Utama Blog Laman 100

Nyahkotak Produk: Insta360 One R

0

Hampir sebulan lepas yang lalu, mamu dihubungi oleh pengeluar Insta360 dengan harapan untuk dapatkan kerjasama bagi ulasan produk depa. Alhamdullilah rezeki dah tertulis untuk mamu ulas produk depa itu yang akan menjadi tatapan hangpa semua.

Sebelum kita mulakan nyahkotak, mamu cerita serba sedikit tentang syarikat Arashi Vision Inc nih. Berpengkalan di Shenzen, Guangdong depa bermula pada tahun 2015 dan diasaskan oleh JK Liu. Idea bermula ketika depa belajar di Nanjing Universiti dalam jurusan komputer sains. Di sana Liu dan rakan kelas dia hasilkan live streaming untuk acara & kelas syarahan atas talian. Minat terhadap live broadcasting menjadi punca untuk depa menceburi bidang kamera 360 darjah. Sekarang depa ada 2 lagi pejabat yang berpengkalan di Los Angeles dan Tokyo.

Setakat ini produk depa yang telah dikeluarkan adalah seperti berikut :

  • Insta360 Nano
  • Insta360 Air
  • Insta360 S
  • Insta360 Pro
  • Insta360 One
  • Insta360 Evo
  • Insta360 One X
  • Insta360 Pro 2
  • Insta360 Titan
  • Insta360 Go
  • Insta360 One R

Pada 2019, Insta360 One X menjadi bestseller di dunia berdasarkan informasi dari Fast Company. Pada tahun 2020, depa menghasilkan Insta360 One R, kamera aksi pertama di dunia dengan fungsi boleh ubah modul lensa kamera. Setakat ini, One R boleh diguna dengan modul lensa 360 darjah, modul lensa 4K sudut luas dan modul lensa yang mamu rasa paling mengagumkan iaitu modul lensa dengan sensor bersaiz 1 inci dilengkapi teknologi dari Leica.

Mari kita tengok apa yang depa hantar kat mamu tempoh hari. Penghantaran dari syarikat depa mengambil masa lebih kurang 2 minggu untuk sampai ke tangan mamu.

Mamu dapat produk kamera dan juga motorcycle & helmet mount kit.

Insta360 One R & Aksesori

Mamu tak sangka banyak betul produk yang depa hantar pada mamu. Agak terkejut bila isteri mamu kata kotak depa hantar pada mamu agak besar. Dalam kotak yang depa hantar kat mamu adalah seperti berikut :

  • Insta360 One R Twin Kit Edition
  • 2 Set Bateri Ekstra
  • Bekas Simpanan Kamera
  • Mic Adapter
  • Accesory Shoe Mounting Bracket
  • Fast Charge Hub
  • Selfie Stick
  • Extended Edition Selfie Stick
  • Multi Function Bullet Time Handle

Helmet & Motorcycle Mount

Ini adalah mount untuk pengguna motosikal & mount untuk helmet hangpa. Nilai keseluruhan mamu anggarkan sekitar RM2500. Satu jumlah yang mamu tak sangka mereka sanggup hantar kat mamu. Terima kasih banyak-banyak kerana percayakan OMGHackers untuk ulas produk hangpa.

Spesifikasi & Gambar Produk

Untuk spesifikasi kamera One R nih, hangpa boleh ke pautan dibawah untuk spesifikasi kamera One R:

https://www.insta360.com/product/insta360-oner_twin-edition

Hangpa mesti nak tengok dengan lebih dekat apa dalam kotak kan?

Cuci mata hangpa sepuasnya naa.

Dalam kotak hangpa akan dapat:

  • Modul Core
  • Model 360
  • Modul 4K
  • USB Type – C
  • 360 Lens Cover
  • Kain Fiber Mikro
  • Camera Cage
  • Skru Pengikat
  • Stiker
  • Manual & Dessicant Bag
  • Sandisk Extreme 32GB Micro SD

Gambar Aksesori & Mount Untuk Motosikal Dan Helmet

Dah rasa teruja nak beli? Hangpa lawat pautan ini untuk pembelian atas talian:

https://www.insta360.com/sal/one_r?insrc=INRO382

Hangpa boleh dapatkan selfie stick atau bateri ekstra menggunakan pautan di atas sementara promosi masih berlangsung.

Itu adalah serba sedikit nyahkotak Insta360 One R. Tunggu sambungan artikel yang akan datang di mana mamu akan ulas tentang kamera ini dan fungsi yang terbina untuk informasi hangpa semua. Terima kasih kerana membaca.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

WACUP: Menghidupkan Semula Winamp Yang Telah.. Mati?

0

Berapa ramai yang rindukan Winamp? Rasanya jika ditanyakan kepada mereka yang sudah sekian lama menjadi pengguna tegar, pasti tidak dapat melupakan aplikasi itu. Winamp pada suatu masa dulu dikatakan sudah ‘mati’, kemudian dihidupkan semula kerana mendapat ‘nafas baru’, tetapi setelah sekian lama projek itu kekal senyap tanpa sebarang kemas kini.

Agak menyedihkan, kerana Winamp boleh dikatakan sebagai satu perisian lagenda. Tiada yang sama dengannya sama ada dari segi nostalgia, mahupun kepenggunaannya sendiri.

Atas sebab itu, projek baharu iaitu WinAmp Community Update Project atau singkatannya WACUP dibuat.

Setakat ini, WACUP ialah aplikasi berasaskan Winamp 5.666 yang ‘ditampal’ atau ‘patched’ bagi memberikan ia kemas kini dan ciri baru. Pada saya, antara yang menarik ialah ‘skins’ baharu yang menampilkan paparan bertema/berwarna boleh ubah, dari skin asal Winamp, hinggalah kepada skin baru yang tampak begitu berbeza.

Anda boleh rujuk beberapa tangkap layar di bawah.

WACUP masih berada dalam fasa ‘developer preview’, yang bermaksud ia sedang dibangunkan menuju ke arah versi stabil yang pertama. Setakat ini, versi preview dikeluarkan pada bulan Julai lepas, manakala versi beta pula dikeluarkan pada 3 September lalu. Ini bererti ia bukan projek ‘tinggal’ seperti Winamp, walaupun laman webnya menggunakan hosting murah, dikenal pasti apabila ia selalu ‘down’ (kami pun guna hosting murah juga dulu. Cheap recognize cheap. Heh!).

Anda muat turun dan cuba sendiri untuk tahu, sama ada kena dengan selera anda atau tidak. Muat turun di: WACUP (WinAmp Community Update Project).

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Apa Itu Codec Audio Bluetooth AptX, AAC, SBC Dan LDAC?

0

Terlalu banyak jargon dalam dunia IT yang kadangkala memeningkan. Buat yang baru menjengah ke dalam dunia peranti atau gajet Bluetooth, selamat menjengah. Buat yang dah lama, boleh tolong kongsi artikel ini kepada rakan anda.

Apa Itu Codec?

Codec ialah singkatan dari perkataan compression/decompression. Ia adalah satu bentuk algortima yang rumit, di mana tugasnya adalah untuk memproses data audio dan menjadikan ia lebih kecil supaya dapat menyenangkan perpindahan dari telefon ke fon kepala/telinga. Jenis-jenis codec untuk teknologi Bluetooth adalah sangat penting kerana ia memainkan peranannya dalam menambah baik kualiti audio, mengurangi kelewatan dan hemat penggunaan kuasa.

Dalam konteks audio wayarles, codec adalah kaedah pengekodan dan penyahkodan data digital yang dihantar secara wayarles antara kedua-dua peranti. Codec yang berlainan menggunakan format data berbeza untuk menghantar audio, menggunakan standard berbeza untuk berhubung antara peranti yang serasi, dan berbeza dari segi teknologi pemadatan data untuk mengimbangi kualiti bunyi setara dengan saiz fail.

Kadar bit (bitrate) yang tinggi menghasilkan kualiti bunyi lebih baik, tetapi mampatan failnya adalah kurang, sementara kadar bit yang lebih rendah bermaksud bahawa mampatan fail lebih baik, tetapi kualiti bunyi pula menjadi kurang.

Ada banyak jenis codec bagi audio Bluetooth. Paling popular semestinya aptX dan AAC, manakala yang lain pula ialah SBC dan LDAC.

Apa itu aptX?

‘apt’ bermaksud Audio Processing Technology. aptX dicipta untuk menyediakan teknologi wayarles alternatif kepada teknologi tradisional berwayar sedia ada, sama ada untuk mendengar muzik, bermain permainan video, atau menonton filem. aptX menggabungkan audio berkualiti tinggi, transmisi audio berkadar bit rendah, kadar kelewatan rendah, dan berkebolehan untuk memberikan pengalaman mendengar tanpa wayar yang hebat.

aptX menyokong semua platform utama seperti Android, Windows 10 dan macOS. Ia bagus untuk mereka yang gemar bermain permainan kerana audio sentiasa diselaraskan ke media dan mengurangkan masalah penyelarasan audio atau gerakan bibir. Ia mempunyai kadar bit ‘adaptif’ yang bermaksud bahawa kadar bit akan ‘menyesuaikan diri’ untuk memberi anda audio tanpa gangguan yang lancar dengan tidak mengira di mana sahaja anda berada.

Apa itu AAC?

AAC ialah singkatan dari perkataan Advanced Audio Coding. Ia merupakan standard bagi pengekodan audio dengan pemampatan audio digital ‘lossy’.

Rujuk: Lossy Compression.

Codec ini ialah penerus legasi format MP3 di mana ia mencapai kualiti bunyi yang lebih tinggi dari MP3 pada kadar bit yang sama. AAC lebih digemari pada iPhone, kerana codec ini tidak dapat dikendalikan oleh Android dengan cekap. Ia adalah codec audio terkini yang direka untuk pengguna telefon yang menginginkan kebebasan dari kabel/wayar. Ia sangat sesuai untuk mereka yang gemar bermain permainan atau suka menonton rancangan dan filem.

Apa itu SBC?

SBC ialah singkatan dari perkataan Sub-band Coding. Ini ialah codec wajib untuk setiap peranti Bluetooth. Secara lalai, sistem operasi Android mesti menyokong codec SBC. Ia mampu memainkan audio pada kadar bit sehingga 328kbps dengan kadar persampelan sehingga 44.1kHz. SBC terdapat pada kebanyakan produk Bluetooth bajet.

Apa itu LDAC?

LDAC ialah codec proprietary oleh Sony yang membenarkan penstriman berkualiti tinggi melalui sambungan Bluetooth sehingga 990kbps pada 24-bit, 96kHz (Hi-Res). Ia telah disokong oleh Android sejak dari versi 8.0 (Oreo).

Codec yang hampir menyamai kualiti LDAC ialah aptX HD, yang menyokong 24-bit, 48kHz.

Apa yang menarik mengenai LDAC ialah ia dilengkapi dengan tiga jenis mod sambungan iaitu keutamaan pada kualiti, normal dan keutamaan pada sambungan. Masing-masing menawarkan kadar bit yang berbeza iaitu 990kbps, 660kbps, dan 330kbps.

Views: 35

Iklan Newspaper Inline

Deepin 20: ‘macOS’ Versi Dunia Linux

0

Sejak Deepin mula memberikan ‘teaser’ mengenai versi seterusnya untuk distro mereka itu, saya menanti kemunculannya setiap hari. Versi 20 memberi gambaran bahawa ini ialah versinya jika anda ingin beralih sama ada dari Windows mahupun macOS.

MateBook oleh Huawei, hadir bersama sistem operasi Deepin. Ini termasuklah model MateBook 13, MateBook 14, dan MateBook X Pro. Pada saya, salah satu keistimewaan Deepin yang membuatkan ia menjadi pilihan syarikat teknologi gergasi ini ialah selain dari kodnya yang bersumber terbuka, paling penting sekali paparan antaramuka penggunanya sangat cantik.

Maka tidak hairanlah kebanyakan laman teknologi lain memanggilnya sebagai persekitaran meja Linux paling cantik sekali antara kesemua yang ada.

Sebaik selesai boot, skrin log masuknya menyambut anda. Apabila dimasukkan saja kata laluan lalu ditekan butang Enter, satu animasi pada ruangan kata laluan itu akan bergerak, terasa seperti menggunakan sistem operasi futurisktik dibuatnya.

Inilah yang membezakan antara Deepin dengan distro yang lain. Perhatian pada perincian, animasi, dan reka bentuknya membuatkan sesiapa saja akan ada rasa tertarik untuk mencuba.

Ruangan desktop mempunyai satu dock yang boleh diubahsuai mengikut kemahuan anda. Menunya boleh dibuka sama ada dalam mode mini ataupun mode penuh, manakala dock pula boleh ditukar antara ‘Fa

Salah satu perkara yang membezakan dengan jelas antara Ubuntu dan Deepin, ialah bahagian depan iaitu desktop-nya. Jika dibandingkan dengan Ubuntu 20.04, kita dapat rasakan pembangun GNOME seakan ‘noob’, apabila tidak terdapat pilihan untuk menentukan wallpaper tersebut hanya hendak digunakan pada desktop atau termasuk lock screen.

Tetapi tidak pada Deepin. Anda diberi pilihan A atau B, pada apa juga yang anda ingin lakukan.

Bahagian tetapan Deepin tampak sangat, sangat berbeza dengan kebanyakan distro Linux yang lain (terutamanya Ubuntu). Sebagai contoh kita ambil elementaryOS, dan buka bahagian tetapan. Jika dilihat, ia hanyalah ‘re-skin’ sahaja dari tetapan Ubuntu, dan bukan 100% ‘make over’ seperti yang anda dapat lihat pada paparan gambar di bawah.

Deepin memberi nafas baru, dan sentuhan tersendiri hingga menyebabkan ia bukan lagi kelihatan seperti mana-mana distro yang ada. Tampilannya unik, dengan beberapa ikon nampak seakan mendapat inspirasi dari macOS.

Ini juga bahagian tetapan yang saya gemar. Pelbagai pilihan sama ada anda mahu memilih tema cerah atau gelap mahupun auto, semuanya ada di sini. Saya dapat rasakan pembangun-pembangun Deepin menumpukan sepenuh perhatian mereka untuk mengubah paparan antaramukanya agar tidak lagi digelar ‘re-skin distro’.

Kalau ada bahagian yang saya kurang gemar pula, inilah tempatnya, iaitu kemas kini. Saya masih belum ketemu caranya untuk menukar mirrors, kepada yang terhampir dan paling laju. Ini penting dan kritikal, kerana anda tidak mahu tersangkut-sangkut untuk memuat turun fail kemas kini walaupun saiznya kecil.

Lihat sendiri, tiada pilihan untuk membuat ujian kelajuan pelayan seperti Linux Mint, mahupun pilihan untuk menukar pelayan yang laju/paling hampir seperti Ubuntu.

Pun begitu, saya masih lagi menyukai Deepin secara keseluruhannya. Pada saya, tidak banyak yang saya ingin ubah kerana secara lalai ia sudah sedia cantik.

Jika anda ingin mengetahui maklumat penuh mengenai rilisan kali ini, dan ingin memuat turun ISO Deepin 20, anda boleh ke pautan ini: Deepin 20.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Hohem iSteady X: Gimbal Mobil Bajet Yang Kecil Dan Ringan!

0

Saya sudah lama menjadi peminat gimbal mobil sejak menggunakan Moza Mini S yang dibeli pada tahun lepas. Namun malangnya Moza Mini S itu sudah pun ‘bricked’ selepas percubaan mengemaskini firmware dilakukan.

Tidak mengapalah, walaupun kecewa, hidup harus diteruskan. Oleh itu saya membuat pencarian terhadap beberapa model gimbal kecil yang dicaj menggunakan port USB-C. Ini pada saya amat penting, kerana USB mikro sudah dirasakan bukan zamannya lagi.

Beberapa model saya cuba timbang tara, bahkan yang menggunakan mikro USB juga termasuk ke dalam senarai seperti Feiyu Vlog Pocket. Tetapi akhirnya yang memikat hati saya ialah Hohem iSteady X. Dari gambaran video-video di YouTube, dan gambar terpapar pada carian Google, ia nampak seperti agak besar juga.

Setelah sampainya model tersebut di rumah, barulah saya tahu bahawa iSteady X ini sebenarnya kecil sahaja, dan bukan saja kecil bahkan amatlah ringan sekali.

Sebelum kita teruskan, ada baiknya juga kalau kita buka kotak terlebih dahulu. Ayuh!

Apa Dalam Kotak?

1x Hohem iSteady X
1x Manual panduan pengguna
1x Mini tripod
1x Kabel pengecas USB-C
1x Bag kecil

iSteady X mempunyai berat sebanyak 259g. Sebagai perbandingan, Poco F2 Pro yang saya gunakan adalah seberat 219g. Beratnya tidak jauh berbeza dengan sebuah telefon/phablet sahaja.

Apa yang penting pada saya, ialah kebolehannya untuk dilipat. Ya, sama seperti Moza Mini S, tetapi jika dibuat perbandingan, jauh berbeza antara keduanya.

Anda boleh lihat sendiri pada gambar di bawah.

Dengan bateri berkapasiti 2000mAh, anda boleh gunakan gimbal ini sehingga 8 jam (bergantung juga kepada berat telefon anda), manakala untuk waktu pengecasan pula hanya memerlukan 2 jam sahaja.

Perkara utamanya, ia dicas menggunakan USB-C, satu port yang pada saya paling penting sekali sebagai ciri pilihan.

Anda hanya perlu bawa satu adapter, atau satu powerbank dengan satu kabel tanpa perlu mengusung sekali kabel USB mikro.

Satu ciri yang saya tidak beberapa gemar pada iSteady X ialah ia perlu didaftarkan dengan akaun terlebih dahulu melalui aplikasi Hohem Pro sebelum dapat digunakan. Jika tidak daftar, gimbal akan berbunyi ‘bip’ berkali-kali dan ini semestinya mengganggu video yang sedang dirakam.

Selain Bluetooth, lokasi juga perlu dihidupkan pada telefon sebelum dapat diguna. Saya tidak beberapa pasti apakah tujuan kegunaan lokasi sedangkan kita hanya hendak hidupkan gimbal sahaja. Kalau dibaca pada ‘keperluan’ gimbal, menurutnya ia perlukan akses lokasi untuk membuat imbasan Bluetooth.

Ini semestinya sedikit sebanyak memberikan satu tanggapan kurang baik dari segi privasi. Apa pun, aplikasinya ada kesemua ciri yang diingini, kecuali rakaman dalam 60fps untuk semua resolusi yang ada (720p, 1080p, 4K).

Pun begitu, dari segi penggunaan pula, ia ringkas, dan ‘cukup’ untuk segala keperluan. Walaupun pada gimbal tidak terdapat fungsi ekstra seperti Inception Mode, tetapi ia dimasukkan ke dalam fungsi Moment pada aplikasi.

Di gimbal terdapat beberapa butang dan joystick. Butang penghidup boleh digunakan untuk menukar ke fungsi rakaman menegak dengan sekali tekan, manakala tekan dua kali pada butang trigger boleh mengambil gambar sekiranya anda dalam mode video (contoh) dan sebaliknya.

Di bahagian kiri pula terdapat butang zoom, dan anda boleh tukar ke fungsi fokus pada aplikasi.

Tetapi tulis panjang pun tak guna, jika anda tidak dapat melihat sejauhmana kebolehan gimbal ini menstabilkan rakaman video. Berikut saya sediakan satu video ujian pendek bagi memberi gambaran kualiti yang akan anda perolehi dari iSteady X.

Saya suka pada kebolehan gimbal ini untuk menukar kepada sudut rendah. Ini memudahkan rakaman sinematik tanpa perlu bersusah-payah mengubah kedudukan tangan.

Secara umumnya, banyak yang saya suka pada iSteady X ini. Anda tidak perlu melakukan kalibrasi, dan sekiranya anda ingin melakukannya, ia semudah A,B,C. Boleh tekan pada butang penghidup sebanyak lima kali, atau tekan saja pada pilihan dalam aplikasi Hohem Pro.

Dengan harga sebanyak RM220 (lebih atau kurang, bergantung pada penjual), saya berasa agak senang hati untuk mengesyorkan gimbal ini kepada semua orang.

Anda boleh rujuk laman web Hohem untuk maklumat lanjut: Hohem iSteady X.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Ulasan Atlas VPN: Servis VPN Percuma Bermodelkan Freemium

0

Saya dihubungi oleh seorang wakil dari Atlas VPN untuk mengulas sedikit mengenai servis baru ini. Diakui, ia masih lagi ‘hijau’ apabila saya mencuba aplikasi Android dan Windows-nya, kelihatan ciri-ciri yang sangat asas untuk servis seperti ini.

Saya difahamkan bahawa servis Atlas VPN adalah berlandaskan model freemium, yang mana pengguna boleh saja memasang dan terus menggunakan VPN ini tanpa sebarang langganan. Ini bermaksud pelayan percuma yang diberi iaitu sebanyak tiga buah lokasi, bersandarkan kepada langganan dari para pengguna akaun premium.

Bagaimana saya tahu? Mudah sahaja. Ini kerana tiada sebarang iklan dipaparkan dalam aplikasi meskipun anda gunakan dari versi percuma. Saya anggap ia sebagai satu kelebihan pada Atlas VPN untuk menarik lebih ramai pengguna kepada akaun premium mereka.

Gunakan Tanpa Akaun

Ya, walaupun pelayan yang diberi tidak banyak, tetapi cukuplah untuk anda buat sebagai kegunaan di waktu terdesak. Paling penting, anda tidak perlukan akaun pun. Anda hanya perlu muat turun, pasang, dan terus guna.

Kita lihat dahulu beberapa paparan tangkap layar untuk aplikasi Android. Di bawah ialah ruangan tetapan, akaun, dan bahagian untuk menuntut kod akses premium (sekiranya ada).

Apa yang sedikit mengejutkan, aplikasi Android Atlas VPN mempunyai lebih satu ciri berbanding apa yang ada pada aplikasi Windows iaitu ‘Safe Browse’, yang mampu menyekat anda dari memasuki apa-apa jenis servis hasad.

Ini ialah senarai 3 pelayan untuk akaun percuma:

Ini pula paparan selepas berjaya mengaktifkan sambungan:

Apa yang saya suka mengenai aplikasinya, anda tidak perlu mencipta akaun secara ‘sahih’. Hanya perlu berikan alamat emel, yang anda boleh sahaja gunakan emel ‘burner’ (emel yang anda tidak gunakan untuk kegunaan rasmi).

Sebaik alamat emel dimasukkan, beberapa nombor akan diberi pada emel tersebut untuk tujuan pengesahan. Ini membolehkan anda untuk daftar akaun premium (sekiranya anda langgan) ke peranti lain dengan mudah.

Ini ialah paparan aplikasi sebelum membuat sambungan. Perhatikan pada gambar dua individu bercinta itu.

Selesai membuat sambungan, gambar menunjukkan malam menjadi terang-benderang. Hei, mana privasi untuk mereka! (Gurau).

Untuk penstriman di Netflix, saya tiada sebarang rungutan, kerana terbukti Atlas VPN dapat membuka sekatan ke atas katalog dari US dengan IP New York yang saya gunakan. Anda boleh rujuk tangkap layar di bawah.

Dua Kelemahan Atlas VPN

Baiklah. Sekarang tiba masanya untuk saya jelaskan, bahawa saya tidak akan sembunyikan sebarang kelemahan yang ada pada VPN ini. Pertamanya, Atlas VPN berada dalam negara Amerika Syarikat. Ini bermaksud mereka beroperasi di bawah bidang kuasa negara Five Eyes.

Secara umumnya, saya telah pun membaca polisi privasi syarikat ini, dan polisinya bolehlah dikatakan agak bagus. Cuma masih terdapat beberapa informasi yang di-log, walaupun dikatakan tidak dapat menjejak kembali ke pengguna asal. Tambahan pula beroperasi di bawah AS, ini sedikit sebanyak dapat menimbulkan keraguan, walaupun rekod trak mereka masih bersih.

Kedua, Atlas VPN membocorkan alamat IP melalui DNS. Aplikasinya masih belum cukup matang, perlu pembaikan dari segi sekuriti. Anda boleh lihat sendiri dua ujian yang saya lakukan.

Saya faham, mereka masih baru dan perlu lebih masa untuk perbaiki kelemahan yang ada, tetapi kelemahan yang dapat ditambah baik hanyalah pada aplikasi sahaja. Manakala dari segi bidang kuasa negara, melainkan mereka berpindah ke negara lain, maka mereka kekal berada dalam kuasa Five Eyes, dan ini sedikit membimbangkan.

Konklusi

Pada saya tiada masalah jika anda ingin gunakan Atlas VPN untuk tujuan penstriman. Cuma dari segi sekuriti dan privasi, anda boleh nilai sendiri selepas menggunakannya untuk satu tempoh waktu tertentu. Katakan satu bulan saya berikan kepada anda, saya rasa anda akan dapat buat keputusan sama ada ingin teruskan penggunaan, atau beralih ke servis lain yang lebih dipercayai dan kukuh.

Terima kasih kepada pihak Atlas VPN kerana mempercayai kami untuk tujuan ulasan ini. Kami berharap agar aplikasi anda akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa, hingga tiada lagi berlaku kebocoran DNS, dan tambahkan juga ciri lain, jenis enkripsi lain, tema gelap, dan sebagainya lagi agar aplikasi anda kekal ‘segar’ pada pengguna.

Apa yang saya ingin lihat ada pada aplikasi Atlas VPN di masa akan datang ialah:

1. Tema gelap (semestinya).
2. Anti-DPI (wajib).
3. Lebih pilihan enkripsi, dan wajib ada WireGuard.
4. Lebih banyak pilihan pelayan.
5. Mungkin tambahkan ciri seperti multihop/double VPN.
6. Klien untuk Linux dan Android TV.
7. Kebolehan untuk menghantar log ralat terus kepada pembangun.
8. Sokongan melalui tetingkap bual (chat support) dengan manusia sebenar menjawab soalan pengguna.

Sekian saja ulasan saya. Bertemu lagi kita pada artikel akan datang.

Untuk anda yang ingin mencuba, bolehlah muat turun di sini: Atlas VPN.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Matlamat Mencipta Cyborg Seperti Robocop Semakin Menuju Kenyataan

0

Para saintis mendakwa telah menemui bahan bio-sintetik baru yang boleh diguna untuk menggabungkan kecerdasan buatan dengan otak manusia.

Penemuan yang dibentangkan di pameran maya American Chemical Society Fall 2020, adalah satu langkah yang besar ke arah mengintegrasikan komponen elektronik dengan badan untuk mencipta cyborg seperti filem Robocop, iaitu sebahagian manusia, sebahagian robot.

Kenapa penggabungan antara keduanya menjadi satu bentuk cabaran besar?

Kerja-kerja penyambungan bahan elektronik ke tisu manusia telah menimbulkan kesukaran kerana bahan tradisional seperti emas, silikon dan keluli menyebabkan parut ketika ditanam.

Parut, bukan sahaja akan menyebabkan kerosakan, bahkan akan mengganggu signal elektrik yang berjalan melalui komputer dan otot atau tisu otak.

Para penyelidik dari University of Delaware dapat mengatasinya setelah mengkaji pelbagai jenis polimer.

Polimer yang dikenali sebagai Pedot, mempunyai sifat yang tepat untuk menghubungkan perkakasan elektronik dengan tisu manusia tanpa menyebabkan parut dan juga meningkatkan prestasi implan perubatan secara dramatik.

Polimer pedot juga dapat digunakan untuk membantu deria rasa, merawat gangguan otak atau sistem saraf, sementara versi secara teorinya dapat menghubungkan peptida, antibodi dan DNA.

Via: The Independent.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Kenapa IDM Masih Menjadi Pemuat Turun Diminati Ramai: Ini Antara Sebabnya

0

Internet Download Manager atau IDM, ialah sejenis perisian pemuat turun pintar untuk sistem operasi Windows yang telah sekian lama bertapak tanpa goyah. Ada sebab mengapa ia begitu diminati oleh ramai pengguna setia, tidak kiralah dari yang membeli lesennya secara sah, atau dari kaki-kaki lanun perisian. Sekian lama saya menjadi pengguna Internet Download Accelerator (IDA), tetapi seakan ada sesuatu yang ‘tidak mencukupi’.

Jadi, saya kembali kepada IDM walaupun perlu membeli lesen. IDM punyai pelbagai ciri, yang boleh diubah suai mengikut cita rasa. Ini sesuai sekali untuk mereka yang sememangnya sangat suka mencuba sesuatu perkara baru, dan jika dilihat dalam tetapannya, terdapat berbagai pilihan yang apabila diteliti, tidak dapat disangkal lagi IDM ada ‘sesuatu untuk semua orang’.

Saya cuba rungkaikan serba sedikit antara ciri menarik yang terdapat pada IDM ini, seperti:

1. Ciri imbasan antivirus automatik.

Ini ialah antara ciri yang paling saya suka. IDM boleh bekerjasama dengan antivirus yang anda gunakan untuk mengimbas mana-mana fail yang anda muat turun. Sebagai contoh saya lampirkan tangkap layar di bawah bagaimana saya membuat ESET Internet Security untuk mengimbas fail apabila ia dimuat turun oleh IDM.

2. Ciri ‘Pemaksa’.

Pemaksa atau ‘force download’ ialah ciri tulen IDM sejak mula lagi. Banyak pemuat turun lain sudah cuba mengimplementasi dengan gaya tersendiri tetapi masih kurang menjadi. Dengan adanya ciri ini, sesetengah laman yang gemar ‘menyembunyikan’ pautan sebenar dan seringkali menimbulkan masalah – ia akan dapat diselesaikan.

3. Intergrasi Pelayar Web (Advanced Browser Integration).

Ini juga antara ciri IDM yang selalu cuba ‘ditiru’ oleh pelbagai jenis pemuat turun. Sayang sekali, integrasi yang dibuat belum cukup mantap. Ada yang kadangkala keluar, ada pula yang tidak keluar langsung. Apa yang keluar dan apa yang tidak tu? Tak mengapa. Itu kita akan lihat pada point seterusnya.

Cuba anda lihat pada tangkap layar berikut. IDM dapat berintergrasi dengan mudah pada Chrome hanya dengan memasang extension yang mana ia akan dipasang secara automatik sebaik sahaja anda lengkapkan proses pemasangan IDM pada sistem operasi.

4. Muat turun video di YouTube.

IDM tidak perlu mematuhi sebarang peraturan dari Google. Atas sebab itu, tiada masalah untuk perisian ini memuat turun apa-apa kandungan di YouTube. Inilah dia faedah intergrasi mantap antara IDM dan pelayar web. Anda akan sentiasa dapat melihat butang ‘Download this video’ tersedia di atas menanti untuk diklik. Sesetengah pemuat turun lain agak leceh, apabila memerlukan perisian lain untuk membantu ia ‘menukar’ format video terlebih dahulu.

Apabila anda klik pada butang tersebut, IDM memberikan pula pilihan resolusi video. Dari serendah 360p, hinggalah kepada 1080p (atau 4K), anda boleh pilih mana yang sesuai dengan kehendak anda.

5. Segmentasi fail.

IDM mengimplimentasikan kaedah segmentasi fail, seakan kaedah ‘SuperVOOC’ pada Realme X2 Pro. Bezanya dengan pecahan dua sel bateri, Realme X2 Pro dapat mengecas baterinya dengan sangat pantas. Begitu jualah dengan IDM. Ia dapat memuat turun dengan sangat cepat apabila fail dipecahkan kepada beberapa bahagian, kemudian dicantumkan semula pada akhir proses.

6. Jeda Dan Mulai Semula

Jeda/berhenti seketika atau pause, dan mulai semula atau resume, ialah antara kekuatan IDM. Bagi laman yang menyokong fungsi mulai semula, ini amatlah berguna apabila berlakunya sesuatu yang tidak dijangka, seperti sumber kuasa elektrik yang terpadam seketika (black out), kuasa bateri habis dan anda lupa hendak mengecasnya, atau lain-lain masalah.

Sebaik komputer selesai boot dan anda log masuk, tekan sahaja butang ‘Start’ itu dan anda boleh muat turun semula fail tanpa perlu mencari pautan asalnya kembali.

7. Penjadual Terbina Dalam.

Penjadual (scheduler) ialah sesuatu yang jarang dibincangkan. Tetapi ia boleh digunakan sebagai satu ‘trik’ untuk anda yang bekerja di pejabat. Kebiasaannya, ada sesetengah pejabat mengenakan polisi sekatan ke atas laman-laman tertentu seperti YouTube, Facebook, Twitter, dan pelbagai laman pengehos.

Dengan fungsi penjadual ini, anda boleh masukkan fail-fail yang anda ingin muat turun, tetapi hanya akan dimulakan proses muat turun tersebut pada masa yang anda telah tentukan. Bukan itu sahaja, bahkan anda boleh mengarahkan IDM untuk mematikan komputer apabila selesai muat turun kesemua fail yang dijadualkan.

8. Log Masuk Ke Laman.

IDM dapat digunakan untuk memuat turun fail-fail dari laman ‘premium’. Antara laman tersebut adalah seperti RapidShare, Uploaded.net, DepositFiles, MediaFire, FileFactory, dan sebagainya lagi.

Anda boleh gunakan nama pengguna dan kata laluan untuk laman-laman seperti ini bagi memudahkan lagi IDM ‘menyambar’ fail dari pautan yang disediakan.

Demikianlah antara ciri-ciri menarik yang terdapat pada IDM. Ya, banyak juga pemuat turun lain turut ada fungsi yang sama, tetapi anda perlu akui, apa yang terdapat pada IDM adalah ciri yang cukup ‘digilap’ (polished).

Tiada ciri yang ‘half-baked’, dan apabila anda gunakannya, anda sendiri boleh rasai betapa banyaknya masa yang diluang oleh para pembangun untuk menjadikan perisian ini sesuatu yang lengkap.

Cuma saya sedikit sedih, apabila ia tiada untuk Linux. Itu sahaja satu-satunya perkara yang jika pembangunnya dapat ciptakan, tiada keraguan lagi saya akan gunakan IDM untuk kedua-dua sistem operasi, iaitu di Windows dan Linux serentak. Jika anda ingin mencuba, anda bolehlah muat turun IDM di:

> Internet Download Manager

Anda boleh cuba IDM selama 30 hari, dan untuk mendapatkan lesennya, anda boleh beli di sini: Internet Download Manager Registration.

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

Kerentanan Pada Chrome Membenarkan Penggodam Memintas Perlindungan CSP

0

Sesetengah orang masih tersekat atau terlekat pada zaman lama, di mana kemas kini untuk Windows 7 memberikan masalah kepada sistem operasi.

Sampai sekaranglah sikapnya begitu, hingga Windows 10 pun nak disekat kemas kininya. Bukan nak kata setiap kemas kini tiada masalah, kerana untuk sistem operasi Linux seperti Ubuntu pun terkadang ada ‘khilaf’ pada pelepasan pakej.

Tetapi sekurang-kurangnya setiap kemas kini Windows 10 akan memberikan pembaikan (fixes) dan tampalan (patches) yang berguna. Ada pilihan untuk melambatkan (defer upgrades) pada Windows 10, tetapi sekiranya ada masalah yang perlu ditampal secepat mungkin, maka lakukanlah.

Sama halnya dengan pelayar berasaskan Chromium seperti Google Chrome, Brave, Edge, Opera, dan lain-lain.

Satu kerentanan ditemui, yang membolehkan penggodam melangkau atau memintas perlindungan content Security Policy (CSP).

CSP adalah kaedah utama yang digunakan oleh pemilik laman web untuk menguatkuasakan dasar keselamatan data untuk mencegah pelaksanaan ‘Shadow Code’ iaitu sejenis kod jahat/hasad di laman web masing-masing, jadi apabila penguatkuasaan pada pelayar web dapat dilangkau, data peribadi pengguna berisiko terbocor keluar.

Kerentanan tersebut ditemui oleh pengkaji sekuriti dari PerimeterX, dilabel sebagai CVE-2020-6519 – yang mana masalah ini berpunca dari pintasan CSP, mengakibatkan penggodam dapat membuat pelaksanaan kod jahat secara sewenang-wenang di laman web sasaran.

Ia juga bersifat platform berbilang, yang bererti kerentanan ini melibatkan sistem operasi Windows, Mac, dan Android, manakala pelayar yang terdedah pula ialah Chrome dari versi 73 sehingga 83.

Untuk melengkapkan serangan, seseorang itu perlu:

1. Mendapatkan akses ke pelayan web bagi membolehkannya untuk mengubahsuai kod javascript yang digunakan.

2. Kedua, penggodam perlu menambah arahan frame-src atau child-src dalam javascript untuk membenarkan kod yang disuntik untuk dimuat dan dilaksanakan, dengan memintas penguatkuasaan CSP dan dengan demikian dapat melangkau polisi laman web tersebut.

Untuk pengguna pelayar dan laman web, anda boleh kemas kini/naik taraf versi Chrome kepada 84 dan ke atas. Manakala untuk pemilik laman pula, anda rujuk pada laman PerimeterX untuk menambah baik CSP.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Apa Itu Kebocoran IP WebRTC, Dan Cara Mencegahnya

0
© Pixabay Stefan Coders

Kebocoran IP ialah satu perkara yang kita hendak elakkan apabila sedang menggunakan VPN. Tiada guna VPN terpasang dan aktif sedangkan alamat IP kita terdedah kepada pihak yang memantau.

Ada beberapa jenis kebocoran IP, dan antara yang popular ialah kebocoran DNS serta WebRTC.

Kebanyakan VPN moden ada ciri penyekat kebocoran DNS terbina dalaman. Ia dapat diaktifkan semudah menekat satu suis, atau sedia diaktifkan tanpa penglibatan pengguna.

‘RTC’ dalam WebRTC ialah singkatan dari Real-Time-Communication. WebRTC dan WebGL ialah dua jenis plugin yang sudah banyak digunakan pada berbagai pelayar web seperti Chrome dan Firefox. WebRTC memudahkan pengguna untuk membuat perbualan video dari pelayar tanpa perlu memasang perisian berasingan.

Selain itu, WebGL juga meningkat dan mengaktifkan proses ‘rendering’ grafik 3D dalam pelayar web anda, yang membolehkan pecutan perkakasan diguna pakai jika komputer anda mempunyai kad grafik.

Malangnya walaupun kedua plugin ini dicipta untuk memudahkan pengguna, ia juga seringkali menjadi menyebab berlakunya kebocoran alamat IP.

Bagaimana mencegah dari kebocoran?

Untuk Firefox:

1. Taipkan about:config pada bar URL.
2. Seterusnya klik sahaja pada butang “Accept the Risk and Continue”.
3. Pada baru ‘Search preference name’, taip media.peerconnection.enabled.
4. Klik dua kali pada nama tersebut untuk mengubah statusnya dari ‘true’ kepada ‘false’.
5. Anda boleh tutup tab itu dan layari https://webbrowsertools.com/test-webrtc-leak/ untuk memeriksa sama ada masih berlaku kebocoran atau tidak.

Untuk Chrome: Anda boleh cegah semudah memasang extension ini: WebRTC Control.

*Pelayar web lain yang berasaskan Chrome boleh guna cara yang sama.

Jika anda ingin menggunakan VPN yang dapat menyembunyikan alamat IP anda tanpa perlu memikirkan sudut teknikal yang terperinci, anda boleh langgan Surfshark untuk keamanan minda. Surfshark sudah terbukti kukuh dari segi sekuriti dan ciri privasinya.

Anda boleh rujuk ulasan lama kami mengenai Surfshark di sini: Ulasan Surfshark VPN.

Disebabkan Surfshark sudah mendapat beberapa penambahbaikan dan pembaharuan, mungkin kami perlu membuat ‘ulasan semula’ dan mendedahkan beberapa ciri baharu serta yang dipertingkatkan.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline