Perisian Ulasan

Kenapa IDM Masih Menjadi Pemuat Turun Diminati Ramai: Ini Antara Sebabnya

Internet Download Manager atau IDM, ialah sejenis perisian pemuat turun pintar untuk sistem operasi Windows yang telah sekian lama bertapak tanpa goyah. Ada sebab mengapa ia begitu diminati oleh ramai pengguna setia, tidak kiralah dari yang membeli lesennya secara sah, atau dari kaki-kaki lanun perisian. Sekian lama saya menjadi pengguna Internet Download Accelerator (IDA), tetapi seakan ada sesuatu yang ‘tidak mencukupi’.

Jadi, saya kembali kepada IDM walaupun perlu membeli lesen. IDM punyai pelbagai ciri, yang boleh diubah suai mengikut cita rasa. Ini sesuai sekali untuk mereka yang sememangnya sangat suka mencuba sesuatu perkara baru, dan jika dilihat dalam tetapannya, terdapat berbagai pilihan yang apabila diteliti, tidak dapat disangkal lagi IDM ada ‘sesuatu untuk semua orang’.

Saya cuba rungkaikan serba sedikit antara ciri menarik yang terdapat pada IDM ini, seperti:

1. Ciri imbasan antivirus automatik.

Ini ialah antara ciri yang paling saya suka. IDM boleh bekerjasama dengan antivirus yang anda gunakan untuk mengimbas mana-mana fail yang anda muat turun. Sebagai contoh saya lampirkan tangkap layar di bawah bagaimana saya membuat ESET Internet Security untuk mengimbas fail apabila ia dimuat turun oleh IDM.

2. Ciri ‘Pemaksa’.

Pemaksa atau ‘force download’ ialah ciri tulen IDM sejak mula lagi. Banyak pemuat turun lain sudah cuba mengimplementasi dengan gaya tersendiri tetapi masih kurang menjadi. Dengan adanya ciri ini, sesetengah laman yang gemar ‘menyembunyikan’ pautan sebenar dan seringkali menimbulkan masalah – ia akan dapat diselesaikan.

3. Intergrasi Pelayar Web (Advanced Browser Integration).

Ini juga antara ciri IDM yang selalu cuba ‘ditiru’ oleh pelbagai jenis pemuat turun. Sayang sekali, integrasi yang dibuat belum cukup mantap. Ada yang kadangkala keluar, ada pula yang tidak keluar langsung. Apa yang keluar dan apa yang tidak tu? Tak mengapa. Itu kita akan lihat pada point seterusnya.

Cuba anda lihat pada tangkap layar berikut. IDM dapat berintergrasi dengan mudah pada Chrome hanya dengan memasang extension yang mana ia akan dipasang secara automatik sebaik sahaja anda lengkapkan proses pemasangan IDM pada sistem operasi.

4. Muat turun video di YouTube.

IDM tidak perlu mematuhi sebarang peraturan dari Google. Atas sebab itu, tiada masalah untuk perisian ini memuat turun apa-apa kandungan di YouTube. Inilah dia faedah intergrasi mantap antara IDM dan pelayar web. Anda akan sentiasa dapat melihat butang ‘Download this video’ tersedia di atas menanti untuk diklik. Sesetengah pemuat turun lain agak leceh, apabila memerlukan perisian lain untuk membantu ia ‘menukar’ format video terlebih dahulu.

Apabila anda klik pada butang tersebut, IDM memberikan pula pilihan resolusi video. Dari serendah 360p, hinggalah kepada 1080p (atau 4K), anda boleh pilih mana yang sesuai dengan kehendak anda.

5. Segmentasi fail.

IDM mengimplimentasikan kaedah segmentasi fail, seakan kaedah ‘SuperVOOC’ pada Realme X2 Pro. Bezanya dengan pecahan dua sel bateri, Realme X2 Pro dapat mengecas baterinya dengan sangat pantas. Begitu jualah dengan IDM. Ia dapat memuat turun dengan sangat cepat apabila fail dipecahkan kepada beberapa bahagian, kemudian dicantumkan semula pada akhir proses.

6. Jeda Dan Mulai Semula

Jeda/berhenti seketika atau pause, dan mulai semula atau resume, ialah antara kekuatan IDM. Bagi laman yang menyokong fungsi mulai semula, ini amatlah berguna apabila berlakunya sesuatu yang tidak dijangka, seperti sumber kuasa elektrik yang terpadam seketika (black out), kuasa bateri habis dan anda lupa hendak mengecasnya, atau lain-lain masalah.

Sebaik komputer selesai boot dan anda log masuk, tekan sahaja butang ‘Start’ itu dan anda boleh muat turun semula fail tanpa perlu mencari pautan asalnya kembali.

7. Penjadual Terbina Dalam.

Penjadual (scheduler) ialah sesuatu yang jarang dibincangkan. Tetapi ia boleh digunakan sebagai satu ‘trik’ untuk anda yang bekerja di pejabat. Kebiasaannya, ada sesetengah pejabat mengenakan polisi sekatan ke atas laman-laman tertentu seperti YouTube, Facebook, Twitter, dan pelbagai laman pengehos.

Dengan fungsi penjadual ini, anda boleh masukkan fail-fail yang anda ingin muat turun, tetapi hanya akan dimulakan proses muat turun tersebut pada masa yang anda telah tentukan. Bukan itu sahaja, bahkan anda boleh mengarahkan IDM untuk mematikan komputer apabila selesai muat turun kesemua fail yang dijadualkan.

8. Log Masuk Ke Laman.

IDM dapat digunakan untuk memuat turun fail-fail dari laman ‘premium’. Antara laman tersebut adalah seperti RapidShare, Uploaded.net, DepositFiles, MediaFire, FileFactory, dan sebagainya lagi.

Anda boleh gunakan nama pengguna dan kata laluan untuk laman-laman seperti ini bagi memudahkan lagi IDM ‘menyambar’ fail dari pautan yang disediakan.

Demikianlah antara ciri-ciri menarik yang terdapat pada IDM. Ya, banyak juga pemuat turun lain turut ada fungsi yang sama, tetapi anda perlu akui, apa yang terdapat pada IDM adalah ciri yang cukup ‘digilap’ (polished).

Tiada ciri yang ‘half-baked’, dan apabila anda gunakannya, anda sendiri boleh rasai betapa banyaknya masa yang diluang oleh para pembangun untuk menjadikan perisian ini sesuatu yang lengkap.

Cuma saya sedikit sedih, apabila ia tiada untuk Linux. Itu sahaja satu-satunya perkara yang jika pembangunnya dapat ciptakan, tiada keraguan lagi saya akan gunakan IDM untuk kedua-dua sistem operasi, iaitu di Windows dan Linux serentak. Jika anda ingin mencuba, anda bolehlah muat turun IDM di:

> Internet Download Manager

Anda boleh cuba IDM selama 30 hari, dan untuk mendapatkan lesennya, anda boleh beli di sini: Internet Download Manager Registration.

Arya Putra
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]
https://omghackers.com/