Utama Blog Laman 102

Gundala: Superhero Dari Bumilangit Cinematic Universe

0

Barat ada Marvel Cinematic Universe (MCU), DC Extended Universe (DCEU).

Indonesia pula ada Bumilangit Cinematic Universe (BCU).

Dalam BCU pula ada pelbagai karakter superhero, dan salah satu superhero itu ialah Gundala. Jalan ceritanya berasaskan komik yang dicipta oleh Harya ‘Hasmi’ Suraminata.

Watak Gundala dibawakan oleh pesilat dan pelakon, Abimana Aryasatya. Tidak lupa juga, dalam filem ini ada Bront Palarae memegang watak sebagai Pengkor, dan Cecep Arif Rahman sebagai Swara Batin Sang Penari.

Diarahkan oleh pengarah filem berkaliber Joko Anwar, cerita bermula pada waktu Indonesia sedang bergelumang dengan rasuah dan ketidaksamarataan dari segi pendapatan di kalangan rakyat marhaennya.

Di situlah, Sancaka, seorang pemuda bekerja sebagai pengawal sekuriti di kilang percetakan Djakarta Times. Kisah hidupnya tidak sebahagia orang lain. Waktu kecil Sancaka bersulam duka, bila bapanya terbunuh sewaktu mogok pekerja. Ibunya pula mengambil keputusan untuk bekerja di bandar, dan hanya berjanji untuk kembali secepat mungkin.

Sancaka bagaimanapun mendapat peluang untuk diambil sebagai anak angkat kepada sebuah keluarga yang kaya, tetapi ditolak mentah kerana padanya, kekayaan di Indonesia selalu terhubung dengan eksploitasi terhadap orang lain.

Disinilah Pengkor hadir memainkan peranan melatih Sancaka bersama anak-anak yatim yang lain. Pengkor ialah bos mafia kepada dunia gelap di Jakarta, dan mengawal ahli-ahli politik.

Sancaka membesar dengan elemen moral tersendiri, jauh berbeza dari anak yatim lain yang berharap kepada peluang mendapatkan pendidikan kerjaya.

Suatu malam, Sancaka disambar petir.. lalu bermulalah kisah hidup barunya yang memiliki kuasa ajaib.

Percakaran antara Sancaka dengan Pengkor tidak dapat dielakkan lagi. Pertembungan antara dua moral, dua kuasa, menjadikan Gundala ‘hidup’ dengan identiti tersendiri.

Jika diperhati, Gundala juga mempunyai sejarah pahit tidak ubah seperti superhero barat lainnya. Waktu kecil yang penuh dengan kesedihan, kehilangan ibu dan bapa, lalu membesar pula dengan norma-norma masyarakat sekeliling yang penuh dengan isu masing-masing.

Pun begitu, dengan keunikan tersendiri, Gundala membawa topik berat walaupun beridentitikan filem superhero.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Face Depixelizer: AI Yang Menukar Gambar Resolusi Rendah Menjadi Jelas

0

Terdapat sejenis kecerdasan buatan (AI) baru yang dapat menukar gambar beresolusi rendah menjadi lebih jelas dengan kaedah penstrukturan semula menggunakan algoritma komplex.

Ia dicipta berdasarkan kepada repositori ‘PULSE: Self-Supervised Photo Upsampling via Latent Space Exploration of Generative Models’.

AI ini menggunakan StyleGAN, yang mana ia akan mencari imej menyerupai gambar asal. Secara teknikalnya ia menjana imej alternatif apabila dapat menjumpai gambar yang kelihatan seakan sama dengan versi resolusi rendah tersebut.

Ini terbukti apabila gambar Barack Obama digunakan dalam pengujian, lalu AI itu menukar gambarnya menjadi seorang lelaki Inggeris. Ia juga bermaksud AI ini masih di peringkat awal dan mempunyai kecenderungan untuk bias terhadap warna kulit kerana dilatih dengan wajah-wajah lelaki/perempuan Inggeris.

AI ini telah dicipta oleh Alex Damian, Sachit Menon, dan Denis Malimonov. Untuk sementara waktu ini, kegunaannya masih terhad. Tetapi di masa akan datang, setelah ia dilatih dengan pelbagai jenis wajah di serata dunia, tidak mustahil ia akan dapat dijadikan sebagai alat untuk membantu pihak berkuasa mengesan mereka yang dikehendaki, atau untuk tujuan-tujuan lain.

Anda boleh lihat projek tersebut di sini: Face Depixelizer.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Poco F2 Pro: Peranti Bajet Berciri Perdana Beri Lebih Nilai Pada Wang Anda

0

Pocophone F1 dilancarkan lebih kurang dua tahun lepas. Ia menjadi peranti yang mempunyai banyak gembar-gembur dek kerana ia dipromosikan sebagai peranti mercu bajet dengan pelbagai spesifikasi terbaik. Harganya yang mampu milik menyebabkan ramai membeli tanpa berfikir panjang.

Pada waktu itu meskipun ia menggunakan skrin IPS LCD, tidak ramai pula yang mempertikai keputusan itu kerana rata-rata lebih mementingkan pemproses dan harganya.

Selepas imbas ke belakang, kini Xiaomi mengeluarkan pula penggantinya iaitu Poco F2 Pro. Kali ini harga menjadi taruhan, kerana ia dilancarkan pada harga jualan lebih tinggi, mencecah RM2000. Ini disebabkan penggunaan pemproses Snapdragon 865 yang turut diimplimentasi modem 5G.

Pun begitu, pelancaran model ini di Lazada yang terjual habis 950 unit dalam tempoh 10 minit pada 10 June lepas menunjukkan bahawa walaupun harga kini meningkat naik, pengguna masih sanggup mendapatkannya.

Atas sebab apakah ia masih laris? Untuk itu, saya cuba ceritakan sendiri sedikit ulasan saya setelah beberapa hari menggunakannya. Saya tidak ditaja oleh Xiaomi untuk unit ini. Apa pun mari kita buka kotak dahulu:

Apa yang ada dalam kotak?

  • Seunit Poco F2 Pro.
  • Manual panduan pengguna.
  • Pin pembuka slot kad sim.
  • Bekas TPU
  • Adapter pengecasan pantas 33W.
  • Kabel USB-C.

Nampaknya buka kotak dah tak seceria seperti zaman Nokia dulu, tetapi itulah dia hakikat yang kita perlu terima. Cuma bila difikirkan balik, apa yang diberikan dalam kotak pada ketika ini sebenarnya bagus juga, contohnya adapter pengesan pantas. Kalau disuruh beli sendiri, mahal juga tu.

Reka Bentuk

Untuk pengetahuan anda, saya masih menggunakan Mi 9T yang dibeli pada tahun lepas. Saya sememangnya meminati reka bentuk tanpa notch dan punch hole yang banyak boleh didapati pada peranti keluaran baru. Mekanisma kamera pop-naiknya bertahan sehingga ke hari ini, dan atas kerana itu saya tidak ragu lagi mendapatkan Poco F2 Pro.

Jika hendak dibandingkan dengan peranti mercu lain pada tahun ini, sememangnya Poco F2 Pro ada beberapa kekurangan yang tidak dapat dielakkan.

Tetapi jika kita buat perbandingan dengan Pocophone F1 pula, reka bentuk dan kualiti binaan akhir pada F2 Pro adalah jauh di hadapan. Skrin pula menggunakan Super AMOLED dengan tahap kecerahan 500 nits. Ini adalah naik taraf yang dinantikan.

Pada bahagian belakangnya diberikan sentuhan Gorilla Glass 5 berbanding plastik (polikarbonat) pada F1. Terdapat empat buah kamera dengan lensa utamanya menempatkan kamera beresolusi 64MP (Sony IMX686 Exmor RS). Kamera lain pula ialah 5MP (telefoto makro), 13MP sudut ultra lebar), dan 2MP untuk kedalaman.

Sebut mengenai skrin, reka bentuk tanpa bingkai memberikan pengalaman menonton tanpa gangguan. Cuma saya mendapati aplikasi Netflix menunjukkan tiada sebarang ciri HDR pada Poco F2 Pro. Saya sudah pun melaporkan isu ini melalui ruangan ‘Feedback’, dan harapnya Xiaomi akan cepat mengeluarkan kemas kini bagi membaiki HDR yang tidak berfungsi itu.

*Kemas kini: Akhirnya Poco F2 Pro sudah pun ada sokongan HDR pada Netflix.

Apa yang menarik, Poco F2 Pro mempunyai pemancar infra merah terletak di atas, yang juga menempatkan headphone jack, dan kamera pop-naik. Pada bahagian kiri, tiada apa dapat ditemui, manakala bahagian kanan pula terdapat butang pelaras kekuatan bunyi dan butang penghidup. Di bawah pula adanya port USB-C, dan slot kad sim, serta pembesar suara mono.

Dengan paparan skrin sebesar 6.67 inci berbanding 6.39 inci pada Mi 9T, dan 6.18 pada Poco F1, ia kelihatan begitu besar dan apabila memegangnya juga terasa lebih berat. Pada skrin terdapat pengimbas cap jari, yang pada saya terasa jauh lebih baik berbanding Mi 9T.

Ertinya, kadar kegagalannya untuk membaca cap jari dengan baik tidaklah sebanyak Mi 9T, cuma saya anggarkan buat masa ini pengimbas terpantas ialah dari Realme X2 Pro. Kedudukan pengimbas juga lebih tinggi, dan untuk diri saya sendiri, saya rasakan ia lebih selesa begini, tetapi saya faham jika ada yang tidak beberapa suka.

MIUI 11, Android 10

Poco F2 Pro dilancarkan bersama MIUI 11, tetapi dibina pada platform Android 10. Saya sudah lama menggemari UI ini, kecuali bloatwares yang disertakan sekali.

Dan bloatwares yang ada, adalah amat banyak, tidak termasuk aplikasi sedia terpasang seperti Mi Community dan beberapa aplikasi permainan (bukan aplikasi sistem).

Mujurlah ia boleh dibuang menggunakan ADB, tanpa perlu root. Cuma masih bersaki-baki beberapa komponen atau aplikasi yang pada saya tidak diperlukan, dan tidak juga saya akan gunakan, tidak dapat dibuang, contohnya aplikasi Google One.

Kalau ya pun, janganlah jadikan ia sebagai aplikasi sistem. Sekurang-kurangnya jika ia dipasang sebagai aplikasi biasa, pilihan terletak di tangan pengguna sama ada hendak terus menggunakannya atau tidak.

Selain dari isu ini, ada beberapa ciri pada MIUI 12 agak saya rindui, seperti global dark mode. Walaupun implimentasinya tidak sempurna, kerana ada beberapa bahagian pada aplikasi contohnya Facebook, menjadi putih keseluruhan di ruang notifikasi sehingga tidak nampak tulisannya, tetapi mode paparan gelap secara global ini membuatkan saya tidak rindu lagi kepada warna putih di mana-mana.

MIUI 12 dijangka akan dilepas kepada pengguna Poco F2 Pro menjelang akhir Jun, atau awal Julai nanti (second wave release).

Perangai ‘Pelik’ MIUI

Satu perkara yang saya kurang suka pada MIUI (for Poco) ialah ‘perangai peliknya’. Saya berikan anda contoh, saya gunakan Poco Launcher 2.0 pada awalnya, dan ia telah terintegrasi bersama Google Discover dengan baik sekali. Atas sebab itu, saya terus memakainya selama beberapa hari kerana pada saya, apabila saya seret (swipe) ke kanan dan keluar Google Discover, saya tidak perlukan launcher lain.

Tetapi setelah saya puas menggunakan ciri itu, secara tiba-tiba ia ‘hilang’, lalu digantikan dengan ‘App Vault’. Tidak terbayang kekecewaannya, kerana pada saya App Vault MIUI tidak berguna langsung (untuk diri saya).

Anda boleh lihat sendiri antara senarai aplikasi yang saya tinggalkan dalam sistem operasi. App Vault ialah salah satu dari aplikasi yang saya buang, tetapi entah bagaimana ia masih boleh ‘keluar’ dan menggantikan Google Discover (yang lebih baik). Atas kekecewaan itu, saya buang juga Poco Launcher dan gantikan pula ia dengan Nova Launcher.

Ini belum saya sebutkan pula mengenai kadar laras suara/bunyi yang tidak sama untuk negara berlainan. Katakanlah anda gunakan (region) Malaysia, kadar bunyinya agak perlahan meskipun anda laraskan pada tahap paling tinggi. Tetapi apabila anda tukarkan kepada United States, bunyinya akan meningkat dengan signifikan.

Bloatwares untuk setiap negara juga jika tak salah saya adalah berbeza. Anda boleh cuba sendiri kalau anda beli nanti.

Kamera

Jika ditanya kepada saya, perbezaan ketara antara peranti mercu/perdana dengan peranti bajet bukan terletak kepada chipset yang digunakan. Ianya adalah kamera. Katakanlah Pixel 5 dipasangkan Snapdragon 765G sekalipun, tetapi nanti kameranya juga yang dibicarakan orang.

Setakat percubaan saya, kamera Poco F2 Pro tidak mengecewakan. Kita sudah mengenali sejauhmana kualiti pemprosesan imej pada Xiaomi sama ada melalui ulasan di laman web, YouTube, mahupun DXOMark. Ia adalah kualiti yang diyakini, dan Poco F2 Pro tidak terkecuali.

Jika ada yang berkata kamera adalah titik kelemahan pada Poco F2 Pro (untuk mengurangkan harganya), maka saya bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree) dengan perkara itu. Mari kita lihat beberapa sampel yang sempat saya ambil.

Tangkapan gambar ‘Indoor’.
Tangkapan gambar ‘outdoor’.

Tangkapan dengan lensa sudut lebar.
Tangkapan dengan mod malam.

Berikut pula adalah rakaman pengujian kestabilan dan juga rakaman pengujian kecekapan fokus, ketepatan warna, dan kualiti bunyi.

Bateri

Baterinya berkapasiti 4700mAh dan menyokong pengecasan pantas sehingga 33W. Saya masih belum menggunakan adapter pengecasan pantas 33W yang tersedia dalam kotak.

Ya, pengecasannya adalah sama pantas dengan K30 Pro/Pro Zoom Edition.
Rujukan: blog.mi.com

Sehingga hari ini, saya masih gunakan adapter Tronsmart WC1T, yang mampu mengecas dengan kelajuan 18W, dan untuk Poco F2 Pro, saya anggarkan lebih kurang 1 jam 45 minit untuk penuh, dari 0%.

Setakat yang saya uji sendiri, dari 10% (seperti tangkap layar di atas) hingga 100% memerlukan masa sehingga 1 jam 32 minit. Bagi adapter asal pula, anda hanya perlukan masa selama 63 minit sahaja (1 jam 3 minit) untuk penuh, dari 0%. Anda jimat lebih dari 30 minit berbanding pengecas 18W.

Dengan kapasiti 4700mAh itu, adalah amat sukar untuk saya habiskannya dalam masa sehari. Anda boleh lihat sendiri pada tangkap layar di bawah, di mana masih berbaki 10%, dan SOT sudah mencecah 10 jam 32 minit. Saya banyak habiskan masa dengan aktiviti penstriman.

Sekiranya anda banyak bermain permainan, sudah tentulah akan lebih cepat berkurangan, tetapi anda tidak perlu bimbang kerana kadar pengurangan dari semasa ke semasa adalah sedikit. Pada telahan saya, pengoptimuman dari Xiaomi pada MIUI boleh dikatakan berjaya, untuk penghematan kuasa bateri, ditambah lagi dengan optimumnya penggunaan kuasa pada Snapdragon 865.

*Kemas kini: Pengecasan pantas 33W nampaknya hanya dapat dicapai sekiranya Poco F2 Pro ini berada dalam keadaan suhu rendah, di bawah 30°c.

Berikut antara ujian yang saya lakukan, dan apabila suhu peranti mencecah lebih dari 33°c, kelajuan pengecasan akan mula berkurangan dengan drastik. Jika anda buka penghawa dingin dan berusaha merendahkan suhu bilik sehingga lebih kurang 25°c, barulah pengecasan akan mula menjadi semakin laju.

Prestasi, Dan Konklusi

Perlukah lagi saya perkenalkan prestasi Snapdragon 865 kepada anda? Rasanya, pada ketika ini semua orang sudah tahu bagaimana ia mampu mengendalikan pelbagai permainan yang mempunyai grafik intensif.

Saya bukan pemain tegar (heavy gamer), tetapi dari beberapa permainan yang telah saya cuba seperti Dead Trigger 2, Asphalt 9, METAL MADNESS PvP, Left to Survive, dan Iron Blade: Medieval, tiada yang tidak dapat dikendalikan dengan baik oleh telefon ini.

Jadi, dimanakah ‘titik’ pengurangan ciri pada Poco F2 Pro, dalam usaha untuk mengurangkan harga peranti ini?

Apa yang ia tiada, ada pada peranti mercu yang lain?

  • Skrin dengan refresh rate 90Hz dan 120Hz.
  • Pengecasan pantas 50W ke atas.
  • Tiada pengecasan tanpa wayar.
  • Tiada OIS.
  • Pengimbas cap jari tidak sepantas peranti mercu seperti Realme X2 Pro (model tahun lepas).
  • Tiada pembesar suara stereo.

Tetapi, adakah dengan semua kekurangan di atas, saya berasa ‘tertinggal’? Tidak sama sekali, dan ini juga membuktikan bahawa anda tidak perlukan peranti yang terlalu mahal untuk berasa puas dengan teknologi semasa. Sekurang-kurangnya, beberapa keperluan telah dipenuhi iaitu SoC terpantas ketika ini, skrin penuh tanpa sebarang gangguan, kamera yang bagus, bateri yang tahan lama, dan ketersediaan untuk band 5G.

Pada ketika 5G sudah pun kukuh, dan pada waktu pelbagai peranti hadir dengan skrin beserta refresh rate sehingga 144Hz nanti, saya yakin anda sudah punyai modal lain untuk membeli peranti mercu lebih baik. Untuk saya, buat masa ini Poco F2 Pro telah memuaskan keperluan yang saya mahukan.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Cara Membuat Sambungan Manual Untuk Aplikasi Windows Surfshark

0

Surfshark boleh dikatakan ada semua ciri yang dimahukan oleh pengguna VPN. Terutamanya kepada pengguna termaju atau power users, terdapat ciri sambungan manual bagi mereka yang ingin bereksperimen.

Mari kita teliti bagaimana caranya. Tutorial kali ini kita cuba aplikasi untuk Windows dahulu. Berikut adalah log perubahan untuk aplikasi versi 2.6.5:

Surfshark 2.6.5, 2020-05-28
—————————-
* Do you use manual connection a lot? Great news – you can now
connect via OpenVPN(UDP) 1194 and OpenVPN(TCP) 1443 ports.
* Plus, we’ve updated the connection animation. Now you get an insight
into connection progress.
* Bug fixes? We’ve got plenty. Update your app to enjoy the improvements!

Berikut adalah bagaimana anda boleh lakukan sambungan manual pada aplikasi Windows.

  1. Buka aplikasi. Klik pada Login.

 

  1. Seterusnya, klik pada ‘Manual connection’.

  1. Kemudian, klik pada ‘Get credentials’,

  1. Anda akan dibawa ke laman Surfshark. Log masuk ke akaun anda, dan skrol ke bawah.

Anda perlu salin Hostname, Service username, dan Service password seperti yang ditunjukkan dalam paparan tangkap layar berikut. Anda boleh salin mana-mana Hostname yang anda suka, tetapi dalam tutorial ini saya tunjukkan Hostname Malaysia.

  1. Masukkan apa yang anda salin ke dalam kotak yang sepatutnya. Pilih protokol. Saya pilih OpenVPN UDP. Di bahagian port, anda boleh tukarkan ia kepada 1194 sepertimana yang tertulis dalam log perubahan di atas.

  1. Siap! Sekarang anda sudah boleh gunakan Surfshark untuk melayari internet dengan tenang.

Anda boleh langgan Surfshark pada pautan ini:

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Apa Itu 5G?

0

Kita tidak boleh menolak akhirnya perkembangan 5G. Suka atau sebaliknya, bersedia atau tidak, 5G akan tetap dibangunkan di sini, cuma yang membezakannya ialah tahap kecepatan sesebuah telco dalam mengadaptasi teknologi itu kepada apa yang mereka sedang tawarkan.

Melihat kepada perkembangan 4G di Malaysia, agak sukar untuk saya katakan bahawa 5G juga mungkin akan menerima ‘nasib yang sama’.

Rujuk: Malaysia’s 4G speed among slowest in the world, report shows

Tetapi sama ada anda memandang telco di Malaysia mampu atau tidak, ia akan tiba jua, cuma hanya kelajuan sahaja yang kita belum dapat jangkakan lagi, kerana apabila kita pandang semula kepada kelajuan 4G sekarang ditambah lagi dengan plan data berkuota, kita tidak dapat hendak letakkan harapan tinggi.

Itulah hakikatnya.

Tetapi, apa itu 5G?

Sepertimana namanya, ia adalah teknologi selular generasi ke lima. Ia adalah standard baru untuk wayarles selepas generasi rangkaian 1G, 2G, 3G, dan 4G.

Rangkaian 1G: Rangkaian selular pertama pada tahun 1980-an. Ia adalah sistem analog sepenuhnya sehingga pelancaran 2G.

Rangkaian 2G: Rangkaian ini menambah perkara dan penggunaan asas seperti mesej SMS (teknologi EDGE dan GPRS).

Rangkaian 3G: Mengembangkan penggunaan data 2G.

Rangkaian 4G LTE: Menawarkan internet mudah alih yang sangat pantas, dan menjadikan pelbagai aplikasi seperti rangkaian media sosial serta perkhidmatan penstriman dapat dijalankan pada telefon dan tablet.

5G: 5G menjanjikan kelajuan dan latensi lebih cepat yang dapat menjadikan internet mudah alih setanding dengan WiFi di rumah. Ia adalah rangkaian generasi baru yang direka untuk menghubungkan hampir semua orang dan semua perkara termasuk mesin, objek, dan peranti (IOT).

5G adalah berasaskan pada OFDM (Orthogonal frequency-division multiplexing), kaedah memodulasi isyarat digital di beberapa saluran yang berbeza untuk mengurangkan gangguan kepada rangkaian. 5G menggunakan ‘antaramuka udara’ 5G NR di samping OFDM dan juga menggunakan teknologi jalur lebar yang lebih luas seperti sub-6GHz dan mmWave.

Dengan mengembangkan penggunaan sumber spektrum, 5G akan dapat membawa jalur lebar yang lebih luas dari sub-3GHz yang digunakan dalam 4G hingga 100GHz dan seterusnya.

Rujukan: Qualcomm.

Kelajuan yang semakin meningkat dicapai sebahagiannya dengan menggunakan gelombang radio frekuensi lebih tinggi daripada rangkaian selular semasa.

Walau bagaimanapun, gelombang radio frekuensi tinggi mempunyai jarak lebih pendek daripada frekuensi digunakan oleh menara telefon bimbit sebelumnya, yang memerlukan sel lebih kecil. Oleh itu, untuk memastikan perkhidmatan yang luas, rangkaian 5G beroperasi pada tiga jalur frekuensi iaitu rendah, sederhana dan tinggi.

Rangkaian 5G akan terdiri daripada rangkaian 3 jenis sel yang berbeza, masing-masing memerlukan antena yang berbeza, memberikan kelajuan muat turun yang juga berbeza berbanding jarak dan kawasan perkhidmatan.

Rujukan: 5G Wikipedia.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Astrill VPN: VPN Premium Dengan Implimentasi WireGuard

0

Secara jujurnya, artikel ini bukan untuk anda. Ia adalah untuk rakyat dari negara lain di luar sana kerana bayaran bulanan untuk Astrill VPN ini boleh tahan tinggi juga, melainkan anda berkongsi kosnya dengan kawan-kawan.

Saya faham ramai yang inginkan VPN dengan kos rendah, tetapi ada harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan servis terbaik. Mereka yang menjalankan servis VPN juga adalah manusia seperti kita. Ada tanggungan, ada kos yang perlu dijelaskan setiap bulan.

Baca: Kenapa VPN Percuma Tidak Bagus? Ini Penjelasannya.

Dalam konteks Astrill VPN, servis ini ada menawarkan 7 hari percubaan secara percuma tanpa perlu mendaftar sebarang kad debit atau kredit untuk pembayaran. Jadi, anda boleh gunakan ia sepanjang tempoh itu untuk cuba lihat andainya servis ini sesuai untuk anda.

Paparan antaramuka aplikasi Astrill VPN adalah seperti berikut.

Ringkas, kecil, dan comel. Antara klien VPN paling kecil saya pernah cuba, dan tidak boleh dibesarkan pula. Namun ia menempatkan pelbagai ciri yang agak padat dan beberapa protokol terbaru seperti WireGuard dan OpenWeb dan StealthVPN. OpenWeb dan StealthVPN ialah protokol tersendiri (proprietary) yang dibangunkan oleh Astrill VPN bagi membantu pengguna melepasi sekatan-sekatan internet.

Dalam bahagian tetapannya sarat dengan pelbagai pilihan untuk diubahsuai mengikut citarasa anda. Saya sendiri ada membuat beberapa pengubahsuaian tetapan agar hasilnya menepati kehendak diri.

Pendek kata, walaupun saiznya kecil, ia padat dengan pilihan-pilihan menarik agar anda sukar untuk berasa jemu.

OpenWeb

Kedua-dua protokol ini dibangunkan sendiri oleh Astrill VPN.

OpenWeb ialah protokol berasaskan TCP dan dienkrip menggunakan beberapa lapis jenis enkripsi serta pengesahan. Ini adalah protokol tanpa sambungan internet, jadi anda boleh beralih antara pelayan dalam beberapa saat, tanpa menunggu perisian VPN menyambung semula.

OpenWeb sangat sukar untuk dikesan oleh DPI (Deep Packet Inspection). Trafik yang bergerak adalah seperti trafik pelayaran internet biasa. Ia juga dienkrip menggunakan AES-256.

StealthVPN

Diinpirasikan dari OpenVPN, ia melakukan penyamaran tambahan pada sambungan internet, menjadikan ia tidak dapat dikesan oleh sistem firewall automatik.

Protokol ini sangat stabil dan juga dienkrip menggunakan AES-256.

Pelayan Khusus Untuk Penstriman

Buat masa ini, saya hanya sempat mencuba beberapa pelayan, dan banyak diantaranya boleh menstrim kandungan di Netflix walaupun tidak dibuat secara khusus untuk tujuan itu.

Tetapi bagi setiap pelayan yang dilabel dengan ‘bintang’, ia merupakan pelayan yang serasi dengan aktiviti torrent.

Sekuriti

Saya telah mencuba pengesanan kebocoran IP/DNS pada beberapa laman, antaranya DNS Leak Test.

Setakat yang saya cuba itu, tiada sebarang kebocoran dapat dikesan. Cuma DNS yang digunakan oleh aplikasi kelihatan agak ‘berterabur’ sedikit.

Sokongan Sebelum/Selepas Jualan

Saya agak menyukai sistem tetingkap bual ini. Walaupun adakalanya agak lambat juga untuk staf menjawab soalan, tetapi belum pernah lagi tidak berjawab oleh sesiapa.

Paling penting, anda tidak akan disambut oleh bot, dan manusia sebenar yang akan terus melayan soalan anda. Ini memudahkan komunikasi dan mempercepatkan penyelesaian.

Astrill VPN mungkin bukan untuk semua orang, kerana bayaran untuk menggunakannya agak mahal juga berbanding servis yang saya gunakan sekarang iaitu Surfshark. Tetapi saya pasti ada antara kita yang akan suka dan terus melanggannya tanpa berfikir panjang.

Dari sudut aplikasi, ia menyokong pelbagai platform termasuklah Windows, macOS, Linux, iOS, Android, dan router. Anda pasti puas menyelenggara VPN ini pada semua peranti anda.

Sebut mengenai peranti, anda boleh gunakan klien Astrill VPN tanpa had peranti, yang bermaksud ia tidak mengehadkan sebarang jenis dan jumlah peranti yang boleh log masuk kepada aplikasi. Cuma, hanya lima aplikasi yang boleh digunakan secara serentak.

Oleh itu jika anda ingin berkongsi akaun, anda perlu buat sedikit peraturan agar tidak berlaku salah faham atau salah guna akaun di kemudian hari.

Sekiranya anda berminat, anda boleh buat akaun percubaan melalui pautan ini: Astrill VPN.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Kenapa VPN Percuma Tidak Bagus? Ini Penjelasannya

2

Bukan nak mengata, tetapi memang ramai orang kita yang bermentaliti ‘cheapskate’. Telefon pintar bukan untuk orang kurang akal. Telefon pintar masing-masing berharga lingkungan RM2000-3000, tetapi bila tiba bab aplikasi, masing-masing nak yang percuma atau cracked.

Samalah halnya dengan perkhidmatan/servis VPN. Selagi boleh nak cari yang laju, ada berpuluh pelayan, ada bermacam-macam ciri, boleh langkau apa-apa sekatan, tetapi semahu-mahunya mesti murah-semurah-murahnya atau paling bagus sekali PERCUMA.

There’s no such things as FREE LUNCH.

Ingat, apa jua produk yang percuma, anda adalah produknya. Anda adalah bayarannya.

Saya masih ingat, antara servis VPN bertapak di Malaysia yang gagal akibat mentaliti ingin benda percuma seperti ini ialah KnightVPN. Syarikat tersebut baru bertapak selama beberapa bulan, tetapi akhirnya terpaksa ditutup setelah bankrup kerana tidak lagi dapat bertahan.

Servis VPN tidak boleh dijadikan servis percuma.

Syarikat perlu menanggung kos pelayan, kos operasi, kos sewa pejabat, gaji pekerja, dan pelbagai utiliti serta kegunaan harian lain seperti kenderaan dalam usaha untuk menghidupkan servis terus kepada anda, penggunanya.

Apabila kos ini berada dalam julat yang tinggi, tidakkah anda nampak apabila ia boleh pula dibuat dan digunakan oleh anda secara percuma, ada ‘harga’ lain yang perlu dibayar.

Ia tidak semudah itu.

Apabila servis seperti ini percuma, sudah pasti akan terselit di balik aplikasinya akan sesuatu untuk menjana kewangan. Siapa pula yang nak tanggung segala macam kos di atas, jika anda sesedap rasa hanya tekan butang ‘ON’ dan gunakan sewenang-wenangnya tanpa perlu berfikir apa yang tersembunyi di belakang operasi aplikasi.

Antara Keburukan VPN Percuma

Dirujuk dari sebuah kertas kajian iaitu di sini, aplikasi/servis VPN percuma yang banyak terdapat di Google Play Store banyak darinya yang mempunyai ciri-ciri:

*18% darinya tidak membuat enkripsi data pun!
*38% menyuntik malware dan malvertising ke dalam peranti.
*84% membocorkan/meniriskan trafik pengguna.
*80% menggunakan permission yang agak ‘explicit’ untuk mendapatkan data peribadi/sulit pengguna seperti akaun-akaun dan mesej teks.
*75% menggunakan kaedah tracking libraries dari pihak ketiga.

Harga Sebenar Yang Perlu Dibayar

Tiada apa yang percuma selain makan kenduri yang dijemput ya para pembaca sekalian. Dengan berharap anda memuat turun sebuah aplikasi VPN, sebenarnya anda telah memasang sebuah alat penuai data yang sangat berkesan.

Contohnya dapat dilihat dari aplikasi Hola VPN yang telah menjual bandwidth pengguna mereka lalu mencipta pula VPN mereka sendiri, tanpa perlu berharap kepada mana-mana pelayan yang disewa! Namun aplikasi yang sama juga telah menjadi top free app di Google Play Store meskipun telah mendapat kecaman dari media di serata dunia, termasuklah omghackers.com.

Memang banyak perkara yang boleh dipertikaikan, namun apalah ertinya jika ingin diterangkan kepada pengguna yang hanya inginkan benda percuma dalam hidup.

Saranan Kami:

Gunakanlah servis berbayar yang lebih tinggi integritinya. Carilah syarikat yang mempunyai rekod trak yang bersih. Bukan tidak ada, bahkan banyak telah kami ulaskan seperti ExpressVPN, NordVPN, CyberGhost. Saya sendiri menggunakan Surfshark dalam urusan seharian. Gunakanlah servis dari yang pakar, yang betul-betul arif tentang VPN, yang tahu selok-belok menjaga pelayan, bukan hanya menyewa pelayan murah dan lembab semata-mata, kemudian dijual pula ‘servis’ tersebut kepada anda.

Kalau hendak gunakan VPN berharga RM30, jangan beli atau guna dari para peniaga hingusan, yang memberikan anda hanya sekadar config ovpn, dengan tujuan untuk ‘bypass speed dan quota’. Biasa dengar bukan?

Kalau hendak gunakan servis antara yang terbaik, tetapi dalam masa yang sama agak murah juga, gunakan servis-servis VPN yang telah kami ulas dalam laman ini. Biar kita bayar untuk integriti, bukan guna sesuatu yang percuma konon untuk berjimat tetapi apa yang kita dapat adalah pengkhianatan apabila data dituai dan dijual sewenangnya!

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Onyx Ace: TWS Dari Tronsmart Dengan Gaya AirPods

0

Baiklah, secara jujurnya kita kena akui sememangnya Apple telah banyak memberikan inspirasi kepada banyak syarikat untuk mengikut pelbagai perkara yang mereka lakukan, dari paparan antaramuka sistem operasi seperi iOS, hinggalah kepada reka bentuk produk.

Antara produk yang banyak kali ‘diciplak’ reka bentuknya ialah AirPods. Saya kurang pasti mengapa, kerana jika dilihat pada rupa tidaklah begitu futuristik ataupun canggih. Tetapi jika ini ialah apa yang diminati oleh pengguna, siapalah saya untuk menilai citarasa orang.

Tronsmart juga tidak ketinggalan dalam mengambil inspirasi ini dengan meletakkan rupa bentuk produk terbarunya seiras AirPods. Produk yang dimasuksudkan itu ialah Onyx Ace. Saya berpeluang mendapatkan warna hitam, yang sememangnya warna kegemaran saya.

Mari kita buka kotak dan lihat apa yang ada di dalamnya.

Apa yang ada dalam kotaknya?

1 Onyx Ace (sepasang).
1 bekas pengecas.
1 kabel pengecas USB-C.
1 kad waranti.
1 manual panduan pengguna.

Kualiti Bunyi

Sekali lagi dalam produk terbarunya ini, Onyx Ace menggunakan Cip Bluetooth Qualcomm dalam memberikan kualiti bunyi terbaik yang diharapkan oleh pengguna dengan dipadukan oleh codec aptX. Tiadalah guna kiranya berharap hanya pada rupa sahaja tetapi bunyi pula tidak seperti jangkaan sebelum belian.

Pada saya kualiti bunyinya dapat dinikmati, sekiranya ia dapat ‘disumbat’ dengan kemas dan lebih dalam, di dalam telinga.

Namun disebabkan reka bentuknya yang sebegini, ia hanya dapat masuk ‘sekadar di pinggiran’ telinga, tidak seperti adik-beradiknya yang lain seperti Onyx Neo, ataupun Spunky Beat.

Pun begitu jika anda inginkan TWS dengan reka bentuk mirip AirPods beserta kualiti bunyi yang bagus, Onyx Ace tidak akan mengecewakan anda.

Barangkali ia hanya bukan untuk saya kerana saya lebih menggemari reka bentuk yang ada pada Spunky Beat. Dengan silikon penutup telinga, ia menjanjikan bunyi yang lebih jitu dan bass yang padu.

Secara ringkasnya, bagi pengguna audiophile seperti saya, mungkin anda akan berpuas hati jika anda mendapatkan Spunky Beat mahupun Onyx Neo untuk mendengar muzik.

Bagi saya, Onyx Ace lebih sesuai buat mereka yang hendak menggunakannya untuk tujuan panggilan telefon yang lebih jelas, atau melayan lagu-lagu yang tidak begitu ‘jitu’ penggunaan alat muziknya.

Senarai main yang saya gunakan adalah seperti biasa, ada beberapa artis dari genre metal, dan ada juga dari genre hip-hop. Ini untuk saya dapatkan julat atau perbezaan antara frekuensi rendah, pertengahan dan tinggi.

Antara lagu-lagu yang saya dengarkan ialah:

Luniz – I Got 5 On It
Coolio – Gangsta’s Paradise
Floor 88 – Hutang
I Prevail – Scars
GAWNE – 708
Lio – I Wonder
Slipknot – Nero Forte

*Dan beberapa lagi lagu lain.

Butang Kawalan Sesentuh

Butang kawalan sesentuh berada pada kedua-dua belah TWS dan terletak di bahagian atas. Ia amat sensitif pada sentuhan, dan jika anda jenis orang yang suka mengubah kedudukan TWS di telinga, anda pasti akan tersentuh butang tersebut secara tidak sengaja.

Ia amat mudah digunakan, dengan perbezaan penggunaan adalah pada jumlah atau durasi sentuhan sahaja. Contohnya untuk mengaktifkan pembantu suara, anda perlu sentuh butang tersebut sebanyak tiga kali dengan cepat, atau untuk menjawab panggilan pula, sentuh ia sebanyak dua kali.

Jangkat Hayat Bateri

Setiap satu earbud mempunyai bateri berkapasiti 40mAh, manakala bekas pengecasnya pula berkapasiti 400mAh. Masing-masing melebihi kapasiti dari model sebelumnya iaitu Spunky Beat/Onyx Neo.

Tronsmart menjanjikan penggunaan selama 5 jam untuk tahap suara 50%. Sepanjang percubaan saya dengan tahap bunyi/suara melebihi 50%, saya dapati ia dapat digunakan hingga lebih dari 3 jam, dan dipanjangkan lagi dengan penggunaan bekas pengecas.

Konklusi

Onyx Ace ialah untuk mereka yang mementingkan gaya, serta lebih suka kepada reka bentuk seperti ini berbanding kebiasaan yang kita lihat. Secara keseluruhan, bunyinya memuaskan hati, cuma untuk dikatakan audionya adalah sesuai untuk para audiophile, mungkin tidaklah sampai ke tahap itu.

Saya faham tidak semua produk dibuat untuk satu golongan sahaja. Pada saya Onyx Ace dibuat untuk mereka yang inginkan AirPods tetapi dijual pada harga yang mampu milik.

Untuk anda yang meminati Onyx Ace, anda boleh membuat pembelian pada pautan di bawah:

Lazada:
Shopee:
Tronsmart Offical Website:https://www.tronsmart.com/

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Strim Torrent Bersama Rakan Dengan Come Over

0
Sticker Video Buffering, Streaming on Phone Icon

Tempoh PKP yang lama ini memaksa kita untuk menjadi kreatif dalam menghabiskan masa seharian di rumah. Antara perkara biasa yang kerap dilakukan sudah semestinya menonton video bersama keluarga.

Tetapo bagaimana jika kita ingin cuba menonton bersama rakan-rakan pula? Adakah apa-apa cara yang boleh digunakan untuk dapat bersama menonton video tanpa perlu hadir ke rumah masing-masing?

Ya, ada. Caranya ialah dengan menukar video yang telah disimpan kepada fail torrent melalui laman yang bernama ‘Come Over’.

Sebelum ini kami pernah berkongsikan cara untuk menonton strim dari Netflix menggunakan extension Netflix Party. Come Over pula berbeza apabila pengguna harus menjadikan fail video dari simpanan supaya ‘streamable’.

Setakat ini saya telah cuba menukar fail bersaiz lebih kurang 3GB, tetapi laman Come Over tidak dapat menukarnya dengan status ralat fail bersaiz terlalu besar.

Oleh itu saya cuba pula fail lain yang bersaiz lingkungan 900MB. Kali ini ralat yang keluar pula ialah fail tersebut tidak disokong secara natif dan perlukan kepada penukaran format (transcode).

Saya teruskan proses ‘validate’ dan menunggu selama beberapa minit. Berikut ialah tangkap layar dari apa yang saya cuba lakukan.

Malangnya ia mengambil masa yang terlalu lama. Disebabkan itu saya cuba mencari penyelesaiannya. Bila diteliti, Come Over menggunakan WebTorrent library, yang boleh menukar mana-mana pelayar kepada pelayan dan klien peer2peer.

Secara natifnya, WebTorrent hanya menyokong format .mp4, .m4v, dan .m4a secara penuh, manakala video berformat lain tetap juga disokong tetapi perlu ditukar terlebih dahulu formatnya.

Untuk mengelak dari proses penukaran yang memakan masa berjam-jam lamanya, saya pun cuba memilih salah satu video yang sedia ada dalam format mp4, dan seperti yang dijangka, tidak sampai beberapa minit pun prosesnya sudah selesai.

Bila dah siap, anda boleh kongsikan pautan video kepada rakan-rakan anda, dan boleh mula menonton bersama. Anda bertindak sebagai hos, manakala rakan anda pula adalah tetamu yang memeriahkan majlis.

Come Over menggunakan WebTorrent sebagai protokol perkongsian dan penstriman, oleh itu ia akan menggunakan banyak bandwidth anda. Jika anda melanggan pelan dengan data terhad, adalah digalakkan agar anda cuba langgan dahulu pelan data tanpa had bagi mengelakkan kes video tersangkut di separuh jalan.

Apa yang bagusnya, ia turut mempunyai ruangan bual, jadi anda bolehlah komen-komen mengenai filem atau drama yang ditonton bersama rakan anda.

Strim bersama rakan anda di sini: Come Over!

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Ubuntu Unity Dilahirkan Semula Sebagai Ubuntu Unity Remix 20.04

0

Saya masih ingat lagi pada ketika Ubuntu 11.04 dilancarkan suatu ketika dahulu, ia merupakan versi Ubuntu pertama yang memperkenalkan Unity kepada dunia.

Masih segar diingatan juga, saya berasa sangat tidak sukakan Unity kerana lebih menggemari Gnome 2 yang pada waktu itu perlahan-lahan cuba dimatikan oleh Canonical.

Atas sebab itulah saya amat membenci Unity, kerana pada saya paparan antaramuka Gnome 2 lebih serasi dengan jiwa saya. Tetapi dalam masa yang sama saya cuba memberikan Unity peluang bagi membuktikan kebergunaannya.

Dipendekkan cerita selepas beberapa versi berlalu, saya mula menyukai Unity pula dek kerana ‘work flow’ yang lebih lancar.

Malangnya ketika saya sudah dapat mencipta keserasian bersama Unity, Canonical sekali lagi mengambil keputusan drastik dengan menggugurkan Unity lalu menggantikannya kepada GNOME 3 pula.

Terus-terang, saya juga tidak menyukai GNOME 3 atas sebab paparan antaramukanya yang dirasakan begitu ‘menghina kepintaran’ saya disebabkan ia seringkali membuang ciri yang dimahukan oleh pengguna, dan dalam bahasa Inggeris-nya, paparan antaramuka GNOME 3 adalah ‘dumbed down’, tidak punyai banyak pilihan untuk mengubahsuai, dan juga ‘kaku’.

Kerana itu saya beralih kepada KDE Plasma, yang dipasang melalui distro Manjaro. KDE Plasma memberikan peluang kepada pengguna untuk mengubahsuai paparan antaramukanya kepada apa sahaja yang dapat digambarkan dalam minda.

Tetapi baru sahaja hendak terasa selesa, tiba-tiba saya terbaca berita di Forbes yang mengatakan bahawa terdapat distro baharu berasaskan Ubuntu yang menggunakan Unity7 sebagai persekitaran meja.

Ini adalah sesuatu yang tidak dapat saya lepaskan. Sekian lama saya menanti agar ada pembangun yang baik hati untuk menghidupkan semula Unity ke dalam Ubuntu, dan akhirnya hari itu telah tiba.

Betapa terperanjatnya saya apabila mengetahui bahawa pembangun bagi distro ini ialah seorang budak berusia 10 tahun.

Ya, 10 tahun.

Perkenalkan kepada semua, inilah dia Ubuntu Unity Remix 20.04.

Rudra B. Saraswat, individu yang bertanggungjawab membangunkan semula Ubuntu dalam persekitaran meja Unity menceritakan bahawa dia menggunakan versi 17.04 ketika berumur 8 tahun dan mula menyukai Unity7.

Tetapi seperti yang kita tahu, Unity7 dimansuhkan oleh Canonical, dan membuatkan Rudra berasa sedih lalu dia pun memulakan projek Ubuntu Unity Remix ini bagi memberikan nafas baru kepada Unity7.

Rudra berhasrat suatu hari nanti Ubuntu Unity Remix ini akan menjadi flavor rasmi dalam senarai pelbagai flavor Ubuntu yang lain. Disebabkan itu Rudra membina distro ini dari ‘stock base’ dan tiada sebarang PPA pihak ketiga dimasukkan. Lightdm pula telah digantikan dengan GDM3.

Jika anda berminat untuk mencuba, anda bolehlah muat turun ISO melalui pautan Mediafire ini:

unubuntu-20.04-desktop-amd64

Jika anda ingin turut serta dalam perbincangan mengenai distro ini pula, anda bolehlah sertai:

Telegram Channel: t.me/ubuntuunityannouncements
Group perbincangan Telegram: t.me/ubuntuunitydiscuss
Twitter: @ubuntu_unity

Views: 0

Iklan Newspaper Inline