TAOTRONICS SoundSurge 60 TT-BH060 : Seolah Berada Di Studio Peribadi

 

Terima kasih kepada TaoTronics Malaysia kerana telah berbesar hati menaja seunit headphone mereka kepada pihak kami di Omg? Hackers!. Namun begitu jangan bimbang kerana review yang akan ditulis adalah berdasarkan kepada pendapat jujur dari kami dengan mengambil kira perbandingan daripada produk lain yang dimiliki kami.

 

 

Saya berpeluang mencuba sepasang headphone daripada TaoTronics baru-baru ini. Mungkin ramai yang masih belum mengenali jenama ini kerana TaoTronics adalah sebuah jenama daripada Amerika Syarikat dan baru sahaja mempunyai pengedar sah mereka di Malaysia di bawah syarikat Wing Electronics Sdn Bhd lantas memudahkan perolehan produk dan juga urusan jaminan produk mereka untuk pengguna Malaysia. Sekiranya anda kerap menonton saluran review headphone di YouTube, nama TaoTronics sudah semestinya tidak asing bagi anda terutamanya bagi saluran daripada Amerika. TaoTronics telah pun berada di pasaran sejak tahun 2008.

 

Berbalik kepada headphone ini, saya secara peribadi lebih menggemari headphone berbanding earphone atas faktor bunyi yang lebih berkualiti, pemakaian yang lebih selesa dan bateri yang tahan lebih lama. TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 juga merupakan headphone dengan fungsi Active Noise Cancellation (ANC) yang berfungsi dengan memproses bunyi persekitaran anda secara langsung dalam masa sebenar.

 

Persembahan Produk

TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 hadir dalam kotak dengan reka bentuk yang agak minimalis. Tidak banyak maklumat tertera pada pembungkusannya tetapi isi dalamnya sedikit mengujakan saya. Mana tidaknya, TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 hadir dengan bekas bimbitnya sendiri. Sesuatu yang agak jarang didapati untuk produk dengan lingkungan harga ini. Di dalamya dimuatkan dengan sepasang headphone, 1 kabel pengecas, 1 kabel audio 3.5mm serta sebuah buku manual. Bekas bimbit yang saya terima berwarna hitam, sedondon dengan headphone saya yang juga berwarna hitam. Beg bimbit ini agak keras dan mampu melindungi headphone anda sekiranya anda mahu membawanya bersama anda dalam perjalanan. Ia juga mampu melindungi headphone anda daripada percikan air kerana lapisan luarnya kalis air. Namun begitu, jangan pula jangkakan beg bimbit ini mampu menahan beban yang berat. Ia juga tidak boleh dibawa berenang bersama di dalam kolam, cukup sekadar percikan atau tumpahan air yang sedikit.

Binaan dan Kualiti

TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 adalah sepasang headphone ‘over-ear’ yang bermaksud ia hadir dengan pad telinga yang akan menutupi keseluruhan telinga anda. Lazimnya, headphone jenis over-ear lebih sesuai untuk mereka dengan telinga yang sensitif ataupun mudah berasa sakit dengan pengunaan headphone biasa atau earphone. Ini kerana pad telinga jenis over-ear tidak memberikan tekanan kepada cuping telinga anda dan TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 sememangnya selesa dipakai walau untuk jangka masa lama. Binaan kerangkanya juga secara amnya adalah daripada material plastik dan dilapisi dengan plat aluminium. Sejauh mana ketahanannya? Setakat ini komen dan respon pembeli rata-ratanya positif dan tiada aduan kepatahan atau kerosakan pada material plastiknya. Walaupun secara peribadi saya lebih suka sekiranya bahagian kerangka utamanya dibina daripada besi secara keseluruhan, namun sekiranya maklum balas majoriti adalah positif, saya kira soal ketahanan adalah tidak menjadi persoalan di sini.

 

Material kulit yang digunakan untuk membalut kesemua span pada headphone ini juga terasa lembut dan tiada bau plastik seperti headphone bukan premium lain di pasaran.  Plastiknya juga tidak mudah calar dan diselaputi dengan lapisan seolah-olah teflon yang tidak mudah rosak dan mendapat cela. Ia kelihatan sedikit berkilat tetapi sekiranya terlekat habuk atau kotoran, sedikit sapuan ataupun lap menggunakan kain sudah cukup untuk membersihkan permukaannya. Ia tidak terasa murah dan pertama kali anda memakainya di kepala anda dapat berasa dengan jelas bahawa headphone ini ada aura sebuah headphone premium.

 

 

Kawalan dan Fungsi

Ia dilengkapi dengan 4 butang seperti mana kebanyakan headphone lain. Kesemua 4 butang terletak di sebelah kanan iaitu butang Kelantangan + dan Kelantangan -, butang Kuasa dan togol ANC yang dilengkapi lampu LED biru. Kawalannya juga sangat mudah, tekan sekali pada butang kelantangan untuk menaikkan atau menurunkan kelantangan. Teruskan menekan berulang kali untuk terus menurunkan atau menaikkan kelantangan sehingga ke tahap yang dikehendaki. Untuk memainkan lagu seterusnya cuma tekan dan tahan butang Kelantangan + selama 2 saat, lakukan perkara yang sama dengan butang Kelantangan – untuk memainkan lagu sebelumnya (bergantung kepada tetapan pemain muzik anda). Untuk menghidupkan headphone anda, tekan butang Kuasa selama 2 saat atau tekan selama 5 saat untuk masuk ke mod sambungan bluetooth.

 

Walaupun banyak pengeluar memilih untuk beralih kepada sistem butang sentuhan, bagi saya butang tekan analog masih lagi lebih baik atas faktor maklum balas tekanan pada jari anda. Tambahan lagi, sekiranya anda menggunakan sarung tangan, butang sentuh sangat sukar untuk memberi tindak balas. Lagipun, headphone berada di kepala, dengan butang fizikal, lebih mudah untuk anda mencari kedudukan butang tanpa perlu melihat dengan merasa bonjolan butang dengan jari anda. Saya lebih memilih kefungsian berbanding rupa.

Fungsi Operasi
Hidupkan / Matikan peranti Tekan dan tahan butang Kuasa sehingga lampu LED menyala / terpadam
Main / Jeda / Jawab / Hentikan panggilan telefon Tekan butang Kuasa sekali
Tolak panggilan telefon Tekan dan tahan butang Kuasa selama 2 saat
Dail semula Tekan butang Kuasa 2 kali
Kelantangan + / – Tekan butang Kelantangan + / –
Lagu seterusnya / sebelumnya Tekan dan tahan butang Kelantangan + / –

 

Keselesaan dan Bateri

Seperti mana yang telah dinyatakan di atas, TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 merupakan headphone jenis over-ear. Secara amnya, headphone over-ear dibina untuk melekap dengan selesa pada telinga anda. Namun perkara ini tidak selalunya begitu terutama bagi mereka dengan telinga yang sensitif. Saya pernah menggunakan headphone over-ear jenama terkemuka dan telinga saya tidak tahan memakainya untuk lebih daripada 30 minit walaupun saiz pad mereka lebih besar berbanding TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060. Dengan TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060, saya telah memakainya selama seharian di pejabat dan ia tetap selesa berada di telinga saya (hinggakan saya dimarahi rakan sekerja kerana fungsi ANC-nya buatkan saya tidak dengar kebanyakan pertanyaan mereka walau mereka berada di sebelah :p ).

Pad kepala yang selesa.

Tidak seperti headphone kelas pertengahan di pasaran, dengan TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 anda tidak perlu bimbang untuk memasang muzik dengan kuat kerana bunyi muzik daripada headphone ini tidak akan ‘bocor’ dan mengganggu orang di sebelah. Ini dibuktikan dengan keadaan tenang orang di meja sebelah saya yang terus bercakap dengan saya tanpa mengetahui saya sedang menguji lagu metal di headphone ini dan saya sebenarnya gagal mendengar sebarang percakapannya. Cuma selepas 3 jam pemakaian, ada terasa sedikit hangat pada kedua belah telinga namun tidaklah terlalu mengganggu sehingga merencatkan kerja saya di meja. Headphone ini sedikit berat seberat 218 gram dan tidak sesuai untuk aktiviti lasak seperti bersenam di mana anda banyak melakukan pergerakan kepala. Namun untuk penggunaan biasa di rumah dan di pejabat, tiada masalah. Sekiranya anda menunduk untuk mengambil barang di atas lantai atau di dalam laci, jangan bimbang kerana headphone ini tidak akan terlucut daripada kepala anda. Lekapannya kuat, namun saya rasa untuk aktiviti lasak dan bersenam ia agak tidak sesuai. Tapi sekiranya anda terasa ingin mencuba, tiada salahnya.

Pad telinga yang lembut.

Baterinya dikatakan tahan selama 30 jam. Saya telah menggunakan headphone ini selama 6 jam dan baterinya menurun sebanyak 20%. Jika betul perkiraannya, 6×5=30 maka memang benar baterinya mampu bertahan selama 30 jam penggunaan. Ini sudah mencukupi untuk menampung seminggu penggunan dengan sekali cas. Tambah menarik, ia hadir dengan kemampuan Quick Charge iaitu 5 minit pengecasan untuk 2 jam penggunaan. Untuk pengecasan penuh, cuma 45 minit diperlukan. Sayang kerana TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 hadir dengan pengecasan microUSB dan bukan USB Type-C yang lebih terkini. Saya terpaksa menggunakan kabel lain kerana kesemua telefon pintar saya menggunakan USB Type-C. Kekurangan yang kecil, tapi saya harap TaoTronics boleh mengemaskini produk mereka yang akan datang supaya menggunakan USB Type-C.

Cuma micro USB, bukan USB Type-C.

Untuk individu dengan kepala besar, jangan bimbang kerana lebar TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 boleh dilaras dengan dua rel besi pada tangannya. Satu ciri menarik pada rel ini adalah ia dicatat dengan nombor seolah-olah pembaris lengkap dengan garis penanda. Jadi pada mereka yang mahukan headphone yang bagus dan pada masa yang sama ada sedikit OCD, boleh lah mencuba TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 kerana dengan headphone ini, anda kini boleh melaras kelebaran headphone anda dengan penuh yakin kepanjangan tangan di kiri dan kanan adalah sama panjang.

Kualiti Bunyi

Dengan julat harga premium, sudah tentunya anda menjangkakan kualiti bunyi yang premium. Seperti yang kita tahu, secara asasnya kita menilai kualiti bunyi headphone dalam 3 julat bunyi iaitu bunyi rendah, bunyi pertengahan dan bunyi tinggi. Bunyi rendah ialah bunyi yang dalam dan tidak rancak. Contoh lagu dalam kategori ini adalah lagu-lagu dengan bunyi bass seperti lagu funk 80an dan juga lagu-lagu daripada genre lo-fi. Bunyi pertengahan lebih kepada lagu dengan vokal dengan sedikit rentak latar belakang yang biasa didapati pada lagu pop dan lagu-lagu akustik. Seterusnya, bunyi tinggi yang bercirikan rentak yang sangat rancak dengan pelbagai instrumen dimainkan serentak contohnya seperti lagu metal dan lagu rock.

 

Low-Range

TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 menggunakan pemacu audio sebesar 40mm diameter, antara yang terbesar dalam kelasnya. Secara kebiasaannya, lebih besar pemacu audio, lebih besar kuasa audio yang mampu dihasilkan dan lebih dalam bunyi bass yang dikeluarkan. Dalam hal ini, TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 memang tidak mengecewakan terutama sekali bagi bunyi rendah. Mendengar lagu-lagu funk dan lo-fi sememangnya sangat memuaskan telinga. Untuk gaming pula, bunyi letupan dan tembakan cukup jelas dan kadangkala terasa seperti berada betul-betul di dalam permainan dengan kesan bunyi yang cukup sempurna. Bassnya bagi saya adalah pertunjukan utama bagi headphone ini. Cukup menggegarkan dan kelantangannya juga boleh mencapai kelantangan yang tinggi. Julat rendah pada TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060  sangat teliti dan tiada bunyi pecah apabila mendengar lagu-lagu dengan bass yang ‘ganas’.

 

Mid-Range

Bagi bunyi pertengahan pula, mendengar lagu-lagu pop terkini dan lagu akustik juga tidak mengecewakan. Vokal kedengaran cukup jelas dan rangup. Lirikan rift gitar dapat ditangkap dengan jelas oleh pendengar. Tiada pertindihan di antara bunyi latar dan juga suara vokalis. Bagi penyanyi dengan suara unik contohnya suara serak, keserakannya dapat didengari dengan jelas. Untuk sesetengah lagu, saya seolah-olah mendengar ia dinyanyikan di depan mata kerana perincian suara vokal yang sangat mendalam dengan TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 ini. Anda dapat menangkap karakter suara unik artis kegemaran anda. Kadangkala terasa agak tidak seronok dengan bunyi yang terlalu jelas kerana saat penyanyi menarik nafas juga dapat didengari.

 

High-Range

Bunyi tinggi bagi saya bukanlah antara kekuatan besar bagi TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 bagi saya secara peribadi. Agak sukar untuk mencari headphone yang mempunyai kekuatan yang sekata di semua tahap terutamanya bagi headphone dalam julat harga ini. Seperti yang ditulis di atas, TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 mempunyai kekuatan utama pada julat rendah. Untuk bunyi tinggi ini saya telah mendengar senarai lagu metal dan juga emo rock daripada pelbagai artis dan kumpulan. Bunyi tinggi diklasifikan dengan muzik yang rancak dan juga vokal yang nyaring. Sukar untuk saya nyatakan samada headphone ini bagus atau tidak dalam julat tinggi ini kerana saya bukanlah peminat besar genre metal dan rock. Tetapi penilaian objektif saya adalah, TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 cukup untuk menonjolkan setiap instrumen di dalam lagu-lagu yang telah diuji. Tiada bunyi yang tenggelam dan kejelasan setiap set instrumen muzik cukup untuk saya menangkap not-not yang dimainkan. Sememangnya perbezaan yang besar berbanding headphone kelas biasa yang seringkali kehilangan keseimbangan bunyi kerana tenggelam di dalam bunyi bising gitar dan dram. Bunyinya juga tidak bersepah dan mendatar apabila tiba pada bahagian gitar dan dram yang rancak.

 

Kualiti Mikrofon

TaoTronics melengkapkan headphone mereka bukan sekadar dengan kualiti bunyi yang sempurna di telinga, malah mikrofon pada headphone ini juga tidak ketinggalan. Dengan teknologi CVC 6.0, anda tidak perlu risau dengan kualiti tangkapan suara anda samada ketika chatting, gaming, mahupun membuat panggilan telefon. Ketika panggilan telefon, suara saya kedengaran sangat jelas seperti langsung tidak menggunakan headphone untuk bercakap. Lebih menarik lagi, mikrofon pada headphone ini juga dilengkapi dengan penapis bunyi bising. Jadi anda tidak perlu risau dengan bunyi bising persekitaran mengganggu suara anda daripada didengari dengan jelas oleh rakan anda. Suara dapat didengari jelas, tiada kelewatan dan tiada kesan gema.

 

Kualiti Sambungan dan Codec

TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 dilengkapi dengan Bluetooth 5.0 yang menjamin sambungan yang lebih stabil, jarak sambungan yang lebih jauh berbanding Bluetooth 4.0 serta sambungan dengan kepantasan yang telah dinaiktaraf. Ini membolehkan TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 melontarkan bunyi tanpa kelewatan dan segerak dengan gambar ketika menonton video atau bermain game tanpa masalah yang signifikan. Saya boleh berjalan di sekeliling pejabat dan masuk ke tandas tanpa membawa telefon dan masih tetap dapat mendengar lagu yang dimainkan di telefon saya. TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 menggunakan codec Bluetooth SBC. Sebenarnya, dari segi kualiti bunyi, di antara SBC dan codec popular lain seperti aptX dan AAC, bezanya tidak begitu signifikan. Walaupun SBC dikatakan sebagai codec yang paling rendah di antara kesemua empat codec di pasaran, perbezaan ketara di antara keempat-empat codec ini hanyalah pada latency ataupun kelewatan penghantaran isyarat di antara peranti utama kepada headphone. Dengan Bluetooth 5.0, masalah latency ini dapat diatasi tanpa ada aptX.

 

Active Noise Cancellation (ANC)

TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 dilengkapi dengan ciri ANC. Walau tidak sehebat ANC bagi headphone audiophile seperti Bose dan Shure, tetapi ciri ini cukup untuk seorang yang tanpa pengetahuan mendalam dalam kualiti audio untuk merasai dan perasan dengan perbezaan kualiti bunyi apabila ANC diaktifkan pada TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 ini. Sebaik sahaja ANC diaktifkan, terdapat jeda lebih kurang 2 saat sebelum kesannya dapat dirasai samada ketika pengaktifan atau penyahaktifan. Semasa ANC berfungsi, bunyi pada julat bawah menerima peningkatan yang ketara dan suara vokal dapat didengari dengan lebih jelas. Bunyi-bunyi gangguan di persekitaran seperti bunyi kipas dan penghawa dingin juga termendap seiring dengan fungsi ANC.

 

Apa yang mungkin kurang digemari oleh sesetengah pendengar adalah kehilangan bunyi pada julat pertengahan dan tinggi yang agak ketara. Namun bagi saya ini adalah subjektif kepada pendengar. TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 masih lagi mampu menghasilkan bunyi dalam resolusi tinggi yang lebih rangup dan meletup berbanding headphone dalam kelas lebih bawah daripadanya. Sebagai contoh, untuk lagu Slipknot – Psychosocial tanpa ANC, bunyi simbal drum dan gitar rhythm kedengaran lebih jelas dan suara vokalis kedengaran agak serak. Dengan ANC, bunyi kemudiannya bertukar dan bunyi simbal dram kedengaran lebih perlahan. Kali ini hentakan dram kaki dan gitar lead memonopoli bunyi muzik latar. Suara vokalis kedengaran lebih ke hadapan dengan ANC tetapi bunyinya kedengaran seperti telah di autotuned. Tambahan lagi, TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 dilengkapi dengan Bluetooth 5.0, menjamin penghantaran bunyi yang lebih jelas dan tanpa kelewatan dari peranti ke telinga anda.

 

Untuk audiophiles, headphone ini mungkin tidak sempurna bagi anda, dan anda juga perlu sedar hakikat jika anda mahukan headphone yang sempurna dengan telinga anda, anda harus mengeluarkan wang yang lebih untuk headphone dengan harga yang jauh lebih tinggi lengkap dengan sound tube dan DAC tambahan. Tapi bagi pengguna kasual dan juga gamer, TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 sememangnya satu upgrade yang besar buat anda ke arah pengalaman pendengaran yang lebih baik. ANC nya merupakan satu ciri yang menarik untuk anda bermain dengannya. Cubalah pengalaman mendengar yang berbeza dengan dan tanpa ANC dan nikmatilah dunia pendengaran yang baru. Tidak keterlaluan untuk saya kata, TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 mungkin boleh jadi ‘flagship killer’ bagi tahun ini dengan harganya.

 

Kesimpulan

TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 adalah headphone yang sudah cukup sempurna untuk harganya. Kualiti keseluruhannya mampu mengejar headphone premium yang lain seperti Sony 1000XM3 dan Bose QC35 dengan julat harga yang lebih tinggi berbanding TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060. Kekuatan utamanya adalah dari segi keselesaan pemakaian dan reka bentuk yang segar berbanding rekabentuk tradisional. Ia juga boleh dilipat yang memudahkan pembawaannya ditambah lagi dengan bekas khas yang hadir bersamanya di dalam kotak. Kualiti bunyinya memang terasa premium, tidak bersepah atau terlalu lembab. Sekali lagi, sekiranya anda seorang pengguna kasual, gamer ataupun pendengar muzik tegar, headphone ini sememangnya satu upgrade yang sesuai buat anda. Jika anda ingin bercakap dari standard audiophile, anda juga harus menggunakan perkakasan pemain pada tahap audiophile kerana kualiti bunyi tetap tidak akan mencapai tahap audiophile walaupun dengan headphone yang paling bagus di dunia tetapi anda hanya mendengar lagu pada sebuah telefon pintar midrange tanpa sebarang DAC dan codec tambahan.

 

Ada beberapa perkara kecil tetapi signifikan yang saya sangat suka pada TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060 ini seperti lampu LED penanda yang diletakkan di bahagian bawah. Ini lebih baik berbanding sekiranya diletakkan di tepi. Saya masih ingat ingat lagi dengan Bluedio Turbine T2 Plus saya dengan LED di tepi, orang sebelah saya di dalam bas marah kerana kelipan LED tersebut menyilaukan beliau. Dengan TaoTronics SoundSurge 60 TT-BH060, saya tidak perlu lagi risau perkara ini berlaku. Kedudukan  butang juga telah disusun dengan mengambil kira faktor ergonomik menjadikannya senang dicapai dan hampir tidak perlu dipelajari. Ia juga dikesan di dalam menu bluetooth telefon dengan namanya yang sebenar dan bukan nama kod, menunjukkan produk ini telah dibina dengan berhati-hati untuk mecapai standard premium.

Lampu LED di bawah, tiada lagi gangguan kepada orang sebelah.

Masalah rambut panjang. Setiap kali tanggal headphone, mesti ada yang tersangkut.

 

Dapatkan headphone ini di laman rasmi TaoTronics Malaysia :

https://www.taotronics.my

https://www.lazada.com.my/shop/taotronics/

https://shopee.com.my/taotronics.my

 

Setiap pembelian hadir dengan jaminan selama 18 bulan oleh TaoTronics Malaysia.

Harga rasmi : RM339

Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

1 Comment

Apa pendapat anda?

1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
Sebuah headphone yang sangat selesa dengan bunyi seumpama studio! Fungsi ANC nya tidaklah sempurna tapi cukup untuk memberikan pengalaman mendengar tanpa gangguan hingar. Saya sering menggunakan headphone ini untuk terapi stress dan apabila mengalami kesukaran untuk tidur. Seperti produk TaoTronics yang lain, headphone ini juga dibina dengan sangat kukuh dan selesa dipakai. Antara over-ear headphone yang popular dengan ANC.TAOTRONICS SoundSurge 60 TT-BH060 : Seolah Berada Di Studio Peribadi
1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x