Xiaomi Mi 9T: ‘Raja’ Ketahanan Bateri!

Mi 9T yang dibeli diperoleh bersama hadiah.

Assalamualaikum semua.

Berita baik, saya telah pun membeli Mi 9T dari Mi Store.
Apa yang kurang baik ialah pesanan saya di Shopee mengalami kegagalan kerana parcel tersebut ‘tersekat’ di Hong Kong, lalu terus hilang dari dapat dikesan dari radar. Kesabaran mula teruji, hati rasa disiat-siat.

Saya rasa ia berkemungkinan dicuri oleh orang-orang di sana. Tak mungkinlah ia hilang kerana disorok hantu atau bunian pula.

Tak mengapalah, hal itu boleh dilupakan. Tapi dek kerana ia berlaku, maka saya terpaksa pula menunggu sehingga Shopee Guarantee Period tamat barulah saya dapat tekan butang ‘Refund’ dengan aman tanpa gangguan.

Saya sudah menekannya terlebih awal dahulu, lebih kurang seminggu awal. Tetapi penjual iaitu xiaomiglobal.os pula menekan butang ‘dispute’ dengan begitu yakin. Perkara ini (dispute) berulang sebanyak dua kali, dan disebabkan itulah saya terlambat memiliki Mi 9T yang diidam-idamkan. Hati memang sakit, tapi saya perlu belajar untuk ‘move on’.

Mujurlah kali kedua Shopee melepaskan wang tersebut kepada saya dengan sebab kukuh iaitu nombor pengesanan yang tidak dikemas kini sehingga tamatnya tempoh jaminan Shopee. Terima kasih diucapkan buat Shopee yang sabar melayan panggilan saya. Maklum sajalah, saya terpaksa menunggu barang yang tidak kunjung tiba sehingga sebulan lamanya, masakan tidak saya boleh bersabar. Dah tentu membara juga di hati.

Sebaik saja wang dipulangkan, apa lagi, dengan pantas saya ‘cabut’ ke Mi Store berdekatan dan sambar sebuah Mi 9T dengan penuh rasa kesyukuran. Ewah, sudah macam hari perayaan pula rasanya. Varian yang saya beli adalah 6GB RAM/128GB ROM, berharga RM1399.

Jika anda berbajet rendah, anda boleh dapatkan varian 64GB ROM pada harga RM1199.

Shopee memang platform pembelian terbaik.

 

Saya pasti akan ada yang tertanya-tanya, Mi 9T Pro sudah mula menampakkan bayangnya di pasaran Malaysia, tetapi apakah sebab konkrit yang telah meyakinkan saya untuk membeli model Mi 9T?

Adakah saya tidak perlukan prestasi?
Adakah Mi 9T sudah ‘cukup’ untuk saya?

Di sini ingin saya tegaskan, meskipun saya bukan ‘gamer’ tegar, saya masih lagi bermain dengan beberapa permainan yang saya minati sejak dulu, contohnya:

  1. Shadowgun.
  2. Samurai Vengeance.
  3. Wild Blood.
  4. Riptide GP: Renegade.
  5. Kingdom Rush (semua siri, sebab semuanya telah pun saya beli).

Apakah persamaan antara kesemua permainan ini, selain dari ianya merupakan permainan premium (berbayar/perlu dibeli)?

Buka Kotak

Sebelum saya teruskan artikel dengan menjawab persoalan tersebut, eloklah kita buka kotak dahulu. Berikut saya muat naik gambar kotak beserta isi dalamnya iaitu satu kabel USB Type-C, satu 18W Adapter (pengecaj), satu hard case, satu SIM-ejector tool dan juga buku panduan pengguna.

Pakej yang ada dalam kotak. ‘Meh’..

Kalau anda lebih ‘berahi’ untuk menonton video buka kotak, nah, saya embed ia untuk anda dari YouTube.

Mana telefonnya?

Sudah tentulah saya dah keluarkan.

Paparan skrin Mi 9T yang sangat menawan.

Saya ingin memulakan bicara dengan memberitahu kepada anda perbezaan paling signifikan antara Mi 9T dan Mi 9T Pro adalah SoC, iaitu Mi 9T/K20 mengguna pakai Snapdragon 730 beserta Adreno 618, berlawanan dengan Mi 9T Pro/K20 Pro yang menggunakan Snapdragon 855 beserta Adreno 640.

Manakala bagi jumlah RAM dan kapasiti maksimum ROM untuk Mi 9T pula adalah kombinasi 6GB/128GB.

Selain itu, apakah lagi perkara yang berbeza antara keduanya?

Bagi Mi 9T, kameranya dapat merakam resolusi maksimum pada 4K dan 30fps, dan pada Mi 9T Pro rakaman maksimumnya ialah 4K 60fps serta dibantu laser auto focus. GPS pula adalah A-GPS berbanding dual-band A-GPS pada Mi 9T Pro, dan kelajuan pengecasan pula adalah 18W berbanding 27W.

Ada lagikah beza? Jawapannya tiada.

Oleh itu, siapakah yang sesuai menggunakan Mi 9T dan Mi 9T Pro?

Pada saya jika anda mendedikasikan seluruh hidup anda untuk menjadi seorang gamer, anda lebih sesuai beli Mi 9T Pro atas dasar ‘raw power’ yang dimiliki oleh chipsetnya. Saya faham setiap gamer inginkan paparan grafik paling maksimum, kuasa SoC paling tinggi, serta harga peranti paling murah.

Ehh.

Mi 9T Pro punyai semua ciri itu.

Siapa pula lebih sesuai guna Mi 9T? Mereka adalah dari golongan seperti saya. Menjawab persoalan di atas, kesemua permainan tersebut tidak memerlukan kuasa terhebat dari SoC untuk dapat dimainkan dengan cemerlang. Bukan sekadar baik ya, tetapi cemerlang.

Setiap permainan yang saya minati dari zaman HTC One X, contohnya Wild Blood mempunyai grafik yang ‘berat’ dan cantik, tetapi ianya telah lama dikeluarkan dan kini paparan grafiknya sudah pun cukup optimum untuk pemproses generasi baru meskipun dari kelas pertengahan seperti Snapdragon 730 ini.

Anda boleh berfikir secara waras dan logik, jika permainan tersebut dapat dimainkan pada peranti seperti HTC One X dengan spesifikasi lama, iaitu 1GB RAM, Nvidia Tegra 3, kenapa tidak pula dapat dimainkan pada peranti dengan spesifikasi terbaru bukan?

Adakah Snapdragon 730, Mampu Memuaskan Hati ‘Gamer’?

Jawapan pendek, tidak, jika kategori ‘gamer’ itu jatuh kepada ‘tegar’. Bererti mahukan segala yang terbaik, tertinggi, tercantik, terhebat, dan semua jenis ‘ter-ter’ yang lain.

Jawapan bertukar kepada ya, jika anda seperti saya. Hanya mainkan permainan yang sudah optimum pengekodan dan grafiknya, serta tidak menjadikan kepermainan sebagai kerjaya.

Selain itu, apakah ciri lain yang membuat saya jatuh hati kepada Mi 9T?

Ia ada kesemua ciri lain yang dimiliki oleh Mi 9T Pro, seperti skrin Super AMOLED.

Ehh, bagaimana saya begitu pasti? Sebenarnya saya juga tidaklah pasti secara 100%, kerana ia tidak diumumkan secara terang-terangan dan rasmi seperti versi Pro, tetapi berdasarkan kepada penjelasan dari thread Xiaomi di Reddit ini, saya yakin skrinnya adalah sama dengan Mi 9T Pro.

Skrinnya juga menyokong kandungan HDR sama ada di YouTube, Netflix dan video-video HDR yang anda muat turun. Memang terasa sangat puas apabila menonton.

Kemudian, ia juga ada Hi-Res audio. Pada saya ia bukan gimik semata-mata. Jika anda ada ‘audio gear’ dari siri yang disasarkan kepada golongan audiophile, anda pasti akan terasa perbezaannya.

Kalau pakai fon kepala murah, memang akan dengar bunyi seperti mendap, tetapi apabila beralih kepada fon kepala yang bagus, bunyinya akan kedengaran lebih ‘bersih’ dan terperinci.

Ciri paling penting yang menjadi kegemaran saya ialah penghematan kuasa baterinya. Untuk penggunaan ringan, kuasa bateri boleh mencecah dua hari, ‘selamba’. Manakala bagi penggunaan ‘berat’ pula, anda masih akan dapat menggunakannya hingga ke malam. Tidak perlu lagi bimbang soal hendak bawa powerbank ke mana-mana.

Setakat ini saya dapat menikmati kesemua aplikasi penstriman seperti Spotify, TIDAL, Netflix, dan YouTube tanpa memikirkan bila waktunya saya perlu kembalikan ia semula ke pangkuan pengecajnya. Inilah yang menjadi antara sebab utama saya memilih Mi 9T.

Snapdragon 730 mungkin bukan pemproses perdana, tetapi kualitinya adalah setara dengan apa yang pernah dipersembahkan pada pemproses perdana versi yang lepas. Saya amat mementingkan penggunaan kuasa bateri, oleh itu penghematan terbaik seperti ini adalah amat dialu-alukan. Atas kerana itulah tanpa ragu saya berani menobatkan ia sebagai ‘raja’ ketahanan bateri (untuk diri saya, untuk anda mungkin berbeza. Ymmv.).

Perkara ini bukan hanya saya sahaja yang ‘menikmatinya’. Anda boleh tonton video di bawah sebagai salah satu dari pelbagai ujian ketahanan bateri yang dibuat dan dimuat naik di YouTube.

Bagaimana dengan kameranya?

Saya tahu, ramai di antara anda yang dah lama lihat kualiti kamera bagi Mi 9T ini dari sumber-sumber yang lain. Saya tidak mahu membuang masa anda dengan pelbagai terma serta istilah yang memeningkan. Cukup sekadar saya kata, kualiti gambar yang diambil adalah sama bagus dengan versi Pro-nya.

Mi 9T mengimplimentasi sensor Sony IMX582, di mana sensor ini adalah serupa dengan IMX586, cuma ‘dibuang’ atau dikurangkan padanya satu ciri iaitu pilihan rakaman 4K 60fps (tanpa laser auto focus). Ini bagi merendahkan lagi kos pembikinannya, sekaligus Xiaomi/Redmi dapat menjual Mi 9T pada harga yang lebih murah.

Disebabkan itu juga, hasil gambar diambil amat memuaskan.
Berikut adalah beberapa keping sampel gambar untuk tatapan anda.

Mode potret.

 

Tangkapan awal pagi di Warung Bunian. Lebih kurang pukul 6:55 minit pagi.

 

Suasana dalam The Mines Shopping Mall.

 

Mines Cruise.

 

Wide Angle Lens.

Ini pula antara video yang sempat saya muat naik.

Satu lagi video untuk tontonan dan penilaian dari anda.

Konklusi

Terbaru, berlegar di sekitar laman-laman teknologi akan gambar tiris yang dipercayai sebagai hasil keputusan ujian penanda aras dari Geekbench untuk Snapdragon 865. Prestasinya menyamai Apple A11 Bionic, dan walaupun ini tidak menjadikan pemproses Snapdragon 855 sebagai ‘obsolete’ atau tidak lagi relevan, ia menyebabkan sasaran peranti terbaru saya mestilah menggunakan SoC ini.

Buat yang sudah pun beli mana-mana peranti dengan Snapdragon 855, teruskan pakai. Saya pula ingin cukupkan modal agar pada waktu peranti terbaru Xiaomi/Redmi yang dikuasakan dengan Snapdragon 865 ini nanti, dapatlah saya terus membelinya untuk diulas di sini.

Ciri akhir yang saya dapat fikirkan untuk Mi 9T ini sudah tentulah harganya. Benar, contoh katakanlah model Mi 9T Pro paling ‘murah’ iaitu dengan spesifikasinya yang paling rendah;

‘Cuma’ berbeza RM300 sahaja dengan model Mi 9T dengan spesifikasi paling tinggi – Contoh ya, sebab Mi 9T Pro masih belum keluar secara rasmi, jadi harganya tidak diketahui lagi. Ini cuma anggaran sahaja.

Ada sesetengah orang tidak kisah dengan nilai RM300 tersebut. Malah ada juga yang sanggup keluarkan beza hingga RM500 ke atas asalkan dapat apa yang dicita.

Tetapi saya suka memetik kata-kata dari seorang sahabat saya, iaitu dengan RM300 itu kita boleh pergi makan dengan ‘mewah’ di KFC/McD, atau makan di restoran yang terkenal seperti Homst Recipe, sambil menghirup sajian sup sirip ikan yu ‘Maharaja’, kemudian boleh jalan-jalan pusing bandar atau pekan, masuk keluar zoo, dan pulang dengan senyuman manis sambil memegang Mi 9T yang sudah sedia ada di tangan.

Saya sudah melakukan kesemuanya itu. Anda bila lagi? Selamat berfikir, dan selamat membeli.

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

1 Comment

Apa pendapat anda?

1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x