Tidak mahu ketinggalan dengan trend TWS yang semakin rancak, TaoTronics kini hadir dengan kemaskini pada TWS kategori bajet mereka. TaoTronics SoundLiberty 053 Pro adalah kemaskini daripada TWS lama mereka, TaoTronics SoundLiberty 053 yang juga telah kami review di sini. Yang menariknya, Malaysia antara negara pertama yang menjual model baharu ini dan kami antara yang terawal dapat memiliki TWS ini DI DUNIA.
PANDANG PERTAMA
Terus dari kotak, TaoTronics masih lagi mengekalkan pembungkusan dwitona dan dwikotak seperti versi 53 terdahulu. Satu rekaan yang sangat saya suka. Putih dan oren, sangat memikat dan premium. Di dalammya anda menerima manual, alat ganti telinga, kabel pengecasan dan sudah tentunya bar kod QR untuk mendaftar jaminan bagi TWS anda. Bagusnya dengan TaoTronics Malaysia, mereka tidak lokek untuk memberikan anda pertukaran terus unit baru sekiranya TWS anda bermasalah. Anda bayar harga yang premium untuk servis dan kualiti yang premium.
KUALITI BINAAN
Ada sedikit perubahan pada bekas TWS baru ini. Dari segi saiz dan dimensi, masih lagi sama dengan yang lama. Namun ada sedikit perbezaan pada sentuhan permukaannya. Versi baru nampaknya mempunyai permukaan yang lebih matte dari yang lama. Ia memberikan grip yang lebih dan berada di dalam poket dengan lebih selamat. Saya telah berlari dengan bekas TWS ini berada di dalam poket seluar sukan saya dan tidak pernah sekali pun ia terjatuh dari poket saya walaupun ketika saya duduk.
Masih lagi mengekalkan rekabentuk telinga yang sama. Cuma kali ini, logo TaoTronics dicetak dalam warna hitam metalik. Lebih minimalis dari yang lama.
TaoTronics SoundLiberty 53 Pro ada sedikit penambahbaikan kecil berbanding versi lama. Pada logo di atasnya, ia tidak lagi dicetak seperti versi lama, sebaliknya ia kini diukir dan tulisannya tenggelam ke dalam permukaan bekas. Lurah untuk membuka bekas kini dibesarkan sedikit. Kemaskini lain yang paling dinanti-nanti pula sudah tentunya USB-C pada lubang pengecasa berbanding mikro USB. Secara keseluruhan, satu kemaskini yang menyeluruh dan lengkap.
BATERI
TaoTronics SoundLiberty 53 Pro berupaya memainkan muzik selama 5-6 jam dengan sekali penggunaan. Bekasnya boleh mengecas TWS ini sebanyak 6 kitaran. Agak memberangsangkan, tapi ia berada pada tahap “kebanyakan” jadi tidak banyak yang boleh saya katakan di sini.
KUALITI BUNYI
TaoTronics SoundLiberty 53 Pro adalah antara TWS yang PALING KUAT yang saya miliki. Satu perkara yang berlainan pada TWS ini ialah ia dipacu dengan dua pemacu audio di setiap belah telinga. Ini bermakna anda mendengar lagu dengan menggunakan 4, ya, EMPAT speaker kecil dengan TWS ini! Bukan sahaja itu, TaoTronics juga menggunakan PEEK+PU driver. Bagi saya, kelantangan bukan segala-galanya. Anda mahukan kualiti bunyi, bukannya bunyi bising semata-mata.
PEEK adalah material gred tinggi yang digunakan pada lapisan diafgram yang melekat bersama magnet. Diafgram ini akan bergetar dan menghasilkan bunyi. PEEK berupaya bergerak dan menghasilkan getaran bunyi yang lebih sensitif dan tepat. Sangat teknikal di sini dan mungkin saya bukan orang yang tepat untuk mengulas dari segi teknikal. Tapi secara ringkasnya, PEEK bukanlah material “biasa-biasa” dan tidak banyak digunakan dalam TWS di pasaran. Ia menghasilkan bass yang lebih jitu dan clarity yang lebih superior hampir setaraf dengan sepasang headphone kerana keupayaannya untuk menghasilkan “angin” bass.
Sound signature pada TaoTronics SoundLiberty 53 Pro ini saya rasa agak neutral dan tidak terlalu fokus pada mana-mana spektrum. Bass nya sangat berkuasa tapi masih lagi mengekalkan clarity yang jelas dan ketepatan instrumen masih dapat didengari dengan jelas. Vokal juga tidak tenggelam dalam bunyi latar muzik. Pada saya, TaoTronics SoundLiberty 53 Pro ini sangat sesuai pada mereka dengan selera muzik yang pelbagai dan genre yang berbeza.
Kualti mikrofon pada SoundLiberty 53 Pro kini telah dipertingkatkan. Pengasingan bunyi bising juga lebih baik. Suara saya kedengaran jelas. Bunyi kedengaran agak terproses seolah-olah saya berada di dalam terowong. Tapi, apabila saya bercakap dengan sedikit kuat, bunyi suara saya kedengaran normal. Mungkin ini adalah kesan noise cancellation pada SoundLiberty 53 Pro ini.
KUALITI SAMBUNGAN
Dengan Bluetooth 5.0, ia menyokong codec AAC dan SBC. Sayang juga, SoundLiberty 53 Pro tidak menyokong codec popular aptX. Latency juga bagus. Tiada kelewatan audio semasa menonton filem dan video di Youtube. Model baru ini hadir dengan teknologi McSync, yang berupaya memainkan audio secara kendiri dengan sambungan berasingan untuk setiap belah telinga. Persis TWS+. Ya, saya tahu.
Tiada mod gaming pada TaoTronic SoundLiberty 53 Pro, jadi akan ada kelewatan bunyi sedikit ketika bermain permainan video. Tapi tidaklah terlalu ketara. Pada telefon dengan sokongan Bluetooth 5.0, anda masih mampu bermain dengan selesa. Seperti yang selalu saya tekankan, sekiranya anda benar-benar mahukan sifar kelewatan, adalah lebih baik anda menggunakan fon telinga berwayar.
KAWALAN
SoundLiberty 53 Pro masih lagi mengekalkan sistem kawalan sentuhan daripada versi terdahulu mereka. Satu sentuhan untuk kelantangan, dua sentuhan untuk main/jeda, tiga sentuhan untuk lagu seterusnya, dan tekan 2 saat untuk memanggil Google Asssistant. Sentuhan pada versi baru nampaknya lebih responsif daripada versi lama. Mungkin ada pertukaran pada sensor sentuhannya?
KELEBIHAN
Kelebihan utama pada TaoTronic SoundLiberty 53 ini sudah tentunya pada kualiti bunyi. Beratnya juga sangat ringan, saya boleh pakainya seharian tanpa rasa tidak selesa pada telinga. Walau tanpa ANC, getah telinga yang dibekalkan sudah cukup untuk menghalang bunyi bising daripada luar. Saya tidak perlu menggunakan memory foam tip untuk mendapatkan kedapan bunyi dan keselesaan pemakaian. Segalanya sudah sempurna terus daripada kotak.
KEKURANGAN
Tidak banyak kekurangan pada TaoTronic SoundLiberty 53 Pro ini melainkan faktor citarasa. Pertamanya, ia tidak menyokong codec daripada Qualcomm seperti aptX, aptX HD mahupun aptX TWS+. Pun begitu, kualiti bunyi TWS ini masih cemerlang tapi faktor ini mungkin menjadi deal breaker bagi sesetengah pembeli.
Kedua, TWS ini menggunakan rekaan paip yang memanjang keluar dari telinga. Sesetengah individu lebih menggemari rekabentuk earbuds yang berada di dalam telinga. Ini adalah faktor citarasa jadi tiada apa yang boleh saya ulas di sini. Kelebihan rekaan paip ini adalah mikrofon yang lebih dekat pada mulut, memberikan bunyi yang lebih jelas. Rekabentuk earbuds pula lebih minimalis dan lebih tersorok daripada orang lain sekiranya dipakai.
KESIMPULAN
TaoTronics SoundLiberty 53 Pro adalah satu kemaskini yang dinantikan daripada TaoTronic SoundLiberty 53 lama. Ia berjaya mengisi lompong-lompong rekabentuk dan kualiti bunyi yang terdapat pada versinya yang terdahulu. Sekali lagi, TaoTronic berjaya mengeluarkan TWS yang sesuai dengan golongan pencinta muzik.
Ia tidak menyokong codec daripada Qualcomm. Ia juga tiada mod gaming. Sekiranya dua faktor ini sangat penting bagi anda, maka TWS ini bukan untuk anda. Tapi dari segi kualiti bunyi, anda tidak akan salah pilihan dengan TWS ini. Jujur saya katakan, TWS ini adalah TWS dengan bunyi yang paling premium yang saya miliki. TaoTronic telah berjaya mendapat tempat yang istimewa di hati saya.
Tonton video unboxing di bawah:
Dapatkan TaoTronic SoundLiberty 53 Pro di kedai rasmi TaoTronic Malaysia dengan 18 bulan jaminan :
Harga Terkini : RM296