Produk dan Gajet Ulasan

Onyx Ace: TWS Dari Tronsmart Dengan Gaya AirPods

Baiklah, secara jujurnya kita kena akui sememangnya Apple telah banyak memberikan inspirasi kepada banyak syarikat untuk mengikut pelbagai perkara yang mereka lakukan, dari paparan antaramuka sistem operasi seperi iOS, hinggalah kepada reka bentuk produk.

Antara produk yang banyak kali ‘diciplak’ reka bentuknya ialah AirPods. Saya kurang pasti mengapa, kerana jika dilihat pada rupa tidaklah begitu futuristik ataupun canggih. Tetapi jika ini ialah apa yang diminati oleh pengguna, siapalah saya untuk menilai citarasa orang.

Tronsmart juga tidak ketinggalan dalam mengambil inspirasi ini dengan meletakkan rupa bentuk produk terbarunya seiras AirPods. Produk yang dimasuksudkan itu ialah Onyx Ace. Saya berpeluang mendapatkan warna hitam, yang sememangnya warna kegemaran saya.

Mari kita buka kotak dan lihat apa yang ada di dalamnya.

Apa yang ada dalam kotaknya?

1 Onyx Ace (sepasang).
1 bekas pengecas.
1 kabel pengecas USB-C.
1 kad waranti.
1 manual panduan pengguna.

Kualiti Bunyi

Sekali lagi dalam produk terbarunya ini, Onyx Ace menggunakan Cip Bluetooth Qualcomm dalam memberikan kualiti bunyi terbaik yang diharapkan oleh pengguna dengan dipadukan oleh codec aptX. Tiadalah guna kiranya berharap hanya pada rupa sahaja tetapi bunyi pula tidak seperti jangkaan sebelum belian.

Pada saya kualiti bunyinya dapat dinikmati, sekiranya ia dapat ‘disumbat’ dengan kemas dan lebih dalam, di dalam telinga.

Namun disebabkan reka bentuknya yang sebegini, ia hanya dapat masuk ‘sekadar di pinggiran’ telinga, tidak seperti adik-beradiknya yang lain seperti Onyx Neo, ataupun Spunky Beat.

Pun begitu jika anda inginkan TWS dengan reka bentuk mirip AirPods beserta kualiti bunyi yang bagus, Onyx Ace tidak akan mengecewakan anda.

Barangkali ia hanya bukan untuk saya kerana saya lebih menggemari reka bentuk yang ada pada Spunky Beat. Dengan silikon penutup telinga, ia menjanjikan bunyi yang lebih jitu dan bass yang padu.

Secara ringkasnya, bagi pengguna audiophile seperti saya, mungkin anda akan berpuas hati jika anda mendapatkan Spunky Beat mahupun Onyx Neo untuk mendengar muzik.

Bagi saya, Onyx Ace lebih sesuai buat mereka yang hendak menggunakannya untuk tujuan panggilan telefon yang lebih jelas, atau melayan lagu-lagu yang tidak begitu ‘jitu’ penggunaan alat muziknya.

Senarai main yang saya gunakan adalah seperti biasa, ada beberapa artis dari genre metal, dan ada juga dari genre hip-hop. Ini untuk saya dapatkan julat atau perbezaan antara frekuensi rendah, pertengahan dan tinggi.

Antara lagu-lagu yang saya dengarkan ialah:

Luniz – I Got 5 On It
Coolio – Gangsta’s Paradise
Floor 88 – Hutang
I Prevail – Scars
GAWNE – 708
Lio – I Wonder
Slipknot – Nero Forte

*Dan beberapa lagi lagu lain.

Butang Kawalan Sesentuh

Butang kawalan sesentuh berada pada kedua-dua belah TWS dan terletak di bahagian atas. Ia amat sensitif pada sentuhan, dan jika anda jenis orang yang suka mengubah kedudukan TWS di telinga, anda pasti akan tersentuh butang tersebut secara tidak sengaja.

Ia amat mudah digunakan, dengan perbezaan penggunaan adalah pada jumlah atau durasi sentuhan sahaja. Contohnya untuk mengaktifkan pembantu suara, anda perlu sentuh butang tersebut sebanyak tiga kali dengan cepat, atau untuk menjawab panggilan pula, sentuh ia sebanyak dua kali.

Jangkat Hayat Bateri

Setiap satu earbud mempunyai bateri berkapasiti 40mAh, manakala bekas pengecasnya pula berkapasiti 400mAh. Masing-masing melebihi kapasiti dari model sebelumnya iaitu Spunky Beat/Onyx Neo.

Tronsmart menjanjikan penggunaan selama 5 jam untuk tahap suara 50%. Sepanjang percubaan saya dengan tahap bunyi/suara melebihi 50%, saya dapati ia dapat digunakan hingga lebih dari 3 jam, dan dipanjangkan lagi dengan penggunaan bekas pengecas.

Konklusi

Onyx Ace ialah untuk mereka yang mementingkan gaya, serta lebih suka kepada reka bentuk seperti ini berbanding kebiasaan yang kita lihat. Secara keseluruhan, bunyinya memuaskan hati, cuma untuk dikatakan audionya adalah sesuai untuk para audiophile, mungkin tidaklah sampai ke tahap itu.

Saya faham tidak semua produk dibuat untuk satu golongan sahaja. Pada saya Onyx Ace dibuat untuk mereka yang inginkan AirPods tetapi dijual pada harga yang mampu milik.

Untuk anda yang meminati Onyx Ace, anda boleh membuat pembelian pada pautan di bawah:

Lazada:http://bit.ly/OnyxAce_Lazada
Shopee:http://bit.ly/OnyxAce_SP
Tronsmart Offical Website:https://www.tronsmart.com/

Arya Putra
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]
https://omghackers.com/