Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap.

TaoTronics Malaysia sekali lagi berbesar hati menaja satu lagi produk mereka untuk diuji. Untuk artikel yang lalu, saya telah membuat ulasan ke atas headphone mereka, TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060. Hari ini, saya akan membuat ulasan pula ke atas siri wireless earbuds mereka, TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053. Sepertimana tajuk di atas, sememangnya, dengan TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 ini, telinga saya gembira!

 

 

Dunia sekarang semuanya tanpa wayar. Pada mula-mula Apple AirPods diperkenalkan, konsep earphone tanpa wayar telah diketawakan dan dikatakan sebagai satu konsep yang bodoh. Namun, setelah 3 tahun berlalu, daripada tanggal pertama Apple AirPods diperkenalkan pada 13 Disember 2016 yang lalu, akhirnya kita telah sampai di sini. Earphone tanpa wayar, ataupun lebih dikenali sebagai True Wireless Stereo earbuds (TWS) mula menerjah pasaran dan memenuhi katalog pilihan pengguna. Dari jenama tiruan ke jenama terkemuka, masing-masing mula mengeluarkan TWS masing-masing. TaoTronics, yang tidak asing lagi di pasaran dengan produk headphone mereka juga tidak terkecuali dalam mengeluarkan TWS mereka tersendiri. Setelah puas menguji produk ini, inilah pandangan peribadi saya.

 

Persembahan Produk

TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 hadir dalam kotak berwarna putih dengan kotak kedua berwarna oren di dalam. Warna tema rasmi TaoTronics. Perincian logo kecil TaoTronics pada tetingkap kotaknya memberikan pandang pertama yang baik di mata dan jelas terasa bungkusan premiumnya. Di bahagian belakang kotak, terdapat beberapa maklumat tambahan dan QR code yang boleh diimbas menggunakan telefon pintar anda.

 

Di dalam bungkusan, anda akan mendapati terdapat 1x sepasang earbuds,1x  sebiji bekas pengecas merangkap bekas simpanan, 1x kabel pengecas jenis mikro USB, 3x pasang getah penyumbat telinga tambahan pelbagai saiz, dan 1x buku manual. Tiada getah penyumpat telinga jenis busa bermemori dibekalkan bersama TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 ini, tetapi 3x pasang getah tambahan sudah memadai untuk anda menukar penyumbat ke mana-mana saiz yang anda kehendaki dan selesa memakainya. Bekas simpanannya pula berbentuk bujur dalam saiz yang mudah dibawa. Kedua-dua belah earbuds ini ditarafkan kalis air pada penarafan IPX6 yang bermaksud ia mampu menahan tumpahan air yang banyak dan juga hujan tetapi tidak boleh direndam di dalam air. Sesuai untuk aktiviti kecergasan di mana anda akan berpeluh dengan banyak dan berkemungkinan terkena hujan ketika berlari di taman. Bekas pengecasnya pula tiada sebarang penarafan kalis air.

 

 

Binaan dan Kualiti

TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 menggunakan rekabentuk paip untuk TWS mereka. Saya secara peribadi lebih menggemari bentuk paip daripada bentuk plag telinga yang lebih kecil kerana binaannya yang terasa lebih kukuh dan senang dipegang. Jari saya yang besar menyukarkan saya untuk menggunakan dan memegang TWS jenis kecil dan mengurangkan faktor keselesaan bagi saya. Earbuds saya hadir dalam warna hitam. Tidak banyak hiasan atau rekaan pada kedua-dua belah earbuds dan tiada sebarang bahagian terbuat daripada besi atau krom. Ia agak minimalis dengan penyudah permukaan yang agak matte. Mungkin saya agak bias di sini, tapi lebih minimalis, lebih bagus. Rekaan yang ringkas dan tidak bercorak membolehkan ia tenggelam dan tidak menarik perhatian apabila dipakai. Ya, ini bukan AirPods yang dibina untuk ditunjuk-tunjuk. Ini produk profesional dan anda juga terasa lebih berkarisma dengan sepasang TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 tersemat kemas di telinga anda.

 

Bagaimana pula dengan bekas pengecasnya? Sama juga, tidak banyak corak diletakkan pada bekasnya selain daripada tulisan berwarna putih yang dibaca “TAOTRONICS” dalam font yang sama dengan logo rasmi mereka.  Penutupnya menggunakan sistem engsel dan lekapan magnetik. Tidak perlu bimbang akan earbuds anda jatuh ke luar kerana saya sudah menggoncangkan bekas ini ke pelbagai arah dan penutupnya kekal tidak terbuka. Sekalipun ia terbuka tanpa sengaja, kedua-dua belah earbuds ini juga dilekapkan kepada bekasnya dengan kuasa magnet dan ia mencukupi untuk mengelakkan earbuds anda tercampak ke lantai. Saiz bekasnya juga kompak, muat ke dalam poket dan mudah dibawa ketika anda keluar. Tidak perlu membawa beg tambahan atau malu dengan kesan poket yang terjojol kerana membawa barang yang terlalu besar untuk poket anda.

 

Kesemua plag telinga yang dibekalkan juga terasa berkualiti. Tidak terlalu keras atau terlalu lembut. Saya kira ia dibuat daripada bahan hipoalergenik kerana ia tidak menyebabkan kegatalan ataupun ruam walaupun dipakai ketika berpeluh. Anda juga tidak akan terasa panas pada telinga seperti mana yang dapat dirasai pada plag telinga murah di pasaran ataupun dengan pad telinga yang terlalu keras.

 

Kawalan dan Fungsi

Secara keseluruhannya, kawalan pada TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 ini cukup intuitif dan senang. Pelbagai kawalan dapat dilakukan dan cukup lengkap tidak seperti TWS lain di pasaran. Satu ciri menarik pada TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 ini ialah, butang kawalannya menggunakan butang sentuhan dan tiada butang fizikal lantas memberikannya rupa paras yang sedaging dan moden. Kawalannya juga cukup mudah, sentuh sekali untuk mengawal kelantangan, sentuh dua kali untuk memainkan atau menjeda lagu dan sentuh tiga kali untuk memainkan lagu seterusnya atau lagu sebelumnya. Tekan dan tahan untuk memanggil aplikasi pembantu anda, Google Assistant pada Android ataupun Siri pada iOS.

 

TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 boleh berfungsi sebagai pemain muzik dengan menyambungkan kedua-belah earbuds ke telefon ataupun sebagai penjawab panggilan sahaja dengan menyambungkan hanya sebelah daripada sepasang earbuds ini di telinga kiri. Namun begitu, dengan menggunakan sepasang earbuds sekaligus pun, anda masih boleh menjawab panggilan seperti biasa dengan menyentuh mana-mana earbuds untuk menjawab panggilan.

 

Sambungannya juga amat mudah. Cuma keluarkan kedua-dua belah earbuds dan ia akan mencari peranti terdekat untuk dipasangkan secara automatik. Untuk sesi seterusnya, ia akan terpasang secara automatik dengan peranti pasangan terkini sebaik saja ia dikeluarkan dari bekasnya. Apabila ia dimasukkan semula ke dalam bekas, ia akan dimatikan dengan sendiri dan dinyahpasang dengan peranti anda. Sangat mudah!

Keselesaan dan Bateri

TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 walaupun tidak dilengkapi dengan cangkuk telinga, sudah cukup untuk memberi keselesaan dalam pemakaian. Dengan berat 4.25g, ia sememangnya ringan dipakai dan hampir tidak terasa seperti berada di dalam telinga. Aktiviti lasak dengan TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 juga terasa sungguh semulajadi dan tiada halangan. Ia kekal berada di dalam telinga dan tidak tercabut walaupun saya melompat dan berlari. Anda boleh menukar plag telinga pelbagai saiz yang sudah diberi untuk memaksimakan keselesaan pemakaian.

 

TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 mampu berfungsi selama lebih kurang 5 jam penggunaan dalam sekali cas. Bekas pengecasnya pula mempunyai kapasiti bateri simpanan sebesar 650 mAh, cukup untuk 5 pusingan pengecasan bagi sepasang earbuds ini. Memberikan anda kebolehan penggunaan sepanjang 40 jam secara keseluruhan. Tempoh operasi sepanjang 5 jam ini adalah daya tarikan utama bagi saya kerana TWS lain yang popular di pasaran seperti i11 hanya mampu bertahan selama 2 jam. Dengan TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053, saya tidak perlu mengecas TWS saya dengan terlalu kerap. Saya boleh sahaja memakainya ketika masuk bekerja di pejabat dan baterinya mampu bertahan sehingga saya sudah hampir ke waktu pulang pejabat. Bayangkan pula jika anda ingin menaiki bas dari Ipoh ke Kuala Lumpur. Dengan TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 , anda boleh mendengar lagu di TWS sepanjang perjalanan tanpa henti. Berbanding dengan TWS lain dengan masa operasi sesingkat 2 jam, pengalaman mendengar anda sudah semestinya terbantut!

 

TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 memberikan sedikit kesan pengedapan bunyi dengan pemakaiannya. Anda perlu membuka sebelah earbuds anda untuk bercakap dengan orang di sekeliling kerana dengan pemakaiannya, bunyi luar kedengaran lebih perlahan dan mendap. Faktor rekabentuk dan ergonomik pemakaiannya menghasilkan noise cancellation secara pasif. Satu ciri yang sangat baik untuk keselasaan dan proses pendengaran yang lebih memuaskan.

 

Kualiti Bunyi

Anda tidak boleh mengharapkan kuasa bunyi yang sama dengan headphone pada TWS. Saiz pemacu audio mereka juga jauh berbeza. Rata-rata headphone datang dengan saiz pemacu audio 30mm ke atas. TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 pula, dilengkapi pemacu audio sebesar 6mm dalam diameter. Namun begitu, jangan anggap ia biasa-biasa saja. Bassnya masih mampu dirasai dengan angin dan getaran bass menerjah masuk terus ke gegendang telinga anda. Dengan pemakaian dan penggunaan saiz plag telinga yang betul-betul ‘ngam’ dengan telinga anda, pengalaman bass anda dengan TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 sudah semestinya lebih sempurna.

 

Muzik pada TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 juga berada pada kualiti yang bagus. Frekuensi pertengahannya juga sangat harmoni dengan frekuensi rendah bass dan frekuensi tinggi bunyi instrumen kompleks. Bass kedengaran sangat penuh, vokal kedengaran terkehadapan dan jelas, diikuti bunyi muzik latar yang terperinci. Saya menguji TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 ini dengan sebuah lagu daripada MonoloQue – Chinta. Komen saya adalah, “WOW”. Bunyi irama gamelan, desikan petikan gitar, paluan gendang ditembak tepat ke gegendang telinga. Vokal Loque dan NJWA juga langsung tidak kendengaran tenggelam dan melandai, kekal dalam identiti unik mereka.

 

Secara puratanya, kualiti bunyi pada TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 ini terasa lebih terang dan bertahap berbanding earphone berwayar seperti QKZ CK5. Kekuatan bunyi pada TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 adalah kejelasan dan ketajaman perincian pada bunyinya. Untuk mendengar lagu-lagu carta 100 Billboards, saya lebih selesa memakai TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053  berbanding TaoTronics SoundSurge 60 saya. Suara dan vokal sangat jelas dan kedengaran lebih ke hadapan.  Untuk panggilan telefon, kejelasan suara pemanggil sangat tinggi dan ini sangat membantu terutama sekali ketika berada di tempat yang bising.

Kualiti Mikrofon

Kualiti mikrofon pada TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 cukup memuaskan. Suara saya kedengaran seperti saya tidak menggunakan earbuds untuk bercakap di telefon. Malah, kualiti suara dihasilkan oleh TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 ini lebih baik daripada yang mampu dihasilkan oleh Apple AirPods generasi pertama. Ia boleh menapis bunyi hingar di persekitaran anda dan membolehkan rakan anda mendengar suara anda dengan lebih jelas.

 

Kualiti Sambungan dan Codec

TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 juga hadir dengan Bluetooth 5.0, memberikannya penggunaan tenaga yang lebih efisyen dan jarak sambungan sehingga 10 meter. Ia menggunakan sokongan codec SBC dan AAC, memberikan anda lebih banyak pilihan kualiti bunyi dan kebolehan sambungan dengan pelbagai peranti dengan fungsi Bluetooth. Tiada kelewatan bunyi yang ketara dapat saya rasakan sepanjang seminggu saya menggunakan TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 ini.

Tontonan video di YouTube juga terasa santai dan tiada pengurangan kualiti tontonan yang serius bagi saya. Namun kerap juga sesekali saya berlaku sedikit kelambatan di antara bunyi dan video. Masalah sama juga berlaku pada video di Instagram. Akan tetapi, masalah latency ini tidak konsisten dari video ke video dan platform. Ada masanya seolah-olah langsung tidak ada masalah latency berlaku. Mungkin ia cuma masalah gangguan frekuensi, ataupun masalah pada aplikasi video tersebut. Untuk peranti mereka yang seterusnya, saya benar-benar berharap TaoTronics dapat membaiki perkara ini. Alangkah indahnya sekiranya Taotronics dapat melakukan penambahbaikan dengan hanya firmware updates pada earbuds ini.

Sepanjang tempoh seminggu ini juga, saya tidak pernah mengalami masalah sebelah earbuds saya tiba-tiba terputus sambungan. Suatu masalah yang kerap terjadi dengan Redmi AirDots yang lebih popular di pasaran pada ketika ini.

 

 

Kesimpulan

TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 adalah sepasang TWS dengan tawaran harga yang premium. Namun sesuai dengan harganya, kualiti yang ditawarkan sememangnya berpatutan. Bunyinya cukup seimbang tanpa pengorbanan dalam mana-mana aspek. Padankan ia dengan lagu dalam kualiti dan codec yang tinggi, maka pengalaman muzik anda berada pada tahap yang tinggi. Kualiti sambungan Bluetoothnya sangat baik dan boleh diharap. Tempoh operasi yang panjang dapat mengelakkan anda daripada sakit kepala kerana perlu sentiasa mengecas TWS anda. Masa itu emas dan tidak berbaloi untuk anda menggadaikannya dengan perkara remeh-temeh seperti berulang kali memasukkan dan mengeluarkan earbuds anda daripada bekas pengecas.

 

Fungsi kawalan pada TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 ini juga cukup lengkap dan menawarkan kawalan yang penuh. Cuba lihat TWS lain di pasaran, masih banyak yang tidak membolehkan anda melakukan operasi asas seperti menukar lagu ke lagu seterusnya dan juga melaras kelantangan. Selain dari itu, kebebasan yang dinikmati dengan memakai sepasang earphone tanpa wayar adalah satu perasan yang sangat memerdekakan!

 

Sememangya, TaoTronics SoundLiberty 53 TT-BH053 pilihan tepat untuk mereka yang mementingkan kualiti dan ketahanan produk untuk lebih produktiviti seharian!

 

 

DAPATKAN HEADPHONE INI DI LAMAN RASMI TAOTRONICS MALAYSIA :

https://www.taotronics.my

https://www.lazada.com.my/shop/taotronics/

https://shopee.com.my/taotronics.my

 

Setiap pembelian hadir dengan jaminan selama 18 bulan oleh TaoTronics Malaysia.

Harga rasmi : RM249