Utama Blog Laman 104

KDE Plasma Bigscreen: Alternatif Sumber Terbuka Untuk Android TV

0

KDE Plasma ialah satu dari pelbagai variasi persekitaran meja (Desktop Environment) yang popular di kalangan pengguna Linux.

Seperti GNOME, para pembangunnya membuat varian untuk desktop, dan peranti sesentuh seperti telefon pintar. Kini, mereka menambah satu lagi pilihan iaitu alternatif untuk Android TV – Plasma Bigscreen.

Paparan antaramukanya dikuasakan oleh Komputer Litar Tunggal dan menggunakan kawalan suara Mycroft AI. Seperti alternatifnya, iaitu Android TV, Plasma Bigscreen akan menyediakan aplikasi khusus untuk menikmati hiburan media, dan juga aplikasi tradisional yang direka bentuk semula bagi menyesuaikan ia dengan paparan dan navigasi televisyen.

Plasma Bigscreen ialah satu alternatif yang telah lama kita nantikan. Kini ia hadir, dengan sokongan dari komuniti kerana ia percuma dan sumber terbuka, serta mempunyai paparan antaramuka yang sangat mirip dengan Android TV oleh Google.

Paling penting ia dioptimumkan untuk penggunaan bersama alat kawalan jauh inframerah, beserta dengan gabungan (pembantu) kawalan suara melalui Mycroft AI yang juga bersumber terbuka.

Secara lalai, Plasma Bigscreen berhubung ke pelayan Mycroft Home yang menggunakan speech-to-text atau STT dari Google dan menghantar ucapan/kata-kata (anonymized) kepada Google.

Menurut KDE, situasi ini memang tidak ideal. Tetapi disebabkan ianya adalah sumber terbuka, maka pengguna boleh menukar kepada sistem self-hosted seperti Deepspeech oleh Mozilla.

Mycroft AI menggunakan sesuatu yang dipanggil sebagai ‘skills’. Skills membolehkan pembantu maya tersebut belajar dan melakukan pelbagai tugasan agar ia dapat melengkapi hidup anda.

Contohnya, skill untuk cuaca, membolehkan Mycroft mengetahui tentang cuaca dan memaklumkan kepada anda mengenai apa yang akan berlaku pada hari itu, sama ada hujan akan turun, atau mendung sepanjang hari, dan sebagainya. Skill untuk memasak pula, membolehkan Mycroft mendapatkan resepi dan langkah-langkah memasak lalu anda boleh minta Mycroft untuk membantu anda menyediakan hidangan yang menyelerakan.

Rilisan beta Plasma Bigscreen sudah pun tersedia untuk Raspberry Pi 4. Ia disasarkan untuk skrin televisyen, tetapi dapat berfungsi juga untuk monitor biasa. Anda boleh dapatkan info lanjut melalui laman projek ini: Plasma Bigscreen.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Endless OS: Inikah Alternatif Chrome OS?

0

Kalau ditanya kepada saya, Chrome OS ialah sistem operasi yang dibina atas kernel Linux, dengan paparan antaramuka atau desktop environment yang proprietary.

Jika dilihat dan diperhatikan, paparan antaramukanya meskipun dipenuhi dengan elemen Chrome (semestinya), ia banyak menyerupai GNOME 3.

Atas sebab itu apabila hadirnya Endless OS, saya agak teruja juga kerana selain paparannya yang mirip Chrome OS, ia juga dibina berasaskan Linux dan segala yang ada di dalamnya adalah sumber terbuka, bererti saya boleh mengubahsuai sistem ini sesuka hati saya.

ISO dimuat turun, dan kemudian terus dipasangkan ke dalam VirtualBox terlebih dahulu. Oh ya, ruangan SSD yang saya peruntukkan terlebih awal adalah untuk Ubuntu 20.04 yang akan dilancar pada bulan April nanti.

Setelah siap pemasangan, tetapan Endless OS pun diteruskan. Tidaklah sesukar mana, kerana tak sampai seminit pun ia sudah disiapkan.

Ya, beginilah rupanya Endless OS, versi 3.7.8.

Sekarang bandingkan pula dengan Chrome OS.

Gambar dari: 9to5Google.

Apa yang saya suka mengenai Endless ialah ia mengikuti konsep Chrome OS, iaitu sebaik boot ke dalam sistem operasi, anda akan terus dipapar kepada aplikasi dan aplikasi web yang selalu digunakan.

Ini termasuklah Facebook, WhatsApp, YouTube, Gmail, Skype, Twitter, dan pelbagai lagi aplikasi yang bertujuan menghubungkan anda kepada internet serta warganya.

Tak cukup? Hendak tambah aplikasi lain? Endless OS ada App Center.

Apa yang saya suka tentang Endless OS:

1. Pemasangan yang amat senang, sesiapa sahaja boleh lakukannya.

2. Pelbagai aplikasi tersedia, terutamanya dari kategori aplikasi web.

3. Sesuai diperkenalkan kepada kanak-kanak, kerana paparannya yang mesra pengguna.

4. Tidak perlu terkial-kial dengan Terminal, dan paparan hadapannya juga tidak menunjukkan sebarang bentuk Terminal, kerana Endless OS menggalakkan anda menggunakan App Center.

5. Paparan antaramuka yang tidak ubah seperti Chrome OS, tetapi kita boleh anggap ia ‘Chrome OS versi unlocked’.

6. Prestasinya sangat bagus meskipun dipasang pada peranti berspesifikasi sederhana.

7. Media seperti YouTube dan Netflix dapat terus digunakan tanpa perlu sebarang konfigurasi.

Apa yang saya kurang suka:

1. Disebabkan paparan antaramukanya yang mirip ke arah Chrome OS, jika hendak buat pengubahsuaian pun, saya tidak tahu hendak ‘tukar’ ia menjadi apa.

2. Saya masih belum jumpa di manakah sumber untuk menukar mirrors. Nampaknya Endless OS menyenangkan di satu sudut lain, dan menyukarkan pula di satu sudut yang lain.

Secara keseluruhannya, sistem operasi ini amat sesuai digunakan oleh pengguna baru. Selesai boot ke desktop, anda boleh terus gunakannya tanpa perlu apa-apa ubahan pada tetapan.

Disebabkan ia menumpu kepada penggunaan internet dan media serta kemudahan menggunakannya oleh pemula, maka Endless OS mempunyai sedikit limitasi.

Ia barangkali bukan untuk pengguna Linux yang gemar menokok-nambah sehingga tidak serupa lagi rupanya dengan yang asal, tetapi ia melengkapi buat mereka yang inginkan sistem operasi stabil, dan berfungsi terus dari luar kotak.

Muat turun di sini: Endless OS.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Cara Menonton Netflix Bersama Rakan Atau Ahli Keluarga Yang Jauh Dari Anda

0

Di musim kita perlu kuarantin diri sendiri di rumah ini, ada eloknya juga jika kita masih dapat bersosial bersama rakan-rakan yang berada di kejauhan.

Tetapi bagaimana caranya?

Disinilah satu extension untuk Chrome memainkan peranannya. Ia bernama Netflix Party.

Sesuai dengan namanya itu, Netflix Party membolehkan anda menikmati kandungan filem dan drama di Netflix bersama rakan tanpa perlu mereka datang bertandang di rumah anda.

Anda boleh menonton filem atau drama yang sama, pada waktu yang sama, beserta fungsi ruangan berbual (chat). Ini dapat memberikan peluang kepada rakan anda berinteraksi dan memberitahu reaksi mereka terhadap apa yang ditonton ketika itu.

Apa yang diperlukan ialah pelayar web Chrome (atau yang berasaskan Chromium), extension, dan akaun Netflix (kena ada ya!).

Cara-caranya:

1. Buka pautan ini dan pasangkan extension Netflix Party – Netflix Party.

2. Kemudian, pastikan status ‘Test Participation’ untuk akaun anda berstatus ‘Off’.

Klik pada pautan ini untuk memeriksa: donottest.

3. Setelah itu, pastikan rakan-rakan anda yang ingin menyertai ‘parti’ ini telah pun memasang extension yang sama. Jika belum, berikan mereka pautan di atas dan suruh mereka pasang.

4. Kemudian, bukan laman Netflix dan pilihlah filem/drama yang anda ingin tonton bersama rakan anda itu. Klik butang main, dan klik pada logo ‘NP’ yang terdapat di atas.

5. Klik pada ‘Start the Party’. Ia akan memberikan anda satu pautan. Kongsikan pautan ini kepada rakan, dan minta mereka buka untuk sama-sama menyertai ‘majlis tontonan beramai-ramai’.

6. Rakan anda anda secara automatik akan masuk ke Netflix menghala kepada filem/drama yang dikongsi. Minta mereka klik logo ‘NP’ tersebut.

7. Anda dan rakan anda akan diselaraskan. Sekarang anda sudah boleh menonton bersama-sama dengan rakan dan memberikan reaksi melalui ruang bualan.

Selamat menonton!

Views: 9

Iklan Newspaper Inline

Popcorn Time 0.4.0: Netflix Untuk Para Lanun Kembali

0

Penafian: Kami tidak menggalakkan cetak rompak, malah kami menggalakkan pembaca agar sentiasa membeli atau membayar untuk menikmati kandungan video yang dilindungi Akta Hak Cipta. Artikel adalah sekadar ulasan umum. Sebarang penggunaan kandungan laman adalah diluar tanggungan pihak omghackers.com.

Jika anda belum tahu lagi, Popcorn Time ialah aplikasi ‘lagenda’ dalam dunia penstriman untuk para ‘lanun’, kerana ia memberikan akses kepada pelbagai filem dan drama dalam bentuk penstriman torrent.

Cuma pada tahun 2015, Popcorn Time mengalami zaman kejatuhannya kerana para pembangun telah ditemui oleh pihak berkuasa, domain yang dimiliki oleh mereka pula tidak dapat dipindak milik, dan pelbagai lagi masalah yang menimpa.

Akibat dari itu, Popcorn Time ditamatkan pembangunnya…

Sehinggalah baru-baru ini, akaun Twitter mereka ‘hidup semula’ dengan Tweet baru yang mengumumkan mengenai versi terkini aplikasi tersebut yang boleh dimuat turun.

Berikut adalah bagaimana rupa paparan antaramuka bagi aplikasi ini, versi 0.4.0.

Secara teknikal, nampak tidak banyak yang berubah. Tetapi dari sudut ‘harapan’ untuk lanun tegar, kehadiran versi baru ini nampak dialu-alukan, tambah dalam keadaan rakyat perlu mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan seperti sekarang.

Popcorn Time mencipta namanya kerana ia menyenangkan proses penstriman. Meskipun tulang belakang aplikasi ini masih menggunakan teknologi BitTorrent yang sama seperti klien torrent, ia memberikan kemudahan untuk pengguna melakukan penstriman sama seperti menggunakan aplikasi Netflix.

Hanya perlu pilih sahaja apa yang hendak ditonton, tunggu sebentar dan wal-lah, anda dapat strim kandungan seakan membayar servis premium. Atas kerana itulah pembangunnya selalu diburu terutamanya dari penggiat seni. Semudah mana pengguna dapat strim? Anda boleh lihat sendiri pada tangkap layar di bawah.

Saya pilih untuk mainkan filem Avengers: Endgame pada resolusi 1080p. Sarikata dah dipilih bahasa Inggeris, kemudian saya klik pada butang ‘Watch Now’.

 

Dan… filem pun dimainkan. Ya, semudah itu sahaja. Seiras Netflix, cuma protokol muat turun yang digunakan semestinya BitTorrent, dan buat yang menggunakan data berkuota atau telco yang tidak menyokong P2P, anda perlu cari aplikasi lainlah jawabnya.

Baiklah. Cukup setakat ini perkongsian saya. Anda boleh muat turun di sini: Popcorn Time.

Atau, boleh lawati laman web mereka di sini: Popcorn Time App.

Views: 7

Iklan Newspaper Inline

Browser Hijacking: Ia Masih Berlaku, Dan Bagaimana Cara Mencegahnya

0

 

Apa Itu Browser Hijacking?

Browser Hijacking atau pencerobohan/rampasan pelayar web ialah perubahan pada pelayar web yang tidak dilakukan sendiri oleh pengguna.

Ada perubahan yang nampak tidak menjejaskan, dan ada pula perubahan yang akan menyebabkan privasi dan data pengguna berada dalam keadaan tidak selamat.

Sebagai contoh, biasanya laman rumah atau homepage ditetapkan oleh anda sendiri, atau anda gunakan sahaja apa yang ditetapkan oleh pembangun.

Apabila browser hijacking berlaku, laman tersebut bertukar serta-merta.

Tetapi ia tidak berubah hanya semata-mata tetapan ‘biasa’ sahaja.

Antara contoh lain ialah secara tiba-tiba, terdapat iklan-iklan yang diluar konteks pelayaran anda, dan tetingkap pop naik yang entah dari mana keluar. Ia juga boleh dihalakan kepada laman mereka yang melakukan pencerobohan tersebut.

Kenapa Perkara Ini Dibuat?

Biasanya tidak lain tidak bukan, yang pertamanya tetingkap pop naik tersebut akan memberikan trafik kepada laman penceroboh.

Trafik dan iklan, sebagaimana yang kita tahu adalah sumber pendapatan pada laman-laman sesawang. Untuk laman yang setiap bulan jumlah kunjungannya mencecah jutaan lawatan, penulisnya boleh menarik nafas lega.

Tetapi jika trafik sedikit, boleh jadi pendapatan dari iklan juga adalah sangat hambar.

Atas kerana itulah ‘rampasan’ pada tetapan pelayar dilakukan, supaya pengguna dapat memberikan klik dan trafik yang banyak kepada iklan-iklan mereka.

Akan tetapi ini juga masih belum serius.

Ada sesetengah individu yang membuat aktiviti ‘hijack’ ini bukan semuanya lurus. Terdapat juga mereka yang berniat kurang baik. Pelayar boleh ditetapkan untuk memuat turun perisian hasad.

Ia boleh terdiri dari keylogger, ransomware, dan pelbagai lagi jenis malware yang dapat mencuri data peribadi pengguna seperti maklumat kad kredit dan perbankan.

Jika mereka tidak dapat mencuri apa yang ada tersimpan dalam komputer, keylogger akan menjalankan tugasnya memantau taipan pada papan kekunci, dan ada juga yang boleh memantau webcam.

Jika pelayar web anda sudah mula membuka sesuatu laman secara tiba-tiba, keluarnya pop naik mengandungi iklan, pelayar anda menjadi ‘berat’ dan perlahan, serta terdapatnya pelbagai toolbar baru yang tidak dipasang sendiri oleh anda, maka ia merupakan tanda-tanda jelas pelayar anda dijangkiti oleh aktiviti pencerobohan.

Cegah Lebih Baik Dari Merawat

Kebiasaannya, toolbar yang terpasang ialah hasil dari apa yang anda klik sewaktu memasang sesuatu aplikasi.

Adalah baik sekiranya sebelum habiskan pemasangan, anda semak terlebih dahulu pilihan yang diberikan oleh pemasang. Sekiranya terdapat pilihan yang anda tidak mahu, anda boleh buang tanda centang, atau elakkan terus dari pemasangan kerana ia biasanya tersorok dalam pemasang aplikasi yang anda percaya selamat dari virus.

Aplikasi seperti ini juga selalunya adalah percuma.

Selain itu, anda perlu berhati-hati terhadap setiap pautan yang anda klik. Emel phishing berkemungkinan akan dapat ditapis terlebih dahulu oleh servis emel yang anda gunakan.

Tetapi pautan yang diposkan di merata-rata tempat selain emel tidak ada sebarang tapisan, melainkan;

1. Akal anda.
2. Antivirus.

Jangan pandang rendah kepada keperluan menggunakan antivirus kerana anda pun bukan selalunya bijak (eheh!). Ada hari-harinya, boleh terkena jua.

Kadangkala ada juga ter-klik sesuatu pautan yang membawa musibah kepada komputer. Oleh itu gunakanlah antivirus dan kemas kini definisi virus setiap hari.

Antara langkah berjaga-jaga yang lain ialah cuba gunakan DNS sekuriti seperti NextDNS. Ia adalah DNS yang saya sendiri gunakan kerana dalam tetapannya terkandung pelbagai pencegahan terhadap perkara-perkara seperti ini, bahkan lebih lagi.

Kalau sudah terkena macam mana?

Oh, kalau anda sudah pun terkena, itu kita perlu bincangkan dalam artikel lain, iaitu langkah-langkah mengembalikan pelayar seperti keadaan asal. Secara asasnya, anda boleh ‘reset’ pelayar anda untuk kembalikan ia dalam keadaan seperti baru dipasang.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Tails: The Amnesic Incognito Live System, Sistem Operasi Yang Lebih Privasi

0

Apa Itu Tails?

Tails ialah sistem operasi berasaskan Linux (Debian) yang boleh dijalankan melalui pemacu USB atau DVD. Ia adalah sebuah sistem operasi yang memfokuskan kepada privasi dan sekuriti pengguna. Berasaskan Debian, Tails akan menghala sambungan pelayar kepada Tor, agar pelayaran tidak dijejak oleh pihak ketiga.

Tails ialah singkatan dari perkataan The Amnesic Incognito Live System.

amnesiac, noun:
forgetfulness; loss of long-term memory.

incognito, adjective & adverb:
(of a person) having one’s true identity concealed.

Amnesic bermaksud kelupaan. Disebabkan sistem yang digunapakai tidak akan meninggalkan sebarang jejak pada internet mahupun komputer, maka ia dianggap boleh ‘dilupakan’.

Seperti yang kita ketahui, kalau pada pelayar web Chrome atau Chromium (sebagai contoh) mempunyai ‘Incognito Mode’ atau pada pelayar Firefox yang dipanggil sebagai ‘Private Browsing’, yang mana ia tidak akan menyimpan sebarang Cookies pada sesi tersebut, maka pelayaran internet secara tersembunyi melalui Tails itulah yang digelar sebagai Incognito.

Tails ialah sebuah sistem operasi lengkap yang dicipta dengan tujuan untuk melayari internet secara selamat dan tanpa meninggalkan sebarang jejak. Dalam sistem ini, ia menggunakan sambungan ke rangkaian Tor secara lalai. Meskipun terdapat kontroversi mengenai exit nodes Tor yang dikatakan kurang selamat, tetapi ia lebih baik berbanding dari tiada apa-apa perlindungan terhadap sambungan internet.

Tails menggunakan pelayar web Tor Browser, Thunderbird sebagai klien emel, dan sistem Tor sebagai perlindungan identiti (anonymity).

Versi terbaru bagi Tails ialah 4.3. Anda boleh muat turun di sini: Tails – The Amnesic Incognito Live System.

Mari kita lihat beberapa tangkap layar dari sistem operasi ini:

Menarik bukan? Jangan lupa mencuba ya.

Selamat melayari dunia internet tanpa sempadan.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Yandex Image Search: Pengganti Google Image Search Yang Semakin Kekurangan

0

Bukan saya seorang sahaja yang mula bencikan Google Image Search selepas Google menarik balik beberapa ciri penting yang selalu saya gunakan, bahkan ramai lagi meluahkan perasaan yang sama.

Kali pertama Google ‘buat hal’ ialah ketika mereka membuang ciri ‘View Image’. Saya gantikan ia dengan extension yang dapat mengembalikan ciri tersebut.

Kali kedua pula ialah ketika Google membuang ciri ‘exact size image search’. Bila dah terkena berkali-kali ini, tiadalah lain perlu dibuat melainkan cari alternatif jua akhirnya.

Tak perlu saya intro panjang-panjang, cukuplah dua onar tersebut saya ungkitkan. Saya memang selalu mencari gambar, jadi mahu tidak mahu saya perlukan enjin carian lain yang lebih bagus dari Google. Kadar kebergantungan kita yang terlalu tinggi terhadap Google menjadikan kita kurang yakin untuk mencari alternatif sedangkan ia ada.

Maka saya pun beralihlah kepada Yandex.

Suatu peralihan yang sangat memuaskan hati dan tidak sia-sia. Hasil carian imej di Yandex pada saya sama atau lebih kurang sama dengan Google. Tetapi apa yang ada pada Yandex tiada pada Google.

Ini salah satu contohnya. Yandex membenarkan kita untuk mencari imej dengan saiz besar, sederhana, dan kecil, tetapi yang tiada pada Google ialah penentuan saiz sendiri (custom size).

Untuk diri saya sendiri yang selalu mencari imej dengan saiz tertentu seperti 1080×1080, ini amatlah memudahkan tanpa saya perlu bersusah pula nak gunakan kaedah carian seperti imagesize:1080×1080 di Google.

Ini juga salah satu ciri yang sangat membantu. Anda boleh pilih pada gambar yang anda klik itu, sama ada untuk terus buka pada saiz yang terpapar, atau pilih pula saiz lain dan Yandex dengan segera akan bukakan gambar dengan saiz khusus yang anda pilih.

Bila anda klik pula pada ‘Other sizes and similar images’, anda akan dihalakan ke hasil carian lebih khusus. Anda boleh lihat sendiri pada tangkap layar di bawah.

Tak perlu lagi anda sibuk tercari-cari sendiri satu demi satu dari variasi saiz yang ada.

Anda boleh lihat sendiri bezanya dengan Google di bawah.

Bahasa pasarnya ‘tak best’ bukan?

Itu baru sebahagian kecil sahaja antara ciri Yandex Image Search yang sempat saya kongsikan. Saya rasa eloklah jika anda sendiri terokai apa lagi yang ada pada enjin carian ini. Selamat mencari dan semoga bertemu dengan apa yang anda carikan itu.

Klik >>> Yandex Image Search.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Apa Itu WireGuard?

0

“Can I just once again state my love for [WireGuard] and hope it gets merged soon? Maybe the code isn’t perfect, but I’ve skimmed it, and compared to the horrors that are OpenVPN and IPSec, it’s a work of art.”  – Linus Torvalds.

WireGuard telah menjadi satu bahan bualan terutamanya dari kalangan pengguna Linux dan mereka yang mementingkan privasi. Seperti petikan dari kata-kata Linus Torvalds dalam senarai penghantaran emel Linux Kernel, beliau mengatakan bahawa WireGuard akan disatukan dengan kernel Linux tidak lama lagi.

Jadi, apa itu WireGuard?

WireGuard ialah satu protokol VPN baharu yang mensasarkan penggunaan lebih ringkas, prestasi lebih laju, dan enkripsi yang lebih padu berbanding protokol lama seperti OpenVPN.

Tapak kodnya buat masa ini hanya mengandungi 3800 baris, yang mana jika hendak dibandingkan dengan OpenVPN dan OpenSSL, keduanya bila bergabung mengandungi lebih kurang 600,000 baris.

Oleh itu tugas pengauditan menjadi lebih cepat dengan kecilnya tapak kod tanpa memerlukan ahli kumpulan yang besar.

Atas sebab itu juga prestasi dan kelajuan WireGuard adalah lebih baik lagi.

Selain itu, WireGuard juga menggunakan kriptografi yang lebih canggih, seperti Noise protocol framework, Curve25519, ChaCha20, Poly1305, BLAKE2, SipHash24, dan HKDF.

Pun begitu, buat masa ini WireGuard sedang berada dalam proses pembangunan pesat. Bolehlah dikatakan ia masih belum bersedia untuk digunakan secara besar-besaran, dan status setakat ini juga kebanyakan VPN mainstrim menggunakan prokol ini sebagai satu bentuk percubaan.

Untuk masa sekarang, pengguna Linux boleh memasang WireGuard sebagai kernel module. Ia ibarat anda mengubahsuai kernel Linux dan menambah kod yang anda sukai ke dalamnya.

Bermula dari kernel versi 5.6, anda tidak akan perlu lagi untuk menambah apa-apa modul, kerana WireGuard dimasukkan secara lalai ke dalamnya.

Jika anda merupakan peminat teknologi VPN, kita perlu sama-sama nantikan sehingga ia menjadi stabil dan kebanyakan servis VPN mula memasukkan ia ke dalam aplikasi masing-masing.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Apa Itu Bandwidth Throttling?

0

Menurut hasil penyelidikan oleh M-Lab, kadar sekatan kelajuan internet mengikut negara adalah seperti berikut:

US (14%), UK (28%), Poland (35%), Singapore (53%), South Korea (74%), dan Malaysia (61%). Ini adalah hasil ujian pada sekitar tahun 2012-2013. Anda boleh jangkakan kadar ini semakin meningkat pada tahun 2020.

Kalau anda perasan, kelajuan internet yang anda langgan itu kadangkala laju, tetapi ada masanya perlahan hingga mengundang kemarahan. Ada pula kelajuannya laju untuk sesetengah aplikasi, manakala aplikasi yang lainnya pula perlahan kerana disengajakan.

Sebelum kita teruskan, ada baiknya jika anda baca dahulu mengenai Deep Packet Inspection di sini:

Apa Itu Deep Packet Inspection? Anti-DPI VPN, Adakah Ia Membantu Dari Apa-Apa Segi?

‘Traffic Shaping’ ialah kelajuan internet yang diperlahankan dengan sengaja oleh ISP, sama ada mengikut kepada kuota yang telah ditetapkan, atau berdasar kepada sasaran jam mahupun kawasan.

ISP akan menggunakan Deep Packet Inspection atau DPI pada pelayan mereka untuk memeriksa setiap packet (fail) yang melaluinya. Disebabkan ini, ISP anda akan dapat memperlahankan kelajuan muat turun atau muat naik bagi aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan bandwidth seperti torrent, penstriman, dan lain-lain lagi.

Selain dari kontrak yang ada menyebut tentang kuota data, ataupun kelajuan yang perlahan kerana situasi ‘semulajadi’ seperti trafik rangkaian yang sibuk pada waktu tertentu, traffic shaping atau bandwidth throttling yang dimaksudkan adalah perbuatan sengaja ISP memperlahankan kelajuan internet anda secara ‘rahsia’ atau ‘senyap-senyap’.

Kebanyakan ISP mendakwa bahawa dengan memperlahankan kelajuan pada aktiviti permainan, torrent, penstriman, dan sebagainya lagi membantu mereka melayani pengguna yang tidak menggunakan rangkaian jalur lebar secara intensif.

Ini bererti pengguna lain yang melanggan perkhidmatan tersebut tidak mendapat sepenuhnya servis yang telah dibayar. ISP dapat berjimat banyak kos dengan mendapatkan lebih ramai pengguna tanpa meningkatkan kapasiti rangkaian.

Bagaimana dapat dihentikan perbuatan ini?

Tiada lain caranya, melainkan bertukar kepada ISP/telco lain yang memberikan lebih nilai kepada wang anda dengan kuota data lebih besar atau tiada had penggunaan.

Hanya dengan menunjukkan kuasa kita sebagai pengguna, barulah ISP/telco akan beralah dengan kehendak kita yang mahukan kelajuan internet tanpa sekatan.

Contohnya, dulu saya gunakan webe (sekarang Unifi Mobile), tetapi telco ini kerap mengenakan sekatan kelajuan pada aktiviti tertentu. Selepas dari itu, saya mengambil keputusan untuk beralih kepada Digi, dan kemudian Maxis. Setakat ini masih belum terasa dikenakan apa-apa sekatan (kerana saya masih belum dapat habiskan kuota 300GB yang diberikan – 300GB yang dipanggil oleh Maxis sebagai ‘unlimited’).

Ada juga yang mencadang untuk gunakan VPN atau servis proksi bagi melangkau sekatan ini, tetapi saya tetap dengan pendirian bahawa meskipun VPN pada zaman ini sudah menyediakan ciri Anti-DPI, tetapi saya dapati ia bukan ciri mutlak yang membolehkan kelajuan kembali kepada asalnya.

Oleh itu kegunaan VPN, haruslah ditetapkan kepada tujuannya yang asal iaitu membuat enkripsi bagi melindungi pengguna dari pemerhatian pihak ketiga.

Benar, terdapat kaedah tertentu menggunakan VPN yang dapat membantu pengguna melangkaui sekatan ini – dan jika anda tidak dapat menahan diri dari mencuba, carilah VPN yang mempunyai Anti-DPI seperti TorGuard, Surfshark, NordVPN, dan sebagainya lagi.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

[Buka Kotak] iPhone 11 Pro Max, Ini Pandangan Pertama

0
iPhone 11 Pro Max, Space Grey bersama Ringke Fusion Smoke Black dan Tempered Glass Lensa Kamera

 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sudah sekian lama tak menulis dalam ruangan ni, jadi memandangkan sudah akad telefon baru dapat la modal untuk buat artikel ini.

Sebelum ampa terus membaca, gambar dalam artikel ini diambil dengan OnePlus 6 yang disunting oleh aplikasi Google Photos. Ya, ada lagi dan sayang nak jual oi.

Mungkin agak terlambat untuk lakukan ‘buka kotak’ telefon ini kerana kami dah terlambat beberapa bulan sejak ia dilancarkan. Tapi ini tidak jadi halangan buat kami untuk teruskan pembikinan artikel ini.

Pada mulanya, nak buat video la sebab dah lama tak menulis. Ingatkan mudah, rupanya tidak. hahahaha

Berbalik pada topik utama, kami merisik lama dah dan Alhamdulillah dapat akad telefon iPhone 11 Pro Max, 256GB Space Grey ni dekat Switch, MyTOWN dengan mas kahwin dia RM5,999.00. Kalau kami sabaq sikit, dapat la warna yang kami idamkan, iaitu Midnight Green. Depa kata stock sangkut sebab Corona.

Bagi yang tak tau lagi, Apple keluarkan 3 jenis iPhone pada September 2019 yang lalu, iaitu iPhone 11, 11 Pro dan 11 Pro Max dengan kapasiti penyimpanan 64GB, 256GB dan 512GB. Nanti la kami cerita dengan detail pasal ni pada artikel [Tinjauan] akan datang, Insyaa Allah jika diberi kesempatan. Jadi artikel ini lebih kepada buka kotak dan sedikit pendapat kami mengenai telefon ini. 

Produk dalam artikel ini tidak ditaja.

Ni dia dalam plastik, kiranya dah buka plastik dekat kedai la.

Kakitangan Switch dekat MyTOWN ramah. Sapa tak ramah kalau orang datang nak beli barang kan? Cuma kesalahan kami tak ambik insuran dari depa sebab gaji awal bulan. Nasihat orang ambik insuran, sendiri tak ambik. Teruk betul kan?

Buka kota secara tak rasmi dekat rumah, sebab dah koyak plastik dekat kedai.

Untuk model 11 Pro dan 11 Pro Max, kotak dia berwarna hitam manakala model 11, kotak dia berwarna putih.

Sedikit maklumat pasal telefon, untuk maklumat lebih jelas, tengok dekat laman web mereka.

Niat nak ambik 512GB sebab fikir dapat la tahan 2 tahun dan ke atas dengan suasana ‘tidak bebas’ dari Apple. Tapi hantaran mas kahwin tak mengizinkan serta kalau nak jual balik, makan masa untuk cari pembeli sebab 64GB dan 256GB laku habis la.

Ini gambar telefon dalam kotak, cahaya lampu ayam tepat dekat logo Apple. hahaha

Warna Space Grey ni nak seakan-akan hitam. Tapi kalau ampa ambik warna Silver, nampak macam warna putih

Seperti biasa, kertas yang orang tak ambil peduli sangat, kecuali sticker.

Agak sedikit kecewa bila tengok sticker Apple ni sebab sama ja warna dia. Harap Apple keluarkan sticker mereka mengikut warna telefon, baru la menarik bukan?

Seperti biasa, ada pengecas pantas 18W Type-C, EarPods dengan Lightning serta kabel Type-C ke Lightning.

Kepala pengecas pantas ni unik, boleh tutup kaki dia. Takda la isu kaki patah bagai. 

Type-C ke Lightning, bruhhh.

Cuma kualiti kabel depa ni tekstur lembut. Kita jadi seriau takut putuih. Kami masih lagi simpan kabel iPhone 4S kami yang kulit dia koyak habis, tinggal isi ja. Untuk kawan-kawan yang masih guna iPhone 4S dan nak lakukan tetapan telefon. Harap ‘tekstur’ baru ni tak jadi macam dulu-dulu laa. hahaha

Produk Apple paling laris, iaitu Lightning ke 3.5mm. Bijak Apple, bijak.

Memandangkan kami ni dari OnePlus 6 serta ‘earphone’ pun masih lagi guna 3.5mm (takda Type-C punya sebab OnePlus 6 masih lagi ada 3.5mm jack) maka kena beli la ‘dongle’ ni. RM49 jugak la. hahaha

Kemas kini iOS 13.3.1, baiki ralat serta menambah ralat yang lain. Itu normal.

iOS 13 ni bagi kami menarik la, walaupun masih lagi konsep yang sama tapi depa ‘tweak’, bagi fungsi baru serta telefon model terkini dapat manfaat fungsi baru. Ini biasa, mana-mana jenama pun sama ja.

Silap beli tempered glass, ambik yang ‘privacy’ punya. Padahal nak beli yang matte ja, beda sedap main permainan.
Casing pilihan kami ialah Ringke Fusion, Smoke Black dan tempered glass pada lensa kamera.

Barangan aksesori seperti gambar di atas dah beli siap-siap (yakin ja macam lepas akad) sebab ampa tau la kalau beli kat kedai dia, bukan murah. Eh, telefon mahal kena pakai aksesori mahal la! Tapi kami nak jimat. hewhewhew

Bila pegang, rasa berat la pulak dan beza dengan OnePlus 6 kami. OnePlus 6 lagi ringan dari iPhone 11 Pro Max ni. Saiz skrin jangan kata la, lebar sikit dan panjang (6.5-inci) berbanding dengan OnePlus 6 (6.28-inci). Mungkin dah selesa dengan ‘notch’, jadi apa la sangat ‘notch’ yang panjang ni. 

Ini rekod penggunaan bateri serta aktiviti (ini termasuk iOS 13.4 Public Beta 3.

Ketahanan bateri dia, berbeza dengan OnePlus 6 kami (telefon tu dah 2 tahun lebih, tabiat cas sambil main, terdedah pada suhu panas mendorong jangkahayat makin singkat) dengan kegunaan yang sama, dapat bertahan sampai malam. Ya tahu, OnePlus 6 bateri dia 3,300 mAh dan iPhone 11 Pro Max 3,969 mAh. 

Buat masa la ni, Alhamdulillah masih lagi jaga cas telefon, takut jadi macam OnePlus 6, tak sampai malam kena cas. 

Dok rasa telefon ni untuk bukan orang kidal. Tiap kali guna telefon, pasti terpegang lensa kamera. Arrhh!

Mengenai tentang kamera, jujur kami tak arif pasal kamera ni. Ambil gambar, tengok elok dan lawa, jalan terus. Rata-rata orang pakai port GCam dekat telefon Android mereka, kami masih setia guna kamera OnePlus sebab bagi kami ok la.

Ni kami kongsi gambar dari kamera iPhone 11 Pro Max, abaikan sudut kelaut sebab kami tak ikut sangat RoT. hahaha (gambar ni ambik dari Google Photos, mungkin kurang umpphh dia.

Ni gambar dari lensa Wide, iaitu kamera utama.

Gambar bawah pulak satu lokasi dan tiga gambar diambil dengan tiga lensa kamera pada posisi yang sama.

Ini gambar dari lensa Ultra Wide.
Ni gambar dari lensa Wide.
Ni gambar dari lensa Telephoto.

Gambar dari lensa Telephoto ada Deep Fusion manakala lensa lain tidak. Ultra Wide memang tak la sebab SmartHDR ambil alih kan?

Gambar mod Malam, takda la padu macam Pixel atau port GCam (hukhukhuk)

Mod Malam ni hanya muncul atas dasar belas kasihan sistem telefon. Apple tidak buat ia boleh diaktifkan bila-bila masa seperti jenama telefon yang lain. Masa kami nak ambik, dia cadangkan 3 saat, jadi kita tekan ja la. Boleh tahan la.

Jadi, setakat ini sahaja artikel mengenai [Buka Kotak] iPhone 11 Pro Max, Space Grey dari kami. Insyaa Allah jika ada kelapangan masa, kami keluarkan artikel [Tinjauan] iPhone 11 Pro Max. Oh ya, jika ampa ada sebarang pendapat nak kami tulis apa pada artikel tu, komen kat bawah nah.

Tidak dapat tahan godaan Public Beta, kami sertai semula program ini.

Punya la sabaq, tahan diri tak terlibat dalam versi Public Beta, tapi akhirnya tewas jua pi daftar semula program ni. Kali terakhir sertai program ni masa guna iPhone 5S|iPad 4. Bukan apa, baru ngam dengan OnePlus 6 yang tengah pakai Open Beta. Sama beta kan? hahaha

Setakat ini sahaja artikel [Buka Kotak] ni, kalau tulis lagi, makin merapu la, konten sikit ja. hahaha. Jumpa lagi pada artikel akan datang!

Views: 0

Iklan Newspaper Inline