Utama Blog Laman 101

Pelayar Web Terbaik Untuk Memainkan Netflix

0

Teknologi Digital Rights Management (DRM) sedikit sebanyak membantu kebanyakan servis penstriman seperti Netflix melindungi kandungan mereka dari dicetak rompak.

Walaupun masih ada aplikasi yang dapat melakukannya, tetapi proses menjadi lebih sukar, tambahan pula aplikasi seperti dalam artikel ini adalah versi berbayar.

Lanun cetak rompak kan suka barang percuma?

Lain pelayar, maka lainlah teknologi DRM digunakan. Untuk Chrome dan Firefox, keduanya menggunakan DRM berasaskan perisian iaitu Widevine. Ini diimplementasi dalam usaha untuk mengelakkan kandungan dari dirakam menerusi skrin.

Untuk mengelakkan kandungan dicetak rompak dalam resolusi 4K, Netflix mengehadkan pula main semula pada pelayar dengan resolusi 720p sahaja. Pelayar yang terlibat ialah Chrome dan Firefox, di platform desktop utama iaitu Windows, Mac, dan Linux.

Pada Chromebook, ada sedikit kelebihan di mana ia dapat memainkan resolusi berdefinisi tinggi penuh 1080p (1920 x 1080) menggunakan Chrome.

Kedua-dua Apple dan Microsoft menggunakan sistem DRM berasaskan perkakasan, yang lebih sukar untuk dilangkau berbanding hanya menggunakan Widevine.

Atas sebab itu, Netflix membolehkan pengguna pelayar web Microsoft Edge dan Apple Safari menikmati kualiti video yang jauh lebih baik.

Setakat ini, tiada tandingan lagi. Microsoft Edge ialah pelayar terbaik untuk menikmati kandungan video di Netflix. Pengguna dapat memainkan video pada resolusi sehingga 4K.

Tidak lupa juga aplikasi Netflix yang boleh dimuat turun di Windows Store juga mempunyai kebolehan memainkan video beresolusi 4K.

Cuma, untuk mendapatkan resolusi setinggi itu, peranti haruslah:

1. Mempunyai paparan beresolusi 4K.
2. Pemproses Intel generasi ke 7 atau lebih baru.
3. Windows 10 versi 1607 ke atas.

Untuk pengguna Mac, pelayar terbaik semestinya Safari, manakala sistem yang menyokong resolusi berdefinisi tinggi 1080p di Netflix pula ialah macOS Catalina (10.10 – 10.15).

Berita baiknya, macOS 11 iaitu Big Sur akan menyokong main semula resolusi 4K pada Safari.

Agak sedih apabila pengguna Linux tertinggal dalam hal ini. Maklum saja, tiada sebarang implementasi DRM pada Linux, dan mengharapkan pelayar Edge tiba untuk sistem Linux pula entah bilalah ia akan dilepaskan.

Sekurang-kurangnya walaupun masih gunakan perkakasan lama, ada harapan lagi untuk mainkan video sehingga resolusi 1080p dengan menggunakan pelayar Microsoft Edge, meskipun resolusi skrin laptop/komputer hanyalah 720p sahaja. Ya, itulah dia antara kelebihan Edge yang tiada pada pelayar lain, dan kerana itu saya sendiri gunakannya sebagai pelayar utama di Windows.

Via: What’s The Best Browser For Netflix? (Clue: It’s Not Google Chrome)

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

SIM Swap Attacks: Awasi Nombor Telefon Anda

0

SIM Swap/Fraud ialah kaedah penjenayah siber memecah masuk ke nombor telefon anda untuk mendapatkan akses ke akaun dan data peribadi.

Terdapat dua cara mereka memperolehnya, iaitu melalui kejuruteraan sosial (social engineering) dengan memperdaya operator telco, atau menerusi penyangak dalam telco itu sendiri.

Ia dimanipulasi menggunakan Multi-Factor Authentication (MFA). Katakan anda ingin mendapat akses ke akaun bank dengan teks MFA yang dihantar ke nombor telefon. Tetapi bagaimana jika ada individu lain yang ‘mempunyai’ nombor telefon anda? Bukankah mereka yang akan mendapat teks tersebut?

Bagaimana mereka mendapat kawalan kepada nombor telefon anda? Sudah tentulah dengan cara ‘mencurinya’ terlebih dahulu.

Mereka ini pertamanya akan membuat panggilan terlebih dahulu kepada telco yang anda sedang gunakan. Dengan menyamar sebagai diri anda, mereka akan membuat akuan bahawa ‘anda’ kehilangan kad SIM, atau pun rosak.

Seterusnya mereka meminta kad SIM baru yang ada pada milikan mereka untuk diaktifkan. Ini menyebabkan nombor dimiliki oleh anda terus berada dalam kad SIM yang lain.

Pengesahan maklumat diri anda boleh didapati dari pelbagai sumber, sama ada malware yang tertanam dalam peranti, phishing, apa yang anda kongsi di media sosial, dark web, forum, dan sebagainya lagi.

Jangan lupa, ada berbagai perkara dapat dilakukan dengan menguasai nombor telefon anda.

Sebarang komunikasi dengan bank atau orang perseorangan ada pada pengendalian nombor telefon. Tidak lupa juga akses ke akaun media sosial yang disahkan dengan nombor telefon. Ada bermacam jenis kerosakan yang dapat dilakukan hanya dengan memiliki nombor anda.

Antara tanda-tanda anda sudah terkena SIM Swapping ialah seperti tidak dapat membuat panggilan atau menghantar pesanan teks (tanda awal), mendapat notifikasi ‘aktiviti’ anda di peranti lain, dan tidak dapat mengakses akaun anda lagi.

Untuk melindungi nombor telefon dari terkena ‘masalah’ ini, anda bolehlah:

1. Gunakan hanya kata laluan kuat dan soalan peribadi yang anda sahaja tahu. Jika nama Ibu anda terpampang dengan mudah di media sosial, sila gunakan soalan lain.

2. Jangan sewenang-wenangnya klik sebarang pautan dalam emel. Boleh jadi ia memasukkan malware, atau merupakan pautan phishing yang boleh memperdayakan anda memberi maklumat peribadi.

3. Gunakan aplikasi pengesahan seperti Google Authenticator atau Microsoft Authenticator. Aplikasi ini perlu disahkan melalui peranti dan bukan sekadar nombor telefon.

4. Sekiranya akaun bank anda telah pun dipecah masuk, buat panggilan ke bank untuk menyekat aktiviti penjenayah tersebut dengan segera.

5. Buat laporan polis.

Rujukan: SIM Swaps.

omghackers.com

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Tronsmart Apollo Bold: Nikmati ANC Hibrid Berserta Kualiti Audio Premium

0

Saya tak pernah menjadi peminat TWS sejati, tidak kiralah dari jenama Tronsmart yang pernah saya ulas sebelum ini atau dari mana-mana jenama sekali pun. Pada saya nikmat audio sebenar itu tidak tercapai lagi setanding dengan audio dikeluarkan oleh fon telinga berwayar.

Tetapi kali ini mungkin.. mungkin saya sudah bersedia beralih kepada TWS, apabila Tronsmart mengeluarkan produk terbaru mereka, iaitu Tronsmart Apollo Bold.

Apa pun ada baiknya jika kita buka kotak terlebih dahulu dan lihat apakah pakej ditawarkan dalam kotaknya.

Apa Ada Dalam Kotak?

1 pasang Tronsmart Apollo Bold.
2 pasang silikon telinga gantian.
1 bekas pengecas.
1 wayar pengecas USB-C.
1 bag storan.
1 Manual panduan pengguna, warranti, manual panduan ringkas.

Apa Itu ANC Hibrid?

ANC atau Active Noise Cancellation (Pembatalan Kebisingan Aktif) Hibrid ialah bagaimana Apollo Bold mengendalikan pembatalan bunyi secara berbeza dengan sokongan kecanggihan cip Qualcomm® QCC5124. Cip QCC5124 menyokong pembatalan kebisingan aktif dan pemprosesan isyarat Bluetooth, menjadikan kedua-dua ciri tersebut mencapai prestasi terbaik tanpa gangguan serentak. Sementara model ANC lain di pasaran harus menggunakan dua cip untuk isyarat Bluetooth dan pembatalan bunyi aktif.

‘Hibrid’ yang dimaksudkan ialah Apollo Bold mempunyai dua jarak frekuensi ANC yang ‘dijaga’, iaitu Feedforward dan Feedback. Feedforward membatal kebisingan dari frekuensi dari jarak sempit iaitu di sekitar 1kHz, manakala Feedback pula membatal kebisingan dari jarak lebar, iaitu pada 1-2kHz. Teknologi ini menjadikan jarak frekuensi yang dibatal oleh TWS lebih baik dan komprehensif.

Spesifikasi Apollo Bold

Apollo Bold menggunakan pemacu graphene yang diubahsuai bagi mencapai kualiti audio Hi-Res. Ia juga memperoleh pensijilan IP45 yang menjadikannya kalis habuk dan air. Bekas pengecas berkapasiti 500mAh, manakala setiap earbuds mempunyai bateri berkapasiti 85mAh. Dengan satu cas penuh, ia boleh dimainkan selama 10 jam (kekuatan suara pada tahap 50%), dan 4 jam untuk kekuatan suara pada tahap 100%.

Kedua earbuds Apollo Bold dapat dicas penuh dalam masa 2 jam, manakala bekas pengecas pula mengambil masa selama 2.5 jam. Ia menyokong codec aptX HD, AAC, dan semestinya SBC. Frekuensi pembatalan kebisingan adalah sehingga 35dB.

TWS ini disertakan dengan beberapa mode iaitu Ambient sound mode, yang sesuai digunakan ketika sedang bergerak dengan kenderaan, ANC mode, iaitu mode apabila anda tidak mahu lagi mendengar bunyi bising dari luar, dan ANC off iaitu apabila anda ingin berjaga dengan keadaan sekeliling.

Tronsmart turut menyertakan teknologi True Wireless Stereo Plus (TWS+) yang mana signal audio dihantar terus ke kedua belah fon telinga tanpa perlu melalui yang pertama terlebih dahulu. Ini dapat mengurangkan tempoh kependaman dan kelewatan bunyi.

Selain itu, ia juga ada 6 mikrofon terbina dalaman beserta teknologi cVc bagi menjamin panggilan suara yang lebih jelas dan kurang gangguan.

Kualiti Audio

Inilah dia antara ciri utama yang membezakan antara satu TWS dengan satu TWS yang lain. Kita boleh merasakan sesuatu produk (TWS) itu memiliki kualiti premium apabila bunyi dihasilkan berbeza dari kebanyakannya.

Apollo Bold ada ‘kualiti’ itu. Saya telah mencubanya dengan mendengar kepada senarai main standard saya sendiri beserta beberapa lagu tambahan. Antaranya ialah seperti Black Veil Brides – Perfect Weapon, Soilwork – In This Master’s Tale, Babymetal – Megitsune, dan beberapa lagi lagu lain.

Pemain muzik pula saya terpaksa variasikan dari TIDAL HiFi, Spotify, dan YouTube Music dek kerana ada beberapa lagu yang tidak terdapat pada pemain lain. Saya cuba sedaya upaya untuk hanya mendengar melalui TIDAL HiFi secara eksklusif untuk mendapatkan kualiti audio terbaik. Saya menaikkan kekuatan suara hingga sekitar 80% sahaja, kerana bunyinya sangatlah kuat.

Dari segi bass, saya tiada sebarang perkara hendak dirungutkan. Apa yang saya perasan, bunyi bassnya semakin rancak dan menguat sebaik ANC dihidupkan. Ia menjadi sedikit perlahan apabila ANC dinyahaktif, dan anda boleh sedikit sebanyak mendengar bunyi persekitaran.

Apabila mendengar lagu-lagu ‘keras’ seperti metal, bahkan lagu seperti dari kumpulan Babymetal – Shanti, saya dapat merasakan hentakan drum dan petikan gitar yang ada karakter ‘menghenjut’ hinggakan saya terasa ingin turut sama berdansa.

Frekuensi rendah iaitu di mana bunyi bass berlegar, saya boleh berikan penarafan 4.5 bintang per 5. Bunyinya berdentum, ada ‘punch’, dan saya rasa identiti Apollo Bold terletak di sini.

Untuk frekuensi pertengahan, vokal boleh didengari dengan jelas, tetapi adakalanya saya mahu gunakan equalizer untuk tingkatkan lagi kekuatan suara, contohnya dari lagu I Prevail – DOA. Karakteristik ini biasanya ‘eksklusif’ untuk lagu-lagu metal. Sekiranya anda lebih ke arah genre seperti Hip-Hop, maka tiada masalah, kerana instrumen dan vokal kedengaran seimbang.

Bagi Frekuensi tinggi, treble juga kedengaran lebih ‘punchy’ berbanding TWS lain. Saya rasakan ini ialah karakter sebenar Apollo Bold setelah ANC digunakan. Ia bukan sesuatu yang negatif, cuma anda mungkin perlu sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Secara keseluruhannya, pada saya sendiri selaku seorang audiophile, Apollo Bold memberikan kepuasan audio yang belum pernah saya nikmati dari TWS saya miliki sebelum ini, ataupun yang saya pinjam sebentar dari rakan baik di pejabat.

Tronsmart Apollo Bold boleh dibeli di sini:

Shopee:

Lazada:

Tak lupa juga, Tronsmart sedang menjalankan giveaway yang anda boleh sertai pada pautan ini:

https://www.tronsmart.com/all-for-music.htm/

Anda mungkin salah seorang dari 20 pemenang!

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Android Lockbox: Google Memantau Penggunaan Aplikasi Pihak Ketiga

0

Untung, dan dalam masa sama juga rugi guna peranti Huawei, atas dua sebab. Untung, kerana tiada GMS yang akan memantau pengguna dan menggunakan kuasa bateri, kerana digantikan dengan HMS. Rugi pula, kerana digantikan dengan HMS. HMS masih baru bertapak dan perlukan sedikit lebih masa bagi menjadi servis yang lengkap.

Maklum saja, mudah kerja bila kita dapat kendalikan dan berurusan dengan aplikasi rasmi Google. Tetapi kemudahan itu semestinya ada harga yang perlu dibayar.

Dari sumber, dilaporkan bahawa Google mempunyai program dalaman yang membenarkan pekerjanya mengakses perincian informasi mengenai bagaimana cara pengguna Android berinteraksi dengan aplikasi pihak ketiga serta servis-servis lain dalam telefon pintar mereka.

Program dalaman dikenali sebagai ‘Android Lockbox’ itu ialah sebahagian dari Google Mobile Services atau GMS.

Ia boleh menjejak/merekod kekerapan pengguna melancarkan aplikasi lain selain dari aplikasi Google sendiri, berapa lama ia digunakan, dan bagaimana aplikasi itu diguna berdasar kepada negara.

Juga, Google mempunyai pasukan ‘Magic Eye’, yang bertanggungjawab untuk menjejak penggunaan aplikasi sendiri dan membandingkan data diperoleh dengan data dari Lockbox.

Seterusnya, maklumat tersebut akan dibentangkan kepada pegawai Google. Dipercayai hasil dari informasi itulah yang digunakan untuk membuat ciri baharu pada YouTube iaitu Shorts, sebagai satu bentuk jawab balas kepada TikTok.

Tetapan ini boleh ditutup melalui Google – tekan pada tiga titik di atas sebelah kanan, dan tutup butang untuk ‘Usage & diagnostics’.

Dari: 9to5Google, TechRadar.
Via: The Information.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

215 Laman Web Kerajaan Masih Menggunakan SSL Tamat Tempoh

0

Sijil digital boleh dikatakan sebagai kad pengenalan atau boleh juga disebut sebagai kad elektronik yang memasti atau mengesahkan transaksi dalam talian serta pengesahan lain di internet. Kita juga boleh merujuk kepada sijil digital sebagai pasport elektronik, kerana ia membolehkan organisasi atau individu bertukar maklumat melalui internet dalam bentuk yang selamat menggunakan infrastruktur kunci awam (PKI).

Apabila kita memasang sijil (digital), dua kunci dihasilkan iaitu satu adalah kunci awam dan satu lagi ialah kunci peribadi. Kunci Awam dikeluarkan oleh Lembaga Pengesahan (Certification Authority – CA) di laman web e-dagang, e-mel, laman web atau emel berkaitan kewangan, dan Kunci Peribadi pula diperlukan untuk menyahsulitkan data yang dipindah atau dikongsi. Sijil ini mengesahkan kesahihan komunikasi dan transaksi antara pelayan dan pelayar web atau pengirim dan penerima. Sijil ini juga mengesahkan laman web atau portal dilayari.

Oleh itu, Sijil SSL memastikan bahawa semua data yang melalui antara pelayan laman web dan pelayar web tetap kekal terlindung serta selamat. Sekuriti ialah matlamat utama bagi sijil digital ini untuk melindungi maklumat sensitifi terutamanya yang melibatkan badan-badan kerajaan.

Di domain-domain kerajaan, terdapat sejumlah besar informasi pengguna, data dan dokumen di dalam pelayan mereka, termasuk maklumat peribadi pengguna seperti nama, alamat, nombor telefon, usia, perincian cukai, dan perincian kontrak undang-undang lain.

Sekiranya tidak ada medium keselamatan atau privasi yang memungkinkan untuk melindungi maklumat tersebut, penjenayah siber dapat dengan mudah memecah masuk dan mencuri setiap maklumat. Untuk membolehkan medium keselamatan melindungi maklumat tersebut, Sijil SSL adalah pilihan utama.

Malangnya…

Dikhuatiri sebanyak 215 domain dari laman-laman web kerajaan masih lagi menggunakan Sijil SSL yang telah lama tamat tarikh tempoh sahnya. Ini bererti tiada lagi pengesahan informasi antara pelayar dan pelayan web. Antara contohnya, boleh dilihat pada tangkap layar berikut.

Mana-mana individu berniat jahat boleh membuat cubaan memecah masuk dan mendapatkan informasi sulit bahkan rahsia sekiranya ini berterusan.

Laman GLSB mencipta sebuah alat imbasan bagi mengesan domain-domain seperti ini.

Ia boleh diakses pada pautan: https://ssl.glsb.my

Inikah hasilnya dari pentadbir ICT jabatan anda?

Diharap agar para pentadbir laman-laman web kerajaan ini dapat memperbaharui semula Sijil SSL agar data-data disimpan oleh badan-badan kerajaan kekal milik kerajaan, sebelum ianya dicuri, disebar, atau dijual oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

10 Tanda Peranti Android Anda Dijangkiti Malware

0

Malware tidak biasa datang berlenggang. Ia pasti menyelit di sebalik aplikasi sah, atau pelbagai medium lain yang memudahkan ia menyusup masuk ke peranti tanpa dapat dikesan.

Kita ambil contoh kes trojan Android/Trojan.FakeAdsBlock, yang menjangkiti lebih dari 500 peranti. Bagaimana ia dapat menyelinap tanpa disedari pengguna?

Mudah. Ia menyamar sebagai aplikasi lain.

Dalam hal ini, ia menyamar sebagai aplikasi bernama Ads Blocker. Seperti namanya, ia mengiklankan diri sendiri sebagai aplikasi berguna untuk menyekat iklan, pada hal sebenarnya tidak lain tidak bukan ia adalah malware yang bukan sahaja tidak menyekat iklan, bahkan menambah lagi apa yang sedia ada.

Ini hanyalah salah satu contoh aplikasi hasad yang dapat mengganggu pengguna dengan iklan yang dibayar oleh pencipta, walaupun pengguna melihat aplikasi yang tidak berkaitan. Selain itu ia juga membuat klik palsu pada iklan dengan tujuan menggandakan lagi pendapatan.

Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui peranti sendiri telah dijangkiti oleh malware seperti ini?

Antara tanda-tandanya ialah:

1. Iklan, iklan, dan iklan. Iklan berterusan yang entah dari mana, dan tidak kiralah aplikasi apa pun anda buka, tetap akan keluar iklan juga.

2. Terdapat aplikasi yang anda tidak cam pada peranti (ini jelas).

3. Anda pasang sesuatu aplikasi, tetapi ia ‘hilang’ dari ‘App Drawer’. Ikonnya langsung tidak kelihatan.

4. Penggunaan kuasa bateri melampau. Tidak dapat dipastikan punca kehilangan kuasa.

5. Aplikasi mengambil masa terlalu lama untuk dibuka berbanding kebiasaan.

6. Walaupun sudah dimulakan semula (restart) berkali-kali, telefon tetap terasa begitu lembap sekali.

7. Penggunaan data tidak dapat dikenal pasti sumbernya. Secara tiba-tiba sahaja data ‘bergerak’ banyak meskipun anda tidak muat turun atau strim.

8. Suhu telefon panas walaupun tiada sebarang ‘aktiviti’ dilakukan. Suhu panas boleh juga terjadi disebabkan oleh aplikasi yang melangkau pengurusan sistem penghematan bateri, cuma bagus anda lakukan imbasan virus untuk memastikan peranti bebas dari jangkitan.

9. Aplikasi kerap mengalami ‘crash’ atau ‘force close’. ‘Crash’/’force close’ ini biasa, terutamanya jika anda gunakan versi beta/alpha. Tetapi kalau sudah terlalu kerap walaupun anda memasang versi stabil, anda perlu periksa kembali peranti.

10. Tanda paling jelas ialah wang dari bank ‘hilang’, bil sampai mahal melebihi langganan, dan ada kata laluan untuk mana-mana akaun telah ditukar.

Adalah disarankan agar anda sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, berhati-hati terhadap apa jua yang diklik atau dipasang, dan kalau boleh gunakan antivirus. Ya, Android kini adalah sasaran pencipta malware. Jika anda terleka, bila-bila masa saja boleh menjadi mangsa.

Views: 11

Iklan Newspaper Inline

UFO VPN, Flash VPN, Dan Beberapa VPN Percuma Lain Membocorkan Data Pengguna

0

Adalah amat penting untuk kita selidik secara terperinci dahulu servis yang hendak kita gunakan, kerana ia akan melibatkan data sulit/peribadi kita.

Sebab itu saya selalu melarang dari gunakan servis VPN yang:

1. Percuma.
2. Bertapak di negara 5, 9, 14 Eyes.

Inilah antara sebabnya. Laporan oleh Comparitech mengatakan, UFO VPN iaitu servis yang bertapak di Hong Kong (see?), telah mendedahkan pengkalan data sebanyak 894GB. Untuk pengetahuan anda, Hong Kong termasuk dalam negara Five (5) Eyes.

Maklumat tersebut termasuklah kata laluan akaun (dalam bentuk teks biasa), token sesi VPN, alamat IP peranti, pelayan pelanggan, sistem operasi yang digunakan, dan banyak lagi.

Setakat ini, hanya Rabbit VPN yang dibuang dari Google Play Store, tetapi yang lain seperti UFO VPN, Fast VPN, Free VPN, Super VPN, Flash VPN, dan VPN Secure masih tersedia di sana.

Kesemua VPN ini berkongsi pelayan ‘Elasticsearch’ yang sama, dan menggunakan penerima bayaran ‘Dreamfii HK Limited’, manakala tiga dari servis tersebut mempunyai laman web yang lebih kurang serupa.

Semua data dibocorkan berjumlah 1.207TB. Jumlah itu tersangatlah besar, meliputi berjuta-juta pengguna. Paling tak tahan, semuanya mempromosikan servis mereka sebagai ‘no-logs VPN’, walaupun pada hakikat penuh log disimpan.

Sekiranya ada individu berniat jahat yang berjaya mendapatkan data sebelum diselamatkan, ia boleh menimbulkan beberapa risiko kepada pengguna.

Kata laluan teks-biasa adalah ancaman yang paling jelas. Penggodam tidak hanya dapat menggunakannya untuk merampas akaun pengguna, tetapi juga dapat melakukan serangan ‘credential stuffing’ pada akaun lain. Sekiranya kata laluan yang sama digunakan di beberapa akaun, semuanya dapat dikompromi.

Sumber: vpnMentor dan Comparitech.
Via: Android Police.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Tronsmart Apollo Bold: TWS Dengan Pembatalan Kebisingan Aktif Hibrid

0

True Wireless Stereo (TWS) telah menjadi trend ‘panas’ sejak Apple mengeluarkan AirPods. Tronsmart mengeluarkan earbud sendiri iaitu Onyx Ace empat bulan lalu yang mendapat maklum balas positif dari seluruh dunia.

Syarikat media seperti Forbes mengatakan bahawa “Ia adalah alternatif Apple AirPods.”

Revolusi industri ini mengubah tabiat pengguna. Ketika para pengguna baru membiasakan diri dengan earbud True Wireless, Apple mengumumkan AirPods Pro yang menyokong pembatalan bunyi aktif (Active Noise Cancelling @ ANC). Menurut penyelidikan oleh Tronsmart, pembatalan kebisingan aktif adalah ciri terpenting bagi 36% orang ketika menilai sama ada earbud True Wireless baik atau tidak. Kelahiran AirPods Pro menarik perhatian dunia; malah Sony turut menyertai trend ini. Sebagai syarikat cip TWS terbesar, Qualcomm® juga tidak terkecuali.

Untuk mendapatkan bahagian pasaran, Qualcomm® memilih untuk bekerjasama dengan rakan lama – Tronsmart untuk membuat Apollo Bold. Kali ini, Qualcomm menggunakan cip utamanya iaitu QCC5124 yang belum digunakan dalam mana-mana produk, untuk menghasilkan earbud pembatalan bunyi aktif hibrid pertama dari Tronsmart. Apollo Bold dihasilkan oleh Grandsun, salah satu kilang pemprosesan cip terbesar Qualcomm®.

Menurut Qualcomm®, QCC5124 yang digunakan pada Tronsmart Apollo Bold dapat menyokong pembatalan kebisingan aktif dan pemprosesan isyarat Bluetooth, menjadikan kedua-dua ciri tersebut mencapai prestasi terbaik tanpa gangguan. Sementara model ANC lain di pasaran harus menggunakan dua cip untuk isyarat Bluetooth dan pembatalan bunyi aktif. Tronsmart Apollo Bold direka dengan teknologi pembatalan bunyi hibrid (Feedforward & Feedback) yang dapat membatalkan kebisingan jarak lebar dan sempit untuk mencapai kesan terbaik. Tidak seperti model biasa yang hanya dapat membatalkan kebisingan hingga 25-28dB, Tronsmart Apollo Bold dapat mencapai pembatalan kebisingan hingga 35dB.

Tronsmart Apollo Bold menggunakan teknologi penghantaran isyarat segerak True Wireless™ Stereo Plus untuk memastikan earbud kiri dan kanan menerima isyarat Bluetooth secara serentak. Sebilangan besar earbud TWS termasuk AirPods Pro menggunakan teknologi stereo True Wireless yang mana earbud utama akan menerima isyarat terlebih dahulu dan kemudian dihantar ke earbud lain, menyebabkan berlakunya kelewatan bunyi.

Spesifikasi produk selanjutnya:

• Pemacu graphene yang diubahsuai untuk berfungsi dengan penyahkodan aptX™ untuk kualiti bunyi yang luar biasa.
• Enam mikrofon bersama dengan teknologi cVc memastikan kualiti suara dan panggilan terbaik.
• Antena laser LDS menyediakan sambungan yang kuat.
• Tiga mod penggunaan: ANC, muzik, dan ketelusan, membolehkan pengguna menikmati muzik di mana sahaja pada bila-bila masa.
• Lebih dari 30 jam waktu bermain dengan bekas pengecasan (lebih dari 10 jam untuk sekali cas) dan mempunyai masa pendengaran muzik 6 jam lebih banyak dari AirPods.
• Ciri pengesanan dalam telinga memberikan pengalaman yang lebih selesa.
• Produk canggih ini yang dapat mengalahkan Apple AirPods Pro berharga 46% dari pesaingnya.

Pautan Produk: https://bit.ly/2Of8yTa

Untuk mengucapkan terima kasih kepada semua sokongan pelanggan, Tronsmart menyediakan hadiah pelancaran (tarikh tersedia: 15 Julai-31 Julai) untuk Apollo Bold.

Sila lawati: https://www.tronsmart.com/all-for-music.htm

PR Contact:
Alais Wang
Marketing Director
Tronsmart HQ
marketing@tronsmart.com
+86-755-23603740

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Kenapa Android Kini Menjadi Sasaran Pencipta Malware

1

Laporan dari Nokia Threat Intelligence pada tahun 2018/2019 menunjukkan bahawa 47.15% dari ancaman jangkitan malware melibatkan peranti Android.

Threat Intelligence Report 2019

Figura nombor ini amat mengejutkan, kerana ia mewakili kesemua ancaman termasuklah apa yang menjangkiti peranti lain seperti komputer, IOT, dan telefon-telefon dari sistem operasi lain.

Laporan IDC pada 20 Jun lepas menunjukkan, sistem operasi Android masih menduduki carta teratas untuk jumlah penggunanya iaitu sebanyak 86.4%, manakala iOS pula selesa dengan jumlah pasaran sebanyak 13.6%.

Smartphone Market Share (OS)

Sama seperti nasib Windows yang punyai lebih ramai pengguna, maka ia menjadi sasaran mudah pencipta malware oleh kerana jumlah taburan penggunanya sangat banyak.

Selain kerana taburan pengguna iOS tidak seramai Android, sistem operasi itu juga mengaplikasikan ‘sandboxing’, di mana ia secara efektif ‘mematikan’ atau menghalang setiap aplikasi dan secara berhati-hati menyekat aksesnya ke perisian dan sumber lain pada peranti.

Android adalah sistem yang jauh lebih terbuka dan fleksibel. Walaupun itu memberi ruang dan kebebasan kepada pembangun untuk membuat aplikasi, ia meningkatkan potensi kerosakan yang dapat dilakukan oleh aplikasi hasad.

Proses semakan Google Play Store tidak begitu ketat seperti di App Store oleh Apple. Ini bermaksud pilihan lebih luas untuk pengguna dan laluan lebih mudah untuk pemasaran bagi pembangun, tetapi juga peluang yang lebih besar bagi pencipta perisian hasad.

Sementara iOS mempunyai penguncian lengkap pada aplikasi dari luar App Store, peranti Android dapat memasang dan menjalankan perisian dari mana-mana sumber hanya dengan satu perubahan tetapan oleh pengguna. Ini memberikan kebebasan sepenuhnya untuk pemaju dan pengguna, tetapi juga bererti sebenarnya risiko terbuka luas ketika memasang aplikasi dari luar Play Store.

Ini belum jika kita mengambil kira faktor pemecahan (fragmentation) yang walaupun hampir dapat diselesaikan melalui beberapa projek seperti Project Treble, Mainline, dan GSI, tetapi hakikatnya masih terdapat peranti di luar sana yang jarang menerima kemas kini.

Akibat dari itu ia terdedah kepada kerentanan bagi versi yang sedang digunakannya.

Bagi pengguna yang ingin terus kekal bersama Android, adalah disarankan supaya sentiasa dapatkan kemas kini terbaru untuk menampal sebarang kelemahan yang ada bagi mencegah kemasukan unsur hasad. Kemudian, sebaiknya usah muat turun sebarang aplikasi dari luar.

Benar, aplikasi dari Play Store juga belum tentu selamat dari jangkitan, tetapi sekurang-kurangnya Google bersama pasukan App Defense Alliance sentiasa aktif melakukan imbasan bagi memastikan Play Store bebas dari malware.

App Defense Alliance

Seterusnya, pastikan aplikasi yang digunakan tidak meminta kebenaran (permissions) secara berlebihan. Sekiranya ada kebenaran diminta itu seperti tidak diperlukan olehnya dan tidak pula dinyatakan mengapa oleh pembangun, maka ada kemungkinan ia cuba menjalankan sesuatu di luar pengetahuan anda.

Jika anda ada langgan servis antivirus pada PC yang juga punyai versi Android, usah lupa untuk memasangnya pada telefon pintar anda. Antivirus yang ada ciri pengesanan semasa (real-time protection) amat berguna bila melayari internet atau memuat turun sesuatu.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Cryptojacking: Era Baru Pemungut Wang Atas Angin

0

Apa Itu Cryptojacking?

Cryptojacking ialah cara yang digunakan untuk memecah masuk sistem dan menggunakan sumbernya untuk menjana dan menggali mata wang crypto. Sumber dimaksudkan ialah kuasa memproses dan tenaga elektrik. Kuasa memproses termasuklah CPU dan GPU serta perkakasan komputer atau telefon pintar.

Mata wang crypto seperti Bitcoin memerlukan sejumlah besar tenaga elektrik dan kuasa pengkomputeran untuk melombong unit mata wang crypto melalui penyelesaian pengiraan matematik yang sangat kompleks. Oleh itu, operasi Bitcoin cenderung menjadi rizab rangkaian besar yang dapat mengumpulkan perkakasan dan menghasilkan kapasiti diperlukan.

Cryptojacking dapat memberi sumber daya sedemikian dalam jangkauan pengendali. Itulah sebabnya teknik ini semakin popular kerana pengendali tidak perlu mengeluarkan modal besar apabila sumber datang dari pengguna komputer lain.

Pada asalnya, penggunaan sumber tenaga komputer atau telefon pintar dari pengguna lain untuk tujuan perlombongan/penggalian mata wang crypto bukanlah salah dari segi undang-undang.

Laman seperti The Pirate Bay sudah menggunakan ‘kaedah’ ini bagi menampung kos pelayan mereka.

Akan tetapi masalah bermula apabila penggunaan sumber dibuat tanpa kebenaran dan pengetahuan dari penggunanya.

Cryptojacking boleh dijalankan melalui dua cara. Pertama, mangsa diumpan menerusi kaedah biasa, iaitu pautan hasad yang dihantar ke emel atau mesej.

Kedua, pengiklanan hasad, mengandungi skrip cryptojacking yang membolehkan pengendali menyebarkan ia ke pelbagai laman web. Atas sebab ini, pengendali cryptojacking mungkin dapat membuat dan menyebarkan extension/addon yang disatukan dengan kod cryptojacking, yang dapat memperluas jangkitannya pada berjuta-juta komputer.

Bagaimana Cara Mencegahnya?

1. Paling mudah sekali, anda pasang extension/addon untuk pelayar web yang dapat menyekat skrip cryptomining. Terdapat banyak extension untuk tujuan ini di luar sana. Hanya perlu cari dan cuba sahaja.

2. Pantau penggunaan sumber komputer anda. Sekiranya terdapat kenaikan mendadak, tutup tab yang disyaki menjadi punca.

3. Lakukan imbasan antivirus pada sistem dengan kerap.

4. Kemas kini sistem operasi dan pelayar web. Jangan biarkan sistem operasi masih menggunakan versi lama.

5. Elakkan dari melawati dan membuka mana-mana laman yang mencurigakan, dan jangan sewenang-wenang membuka pautan pada emel.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline