Utama Blog Laman 98

KZ EDX : Selamat Datang Ke Chi-Fi!

Knowledge Zenith, atau KZ adalah antara pelopor dalam mengeluarkan aksesori audio dalam harga yang murah. Hadir dengan pelbagai siri produk di pasaran, KZ EDX adalah salah satu yang jatuh di dalam kategori bajet, RM30.

Packaging yang cantik
Apa yang anda dapat dalam kotak. IEM, kabel dan 3 pasang getah telinga.
Pandangan hadapan
Pandangan belakang

PANDANG PERTAMA

KZ EDX hadir dengan persembahan yang menarik daripada pembungkusan dan persembahan produk. Kotak berganda yang kemas dan juga IEM diletak dengan cantik di atas papan kertas dan ditutupi plastik jernih yang keras. Persis barang kemas perhiasan.

IEM ini dibina daripada plastik, memberikannya kesan permukaan yang berkilat dengan label “X” di kedua belah telinga. Secara peribadi, ini satu rekabentuk yang unik dan elegan untuk pemakai.

KZ EDX hadir dengan getah telinga “Starline” daripada KZ. Bukanlah getah telinga terbaik daripada mereka, namun sudah cukup selesa untuk dipakai. Gril pada IEM juga dibuat daripada jaring besi, menambahkan lagi rasa premium pada produk ini.

Kabel yang dibekalkan bersama KZ EDX adalah kabel tembaga biasa daripada KZ dengan pin 0.75mm. Lengkung telingan telah di prabina dan disaluti dengan lapisan plastik untuk lebih kukuh. Berhati-hati semasa memasang kabel ke IEM kerana kabel telah dilabel untuk kiri dan kanan. Tersilap memasang kabel mungkin akan merosakkan IEM anda.

Kabelnya dilengkapi dengan mikrofon untuk panggilan suara dan butang asas untuk memainkan lagu atau menukar lagu. Tiada butang pelaras kelantangan pada mikrofon. Jek 3.5mm nya juga disadur emas, untuk sambungan audio yang lebih optimum.

KUALITI BUNYI

Saya telah mencuba KZ EDX menggunakan lagu flac pada Foobar player dan juga Tidal Master di laptop saya, Asus ROG G751JY dan juga di Google Pixel 3 dan Samsung A11 (untuk Dolby). Ujian telah dibuat dengan dan tanpa external DAC dengan cip ALC5636.

KZ EDX adalah IEM dengan pemacu audio tunggal dinamik. Saiz pemacu dinamik pada KZ EDX adalah 10mm.

KZ EDX ditala dengan corak bunyi V-shaped tetapi tidaklah memenatkan untuk didengar. Bunyinya jelas dengan bass yang bagus dan sedap didengari. Soundstage agak lebar dan tinggi, memberikan anda bunyi seperti berada di belakang pentas.

Low : bass cukup memuaskan. Dengan pemakaian yang betul, KZ EDX memberikan bass yang cukup kuat dan berdentum. Kuasa bass baik dan ditala dengan bagus agar tidak terlalu dominan dan tidak terlalu boomy. Cukup untuk memberikan karakter dan kejelasan vokal pada lagu untuk didengari. Bass pada KZ EDX adalah lebih baik berbanding IEM lain dengan julat harga yang sama.

Mid : mid pada KZ EDX agak ditekan dan tidak dominan. Vokal perempuan agak hilang karakter tetapi vokal lelaki kedengaran baik. Menggunakan KZ EDX untuk menonton dokumentari dan mendengar podcast, vokal dengan karakter suara yang tinggi akan kedengaran berdesir dan ada banyak bunyi “sss”. Walau bertenaga, ia mungkin tidak sesuai dengan mereka yang lebih sukakan lagu akustik dan vokal.

High : sekali, mereka yang tidak tahan dengan bunyi yang berdesir ataupun yang gemarkan clarity mungkin tidak sesuai dengan KZ EDX. High pada KZ EDX ditala supaya digandakan dan agak dominan. Instrumen dan vokal tajam terutamanya simbal dan synth. Individu dengan telinga yang sensitif akan mengerutkan dahi banyak kali dengan KZ EDX.

 

KESIMPULAN

KZ EDX satu pilihan yang bagus untuk mereka yang ingin menceburi lebih dalam dunia Chi-Fi. Semestinya satu naik taraf daripada earphone dan IEM kelas bawahan yang berharga RM20 ke bawah. Malahan, untuk IEM pertama juga, KZ EDX masih lagi pilihan yang baik. Pemula boleh berjinak-jinak dengan karakter bunyi IEM dan bermain dengan equalizer untuk mula mengenal selera dan telinga masing-masing. Jujurlah, dengan harga RM30, KZ EDX sudahpun memberikan anda lebih daripada harganya.

 

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Ulasan Illegear Ionic 15 Ryzen: Laptop Bernilai Sesuai Dengan Kuasanya

4

Saya dah pun merasai bagaimana ‘nikmatnya’ menggunakan Ryzen 5 4500U yang ada pada Lenovo IdeaPad Slim 3 (15, AMD). Tetapi bila rezeki hadir, dengan pantas saya mendapatkan ‘custom laptop’ dari ILLEGEAR Malaysia, sebagai naik taraf dari Lenovo Slim 3 itu kerana ia menggunakan pemproses Ryzen 7 4800H.

Kalau nak diikutkan, saya enggan membuat ‘promo’ percuma untuk mereka dengan menulis ulasan ini. Tetapi ramai pula yang meminta saya mengulas mengenainya, lalu saya jadi tidak sampai hati membiarkan para pembaca tergantung hanya dengan melihat gambarnya di page sahaja.

Atas sebab itu saya tulis juga ulasan untuk Illegear Ionic 15 Ryzen ini. Tanpa melengahkan masa, ayuh kita buka kotak. Kali ini saya hanya ambil gambar sahaja. Tiada video disediakan.

Buka Kotak

Spesifikasi Illegear Ionic 15 Ryzen

PemprosesAMD Ryzen 7 4800H
Sistem OperasiWindows 10 Trial
Paparan Skrin15.6″ iRIS FHD IPS sRGB 100% INFINIVISION Display (300 nitts)
Memori (RAM)16GB Dual Channel DDR4 RAM 3200MHz - 2 X 8GB

(Sehingga 64GB)
Bateri92Wh
Storan500GB M.2 PCIe NVMe Solid State Drive
GrafikGrafik AMD Radeon™
Grafik AMD Terintegrasi
Kamera
SambunganIntel AX200 Wi-Fi 6
Built-in Gigabit Ethernet LAN
SekuritiWindows Hello
Kensington® Lock
AudioBuilt-in High Definition Audio (2 Channels)
2 x 2W Speakers
2 x Digital Microphones (3-sided Narrow)
1 x Headphone jack
1 x Mic jack
Dimensi356 x 233 x 15 mm
Berat1.45kg
Port dan Slot Power Charging USB (Doesn’t Support Iphone)
1 HDMI output Port

1 USB 3.1 Gen. 1 Port (Type-C) (Supports Power Delivery)

2 USB 3.1 Gen. 1 Ports

1 USB 2.0 Port

1 Headphone-out and Mic-in Combo Port

1 RJ-45 LAN (10/100/1000Mbps)

2-in-1 Card Reader
Two M.2 Card Slots

– 1st for WLAN Combo M.2 2230 Card with PCIe and USB interface

– 2nd for SSD M.2 2280 Card with SATA / PCIe Gen3 x4 interface
WarnaGrey

*Untuk unit ini saya telah gantikan sistem operasinya kepada Windows 10 Pro, dual boot bersama Arch Linux.

Reka Bentuk

Saya amat menyukai reka bentuknya yang sangat nipis dan ringan. Dengan dimensi 356 (L) x 233 (D) x 15 (T) mm, dan dengan berat sebanyak 1.45kg beserta skrin , anda akan memiliki sebuah ultrabook yang tampak begitu elegan sekali.

Saya memang mencari laptop yang besar tetapi ringan. Besar baru puas melihat, gitu.

Kalau ada ciri padanya yang saya kurang gemari ialah unit pembesar suara yang dihalakan ke bawah (anda boleh rujuk gambar). Saya tak faham apa motifnya dibuat begitu, dan ini menyebabkan bunyi sedikit mendap apabila memainkan sesuatu video/audio dan laptop diletakkan di atas tempat rata.

Memori Dan Papan Kekunci

Saya menaiktaraf spesifikasi memori kepada 16GB (dual channel). Memorinya lebih sedikit daripada Lenovo IdeaPad Slim 3 yang saya gunakan sebelum ini.

Jika hendak dibandingkan dengan Lenovo Slim 3, papan kekunci pada Lenovo sememangnya lebih sedap ditekan. Oleh itu untuk tujuan menaip, masih belum ada yang menambat hati saya seperti yang telah Lenovo lakukan.

Kelebihan papan kekunci laptop Illegear Ionic 15 ini ialah ia berlampu, manakala Lenovo pula anda perlu aktifkan kuasa deria keenam di dalam gelap (sebab ia tidak berlampu).

Skrin Dan Pembesar Suara

Seperti yang telah saya ulaskan di atas, pembesar suaranya sedikit mengecewakan. Dengan halaan ke bawah, bunyi lebih mendap melainkan anda meletakkan ia di atas kipas penyejuk (cooling fan).

Untuk skrin, anda akan puas menatapnya sepenuh hari kerana ia hampir nirbingkai (bezel-less). Ia menggunakan paparan iRIS FHD IPS sRGB, dan dengan kadar keterangan sebanyak 300 nits, ia boleh menjadi cukup terang dalam menyuluh hidup anda yang suram.

Touchpad

Sama seperti Lenovo, tiada apa yang istimewa dengan Touchpad-nya melainkan ada satu bahagian boleh menghidupkan lampu. Sebaik saya aktifkan lampu itu, ia mengunci papan kekunci lalu papan kekunci tidak dapat digunakan.

Entahlah. Saya masih blur. Tak pasti apakah kegunaannya. Kalau anda tahu, bolehlah komen ya.

Kuasa Bateri

Ya, bab ini nampaknya Illigear ‘menang’. Dengan bateri berpenarafan 92Wh, anda boleh gunakan laptop ini tanpa perlukan pengecasan dari awal pagi sehinggalah lewat petang. Saya sendiri gunakannya sambil strim lagu dan video, masih menemui kesukaran untuk menghabiskan bateri.

Ditambah dengan adapter pengecasan 90W, anda boleh caj bateri dengan cepat tanpa perlu memikirkan bilakah waktunya ia akan selesai. Saya hanya mampu menganggarkan tempoh pengecasan lebih kurang 1 jam setengah sahaja. Ini kerana saya masih belum menghabiskan kuasa baterinya. Belum sempat dihabiskan, saya sudah mengecasnya semula.

Ahh, bab bateri senang cerita anda tak perlu bimbang. Ia tahan lama, dan dicas dengan cepat.

Kamera Hadapan (Webcam)

Kamera ini mempunyai resolusi 1MP, 720p (HD). Selamat untuk saya anggarkan spesifikasinya adalah lebih kurang atau sama dengan apa yang ada pada Lenovo Slim 3 kerana kualitinya juga tidak jauh berbeza – potato di sana dan potato di sini. Barangkali kerana hendak kurangkan bajet/harga, maka kamera web dipasangkan yang kurang berkualiti.

Tapi tak mengapalah, asalkan masih boleh guna untuk tujuan panggilan atau persidangan video sudah memadai. Saya jarang menggunakan kamera web melainkan hanya untuk kegunaan Windows Hello, ataupun persidangan video sahaja.

Pun begitu, saya masih lebih sukakan ciri yang ada pada Lenovo Slim 3, iaitu penutup kamera apabila ia tidak digunakan. Ini memberi lebih privasi kepada mereka yang inginkannya.

Port dan Slot

Bab port dan slot ini juga ia ‘menang’. Berbanding Lenovo yang lebih tradisional, Illigear mengambil pendekatan ‘berikan saja kesemuanya’. Anda boleh lihat gambar-gambar berikut sebagai rujukan.

Paling saya suka ia ada port USB-C yang memudahkan saya untuk gunakan Hi-DAC (USB-C) dan dapatlah saya melayan lagu dengan lebih nikmat lagi.

Prestasi

Untuk tujuan pengujian prestasi, saya sudah malas muat turun permainan yang hampir mencecah 100GB. Cukuplah sekadar saya gunakan aplikasi Handbrake dan dan saya buat proses pengenkodan video dari 1080p kepada 720p.

Video bersaiz 886MB (Big Buck Bunny) – berdurasi selama 9 minit 56 saat, dan hanya mengambil masa kurang dari 2 minit sahaja untuk menyelesaikan proses pengenkodan.

Saya faham, mungkin ujian ini kurang memuaskan hati, tetapi saya boleh jamin Ryzen 7 4800H bukan calang-calang pemproses. Ia tidak akan ‘luput’ dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Untuk permainan, jika Ryzen 5 pun mampu memainkan Grand Theft Auto V dengan begitu lancar tanpa masalah ‘lagging’, maka untuk Ryzen 7 ini sudah tentulah ia mampu memainkannya dengan lebih bagus lagi.

Seperti biasa, untuk permainan lain, anda belilah laptop ini dan ujilah sendiri nanti.

Harga

Saya membeli laptop ini dari laman web Illigear pada harga RM3324 (selepas diskaun). Untuk pemproses Ryzen dan segala spesifikasi yang saya pilih sendiri, saya rasa harga ini amatlah berbaloi dengan kuasa yang diberikan olehnya.

Pro Dan Kontra

Saya kurang menggemari kamera webnya, dan juga kurang suka pada pembesar suara yang mendap itu. Namun, saya jatuh cinta pada Ryzen 7 ini. Prestasinya tidak perlu dipersoalkan lagi. Laptop ini amat sesuai digunakan oleh sesiapa yang ingin menceburi bidang multimedia kerana ia mampu melakukan kerja-kerja multimedia dengan sangat lancar.

Illegear Ionic 15 Ryzen boleh dibeli di laman web rasmi ILLEGEAR di: ILLEGEAR STORE.

Views: 10

Iklan Newspaper Inline

QCY T9S : Khas Untuk Mereka Yang Aktif

QCY T9S adalah antara TWS baru keluaran QCY untuk tahun 2020. Masih lagi dalam kategori bajet dengan harga di bawah RM70, menariknya, tidak banyak kompromi yang dibuat oleh QCY dari segi kualiti dan penyampaian bunyi oleh QCY T9S baru ini.

PANDANG PERTAMA

Sama seperti TWS dari QCY yang lain, pembungkusan TWS mereka secara asasnya adalah sama. Mereka menggunakan kotak yang sama untuk TWS mereka. Namun begitu, untuk QCY T9S ini, anda menerima beberapa aksesori tambahan. Selain daripada manual, wayar pengecas, dan getah gantian telinga, anda juga menerima dua pasang gelang getah untuk melilit TWS. Ya, QCY T9S hadir dengan sayap telinga untuk lebih lekapan di telinga ketika bersukan. QCY juga memberi anda pilihan untuk menukar sayap telinga sukan ini kepada sayap biasa sekiranya anda tidak selesa dengan rekabentuk yang sedikit terkeluar dan mencengkam di sendi telinga anda. Satu langkah yang sangat bagus oleh QCY demi memastikan produk mereka sesuai untuk semua pengguna dan keperluan.

 

KUALITI BINAAN

QCY T9S hadir dengan saiz bekas yang agak kecil juga. Mudah dibawa di dalam poket, tetapi agak tebal dan lebih berat berbanding QCY T5 dan Oppo Enco W11. Lekapan magnet pada penutupnya cukup kuat dan berfungsi juga sebagai suis untuk menghidupkan TWS. Setiap anda membuka penutup bekasnya, TWS akan terus menyala dan bersambung dengan telefon anda. Ini juga memudahkan proses penyimpanan TWS apabila anda ingin berhenti menggunakan TWS anda. Masukkan TWS ke dalam bekas dan tutup penutup untuk mematikan kuasa TWS dan putuskan sambungan ke telefon anda. Satu ciri yang boleh dikatakan ‘premium’ kerana ada TWS lain dalam julat harga sebegini masih lagi tiada fungsi auto on/off sebegini.

QCY T9S merupakan TWS yang dipakai sepenuhnya ke dalam telinga. Saiznya agak besar dengan getah telinga yang juga agak besar. Ini mejadikannya sangat sesuai ketika bersukan. Bagi mereka dengan saiz telinga yang kecil, mungkin tidak berapa sesuai dan terasa agak ketat di telinga. Penggunaan yang lama akan menyakitkan telinga bagi mereka dengan telinga kecil. Sekiranya anda mengalami ketidakselesaan ini, saya mencadangkan anda menukar sayap telinga sukan kepada sayap getah yang biasa dan menukar getah telinga kepada saiz yang lebih kecil. Kesemua aksesori ini telah dibekalkan bersama di dalam kotak. Ia juga mempunya dua poin magnet untuk pengecasan dan penyimpanan di dalam bekas. Ujian goncangan juga mendapati lekapan magnet pada QCY T9S sangat kuat dan tidak tercabut dengan goncangan kuat.

Proses menukar sayap telinga juga sangat mudah. Cuma tanggalkan sayap telinga dan pasangkan sayap lain yang diingini. Lurah untuk sayap telinga juga telah dibuat dan ada titik khas di bahagian bawah TWS bagi membantu anda memasang sayap telinga dan mengelakkan sayap telinga untuk kekal pada tempatnya dan tidak terpusing semasa anda memakai TWS ini.

 

BATERI

QCY T9S boleh memainkan muzik selama 4-5 jam dengan sekali penggunaan berterusan. Bekasnya boleh mengecas kedua-dua TWS sebanyak 4 kitaran penuh. Bateri pada bekasnya adalah sebesar 380mAh manakala pada TWS mereka adalah sebesar 43mAh. Tidak banyak boleh diulas, bagi saya ini sudah menjadi standard semasa untuk kebanykan TWS di pasaran.

QCY melarang penggunaan Quick Charger untuk mengecas bekas QCY T9S dan mengesyorkan pengecas 5V 2.1A dan ke bawah. Bekasnya cuma mempunyai satu lampu LED untuk penunjuk aras bateri.

Semasa mengecas bekas TWS: 

  • Paras bateri ≤60% : LED berkelip merah
  • Paras bateri 60%-95% : LED berkelip hijau
  • Paras bateri ≥95% : LED berkelip putih
  • Paras bateri penuh : LED menyala putih

Semasa mengecas TWS di dalam bekas:

  • LED akan berkelip merah semasa sedang mengecas dan menyala hijau selama seminit apabila bateri TWS sudah penuh.

 

KUALITI BUNYI

Pada pertama kali menggunakan QCY T9S saya dapati bunyinya agak bright dengan banyak penekanan pada mid dan high. Namun, selepas memuat turun aplikasi QCY di PlayStore, firmware pada QCY T9S saya telah menerima kemaskini sebanyak dua kali. Dengan setiap kemaskini firmware juga, bunyinya lebih seimbang dan talaan pada low dan bassnya semakin baik.

Dengan firmware terbaru, bunyi pada QCY T9S ini bagi saya seimbang. Pendengaran juga santai untuk pelbagai genre. Bunyinya agak warm dengan bass yang tidak berapa bergetar. Mid lebih dominan pada QCY T9S ini. Saya berharap ada sedikit talaan lagi pada high dengan bunyi simbal yang agak berdesir.

Vokal pada TWS ini juga bagi saya bagus dan jelas. Vokal lelaki kedengaran begitu maskulin dan berkarakter. Vokal perempuan pula agak kurang feminin terutama bagi penyanyi balada atau pop dengan ciri suara lembut kedengaran agak kasar. Vokal rock perempuan pula bagi saya tiada masalah kerana kebanyakan vokal penyanyi rock perempuan mempunyai vokal yang agak rendah.

Soundstage QCY T9S bagi saya sederhana. Dengan cukup perincian pada intrumen muzik. Treble kadangkala ada sedikit menikam tapi ini tidak berlaku begitu kerap. Mungkin dalam kemaskini firmware seterusnya, kualiti dan karakter bunyi QCY T9S akan berubah lagi.

 

KUALITI SAMBUNGAN

QCY T9S hadir dengan Bluetooth 5.0 dan tiada masalah dengan kelewatan audio untuk kegunaan menonton video dan YouTube secara amnya. Ia tiada mod gaming dan untuk bertukar di antara mod stereo dan mono, anda perlu menekan kombinasi butang pada TWS secara manual.

Apa yang saya suka pada QCY T9S ini, ia bersambung ke telefon dengan pantas. Ia mula bersambung ke telefon sebaik sahaja anda membuka penutup bekas, TWS menghidupkan kuasanya dan terhubung dengan sambungan Bluetooth telefon anda. Apabila anda memakai TWS di telinga anda, kedua-dua belah TWS sudahpun siap sedia untuk memainkan muzik kegemaran anda di telefon. Tidak perlu menunggu lama untuk TWS anda terhubung dengan peranti anda.

 

KAWALAN

QCY T9S menggunakan butang kawalan fizikal. Masuk akal kerana TWS ini lebih memfokuskan mereka yang aktif. Kawalan sentuhan mungkin agak leceh apabila tangan anda berpeluh dan basah. Butang pada TWS ini agak bagus dengan klik yang bagus. Tidak perlu menekan kuat untuk menggunakan butang. Ini bermakna, anda tidaklah sehingga menolak TWS dengan kuat ke dalam telinga setiap kali anda menekan butang pada TWS ini.

Uniknya dengan QCY T9S, ia disokong oleh aplikasi QCY yang mebolehkan anda mengubah fungsi butang. Saya secara peribadi, lebih suka menggunakan butang untuk mengubah kelantangan bunyi dan mengubah lagu seterusnya. Dengan aplikasi QCY, kombinasi kawalan semuanya bergantung kepada anda.

 

KELEBIHAN

QCY T9S hadir dalam pakej yang lengkap dan menyeluruh dengan aksesori tambahan yang banyak. Anda boleh menggunakannya untuk bersukan atau untuk kegunaan santai seharian dengan dua pilihan sayap telinga hadir bersama di dalam kotak. Kualiti bunyi juga seimbang dengan bass yang memuaskan untuk pelbagai genre. Bagi penggemar bass, mungkin ia tidak mencukupi, tapi anda harus tahu, QCY T9S tidak diiklankan sebagai TWS dengan bass-heavy.

Ia juga disokong dengan aplkasi QCY, membolehkan anda mengemaskini firmware, mencari kedudukan TWS anda sekiranya hilang, menala bunyi dengan equalizer dan mengubah fungsi butang pada TWS. Kombinasi aplikasi dan kualiti TWS ini sendiri adalah tarikan kuat untuk sesiapa memiliki TWS yang berharga kurang dari RM70 ini. Harganya juga sangat mengiurkan, cuma pejam mata dan beli. Jangan fikir lagi.

 

KEKURANGAN

Bekas QCY T9S ini agak tebal walaupun bersaiz kecil. Ini memberi isu sedikit sekiranya anda ingin membawa TWS ini di dalam poket. Selain itu, TWS ini juga seperti memberi fokus pada individu yang bertelinga besar. Anda perlu membuat sedikit pertukaran pada aksesori seperti menukar getah telinga daripada silikon kepada getah telinga berbusa ataupun silikon yang lebih selesa.

Secara puratanya, QCY T9S adalah TWS yang bersaiz agak besar dan akan menyakitkan telinga bagi anda yang bertelinga kecil atau sensitif. Banyak percubaan posisi perlu dibuat sebelum anda bertemu posisi yang sesuai untuk anda dan tidak menyakitkan telinga.

 

KESIMPULAN

Sekiranya anda memerlukan TWS untuk bersukan, QCY T9S adalah TWS yang paling murah di pasaran dengan sayap telinga. Ia melekap dengan kuat dengan sayap telinga dan tidak pernah tercabut sepanjang ujian saya. Bekasnya agak besar, tapi tidak terlalu menyusahkan untuk dibawa melainkan anda memakai seluar jeans skinny. Sekali lagi, ini TWS yang memfokuskan indvidu yang aktif bersukan. Poket seluar trek secara amnya tiada masalah dengan ruang poket yang besar.

Kualiti bunyi juga memuaskan dengan vokal yang jelas dan bass yang mencukupi. Karakter bunyi agak warm dengan mid yang dominan. Sesuai untuk pendengaran genre yang lebih pelbagai.

Akhir kata, bawah RM70. Pejam mata dan bayar saja.

Tonton video unboxing di bawah:

 

Dapatkannya di Shopee : Kedai Rasmi QCY

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Insta360 One R Twin Edition : Pencabar Takhta GoPro?

1

Kalo hangpa dalam pencarian action camera, hangpa mungkin perasan bukan GoPro sahaja dalam pasaran ini. Banyak pengeluar mencuba nasib dalam segmen ini yang Mamu boleh katakan ramai pengguna yang ingin merakam aksi ekstrem melompat dari bangunan atau merakam aksi anak kecil berlari di taman permainan.

Pengeluar yang menarik perhatian Mamu dari dulu adalah dari Insta360. Produk yang buat ramai tertarik dengan depa ini adalah Insta360 One X. Pada masa depa keluarkan produk depa, rakaman video 360 darjah masih belum matang. Dengan keluaran produk depa ini, ramai sekarang sudah berani mencuba rakaman 360 darjah.

Dalam reviu kali ini, Mamu akan ulas 360 Lens Mod & 4K Lens Mod yang terdapat pada kit yang Mamu terima.

360 Lens Mod

Kita mulakan dulu dengan spesifikasi 360 Lens Mod yang didatangkan dalam kotak :

Aperture : F 2.0
35mm Equivalent Focal Length : 7.2mm
Resolusi Foto : 6080 x 3040 (2:1)
Resolusi Video : 5760×2880@30fps, 5760×2880@24fps, 5760×2880@25fps, 3840×1920@50fps, 3840×1920@30fps, 3008×1504@100fps
Format Foto : insp (boleh dieksport menggunakan App atau Studio),
RAW (dng) (File RAW memerlukan program di PC/Mac untuk stitching)
Format Video : insv (boleh dieksport menggunakan App atau Studio),
LOG & video HDR
Pemampatan Video : H.264 / H.265
Mod Video : Video Standard,Video HDR, Timelapse mode,Video Bullet Time
Berat : 130.5g (termasuk bateri & modul utama)
Dimensi (WxHxD) : 72mm x 48mm x 43mm
Masa Penggunaan : 5.7K @ 30fps – 70 minit
Video Bitrate : 100Mbps
Gyroscope : 6-axis Gyroscope
Mod Photo : Foto Standard, Foto HDR, Burst,Foto Selang Masa, Mod Malam
Live Streaming : 360 live-streaming, FreeCapture Live
EV : -4EV hingga +4EV
Mod Dedahan :
Gambar – Auto, Manual(Shutter 1/8000s-120s, ISO 100-3200), Shutter Priority(1/8000s-1s), ISO Priority(100-3200)
Video – Auto, Manual(Shutter 1/8000 – 1/30, ISO 100-3200)
WB : Auto, 2700K, 4000K, 5000K, 6500K
Bluetooth : BLE4.0
Wi-Fi : 5G (Jarak standard sehingga 20M)
USB : Type-C
Micro SD Card : UHS-I V30, exFAT(FAT64) format kad SD. Saiz maximum 1TB.
Kapasiti Bateri : 1190mAh
Kaedah Pengecas : Type-C
Masa Mengecas : 65 minit
Suhu Operasi : -4° F hingga 104° F (-20℃ hingga 40℃)

Insta360 One R Twin Edition ini terdiri daripada modul utama, 360 lens & bateri. Apa yang berbeza dari produk lain dengan Insta360 ini adalah ia modular macam Lego hangpa main dulu-dulu tu. Setelah semua dipasang sekali, kamera ini tidak jauh beza saiznya dengan action camera lain yang sedia ada dalam pasaran. Fungsi yang agak menarik lagi ia didatangi dengan voice control & boleh dihubungkan dengan wireless earphone menggunakan Bluetooth.

 

Bila modul semua dipasang & dimasukkan ke dalam sangkar kamera, barulah kamera nih kalis api neraka. Eh! Maksud Mamu kalis air. Kamera ini kalis air sehingga kedalaman 5 meter.

Navigasi pada kamera menggunakan skrin yang sedia ada pada modul utama. Walaupun skrin agak kecil untuk tangan mamu tapi cukup untuk mamu akses menu utama & sub menu.

“Apa nih Mamu? Kami nak tengok hasil dari kamera ni!”

Hangpa nih tak sabaq toi la. Nih haa sedikit sebanyak hasil yang hangpa boleh buat dengan lens 360. Jangan keriau tengok naa.

P/S : bila pakai selfie stick, gambaq hangpa seakan-akan menggunakan drone. Ini kerana selfie stick tu berada di titik buta kamera 360.

Cukup dak? Mana cukup kan? Lani Mamu share video yang hangpa boleh hasilkan. Feast your eyes! 

Hatni Mamu guna BulletTime. Hangpa boleh buat video ikut kreativiti hangpa. Sky the limit gais.

Hatni plak mamu rekod time tengah drive. Time nih balik dari Penang. Stabilization dia memang superb bagi Mamu.

Nih ada lagi video yang Mamu sempat buat untuk tatapan hangpa semua. Video kat Youtube nih semua dalam Resolusi 4K. Enjois!

Ok, dah teracun ka blom? Jom sambung pi ke 4K Lens Mod plak naa.

4K Lens Mod

Spesifikasi 4K lens nih tak jauh beza dari 360. Kat sini Mamu senaraikan perbezaan depa berdua.

Aperture : F 2.8
35mm Equivalent Focal Length : 16.4mm
Resolusi Foto : 4000 x 3000 (4:3), 4000 x 2250 (16:9)
Resolusi Video : 4000×3000@24/25/30fps,3840×2160@24/25/30/60fps,2720×1530@24/25/30/60/100fps,1920×1080@24/25/30/60/120/200fps
Format Foto : JPEG (boleh dieksport menggunakan App atau Studio), RAW (dng) (File RAW memerlukan program di PC/Mac untuk stitching)
Format Video : MP4, insv (boleh dieksport menggunakan App atau Studio. Dalam kemaskini 1.2.16 insv boleh ditukar ke format MP4), LOG & video HDR
Pemampatan Video : H.264 / H.265
Mod Video : Video Standard,Video HDR, Timelapse mode, TimeShift mode, Basic stabilization mode (in-camera stabilization), Pro stabilization mode (eksport menggunakan Insta360 app/Studio atau plugins yang disokong untuk menggunakan FlowState stabilization)
Berat : 121g (termasuk bateri & modul utama)
Dimensi (WxHxD) : 72mm x 48mm x 32.4mm
Masa Penggunaan : 4K @ 60fps – 70 minit
Video Bitrate : 100Mbps
Gyroscope : 6-axis Gyroscope
Mod Photo : Foto Standard, Foto HDR, Burst,Foto Selang Masa, Mod Malam
EV : -4EV hingga +4EV
Mod Dedahan :
Photo : Auto, Manual(Shutter 1/8000s-120s, ISO 100-3200), Shutter Priority(1/8000s-1s), ISO Priority(100-3200)
Video :Auto, Manual(Shutter 1/8000 – 1/30, ISO 100-3200)
WB : Auto, 2700K, 4000K, 5000K, 6500K

Itu sedikit sebanyak info pasal 4K lens nih. Satu fungsi yang ada kat dia buat Mamu suka adalah Pureshot. Gambaq yang hangpa amik akan lebih bersih. Fungsi ini akan merakam gambaq korang dalam format DNG & menggunakan AI untuk analisa gambaq hangpa tu untuk hasil lebih baik.

Sini hangpa boleh tengok sample gambaq time siang & malam yang Mamu sempat rakam.

Pureshot

HDR

Night Mode

Normal Mode

Kita ke sampel video pulak menggunakan 4K lens nih naa. Semua video dibawah beresolusi 4K gais.

Amacam, ada rasa nak beli? Berbaloi gais untuk hangpa beli dan pakai Insta360 One R.

Apa lagi nak cerita ehh? Owh lupa plak Mamu belum cerita aplikasi Insta360 dalam telefon dia.

Insta360 App

Dari aplikasi ini, hangpa boleh edit & eksport video yang hangpa rakam tanpa perlu muat turun ke telefon hangpa.

“Wait Mamu? What you say?”

Yup,hangpa boleh edit tanpa perlu muat turun video rakaman ke telefon hangpa. Hangpa boleh terus edit video yang telah hangpa rakam terus dari kamera. Dah menjimatkan masa hangpa dah kan?

Sini Mamu senaraikan apa yang hangpa boleh buat dari aplikasi tu. Nak tahu lebih lanjut, hangpa kena beli dulu la kan. Hehehe.

  • Flowstate Stabilization
  • Auto Frame
  • Hyperlapse
  • Flylapse (hatni stail habaq hang)
  • Point To Track
  • Flashcut
  • Jumpcut
  • Ubah FOV video hangpa

Sekarang Mamu kongsikan antaramuka dalam aplikasi hat Mamu dok cerita nih.

Antaramuka Rakaman Video/Foto

Antaramuka Aplikasi Insta360

Akhir kata dari Mamu, untuk kit yang kini berharga sekitar RM 2000 yang hampir sama harga dengan GoPro terbaru memang berbaloi untuk dimiliki. Harap dengan ulasan pendek nih dapat tolong hangpa untuk buat keputusan untuk membeli.

Sebelum itu, kalo hangpa nak beli Insta360 ada buat promosi sempena Black Friday.

Klik link dibawah nih naa.

https://www.insta360.com/sal/one_r?insrc=INRO382

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

QCY T5 : TWS Gaming Terbaik Bawah RM50!

QCY memperkenalkan TWS mereka yang menyasarkan para gamer dengan QCY T5 yang dilengkapi dengan fungsi “gaming mode” untuk tindak balas audio yang lebih pantas dengan Bluetooth 5.0. Apa yang paling penting, ia mampu milik dan berkualiti; pada harga BAWAH RM50!

 

PANDANG PERTAMA

QCY T5 datang dengan pakej yang sederhana. Grafik yang minima, dengan kotak yang kosong tanpa warna dan corak bergaya. Bersesuaian dengan gaya syarikat mereka yang memasarkan produk-produk bajet. Pun begitu, TWS ini selamat mengharungi perjalan jauh daripada China ke Malaysia tanpa masalah atau kemek. QCY masih lagi bermurah hati dengan memberikan getah telinga tambahan, kabel pengecasan dan juga buku manual bersama-sama dengan QCY T5 ini.

 

KUALITI BINAAN

Perbezaan ketara pada QCY T5 berbanding TWS yang lain adalah beratnya. Di antara kesemua TWS saya, QCY T5 adalah yang paling ringan. Ia terasa begitu ringan seolah-olah ia kosong walaupun kedua-dua belah TWS sudah berada di dalam kotak. Walau sedemikian, ia tidaklah selekeh. Engselnya ketat, dan dilekapkan dengan magnet. Tidak mudah untuk terbuka walau telah digoncang dengan kuat.

QCY T5 masih lagi mengekalkan Mikro USB pada bekasnya. Penunjuk aras bateri diletakkan di bahagian hadapan bekas. Panunjuk bateri ini agak mengelirukan pada mulanya. Ia berwarna merah apabila bateri sudah berada pada tahap kritikal. Ia berwarna hijau ketika bateri masih belum kritikal dan ketika sedang mengecas. Apabila dicas penuh, kedua-dua lampu LED akan terpadam.

QCY T5 juga mempunyai kadar kalis air IPX5. Sudah mencukupi untuk berfungsi walaupun dalam percikan air dan disentuh dengan tangan yang basah.

 

BATERI

QCY T5 boleh memainkan muzik selama 4-5 jam tanpa henti. Bekasnya boleh mengecas kedua-dua belah TWS sebanyak 4 kitaran penuh. Dalam gaming mode pula, ia boleh bertahan selama lebih kurang 3-3.5 jam tanpa henti ketika ujian saya. Tidak begitu memberangsangkan, tapi untuk julat harga ini, ia sudahpun cukup bagus dan menepati jangkaan saya. Kedua-dua belah TWS ini mempunyai kapasiti bateri sebesar 40mAh dan sebesar 380mAh pada bekasnya.

 

KUALITI BUNYI

Bunyi pada QCY T5 ini pada saya seimbang dengan lebih penekanan pada Mid dan High. Menjadikan bunyi pada QCY T5 agak bright pada pendengaran saya. Bass pada QCY T5 masih ada, tapi tidak begitu bergetar. Ia ada, tapi tidak terlalu dominan seperti TWS yang lebih memfokuskan pada bass seperti Oppo Enco W11 dan TaoTronic SoundLiberty 53 Pro.

Anda boleh mengubah bunyi menggunakan equalizer di telefon anda, tapi bagi saya QCY T5 kedengaran lebih enak dengan talaan asal yang memberikan lebih mid dan high dengan clarity yang cukup. Vokal dan simbal tidak keterlaluan dan sibilance masih lagi dikawal dengan baik. Bunyi ‘sssss’ pada simbal dan vokal tidak menutupi bunyi lain semasa mendengar lagu.

Soundstage juga bagi saya agak sempit tapi tidaklah terlalu sempit. Stereonya masih ada kesan surround tapi sepanjang pendengaran, saya terasa seolah berada dalam bilik kecil sahaja. Tapi apa yang saya suka, ia boleh bertukar di antara mod stereo dan mono dengan pantas apabila anda memasukkan atau mengeluarkan sebelah TWS ke dalam bekas untuk mendengar lagu menggunakan sebelah telinga ataupun kedua-dua belah telinga.

Dengan rekabentuk paip dan mikrofon yang berada di bawah dan berdekatan dengan mulut, mikrofon pada QCY T5 ini berjaya menjalankan tugasnya dengan cemerlang. Suara semasa panggilan suara dan bermain dapat didengar dengan jelas. Apabila berada di luar juga, suara masih dapat ditangkap dengan kuat dan perbualan dapat diteruskan tanpa gangguan.

 

KUALITI SAMBUNGAN

Kualiti sambungan adalah kekuatan utama QCY T5. Menonton YouTube menggunakan TWS ini tiada masalah dan tiada kelewatan audio. Mod gaming juga sangat bagus. 3 kali sentuhan pada TWS kanan dan anda akan mendengar 3 bunyi “bip” menandakan mod gaming diaktifkan. Saya telah menguji mod gaming pada telefon lama yang masih menggunakan Bluetooth 4.2 dan hasilnya sangat memuaskan. Hampir tiada kelewatan bunyi semasa bermain permainan video walaupun pada peranti dengan Bluetooth 4.2! Ia tidaklah mampu menyamai kualiti sambungan dengan sambungan berwayar, tapi ia hampir-hampir menyamai.

Sambungan pada QCY T5 juga automatik. Apabila anda membuka penutup bekas, ia sudah pun bersambung dengan telefon sekiranya anda sudah pernah menyambungkannya sebelum ini. Apabila anda memasukkan semula TWS ini ke dalam bekas, ia akan memutuskan sambungan dan mematikan kuasa TWS juga secara automatik. Begitu juga dengan penggunaan TWS pada sebelah telinga atau dua belah telinga. Ia dapat beradaptasi dengan pantas di antara keduanya.

 

 

KAWALAN

QCY T5 menggunakan kawalan sentuhan. Sentuh dua kali untuk Main/Jeda lagu. Sentuh tiga kali di sebelah kanan untuk mengaktifkan/mematikan mod gaming (3 bip aktif/ 2 bip mati). Sentuh 3 kali di sebelah kiri untuk memanggil aplikasi pembantu di telefon pintar anda. Tekan dan tahan untuk memainkan lagu seterusnya/sebelumnya.

Untuk panggilan, tekan 2 kali untuk menjawab panggilan dan tekan dan tahan selama 2 saat untuk mengabaikan panggilan.

Agak pelik juga kenapa QCY T5 tidak berupaya mengawal kelantangan bunyi sedangkan fungsi tekan 1 kali tidak ada pada QCY T5 seperti pada TaoTronic SoundLiberty 53 dan TaoTronic SoundLiberty 53 Pro.

 

KELEBIHAN

Kelebihan pada QCY T5 iini adalah pada kualti sambungannya yang pantas dengan mod gaming yang sangat berkesan WALAUPUN dengan peranti lama. Ia juga sangat selesa dipakai dengan beratnya yang sangat ringan. Anda boleh bermain permainan dengan masa yang lama tanpa telinga anda berasa sakit.

Kualiti bunyinya juga tidak teruk. Anda dapat kejelasan dan pengasingan bunyi yang baik dengan QCY T5. Karakter bunyi dapat ditala dengan baik menggunakan equalizer sekiranya anda ingin menala beberapa aspek bunyi mengikut selera anda. Dan yang paling penting, harganya rendah, BAWAH RM50 untuk TWS gaming yang berkualiti sebegini!

 

KEKURANGAN

Tidak banyak yang saya ingin adukan pada TWS ini. Jujurlah, untuk TWS berharga semurah ini, apa lagi yang anda mahukan? Kalau ada pun penambahan yang saya mahukan adalah kapasiti bateri yang lebih besar pada TWS dan bekas QCY T5. QCY T5 juga tiada kawalan kelantangan jadi sekiranya anda ingin mengubah kelantangan bunyi, anda cuma boleh mengubahnya dengan menekan butang fizikal di telefon anda.

QCY juga ada membuat aplikasi untuk TWS mereka tapi malangnya, untuk model T5 ini anda tidak boleh menyambung dengan aplikasi mereka. Anehnya, untuk mereka menyediakan pula sokongan untuk model T5S dan T5 Pro yang hampir sama saja dengan T5 ini.

Ia juga terasa agak longgar pada telinga saya. Walaupun tidak pernah terjatuh, tapi ia terasa kurang cengkaman pada telinga. Tapi untuk ini, ia subjektif kerana ada pengguna yang mengatakan cengkaman pada QCY T5 sangat bagus untuk mereka.

 

KESIMPULAN

QCY T5 adalah TWS yang terbaik untuk julat harga di bawah RM50 bagi mereka yang selalu bermain permainan video di telefon atau komputer mereka. Dengan mod gaming yang sangat baik, anda tidak lagi boleh memberi alasan permainan anda terjejas dengan TWS kerana kelewatan audio. Ia juga ringan dan selesa untuk penggunaan lama. Karakter bunyi pada QCY T5 ini terasa berkualiti dan tidaklah seperti produk pasar malam walaupun jatuh dalam kategori bajet. Paling penting, BAWAH RM50!

Tonton video unboxing di bawah:

 

Dapatkannya di Shopee : Kedai Rasmi QCY

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

QKZ AK6 : Bajet Tapi Berkualiti

QKZ AK6 adalah IEM bajet yang sesuai untuk mereka yang baru sahaja ingin berjinak-jinak dengan aksesori audio yang lebih berkualiti. Dengan harga kurang daripada RM20, ini adalah IEM yang saya syorkan kepada mereka yang inginkan lebih kepuasan dalam pengalaman audio mereka tetapi mempunyai bajet yang kecil ataupun yang tidak sanggup berbelanja lebih.

 

PANDANG PERTAMA

Kata pujangga, jangan menilai sesuatu daripada luaran. Tapi lihatlah, dengan harga kurang dari RM20, anda memperoleh kotak kecil untuk membawa IEM anda dengan mudah ke mana-mana dengan selamat. Kotak ini tidaklah kalis air dan mempunyai kemasan yang begitu baik, tapi jika anda ingin membelinya secara berasingan, saya rasa paling tidak pun ia berharga lebih kurang RM5 setiap satu. Satu bonus yang bagus dengan QKZ AK6.

 

Dengan kotak plastik ini juga, QKZ kelihatan sangat berjimat dengan pembungkusan mereka. Segalanya diletakkan di dalam kotak kecil ini tanpa maklumat atau visual tambahan. Pun begitu, bagi saya kotak plastik ini lebih baik daripada kotak kertas yang biasa. Tiada guna pembungkusan yang cantik sekiranya anda akan membuangnya begitu sahaja selepas mengeluarkan IEM daripada kotaknya.

 

QKZ AK6 juga hadir dengan beberapa aksesori tambahan seperti klip kabel, 2 pasang getah telinga tambahan dan cangkuk telinga silikon bagi mereka yang aktif atau ingin menggunakan IEM ini untuk bersukan. Getah telinga pada QKZ AK6 ini juga saya kira agak berkualiti dan mempunyai lapisan getah tebal pada ombohnya, berkesan dalam menyalurkan bunyi yang lebih baik daripada IEM ke telinga anda.

 

Kabel telinga pada QKZ AK6 tidak boleh dicabut seperti IEM lain yang lebih mahal. Untuk IEM yang berharga kurang daripada RM20, ini bukanlah isu yang besar. Kabel naik taraf IEM di pasaran berharga lebih daripada RM20 ataupun sama harga dengan QKZ AK6. Sekalipun anda benar-benar serius  ingin mendapatkan kabel naik taraf, contohya kabel perak, itu bukan satu langkah yang bijak. Lebih baik anda membeli IEM lain yang lebih baik daripada QKZ AK6 dan belanjakan wang anda dengan lebih bijak.

 

Kabel pada QKZ AK6 adalah kabel yang dijalin. Agak mengejutkan juga IEM dengan julat harga ini boleh memberikan anda kabel yang dijalin dan dibalut pula dengan plastik. Saya yakin ini akan menjamin ketahan kabel ini untuk jangka masa yang panjang. QKZ AK6 juga dilengkapi dengan mikrofon dan beberapa butang kawalan. Tekan sekali untuk Main/Jeda dan tekan dua kali untuk memainkan lagu seterusnya. Ia juga mempunyai peluncur untuk kawalan kelantangan. Saya sangat suka tombol luncur untuk kawalan kelantangan ini, sangat ergonomik.

 

KUALITI BUNYI

Kualiti bunyi pada QKZ AK6 ini walaupun sangat memberangsangkan untuk harganya namun tidaklah sempurna. Bass yang dominan, mid yang kuat dan clarity yang mencukupi. Sepertimana IEM bajet yang lain, QkZ AK6 juga mengalami masalah pada talaan bunyi. Ini bermakna untuk sesetengah lagu, ia kedengaran sangat baik tetapi pada sesetengah lagu yang lain ia kedengaran agak muddy. Soundstage pula bagi saya adalah sederhana sahaja, tidak terlalu lebar, tidak terlalu sempit.

 

High kadangkala kedengaran agak piercing dan terlalu tinggi hingga mencucuk telinga dan menenggelamkan bunyi yang lain. Ini agak jelas pada lagu-lagu bergenre rock dan synth di mana bunyi gitar dan high-synth kadangkala kedengaran mendahului bunyi lain dan terlalu kuat sehingga menenggelamkan bunyi lain. Karakter bass-heavy IEM ini juga menambah luka pada kualiti bunyi dengan bunyi deruman bass kadangkala terlalu berlebihan sehingga menghilangkan kualiti vokal dan instrumen muzik yang lain.

 

Untuk gaming, saya kira IEM ini sesuai dan memenuhi kehendak. Bunyi letupan dan tembakan memuaskan telinga. Kadangkala ditembak musuh dari jarak dekat dan bunyi ledakan bom dan peluru begitu mengasyikkan. Saya boleh dengar dengan jelas perbezaan di antara letupan jauh dan dekat. Mikrofon pada QKZ AK6 juga bagi saya boleh diterima. Jujurlah, anda bukannya mahu merakam podcast, jadi dengan suara yang jelas dan penapisan hingar yang biasa-biasa sudah memadai untuk panggilan telefon dan juga bermain permainan video dalam talian.

 

KESIMPULAN

QKZ AK6 adalah IEM bajet bagi mereka yang mahu kelihatan dan rasa seperti audiophile dan gamer yang serius tapi tidak mahu berbelanja lebih. Kualiti bunyinya memang ada peningkatan berbanding dengan earphone pasar malam yang biasa. Rekabentuknya juga nampak lebih serius dengan keselasaan pemakaian yang bagus kepada pemakai. Hadir dengan 5 pilihan warna; merah, kuning, hijau, biru dan hitam serta didatangkan dengan kotak plastik, QKZ AK6 ada pakej lengkap untuk pemula dalam perjalanan mencari kualiti bunyi.

 

Views: 8

Iklan Newspaper Inline

Cara ‘Boost’/Stabilkan Signal Rangkaian Bermasalah Untuk Melajukan Internet

1

Kebiasaannya, bila tempat/kawasan anda ADA rangkaian 4G tetapi lemah (1 bar), smartphone akan ‘turunkan’ kualiti rangkaian kepada 3G.

Apabila ini terjadi, kelajuan internet akan menjadi sangat perlahan, dan biasanya telco akan dimaki ‘babi’ kerana memberikan ‘servis’ yang tidak memuaskan.

Tetapi, ada caranya untuk membantu sedikit sebanyak rangkaian yang lemah. Memaki bukan caranya. Berikut abam senaraikan beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk ‘boost’ dan stabilkan signal, supaya kelajuan internet anda juga secara tidak langsung menjadi stabil dan sebagai bonusnya ia menjadi laju.

1. Kunci/Lock signal 4G meskipun hanya ada 1 bar.

Ada dua kaedah bagi mengunci signal rangkaian kepada 4G.

a) Dengan menggunakan gabungan *#*#4636#*#*, kemudian pergi ke Device information -> dan setkan kepada LTE only.

b) Dengan menggunakan aplikasi ‘NetSwitch‘.

Aplikasi ini mudah dan ringkas. Hanya perlu pasang, buka, dan setkan.

Muat turun dan pasangkan: saylor-netswitch-v4.apk

Setelah anda berjaya mengunci signal 4G, cuba layari internet dan gunakan mana-mana aplikasi yang memerlukan kepada sambungan internet. Ada perubahan atau masih cenggitu?

Cara ini juga boleh digunakan jika di tempat anda mempunyai rangkaian 3G yang tidak stabil, atau hanya mempunyai rangkaian 3G sahaja, atau mempunyai rangkaian 4G ‘sipi-sipi’.

Caranya ialah dengan mengunci rangkaian kepada ‘WCDMA only‘.

2. Gunakan aplikasi ‘signal booster’.

Tetapi ada satu lagi aplikasi yang boleh membantu peranti anda boost signal rangkaian, terutamanya anda yang menggunakan Digi atau U Mobile. Memang signal hampeh di dalam kawasan bangunan, jadi apa yang boleh anda lakukan? Troll orang?

Tidak, anda boleh gunakan aplikasi HSPA+ Tweaker (3G booster).

Muat turun: HSPA+ Tweaker (3G booster)

Kemas kini artikel: Aplikasi di atas nampaknya telah dibuang dari Play Store. Tidak pasti sama ada Google yang membuangnya, atau pembangun itu sendiri. Saya gantikan pautan ke APKPure.

Dengan aplikasi ini, rangkaian 3G akan ‘dikunci’ kepada tahap optimum bagi penggunaan yang intensif. Tetapi jika anda tidak menggunakan ia, eloklah dinyahaktifkan (disable) kerana aplikasi ini agak kuat juga mentekedarah tenaga bateri.

*Kalau dah tempat encik takde signal U Mobile (contohnya), tak payah la pakai jugak U Mobile tu.

Apapun ini juga bergantung kepada peranti yang anda gunakan. Kalau pakai phone low end, janganlah mengharapkan modem yang ada padanya berkualiti tinggi dan mampu mendapatkan signal yang kuat.

Views: 20

Iklan Newspaper Inline

Ulasan Tribit XFree Go: Fon Kepala Bluetooth Bajet Yang Memuaskan Telinga

0

Saya bukan jenis yang begitu berminat sekali dengan produk Bluetooth, kerana pada hemat saya, teknologi yang ada sekarang masih belum cukup mantap untuk menandingi audio dihasilkan oleh produk berwayar.

Malang sekali, kebanyakan telefon zaman sekarang sudah membuang jack 3.5mm kerana cuba mengikut matlamat Apple untuk mewujudkan ‘push’ ke arah produk tanpa wayar sepenuhnya.

Saya seringkali membuat kajian sendiri tentang codec Bluetooth yang ada sekarang serta produk yang sedang hangat di pasaran. Ini kerana andai benar suatu hari nanti sudah tiada lagi produk mercu disertakan dengan jack fon kepala, sekurang-kurangnya saya sudah bersedia.

Tetapi bajet yang ada dalam tangan agak kecil, tambahan pula saya tidak mahu berbelanja besar buat sementara waktu ini untuk produk Bluetooth.

Oleh kerana itu, saya membeli Tribit XFree Go. Harganya yang cuma RM135 begitu menarik pandangan mata. Tambahan pula setelah ditolak dengan ‘coins’ di Shopee, saya dapat membelinya pada harga lebih murah.

Nyahkotak/Buka Kotak

Dipendekkan cerita, selepas beberapa hari menunggu, produk diidam sampai di depan rumah. Saya pun buka kotak untuk melihat pakej diberikan. Apa yang ada?

1x Tribit XFree Go
1x Bekas Penyimpanan
1x Kabel USB Mikro
1x Kabel Audio 3.5mm
1x 1x Manual Panduan Pengguna

Reka Bentuk

Reka bentuknya ialah dari jenis boleh lipat, menggunakan earmuffs yang lembut dan selesa pada telinga, dengan tampilan sedikit moden.

Anda tidak akan berasa segan untuk menggantungnya di leher ketika membawa ia keluar dari rumah. Ia tidak kelihatan seperti makhluk asing sedang bergantung di leher anda.

Anda boleh lihat sendiri pada gambar yang saya ambil ini.

Spesifikasi

Tribit XFree Go menggunakan chip Bluetooth 5.00 dari Qualcoom iaitu QCC3003. Chip ini menyokong codec AAC dan SBC. Pemacu di dalamnya pula bersaiz 40mm, dan ia menyokong fungsi/ciri Qualcomm Clear Voice Capture (cVc).

Sayangnya, fon kepala ini masih lagi menggunakan USB mikro, tetapi untuk harga seperti ini saya tidak dapat memfailkan rungutan terhadap jabatan netizen Malaysia.

Mengambil masa sehingga 3 jam untuk dicaj penuh, dan dapat memberikan tempoh main semula selama 4 jam untuk jangka caj 10 minit, pada saya ini sudah memadai. Tambahan pula hayat baterinya sangatlah lama. Sehingga kini saya masih belum dapat menghabiskan kuasa baterinya sepanjang tempoh penggunaan sehari suntuk.

Kualiti Audio

Boleh dikatakan semua orang membeli sesuatu fon kepala atau fon telinga adalah kerana kualiti audionya. Saya juga tidak terkecuali.

Dengan pemacu 40mm, codec AAC, dan cVc 8.0, saya rasa agak banyak jugak boleh diperkatakan mengenai fon kepala bajet ini.

Agak terkejut juga sebenarnya, kerana pada awal, saya tidak memberi sebarang ‘harapan’ pada Tribit XFree Go disebabkan harganya yang murah. Saya hanya beli dan ingin ‘lupakan’ jika ia tidak memuaskan hati.

Ternyata saya tidak hampa.

Saya adalah peminat muzik metal. Kebanyakan senarai main saya adalah dari genre itu. Sudah tentulah saya akan uji dengan lagu-lagu dari senarai main, contohnya ini.

Walaupun tanpa ciri noise cancelling, tetapi dengan cVc dan reka bentuk earmuffs yang menutupi ruang telinga, bunyi bising sedikit sebanyak dapat diasingkan. Tribit secara umum dapat membuat penalaan bunyi yang seimbang.

Sekiranya anda peminat bass, dan anda mahu hentakan bass seakan berada dalam studio jamming..

Lebih baik anda masuk studio jamming itu sendiri dan goyanglah kepala anda semahu-mahunya.

Tetapi sekiranya anda inginkan kualiti bass berpada, tidak terlalu berlebihan dan mencukupi untuk lagu-lagu kegemaran, XFree Go ada ciri itu. Malah boleh dikatakan bassnya agak menghentak juga, sebagai contoh pada lagu Machine Gun Kelly – el Diablo.

Konklusi

Saya enggan menulis panjang dek kerana saya ingin jimatkan masa anda.

Tak perlu fikir panjang. Buang masa. Tribit XFree Go ialah produk yang anda boleh ‘pejam mata’ dan beli dengan ‘selamba’.

Ya, ia bukan Audio Technica, bukan juga Beyerdynamic mahupun Sennheiser. Tetapi untuk harga seperti ini, bunyinya bagus, pemakaian di kepala dan telinga adalah selesa, dan hayat bateri untuk main semula cukup lama.

Kalau ada benda yang saya boleh kritik pun cuma satu, iaitu – USB mikro.

Selain itu, saya tidak dapat fikirkan kelemahannya secara ikhlas. Kalau harga diletak sehingga RM300, mungkin saya boleh lampirkan kritikan pedas, sepedas cinta yang tertolak.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

TaoTronics SoundLiberty 53 Pro : Dual Driver Bajet!

Tidak mahu ketinggalan dengan trend TWS yang semakin rancak, TaoTronics kini hadir dengan kemaskini pada TWS kategori bajet mereka. TaoTronics SoundLiberty 053 Pro adalah kemaskini daripada TWS lama mereka, TaoTronics SoundLiberty 053 yang juga telah kami review di sini. Yang menariknya, Malaysia antara negara pertama yang menjual model baharu ini dan kami antara yang terawal dapat memiliki TWS ini DI DUNIA.

 

PANDANG PERTAMA

Terus dari kotak, TaoTronics masih lagi mengekalkan pembungkusan dwitona dan dwikotak seperti versi 53 terdahulu. Satu rekaan yang sangat saya suka. Putih dan oren, sangat memikat dan premium. Di dalammya anda menerima manual, alat ganti telinga, kabel pengecasan dan sudah tentunya bar kod QR untuk mendaftar jaminan bagi TWS anda. Bagusnya dengan TaoTronics Malaysia, mereka tidak lokek untuk memberikan anda pertukaran terus unit baru sekiranya TWS anda bermasalah. Anda bayar harga yang premium untuk servis dan kualiti yang premium.

 

KUALITI BINAAN

Ada sedikit perubahan pada bekas TWS baru ini. Dari segi saiz dan dimensi, masih lagi sama dengan yang lama. Namun ada sedikit perbezaan pada sentuhan permukaannya. Versi baru nampaknya mempunyai permukaan yang lebih matte dari yang lama. Ia memberikan grip yang lebih dan berada di dalam poket dengan lebih selamat. Saya telah berlari dengan bekas TWS ini berada di dalam poket seluar sukan saya dan tidak pernah sekali pun ia terjatuh dari poket saya walaupun ketika saya duduk.

Masih lagi mengekalkan rekabentuk telinga yang sama. Cuma kali ini, logo TaoTronics dicetak dalam warna hitam metalik. Lebih minimalis dari yang lama.

 

TaoTronics SoundLiberty 53 Pro ada sedikit penambahbaikan kecil berbanding versi lama. Pada logo di atasnya, ia tidak lagi dicetak seperti versi lama, sebaliknya ia kini diukir dan tulisannya tenggelam ke dalam permukaan bekas. Lurah untuk membuka bekas kini dibesarkan sedikit. Kemaskini lain yang paling dinanti-nanti pula sudah tentunya USB-C pada lubang pengecasa berbanding mikro USB. Secara keseluruhan, satu kemaskini yang menyeluruh dan lengkap.

 

BATERI

TaoTronics SoundLiberty 53 Pro berupaya memainkan muzik selama 5-6 jam dengan sekali penggunaan. Bekasnya boleh mengecas TWS ini sebanyak 6 kitaran. Agak memberangsangkan, tapi ia berada pada tahap “kebanyakan” jadi tidak banyak yang boleh saya katakan di sini.

 

KUALITI BUNYI

TaoTronics SoundLiberty 53 Pro adalah antara TWS yang PALING KUAT yang saya miliki. Satu perkara yang berlainan pada TWS ini ialah ia dipacu dengan dua pemacu audio di setiap belah telinga. Ini bermakna anda mendengar lagu dengan menggunakan 4, ya, EMPAT speaker kecil dengan TWS ini! Bukan sahaja itu, TaoTronics juga menggunakan PEEK+PU driver. Bagi saya, kelantangan bukan segala-galanya. Anda mahukan kualiti bunyi, bukannya bunyi bising semata-mata.

PEEK adalah material gred tinggi yang digunakan pada lapisan diafgram yang melekat bersama magnet. Diafgram ini akan bergetar dan menghasilkan bunyi. PEEK berupaya bergerak dan menghasilkan getaran bunyi yang lebih sensitif dan tepat. Sangat teknikal di sini dan mungkin saya bukan orang yang tepat untuk mengulas dari segi teknikal. Tapi secara ringkasnya, PEEK bukanlah material “biasa-biasa” dan tidak banyak digunakan dalam TWS di pasaran. Ia menghasilkan bass yang lebih jitu dan clarity yang lebih superior hampir setaraf dengan sepasang headphone kerana keupayaannya untuk menghasilkan “angin” bass.

Sound signature pada TaoTronics SoundLiberty 53 Pro ini saya rasa agak neutral dan tidak terlalu fokus pada mana-mana spektrum. Bass nya sangat berkuasa tapi masih lagi mengekalkan clarity yang jelas dan ketepatan instrumen masih dapat didengari dengan jelas. Vokal juga tidak tenggelam dalam bunyi latar muzik. Pada saya, TaoTronics SoundLiberty 53 Pro ini sangat sesuai pada mereka dengan selera muzik yang pelbagai dan genre yang berbeza.

Kualti mikrofon pada SoundLiberty 53 Pro kini telah dipertingkatkan. Pengasingan bunyi bising juga lebih baik. Suara saya kedengaran jelas. Bunyi kedengaran agak terproses seolah-olah saya berada di dalam terowong. Tapi, apabila saya bercakap dengan sedikit kuat, bunyi suara saya kedengaran normal. Mungkin ini adalah kesan noise cancellation pada SoundLiberty 53 Pro ini.

 

KUALITI SAMBUNGAN

Dengan Bluetooth 5.0, ia menyokong codec AAC dan SBC. Sayang juga, SoundLiberty 53 Pro tidak menyokong codec popular aptX. Latency juga bagus. Tiada kelewatan audio semasa menonton filem dan video di Youtube. Model baru ini hadir dengan teknologi McSync, yang berupaya memainkan audio secara kendiri dengan sambungan berasingan untuk setiap belah telinga. Persis TWS+. Ya, saya tahu.

 

Tiada mod gaming pada TaoTronic SoundLiberty 53 Pro, jadi akan ada kelewatan bunyi sedikit ketika bermain permainan video. Tapi tidaklah terlalu ketara. Pada telefon dengan sokongan Bluetooth 5.0, anda masih mampu bermain dengan selesa. Seperti yang selalu saya tekankan, sekiranya anda benar-benar mahukan sifar kelewatan, adalah lebih baik anda menggunakan fon telinga berwayar.

KAWALAN

SoundLiberty 53 Pro masih lagi mengekalkan sistem kawalan sentuhan daripada versi terdahulu mereka. Satu sentuhan untuk kelantangan, dua sentuhan untuk main/jeda, tiga sentuhan untuk lagu seterusnya, dan tekan 2 saat untuk memanggil Google Asssistant. Sentuhan pada versi baru nampaknya lebih responsif daripada versi lama. Mungkin ada pertukaran pada sensor sentuhannya?

 

KELEBIHAN

Kelebihan utama pada TaoTronic SoundLiberty 53 ini sudah tentunya pada kualiti bunyi. Beratnya juga sangat ringan, saya boleh pakainya seharian tanpa rasa tidak selesa pada telinga. Walau tanpa ANC, getah telinga yang dibekalkan sudah cukup untuk menghalang bunyi bising daripada luar. Saya tidak perlu menggunakan memory foam tip untuk mendapatkan kedapan bunyi dan keselesaan pemakaian. Segalanya sudah sempurna terus daripada kotak.

 

KEKURANGAN

Tidak banyak kekurangan pada TaoTronic SoundLiberty 53 Pro ini melainkan faktor citarasa. Pertamanya, ia tidak menyokong codec daripada Qualcomm seperti aptX, aptX HD mahupun aptX TWS+. Pun begitu, kualiti bunyi TWS ini masih cemerlang tapi faktor ini mungkin menjadi deal breaker bagi sesetengah pembeli.

Kedua, TWS ini menggunakan rekaan paip yang memanjang keluar dari telinga. Sesetengah individu lebih menggemari rekabentuk earbuds yang berada di dalam telinga. Ini adalah faktor citarasa jadi tiada apa yang boleh saya ulas di sini. Kelebihan rekaan paip ini adalah mikrofon yang lebih dekat pada mulut, memberikan bunyi yang lebih jelas. Rekabentuk earbuds pula lebih minimalis dan lebih tersorok daripada orang lain sekiranya dipakai.

 

 

KESIMPULAN

TaoTronics SoundLiberty 53 Pro adalah satu kemaskini yang dinantikan daripada TaoTronic SoundLiberty 53 lama. Ia berjaya mengisi lompong-lompong rekabentuk dan kualiti bunyi yang terdapat pada versinya yang terdahulu. Sekali lagi, TaoTronic berjaya mengeluarkan TWS yang sesuai dengan golongan pencinta muzik.

 

Ia tidak menyokong codec daripada Qualcomm. Ia juga tiada mod gaming. Sekiranya dua faktor ini sangat penting bagi anda, maka TWS ini bukan untuk anda. Tapi dari segi kualiti bunyi, anda tidak akan salah pilihan dengan TWS ini. Jujur saya katakan, TWS ini adalah TWS dengan bunyi yang paling premium yang saya miliki. TaoTronic telah berjaya mendapat tempat yang istimewa di hati saya.

Tonton video unboxing di bawah:

Dapatkan TaoTronic SoundLiberty 53 Pro di kedai rasmi TaoTronic Malaysia dengan 18 bulan jaminan :

Lazada

Harga Terkini : RM296

 

Views: 9

Iklan Newspaper Inline

Penjejak Moden Di Internet: Realiti Hidup Dalam Rangkaian Dipantau Orang

0

 

Tahukah anda, modern trackers atau ‘penjejak moden’ dalam internet ini tidak perlu tahu alamat IP sebenar anda untuk menjejak anda?

Dengan penjejak, Facebook (contohnya) boleh menjejak aktiviti harian anda, walaupun anda bukan pengguna Facebook.

Kenapa mereka berusaha menjejak kesemua orang meskipun individu tersebut bukan merupakan pengguna Facebook?

Ini adalah kerana informasi diri anda ialah satu bentuk perniagaan yang punyai nilai berbillion dollar banyaknya.

Suka untuk saya imbas kembali satu kes, di mana pasaraya Target pernah dapat ‘meramalkan’ kehamilan seorang remaja lebih awal daripada ibu dan bapanya.

Lalu berlakulah episod ‘oof’ yang tidak terjangka.

Mengapa? Kerana remaja malang itu masih belum bersedia berkongsi kehamilannya dengan ibu dan bapa. Mungkin bapa kepada bayi tersebut tidak ‘direstui’? Entahlah. Kehamilan dikesan apabila pasaraya tersebut bertindak menghantar kupon² diskaun untuk pembelian barangan bayi.

Bapanya yang menjumpai kupon itu meminta penjelasan dari pihak pasaraya, lalu terbongkarlah rahsia.

Realiti distopia dunia internet tanpa privasi adalah amat menakutkan.

Di China, Google China membina sebuah prototaip enjin carian versi ‘disekat’ khusus untuk rakyat di sana, yang mana setiap hasil carian akan dihubungkan terus ke nombor telefon bagi memudahkan kerajaan China memantau carian rakyat mereka.

Data tersebut digunakan oleh kerajaan untuk memberi setiap individu skor sosial dan menyusun kedudukan mereka secara teratur mengikut penarafan tersendiri.

Skor sosial ini tidak dapat dikawal oleh individu berkenaan, dan adakalanya menghasilkan ‘keputusan’ mengejutkan seperti dilarang dari melancong ke luar negara, membeli-belah, bahkan ditegah dari melakukan aktiviti sosial.

Teruk bukan sekatan dan pemantauan di sana?

Ini baru sekadar contoh pendek, dari pelbagai lagi kes untuk menjustifikasikan betapa pentingnya privasi. Hak anda boleh dinafikan, informasi anda boleh dibuat sebagai satu ‘cherry-pick’ untuk membuktikan anda melakukan sesuatu kesalahan, walaupun ia bukan ‘bukti’, serta pelbagai lagi isu-isu lain.

Kebebasan digital secara individual perlu dititik berat agar tidak suatu hari nanti informasi diri akan diguna pakai semula bagi menyusahkan diri anda.

Ada pelbagai alat (tools) boleh digunakan dalam memastikan pemantauan terhadap diri dapat diminimakan. Diulangi, diminimakan.

Antaranya seperti Tails.

Rujuk:

Tails: Cara Hidup Sebagai Manusia Halimunan Di Internet

Pelayar web? Antara contohnya Brave:

Brave Browser

Dan pelbagai lagi alatan lain. Kami akan cuba kongsikan sebanyak mungkin informasi yang ada. Terima kasih kerana setia bersama kami selama ini. Kongsikan artikel ini kepada rakan anda agar mereka juga dapat bersama kita dalam usaha mengurangkan profil diri.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline