Utama Blog Laman 105

Cara Memasukkan Sarikata Ke Dalam Mana-Mana Elemen Video Di Laman Web

0
Online movie streaming and cinema: laptop with clapperboard as screen, popcorn and tickets in the spotlight

Sekarang memang musim ‘segalanya strim’.

Selain mudah, tak perlu lagi tertunggu-tunggu bilakah masanya video akan siap dimuat turun, penstriman juga membolehkan pengguna untuk menikmati pelbagai jenis kandungan video, sama ada secara langsung mahupun video-on-demand.

Cuma adakalanya, ia jadi tampak ‘sukar’ apabila ada sesetengah video di laman-laman penstriman ini tidak mempunyai sarikata yang diharapkan.

Kini tidak lagi. Anda boleh masukkan sendiri sarikata yang anda mahukan pada laman yang menyokong fungsi extension ini. Ia adalah CCaptioner.

CCaptioner ialah extension yang dicipta oleh Raymond Hill, individu sama yang membuat extension uBlock Origin. Extension ini terdapat untuk Firefox dan Chrome. Jadi, anda tidak perlu memilih pelayar mana yang disokong olehnya, kerana anda boleh gunakan mana-mana pelayar yang anda sukai (ada sesetengah pembuat extension hanya tumpu kepada Firefox sahaja, atau Chrome sahaja dan mengabaikan satu lagi).

Cara nak menggunakannya?

Mudah sangat.

Dah pasang? Kalau sudah, bagus. Pertama sekali, klik pada extension yang terletak di atas – klik pada tetingkap berlabel ‘Assign text track to…’.

Kalau kurang nampak, boleh lihat tangkap layar di bawah.

Seterusnya, halakan cursor kepada elemen video. Ia akan membuka satu tetingkap yang membolehkan anda memilih fail sarikata yang telah dimuat turun.

Klik pada sarikata tersebut. Seterusnya, video yang sedang anda strim, akan memaparkan sarikata yang telah dimasukkan tadi.

Selesai.

Oh ya, tak lupa juga extension ini membenarkan anda untuk mengubah kedudukan sarikata dalam video, sama ada hendak dipercepatkan, atau diperlahankan.

Selamat mencuba!.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Suruhanjaya Eropah Beralih Kepada Aplikasi Signal Sebagai Medium Komunikasi

0

 

Kalau di Malaysia, kita menggunakan WhatsApp sebagai alat untuk berkomunikasi dengan kawan, keluarga, dan rakan sekerja. Pengguna Telegram pula menggunakan ia sebagai tempat untuk berkumpul dan menyedut media.

Di Eropah pula, Suruhanjaya Eropah mengarahkan para pekerja mereka untuk mula menggunakan Signal sebagai aplikasi permesejan utama, setelah berlakunya beberapa insiden berprofil tinggi melibatkan pegawai kerajaan.

Untuk anda yang tak tahu, Signal ini paparan antaramukanya lebih kurang sama dengan WhatsApp, baik di peranti telefon mahupun desktop. Dari segi cirinya, barangkali agak kurang sedikit jika hendak dibandingkan dengan WhatsApp, tetapi dari segi privasi dan sekuriti, ia menjadi pilihan ramai aktivis kerana enkripsi end-to-end dan ia juga bersumber terbuka.

Ya, WhatsApp juga ada enkripsi end-to-end, tetapi.. kalau bab privasi, bolehkah anda berharap dan percaya kepada syarikat yang memegang datanya, iaitu Facebook?

Ya, WhatsApp menggunakan teknologi protokol dari Signal, yang dipanggil sebagai Open Whisper System, tetapi ia tidak dijadikan sebagai sumber terbuka.

Signal juga mendapat bantuan dari yayasan Signal Technology Foundation yang disokong oleh bekas pengasas bersama WhatsApp, Brian Acton – yang telah lama meninggalkan syarikat tersebut sejak tahun 2017 setelah tidak bersetuju dengan hala tuju kepimpinan Facebook.

Kami di OMG! Hackers? juga menyeru agar anda semua mula cuba untuk menggunakan Signal, dan ajak lebih ramai rakan serta ahli keluarga untuk turut gunakannya. Kalau bukan sebagai pengganti WhatsApp atau Telegram sekalipun, Signal dapat menjadi aplikasi SMS juga.

Muat turun di sini: Signal.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Beberapa Trik WhatsApp Yang Menarik Untuk Dilakukan

0

WhatsApp menjadi penghubung dan medium komunikasi paling popular di Malaysia. Ia bukan kerana aplikasi ini mempunyai ciri yang banyak, kerana kalau hendak dibandingkan dengan Telegram, WhatsApp ketinggalan jauh. Tetapi ia berjaya menjadi pelopor aplikasi permesejan di Malaysia lalu berkembang sebagai aplikasi utama.

Saya lama berharap agar satu hari nanti, WhatsApp sudah tidak perlu lagi buat sebarang fail sandaran, sepertimana Telegram yang menyimpan kesemua sejarah bual di storan awannya. Ini satu-satunya ciri yang masih belum diimplimentasi dan ia agak menjengkelkan.

Pun begitu, saya tidak dapat meninggalkan WhatsApp kerana tiada ahli keluarga yang tegar menggunakan Telegram. Kawan-kawan pula lebih selesa menggunakan WhatsApp, kecuali kawan yang termasuk kategori nerd, ahli forum XDA, dan dari jenis kaki godek telefon. Ini, memang kerja mereka hanya melepak di dasar group Telegram sahaja.

Kembali ke WhatsApp, masih terdapat beberapa trik menarik yang kita dapat lakukan. Saya cuba senaraikan beberapa trik tersebut untuk dicuba sendiri oleh anda. Harapnya dapatlah mengubat lara di hati sementara menanti ciri baru yang lebih menarik dimasukkan.

Mari kita lihat, apakah trik-trik tersebut:

1. Mendengar Nota Suara Seperti Panggilan Telefon

Memang agak sukar juga hendak mendengar nota suara apabila kita berada dalam bilik mesyuarat, atau di tempat-tempat lain yang akan mengganggu konsentrasi orang lain. Tetapi dengan trik ini, anda tidak perlu berasa bimbang lagi untuk mendengar nota suara dari rakan-rakan.

Caranya ialah dengan mendekatkan telefon ke telinga sepertimana anda menjawab panggilan. WhatsApp secara automatik akan mengesan pergerakan ini lalu memainkan nota suara tersebut pada pembesar suara di atas, tidak ubah seperti anda sedang berbual melalui panggilan telefon juga.

Menarik bukan?

2. Mengetahui Pihak ‘Sebelah Sana’ Sudah Baca Atau Belum Walaupun ‘Blue Tick’ Tidak Diaktifkan

Tips ini sudah lama saya gunakan, terutamanya untuk kawan-kawan yang suka nyahaktif fungsi ‘blue tick’ atau tanda/centang biru. Caranya juga adalah mudah. Anda hantarkan pula nota suara kepada individu tersebut. Walaupun mereka sudah menyahaktif tanda biru, ia masih akan keluar untuk nota suara.

WhatsApp, silalah baiki ‘ralat’ ini ya.

3. Pin Perbualan Penting

Memang agak rimas juga jika anda ada dalam group yang aktif 24 jam, seakan ahlinya tak reti hendak tidur. Nak keluar, rasa ‘rugi’. Nak terus duduk di dalam, terasa perlu lakukan sesuatu kerana bahagian perbualan yang lebih penting dah jauh terbenam di bawah.

Cara untuk elak dari berlakunya perkara ini ialah dengan pin-kan perbualan tersebut, tidak kiralah sama ada dari individu mahupun group. Ini akan membuat ia sentiasa berada di atas dan anda tidak akan tertinggal lagi sebarang mention.

4. Periksa Perbualan Mana Paling Banyak Menggunakan Storan

Kadang-kadang terdapat senarai perbualan yang kita tidak sedar menggunakan banyak storan pada peranti kita kerana banyak menghantar dokumen mahupun gambar/video. Tambahan pula jika kita tidak menutup fungsi ‘auto download’, memang bersepahlah pelbagai data tidak penting di storan kita.

Nak periksa perbualan mana yang lebih banyak menggunakan storan pun tidak susah. Cuma perlu buka Settings > Data and storage usage > Storage usage. Dari sini, anda boleh pilih mana-mana perbualan dan padamkan data yang anda sudah tidak mahukan ia lagi.

5. Buat Kekunci Pintasan Di Depan (Home)

Ini juga antara tips yang dapat memudahkan anda mengakses kepada perbualan penting. Dari bahagian Home Screen, anda tekan skrin beberapa saat dan klik pada Widgets (atau Add Widgets – bergantung kepada launcher apa yang anda gunakan).

Dari situ cari WhatsApp Chat, dan pilihlah mana-mana perbualan yang anda hendak ia duduk di depan Home Screen. Selepas ini, anda hanya tinggal klik saja pada kekunci pintas tersebut, dan anda akan terus masuk ke perbualan yang dimaksudkan.

6. Typewriter Font

Anda boleh gunakan font Typewriter walaupun.. errr.. tiadalah apa yang menarik sangat. Tapi ianya bak kata orang Kuala Kangsar, ‘intriguing’. Anda gunakan ia hanya dengan menambahkan simbol ` sebanyak tiga kali di permulaan dan penghujung perkataan/ayat.

Untuk italic, bold, dan strikethrough pula, begini caranya:

_omghackers_ – letakkan underscore di permulaan dan hujung perkataan/ayat untuk buat ia menjadi italic.

*omghackers* – letakkan asterisk di permulaan dan hujung perkataan/ayat untuk buat ia menjadi bold.

~omghackers~ – letakkan tilde di permulaan dan hujung perkataan/ayat untuk buat ia menjadi strikethrough.

7. Letakkan Perbualan Kurang/Tidak Penting Dalam Archive

Perbualan yang anda rasakan sudah tidak lagi memberi impak signifikan kepada hidup anda, bolehlah terus dipadam. Tetapi kalau masih ada rasa ragu sama ada ia penting atau tidak, atau anda ada apa jua alasan untuk belum dapat memadamkannya, maka masukkan saja ia ke dalam ruangan arkib.

Anda hanya perlu tekan beberapa saat pada perbualan yang mahu diarkibkan, kemudian klik sahaja pada logo arkib di atas. Chat tersebut akan ‘hilang’ serta-merta dari pandangan. Untuk mengaksesnya semula, anda skrol ke bawah. Ia terletak di bawah sekali (jangan risau, ia tidaklah ‘hilang’ 100%. Ia masih ada, cuma tidak menyemakkan pandangan mata sahaja).

Baiklah. Cukup dulu setakat itu. Jika ada lagi trik-trik WhatsApp lain yang menarik, saya akan terus kongsikan di sini. Kalau anda juga ada yang lebih menarik, bolehlah komen di ruangan yang disediakan.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Baru Lepas Format? Penuhkan PC Dengan Aplikasi Percuma Dan Sumber Terbuka

0

Biasanya kalau baru lepas format, perkara pertama yang dilakukan selepas siap ‘tweak’ Windows atau Linux mengikut kemahuan sendiri ialah kita buat pemasangan aplikasi.

Terdapat pelbagai aplikasi di luar sana, cuma kita telah dibiasakan untuk muat turun dari jenis ‘cracked’ atau versi lanunnya.

Tahukah anda, ada banyak juga perisian percuma yang terdiri dari sumber terbuka, dan
proprietari? Tidak perlu dipenuhkan komputer anda dengan aplikasi lanun yang kebiasaannya turut disertai dengan malware dan bermacam jenis hasad.

Tanpa membuang masa lagi, mari kita lihat aplikasi atau perisian apakah yang menarik boleh dipasang pada sistem operasi tanpa perlu membayar lesennya.

1. PeaZip

Selalunya kita akan mencari perisian bagi mengekstrak fail .zip atau .rar. ‘King’ dalam kategori ini tidak lain tidak bukan ialah WinRAR. Tetapi WinRAR perlukan lesen untuk menggunakannya sehingga kiamat, atau anda akan diganggu dengan mesej pop naik yang menjengkelkan.

Tak perlu serabut kerana ada yang percuma. PeaZip salah satu darinya.

PeaZip adalah aplikasi sumber terbuka bersaiz kecil dari kategori pengarkib fail yang mampu mengekstrak fail .tar, .rar, dan .zip. Sejak menggunakan PeaZip, saya tidak lagi mengharapkan kepada WinRAR. Ia terdapat untuk Windows dan Linux.

2. Revo Uninstaller

Revo Uninstaller terdapat dalam versi freeware serta pro. Pada saya versi freeware sudah cukup untuk menyempurnakan tugasnya. Ia juga ada versi mudah alih yang boleh disimpan dalam pemacu USB.

Lihat pada beberapa tangkap layar yang berikut. Ini ialah Revo Uninstaller yang sedang menyiapkan tugasannya menyahpasang aplikasi.

Apa yang saya suka ialah, ia akan membantu mengimbas registry dan leftover files yang sudah tidak lagi digunakan oleh aplikasi yang dinyahpasang tersebut, dan pengguna boleh memilih untuk memadam kesemua tinggalan aplikasi.

3. SMPlayer

SMPlayer adalah pilihan pemain media utama saya.

Apa yang menyebabkan saya menyukainya adalah kerana tidak perlu lagi tercari-cari codec tambahan apabila semuanya sudah dimasukkan ke dalam pemain.

Selain itu, anda boleh strim YouTube melalui
SMTube, dan boleh juga mencari sarikata terus dari pemain kerana ia telah dilengkapi dengan integrasi kepada opensubtitles.org.

4. WPS Office

WPS Office sudah menjadi perisian tradisi yang saya pasangkan pada sistem operasi Linux bagi menggantikan Microsoft Office. Saya kurang gemar kepada LibreOffice yang pada saya mempunyai paparan antaramuka kurang mesra pengguna.

Anda boleh lihat sendiri paparan tangkap layar di bawah. Rupa bentuk dan rekaan setiap elemennya saling tak tumpah seperti Microsoft Office. Percuma pula tu. Apa lagi mau?

5. PulseEffects

Untuk Windows, ada pelbagai ‘tools’ atau kelengkapan bagi menyedapkan lagi halwa telinga dengan kualiti bunyi peranti yang lebih baik. Tetapi untuk Linux kita tak punyai banyak pilihan.

*Nak yang percuma untuk Windows? Anda ada Equalizer APO.

PulseEffects salah satu pilihan yang ada, dan mujurlah ia tidak menghampakan. Ada berbagai tetapan yang boleh diubahsuai mengikut selera telinga masing-masing.

6. XNView MP

XNView MP ialah aplikasi pemapar gambar. Ianya percuma, dan mempunyai prestasi pembukaan yang amat bagus. Selain itu, ia ada pelbagai ciri lain yang memudahkan pengguna seperti kebolehan untuk terus menyunting (asas) dari aplikasi tanpa perlu membuka aplikasi lain.

Terus-terang, saya tidak lagi menggunakan aplikasi pemapar gambar lain sejak mengenali XNView MP ini. Ia terdapat juga untuk Windows dan Linux. Tak perlu bimbang akan kemas kini kerana dua platform ini disokong oleh XNView MP.

7. Internet Download Accelerator

Sama seperti XNView MP yang menggantikan kesemua aplikasi pemapar gambar, Internet Download Accelerator (IDA) pula telah menggantikan IDM. Maaf, di Linux tiada IDA, tetapi pengguna Linux ada alternatif yang lain, contohnya Xtreme Download Manager dan FlareGet.

8. DaVinci Resolve 16

DaVinci Resolve 16, ialah perisian penyunting video tahap profesional ala Hollywood – yang percuma. Anda boleh muat turun dan gunakan ia tanpa perlu membayar apa-apa, melainkan anda memilih untuk menggunakan versi Studio.

Versi percuma yang diberikan juga sudah cukup untuk membuat kerja-kerja penyuntingan yang menyamai kualiti dan tahap dari nama-nama aplikasi penyuntingan video popular yang lain.

Ianya terdapat untuk Windows, Linux, dan Mac.

Baik. Setakat ini dulu perkongsian pada hari ini. Harap anda dapat cuba kesemua yang disenaraikan dan berpuas hati dengan apa yang dapat dilakukan walaupun ia percuma.

Views: 8

Iklan Newspaper Inline

Microsoft Edge: Pelayar Web Microsoft Yang Dapat Menjadi Pengganti Chrome

0

Pada kebiasaannya, saya akan menggunakan Ubuntu sebagai sistem operasi yang dipasang secara dual boot dengan Windows 10. Saya lebih gemarkan prestasi Ubuntu kerana buat masa ini, laptop kedua saya masih menggunakan HDD. Maklum saja, laptop kedua inilah yang digunakan untuk segala tujuan ‘eksperimentasi’.

Tetapi ada satu aplikasi yang membuat saya jadi rindu untuk boot semula kepada Windows 10 kerana buat masa ini, ia masih belum terdapat untuk Ubuntu.

Ianya adalah Microsoft Edge (Chromium) – selepas ini hanya dirujuk sebagai ‘Edge’.

Serius, saya tak tipu.

Edge telah menggantikan kesemua pelayar yang saya gunakan sebelum ini seperti Chrome, Firefox, Brave, dan Vivaldi.

Apa yang istimewa sangat mengenainya? Pertama sekali, saya ingin paparkan terlebih dahulu penggunaan RAM oleh Edge.

Edge yang saya gunakan ada dua. Satu dari versi stabil, dan satu lagi dari versi atau saluran Canary. Dari paparan tangkap layar yang saya tunjukkan di atas, itu ialah versi Canary, dan anda dapat lihat terdapat 20 tab sedang dibuka, manakala tidak sampai 2GB pun penggunaan RAM.

Pada saya penggunaannya agak hemat juga berbanding Chrome, dan prestasinya tidak menurun walaupun makin banyak tab dibuka.

Apa yang saya perasan, Edge ini seakan ada ciri memadatkan penggunaan RAM, yang mana semakin lama ia dibuka, semakin kecil saiz RAM yang digunakan. Saya tidak rasa ia menggunakan ciri ‘suspend tab’ seperti Firefox, kerana setiap tab yang dibuka masih lagi aktif apabila diklik.

Apa pun ini hanya sekadar teori saya sahaja. Bagaimana Edge menjimatkan penggunaan RAM walaupun di sebalik tabir pelayar ia masih lagi menggunakan kod asas dari Chromium sebagaimana Google Chrome, itu masih belum dapat saya pastikan lagi.

Tetapi bukan itu sahaja. Ada seperkara lagi yang menarik perhatian saya untuk menggunakan Edge berbanding yang lain. Ia adalah ciri sokongan main semula Netflix dengan resolusi hingga 4K. Paparan laptop saya tidak sampai pun 1080p, tetapi Edge dapat ‘boost’ resolusi sehingga 1080p. Ini adalah ciri yang amat dialu-alukan kerana saya sememangnya gemar menonton filem-filem di Netflix.

Kemudian, pada bahagian pemuat turunnya, ia kelihatan lebih kemas dan tersusun dari Chrome. Soal mana satu lebih laju dalam memuat turun sesuatu fail, pada saya mungkin sama sahaja, tambahan lagi anda boleh aktifkan ‘Parallel Downloading’ pada edge://flags – tidak ubah seperti Chrome juga, melalui chrome://flags.

Dengan ciri Parallel Downloading ini, ia dapat sedikit sebanyak melajukan proses muat turun. Pun begitu, saya masih mengesyorkan pemuat turun natif seperti Internet Download Accelerator.

Apa lagi?

Kalau setakat itu sahaja, saya rasa ia masih tidak cukup untuk anda. Tetapi saya selalu gunakan versi Canary (buat masa ini) kerana dalam kemas kini terbaru bermula dari vers 81.0.389.0, team Microsoft telah mengaktifkan pengoptimuman melalui toolchain baru.

Pengoptimuman tersebut meningkatkan prestasi Edge sehingga 13% berbanding sebelumnya. Saya telah mencuba dan terbukti ia terasa lebih laju lagi berbanding versi stabilnya.

Inilah dia sesuatu ciri yang sangat ditunggu-tunggu oleh pengguna. Microsoft tidak memasukkan ciri yang tidak diminta, sebaliknya hanya mengimplimentasi ciri yang diperlukan.

Saya rasa Google juga berasa agak goyah, kerana seringkali saya dapat lihat pop naik kecil seperti ini keluar:

Kemudian, ada lagi yang menarik? Semestinya.

Saya lebih gemarkan bahagian tetapan Edge dari Chrome. Anda boleh lihat pada bahagian Installed extension, ia terpapar kemas dalam bentuk senarai dan kelihatan lebih cantik. Ia mungkin remeh pada sesetengah orang, tetapi perkara kecil seperti inilah yang dapat ‘mengikat’ sesetengah yang lainnya untuk terus kekal gunakan Edge.

Saya nak sentuh sedikit juga mengenai bahagian tetapannya.

Tetapan Edge, pada saya adalah lebih jelas, tersusun, dan ‘telus’. Ini terutamanya dapat dilihat pada bahagian privasi. Saya amat berpuas hati dengan pilihan tetapan penyekat penjejak yang diberikan, di mana ia kelihatan tidak ubah seperti tetapan pada Firefox, dan pada saya juga itu adalah suatu perkara yang baik.

Tulis panjang pun tak guna juga jika anda tidak cuba sendiri.

Kalau anda berminat hendak mencuba versi stabil, anda boleh muat turun dari sini: Microsoft Edge.

Manakala untuk versi Beta, Dev, dan Canary pula anda boleh dapatkan dari sini: Edge Insider.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

10 Extension Google Chrome Yang Mesti Ada Untuk Pemasangan Baru

0

Ada beberapa extension atau addon yang sememangnya menjadi satu keperluan di mana saya tidak boleh meneruskan kerja tanpanya. Senarai ini adalah antara beberapa extension mesti ada pada mana-mana pelayar, sama ada yang berasaskan Chrome, atau Firefox. Namanya sama sahaja, cuma dalam artikel ini saya jadikan Chrome sebagai tapak pemasangan.

Berikut adalah extension yang saya maksudkan:

1. SmartAdBlock

Saya sudah tidak lagi menggunakan extension lain bagi tujuan menyekat iklan. SmartAdBlock ada kesemuanya yang diperlukan.

Ia akan menutup amaran untuk ‘cookies concern’, menyekat iklan pop naik, penjejak, dan ia juga akan melangkau pengesanan terhadap extension penyekat iklan bagi sesetengah laman yang mengimplementasikan ia.

2. AdBlocker for Gmail

Pun begitu, SmartAdBlock masih belum mampu untuk menyekat iklan yang berada dalam Gmail. Jadi, saya tambah AdBlocker for Gmail untuk bergandingan dengannya.

Seperti namanya itu, maka hanya itulah tujuan ia diciptakan. Ia akan menyekat ’embedded ads’ dalam Gmail dan anda hanya akan dapat lihat Gmail yang bersih dari sebarang pengiklanan.

Malangnya, kali terakhir extension ini dikemas kini adalah pada tahun 2018. Terpaksalah nampaknya kita gunakan ia sehingga ada pengganti lain yang lebih baik.

3. Bitwarden

Dalam pelbagai nama dan jenis pengurus kata laluan, hanya ini sahaja yang benar-benar serasi dengan saya. Saya pernah gunakan LastPass, tetapi lama kelamaan semakin kurang pula ciri yang saya rasakan penting.

Bitwarden pula hadir sebagai pengurus kata laluan bersumber terbuka, dan mempunyai paparan pemuka yang lebih mesra pengguna, lebih mudah difahami dan digunakan. Ia juga percuma, maka anda boleh gunakannya tanpa bimbangkan kekurangan yang disengajakan.

4. Buster

Tanpa Buster, tak lengkap rasanya. Buster ini ialah extension yang akan membantu anda melangkau captcha pada kebanyakan laman web. Ia akan menukar captcha dalam bentuk teka-teki kekotak kepada versi suara.

Selepas itu, ia akan membantu anda untuk selesaikan secara automatik. Anda tidak perlu buat apa-apa pun.

5. Dark Reader

Tema gelap dah jadi satu trend yang diikuti oleh pelbagai syarikat, organisasi, dan pembuat aplikasi. Sistem operasi seperti Windows, macOS, Linux, iOS dan Android juga mula memperkenalkan tema gelap masing-masing.

Tetapi pada pelayar dan laman web yang dilawati, belum tentu ianya gelap. Walaupun boleh ditetap melalui flags contohnya pada Chrome, atau about:config pada Firefox, saya tetap memilih Dark Reader kerana ianya semudah ABC.

Ada juga pilihan gaya gelap bagaimana yang anda mahu, oleh itu anda sendiri boleh menukar tetapan kegelapan yang lebih sesuai dengan jiwa anda.

6. Enhancer for YouTube

Saya memang penagih YouTube. Walaupun sudah langgan Netflix, saya langgan juga YouTube Premium untuk mendapatkan penstriman tanpa iklan (maaf, saya tidak menyokong YouTube Vanced kerana dengan YouTube Premium, kita masih lagi menyokong pencipta kandungan melalui bayaran yang dibuat).

Enhancer for YouTube akan mengubah pelbagai tetapan pada YouTube, termasuklah temanya. Saya lebih sukakan kombinasi berwarna hitam dan oren, oleh itu paparan YouTube saya diubah kepada sebegitu rupa.

Anda boleh terokai sendiri pelbagai tetapan yang ada padanya. Saya percaya anda juga akan suka.

7. Pushbullet

Sudah bertahun lamanya saya gunakan Pushbullet. Begitu mudah hendak menghantar nota, fail kecil, gambar, dan sebagainya lagi dari telefon ke komputer, serta komputer ke telefon.

Ia adalah medium penghubung paling mudah digunakan, dan tidak perlukan masa yang panjang untuk ditetapkan. Gunakan saja akaun Google untuk daftar masuk.

8. One-Click Reverse Image Search

Pada menu di pelayar Chrome, ia memberikan pengguna peluang untuk mencari gambar melalui Google Image Search. Tetapi bagaimana jika pengguna hendak cari melalui enjin carian lain pula?

One-Click Reverse Image Search sedia untuk membantu. Ia menyokong enjin carian Google, Bing, Yandex, TinEye, dan Baidu. Hanya perlu klik kanan dan pilih mana-mana enjin carian yang anda minati.

Saya sendiri lebih gemarkan Yandex untuk membuat carian gambar.

9. View Image & Download Image for Google

Sejak Google mengubah paparan pencarian imej/gambarnya, saya jadi ‘letih’. Nak tak nak, perlu lakukan sesuatu untuk menjadikan ia lengkap semula.

View Image & Download Image for Google ini akan menambah menu ‘View Image’ dan ‘Download Image’ pada hasil carian gambar di Google.

*Untuk sementara waktu, extension ini tidak dikemas kini dan tidak lagi berfungsi seperti biasa. Oleh itu, gantikan ia dengan extension View Image.

10. MindZip

Buat anda yang memang jenis pelupa, dan perlu sentiasa diingatkan kerana anda sedang belajar sesuatu, atau apa jua perkara yang anda ingin ingati, MindZip adalah pembantu terbaik untuk anda.

Saya sendiri gunakan MindZip untuk mengingati perkataan dari bahasa Mandarin yang sedang dipelajari sendiri.

Anda juga boleh lakukannya.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

NextDNS: DNS Acuan Peribadi Untuk Sekuriti Dan Privasi

1

Biasanya saya rajin kongsikan VPN apa yang saya sendiri guna untuk tujuan peribadi, dan bukan kerana kehendak promo atau apa-apa tujuan lain. VPN itu ialah Surfshark, semestinya.

Tapi jarang saya kongsi tentang DNS apa yang sedang saya gunakan. Kalau waktu mula-mula dulu, saya selalu gunakan Google DNS, kemudian beralih ke Cloudflare kerana dikatakan ia lebih laju.

Tetapi sekarang privasi dan keselamatan data peribadi melebihi segala keutamaan yang ada. Oleh itu, saya gunakan NextDNS dalam aktiviti harian.

Pelayan-pelayan DNSnya ialah:

45.90.28.106
45.90.30.106

Untuk DNS-over-HTTPS (DoH), anda boleh gunakan ini:

https://dns.nextdns.io/83f969

Dalam Linux, masih belum ada tetapan yang membolehkan anda untuk buat tetapan DoH. Jadi kalau nak guna juga, pasanglah Firefox. Firefox sudah siap ada pilihan untuk aktifkan DoH beserta DNS Cloudflare dan NextDNS.

Dalam NextDNS ada disertakan pelbagai jenis perlindungan sekuriti (dah macam insurans pula), seperti Threat Intelligence Feeds, yang akan menyekat domain hasad, Google Safe Browsing – menyekat pelbagai laman phishing serta malware, Cryptojacking Protection, yang akan menyekat penggunaan sumber pada peranti anda untuk tujuan cryptomining, serta pelbagai lagi ciri menarik.

Ini kita belum borak lagi tentang konfigurasi untuk bahagian privasi, yang mempunyai tetapan khas untuk senarai sekatan bagi iklan dan penjejak. Senang cerita, anda buatlah satu akaun untuk lihat sendiri betapa banyaknya konfigurasi bagi NextDNS ini.

Ya, tetap boleh juga gunakan ia tanpa akaun, tetapi dengan akaun, konfigurasi anda terjamin sama di mana-mana.

Sekiranya anda berminat hendak mencuba dan menggunakan NextDNS pada peranti, anda bolehlah pergi laman rasmi di sini: NextDNS.

Views: 182

Iklan Newspaper Inline

Senarai Beberapa VPN Terbaik Untuk Mengakses Servis Penstriman

0

Sekiranya anda seorang peminat strim filem atau drama seperti saya, maka saya yakin bahawa anda akan mendapati post ini sangat berguna untuk anda. Dalam artikel panduan hari ini, saya menyusun senarai beberapa VPN terbaik tahun 2020 untuk servis penstriman.

Tetapi, sebelum kita terus ke butirannya, izinkan saya dengan cepat memberi anda sedikit gambaran mengenai servis penstriman terbesar pada tahun 2020 ini.

Laman-laman seperti Netflix, Hulu, Amazon Prime Video, BBC, YouTube dan Disney Plus adalah tapak penstriman terbesar – itu adalah faktanya. Semua VPN di pasaran yang tersedia tidak boleh mengelak dari sekatan geo-lokasi untuk laman-laman web ini. Hanya beberapa VPN berkualiti tinggi yang boleh mengakses tapak penstriman disebutkan dengan mudah kerana laman-laman ini agak pintar dan mengandungi ‘ejen’ pengesan VPN.

Ini bermakna apabila anda menggunakan VPN biasa untuk mengakses laman-laman seperti Netflix, sambungan VPN anda dikesan dan anda hanya akan mendapatkan ralat berbanding kandungan untuk distrim.
VPN yang kuat menawarkan pelayan dengan kelajuan dan data tanpa had serta IP yang mana laman-laman ini tidak dapat mengakses atau mengesan IP asal dan anda dengan mudah dapat menonton filem serta rancangan yang diingini.

Semua VPN yang saya akan senaraikan adalah sempurna untuk laman penstriman seperti Hulu dan Netflix. Tambahan pula, router juga menyokong VPN-VPN ini. Ini bermakna anda boleh membeli router VPN terbaik untuk mendapatkan perlindungan VPN bagi semua peranti anda.

Oleh kerana anda mempunyai idea tentang kekuatan VPN-VPN ini, sudah tiba masanya untuk anda mengetahui VPN manakah yang berguna dalam usaha mengakses kandungan kegemaran anda dengan mudah dari mana-mana sahaja di seluruh dunia.

VPN-VPN Terbaik Bagi Mendapat Akses Ke Laman Dengan Sekatan Geo-Lokasi

1. Surfshark

Enskripsi: 256-bit | Bilangan Pelayan: 1040 + pelayan | Lokasi yang tersedia: 61+ negara |

Surfshark adalah VPN khusus untuk penstriman. Dengan Surfshark, anda boleh mengharapkan untuk menikmati penstriman berkualiti tanpa had di Hulu, Netflix dan BBC iplayer. Ia adalah perkhidmatan VPN yang berpatutan dengan pelbagai pakej harga sesuai dengan anggaran dan keperluan anda.

Selain itu, Surfshark juga menawarkan semua ciri keselamatan terbaik termasuk enkripsi 256-bit, Kill Switch, perlindungan kebocoran DNS dan menyokong protokol utama seperti IKEv2, OpenVPN dan Shadowsocks.

Harga: $1.99 / RM8.23 sebulan. *Setiap harga yang dinyatakan adalah untuk plan per tahun, melainkan dinyatakan sebaliknya.

2. CyberGhost

Enkripsi: AES 256-bit enkripsi | Bilangan Pelayan: 5700 + pelayan | Lokasi yang tersedia: 90 negara |

CyberGhost dianggap sebagai salah satu perkhidmatan VPN yang paling bagus untuk memastikan pengguna selamat dari penggodam dan pihak berniat jahat, yang berlegar di laman-laman web. Rangkaian pelayannya adalah besar dan menyahsekat Netflix dari hampir mana-mana lokasi.

Sama seperti penyedia VPN yang dipercayai, CyberGhost juga menyokong semua protokol utama yang OpenVPN, IKEv2, L2TP-IPsec dan PPTP. Perkara terbaik tentang CyberGhost ialah ia juga menyekat iklan, memberikan anda peluang untuk strim tanpa sebarang halangan dan gangguan.

Harga: $2.75 / RM11.38.

3. NordVPN

Enkripsi: Enkripsi Berkembar | Bilangan Pelayan: 5309 + pelayan | Lokasi yang tersedia: 59 negara |

NordVPN juga nampaknya menjadi pilihan terbaik untuk menstrim semua laman hiburan utama. NordVPN dijamin menyahsekat perkhidmatan penstriman berikut: Netflix, Hulu, BBC iPlayer, Sling TV dan HBO.

NordVPN menawarkan aplikasi mudah alih berdedikasi untuk setiap perkhidmatan penstriman bagi membolehkan anda dapat menggunakannya dengan selesa pada peranti anda. Lebih-lebih lagi, dengan teknologi smart play, anda boleh dengan mudah dapat mengelakkan sebarang sekatan geo-lokasi.

Dari segi prestasi, NordVPN mendapat ulasan pelanggan yang baik. Anda benar-benar boleh bergantung kepada NordVPN untuk menikmati kandungan-kandungan di laman penstriman terbesar yang didokumentasikan di seluruh dunia.

Harga: $3.49 / 13.33 sebulan.

4. ExpressVPN

Enkripsi: AES 256-bit enkripsi | Bilangan Pelayan: 3000+ pelayan | Lokasi yang tersedia: 94 negara |

ExpressVPN mempunyai keupayaan penyahsekatan yang kukuh, dan membolehkan anda menonton pelbagai rancangan hiburan dan laman web sukan tanpa ralat. ExpressVPN menyokong aplikasi mudah alih untuk platform utama seperti Android, iOS, Mac, Linux dan Windows.

Ia juga menawarkan kelajuan yang baik, yang bermaksud anda tidak perlu menghadapi penimbalan yang menjengkelkan sepanjang masa apabila anda sudah menetapkan minda untuk menikmati penstriman. Perkara terbaik adalah bahawa pengguna boleh mengharapkan strim dalam kualiti HD, apabila kelajuan yang diperoleh adalah tidak terjejas sama sekali.

Harga: $8.32 / mRM34.42 sebulan.

5. FastestVPN

Enskripsi: AES 256-bit | Bilangan Pelayan: 350+ pelayan | Lokasi yang tersedia: 30 negara |

Walaupun VPN ini tidak menawarkan rangkaian pelayan yang besar, ia adalah VPN yang agak mesra bajet. Ia memenangi beberapa tinjauan positif / testimoni pelanggan melalui web yang menunjukkan kredibiliti di kalangan pengguna.

FastestVPN bukan sahaja mesra bajet, tetapi juga menawarkan ciri keselamatan yang paling berat seperti enskripsi AES 256-bit, Kill Switch, DNS dan perlindungan kebocoran IP bersama-sama dengan dasar komited untuk tidak membuat sebarang log. Ciri menghalang/menyekat iklan membolehkan anda membuka Netflix tanpa halangan dan tanpa had.

Sekiranya saya bercakap tentang kelajuan, maka saya memberitahu anda bahawa kelajuannya agak baik untuk strim Netflix dengan lancar.

Harga: $0.83 / RM3.43 (plan 5 tahun).

Penutup

Menikmati kandungan di laman penstriman adalah salah satu pengalaman yang paling menyenangkan dapat dibuat oleh seseorang untuk membuat malam hujung minggu menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Tetapi, kelajuan yang perlahan, penimbalan dan sekatan-geo akan membunuh kebahagiaan anda.

Bersandar kepada VPN yang dipercayai adalah penyelesaian mudah untuk semua masalah penstriman anda. Anda boleh memilih mana-mana VPN yang disebut dalam panduan ini, dan saya yakin anda tidak akan kecewa setelah menggunakan mana-mana pembekal VPN tersebut.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Cara Menyahdaya IPv6 Dalam Ubuntu Bagi Mencegah Kebocoran IP

0

Kita sudah belajar cara untuk mencegah dari berlakunya kebocoran DNS yang akan mendedahkan alamat IP asal anda. Tetapi paling teruk ialah walaupun anda sudah menggunakan VPN, alamat IP masih lagi terbocor keluar walaupun DNS sudah pun ‘ditampal’.

Ini berlaku disebabkan ada sesetengah VPN yang masih belum menyokong IPv6. Oleh itu, kali ini kita belajar pula cara untuk menyahdaya IPv6 dalam sistem operasi Ubuntu (19.10).

Contohnya adalah seperti di bawah, tangkap layar yang saya ambil selepas membuka laman ipleak.net.

Jadi macam mana cara untuk nyahdaya IPv6?
Caranya amat mudah sekali. Lancarkan Terminal terlebih dahulu.
Ringkasnya untuk cepat, gunakan perintah-perintah berikut:

sudo sysctl -w net.ipv6.conf.all.disable_ipv6=1
sudo sysctl -w net.ipv6.conf.default.disable_ipv6=1

Tetapi perintah-perintah ini tidak akan kekal selepas anda reboot. Untuk menjadikan penyahdayaan ini kekal sampai bila-bila, anda perlu sunting fail /etc/sysctl.conf.

sudo nano /etc/sysctl.conf

Kemudian, masukkan baris-baris berikut:

net.ipv6.conf.all.disable_ipv6=1
net.ipv6.conf.default.disable_ipv6=1

Kalau mengikut Surfshark, anda perlu tambah dua baris lagi iaitu:

net.ipv6.conf.lo.disable_ipv6 = 1
net.ipv6.conf.tun0.disable_ipv6 = 1

Ia akan menjadi seperti ini:

Untuk simpan, gunakan gabungan kekunci Ctrl + o (tekan Enter), dan kemudian Ctrl + x untuk keluar dari nano.

Bagaimanapun, ini juga masih belum cukup lagi. Anda perlu sunting fail /etc/default/grub dan masukkan baris seperti di bawah:

FROM:
GRUB_CMDLINE_LINUX_DEFAULT=””
GRUB_CMDLINE_LINUX=””
TO:
GRUB_CMDLINE_LINUX_DEFAULT=”ipv6.disable=1″
GRUB_CMDLINE_LINUX=”ipv6.disable=1″

Seperti biasa, guna kekunci Ctrl + o (tekan Enter), dan Ctrl + x untuk keluar dari nano.

Seterusnya, kemaskini GRUB:

sudo update-grub

Sekarang, anda boleh reboot komputer dan cuba sambungkan kepada VPN.

Tiada lagi kebocoran alamat IP!

Selamat mencuba dan selamat berjaya.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Cara Mencegah Kebocoran DNS Pada Ubuntu Sewaktu Menggunakan Surfshark

1

Kebocoran DNS adalah satu perkara yang tidak boleh dibiarkan berlaku jika anda menggunakan VPN. Ini boleh terjadi pada apa jua jenis sistem operasi sekalipun. Dalam artikel kali ini, kita akan belajar cara-cara mencegah kebocoran DNS pada sistem operasi Ubuntu (19.10) setelah ia disambung kepada Surfshark.

Jika anda masih belum tahu cara pemasangan Surfshark pada Ubuntu, anda boleh ikuti tutorial ini: Cara Memasang Dan Menggunakan Surfshark VPN Pada Ubuntu/Linux Mint.

Berikut adalah contoh bagaimana alamat IP anda boleh terdedah akibat kebocoran DNS meskipun sudah menggunakan VPN. Bukankah rugi begitu?

Ayuh kita teruskan kepada tutorial pencegahan kebocoran DNS.

Pertama sekali, putuskan sambungan dengan Surshark terlebih dahulu. Biarkan WiFi atau sambungan LAN bebas dari VPN. Kemudian, buka Terminal dan masukkan perintah-perintah berikut:

1. Pasang resolvconf:

sudo apt install resolvconf

2. Buat salinan sandaran:

sudo mv /etc/resolv.conf /etc/resolv.conf.backup

3. Sunting fail tersebut dengan penyunting teks nano:

sudo nano /etc/resolvconf/resolv.conf.d/head

4. Masukkan pelayan DNS ke dalamnya. Saya gunakan pelayan DNS Cloudflare:

nameserver 1.1.1.1
nameserver 1.0.0.1

5. Buat symbolic link ke konfigurasi baru:

sudo ln -s /run/resolvconf/resolv.conf /etc/resolv.conf
sudo resolvconf -u

6. Mulai semula rangkaian:

sudo systemctl restart NetworkManager.service

7. Siap. Anda dah boleh cuba hubungkan semula kepada VPN. Dalam kes ini, dah tentulah saya menggunakan Surfshark.

Saya gunakan drop-down terminal, iaitu Guake.

Yeah, dah siap pun terhubung ke Surfshark.

Kita periksa alamat IP dulu.

Akhirnya, tiada lagi kebocoran DNS.

WebRTC pun tiada kebocoran. Ini yang kita mahu.

Anda juga boleh periksa kebocoran DNS/WebRTC di sini: What Is My IP Address.

Selamat mencuba dan selamat berjaya!

Nota Kaki:

Bagi distro yang menggunakan systemd, sebaiknya anda nyahaktifkan systemd-resolved dan reboot komputer anda:

sudo systemctl disable systemd-resolved.service

Views: 2

Iklan Newspaper Inline