laman web Lenovo. Kerana itu saya tahu pilihan adapter pengecasan yang ada. Maklumlah, sebelum membeli, kita kena buat tinjauan model yang ada sehabis baik. Sama saja dengan anda yang sedang membaca ulasan ini.

Kamera Hadapan (Webcam)

Maaf sekali lagi, ini juga antara komponen-komponen murah yang diletakkan pada IdeaPad ini untuk mengurangkan harganya. Kualiti kamera ini bukan lagi boleh disebut sebagai ‘potato’, tetapi ‘kentang lenyek’ ialah istilah yang lebih layak dipakai. Resolusi sebanyak 0.3MP, memang cukup untuk membuat panggilan video contohnya dari aplikasi Skype, tetapi percayalah, anda akan jadi orang paling hodoh dalam persidangan video tersebut.

Kalau pun ada perkara yang saya boleh puji, ialah mengenai bagaimana Lenovo memberikan pilihan kepada pengguna untuk menjaga privasi. Terdapat ‘shutter’ pada bahagian atas kamera yang akan menutupnya ketika tidak digunakan. Ini saya lihat mengurangkan kebarangkalian anda dipantau oleh pihak ketiga/pihak yang tidak bertanggungjawab.

Port/Slot

Port dan slot yang ada juga lebih konservatif. Tidak banyak, dan apa yang ada mungkin cukuplah untuk pencipta kandungan memanfaatkannya. Di bahagian kiri, ada satu port pengecasan, satu port HDMI, satu slot USB 2.0, dan dua port USB 3.1 (Gen 1).

Di bahagian kanan pula ada slot pembaca kad SD, dan audio jack.

Pada sebelah atas (kanan) terdapat butang penghidup/kuasa.

Prestasi

Dikuasakan oleh AMD Ryzen 5 4500U CPU, dan AMD Radeon Vega 6 GPU, IdeaPad Slim 3 menjadi antara laptop bajet berkuasa yang mungkin dicari-cari orang. Saya tidak mahu meletihkan mata anda dengan hanya membaca pelbagai keputusan ujian penanda aras yang telah dibuat. Penanda aras Cinebench antara bukti bahawa kekuatan laptop ini bukan terletak pada skrin mahupun pembesar suara, tetapi ia ada pada pemprosesnya.

Berikut saya kongsikan pula penanda aras dari PassMark.

Saya cuba memainkan video 4K60fps melalui pemain video lalai dan juga Klite, ia dapat memainkan video tersebut dengan lancar sekali. Cuma apabila diberikan sedikit masa, kipasnya akan berpusing dan anda akan dapat mendengar bunyi pusingannya, walaupun tidak terlalu ketara. Video dimainkan beresolusi 4000×2250.

Ujian Tekanan

Saya cuba pula memasang perisian HandBrake ke dalam sistem operasi. Pemasangan hanya mengambil masa selama 1-2 saat sahaja. Kemudian, saya buat proses encode video 4K itu tadi yang berdurasi selama 10:34, bersaiz sebanyak 793MB, dan saya tukarkan formatnya kepada MP4, 1080p30fps. Proses penukaran format dan resolusi itu mengambil masa selama 28 minit sahaja.

Untuk proses encode melibatkan video 4K bagi fail yang sama, ia mengambil masa selama lebih kurang 40 minit.

*Perisian selain HandBrake mungkin memberikan lebih atau kurang prestasi encode. Ymmv.

Jelasnya, laptop ini ditala untuk mereka yang ingin membuat kandungan, tetapi dalam bajet yang tidak terlalu tinggi. Mungkin ia bukan untuk pembuat dan penyunting filem, tetapi kalau ada kesabaran dalam menunggu, boleh sekali digunakan oleh para YouTubers yang ingin menyunting video pendek mereka untuk dimuat naik ke saluran YouTube.

Tidak lupa juga sesuai buat anda yang ingin bermain permainan, cuma jangan terlalu berharap kualiti grafiknya sama taraf dengan GPU yang didedikasi. Pun begitu GPU terintegrasi dari AMD ini tidak sesekali menghampakan.

Berikut pula ialah kelajuan SSD.

Tempoh boot untuk SSD ini ialah lebih kurang 2 saat.

Dalam sistem operasi, sudah ada disediakan aplikasi AMD Radeon Settings (Lite). Dengan adanya aplikasi ini, anda boleh membuat talaan mengikut kepada kesesuaian aktiviti semasa. Bila anda ingin bermain, anda boleh ubah tetapan menjadikan ia memberi lebih kuasa agar permainan anda lancar dan tidak tersekat-sekat. Ini juga salah satu keistimewaan apabila anda menggunakan pemproses AMD.

Permainan

Saya hanya sempat memuat turun permainan Grand Theft Auto V yang bersaiz 95GB. Tanpa sempat mengubah apa-apa tetapan dari AMD Radeon Settings, saya terus memainkannya dengan hanya bergantung harap kepada kuasa ‘default’. Terus terang saya katakan permainan begitu lancar, tiada masalah ‘lagging’, walaupun GPU bukan dari yang didedikasi.

Saya tidak dapat bercakap mengenai permainan lain. Itu, saya serahkan kepada anda, apabila anda membuat keputusan untuk membeli laptop ini.

Harga

Kalau mengikut harga standard di laman web Lenovo, ianya adalah seperti pada paparan tangkap layar di bawah.

Tetapi saya kongsikan sedikit tips, sebelum anda hendak check out, pastikan anda masukkan terlebih dahulu eCoupon ‘IPRICE’ ke dalam kotak ‘Enter Cart eCoupon’. Dengan eCoupon ini, anda akan mendapat diskaun sebanyak 10%, yang jika diterjemahkan kepada harga, akan ditolak sebanyak RM116.33.

Spesifikasi laptop di laman web lebih kurang sama sahaja dengan apa yang saya gunakan, kecuali pada memori (RAM) anda akan mendapat sebanyak 8GB RAM.

Pro Dan Kontra

Saya tidak beberapa gemarkan pembesar suaranya, saya juga tidak beberapa sukakan kamera web yang berkualiti amat rendah. Sudah hampir memasuki tahun 2021 tetapi Lenovo masih memasukkan kamera web beresolusi 0.3MP.

Tetapi, dengan harga bawah RM3000, lebih tepat lagi bawah RM2500, anda mendapat laptop dengan skrin yang agak baik, dikuasakan pula oleh pemproses AMD Ryzen 5 4500U, 512GB storan, adapter 65W, anda akan mendapat laptop yang sesuai untuk para pembuat kandungan. Tambahan pula walaupun saiznya agak besar, tetapi ringan, ia mudah dibawa ke mana-mana dalam bag laptop anda. Adapternya juga tidak berat, dan dengan tambahan berat adapter sekalipun anda masih boleh berlari bersama bag tersebut.

Untuk mereka yang ingin bermain, skrinnya yang besar dapat memberikan kepuasan ketika sedang ‘war’. Cuma, anda perlu melihat terus dari hadapan untuk mendapatkan sudut pandang yang baik.

Manakala jika anda sekadar ingin menggunakan ia untuk membuat tugasan pejabat, kuasa pemproses yang ada lebih dari mencukupi untuk tujuan itu. Ya, ia tidak sempurna, dan kalau anda ada bajet lebih, saya sarankan untuk anda beli laptop lain beserta pemproses Ryzen 7. Tetapi cuba ingat semula, berapa banyakkah bajet yang anda ada. Sekiranya ‘kena’ dengan laptop ini, pejam mata dan check out sahaja.

Lenovo IdeaPad Slim 3 (15) ini boleh dibeli di: IdeaPad Slim 3 (15).

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Cara Memasang Kali Linux Pada Windows 10

2

Tahukah anda, yang anda boleh pasangkan sistem operasi Kali Linux ke dalam Windows 10, dan ia dapat dilancarkan dari Start Menu bagaikan aplikasi? Ya. Ada caranya, dan tidak pula sukar untuk dilakukan. Bukan sekadar paparan berasaskan baris perintah semata, tapi juga ada persekitaran mejanya iaitu Xfce (desktop environment).

Tanpa melengahkan masa, mari kita mulakan.

Keperluan: Windows 10 yang telah dikemaskini ke versi 2004, Build 19041 atau lebih tinggi.

1. Jalankan PowerShell sebagai administrator. Masukkan baris perintah di bawah dan tekan Enter:

Enable-WindowsOptionalFeature -Online -FeatureName Microsoft-Windows-Subsystem-Linux.

Kemudian mulai semula (restart) komputer anda.

2. Apabila anda sudah log masuk, buka semula PowerShell sebagai administrator dan masukkan baris perintah berikut pula:

dism.exe /online /enable-feature /featurename:VirtualMachinePlatform /all /norestart

dism.exe /online /enable-feature /featurename:Microsoft-Windows-Subsystem-Linux /all /norestart

Mulai semula komputer anda.

3. Muat turun kernel Linux terbaru untuk WSL: https://docs.microsoft.com/en-us/windows/wsl/wsl2-kernel

4. Buka semula PowerShell sebagai administrator, gunakan perintah ini:

wsl –set-default-version 2

5. Buka Microsoft Store dan cari ‘Kali Linux’. Seterusnya, pasang saja ia sepertimana anda memasang aplikasi lain melalui Microsoft Store.

6. Anda boleh terus lancarkan Kali Linux melalui Start Menu!

7. Dari sini, anda perlu cipta nama pengguna dan kata laluan untuk Kali Linux.

8. Seterusnya, untuk memasang persekitaran meja (desktop environment), kita masukkan perintah berikut:

sudo apt update && sudo apt upgrade -y

(Tekan Enter sekiranya ‘progress’ tidak bergerak).

9. Kita teruskan dengan:

sudo apt install kali-desktop-xfce -y

Seperti biasa, tekan Enter sekiranya ‘progress’ anda tidak bergerak. Mungkin anda ada ter-klik pada tetingkap Kali Linux tersebut menjadikannya jeda sebentar.

10.

11. Teruskan dengan:

sudo apt install xrdp -y

sudo service xrdp start

Selesai. Anda boleh gunakan Remote Desktop Connection untuk log masuk ke dalam Kali Linux anda. Caranya ialah dengan mendapatkan alamat IP anda dahulu menerusi tetingkap Kali Linux yang masih belum anda tutup itu:

ip add

Kemudian masukkan alamat IP yang diberikan pada aplikasi Remote Desktop Connection. Apabila muncul ruangan untuk log masuk, gunakan nama pengguna dan kata laluan Kali Linux anda.

Selesai.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Mi 10T Pro : LCD vs LED, Teruk Sangat Ke?

0

Perbandingan sebelah menyebelah skrin LCD Mi 10T Pro berbanding LCD telefon flagship lama Xiaomi Mi 6 dan juga OLED flagship Google Pixel 3.

 

Berbanding Mi 6, warna hitam pada Mi 10T Pro ternyata lebih gelap. Sekali imbas dari jauh, mungkin ada yang akan menyangka Mi 10T Pro menggunakan skrin LED. Namun pada warna putih, ketara kelihatan skrin Mi 6 lebih putih berbanding Mi 10T Pro. Skrin Mi 10T Pro kelihatan kekuningan dengan tona warna hangat. Itu pun setelah saya set tona warna pada skim warna dengan kecerahan yang paling dinamik.

 

 

Berbanding dengan OLED Pixel 3 pula, warna hitam Mi 10T Pro kelihatan hampir sama gelap seperti OLED namun tidaklah segelap OLED. Warna putih pada OLED Pixel 3 kelihatan kurang terang berbanding Mi 10T Pro, namun putih pada Pixel 3 adalah lebih “pronounced” berbanding Mi 10T Pro yang kelihatan agak “off white”.

 

Kelebihannya, LCD IPS pada Mi 10T Pro adalah PANTAS. Antara yang terpantas pernah saya cuba. Pada hemat saya, lebih pantas dan lancar berbanding IGZO LCD pada Sharp Aquos R dengan kadar segar semula 120Hz. Warnanya cukup terang, dan masih senang dibaca walaupun di bawah cahaya terang. Penghasilan gambarnya juga cantik dan dinamik. Dengan adaptive display, sememangnya skrin Mi 10T Pro berada dalam kelasnya sendiri.

 

Kekurangannya pula, seperti yang kita sedia maklum, LCD adalah LCD. Ia tidak akan jadi OLED, AMOLED mahupun QLED. Skrin Mi 10T Pro, mahupun sangat bagus, masih lagi “menderita” kekurangan hakiki LCD IPS. Pada bahagian tepi skrin masih lagi ada berbayang. Ini dapat dilihat pada sisi bingkai dan sekitar lubang kamera hadapan. Untuk pergerakan pantas, pergerakan warna kadangkala ada sedikit kekaburan walau tidaklah terlalu ketara. Mungkin masalah ini dapat diatasi dengan kemaskini sistem daripada Xiaomi, tapi sebenarnya, inilah antara kelemahan umum LCD.

 

Kesimpulannya, LCD, LED, OLED, QLED, AMOLED mahupun Super AMOLED sekalipun, setiap satu mempunyai kelemahan DAN juga kebaikan. Dari segi ketahanan dan kos, mungkin LCD adalah lebih baik. Mungkin juga Xiaomi tidak mahu mengambil risiko dengan mencuba skrin LED baru daripada TCL yang boleh dikatakan murah. Malah, peranti kelas pertengahan Samsung Galaxy M̶4̶1̶ M51 juga turut dikatakan akan menggunakan skrin TCL ini (ironinya, yang turut sama digunakan pada Mi 10).

 

Mungkin Xiaomi tidak memilih AMOLED yang sama pada Mi 10 kerana TCL masih belum mengeluarkan AMOLED mereka dengan kadar segar semula setinggi 144Hz. Atau mungkin Xiaomi enggan menunggu atau mengambil risiko mencuba produk baru dan prototaip pada peranti paling ditunggu-tunggu untuk tahun ini. Xiaomi dilihat mengambil langkah selamat dan ekonomi dengan menggunakan skrin LCD IPS pada Mi 10T Pro mereka pada kali ini.

 

Pun begitu, tidaklah bermakna skrin LED tiada masalah. Skrin LED juga hadir dengan beribu macam ragamnya tersendiri. Namun kita simpan perbincangan itu untuk lain hari. Sekian sahaja di sini buat kali ini. Jumpa lagi di artikel akan datang.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Apa Itu Neural Core Pada Peranti Pixel?

0

Ramai rupanya yang bertanya dan masih belum tahu apa itu ‘Neural Core’ pada peranti Pixel. Oleh itu, abam ambil keputusan untuk terangkan jua sedikit, WALAUPUN ciri ini sudah R.I.P pada model bermula dari Pixel 5 dan 4a 5G.

Google mula memperkenalkan pemproses/chipset khusus untuk fotografi pada perantinya yang dipanggil sebagai Pixel Visual Core pada Pixel 2. Ia dinyahaktif pada mulanya, tetapi diaktifkan apabila Android 8.1 Developer Preview dilepas kepada pengguna.

Ia secara mudah fahamnya ialah ‘custom processor’ dibina dengan lapan teras dengan keupayaan untuk menjalankan tiga trillion operasi sesaat.

Custom SoC ini bertindak sebagai pengiring kepada pemproses sedia ada, dan membantu memproses gambar dengan lebih cepat lagi. Kenapa Google memasukkan SoC ini? Kerana ia dapat memproses lima kali lebih laju dari pemproses imej yang ada pada Snapdragon, dan lebih hemat penggunaan kuasa bateri. Pada ketika itu ialah chip Snapdragon 835 (Pixel 2/2 XL).

Apabila model Pixel 4 dilancarkan, Google telah pun menaik taraf pemproses ini. Model Pixel 4, dan juga Pixel 4 XL menggunakan pemproses baharu iaitu Neural Core untuk memproses imej.

Apa Perbezaannya Dengan Visual Core?

Neural Core ialah sebuah pemproses dengan pembelajaran mesin (machine learning). Ia bukan lagi hanya sekadar satu bentuk ‘powerhouse chip’ untuk fotografi, tetapi juga untuk perkara lain yang dijalankan dalam peranti.

Ia membantu mempercepatkan unsur lain seperti Google Assistant, apabila kesemua proses dijalankan secara terus pada peranti tanpa bergantung kepada pusat data awan Google.

Kelajuan ‘Face Unlock’ juga semakin meningkat dan bertambah baik, dan tidak lupa juga aplikasi perakam suara yang dapat membuat transkripsi pada masa-benar.

Akan tetapi apabila Pixel 5 dan 4a 5G dilancarkan, didapati Google telah ‘membuang’ chip ini. Tidak dapat dipastikan sebab yang konkrit mengapa, tetapi salah satunya berkemungkinan Google berjaya mencari jalan penyelesaian untuk mempercepat pemprosesan imej, respons Google Assistant, penterjemah, dan sebagainya lagi – terus melalui perisian, iaitu Android 11.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Pixel 5 Kini Rasmi! Tapi Hambar???

0

Google Pixel 5 Kini Rasmi

Akhirnya yang ditunggu sudah tiba. Tak tau la berapa ramai pun yang tunggu.. tapi kira cukup la kot untuk membuatkan abam menulis ni. Diumumkan sewaktu acara ‘Launch Night In’, Pixel 5 menawarkan beberapa ciri yang sudah lama ada pada peranti lain.

Mari kita teliti dulu antara beberapa ciri atau spesifikasinya. Menarik atau tidak, kita boleh nilaikan kemudian.

******************************

Dikatakan, Pixel 5 diperbuat dari aluminium kitar semula 100%, dan mempunyai reka bentuk sedikit kecil berbanding model sebelumnya.

Ia ada ketahanan/kalis air dan habuk – IP68. Skrinnya pula bersaiz 6.0 inci, OLED fleksibel. Kalau dilihat pada skrin, ia tampil lebih kecil pada kawasan bingkainya. Ini memang sesuatu yang boleh dipuji. Beresolusi 2340×1080, dan aspek nisbah 19:5:9, Pixel 5 kelihatan elegan dengan diiringi kadar segar semula 90Hz.

Paling penting pada paparannya dilindungi oleh Gorilla Glass 6, satu naik taraf dari model Pixel 4.

Lazat? Sabar. Belum habis lagi.

Sedikit menyedihkan, ia hadir bersama Snapdragon 765G, iaitu chipset pertengahan yang mempunyai ciri 5G. Chipset sama dapat dilihat ada pada OnePlus Nord. Harapnya Pixel 5 tidak mengalami sebarang isu random reboot atau factory reset sendiri.

Eheheh.

Selain itu, ia turut dikombinasikan bersama 8GB RAM, LPDDR4x dan 128GB UFS 2.1. Memang sangat sadis, di mana Poco F2 Pro pun sudah menggunakan UFS 3.0.

Bateri?

Kapasiti bateri merupakan antara penyebab Marc Levoy iaitu bapa fotografi pengkomputeran meninggalkan Google.

Ia berkapasiti hanya 4080mAh dengan 18W pengecasan pantas. Pantasnya..

Agak aneh, kerana OnePlus Nord dengan chipset yang sama boleh menawarkan pengecasan pantas 30W. Mungkin Google beranggapan pengecasan sepantas 18W sudah memadai, dan sebenarnya abam bersetuju jugalah.

Habis tu.. apa yang istimewa sangat Pixel ni?

Seperti biasa, disebabkan ia merupakan ‘anak’ dilahirkan oleh Google, maka ia menerima kesemua kemas kini sistem operasi terbaru, dan untuk Pixel 5, ia menjalankan Android 11 keluar dari kotak.

Lagi?

Pembesar suaranya ialah pembesar suara berkembar stereo beserta 3 mikrofon, manakala pengimbas cap jari pula diletakkan di belakang.

Seterusnya, Pixel seringkali terkenal (di kalangan nerd) kerana kameranya, sehingga mewujudkan bangsa Gcam di XDA. Mereka adalah bangsa yang sama bertanyakan;

“Boleh tak install Gcam dekat Huawei P40 ni?”

Kamera pada Pixel 5 masih mengekalkan resolusi 12.2MP untuk sensor utamanya, serta f/1.7 untuk aperture. Untuk lensa sudut-lebar pula ia menawarkan sensor 16MP dengan f/2.2, dan bidang pandangan 107 darjah. Kamera swafoto pula seperti biasa, hanya sesuai untuk aktiviti santai (kerana ianya seakan sekadar ‘ada’), dengan sensor 8MP.

Dengan chipset 765G, harapannya Google dapat merendahkan harga Pixel 5. Pun begitu, ia dijual pada harga $699, iaitu lebih kurang RM2896 (direct convert).

Dan…yang paling mengecewakan, Pixel 5 tidak lagi hadir dengan Pixel Neural Core yang berfungsi untuk membantu dalam pemprosesan imej selepas tangkap pada peranti Pixel. Apa guna beli flagship Pixel jika tiada fungsi dan ciri flagship ya tak?

Entahlah. Patutkah abam menghasut kau orang dengan hashtag ‘BaikBeli…’?

Kau orang fikir sendirilah ya.

#OMGHNews #OMGHInfo
#Pixel5 #BangsaGcam
#BaikBeliPoco

 

 

 

Views: 0

Iklan Newspaper Inline