Perisian Ulasan

Ulasan Atlas VPN: Servis VPN Percuma Bermodelkan Freemium

Saya dihubungi oleh seorang wakil dari Atlas VPN untuk mengulas sedikit mengenai servis baru ini. Diakui, ia masih lagi ‘hijau’ apabila saya mencuba aplikasi Android dan Windows-nya, kelihatan ciri-ciri yang sangat asas untuk servis seperti ini.

Saya difahamkan bahawa servis Atlas VPN adalah berlandaskan model freemium, yang mana pengguna boleh saja memasang dan terus menggunakan VPN ini tanpa sebarang langganan. Ini bermaksud pelayan percuma yang diberi iaitu sebanyak tiga buah lokasi, bersandarkan kepada langganan dari para pengguna akaun premium.

Bagaimana saya tahu? Mudah sahaja. Ini kerana tiada sebarang iklan dipaparkan dalam aplikasi meskipun anda gunakan dari versi percuma. Saya anggap ia sebagai satu kelebihan pada Atlas VPN untuk menarik lebih ramai pengguna kepada akaun premium mereka.

Gunakan Tanpa Akaun

Ya, walaupun pelayan yang diberi tidak banyak, tetapi cukuplah untuk anda buat sebagai kegunaan di waktu terdesak. Paling penting, anda tidak perlukan akaun pun. Anda hanya perlu muat turun, pasang, dan terus guna.

Kita lihat dahulu beberapa paparan tangkap layar untuk aplikasi Android. Di bawah ialah ruangan tetapan, akaun, dan bahagian untuk menuntut kod akses premium (sekiranya ada).

Apa yang sedikit mengejutkan, aplikasi Android Atlas VPN mempunyai lebih satu ciri berbanding apa yang ada pada aplikasi Windows iaitu ‘Safe Browse’, yang mampu menyekat anda dari memasuki apa-apa jenis servis hasad.

Ini ialah senarai 3 pelayan untuk akaun percuma:

Ini pula paparan selepas berjaya mengaktifkan sambungan:

Apa yang saya suka mengenai aplikasinya, anda tidak perlu mencipta akaun secara ‘sahih’. Hanya perlu berikan alamat emel, yang anda boleh sahaja gunakan emel ‘burner’ (emel yang anda tidak gunakan untuk kegunaan rasmi).

Sebaik alamat emel dimasukkan, beberapa nombor akan diberi pada emel tersebut untuk tujuan pengesahan. Ini membolehkan anda untuk daftar akaun premium (sekiranya anda langgan) ke peranti lain dengan mudah.

Ini ialah paparan aplikasi sebelum membuat sambungan. Perhatikan pada gambar dua individu bercinta itu.

Selesai membuat sambungan, gambar menunjukkan malam menjadi terang-benderang. Hei, mana privasi untuk mereka! (Gurau).

Untuk penstriman di Netflix, saya tiada sebarang rungutan, kerana terbukti Atlas VPN dapat membuka sekatan ke atas katalog dari US dengan IP New York yang saya gunakan. Anda boleh rujuk tangkap layar di bawah.

Dua Kelemahan Atlas VPN

Baiklah. Sekarang tiba masanya untuk saya jelaskan, bahawa saya tidak akan sembunyikan sebarang kelemahan yang ada pada VPN ini. Pertamanya, Atlas VPN berada dalam negara Amerika Syarikat. Ini bermaksud mereka beroperasi di bawah bidang kuasa negara Five Eyes.

Secara umumnya, saya telah pun membaca polisi privasi syarikat ini, dan polisinya bolehlah dikatakan agak bagus. Cuma masih terdapat beberapa informasi yang di-log, walaupun dikatakan tidak dapat menjejak kembali ke pengguna asal. Tambahan pula beroperasi di bawah AS, ini sedikit sebanyak dapat menimbulkan keraguan, walaupun rekod trak mereka masih bersih.

Kedua, Atlas VPN membocorkan alamat IP melalui DNS. Aplikasinya masih belum cukup matang, perlu pembaikan dari segi sekuriti. Anda boleh lihat sendiri dua ujian yang saya lakukan.

Saya faham, mereka masih baru dan perlu lebih masa untuk perbaiki kelemahan yang ada, tetapi kelemahan yang dapat ditambah baik hanyalah pada aplikasi sahaja. Manakala dari segi bidang kuasa negara, melainkan mereka berpindah ke negara lain, maka mereka kekal berada dalam kuasa Five Eyes, dan ini sedikit membimbangkan.

Konklusi

Pada saya tiada masalah jika anda ingin gunakan Atlas VPN untuk tujuan penstriman. Cuma dari segi sekuriti dan privasi, anda boleh nilai sendiri selepas menggunakannya untuk satu tempoh waktu tertentu. Katakan satu bulan saya berikan kepada anda, saya rasa anda akan dapat buat keputusan sama ada ingin teruskan penggunaan, atau beralih ke servis lain yang lebih dipercayai dan kukuh.

Terima kasih kepada pihak Atlas VPN kerana mempercayai kami untuk tujuan ulasan ini. Kami berharap agar aplikasi anda akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa, hingga tiada lagi berlaku kebocoran DNS, dan tambahkan juga ciri lain, jenis enkripsi lain, tema gelap, dan sebagainya lagi agar aplikasi anda kekal ‘segar’ pada pengguna.

Apa yang saya ingin lihat ada pada aplikasi Atlas VPN di masa akan datang ialah:

1. Tema gelap (semestinya).
2. Anti-DPI (wajib).
3. Lebih pilihan enkripsi, dan wajib ada WireGuard.
4. Lebih banyak pilihan pelayan.
5. Mungkin tambahkan ciri seperti multihop/double VPN.
6. Klien untuk Linux dan Android TV.
7. Kebolehan untuk menghantar log ralat terus kepada pembangun.
8. Sokongan melalui tetingkap bual (chat support) dengan manusia sebenar menjawab soalan pengguna.

Sekian saja ulasan saya. Bertemu lagi kita pada artikel akan datang.

Untuk anda yang ingin mencuba, bolehlah muat turun di sini: Atlas VPN.

Arya Putra
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]
https://omghackers.com/