Utama Blog Laman 103

Cara Memasang Popcorn Time Pada Linux (Ubuntu, Arch, Zorin)

0

Penafian: Kami tidak menggalakkan cetak rompak, malah kami menggalakkan pembaca agar sentiasa membeli atau membayar untuk menikmati kandungan video yang dilindungi Akta Hak Cipta. Artikel adalah sekadar ulasan umum. Sebarang penggunaan kandungan laman adalah diluar tanggungan pihak omghackers.com.

Popcorn Time ialah aplikasi yang cuba merapatkan jurang penstriman antara pengguna biasa dan pengguna tegar dengan memudahkan tatacara-gunanya menjadi seakan-akan Netflix, tetapi menerusi medium torrent.

Pengguna tidak perlu lagi menunggu sehingga fail siap dimuat turun untuk menonton, sebaliknya terus sahaja menonton sebaik ia distrim, sama seperti Netflix dan YouTube.

Seperti aplikasi penstriman percuma lain, ini juga adalah aplikasi lanun. Maka risikonya ditanggung sendiri oleh pengguna, iaitu anda. Jika anda bersedia dengan apa sahaja dan tetap ingin menggunakannya, anda boleh teruskan membaca.

Bagi pengguna sistem operasi lain, pemasangan adalah mudah. Hanya perlu muat turun fail pemasang, klik dua kali, klik ‘Next-Next-Next’ sehingga ia selesai. Tetapi untuk Linux, tidak semua distro memudahkan penggunanya dengan memasukkan aplikasi seperti ini (lanun cetak rompak) ke dalam repo. Ada sesetengah sahaja boleh terus dicari dan dipasang melalui ‘Software Center’, contohnya Deepin.

Untuk pengguna Arch Linux dan derivatifnya seperti Manjaro, Anarchy, EndeavourOS, dan sebagainya lagi bolehlah pasang menerusi AUR.

Cuma selepas saya mencubanya beberapa hari lepas, saya dapati pautan sumber dari GitHub telah diturunkan atas tuntutan DMCA. Atas sebab itu, artikel ini hadir bagi berkongsi cara pemasangan pada distro Linux tidak kiralah distro apa yang anda gunakan.

Apa yang anda perlukan ialah:

1. Muat turun fail Popcorn Time di laman webnya: Popcorn Time.

Pada ketika artikel ini ditulis, versi terkini yang dilepaskan ialah 0.4.4.

2. Pasangkan dependencies untuk distro anda:

sudo apt update && sudo apt install libcanberra-gtk-module libgconf-2-4 libatomic1

Untuk Arch Linux, boleh pasangkan libcanberra. Disebabkan saya sedang gunakan Manjaro, saya kurang pasti apa lagi yang diperlukan oleh Arch kerana pada hemat saya, Manjaro sudah pun pasang keperluan-keperluan ini secara lalai atau default. Tetapi jika anda tidak berjaya memasangnya, saya pasti Terminal akan beritahu dependencies apa lagi yang tidak cukup.

3. Bila dah siap pasang dependencies, mari kita terus pasangkan Popcorn Time.

Cipta direktori baru di /opt:

sudo mkdir /opt/popcorntime

4. Navigasi ke folder Downloads:

cd ~/Downloads

5. Untuk Arch/Manjaro, pasang dahulu unzip:

sudo pacman -S unzip

6. Kemudian, ekstrak fail yang telah anda muat turun:

sudo unzip Popcorn-Time-0.4.4-linux64.zip -d /opt/popcorntime/

7. Setelah itu, cipta symbolic link kepada fail pelancar Popcorn Time. Symbolic link ini bolehlah diibaratkan ‘shortcut’ dalam Windows.

sudo ln -sf /opt/popcorntime/Popcorn-Time /usr/bin/Popcorn-Time

8. Buatkan pula desktop entry untuknya, supaya aplikasi Popcorn Time akan keluar pada menu.

Sunting menggunakan penyunting teks nano. Saya memang lebih menggemari nano kerana ianya noob proof.

sudo nano /usr/share/applications/popcorntime.desktop

Salin dan tampal baris ini ke dalam fail tersebut:

[Desktop Entry]
Version = 1.0
Type = Application
Terminal = false
Name = Popcorn Time
Exec = /usr/bin/Popcorn-Time
Icon = /opt/popcorntime/popcorn.png
Categories = Application;

Untuk menyimpan, anda gunakan gabungan kekunci Ctrl + O, dan untuk keluar pula gunakan kekunci Ctrl + X.
Mudah bukan?

9. Kita perlukan satu lagi perkara bagi melengkapkan pemasangan, iaitu ikon Popcorn Time yang betul supaya apabila dicari melalui menu, ia akan terpapar dengan baik.

sudo wget -O /opt/popcorntime/popcorn.png https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/d/df/Pctlogo.png

10. Selesai. Anda sudah boleh menggunakan Popcorn Time bagi menonton filem dan drama.

Kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan anda jika anda ingin melihat artikel seperti ini lagi di masa akan datang. Adios!

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

KeepSolid VPN Unlimited: Bagus Untuk Penstriman, Kecundang Bab Privasi

0

Dewasa ini terdapat banyak benar pilihan servis VPN dengan pelbagai ‘selling point’ masing-masing. Ada yang menumpukan kepada penstriman, ada yang menumpu kepada privasi dan sekuriti, dan tidak kurang juga yang mencuba untuk jadi kedua-duanya.

Jika diberi pilihan, dah tentulah saya sendiri akan memilih untuk dapatkan kedua-duanya. Tetapi apabila ada satu yang terkompromi, maka pilihan tepat semestinya ke arah sekuriti serta privasi berbanding dapat membuat perkara lain.

Saya mempunyai kesempatan untuk mencuba sebuah servis VPN yang telah menempa namanya dalam beberapa laman web dengan niche privasi. Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk mencuba apatah lagi mengulas mengenainya, tetapi orang kata ‘kalau dah jodoh’.

Paparan Antaramuka Pengguna

Di bawah ini ialah paparan antaramuka aplikasi KeepSolid VPN Unlimited pada Windows 10.

Oh ya, jangan tak tahu, dalam Arch Linux juga seperti inilah jua paparan antaramukanya. Dari sudut ini, saya boleh berikan 10/10 markah kerana terdapat banyak servis di luar sana yang masih melayan sistem operasi Linux seperti kelas kedua, dengan hanya membekalkan paparan antaramuka baris perintah (CLI).

Protokol

Antara ‘selling point’ KeepSolid ini ialah ia menawarkan protokol terkini yang sedang meningkat popularitinya iaitu WireGuard. Secara asasnya, WireGuard merupakan protokol yang lebih baik dari segi prestasi dan kualiti enkripsi.

Ini ialah sesuatu yang amat dialu-alukan.

Variasi Pelayan

Sepertimana PrivateVPN dan CyberGhost, KeepSolid juga cuba memisahkan pelayan-pelayannya kepada beberapa kategori untuk mempermudahkan pengguna memilih. Pilihan terbahagi kepada pelayan torrent dan penstriman.

Saya kerap menukar-nukar pelayan penstriman bagi menguji prestasinya. Apa yang boleh saya katakan, masih terlalu awal untuk terus bergantung kepada WireGuard kerana ada kalanya kelajuan yang diperoleh selepas bersambung menggunakan protokol tersebut adalah agak perlahan.

Ini belum disebut tentang klien untuk Linux yang langsung tidak mempunyai protokol tersebut.

Sekuriti

Besar harapan saya agar VPN ini dapat memenuhi sekurang-kurangnya pada sudut sekuriti.

Oleh itu percubaan pun dibuat, dan ternyata dalam bab sekuriti ia memenuhi ruang tanda pada kotaknya. Saya cuba memeriksa sekiranya terdapat kebocoran DNS, dan hasilnya memuaskan hati. Tiada sebarang kebocoran yang dapat mendedahkan alamat IP.

Bidang Kuasa

Tetapi dalam banyak perkara, KeepSolid nampaknya gagal soal privasi.

Pertamanya, ia mempunyai pejabat dan beroperasi secara sah di Amerika Syarikat (AS). Sepertimana yang kita tahu, AS ialah negara pengasas Perikatan Perisikan Antarabangsa 14 Eyes. Setakat yang saya cari, sememangnya belum ada lagi rekod buruk untuk KeepSolid, akan tetapi saya telah mengesan beberapa kelemahan dari segi sistem yang mereka jalankan.

Mereka mengenakan had peranti untuk pelan-pelan yang ada. Sebagai contoh, untuk pelan terendah, bilangan peranti maksimum yang boleh digunakan ialah 5 buah sahaja. Sekiranya anda telah mencapai tahap maksimum peranti, anda hanya boleh membuang peranti yang tidak diingini selepas 7 hari.

Malangnya sistem ini memerlukan KeepSolid untuk membuat log kepada peranti pengguna.

Walaupun mereka tidak menyimpan maklumat IP, akan tetapi mereka mempunyai sesuatu yang dipanggil sebagai ‘unique identifier‘. Dengan unique identifier ini, pertamanya mereka akan berjaya mengehadkan jumlah peranti mengikut pelan yang dipilih. Tetapi ia juga akan membolehkan KeepSolid untuk menghalakan terus identiti pengguna secara tepat.

Ini berlaku sendiri kepada diri saya apabila saya cuba untuk mendaftar akaun percubaan baharu bagi menggantikan akaun lain yang saya pinjam awalnya dari seorang kawan. Selepas berjaya mendaftar dan mendapatkan ID pengguna, tempoh percubaan saya tamat serta-merta walaupun masih belum digunakan lagi.

Apabila saya cuba mendapatkan informasi tentang apa sebenarnya yang berlaku, staf KeepSolid mengatakan bahawa saya sudah pun mempunyai akaun dengan mereka sebelum ini. Apabila diteliti rupanya mereka telah menyimpan maklumat terperinci mengenai laptop yang saya sedang gunakan.

Satu-satunya cara untuk ‘menghilangkan’ maklumat tersebut mungkin adalah melalui ‘format’ laptop ini. Itu pun saya belum pasti sekiranya unique identifier tersebut akan berubah.

Atas sebab inilah, saya berasa amat berat untuk mengesyorkan KeepSolid jika anda mementingkan soal provasi.

Konklusi

Dari segi aplikasi, paparan antaramuka, kesemuanya seakan sudah matang. Bayangkanlah, untuk Arch Linux/Manjaro pun aplikasinya sudah mempunyai GUI, sama seperti TorGuard.

Tetapi apabila tiba bab privasi, saya rasa KeepSolid sudah pun kecundang tanpa dapat diundang.

Bukan sahaja mereka beroperasi dari negara yang mengasaskan 14 Eyes, bahkan mereka juga menyimpan ID unik bagi setiap peranti yang digunakan oleh pelanggan hanya kerana mereka ingin mengehadkan jumlah peranti. Ini menyebabkan identiti pelanggan boleh ditala dengan tepat, menjadikan VPN ini tidak sesuai sama sekali untuk tujuan perlindungan identiti.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Manjaro 20.0 Lysia KDE: Arch Linux Yang Dipermudahkan

0

Setelah beberapa lama bergelumang dengan Ubuntu dan Arch Linux, saya mula terasa ingin mencuba sesuatu yang baru. Dalam dunia Linux, semua perkara boleh jadi benda baru meskipun yang berbeza adalah dari cara pengurusan pakej, pemasangan, atau pun dari segi rilisan.

Begitulah jua apa yang boleh diungkapkan tentang Manjaro.

Nyatanya ini bukan pertembungan kali pertama antara saya dengan Manjaro. Saya menggunakan Manjaro seawal versi 0.8.1, dan ketika itu Manjaro boleh dikatakan agak baru bertapak. Tetapi pada waktu ini saya kembali mencubanya kerana niat awal ingin melihat sejauhmana perkembangan distro ini.

Manjaro ialah sistem operasi berasaskan Arch Linux yang mengambil beberapa falsafah serta cara pengurusan pakej namun dengan haluan sedikit berbeza. Ia masih mengekalkan Model Pembangunan ‘Rolling Release’, iaitu jika kita ambil contoh Ubuntu, untuk setiap selang beberapa bulan, ia akan digantikan dengan versi baru.

‘Rolling Release’ pula mengambil pendekatan untuk teras sistem yang sentiasa dikemas kini, dinaik taraf kepada versi terkini tanpa perlu diganti dengan sistem operasi baru.

Akan tetapi berbanding dengan Arch Linux pula, walaupun ia berasaskan sistem dan model pembangunan sistem operasi itu, Manjaro menggunakan repository sendiri bagi memastikan kestabilan dan kebolehgunaan/kebolehpercayaan yang berpanjangan.

Ini juga bererti kemas kini bagi pakej mungkin memakan masa lebih sedikit berbanding Arch Linux. Setiap perisian perlu melalui ujian oleh pembangun dan sekiranya perlu ia akan ditampal (patched) terlebih dahulu sebelum dilepaskan kepada pengguna.

Apa yang masih sama dipegang oleh keduanya hanyalah Arch User Repository (AUR).

Tetapi sebut mengenai AUR pula, Manjaro mempunyai pengurus pakej yang dikenali sebagai Pamac. Ia adalah pengurus berbentuk GUI, dan apa yang istimewanya adalah ia turut menyertakan sokongan terhadap AUR hanya dengan satu suis. Cukup sekadar anda alihkan ia kepada aktif, AUR akan terus boleh digunakan.

Pamac mungkin nampak seperti ringkas dari segi UI, tetapi ia menempatkan kesemua yang bagus ke dalam satu aplikasi. Itulah dia pengurus pakej/perisian, itulah dia pengemaskini sistem operasi, dan itu jugalah pengurus AUR. Tak perlu lagi anda tercari-cari untuk pemasangan. Hanya buka, klik, dan tunggu sehingga siap.

Oh ya, tidak lupa juga Manjaro kali ini menyediakan sokongan untuk Snap dan Flatpak dalam Pamac. Anda boleh pilih yang mana satu untuk diaktifkan, atau kedua-duanya sekali. Ini menjadikan pemilihan pakej dalam Manjaro lebih luas dan pelbagai, tidak lagi terhad pada satu sumber sahaja.

KDE Plasma

Apa yang boleh saya katakan mengenai persekitaran meja ini ialah ia merupakan edisi KDE Plasma yang berkuasa, matang, dan mempunyai pelbagai ruang untuk diubahsuai oleh pengguna.

Anda boleh jadikan paparan antaramukanya tampak seperti Windows 10, bahkan boleh juga menukar ia seakan kelihatan seperti macOS. Penukaran tema dan reka bentuknya juga lebih mudah, kerana anda boleh cari pelbagai jenis tema bagi menepati kehendak anda hanya melalui tetapan.

Inilah satu-satunya kelebihan KDE Plasma yang tidak terdapat pada persekitaran meja yang lain. Tidak lupa juga, ia amat ringan pada sumber sistem, tidak membebankan, dan mempunyai prestasi yang sangat baik. Atas kerana itulah saya memilih KDE Plasma pada kali ini, apabila hati sudah tertarik dan minda ada pelbagai idea untuk mengubahsuainya nanti.

Pendek kata, semua ciri yang anda suka, yang ada pada Arch Linux, ada pula pada Manjaro ini, dan paling penting, kesemuanya dipermudahkan.

Mungkin saya akan kembali ke Arch Linux, mungkin juga tidak, tambahan pula KDE Plasma yang digarap oleh pembangun Manjaro ini mempunyai tema yang sangat bagus, sekata, dan seragam.

Anda bolehlah mencubanya sendiri dengan memuat turun ISO di pautan ini: Manjaro Download.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Cara Menjadikan Keseluruhan Ubuntu 20.04 LTS Menggunakan Tema Gelap

0

Betul, Ubuntu 20.04 mempunyai pilihan tema gelap. Tetapi jika anda sudah menggunakannya, anda tahu bahawa bukan semua paparan antaramuka GNOME Shell mengikut tema tersebut.

Contohnya kalendar, menu, ianya masih menggunakan warna putih berbanding kelabu gelap. Ini membuatkan persekitaran desktop kelihatan tidak seragam dan menyakitkan mata.

Bagaimanapun, kita boleh mengubahnya. Apa yang diperlukan hanyalah beberapa tools yang boleh membantu kita menukar keseluruhan skema warna menjadi gelap, sepertimana tema yang dipilih.

Anda perlu pasangkan:

1. GNOME Shell Extensions
2. GNOME Tweaks

Buka Terminal, dan masukkan perintah ini:

sudo apt install gnome-shell-extensions

sudo apt install gnome-tweaks

Selepas memang GNOME Shell Extensions ini, anda akan mendapat pelbagai extension lain yang mungkin anda tidak perlukan. Tetapi salah satunya ialah User Themes, sesuatu yang kita harus manipulasi untuk menukar keseluruhan paparan antaramuka menjadi gelap.

Buka aplikasi GNOME Extensions, kemudian aktifkan ‘User Themes’.

Seterusnya, anda perlu log keluar dan log masuk semula untuk benar-benar mengaktifkan User Themes tersebut, atau boleh saja anda gunakan kekunci Alt + F2, dan masukkan ‘r’ lalu tekan Enter untuk memulai semula GNOME Shell.

Setelah itu, anda perlu buka aplikasi GNOME Tweaks, hala ke Appearance – Shell – pilih ‘Yaru Dark’ dari senarai yang ada.

Selesai. Sekarang paparan antaramuka GNOME Shell sudah pun gelap sepenuhnya. Anda tidak perlu berasa rimas lagi dengan paparan yang tidak seragam.

Sekurang-kurangnya, dari aplikasi membawa kepada UI, semuanya sudah pun gelap, walaupun bukan ‘pitch black’ seperti yang dimahukan sesetengah orang.

Apa pendapat anda? Adakah anda pengguna tema gelap ini?
Diharapkan agar artikel ini memberikan manfaat kepada anda terutamanya yang bercadang hendak gunakan Ubuntu 20.04 sehingga tamat sokongan terhadapnya.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

10 Perkara Perlu Dilakukan Selepas Memasang Ubuntu 20.04 LTS

0

Ubuntu 20.04 LTS dengan kod nama ‘Focal Fossa’ ialah versi Long Term Support terbaru dari Ubuntu. Membawakan pelbagai pembaharuan, ia dilihat sebagai antara versi LTS terbaik yang pernah diterbitkan oleh Canonical.

Jika anda antara pengguna yang sudah selesai memasang Ubuntu 20.04 dan tertanya-tanya apakah antara perkara yang boleh dilakukan sebaik pertama kali boot ke desktop, ini ialah beberapa perkara yang saya sendiri buat.

Anda boleh ikut perkongsian panduan ini sekiranya masih ada yang belum dilakukan lagi. Saya memasang Ubuntu ini dengan pemasangan minimal, oleh itu mungkin ada beberapa perkara yang lebih terpaksa saya buat. Ayuh kita ke perkara pertama.

1. Kemas Kini Sistem Operasi

Ya, ia sememangnya sistem operasi yang baru sahaja dilepaskan, tetapi bukan bererti tiada sebarang kemas kini diberikan. Ubuntu 20.04 mempunyai meter kesegaran sebanyak 100%, dan untuk tapak sistem operasi nampaknya sudah pun ada kemas kini baginya.

Kemungkinan untuk Software Updater keluar secara automatik adalah tinggi, tetapi jika ia tidak keluar, anda boleh klik butang ‘Show Applications’ untuk menggunakannya.

2. Nyahaktif Title Bar Pada Firefox

Firefox mempunyai paparan antaramuka yang sudah cukup baik. Akan tetapi ‘Title Bar’ yang ada pada bahagian atasnya sangatlah mengganggu terutama kepada mereka yang menggunakan monitor kecil seperti laptop.

Anda boleh nyahaktif dengan mudah melalui Menu – Customize – dan buang tanda centang pada kotak Title Bar.

3. Kecilkan Saiz Dock

Saiz Dock lalai (default) bagi pelancar aplikasi Ubuntu ialah 48. Anda boleh lihat pada paparan tangkap layar berikut bagaimana saiznya ketika mula-mula boot ke desktop.

Ianya sangat besar dan pada saya kurang sesuai dilihat sebagai sesuatu yang terbaik dalam menggambarkan Ubuntu kepada pengguna ‘luar’. Jadi saya kecilkan ia kepada 32. Anda boleh kecilkan mengikut kemahuan anda sendiri.

4. Cuba Dark Mode/Theme

Jika dilihat pada tangkap layar di atas, terdapat tema baharu pada pilihan yang diberikan. Saya menggemari tema gelap tersebut. Ia bukan tema lalai, tetapi tidak susah pun untuk menukarkannya.

Anda boleh lihat bagaimana Nautilis/Files kelihatan setelah tema ditukar. Malangnya tema gelap ini tidak menukar paparan antaramuka GNOME Shell menjadi gelap juga.

5. Tukar Mirror

Jika anda rasakan kelajuan muat turun bagi pemasangan aplikasi atau kemas kini tidak beberapa pantas, anda boleh menukar ‘mirror’ bagi memastikan ia sentiasa yang paling hampir dengan lokasi anda dan paling laju.

Anda boleh lakukannya dengan membuka Software & Updates – Other… – Select Best Server.

6. Pasang Codec Ekstra

Sayangnya, kerana prinsip menyokong sumber terbuka, bererti Ubuntu masih lagi tidak memasang beberapa codec proprietary yang diperlukan oleh sistem. Untuk itu, anda perlu memasangnya sendiri. Mujurlah tidak sukar bagi pemula, walaupun terpaksa juga gunakan Terminal.

Bukalah Terminal, dan masukkan perintah ini:

sudo apt install ubuntu-restricted-extras

Apabila sampai kepada konfigurasi font (rujuk gambar di bawah), gunakan papan kekunci untuk halakan ke perkataan <Ok> itu. Tekan kekunci Enter.

Sama juga seperti ini, gunakan papan kekunci untuk halakan ke perkataan <Yes> dan tekan kekunci Enter.

7. Aktifkan Minimize-On-Click

Dalam banyak perkara, saya masih kurang faham kenapa ciri ini tidak dimasukkan secara natif ke dalam Ubuntu. Sudah bertahun lamanya, Ubuntu menggunakan pelancar aplikasi/Dock tetapi pihak pembangun tidak pernah memandang ia sebagai ciri yang diperlukan.

Mujurlah juga tidak susah untuk aktifkannya, tetapi sekali lagi kita perlu lancarkan Terminal. Gunakan perintah berikut untuk aktifkan ia:

gsettings set org.gnome.shell.extensions.dash-to-dock click-action 'minimize'

8. Pasang GNOME Tweaks

GNOME Tweaks ialah aplikasi kecil yang berfungsi untuk membantu pengguna mengubah beberapa fungsi yang ada pada GNOME Shell dan juga paparan antaramukanya. Anda boleh pasang GNOME Tweaks dengan menekan pautan di bawah:

GNOME Tweaks

9. Pasangkan Integrasi Gnome Shell Extension

Apalah ertinya menggunakan Gnome Shell tanpa memanfaatkan pula Gnome Shell Extension. Dengan adanya pelbagai extension ini, anda akan dapat mengubah paparan GNOME menjadi rupa bentuk atau ciri yang anda mahu.

Untuk itu, gunakan perintah ini bagi memasangnya:

sudo apt install chrome-gnome-shell

Jangan lupa, pasangkan juga extension bagi pelayar web Chrome/Chromium iaitu GNOME Shell Integration. Untuk Firefox, anda boleh pasangkan di sini: Firefox GNOME Shell integration.

10. Pasang Aplikasi Lain Yang Diperlukan

Ada banyak aplikasi lain yang boleh dipasangkan pada Ubuntu bagi melengkapkan lagi sistem operasi. Antara yang boleh dicadangkan, dan juga yang saya sendiri gunakan ialah:

1. SMPlayer (pemain media/video).
2. XnView MP (pemapar gambar).
3. OpenOffice (suit pejabat).
4. GIMP (aplikasi penyunting gambar).
5. Guake Terminal (terminal alternatif).

Sekian sahaja perkongsian kali ini. Jangan lupa kongsikan artikel ini kepada rakan-rakan anda!

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Aplikasi Zoom Dan Semua Skandalnya: Berhentilah Dari Menggunakan Zoom!

0

Ada yang berkata, ‘serangan’ ke atas aplikasi Zoom adalah kerana untuk menjatuhkan ia, disebabkan ia dari China.

Meskipun sememangnya ia dibangunkan di sana, tetapi jika dilihat pada semua kerentanan dan kebobrokan (skandalnya), tidak timbul isu ini.

Sama sahaja jika ia dibangunkan oleh Microsoft, Apple, atau Google sekalipun, jika ada isu maka para penulis dari laman teknologi tetap akan bidas.

Lagipun, terdapat banyak lagi alternatif kepada Zoom yang lebih baik. Mengapa masih nak gunakan ia, di saat ia dipenuhi isu berkaitan sekuriti dan privasi?

Dalam perihal Zoom, eksekutif tertinggi mereka disaman oleh pelabur sendiri kerana menipu dalam hal enkripsi aplikasi, menyembunyikan isu-isu sekuriti dan juga menyembunyikan amalan perkongsian data.

Penipuan Berkaitan Servis

Dalam catatan mereka Zoom menyatakan bahawa enkripsi tersedia untuk pengehos mengadakan mesyuarat dengan selamat. Tetapi tidak lama kemudian seorang jurucakap Zoom mendedahkan bahawa tiada enkripsi tersedia untuk sebarang persidangan dalam aplikasi Zoom.

Enkripsi video yang digunakan oleh Zoom hanyalah enkripsi standard TLS yang biasa digunakan oleh laman web dengan sambungan HTTPS.

Tahap enkripsi ini hanya akan melindungi data dalam transit seperti pada WiFi awam atau pada ISP anda, tetapi ia tidak akan menyekat Zoom atau pihak ketiga untuk membuat transkripsi atau pun mendengar perbualan video.

Apabila mereka sudah memperolehi video pengguna, mereka dapat membuat apa sahaja yang mereka mahu.

Penggunaan SDK Facebook

Zoom sudah lama menggunakan Software Development Kit dari Facebook untuk membangunkan aplikasi mobil mereka. Ia adalah salah satu cara bagaimana Facebook boleh mencuri maklumat peribadi dari pengguna meskipun mereka tidak pernah memasang aplikasi Facebook.

Setiap kali pengguna melancarkan aplikasi Zoom, ia akan menghantar ID pengiklan unik kepada Facebook, zon masa, dan bandar di mana anda berada, model peranti, serta telco yang anda gunakan.

Dalam polisi privasi Zoom dinyatakan bahawa terdapat servis dari pihak ketiga yang mengumpul maklumat berkenaan, tetapi tidak pula dinyatakan ia dari Facebook.

Ini bercanggahan dengan terma Facebook sendiri yang mana memerlukan pembangun untuk menyatakan kepada pengguna bahawa Facebook mempunyai akses terhadap data mereka.

Secara teknikalnya, Zoom mengendalikan hal-hal berkaitan privasi pengguna dengan cara yang lebih teruk dari Facebook itu sendiri.

Selepas dari itu, Zoom membuang SDK Facebook dari aplikasi mereka, dan berpura-pura menyatakan mereka tidak tahu menahu mengenai ‘perbuatan’ Facebook mengumpulkan data-data tersebut.

Kerentanan Aplikasi

Selain dari masalah privasi, Zoom juga hadir dengan pelbagai kerentanan yang membimbangkan. Bekas penggodam NSA mendapati aplikasi Zoom mempunyai ralat yang membenarkan penggodam mengambil alih mikrofon dan webcam pada Mac.

Tidak lupa juga ralat yang membolehkan penggodam mencuri kata laluan dalam Windows, serta pelbagai lagi masalah pencerobohan yang menunjukkan beberapa orang penggodam memapar perkataan dan gambar tidak senonoh di skrin.

Zoom juga pernah memasang pelayan web tersembunyi dalam Mac pengguna yang membolehkan laman web untuk menambah pengguna terjangkit secara automatik kepada panggilan video tanpa kebenaran mereka.

Dalam informasi terbaru dari sumber iaitu BleepingComputer, ada sebilangan penggodam yang berjaya mencuri beribu maklumat akaun pengguna Zoom dan menjualnya dengan harga yang murah di dark web. Sesetengah yang lain pula memberikannya secara percuma untuk membina rangkaian dan reputasi di kalangan penjenayah siber.

Setakat ini sahaja lebih dari 500,000 akaun telah terjual di dark web dan forum-forum.
Para penggodam ini menggunakan kaedah lama iaitu ‘Credential Stuffing’, di mana mereka membuat satu bot khas untuk log masuk akaun mangsa dengan cara mencampur aduk kata nama pengguna dan kata laluan yang sudah lama bocor di dark web.

Seterusnya mana-mana perincian log masuk yang berjaya akan dikompilasikan dalam satu senarai, dan senarai inilah yang mereka jual. Firma perisikan keselamatan siber, Cyble, berjaya membeli lebih kurang 530,000 akaun dengan harga $0.0020 setiap satu. Perincian akaun termasuk alamat emel, kata laluan, URL menyuarat peribadi dan HostKey.

Konklusi

Jika anda masih menggunakan Zoom, fikirkan semula tentang hidup anda. Apakah anda rela korbankan privasi dan data peribadi semata-mata kerana anda enggan untuk belajar menggunakan aplikasi lain?

Tidak berbaloi sama sekali.

Berhentilah dari terus menerus menggunakan Zoom. Penggunaan aplikasi seperti ini tidak lain tidak bukan adalah satu langkah ke belakang, yang tidak akan memberikan faedah kepada sesiapa melainkan pihak pembangun Zoom sahaja. Banyak lagi aplikasi lain yang jauh lebih selamat digunakan dan kurang isu privasi untuk tujuan panggilan video.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Deepin 20 Beta Dilepaskan: Muat Turun ISO Di Sini

0

Kalau nak merasa pakai macOS, kena beli Mac/MacBook. Kalau nak pasang di peranti lain, terpaksalah pakai cara Hackintosh.

Tapi kalau anda nak merasa OS yang digunakan oleh Matebook (Huawei), tak perlu pening kepala. Ianya adalah sistem operasi sama yang anda boleh muat turun dan pasang pada mana² peranti, tidak terikat pada MateBook semata.

Sistem operasi itu ialah Deepin.

Sekarang Deepin baru sahaja melepaskan versi 20 Beta, yang sememangnya dinanti-nantikan oleh komuniti kerana versi ini membawakan pembaharuan kepada paparan antaramukanya.

Bab teknikal, ia menaik taraf versi Debian kepada Debian 10, dan Kernel Linux kepada versi 5.3. Agak sayang di situ kerana WireGuard dimasukkan ke dalam Kernel versi 5.6.

Tetapi ini rilisan beta dan kita boleh berharap ketika rilisan stabil dilepaskan nanti, Kernel 5.6 akan diimplementasi.

Dalam versi 20 Beta ini, Deepin Desktop Environment (DDE) diperbaharui dan diberi nafas baru dengan paparan lebih elegan. Berbeza dengan UI sebelumnya, UI kali ini menampakkan sudut melengkung, animasi lebih lancar, dan pemilihan warna pada persekitaran meja yang tampak ceria.

Apa yang menarik, sama seperti elementary OS, Deepin mempunyai aplikasi tersendiri yang menggantikan aplikasi biasa digunakan oleh Linux. Dari aplikasi nota, hinggalah kepada pemain muzik mendapat sentuhan dari pembangun mereka. Paparannya jadi lebih seragam dan dinamik.

Berminat nak cuba? Anda boleh muat turun ISO di sini: Deepin 20 64-bit ISO.

Pautan alternatif: Baidu Yun (kod: csr3)  atau OSDN.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

TVZion 4.0.3 Membawakan Pembaharuan Terhadap Paparan Antaramuka

0

Penafian: Kami tidak menggalakkan cetak rompak, malah kami menggalakkan pembaca agar sentiasa membeli atau membayar untuk menikmati kandungan video yang dilindungi Akta Hak Cipta. Artikel adalah sekadar ulasan umum. Sebarang penggunaan kandungan laman adalah diluar tanggungan pihak omghackers.com.

Ada banyak alternatif kepada Terrarium TV yang telah kami senaraikan sebelum ini.

Dari aplikasi yang sah untuk dimuat turun dan digunakan seperti Kodi, hinggalah kepada aplikasi ‘lanun’ seperti Typhoon TV, semuanya kami kongsikan tanpa prejudis.

Tetapi meskipun banyak pilihan, semuanya seakan tidak ‘cukup’. Kenapa ini terjadi? Kerana kebanyakan aplikasi adalah klon ke atas klon ke atas klon.

Sekadar contoh, Terrarium TV diklon oleh TeaTV, kemudian diklon semula menjadi Typhoon TV, diklon lagi dan lagi hingga basi. Banyak pautan strim diberikan, tetapi yang benar-benar tidak menimbal sewaktu dimainkan (buffering) dan memuaskan hati, mungkin ada dalam dua-tiga pautan sahaja.

Kalau ada yang berpaparan antaramuka seakan asli pun, adalah seperti Morphix TV. Itu pun berasal dari Morpheus TV.

Boleh rujuk sini: Morpheus TV.

Tak penatkah anda tercari-cari sesuatu yang boleh dijadikan sandaran, tambah lagi di musim PKP ini?

Pada tahun 2018 yang lalu, saya pernah mengulas mengenai aplikasi ‘TVZion’. Sejak itu, TVZion mendapat kemas kini berkali-kali dan terbaru, ia mendapat \refresh’ pada paparan antaramukanya, khas untuk Android TV.

Ya, ini yang kita mahu!

Tetapan terbaik untuk gunakan TVZion, semestinya dengan akaun Real Debrid (anda yang ada jual akaun Debrid murah² tu mai komen sini), bersama akaun Zion Club (optional).

Setakat ini penggunaan agak lancar, dengan menjadikan pemain video VLC sebagai pemain lalai.

Jika diceritakan bab fungsi, memang boleh bikin migraine, kerana terlalu banyak. Kalau nak tahu serba sedikit dari waktu sebelum ia mendapat paparan antaramuka baharu, bolehlah rujuk pada pautan di bawah:

TVZion: Pengganti Terrarium TV Terbaik Setakat Ini!

Pendek cerita, kombinasi TVZion dengan Real Debrid, ditambah dengan UI khusus untuk Android TV, menjadikan ia satu solusi buat pencari alternatif Terrarium TV, Kodi, mahupun Netflix.

Berikut adalah rupa paparan antaramuka TVZion bagi versi terbaru tersebut:

Dan ini pula adalah paparan pemain lalainya:

Apk boleh dimuat turun di sini: TVZion 4.0.3.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Cara Mudah Mempelajari Bahasa Asing Secara Percuma

0

Kebanyakan kaedah atau aplikasi pembelajaran bahasa asing tidak mampu memberikan kesan terbaik. Selepas habis ‘belajar’ dari aplikasi, belum tentu mampu bertutur dalam bahasa yang dipilih.

Kenapa ini terjadi?

Ini adalah kerana kebanyakan darinya bukan ‘memberikan’ bahasa tersebut kepada ‘penerimanya’, tetapi ia mengajar, menyuruh pengguna mengingati perkataan, dan langkah-langkahnya membosankan, lagi meletihkan.

Pernahkah kita terfikir bagaimana bayi ‘belajar’ bahasa yang dituturkan ibu bapanya?

Tidak. Bayi tidak pernah belajar, sebaliknya bayi ‘mendapat atau memperoleh’ bahasa tersebut melalui perbuatan harian ibu bapanya.

Pembelajaran bahasa sepatutnya dijalankan secara separa sedar (subconscious mind) dan bukan secara paksa. Ia mesti dibuat dengan cara semulajadi.

Rujukan: Dr. Stephen Krashen, Profesor Linguistik, emeritus University of Southern California.

Adakah aplikasi seperti Duolingo, Mondly, LingoDeer, dan sebagainya lagi tidak berkesan?

Tidak juga. Aplikasi seperti ini boleh digunakan untuk mendapatkan tapak atau asas kepada bahasa yang anda ingin ‘perolehi’. Selepas kukuhkah tapaknya, anda boleh beralih kepada ‘pemerolehan’ atau ‘pemilikan’ bahasa melalui cara-cara berikut.

1. Mendengar.
2. Kenal pasti.
3. Pengucapan Dan Pengukuhan.
4. Latihan.
5. Uji diri.

Nampak seperti banyak sungguh langkahnya, tetapi tidak. Apa yang anda perlu lakukan ialah banyak mendengar perkataan harian bagi bahasa yang anda ingin pelajari dari filem-filem atau drama.

Contohnya saya ingin belajar bahasa Kantonis. Saya banyak mendengar perkataan yang sering diucapkan melalui filem Stephen Chow di Netflix.

Kalau tidak banyak yang dapat diingati pun, sekurang-kurangnya saya boleh dapat dalam 100 patah perkataan yang mudah-mudah, seperti:

1. Cheng man = Excuse me.
2. Siu ce’ = Miss.
3. Nhei hou = Hello.
4. Em goi = Thank you.
5. Gwong dong wa = Cantonese.

Dan sebagainya lagi. Saya akan ‘kutip’ pelbagai perkataan dan rangkumkan ia dalam satu buku khas. Dalam konteks kita di dunia moden, saya gunakan aplikasi Keep Notes kerana ia amat mudah diselaraskan di pelbagai jenis peranti dengan satu akaun Google.

Di peringkat awal ini anda tidak perlu pedulikan mengenai tatabahasa (grammar). Tak usah kisahkan tentang kesilapan, kerana awalan setiap sesuatu semestinya tidak sempurna.

Untuk mengingati setiap perkataan ini bagi menjadikan ia perbendaharaan kata dalam minda, maka saya terapkan perkataan-perkataan tersebut ke dalam satu gambar, yang saya lukiskan sendiri. Ada sesetengah orang memanggilnya sebagai ‘Method of Loci’, tetapi pada saya kaedah ini telah saya gunakan sendiri sejak dari sekolah menengah lagi bagi mata pelajaran bahasa Arab. Siapakah ‘Loci’ itu pun saya tidak kenal.

Caranya ialah saya akan susunkan perbualan ke dalam gambar tersebut.

Sebagai contoh, saya ingin bertanyakan di manakah tandas kepada seorang wanita berhampiran, maka saya lukiskan tandas, wanita, dan tulis pula berkataan yang berhubung dengan apa yang hendak saya tanya di sebelah setiap subjek.

Dengan cara ini, saya susunkan kesemuanya (perkataan) ke dalam bentuk visual supaya apabila saya hendak mengingati dan mengucapkannya kembali, ia menjadi lebih mudah bila saya ‘dapatkan’ perkataan itu melalui bank memori visual saya.

Dengan cara ini juga saya boleh terapkan beberapa perkataan sekaligus ke dalam satu gambar, dan akan lebih sukar untuk lupa. Jadi saya masukkan perkataan dan soalan seperti “Cheng man siu ce’, sai sau gaan, hai bin dou aa? Em goi siu ce’.”, di sebelah setiap subjek yang saya telah lukiskan tersebut.

Mungkin itu bukan lukisan terbaik yang saya boleh lukiskan, tetapi anda boleh fahamkan ideanya bagaimana?

Seterusnya saya akan mengulang beberapa patah perkataan tersebut dengan mengajuk bagaimana pengucap natif (native speaker) menyebutnya. Dalam hal ini, orang Cina yang bercakap dalam bahasa Kantonis.

Saya akan mengulanginya sehingga tidak terasa canggung ketika cuba mengucapkannya di hadapan pengucap natif. Ini boleh dilakukan di kebanyakan kedai-kedai runcit yang dimiliki oleh orang Cina, dan ketika mengucapkannya, sedar tidak sedar saya telah melakukan kesemua perkara/langkah dari satu hingga lima.

Ini adalah satu contoh sahaja, yang mana kaedah ini digunakan oleh saya sendiri ketika cuba menguasai bahasa Inggeris dari tingkatan satu yang saya rasakan sangat asing kerana saya tidak pernah bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah, tidak pula mahir walaupun sudah belajar dari darjah satu hingga enam.

Tidak lupa juga,

1. Saya banyak mendengar lagu rap dan metal, lalu saya terjemahkan.
2. Saya gunakan kembali perkataan tersebut dalam karangan dan puisi.
3. Saya banyak mendengar ayat-ayat lazim dalam filem.
4. Mana-mana perkataan yang ‘ganjil’ atau tidak difahami, saya akan tulis dalam buku nota untuk diterjemahkan kemudian.
5. Saya akan nyanyikan semula lagu rap atau metal yang diingati sebagai ‘jalan’ menuturkan perkataan dengan cara yang lebih menyeronokkan.

Saya akan gunakan semula kesemua perkataan yang saya ingati kepada seorang rakan yang sudah fasih bertutur, serta tidak pedulikan tentang tatabahasa kami. Apa yang penting ialah bercakap, bercakap, dan bercakap sehingga datang keyakinan dalam diri.

Paling penting rakan anda perlulah juga ‘menikmati’ proses ini, kerana jika tidak, ia akan jadi satu perkara yang sangat membosankan, bahkan akan buat anda pula berputus asa.

Anda boleh dapatkan banyak perkataan asas dari buku cerita kanak-kanak, atau video kanak-kanak di YouTube. Dari dua sumber ini, anda akan dapat asas tatabahasa secara separa sedar, dan dari filem pula anda akan dapat pengucapan secara natif.

Ulang kesemua langkah ini sehingga anda sudah mempelajari lebih kurang 4000 patah perkataan, dan kemudian berasa selesa untuk berbual bersama mereka yang menuturkan bahasa tersebut.

Perkara pokok yang anda perlu sentiasa ingati, jangan belajar bahasa, tetapi ‘perolehlah’ bahasa tersebut sama seperti bayi memperolehinya melalui sumber sekeliling.

Selamat mencuba,

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

Duolingo: Berkesankah Ia Mengajar Anda Bahasa Asing?

0

Semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan ini, salah satu aplikasi yang menjadi tumpuan ialah aplikasi pembelajaran bahasa. Antara yang sering dimuat turun semestinya Duolingo.

Duolingo sudah lama popular di kalangan para pencinta bahasa. Tetapi sejauhmanakah keberkesanan aplikasi ini dalam mengajarkan bahasa asing kepada penggunanya?

Saya mencuba aplikasi ini selama beberapa minggu bagi mempelajari (kembali) bahasa Arab, dan ini adalah pendapat saya mengenai Duolingo.

Kaedah Pengajaran

Apa yang membezakan antara Duolingo dengan aplikasi pembelajaran bahasa yang lain? Duolingo menggunakan algoritma pengulangan (repetitions algorithm), flash cards, dan ayat-ayat contoh beserta pilihan terjemahan.

Terus kepada soalannya, berkesankah kaedah ini?

Saya telah mencuba kembali aplikasi ini (pasang semula, kerana dulu pernah dipasang, tetapi tidak serius nak belajar maka nyahpasang pula) dan belajar bahasa Arab semula selama beberapa minggu (dulu pernah belajar di sekolah agama selama lima tahun). Saya anggap proses pembelajaran di Duolingo ini adalah ‘refresh’ untuk ingatan saya yang sememangnya telah lama lupa kerana begitu lamanya saya meninggalkan sekolah dan bahasa Arab ini.

Disebabkan saya mempunyai asasnya, maka sekejap sajalah saya sudah pun hampir menghabiskan ‘kursus’ atau modul Duolingo bagi pelajaran bahasa Arab serta kaedah sebutannya.

Dari pengamatan saya, Duolingo lebih banyak menggunakan pengulangan bagi mengukuhkan tapak atau asas seseorang dalam pengenalannya terhadap bahasa asing yang dipilih. Adakah sama kukuhnya dengan mereka yang belajar di sekolah? Adakah inputnya boleh setanding dengan mereka yang mengenali huruf dan tatabahasa melalui guru?

Pada saya mungkin mereka yang belajar melalui Duolingo tidak mampu menamakan fi’il, atau mengenali perbezaan, kenapa sebutannya ditambah huruf kaf, atau huruf ta, tetapi apabila diteliti perlahan-lahan, mereka tetap akan boleh mengetahui apabila subjeknya lelaki, perbuatan akan ditambah huruf dan baris sekian-sekian, dan apabila perempuan pula, akan ditukar kepada huruf dan baris sekian-sekian.

Fasihkah Pengguna Duolingo?

Saya tidak berani mengatakan seseorang itu akan menjadi fasih dalam sesuatu bahasa asing yang dipilih setelah belajar melalui Duolingo. Tetapi, terdapat pengguna yang fasih berbahasa Jerman, hanya dengan menggunakan aplikasi ini. Anda boleh cuba ikuti tips dan panduan beliau melalui video di bawah.

Apa yang pasti, dari pengamatan saya setelah mencubanya untuk belajar bahasa Arab, Perancis dan Mandarin, saya boleh katakan Duolingo mampu memberikan tapak atau asas yang kukuh kepada anda jika anda komited dalam ‘menjayakan’ penggunaannya setiap hari.

Anda tidak boleh malas dan bertangguh-tangguh.

Anda juga mesti rajin menulis nota tentang apa yang anda faham melalui pelajaran pada sesi tersebut, dan paling penting sekali, jangan tergesa-gesa serta terburu-buru dalam menyelesaikan proses pembelajaran anda. Sekurang-kurangnya tukarkan status setiap pelajaran kepada emas, supaya anda boleh berasa pasti bahawa asas dalam setiap modul telah anda mahiri.

Akhir kata, apa jua yang dibuat dengan kesungguhan, pasti akan membuahkan hasil. Tiada perkara yang akan membuang masa anda, sekiranya anda sendiri memanfaatkannya dengan cara yang betul. Asalkan bahasa yang anda pilih itu sebenar-benarnya bahasa yang anda minati, saya pasti jika tidak fasih sekalipun, anda boleh menuturkan beberapa patah perkataan yang difahami oleh penutur aslinya.

Jika anda berminat nak cuba, bolehlah klik pautan ini: .

Views: 3

Iklan Newspaper Inline