Lenovo IdeaPad Slim 3: Laptop Gaya ‘Tradisional’ Dengan Prestasi Moden

*Gambar dari thumbnail YouTube Deal Unboxing.

Saya baru sahaja menjual kedua-dua buah laptop yang telah dibeli sejak 2013 lagi, iaitu sejak dari zaman laman web ini bernama My Hackers Are Here. Kedua laptop tersebut ada faktor nostalgia yang tersendiri, tetapi untuk melakukan kerja-kerja penyuntingan video atau gambar, ia tidak mampu membuatnya dengan baik kerana prestasi yang ada tidaklah mencukupi.

Atas sebab itu, saya bertindak mengumpul wang yang ada, dan membeli laptop dari Illigear. Tetapi dalam masa menunggu ini, laptop dari Lenovo sampai ke tangan saya untuk diulas.

Laptop yang dimaksudkan ialah Lenovo IdeaPad Slim 3 (15, AMD). Mari kita lihat terlebih dahulu nyahkotak (senyap) dan sedikit sebanyak spesifikasinya. Maaf seandainya nyahkotak yang dibuat nampak kurang menarik, tetapi saya tidak mahu membuang masa anda dengan membebel benda-benda yang tidak perlu disebut.

Spesifikasi Lenovo IdeaPad Slim 3 (15, AMD)

[table id=10 /]

Reka Bentuk

Tiada apa yang luar biasa, tetapi saya sukakan reka bentuk casisnya yang besar, tetapi nipis dan ringan. Dengan berat dari 1.85kg, ia terasa mudah dibawa ke mana-mana tanpa menyakitkan bahu. Ia diperbuat dari plastik, tetapi tidak terasa murah dan masih berkualiti. Warnanya kebiru-biruan di bahagian atas. Cuma, bahagian ini mudah mendapat lekatan dari cap jari.

Grill pembesar suara pula terletak di bahagian hadapan.

Di bahagian bawah juga terdapat grill, yang bertujuan membebaskan haba dari laptop. Anda boleh melihat kipas laptop dengan jelas dari situ.

Informasi laptop dipaparkan pada pelekat. Ternyata laptop saya ini dibuat pada bulan Julai yang lalu. Masih berbau kilang.

Memori Dan Papan Kekunci

Untuk pengetahuan anda, saya dapat laptop secara terus ‘dari kilang’, yang bermaksud tiada sebarang pengubahsuaian atau pilihan yang dibuat. Ia didatangkan dengan hanya 4GB RAM, iaitu RAM yang dipasang secara terus (soldered) padanya.

Saya membuat keputusan untuk memasang RAM tambahan sebanyak 8GB, iaitu mengikut spesifikasi yang ditunjukkan di laman web Lenovo, memaksimumkan kapasiti memorinya kepada 12GB. Tak terlalu besar, tak terlalu kecil.

Anda harus tahu, saya menggunakan model Lenovo G480 dan Lenovo ThinkPad T440 sebelum ini. Antara dua model itu, ThinkPad memiliki papan kekunci terbaik bagi tujuan menaip. Sehingga kini, saya masih belum boleh ‘move on’ dari papan kekunci ThinkPad yang pada saya amatlah sedap untuk ditekan-tekan, tambahan saya sememangnya kerap kali menulis artikel di laptop.

Jadi, bagaimana dengan papan kekunci pada IdeaPad ini?

Salah satu perkara yang saya suka ialah ia sangatlah senyap. Ya, ia sangat senyap, bahkan bunyi klik pada tetikus murah saya di pejabat jauh lebih kuat lagi bunyinya. Pun begitu, pengalaman menaip pada ThinkPad untuk diri saya adalah lebih baik lagi. Papan kekunci IdeaPad Slim 3 ini, menggunakan reka bentuk seperti papan kekunci desktop. Apa yang sedikit menghampakan, ia tiada lampu yang bernyala di belakangnya sebagai panduan untuk menaip dalam gelap. Errr..

Skrin Dan Pembesar Suara

Skrin inilah bahagian yang boleh disebut sebagai ‘tradisional’, kerana meskipun dengan bingkai (bezel) yang agak nipis, tetapi ianya masih kelihatan agak jelas buat mereka yang sudah terbiasa menggunakan bingkai lebih nipis lagi. Dengan aspek ratio 16:9, dan keterangan sebanyak 200-233 nits, ia cukup jelas untuk menonton YouTube, atau Netflix, tetapi jika anda ingin bermain permainan, kualitinya boleh jadi sedikit mengecewakan dan hanya cukup terang jika anda menggunakannya di dalam rumah atau pejabat, sebaliknya jika anda gunakan ia di luar, cahaya matahari akan menyebabkan skrin ini kelihatan malap.

Resolusi diberi ialah 1920x1080p beserta saiz sebesar 15.6 inci TN AntiGlare LED (142 ppi), dan apabila memainkan video beresolusi 4K (untuk tujuan pengujian), ia tampak lebih ‘tajam’ dan cantik. Diserikan oleh AMD Radeon™ Graphics, anda tidak akan menghadapi masalah ‘lag’ ketika memainkan video dalam apa jua format. Jika saya ingin komen dari segi sudut pandangan skrin, anda akan dapat melihat dengan baik sekiranya anda hanya melihat dari hadapan. Apabila anda mula memandang dari tepi, pandangan akan mula menjadi sukar sekali. Ya, sudut pandangnya tidaklah begitu bagus.

Pembesar suaranya ialah bahagian yang saya terasa begitu kecewa. Walaupun ada sokongan Dolby Audio, tetapi bunyi yang dikeluarkan tidak begitu kuat sehingga memaksa saya memasang perisian FxSound Enhancer. Jika dari segi kekuatan bunyi sudah menyedihkan, usah lagi ditanya bagaimanakah bunyi ketika memainkan lagu atau video. Anda perlu duduk begitu hampir dengan unit pembesar suaranya baru dapat menikmati apa-apa yang anda ingin dengari.

Touchpad

Touchpad yang ada tidak seperti apa yang diberi pada ThinkPad. Ia merupakan TouchPad normal, tetapi yang bagusnya ia serasi dengan semua gerakan isyarat (gestures) Windows 10.

Kuasa Bateri

Pun begitu, tidaklah semua benda tidak elok pada IdeaPad Slim 3 ini. Contohnya untuk kuasa bateri, saya berjaya menggunakan laptop ini melebihi dari 5 jam dengan memainkan video secara strim di laman web seperti YouTube, Netflix, dan lain-lain lagi. Saya membuat kadar keterangan skrin pada 100% sepanjang menggunakannya, kekuatan pembesar suara juga ialah pada 100%.

Andainya anda hanya gunakan ia untuk membuat kerja-kerja penyuntingan atau menaip, saya rasa tiada masalah untuk laptop ini dapat mencapai masa sepertimana ditunjukkan pada spesifikasi (7.5 jam). Kalau saya tidak mampu memuji skrin atau pembesar suaranya, saya mampu memuji bateri laptop ini. Anda tidak akan berasa ‘battery anxiety’ sekiranya pengecas berada jauh dari anda. Benar, Lenovo boleh berikan bateri lebih besar kapasiti kuasanya, namun seperti biasa kita tak dapat semuanya secara sempurna pada harga bajet.

Apa pun bravo Lenovo.

Oh ya, sebut mengenai pengecas, ia didatangkan dengan pengecas 65W. Ini juga sesuatu yang boleh dipuji, kerana adakalanya mereka memberi pilihan sama ada hendak membeli adapter 45W atau 65W (yang perlu ditambah sebanyak RM10). Masa untuk mengecas pula lebih kurang 2 jam (saya mula mengecas ketika bateri sudah tinggal 20%).

Dan ya, ia menggunakan pengecas dengan reka bentuk/port ‘old school’. Sebab itu saya katakan ia laptop ‘tradisional’. Ia tidak menggunakan USB-C sebagai port pengecas. Mungkin ini akan menjadi antara titik negatif kepada sesetengah orang. Saya pula, asalkan ada adapter disediakan dalam kotak, saya pakai sahaja, janji kalau dicas, elektrik masuk dengan normal.

*Sebelum ini saya ada buat beberapa tinjauan model-model ThinkPad yang ingin dibeli melalui laman web Lenovo. Kerana itu saya tahu pilihan adapter pengecasan yang ada. Maklumlah, sebelum membeli, kita kena buat tinjauan model yang ada sehabis baik. Sama saja dengan anda yang sedang membaca ulasan ini.

Kamera Hadapan (Webcam)

Maaf sekali lagi, ini juga antara komponen-komponen murah yang diletakkan pada IdeaPad ini untuk mengurangkan harganya. Kualiti kamera ini bukan lagi boleh disebut sebagai ‘potato’, tetapi ‘kentang lenyek’ ialah istilah yang lebih layak dipakai. Resolusi sebanyak 0.3MP, memang cukup untuk membuat panggilan video contohnya dari aplikasi Skype, tetapi percayalah, anda akan jadi orang paling hodoh dalam persidangan video tersebut.

Kalau pun ada perkara yang saya boleh puji, ialah mengenai bagaimana Lenovo memberikan pilihan kepada pengguna untuk menjaga privasi. Terdapat ‘shutter’ pada bahagian atas kamera yang akan menutupnya ketika tidak digunakan. Ini saya lihat mengurangkan kebarangkalian anda dipantau oleh pihak ketiga/pihak yang tidak bertanggungjawab.

Port/Slot

Port dan slot yang ada juga lebih konservatif. Tidak banyak, dan apa yang ada mungkin cukuplah untuk pencipta kandungan memanfaatkannya. Di bahagian kiri, ada satu port pengecasan, satu port HDMI, satu slot USB 2.0, dan dua port USB 3.1 (Gen 1).

Di bahagian kanan pula ada slot pembaca kad SD, dan audio jack.

Pada sebelah atas (kanan) terdapat butang penghidup/kuasa.

Prestasi

Dikuasakan oleh AMD Ryzen 5 4500U CPU, dan AMD Radeon Vega 6 GPU, IdeaPad Slim 3 menjadi antara laptop bajet berkuasa yang mungkin dicari-cari orang. Saya tidak mahu meletihkan mata anda dengan hanya membaca pelbagai keputusan ujian penanda aras yang telah dibuat. Penanda aras Cinebench antara bukti bahawa kekuatan laptop ini bukan terletak pada skrin mahupun pembesar suara, tetapi ia ada pada pemprosesnya.

Berikut saya kongsikan pula penanda aras dari PassMark.

Saya cuba memainkan video 4K60fps melalui pemain video lalai dan juga Klite, ia dapat memainkan video tersebut dengan lancar sekali. Cuma apabila diberikan sedikit masa, kipasnya akan berpusing dan anda akan dapat mendengar bunyi pusingannya, walaupun tidak terlalu ketara. Video dimainkan beresolusi 4000×2250.

Ujian Tekanan

Saya cuba pula memasang perisian HandBrake ke dalam sistem operasi. Pemasangan hanya mengambil masa selama 1-2 saat sahaja. Kemudian, saya buat proses encode video 4K itu tadi yang berdurasi selama 10:34, bersaiz sebanyak 793MB, dan saya tukarkan formatnya kepada MP4, 1080p30fps. Proses penukaran format dan resolusi itu mengambil masa selama 28 minit sahaja.

Untuk proses encode melibatkan video 4K bagi fail yang sama, ia mengambil masa selama lebih kurang 40 minit.

*Perisian selain HandBrake mungkin memberikan lebih atau kurang prestasi encode. Ymmv.

Jelasnya, laptop ini ditala untuk mereka yang ingin membuat kandungan, tetapi dalam bajet yang tidak terlalu tinggi. Mungkin ia bukan untuk pembuat dan penyunting filem, tetapi kalau ada kesabaran dalam menunggu, boleh sekali digunakan oleh para YouTubers yang ingin menyunting video pendek mereka untuk dimuat naik ke saluran YouTube.

Tidak lupa juga sesuai buat anda yang ingin bermain permainan, cuma jangan terlalu berharap kualiti grafiknya sama taraf dengan GPU yang didedikasi. Pun begitu GPU terintegrasi dari AMD ini tidak sesekali menghampakan.

Berikut pula ialah kelajuan SSD.

Tempoh boot untuk SSD ini ialah lebih kurang 2 saat.

Dalam sistem operasi, sudah ada disediakan aplikasi AMD Radeon Settings (Lite). Dengan adanya aplikasi ini, anda boleh membuat talaan mengikut kepada kesesuaian aktiviti semasa. Bila anda ingin bermain, anda boleh ubah tetapan menjadikan ia memberi lebih kuasa agar permainan anda lancar dan tidak tersekat-sekat. Ini juga salah satu keistimewaan apabila anda menggunakan pemproses AMD.

Permainan

Saya hanya sempat memuat turun permainan Grand Theft Auto V yang bersaiz 95GB. Tanpa sempat mengubah apa-apa tetapan dari AMD Radeon Settings, saya terus memainkannya dengan hanya bergantung harap kepada kuasa ‘default’. Terus terang saya katakan permainan begitu lancar, tiada masalah ‘lagging’, walaupun GPU bukan dari yang didedikasi.

Saya tidak dapat bercakap mengenai permainan lain. Itu, saya serahkan kepada anda, apabila anda membuat keputusan untuk membeli laptop ini.

Harga

Kalau mengikut harga standard di laman web Lenovo, ianya adalah seperti pada paparan tangkap layar di bawah.

Tetapi saya kongsikan sedikit tips, sebelum anda hendak check out, pastikan anda masukkan terlebih dahulu eCoupon ‘IPRICE’ ke dalam kotak ‘Enter Cart eCoupon’. Dengan eCoupon ini, anda akan mendapat diskaun sebanyak 10%, yang jika diterjemahkan kepada harga, akan ditolak sebanyak RM116.33.

Spesifikasi laptop di laman web lebih kurang sama sahaja dengan apa yang saya gunakan, kecuali pada memori (RAM) anda akan mendapat sebanyak 8GB RAM.

Pro Dan Kontra

Saya tidak beberapa gemarkan pembesar suaranya, saya juga tidak beberapa sukakan kamera web yang berkualiti amat rendah. Sudah hampir memasuki tahun 2021 tetapi Lenovo masih memasukkan kamera web beresolusi 0.3MP.

Tetapi, dengan harga bawah RM3000, lebih tepat lagi bawah RM2500, anda mendapat laptop dengan skrin yang agak baik, dikuasakan pula oleh pemproses AMD Ryzen 5 4500U, 512GB storan, adapter 65W, anda akan mendapat laptop yang sesuai untuk para pembuat kandungan. Tambahan pula walaupun saiznya agak besar, tetapi ringan, ia mudah dibawa ke mana-mana dalam bag laptop anda. Adapternya juga tidak berat, dan dengan tambahan berat adapter sekalipun anda masih boleh berlari bersama bag tersebut.

Untuk mereka yang ingin bermain, skrinnya yang besar dapat memberikan kepuasan ketika sedang ‘war’. Cuma, anda perlu melihat terus dari hadapan untuk mendapatkan sudut pandang yang baik.

Manakala jika anda sekadar ingin menggunakan ia untuk membuat tugasan pejabat, kuasa pemproses yang ada lebih dari mencukupi untuk tujuan itu. Ya, ia tidak sempurna, dan kalau anda ada bajet lebih, saya sarankan untuk anda beli laptop lain beserta pemproses Ryzen 7. Tetapi cuba ingat semula, berapa banyakkah bajet yang anda ada. Sekiranya ‘kena’ dengan laptop ini, pejam mata dan check out sahaja.

Lenovo IdeaPad Slim 3 (15) ini boleh dibeli di: IdeaPad Slim 3 (15).

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

1 Comment

Apa pendapat anda?

1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x