Oppo Enco W11 : Tumbukan Bass Yang Mantap!

 

Tidak ketinggalan dengan pesaingnya, Oppo turut sama menambahkan satu lagi produk tersendiri ke dalam ekosistem mereka. Dengan kepesatan dan peningkatan permintaan dalam aksesori tanpa wayar, Oppo hadir dengan TWS baru mereka dalam siri Enco; Oppo Enco W11.

 

 

Pandang Pertama

 

Terus dari kotak, penjenamaan mereka jelas dilihat. Dengan tulisan “oppo” yang terpampang nyata pada bekas TWS, ia mungkin disukai atau tidak disukai oleh pengguna. Ia agak jelas dan tidak nampak seperti ingin diasembunyikan. Satu langkah yang agak berani dalam jabatan rekabentuk Oppo. Hadir dalam pakej serba putih dan minimalis, di dalamnya anda akan menerima kabel pengecas USB-C, dua pasang getah gantian telinga berlainan saiz, sebuah buku manual dan juga sebuah buku jaminan hayat. Walaupun sedikit minimalis, namun Oppo masih masih lagi cuba sedikit berusaha dalam pembungkusan mereka dengan melabel bahagian dalam kotak di ruangan simpanan kabel dan juga getah gantian telinga. Satu seni rekabentuk yang tidak menyerlah, namun jelas menunjukkan yang mereka peduli dengan pelanggan mereka.

 

 

Kualiti Binaan

 

Oppo Enco W11 hadir dengan bekas bersaiz kecil. Dengan plastik berkilat, ia terasa dan kelihatan agak murah berbanding jenama lain. Tapi bagi saya, Oppo ingin mengekalkan bahasa rekabentuk mereka. Warna dan skim warna TWS ini saling tak tumpah seperti pengecas telefon mereka. Putih mutiara. Sangat mencuri perhatian dan memantulkan cahaya. Cantik, tetapi agak mudah menangkap kelam dan cela untuk mereka yang aktif atau suka mencampakkan TWS mereka ke merata tempat. Tekstur plastiknya memudahkannya untuk dicuci sekiranya anda rajin, tapi seperti yang saya katakan, ia agak mudah menangkap cela dan warna kekotoran.

 

 

Penutupnya menggunakan mekanisme magnet untuk membuka dan menutup penutup. Untuk memegang kedua-dua belah TWS juga terdapat magnet dan dua pin pengecasan pada setiap satu belah TWS ini. Kesemuanya melekap dengan kuat dan tahan goncangan. Sekalipun penutup bekas terbuka, TWS di dalamnya tidak mudah terjatuh walau digoncang dengan kuat. Sememangnya kualiti yang dijangkakan dari pengeluar dengan reputasi yang bagus.

 

 

Pengecasan pada bekas TWS ini menggunakan USB-C. Sesuatu yang sangat saya suka kerana kesemua telefon saya kini menggunakan USB-C. Jadi saya hanya perlu menyimpan satu sahaja kabel pengecas yang mampu mengecas telefon mahupun TWS saya. Untuk tahun 2020 ini, saya berpendapat semua pengeluar sepatutnya sudah mula beralih kepada USB-C.

 

Satu lubang LED sahaja berada di bahagian hadapan bekas ini. Merah apabila bateri rendah, oren apabila sedang mengecas dan hijau apabila bateri penuh. Ini bermakna tiada penyukat bateri pada TWS ini. Anda tidak dapat mengagak berapa peratus lagi bateri yang tinggal pada bekas ini. Jadi anda hanya perlu mengagak sahaja atau tunggu sahaja sehingga LED berwarna merah untuk mengecas semula.

 

Bateri

 

Oppo Enco W11 berupaya untuk memainkan muzik selama 5 jam pada kedua-dua belah TWS. 20 jam sekiranya termasuk dengan kapasiti bateri pada bekasnya. Bekas pengecas berkapasiti 400 mAh manakala pada kedua-dua TWS adalah sebanyak 40 mAh. Nombor yang cantik. Dalam ujian saya, pada kelantangan 70%, saya dapat mendengar muzik selama 4 jam 30 minit tanpa henti. Agak bagus untuk TWS pada lingkaran harga ini. Saya kira, rata-rata TWS berkualiti di pasaran pun berada dalam lingkaran tempoh ketahanan bateri sekitar 4-5 jam sahaja.

 

 

Kualiti Bunyi

 

Oppo mengiklankan Oppo Enco W11 ini sebagai TWS dengan Enhanced Bass. Saya mempunyai jangkaan yang tinggi pada setiap produk yang begitu berani mengiklankan kualiti bunyi mereka dengan ciri bunyi yang spesifik. Untuk menguji Oppo Enco W11, saya telah mendengar lagu-lagu dengan julat bunyi pelbagai seperti Kyoto Protocol – Jelita, TWKUA – Great Glass City, Dylan Locke ft Davie504 – Coffin Dance 2, kompilasi lagu-lagu dari Nujabes dan lagu-lagu dari genre Modern Psychedelia.

 

Pada tetapan asal, Oppo Enco W11 kedengaran sangat berat pada bass dan agak runcing pada frekuensi rendah. Tiada aplikasi untuk menala bunyi TWS mereka daripada Oppo, namun dengan menggunakan Dolby pada telefon dan juga komputer saya, kualti bunyi Oppo Enco W11 dapat ditala dengan begitu baik dan memuaskan halwa telinga saya. Bagi saya, sekiranya sesebuah TWS dapat memberi tindak balas yang bagus pada talaan equalizer, itu bermakna TWS itu berkualiti dan dibina dengan komponen yang berkualiti.

 

Pemacu audionya yang bersaiz 8mm mampu menghasilkan bunyi yang seimbang dengan bass yang bergegar serta kejelasan yang mencukupi pada frekuensi tinggi. Untuk kegunaan muzik dan menonton video, anda tidak akan silap dengan Oppo Enco W11. Tidak berlebihan juga untuk saya katakan, Oppo Enco W11 ini mampu menghasilkan bass seakan-akan kualiti pada sepasang headphone. Kejituan penghasilan bassnya tidak terasa palsu seperti TWS dan earphone murahan di pasaran.

 

Kualiti mikrofonnya pula pada saya adalah baik sahaja. Dengan bentuknya yang berada di dalam telinga, kualiti mikrofonnya sudah tentu tidak akan sebagus TWS lain dengan rekabentuk yang memanjang ke luar. Namun begitu, suara saya masih jelas kedengaran dengan pengasingan bunyi bising persekitaran yang bagus. Rata-rata pemanggil saya tidak mempunyai masalah untuk mendengar suara saya ketika panggilan. Oppo Enco W11 tidak mempunyai sebarang masalah untuk dijadikan sebagai hands-free dengan kejelasan bunyinya.

 

 

 

Kualiti Sambungan

 

Dengan Bluetooth 5.0, ia menyokong codec AAC dan SBC. Sayang juga kerana Oppo Enco W11 tidak menyokong codec aptX mahupun aptX HD. Pun begitu, Oppo nampaknya berupaya meletakkan keupayan sambungan serentak di kira dan kanan TWS mereka sama seperti yang terdapat pada aptX TWS+. Ini memberikan Oppo Enco W11 sambungan yang pantas dengan kelalaian bunyi yang minima. Semasa menonton video di YouTube atau pemain video, tidak terasa jeda pada audio dan video. Sambungannya pula stabil walau dalam jarak yang agak jauh. Oppo memberi jaminan sambungan sehingga 10 meter. Ujian di dalam rumah dengan saya berjalan dari bilik ke bilik adalah memuaskan. Lagu tidak tersekat-sekat walaupun saya berada di dua bilik bejauhan dengan dinding di antara keduanya.

 

Sambungan juga sangat mudah. Anda tidak perlu menekan apa-apa butang untuk memasang Oppo Enco W11 pada peranti anda atau ketika mahu menukar peranti. Cuma perlu keluarkan daripada kotak dan pilih untuk dipasangkan dengan telefon atau PC anda. Apa yang paling saya suka dengan Oppo Enco W11 ini, ia sangat mudah untuk ditukar-tukar di antara pelbagai peranti. Contohnya, sekiranya saya ingin menggunakan Oppo Enco W11 saya di PC, saya cuma perlu menutup Bluetooth di telefon saya dan pilih untuk memasang Oppo Enco W11 saya di PC. Tidak perlu untuk saya menekan butang ataupun reset TWS ini. Sangat mudah!

 

KAWALAN

Oppo Enco W11 menggunakan kawalan sentuhan.Sejujurnya, ia mempunyai kawalan yang paling baik setakat ini. Satu sentuhan untuk main/jeda lagu, dua sentuhan untuk mainkan lagu seterusnya/sebelumnya, 3 sentuhan untuk menggunakan Google Assistant dan tahan untuk menaikkan dan menurunkan kelantangan bunyi. Tiada lagi masalah tidak sengaja menghentikan lagu, atau memanggil Google Assistant ketika mahu menukar kelantangan di TWS.

KELEBIHAN

Secara purata, bagi saya kekuatan bagi TWS ini adalah keselesaan dan bunyi bass yang tidak terasa palsu. TWS ini sangat ringan dan melekap dengan kemas walaupun ketika bersukan. Dengan jangka hayat bateri sehingga 5 jam satu kitaran, ia sudah mencukupi untuk sekali penggunaan. Bekas TWS ini juga bersaiz kecil dengan sokongan sehingga 4 kali pengecasan penuh sebelum perlu dicas menggunakan USB-C. Selain itu, antara faktor lain yang saya suka ialah ketika menggunakan TWS ini, tiada LED yang menyala pada TWS ini. Dengan itu, orang sebelah tidak akan silau dengan LED anda sekiranya menggunakannya di dalam bilik yang gelap ataupun ketika dalam perjalanan menggunakan kenderaan di waktu malam.

 

KEKURANGAN

Ada beberapa kekurangan yang saya dapati pada Oppo Enco W11 walaupun ia tidak terlalu kritikal, tapi bagi sesetengah orang, ia mungkin menjadi faktor mereka tidak akan mendapatkan TWS ini. Pertamanya, tiada penunjuk aras bateri pada bekas TWS. Anda tidak dapat mengetahui berapa peratus lagi bateri yang tinggal di dalam bekas TWS dan perlu menunggu LED bertukar ke warna merah untuk akhirnya sedar bateri anda sudah hampir habis. Oppo Enco W11 juga tidak mempunyai codec aptX. Kita melihat semakin banyak TWS di pasaran sekarang sudah hadir dengan aptX atau aptX HD dalam harga yang mampu milik. Pilihan Oppo untuk tidak mendatangkan Oppo Enco W11 dengan sokongan aptX mungkin tidak menjadi pilihan sesetengah pengguna. Akhir sekali, ia isu yang agak melucukan sebenarnya. Saya dapati agak sukar untuk mengeluarkan TWS ini daripada bekasnya. Mungkin kerana jari saya besar, mungkin kerana teksturnya yang agak glossy, atau mungkin kerana magnet pada bekasnya terlalu kuat. Tapi agak mengganggu juga terutama sekali apabila saya sedang memandu dan ingin mengeluarkan TWS untuk menjawab panggilan di dalam kereta.

 

 

KESIMPULAN

Oppo Enco W11 adalah sebuah produk berkualiti daripada sebuah syarikat pengeluar telefon pintar paling tinggi di dunia. Berjaya mendominasi pasaran Asia Tenggara selama 2 tahun berturut di tangga pertama, Oppo sememangnya terkenal dengan produk yang berkualiti dan berjaya memenuhi citarasa pembeli majoriti. Oppo Enco W11 hadir dalam pakej yang comel, senang dibawa dan nampak premium. Dengan bunyi yang tepat dan bass yang jitu, ia mampu memberi kepuasan kepada banyak jenis penggemar lagu dan genre. Sekiranya anda seorang yang aktif, Oppo Enco W11 adalah sesuai untuk anda dengan saiz yang kecil, pemakaian yang selesa dan ringan di telinga serta kalis air sehingga IPX5. Saya telah mengharungi hujan selama 45 minit sambil menunggang motosikal dan terlupa TWS ini berada di dalam poket. Setibanya di rumah, ia masih berfungsi tanpa sebarang masalah!

 

Ia tidak menyokong codec popular seperti aptX dan aptX TWS+, serta tidak mempunyai mod gaming. Namun Oppo nampaknya berjaya mencipta formula mereka sendiri dengan protokol sambungan secara individu ke kedua-dua belah TWS. Untuk bermain permainan mudah alih, anda akan dapat mendengar sedikit jeda tapi bagi saya ia tidaklah terlalu mengganggu. Untuk video dan YouTube hampir tiada jeda. Sepertimana TWS lain kebanyakannya, ini antara masalah umum dengan TWS. Sekiranya anda benar-benar mahupun pengalaman permainan dengan audio sifar jeda secara hardcore, adalah lebih baik anda menggunakan earphone dengan wayar atau TWS dengan mod gaming dan Oppo Enco W11 mungkin tidak sesuai untuk anda.

Tonton video unboxing di bawah:

DAPATKAN OPPO ENCO DI KEDAI RASMI OPPO :

Harga terkini : RM159

Shopee

Lazada

 

Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
Oppo sudah mula masuk ke perniagaan TWS. Ini TWS pertama daripada Oppo yang saya cuba. Secara jujurnya tidak banyak yang saya harapkan tapi ternyata sangkaan saya meleset. Ia terasa betul di setiap aspek namun tidaklah sempurna. Bass nya memang mengancam juga. Masih ada delay ketika gaming tapi itu perkara biasa kerana TWS ini tiada gaming mode. Ia sesuai dipakai ketika baring atau tidur dan tidak mengganggu telinga. Kalau ada benda untuk diadu pun, cuma kedua-dua earbuds ini agak susah untuk dikeluarkan dari bekas. Selain itu, terbaik.Oppo Enco W11 : Tumbukan Bass Yang Mantap!
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x