Utama Blog Laman 106

Cara Memasang Arch Linux Dan MATE Desktop Dual Boot Dengan Windows 10

0

Ramai yang menganggap Arch Linux sebagai satu distro yang sukar untuk didekati apatah lagi difahami. Seperti mencari jodoh pula di zaman ini. Bagai jinak-jinak merpati. Makin didekati, makin dia lari.

Ehh.

Tetapi untuk diri saya sendiri, setelah berpuluh kali mengulang pasang, saya dapati Arch Linux tidaklah sesukar yang disangka. Kita cuma perlu memahami jalan kerjanya sahaja (workflow), barulah kita akan dapat nampak apakah langkah-langkah yang perlu diambil dalam menyiapkan pemasangan.

Secara asasnya nak pasang Arch Linux ini cara kerjanya lebih kurang seperti pemasangan Ubuntu, cuma ia berasaskan baris perintah. Memang agak ‘takut’ melihat paparan antaramuka baris perintah terutama sekali buat yang tak pernah lihat, tetapi bila dah berulang kali mencuba, perasan itu akan hilang.

Lihat pada cara kerja ini, yang saya telah mudahkan pemahaman:

1. Pertama sekali kena buat tetapan internet untuk sistem operasi. Kalau guna LAN senang, hanya perlu pastikan sistem sudah bersambung dengan internet. Kalau anda guna WiFi, sila baca di ArchWiki tentang cara untuk ‘bring up WiFi interface’ dan bersambung dengan rangkaian WiFi itu.
2. Buat tetapan partisi (partitioning). Ini adalah bahagian paling penting sekali.
3. Guna pacstrap untuk muat turun base/base-devel, linux, dan linux-firmware.
4. Janakan fstab. Sunting dan semak.
5. Siapkan tetapan pakej dan boleh pasang mana-mana persekitaran meja (dekstop environment) yang diminati.

Bererti kita boleh bahagikan ia kepada tiga bahagian iaitu tetapan internet dan partisi, muat turun/tetapan pakej sistem, dan pemasangan persekitaran meja.

Oleh itu tanpa membuangkan masa lagi, mari kita teruskan kepada tutorial pemasangan.

*Untuk penerangan mengenai pelbagai istilah dalam tutorial ini, anda boleh rujuk tutorial versi lama pada pautan ini: Cara Pasang Arch Linux Dan Deepin Desktop Environment Dual Boot Dengan Windows.

Pertama sekali, boot dulu Arch Linux. Ketika disambut oleh boot manager ini, tekan butang Tab pada papan kekunci untuk sunting baris kernel. Tambahkan ‘edd=off’ (tanpa pembuka dan penutup kata) dan tekan Enter.

Dah selesai boot, ia akan log masuk secara automatik. Periksa dulu sambungan internet. Anda boleh gunakan perintah: ping -c 3 omghackers.com untuk memeriksanya.

*Perintah di atas akan cuba ping laman omghackers.com sebanyak 3 kali.

Kemudian, kemas kini jam. Gunakan perintah:

timedatectl set-ntp true

Seterusnya, kita boleh terus kepada tetapan partisi atau partitioning. Saya dah terbiasa gunakan cfdisk kerana ianya amatlah noob friendly. Hehe.

Jadi gunakan perintah cfdisk untuk membuka pengurus partisi.

Pilih GPT.

Di sini, saya dah tetapkan ruang storan sebanyak 15GB. Maka saya tukarkan ia kepada 13GB untuk sistem operasi, dan 2GB untuk swap. Ambil perhatian, ini adalah cara paling mudah untuk faham, kerana kalau nak diikutkan, ada sesetengah orang suka pisahkan antara boot dan home. Saya pula terus gunakan direktori root sebagai tempat untuk kedua-duanya.

Cara untuk menetapkan partisi mudah sahaja. Gunakan papan kekunci untuk halakan pilihan kepada ‘New’, klik Enter. Kemudian tukar sahaja saiz partisi.

Untuk ruang bersaiz 2GB tersebut, tukarkan jenisnya kepada ‘Linux swap’.

Dah siap? Halakan pilihan kepada ‘Write’ dan klik Enter.

Jangan lupa taipkan ‘yes’ dan klik Enter sekali lagi.

Siap? Halakan pula kepada ‘Quit’, klik Enter. Selesai bab penentuan saiz partisi dan jenisnya.

Setelah itu, kita perlu format partisi-partisi tersebut mengikut jenis sistem yang kita telah pilih. Sebagai contoh partisi Linux filesystem perlu ditukar kepada jenis sistem fail seperti ext3, ext4, XFS, dan lain-lain lagi.

Untuk bahagian 13GB iaitu ruang bagi direktori root dan storan, saya memilih sistem fail XFS sebagai jenis sistem partisi.

Oleh itu, perintah yang digunakan ialah:

mkfs.xfs /dev/sda1

Manakala bagi ruang partisi 2GB yang akan digunakan sebagai swap pula:

mkswap /dev/sda2

swapon /dev/sda2

Kemudian, kita perlu lekap sistem fail dalam partisi root kepada /mnt.

mount /dev/sda1 /mnt

Seterusnya, cipta poin lekapan untuk lain-lain partisi (/dev/sda2, /dev/sda3) dan lekapkan ia mengikut turutannya. Namun disebabkan saya gabungkan ia, maka saya hanya akan menggunakan /dev/sda1 sahaja.

mkdir /mnt/boot
mkdir /mnt/home

mount /dev/sda1 /mnt/boot
mount /dev/sda1 /mnt/home

Siap sudah bahagian penetapan partisi. Mudah sahaja bukan?
Ya, yang mudah inilah bahagian paling ramai gagal, walhal inilah antara langkah yang terpenting sekali dalam proses pemasangan.

Sebelum kita teruskan ke bahagian muat turun dan pemasangan pakej untuk sistem operasi, eloklah kiranya kita dapatkan terlebih dahulu mirrors yang paling hampir dan paling laju, supaya proses muat turun berjalan dengan lancar.

Kita pasangkan dahulu Reflector:

pacman -Sy

pacman -S reflector

Kemudian, kita arahkan supaya reflector cari, dapatkan, dan susun 5 mirrors atau pelayan yang paling laju:

reflector –verbose –latest 5 –sort rate –save /etc/pacman.d/mirrorlist

Apabila dah selesai proses penyusunan mirrors, barulah kita muat turun pakej ke dalam direktori /mnt dengan menggunakan pacstrap:

pacstrap /mnt base base-devel linux linux-firmware

Ada lebih kurang 300MB saiz pakej yang perlu dimuat turun dan dipasang.

Tak perlu lepak depan PC. Pergilah keluar buat air kopi atau teh dahulu, dan layan YouTube sementara menanti ia siap.

Ahh, lega, siap juga akhirnya.

Maaflah, laptop kedua saya ini masih menggunakan HDD. Memang lambat sedikit untuk tunggu ia siap.

Janakan fail fstab:

genfstab -U /mnt >> /mnt/etc/fstab

Anda boleh semak kembali fail fstab dengan nano:

nano /mnt/etc/fstab

Jika hendak keluar dari nano, gunakan gabungan kekunci Ctrl + X.

seterusnya, change root (chroot) kepada sistem baru tersebut:

arch-chroot /mnt

Kita tetapkan zon masa.

ln -sf /usr/share/zoneinfo/Region/City /etc/localtime

Dalam kes ini, kita perlu tukarkan baris perintah tersebut kepada zon masa Malaysia. Jadi:

ln -sf /usr/share/zoneinfo/Asia/Kuala_Lumpur /etc/localtime

Jalankan hwclock untuk menjana /etc/adjtime:

hwclock –systohc

Setelah itu, kita perlu buat tetapan bahasa. Sunting /etc/locale.gen menggunakan nano. Saya tidak pasti apa yang terjadi, tetapi nano tidak terdapat dalam persekitaran chroot. Oleh itu, kita perlu pasangkan nano semula sebelum dapat menyunting /etc/locale.gen.

pacman -S nano

nano /etc/locale.gen

Buangkan tanda # (uncomment) di belakang en_US.UTF-8 UTF-8 dan en_US ISO-8859-1. Simpan fail ini dengan gabungan kekunci Ctrl + o, dan keluar dari nano dengan Ctrl + x.

Janakan fail tersebut dengan perintah:

locale-gen

Perintah ini akan menetapkan bahasa kepada bahasa Inggeris.

Kita ciptakan pula fail hostname pada /etc/hostname:

echo omghackers > /etc/hostname

omghackers ialah nama host pilihan saya. Anda boleh tukarkan dengan nama yang anda suka.

Kemudian, kita hidupkan internet.

systemctl enable systemd-networkd.service

pacman -S networkmanager

systemctl enable NetworkManager.service

Menurut Arch Wiki, biasanya langkah ini tidak perlu, namun untuk kepastian, kita buat juga kernel hook dengan perintah ini (cipta semula initramfs image). Quote dari laman ArchWiki:

“Creating a new initramfs is usually not required, because mkinitcpio was run on installation of the kernel package with pacstrap.”

“For LVM, system encryption or RAID, modify mkinitcpio.conf(5) and recreate the initramfs image”.

Oleh itu teruskan dengan perintah:

mkinitcpio -P

Tetapkan (buat/cipta) kata laluan untuk pengguna root:

passwd

Masukkan kata laluan sebanyak dua kali. Taipkan sahaja meskipun asterisk tidak kelihatan.

Tambah nama pengguna dan juga kata laluannya:

useradd -m arya <— Gantikan ‘arya’ dengan nama pengguna pilihan anda.

passwd arya <<< Tetapkan kata laluan untuk pengguna.

Pasangkan bootloader pilihan anda. Saya memilih untuk kekal menggunakan GRUB.
Untuk dual-boot, anda perlu pasangkan os-prober.

pacman -S grub os-prober

Disebabkan saya hanya memasang Arch Linux di dalam VirtualBox, maka saya abaikan os-prober.

grub-install /dev/sda <— kalau ada masalah pemasangan, contohnya pemasangan dalam VirtualBox, gunakan perintah –force :

grub-install –force /dev/sda

Selepas pemasangan GRUB, kita perlu janakan fail konfigurasi utama grub.cfg:

grub-mkconfig -o /boot/grub/grub.cfg

Jangan lupa jika anda buat dual-boot, jalankan perintah os-prober untuk membuat sistem dapat membaca partisi Windows dan memasukkan entri ke dalam fstab supaya Windows dapat boot dengan jayanya.

os-prober

Keluar dari persekitaran tersebut dengan Ctrl + d atau perintah:

exit

Unmount:

umount -R /mnt

Dan akhir sekali reboot:

reboot

Dah siap pun bahagian kedua kita, iaitu muat turun dan proses pemasangan/penetapan pakej sistem operasi. Sekarang, tanpa melengahkan masa lagi, kita pergi ke bahagian akhir iaitu pemasangan persekitaran meja.

Waktu anda reboot, anda akan disambut oleh GRUB. jangan lupa keluarkan atau remove terlebih dahulu live CD/DVD (ISO) yang ditetapkan sebelum pemasangan (kalau guna VirtualBox).

Log masuk dengan akaun root, dan kata laluan yang telah anda tetapkan di atas tadi.

Pasangkan semua keperluan sistem operasi. Kita perlukan display server untuk memaparkan sistem operasi dan aplikasi dalam bentuk GUI. Jadi kita pasangkan X.Org Server:

pacman -S xorg xorg-xinit xterm virtualbox-guest-utils

*Jika anda tidak menggunakan VirtualBox, maka anda boleh abaikan virtualbox-quest-utils.

Saya memilih untuk pasangkan persekitaran meja MATE Desktop serta semua komponennya, jadi baris perintah berikut digunakan:

pacman -S mate mate-extra

Ada lebih kurang 300MB lagi untuk dimuat turun dan dipasang. Bancuh kopi sekali lagi nampaknya sambil layan Avengers di Netflix.

Kemudian kita tetapkan pula akaun pengguna supaya dapat menggunakan perintah sudo:

EDITOR:nano visudo

Sila uncomment pada %wheel ALL=(ALL) ALL untuk membenarkan pengguna biasa menjalankan perintah sudo dan kemudian tambahkan nama pengguna anda di bawah baris. Sebagai contoh:

%wheel ALL=(ALL) ALL
arya ALL=(ALL) ALL

Bila dah selesai? Reboot sahaja.

Log masuk menggunakan akaun pengguna yang telah kita buat tadi. Seterusnya, cipta satu fail yang akan digunakan untuk masuk ke persekitaran meja MATE melalui xinitrc tanpa perlu menggunakan display manager (cara paling senang):

sudo echo “exec mate-session” > ~/.xinitrc

Gunakan perintah ‘startx’ untuk memuat (load) persekitaran meja, supaya ia keluar dan terpapar.

Siaplah sudah pemasangan Arch Linux, dual boot dengan Windows 10 beserta persekitaran meja MATE!

Saya harap anda akan dapat mencuba tutorial ini. Kalau tak faham boleh komen dan tanya. Kalau dah berjaya, boleh muat naik dan kongsikan gambar tangkap layar Arch Linux anda. Bab perkara yang perlu dibuat selepas siap pemasangan, kita perlukan satu artikel berasingan kerana artikel ini saja sudah cukup panjang.

Selamat mencuba!

Views: 11

Iklan Newspaper Inline

PrivateVPN: VPN Paling Sesuai Untuk ‘Kaki’ Strim

0

“Not all VPNs were created equal”.

Itulah hakikat yang sebenar. Ada VPN yang dibuat hanya untuk tujuan pelayaran ringan dan sekuriti umum. Ada yang khusus untuk individu pemuat turun tegar. Ada pula yang dibina dengan pelbagai ciri, khas buat para pengguna yang gemar mengubah tetapan.

Jujurnya, saya dah jarang menulis tentang VPN kerana pertama, saya sudah selesa dengan Surfshark.

Kedua, kesedaran masyarakat di Malaysia berkenaan dengan VPN masih di tahap terendah. Masing-masing yang menggunakan VPN hanya semata-mata untuk ‘bypass quota telco’, atau pun dijadikan usaha untuk melajukan internet. Walhal kegunaan VPN adalah lebih dari itu. Fungsinya luas, dan saya melihat yang kita masih lagi terkebelakang dalam hal kesedaran ke atas privasi serta sekuriti.

Tidak dapat tidak, bila ada servis yang menarik, saya juga masih harus mencuba untuk dimasukkan ke dalam senarai servis yang menarik. Saban hari saya tidak terjumpa, hinggalah diperkenalkan kepada PrivateVPN oleh seorang sahabat.

Apa yang menarik tentang PrivateVPN? Mari kita lihat dan rungkai satu persatu biodata dan ciri-ciri VPN ini.

Bidang Kuasa

PrivateVPN berada di bawah bidang kuasa Sweden, negara yang berada dalam kuasa perjanjian 14 Eyes.

Pun begitu, meskipun di bawah senarai 14 Eyes dan merupakan ahli Kesatuan Eropah, Sweden mempunyai Undang-Undang pengekalan data tersendiri.

Menurut sumber dalaman, mereka menemui kelemahan dalam penguatkuasaan Undang-Undang yang membolehkan mereka tidak mengumpul sebarang data peribadi pengguna.

Sejauh mana kebenarannya, kita selaku pengguna perlu lakukan kajian yang lebih terperinci mengenai hal ini. Apa yang penting, setakat yang saya telah cari, PrivateVPN masih belum kedengaran lagi sebarang skandal penjualan atau penyerahan data kepada mana-mana entiti, oleh itu rekod trak mereka bersih dan boleh dipercayai.

Sama kes seperti TorGuard. Mereka ini jatuh terus di bawah jajahan kuasa Amerika Syarikat, tetapi rekod trak mereka juga bersih dari sebarang penyerahan data kepada pihak berkuasa meskipun diminta.

Paparan Antaramuka

Ya, disebabkan tiada perkara yang perlu dibimbangkan mengenai kebocoran data dari servis ini, maka kita terus sahaja kepada paparan antaramuka aplikasinya.

 

Ia mempunyai dua pilihan paparan. Satu versi ringkas (Simple), dan satu lagi versi termaju (Advanced).

Secara asasnya, pada saya paparan antaramukanya kelihatan agak terkebelakang a.k.a ketinggalan zaman. Saya masih ingat lagi paparan seperti ini ada pada aplikasi VPN di sekitar tahun 2011 dahulu, iaitu ketika saya baru mula-mula hendak belajar menulis.

Jika anda tidak percaya, mari lihat pula paparan termajunya:

Tidak lupa juga ia tidak mempunyai ‘dark mode’ atau tema gelap yang sudah ada pada kebanyakan aplikasi lain. Secara adilnya, banyak servis VPN lain yang juga tidak ada tema gelap pada aplikasi, tetapi ia sudah sepatutnya menjadi standard pada tahun 2020 ini.

Ditambah lagi, Surfshark sudah pun ada ciri tersebut. Jadi, saya memang berharap dapat lihat pilihan untuk mengaktifkannya ada.

Meskipun begitu, saya dapati ia mempunyai aplikasi untuk pelbagai jenis platform, seperti Windows, macOS, iOS, Android, Linux, dan juga router.

Untuk Linux, yang masih menjuarai dari segi paparan antaramuka ialah TorGuard, bahkan mereka ada membuat klien khusus untuk Arch Linux. Ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan – menyediakan GUI untuk Linux terutamanya Arch Linux, patut dijadikan contoh untuk setiap servis yang hendak beroperasi.

Bagi PrivateVPN, kliennya masih lagi bergantung kepada Network Manager. Ahh, saya tidak dapat nak rungutkan terlalu banyak kerana VPN yang sedang saya gunakan sekarang iaitu Surfshark juga menggunakan Terminal atau Network Manager untuk membuat sambungan VPN.

Sokongan Servis Penstriman

Saya terus kepada sokongan servis penstriman adalah kerana saya rasakan ini adalah kekuatan di sebalik kelemahannya.

Setiap pelayan telah dimasukkan ke dalam kategori atau servis penstriman masing-masing.

Sejauh yang saya sudah cuba, saya berpuas hati dengan prestasi yang diberikan. Ini ditambah dengan ciri kekuatan tahap enkripsi yang boleh dipilih, bererti jika anda inginkan kelajuan untuk strim servis pilihan anda, hanya perlu tukarkan enkripsi kepada AES-128-GCM, manakala jika hendakkan sekuriti yang lebih kuat, pilih 256.

Baik Netflix mahupun YouTube, kedua-duanya tiada masalah penimbalan atau buffering.

Sistem Sokongan

Buat masa ini, saya hanya dapat menghubungi sistem sokongan melalui emel. Saya belum dapat hubungi staf mereka melalui tetingkap bual.

Pada saya, ciri ini amatlah penting kerana mana-mana pelanggan yang sedang mengalami masalah, boleh rujuk secara terus kepada staf yang bertugas.

Tetapi sistem tetingkap bual tidak diaktifkan 24/7. Ini sedikit menghampakan, kerana saya berhasrat untuk menemuramah mana-mana staf yang menjawab. Apa pun, saya difahamkan bahawa mereka ada menyediakan sistem sokongan berasaskan kawalan jauh menerusi TeamViewer. Ini boleh dikatakan sangat bagus, dan mana-mana servis VPN yang lain boleh mengambil ia sebagai contoh.

Stealth VPN

Stealth VPN ialah ciri Anti-DPI yang mana pada saya amatlah penting pada sesebuah VPN. Ciri ini harus dijadikan sebagai kayu ukur atau penanda aras kepada kematangan servis dan aplikasi.

Anti-DPI akan cuba bertindak melangkau sekatan firewall yang ‘melampau’ seperti Great Firewall of China. Apa guna ada VPN terpasang, tetapi tidak mampu untuk melepasi sekatan internet, kan?

Harga Langganan

Harga langganan bermula dari RM30+ untuk sebulan, kepada RM60+ untuk tiga bulan, dan juga RM200+ untuk 12 (percuma sebulan).

Disebabkan ia boleh digunakan hingga 6 peranti serentak, maka harga langganan menjadi sangat murah jika anda berkongsi dengan rakan-rakan lain yang berminat.

Extension/Addon

Maaf, PrivateVPN tidak menyediakan sebarang extension atau addon untuk pelayar web. Saya harap perkara ini akan berubah di masa akan datang dan PrivateVPN dapat membuat extension yang mampu menyamai fungsi pada aplikasi.

Ujian Kebocoran DNS

Walaupun paparan antaramuka aplikasinya agak bercirikan ‘lama’, tetapi jangan pandang rendah kepada kemampuannya. Dari ujian yang dijalankan, ia tidak membocor sebarang maklumat IP asal kepada laman sesawang DNS Leak Test.

Bak kata orang-orang tua dulu, biar rupa hodoh, asal perangai baik.

PrivateVPN baik perangainya.

Konklusi

PrivateVPN mungkin tidak mempunyai jumlah pelayan sebanyak NordVPN, atau ExpressVPN, tetapi ciri yang ada padanya bolehlah dikatakan cukup untuk memuaskan hati pengguna.

Pada saya, kekuatan PrivateVPN yang sebenar ialah kemampuannya untuk strim di pelbagai laman penstriman. Senarai pelayan yang menyokong laman-laman tersebut adalah ‘secukup rasa’. Anda boleh lihat dan semak sendiri senarai pelayan yang ada.

Ia juga menyokong P2P/torrent, dan kaki muat turun tegar tidak akan berasa sesal dengan kelajuan yang diberikan. Secara keseluruhan, saya boleh mengesyorkan VPN ini kepada mereka yang tegar strim, muat turun torrent, dan mereka yang pentingkan prestasi/kelajuan. Bagi anda yang berasa kurang senang dengan statusnya yang berada di wilayah 14 Mata, dan anda rasa keselamatan data tidak beberapa teguh berada pada PrivateVPN, anda bolehlah cari servis lain.

Jangan peningkan kepala.

Kalau yakin, langgan sahaja. Jika kurang yakin atau kurang senang, banyak lagi servis lain ada di luar sana.

Saya sendiri? Pada saya, selagi servis VPN tersebut mempunyai rekod trak yang bersih dan tidak pernah ada kes kebocoran data di mana-mana, mereka layak dipercayai.

“Tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah”.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Buang Bloatware Dalam Windows 10 Dengan Debotnet

0

Sudah beberapa tahun Windows 10 dilepaskan kepada pengguna, namun ia masih dihantui oleh jumlah bloatware yang boleh menyempitkan ruang storan berguna.

Ada pelbagai tools berguna yang boleh digunakan untuk membantu kita untuk membuang segala jenis bloatware yang ada dalam Windows 10. Baik dalam bentuk skrip baris perintah, ataupun yang dah ditambah dengan GUI, semuanya mempunyai satu matlamat yang sama.

Kali ini kami memperkenalkan Debotnet, sejenis tool yang boleh mengubah tetapan-tetapan dalam Windows 10, terutamanya dari sudut privasi, dan boleh juga membuang semua bloatware yang tidak diingini.

Apa yang menarik, Debotnet tidak perlu dipasang pada sistem operasi. Cukup sekadar klik dua kali, dan ia akan terus dijalankan. Sifat mudah alih seperti ini menjadikan ia dapat di bawa ke mana-mana melalui storan luaran seperti pemacu USB anda.

Selain itu, ia juga tidak sukar untuk difahami. Di sebelah kiri sidebar menempatkan senarai kategori pilihan untuk menjalankan tugasan seperti mematikan tetapan-tetapan telemetri, membuang bloatware, menyahpasang Cortana, dan pelbagai lagi pilihan.

Anda hanya perlu tandakan sahaja di dalam kotak berkenaan, pada mana-mana pilihan tugasan yang anda mahu ia buat, dan klik seterusnya klik pula pada ‘Run’. Ia akan terus menjalankan skrip penyahpasang, atau skrip-skrip penyahaktif tetapan sehingga selesai.

Debotnet juga ada menempatkan satu ruang khas bagi ‘Ninite’.

Ninite ialah sistem pengurusan pakej yang membolehkan pengguna memasang perisian-perisian lazim ke dalam sistem operasi Windows. Ia juga membolehkan pengguna untuk membuat satu koleksi perisian ke dalam satu fail pemasang sahaja.

Melalui Debotnet, ia telah siap sedia menyenaraikan pelbagai aplikasi lazim yang biasa terdapat dalam laman Ninite. Seperti fungsi asalnya, anda hanya tinggal klik sahaja pada nama aplikasi yang diingini, dan Debotnet akan selesaikan semuanya. Tak perlu lagi tercari-cari dari satu ke satu laman web.

Nak cuba?

Muat turun di sini: Debotnet.

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

Benarkah Facebook Mendengar Perbualan Pengguna Dan Menukarnya Kepada Iklan?

0

Pernah tak, bila anda ada perbualan dengan seorang rakan tentang sesuatu, contohnya Pizza, tak lama selepas itu bila anda buka Facebook, keluar iklan berkaitan Pizza.

Khabar angin tentang Facebook mendengar perbualan penggunanya bukan benda baru. Ia bukan sahaja tidak benar, malah sebenarnya Facebook tidak perlu merekod setiap perbualan untuk mengeluarkan iklan bersasar.

Pertama sekali, mari kita huraikan dahulu kenapa ia tidak berasas. Teorinya begini: Facebook boleh merekod dan menganalisa setiap apa yang diperkatakan oleh penggunanya, iaitu anda, kita, kucing, makcik rumah sebelah, pokok, Tupperware, dan sebagainya lagi. Huh.

Jika Facebook mendengar dan merakam setiap perbualan anda, katakanlah hanya 12 jam sahaja dalam sehari, dengan pilihan kualiti audio paling rendah iaitu 32kbps, maka ia perlu menghantar data rakaman suara kembali ke pelayan sebanyak 169MB setiap hari.

Ini agak tidak masuk akal, ditambah lagi dengan kebanyakan pengguna di Malaysia menggunakan plan prabayar yang mempunyai kuota data kecil. Rakaman seperti ini akan dapat menghabiskan data sebanyak 5GB sebulan – tidak termasuk dengan aktiviti sampingan anda seperti menonton video di YouTube, Netflix, dan sebagainya.

Tidak lupa juga, 32kbps adalah rakaman berkualiti super-rendah. Jika Facebook hendak mendapatkan rakaman yang lebih baik bagi analisa mesinnya, mereka memerlukan audio dengan kualiti 128kbps. Rakaman untuk 12 jam dari kualiti ini pula akan menggunakan sebanyak 675MB data anda, dan lebih kurang 20GB sebulan.

Sekiranya ini berlaku, mustahillah anda tidak akan perasan. 20GB tu! Jangan kata pakar sekuriti internet, orang biasa pun akan dapat mengesan perbuatan seperti ini kerana ‘beratnya’ data yang dihantar keluar.

Oleh itu, munasabah atau tidak teori ini?
Ya, jawapannya tidak.

Jadi, bagaimana caranya Facebook mendapatkan data hiper-khusus penggunanya sehingga keluar pula iklan hiper-khusus?

Facebook tidak perlu buat semua perkara yang sangat tidak praktikal seperti itu (mendengar rakaman perbualan). Ini adalah kerana Facebook sudah mempunyai data-data anda, lebih dari mencukupi untuk membuat penalaan identiti unik.

Baru-baru ini, Facebook ada melepaskan satu ciri yang amat penting untuk disemak iaitu Off-Facebook Activity. Anda boleh lihat segala data yang telah dikutip oleh Facebook pada pautan ini: Off-Facebook Activity

Anda juga boleh lihat ia melalui aplikasi Facebook. Pergi ke Settings – skrol ke bawah hingga ke bahagian Your Facebook Information – Off-Facebook Activity.

Apa sebenarnya yang boleh kita rumuskan melalui bahagian ini?

Pernah tak anda menonton filem bertajuk ‘The Truman Show‘, di mana watak bernama Truman Burbank (Jim Carrey) hidup dalam satu dunia palsu ciptaan rancangan realiti TV. Seluruh hidupnya menjadi bahan rakaman, dari hal umum hinggalah yang melibatkan hal peribadi.

Begitulah jua perumpamaan apa yang telah dibuat oleh Facebook ini. Melalui ‘Off-Facebook Activity’, iaitu data setiap aktiviti anda yang telah dijejaki oleh Facebook dengan pelbagai kaedah, ia menunjukkan bahawa Facebook, dan aplikasi lain yang berada di bawah seliaannya iaitu Instagram, Messenger, WhatsApp – tidak memerlukan mikrofon untuk merakam setiap aktiviti dalam hidup anda.

Meskipun anda menutup aplikasi Facebook di telefon, mereka akan tetap dapat mengesan aktiviti di luar talian anda apabila mereka menerima notifikasi dari syarikat-syarikat lain yang menyerahkan ia secara sukarela.

Anda tidak buka Facebook tetapi ada mencari informasi mengenai pakej percutian? Jangan bimbang. Sebentar lagi anda akan menerima iklan mengenainya.

Facebook menerima informasi tersebut menerusi trackers (penjejak) dan juga dari syarikat yang mengambil bahagian menggunakan apa yang dipanggil oleh Facebook sebagai ‘Business Tool’. Trackers atau ‘mata-mata’ Facebook ini sudah ada dan boleh dikatakan hampir pada setiap laman sesawang popular.

Maklumat anda yang dihantar di luar aplikasi Facebook itu, akan disimpan pula oleh Facebook lalu membentuk data spesifik diri anda – dari pembelian ubat nyamuk, kasut, makanan, hinggalah kepada makanan kucing, dan pembayaran ansuran bulanan kepada AEON Credit.

Anda boleh rujuk mengenai Off-Facebook Activity di laman Facebook: Off-Facebook Activity: Control your information.

Ini bukanlah perkara baru, cuma bagaimana, dari mana, dan bila Facebook menerima data-data kita itulah yang baru ditunjukkan di bahagian ini.

Sudah bertahun lamanya Facebook bekerjasama dengan pelbagai syarikat yang bersedia berkongsi data pengguna, dan mereka inilah yang menjadi ‘kamera serta mikrofon’ bagi pihak Facebook.

Off-Facebook Activity ini memberikan gambaran yang agak jelas akan cara Facebook mengeluarkan iklan bersasar yang begitu tepat sekali kepada para pengguna, dan ia juga ada memberi (sedikit) kawalan data serta bagaimana ia digunakan, kepada pengguna Facebook.

Data yang dikumpul itu diletakkan dalam beberapa kategori dan minat. Sebagai contoh mungkin saya sendiri dimasukkan ke dalam ruangan penduduk di Putrajaya – minat kucing. Jadi saya berasa tidak beberapa hairan jika keluarnya iklan mengenai kucing dan lain-lain perkara yang seangkatan dengannya.

Ini semua tidak susah pun untuk Facebook perolehi, kerana kebanyakannya diserahkan sendiri oleh anda. Tak percaya?

Anda boleh lihat di sini pula: Ad Preferences.

Ini adalah contoh sebahagian dari aktiviti yang dikategorikan sebagai ‘minat’ saya, dan diasingkan pula oleh Facebook menjadi satu bahagian khusus untuk membentuk profil diri:

Jadi, konklusinya di sini, Facebook ada cara yang begitu hebat sekali dalam melakukan pemantauan, perisikan (boleh guna kot istilah ni ya?), dan pengintipan serta pengutipan data pengguna mereka, dari cara dalam aplikasi, dalam talian, dan juga luar talian.

Kesemua maklumat diri pengguna disusun secara terperinci, lalu profil khusus pun terbentuk. Pengguna tidak lagi perlu untuk klik butang ‘suka’ atau log masuk menggunakan butang Facebook pada aplikasi tertentu, kerana ‘tools’ atau ‘trackers’ mereka ada di mana-mana.

Anda tidak perlu bimbang tentang penggunaan mikrofon pada telefon anda, sebaliknya gunakanlah apa yang telah disediakan oleh Facebook melalui pautan-pautan yang saya kongsikan di atas untuk mengawal dan menyelia data peribadi anda.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Instarobot: Bot Pembantu Pengurusan Akaun Instagram Anda [Post Ditaja]

0

Untuk artikel kali ini, mamu akan mengulas satu aplikasi untuk hangpa yang menggunakan Instagram sebagai platform perniagaan hangpa. Aplikasi Instarobot ini membantu hangpa follow akaun Instagram yang tulen dari dalam Malaysia. Senang kerja hangpa tak perlu nak tekan butang follow  tetiap akaun yang hangpa nak.

Aplikasi ini pun boleh auto like,comment dan view stories  akaun yang hangpa dah follow. Bagi mamu fungsi boleh lancarkan 5 akaun Instagram hangpa serentak menyenangkan kerja hangpa tanpa perlu pening nak tukar akaun dari dalam telefon hangpa.

Mari kita lihat paparan antaramuka aplikasi bermula dari paparan pertama hangpa akan tengok masa mula-mula hangpa lancarkan aplikasi ini.

Paparan Antaramuka

Dari paparan ini, hangpa kena tambah akaun Instagram hangpa dulu sebelum boleh guna. Hangpa boleh tambah,edit akaun atau buang akaun yang dah dimasukkan. Proses disini sekejap sahaja melainkan hangpa lupa kata laluan Instagram hangpa, tu lain cerita pula kan.

Paparan Utama Aplikasi

Lepas hangpa dah login, ini paparan yang hangpa akan lihat. Dari sini ada 7 tetapan yang hangpa boleh gunakan untuk dapatkan followers baru. Kita akan dive in tetapan yang ada dalam aplikasi ini.

Tetapan Utama

Dari sini,hangpa boleh tetapkan jenis pengguna yang hangpa nak follow, tetapan untuk like and comment gambar sahaja, gunakan pelayar lain selain dari built in punya. Hangpa dah guna nanti, hangpa tau la mana tetapan sesuai untuk pengguna hangpa.

Filters

Kat sini, hangpa boleh tetapkan dengan lebih tepat jenis akaun yang hangpa nak follow. Hangpa boleh tetapkan akaun jenis followers ramai ka, jenis post banyak ka, terpulang pada strategi hangpa sendiri.

Time Delay

Bagi mamu, tetapan kat sini paling penting pasai kalo time interval terlalu pendek, Instagram boleh block akaun hangpa sementara waktu. Tetapan sesuai yang mamu dapat biarkan time interval dia tinggi sikit supaya ada masa rehat antara setiap arahan aplikasi ini buat. Selama mamu pakai, belum lagi hadapi masalah kena block.

Proxy

Hat ni tetapan untuk hangpa yang level leet. Mamu biarkan seadanya pasai takdak masalah nak hubungkan aplikasi ni dengan akaun.

Tag Search

Kita berbalik ke antaramuka utama. Tetapan pertama yang perlu hangpa buat adalah buat pencarian tag bersesuaian. Macam mamu gunakan tag pakejperkahwinan sebagai contoh. Bila hangpa mulakan carian, dia amik masa sikit bergantung berapa ramai pengguna menggunakan tag tersebut. Dalam carian mamu, jumlah pengguna menggunakan tag tersebut dalam 15k pengguna. Dah selesai kat sini, kita pi ke langkah seterusnya.

Auto Follow

Kat sini semua pengguna yang hangpa dah kumpul tadi boleh follow secara automatik. Kat sini amik masa untuk aplikasi ini nak auto follow pasai mamu tetapkan untuk  follow sebanyak 25 akaun dan time interval yang dah disarankan supaya tak kena block. Proses mengambil masa dalam lebih kurang 30 minit.

Auto Unfollow

Tetapan kat sini agak self explanatory. Akaun hat mana tak follow hangpa atau hangpa nak unfollow akaun yang hang dah follow menggunakan aplikasi nih, hangpa boleh tetapkan kat sini.

Auto Like

Penat nak like gambar satu persatu dengan akaun yang hangpa follow dekat beribu tu? Haa kat sini hangpa boleh buat tu semua secara automatik dan hangpa boleh tumpukan main PUBG takpun COD Mobile.

Auto Comment

Kat tetapan sini, hangpa boleh set komen apa hangpa nak letak kat gambar akaun yang hangpa follow tu. Komen biar hat suci murni. Toksah dok komen spam. Kang kena block toksah mai keriau kat mamu pula.

Auto View Story

Nak tengok story akaun yang hangpa ikut tu ka? Jangan risau,kat sini boleh tetapkan akaun yang aktif dan aplikasi nih akan jalankan arahan tu secara automatik tanpa perlu pening kepala nak tengok satu persatu.

Auto Accept

Benda nih paling penting untuk akaun yang ditetapkan private. Tetapan nih membolehkan hangpa auto approve akaun yang nak follow akaun hangpa. Kena plak hangpa nih Instaselebriti, takkan nak tekan satu persatu kan.

Fullscreen Layout

Kalo hangpa jenis nak tengok paparan penuh, ini adalah bagaimana aplikasi nih jalan serentak dengan akaun Instagram hangpa tu. Sambil tunggu aplikasi tu siap jalankan program dia, hangpa boleh la tengok akaun lain kat Instagram.

Resizer

Bagi mamu, tetapan nih antara paling penting. Kerja nak ubahsuai saiz gambar untuk akaun hangpa lebih mudah tanpa perlu aplikasi lain. Tetapan ni dah terbina dalam aplikasi nih. Ini banyak membantu kalo hangpa ada banyak gambar nak diubahsuai untuk akaun Instagram hangpa.

Secara keseluruhan, aplikasi InstaRobot dapat membantu hangpa mencari dan ikut akaun yang organik secara automatik. Ini dapat menjimatkan masa hangpa dari nak mencari satu persatu akaun yang bersesuaian untuk bisnes atau minat hangpa.

Untuk info lebih lanjut, hangpa boleh layari saluran telegram InstaRobot di https://t.me/rahsiaebiz. Kat situ ada pelbagai informasi lain untuk hangpa guna untuk akaun Instagram hangpa.

Bagi hangpa yang berminat dengan robot Insta ni dan teringin nak mendapatkannya,
bolehlah join channel Telegram ni: https://t.me/rahsiaebiz

Sekian dulu ulasan dari mamu. Hingga kita ketemu lagi di artikel akan datang.

*Nota: Pos ini adalah iklan. Kandungan di dalam tidak mewakili pandangan atau pendapat OMG Hackers.

Post seperti ini membiayai semua barangan yang anda lihat di OMG Hackers, dan anda boleh membantu kami lebih lanjut dengan menyemak produk atau perkhidmatan yang dipaparkan di halaman ini.

Berminat dalam pos tajaan atau pilihan pengiklanan yang lain? Isikan borang ini.

**Anda juga boleh klik gambar ini untuk ke channel Telegram tersebut.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Apa Itu Browser Fingerprinting?

0

Zaman ini kita memang sudah agak sukar nak larikan diri dari penjejakan (tracking). Boleh dikatakan kebanyakan syarikat besar hendakkan data peribadi kita supaya mereka boleh mencipta data demografik terperinci bagi tujuan penjualan atau penggunaan untuk iklan yang disasarkan (targeted advertising).

Ada banyak cara unik yang boleh digunakan untuk menjejak kembali apa yang pernah dilakukan oleh pengguna di dalam talian. Salah satunya ialah Browser Fingerprinting.

Setiap perkara yang kita lakukan dalam talian akan meninggalkan jejak. Cuma berapa peratus kita dapat kurangkan penjejakan itulah yang membezakan antara seorang pengguna dengan yang lainnya.

Browser Fingerprinting boleh diterjemahkan sebagai berikut:

“Cap jari peranti, cap jari mesin atau cap jari pelayar adalah maklumat yang dikumpulkan mengenai peranti pengkomputeran dari jarak jauh untuk tujuan idetifikasi. Cap-cap jari boleh digunakan untuk mengenali sepenuhnya atau sebahagian pengguna atau peranti individu walaupun cookies telah dinyahaktif.”

Ini bererti, apabila anda menyambung ke internet pada komputer riba atau telefon pintar anda, peranti anda akan menghantar seberapa banyak data tertentu ke pelayan penerima mengenai laman web yang anda lawati.

Browser fingerprinting atau kita panggil mulai dari sini, penjejakan cap jari pelayar adalah kaedah berkesan yang digunakan oleh laman web untuk mengumpul maklumat mengenai jenis dan versi pelayar web anda, sistem operasi, pemalam aktif, zon waktu, bahasa, resolusi skrin dan pelbagai tetapan aktif lain.

Data-data ini mungkin kelihatan umum pada permulaannya, dan tidak semestinya ia dilihat khusus untuk mengenal pasti seseorang individu. Akan tetapi, terdapat peluang yang sangat kecil bagi pengguna lain untuk mempunyai informasi pelayar yang menepati 100% kriterianya.

Laman web menggunakan maklumat yang disediakan oleh pelayar untuk mengenal pasti pengguna unik dan mengesan tingkah laku dalam talian mereka. Oleh itu proses inilah yang dipanggil sebagai pengesanan cap jari pelayar a.k.a browser fingerprinting.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengesanan cap jari pelayar ini, anda bolehlah baca panduan yang disediakan oleh laman PixelPrivacy mengenai bagaimana cara anda dijejak melalui pelayar web, dan bagaimana pula cara untuk anda ‘mempertahankan’ data peribadi dari dikutip rata oleh syarikat-syarikat di luar sana.

Panduan tersebut boleh dibaca di sini: Browser Fingerprinting: What Is It and What Should You Do About It?.

*Terima kasih kepada saudara Bill Hess dari PixelPrivacy kerana berkongsi informasi ini.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Luno Mengumumkan Kerjasama Dengan Platform E-Dagang Shopee

0

  • Melalui perkongsian ini, rakyat Malaysia kini dapat membeli baucar Shopee dan menukarnya ke dalam mata wang crypto pada Luno.
  • Ini adalah perkongsian/kerjasama pertama antara e-dagang dan crypto di Malaysia.

Kuala Lumpur, 28 Januari, 2019 – Luno dan Shopee mengumumkan kerjasama baru yang menarik hari ini iaitu kerjasama pertama antara pemain e-dagang dan platform crypto di Malaysia. Sebagai hasil dari kerjasama ini, rakyat Malaysia kini ada
akses kepada tawaran, diskaun, dan baucar di Shopee yang mereka boleh beli serta menukar kepada cryptocurrency seperti Bitcoin dan Ethereum pada platform pertukaran crypto yang dikendalikan Suruhanjaya Sekuriti – Luno.

“Menjadi pertukaran (mata wang crypto) terkawal membolehkan kami meneroka cara baru untuk memperluaskan akses kepada crypto bagi pengguna di Malaysia. Pendekatan inovatif ini adalah untuk memanfaatkan pengaruh pemain e-dagang seperti Shopee. Kami mengharapkan usaha ini dapat menggerakkan kesedaran besar-besaran penggunaannya, memudahkan pengguna di Shopee mengakses crypto dan memulakan pelaburan baru. Kami sememangnya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Shopee untuk projek lebih besar, ” kata Aaron Tang, Pengurus Negara, Luno Malaysia.

Syarikat yang berpangkalan di London berhasrat untuk memanfaatkan pangkalan besar pengguna Shopee dalam mencipta
kesedaran dan menarik pelanggan baharu dengan menawarkan baucar Bitcoin RM 15 pada harga RM1 sahaja.

Itu, bersama-sama dengan baucar menarik lain yang terdapat di kedai rasmi Luno di Shopee, adalah
langkah penting untuk membawa kriptografi ke arus perdana.

“Salah satu sebab utama mengapa kami, platform e-dagang terkemuka di Malaysia, mampu
untuk terus maju adalah kerana kami berusaha membuat pelbagai produk kami menjadi lebih luas dan
boleh diakses oleh semua orang. Pada tahun 2019, Shopee membolehkan pembelian hartanah, kereta, tawaran F&B
dan lebih banyak lagi pada platform kami. Pada Januari 2020, kami kini memberi peluang kepada pengguna untuk mencuba cryptocurrency melalui kerjasama ini dengan Luno, ” kata Kenneth Soh, Ketua Shopee Mall, Shopee Malaysia.

Promosi Tahun Baru Cina (CNY) akan dijalankan pada Shopee sehingga 10 Februari, 2020
dan termasuk tawaran baucar serendah RM 0.88. Baucar tersedia untuk pengguna baru dan pengguna sedia ada.

Di samping itu, sebagai sebahagian daripada sambutan perayaan CNY, Luno menawarkan diskaun
yuran perdagangan, dengan menurunkan 0.2% untuk semua pelanggan sehingga 31 Mac, 2020; juga pada perdagangan sedia ada.

Mengenai Luno

Luno adalah syarikat mata wang crypto global yang terkemuka dalam misi untuk meningkatkan sistem kewangan dunia menjadi lebih baik.

Dengan satu pasukan lebih dari 300 orang dan kini mempunyai ibu pejabat di London dengan
hab serantau di Singapura dan Cape Town. Luno adalah Pertukaran Asset Digital yang pertama diluluskan sepenuhnya di Malaysia, yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Luno gembira dapat disenaraikan dalam sepuluh tertinggi dari Penanda Aras Pertukaran CryptoCompare diterbitkan pada 19 November, 2019.

Dengan lebih daripada 3 juta pelanggan yang merangkumi lebih dari 40 buah negara, produk dan perkhidmatan Luno menjadikannya selamat dan mudah untuk membeli, menjual, menyimpan dan belajar tentang kriptografi seperti Bitcoin dan Ethereum.

Kedai rasmi Luno di Shopee: https://shopee.com.my/luno.os

Dari kiri, ke kanan:

1. Kenneth Soh, Ketua Shopee Mall, Shopee Malaysia.
2. Aaron Tang, Pengurus Negara, Luno Malaysia.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Wawancara Bersama Ketua Unit Keselamatan Siber MCCA, Encik Mohamad Zulfahmy

0

Pada asalnya beberapa soalan disediakan untuk tujuan wawancara ini. Namun hanya dengan satu soalan sahaja, ia berjalan terlalu panjang penghuraiannya hingga menyebabkan saya sendiri terpaksa memberhentikannya.

Wawancara atau temuramah ini dibuat atas dasar rasa kesedaran terhadap isu-isu ‘panas’ melibatkan privasi dan penggunaan data peribadi, terutamanya dari kalangan orang awam yang kebanyakannya hanya memandang ‘wang percuma’ berbanding apa yang perlu ditukar ganti.

Untuk itu, saya menemui seseorang yang boleh dikatakan telah pun lama berkecimpun dalam hal ehwal penggodaman serta penjagaan sekuriti laman web di Malaysia ini. Beliau yang saya maksudkan ialah encik Mohamad Zulfahmy Roslan.

Merupakan Ketua Unit Keselamatan Siber Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA). Beliau juga banyak mengemaskini mengenai hal-hal sekuriti siber di blognya, iaitu zulfahmy.net.

Maka pertemuan pun diatur, soalan diaju, dan saya mula mencatit sebelum menulis ia semula di laman ini.

Zulfahmy memulakan diskusi dengan bersemangat.

Soalan:

Apakah pandangan encik Zulfahmy, mengenai isu-isu melibatkan privasi baru-baru ini. Contohnya yang ‘panas’, ialah seperti penukaran data peribadi dengan wang dalam e-wallet sebanyak RM30.

Adakah kita perlu berasa bimbang dengan barangkali ‘niat tersembunyi’ di sebalik pemberian tersebut?

Apa yang perlu kita lakukan sebagai pengguna bagi menjaga data dari dijual pihak tertentu?

Zulfahmy:

Pada pandangan saya, kita tidak perlu berasa bimbang. Inisiatif ini, adalah satu inisiatif yang baik dari kerajaan kerana ia dapat menggalakkan penggunaan e-wallet di kalangan rakyat.

Kita sebenarnya agak terlambat dalam hal ini. Ambil contoh negara China, mereka sudah lama mewajibkan rakyat mereka menggunakan e-wallet melalui medium WeChat Pay.

Ia satu bentuk timbal balik kerana yang pertama, ia memudahkan rakyat China berbelanja di mana sahaja tanpa perlu membawa wang tunai di dalam poket. Kedua, ia membantu kerajaan mereka mengurus data rakyatnya, dari segi bentuk wang yang digitalkan dan ke mana rakyatnya membelanjakan wang tersebut.

Jadi dari segi pihak kerajaan, kita tak perlu berasa risau. Mereka ada tujuan dalam pelancaran ‘wang percuma’ ini. Tak mungkin ia dilaksanakan kerana political mileage semata-mata.

Apa yang perlu kita tekankan di sini ialah, kita perlu ambil tahu siapakah penyedia perkhidmatan yang mengendalikan soal keluar masuk wang ini.

Rakyat juga mesti mengambil tahu dan bersikap mengambil berat terhadap terma dan syarat yang mereka persetujui, kerana berkemungkinan terdapat klausa yang mengatakan penyedia tersebut boleh berkongsi data mereka dengan pihak ketiga.

Ini boleh terjadi dengan cara penjualan, yang mana kebanyakan data ini amat dikehendaki oleh para pengiklan dalam mendapat dan membentuk data demografik penggguna untuk tujuan iklan sasaran (targeted advertising).

Nak dapatkan data pengguna pada zaman ini, kita sudah tidak lagi perlu menggodam. Ia dapat dibocorkan sendiri oleh pengguna melalui peranti yang sedang mereka gunakan dengan hanya mengklik butang ‘Saya Setuju’ tanpa membaca terlebih dahulu terma dan syarat-syarat pihak penyedia perkhidmatan.

Tidak pernahkah kita terfikir, dari mana individu-individu penipu (scammers) ini dapat nombor kita?

Ada pelbagai sumber mereka boleh dapat, dan salah satunya ialah melalui penyedia perkhidmatan ini. Ada juga yang (boleh jadi) datang dari data-data peribadi yang anda serahkan melalui bentuk kajian soal selidik, sama ada atas talian mahupun luar talian.

Soalan yang pada awalnya hanyalah sekadar nama, umur, dan status perkahwinan, apabila diklik butang ‘Next’, bertambah menjadi soalan yang semakin peribadi seperti jumlah gaji bulanan/tahunan, di mana selalu berbelanja, apa yang selalu dibeli, dan sebagainya lagi.

Data demografik yang dibeli oleh syarikat-syarikat pengiklanan itu, pada saya ada pro dan kontranya. Dari segi pro, kita akan mendapat iklan juga, contoh di Facebook, Instagram. Tetapi iklan yang keluar sekurang-kurangnya tidaklah mengarut kerana ia terhasil dari apa yang telah kita kongsikan dengan syarikat tersebut sebelum ini.

Dari segi kontra, pada zaman ini kita sudah tidak dapat lari lagi dari perkongsian data. Google, Facebook, Apple, dan lain-lain syarikat gergasi sudah menyimpan pelbagai data kita yang bukan sahaja betul, malah terlalu tepat pula. Di mana kita berada, pada jalan apa, lorong berapa, semua sudah diketahui oleh mereka.

Cuma, ada bagusnya sebelum kita klik butang ‘I Agree’ itu, kita bacalah terlebih dahulu apa yang kita kongsikan, dan dengan siapa pula kita berkongsi. Kita nak kongsi data dengan siapa yang kita percaya. Itulah perkara pokok di sini. Kita harus menekankan soal integriti syarikat penyedia perkhidmatan, agar tidak timbul isu tentang data kita dimanilupasi di kemudian hari.

Jangan kerana kita terlalu sukakan barang percuma, kita bergolok gadaikan data peribadi hanya kerana kita tak nampak kesannya pada ketika itu. Kesannya yang kita akan terima adalah lebih berat dan membebankan.

OMGH: Terima kasih banyak encik Zulfahmy. Kami amat hargai masa dan penerangan yang diberikan. Informasi ini serba sedikit akan dikongsikan kepada semua pembaca omghackers.com agar mereka dapat cakna dan wujud kesedaran dalam soal menjaga data peribadi mereka dari jatuh ke tangan yang salah.

*Jawapan beliau terpaksa saya pendekkan sedikit kerana jika terlalu panjang sekalipun, saya pula yang bimbang orang tak akan baca.

Zulfahmy boleh ditemui di Facebook: Mohamad Zulfahmy.

Beliau juga boleh dihubungi melalui LinkedIn: Mohamad Zulfahmy | Linkedln

Zulfahmy sedang tekun menerangkan situasi e-wallet.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

WhatsApp Beta Kini Sudah Mempunyai Tema Gelap

0

Hari ni saya mengemas kini WhatsApp kepada versi beta terbaru, dan saya agak teruja kerana akhirnya WhatsApp melepaskan tema gelap kepada aplikasi permesejan ini.

Dengan versi 2.20.13, WhatsApp sudah pun berwajah baru. Ia menempatkan tema biasa (cerah) dan gelap yang boleh ditukar melalui tetapan.

Untuk menukarkan tema, anda boleh navigasi ke arah Settings – Chats – Theme dan boleh pilih dari senarai pilihan yang ada iaitu System default, Light, dan Dark.

Setakat ini, tema gelap hanya hadir pada penguji beta Android, dan jika anda inginkan tema gelap ini pada aplikasi, anda perlu pasang versi beta yang dinyatakan di atas.

Untuk Android 9 dan ke bawah, ‘System default’ akan ditukar kepada Set by Battery Saver.

Anda boleh lihat bagaimana rupanya melalui tangkap layar di bawah.

Muat turun WhatsApp apk versi 2.20.13 di sini: APKMirror.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

MaxisONE Home Fibre Menawarkan Zerolution Serendah RM1 Untuk Apple TV 4K

0

Baru sahaja kita dapat tahu yang unifi menawarkan unifi Plus Box, sekarang Maxis pula mula menawarkan Zerolution bersama Apple TV 4K 64GB, dan juga percuma langganan Apple TV+ selama setahun!

Anda rasa saya ada masa untuk menulis lebih panjang?

Anda betul. Silalah skrol ke bawah untuk mendapatkan info lebih lanjut mengenai plan ini.

Plan ini hadir untuk kelajuan serendah 30Mbps, hinggalah kepada plan premium mereka iaitu 800Mbps.

Apa yang menarik, setiap plan hadir dengan pilihan untuk mendapatkan tambahan Mesh WiFi sebanyak RM25 sebulan bagi plan 30Mbps hinggalah kepada plan 300Mbps, manakala untuk plan 500Mbps dan 800Mbps masing-masing diberikan sahaja Mesh WiFi tersebut secara percuma.

Terus kepada tajuk, MaxisONE Home Fibre tidak mahu kalah dengan unifi Plus Box, iaitu Android TV Box yang ditawarkan oleh unifi. Maxis meletakkan Apple TV 4K sebagai sandaran dalam pertempuran plan kali ini di mana untuk plan 30Mbps hingga 300Mbps, ia dimasukkan ke dalam pakej Zerolution dengan bayaran bulanan sebanyak RM39 yang akan disertakan bersama langganan Apple TV+ selama setahun.

Bagi plan 500Mbps dan 800Mbps, kedua-dua Apple TV 4K dan Apple TV+ diberikan kepada pelanggan dengan nilai Zerolution sebanyak RM1 sahaja!

Memang tak dapat disangkal lagi, walaupun plan ini nampak mahal, tetapi sekiranya mampu, apa yang diperoleh dari tawaran ini adalah satu langganan berpakej premium yang jarang-jarang didapati dari telco ini.

Apple TV 4K, rumah saya sedang menanti kehadiran kamu. Marilah. Tapi TV saya full HD saja.

Untuk anda yang berminat hendak melanggan, bolehlah ke pautan ini: MaxisONE Home Fibre.

Klik pada ‘Register interest now’.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline