Utama Blog Laman 107

Ratu Ilmu Hitam: Kegilaan Kolaborasi Antara Kimo Stamboel Dan Joko Anwar

0

Selamat tahun baru 2020!. Ini adalah review filem yang pertama bagi saya untuk tahun 2020 ini. Filem ini adalah filem ‘reboot’ pada era tahun 1981 iaitu Ratu Ilmu Hitam lakonan Suzzanna Martha Frederika van Osch.

SINOPSIS

Mengisahkan tiga orang anak yatim iaitu, Hanif (Ario Bayu), Jefri (Miller Khan), dan Anton (Tanta Ginting), kembali ke pusat rumah anak yatim, Pak Bandi (Yayu Unru).

Namun terdapat kejadian misteri yang melanda pada Hanif dan lain-lain sehinggakan mereka terpaksa mengharungi dugaan yang melampau.

ULASAN

Isu utama filem ini adalah dendam, fitnah dan ilmu hitam.

Filem ini mempunyai unsur ngeri dan ketakutan yang melampau. Memang sesuai dengan tajuk ceritanya. Latar dengan persekitaran cerita yang lebih moden, tetapi jika anda pernah menonton filem arahan Kimo Stamboel iaitu Rumah Dara, darah dan kesakitan itu menjadi satu pekara biasa dalam filem.

Kimo Stamboel tak beri peluang kepada penonton apabila banyak adegan ngeri disajikan. Pertumpahan darah, babak yang ‘gore’, ibarat dipersembahkan kandungan kari ngeri kepada penonton secara terus di depan mata.

Babak penyiksaan pada bahagian tertentu membuatkan anda tidak senang duduk dan tutup mata pula apabila tak dapat menahan diri. Secara jujurnya saya suka filem ini disebabkan tidak ada unsur paksaan seperti jump scares pada sesetengah filem.

Anda akan dapat merasa ketegangan babak dari mula filem hingga menuju penamatnya. Suasana yang diterap serta latar belakang menjadikan filem ini berhasil dari segi keseraman yang cuba disampaikan.

Perlu dingatkan bahawa filem ‘reboot’ ini tidak mengikut plot filem asalnya. Ia digarap dengan sudut yang berbeza oleh pengarah dan penulis skrip drama ini.

Namun begitu, terdapat beberapa plot berlubang. Terutama bagaimana watak Murni boleh belajar tentang ilmu hitam. Akan tetapi pada saya ia tidak mencacatkan keseluruhan filem. Ia masih boleh ditonton secara keseluruhannya.

Saya nasihatkan kepada mereka yang ingin pergi menonton filem ini agar tidak makan dan minum selepas menonton kerana banyak adegan yang memualkan. Juga tidak sesuai buat ibu mengandung dan mereka yang menghadapi masalah kesihatan seperti sakit jantung.

PENUTUP

Secara keseluruhan, filem Ratu Ilmu Hitam mesti ditonton kepada mereka yang meminati filem dengan elemen seram. Filem ini memberi satu kepuasan, dan sangat berbaloi dengan wang yang anda keluarkan.

Susah nak jumpa filem yang tiada jump scares tetapi dapat menimbulkan ketakutan yang mendalam ketika menonton.

Oleh itu OMG Hackers memberikan penarafan Durian Buruk sebanyak:

7/10

Jumpa pada review akan datang. Saya menantikan karya seterusnya dari pengarah Joko Anwar iaitu Perempuan Tanah Jahanam.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Apa Itu Android TV? Ini Info Yang Mesti Diketahui Oleh Pemula

2

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Android TV?

Menurut namanya saja sudah boleh ditelah apakah maksud dan tujuannya. Tak susah nak faham. Android TV ialah sistem operasi Android yang direka khas untuk televisyen. Nak dapatkan prestasi serta navigasi pada televisyen yang paling optimum, kita perlukan sistem operasi yang dicipta khusus untuk tujuan interaksi bersama televisyen. Navigasi termasuklah untuk aplikasi Netflix, YouTube, Amazon Prime, Hulu, Disney+, dan sebagainya lagi.

Ini berbeza dengan konsep Smart TV, yang mana ia turut mempunyai aplikasi terbina dalaman, dan boleh berhubung ke internet. Tetapi tanpa sokongan dari Google dengan kemas kini firmware, pemasangan aplikasi melalui Google Play Store, Android TV ialah satu pakej lengkap bagi yang memilih keselesaan dalam satu sistem.

Sememangnya masih terdapat beberapa syarikat yang menggunakan perisian binaan sendiri, tetapi semakin hari semakin banyak yang mula beralih kepada Android TV, mungkin kerana menyedari ia adalah pilihan yang lebih tepat.

Adakah Android TV Sama Dengan Android Yang Ada Pada Telefon?

Secara teknikalnya, bahagian dasar sistem operasi Android TV masih menempati teras Android tersebut. Tetapi untuk dikatakan sama adalah tidak tepat walaupun pemasangan aplikasi masih lagi boleh dibuat dengan cara melalui Google Play Store dan juga sideload.

Cuma kelebihan sistem yang ada pada peranti mobil ialah jumlah aplikasi yang boleh dipasang melalui Google Play Store adalah sangat banyak, manakala apa yang terdapat pada Android TV pula berkurangan.

Ini adalah disebabkan berbezanya sistem, maka berbeza juga sokongan pembangun terhadap sistem tersebut.

Aplikasi yang dibuat untuk televisyen haruslah dioptimumkan untuk penggunaan televisyen – itu adalah peraturan 101 yang mesti diikuti. Aplikasi untuk peranti mobil dibuat dengan binaan kawalan sentuhan. Android TV pula dibina dengan binaan kepada navigasi alat kawalan jauh.

Atas kerana inilah mana-mana aplikasi yang dimuat turun dalam bentuk apk, boleh dipasang pada Android TV. Tetapi navigasi padanya berkemungkinan besar sangat tidak optimum lalu memaksa kewujudan cursor bagi menampung kekurangan paparan antaramuka aplikasi tersebut.

Saban tahun aplikasi untuk Android TV semakin banyak, namun jumlahnya masih belum menghampiri apa yang ada pada platform telefon pintar.

Pada Android TV, setiap aplikasi dipaparkan dalam reka bentuk ‘reben’ yang Google rujuk ia sebagai ‘Channels’. Ia adalah satu set melintang, pengesyoran dan apa yang baru ditonton dari aplikasi tertentu yang telah digunakan sebelumnya.

Seperti telefon pintar, ia turut mempunyai Google Assistant yang boleh diarahkan untuk mengawal kandungan pada televisyen, dan lain-lain arahan.

Terdapat juga Chromecast, yang boleh didapati pada beberapa jenis peranti, dan dapat digunakan untuk menghantar (cast) kandungan video kepada televisyen dan melakukan perkongsian skrin melalui telefon pintar, serta lain-lain aplikasi.

Buat anda yang baru hendak berjinak atau sudah lama menggunakan platform penstriman sebagai sumber hiburan, adalah lebih baik membeli peranti yang menggunakan Android TV sebagai sistem operasinya. Ekosistem yang dapat diguna pakai pada Android TV dengan gabungan alat kawalan jauh adalah lebih serasi bersama kaedah navigasi berbanding apa yang terdapat pada set-top box yang dimasukkan stock Android.

Oleh itu sebelum membuat pembelian, semak dahuli spesifikasi peranti dan jika ia mempunyai pensijilan dari Google serta tersedia Android TV padanya, maka belilah.

Bab sama ada ia akan dapat memainkan Netflix dan lain-lain servis penstriman yang dilindungi oleh DRM pula, itu anda perlu buat semakan ‘ekstra’. Kebiasaannya saya akan rujukan laman Android TV Guide untuk mendapatkan maklumat mengenai apa-apa peranti yang baru dilancarkan atau sudah lama dipasarkan.

Views: 11

Iklan Newspaper Inline

Cara Memasang Pacaur Pada Arch Linux Dan Derivatifnya

0

 

Kalau anda minat nak gunakan AUR Helpers seperti pacaur, anda perlu tahu pasang aplikasi melalui AUR juga!

Penting, kerana kadangkala terdapat dependencies yang tidak berjaya dipasang jika ia masih belum ada dalam sistem operasi.

Contohnya pacaur ini, ia adalah sejenis AUR Helpers dari kategori pacman wrapper.

Antara dependencies yang diperlukan untuk memasang pacaur hingga siap ialah auracle-git, expac dan jq. Bagi expac dan jq, ia sudah tersedia dalam repo, jadi apa yang perlu anda buat ialah pasangkan sahaja menggunakan pacman:

sudo pacman -S expac jq

Kemudian, kita perlu pasangkan terlebih dahulu auracle-git. Tetapi ia tidak berada dalam repo, sebaliknya ia ada dalam AUR, sama seperti pacaur.

Oleh itu, kita perlu pasangkan auracle-git secara manual. Caranya ialah dengan cari pakej ini di laman Arch User Repository (AUR), kemudian salin pautan ‘Download snapshot’ untuk memuat turun PKGBUILDS.

Muat turun fail menggunakan wget:

wget https://aur.archlinux.org/cgit/aur.git/snapshot/auracle-git.tar.gz

Setelah itu, ekstrak fail:

tar -xvf auracle-git.tar.gz

Masuk ke folder auracle:

cd auracle-git/

Kemudian jalankan perintah makepkg -si dalam direktori tersebut:

makepkg -si

Perintah ini akan muat turun kod yang diperlukan, menyelesaikan dependencies dengan pacman, menyusun, mempakej, dan memasang aplikasi tersebut.

Selesai masalah dengan dependencies, sekarang barulah boleh kita pasangkan pula pacaur.

Sama langkahnya seperti di atas, muat turun PKGBUILDS untuk pacaur, ekstrak, dan pasangkan ia:

wget https://aur.archlinux.org/cgit/aur.git/snapshot/pacaur.tar.gz
tar -xvf pacaur.tar.gz
cd pacaur/
makepkg -si

Siap. Sekarang anda dah boleh cuba gunakan pacaur. Tak perlu ‘sudo’ di hadapan, cukup sekadar:

pacaur -Syu

– Contohnya, kalau anda nak kemas kini sistem operasi.

Selamat mencuba!

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Nak Jadi ‘Juruteknik’ Android? Gunakan Forget Windows Use Linux

0

Ada pelbagai distro di luar sana dengan berbagai ciri untuk memenuhi keperluan dan kehendak pengguna. Ada yang bercirikan dekstop penuh, dan ada juga yang hanya sekadar dipasangkan pada pemacu USB.

[F]orget [W]indows [U]se [L]inux atau nama singkatannya FWUL ialah distro yang termasuk dalam kategori sistem operasi kecil, yang hanya dipasangkan pada pemacu USB anda.

Setakat versi terkini, pembangunnya masih belum bercadang untuk memberikan pilihan pemasangan pada laptop atau komputer peribadi.

Berasaskan Manjaro Linux, dan menggunakan persekitaran meja XFCE, ia adalah sistem operasi direka khusus untuk peminat Android.

FWUL dipenuhi dengan pelbagai alat keperluan untuk membaiki dan menguruskan peranti Android. Dari pelbagai OEM seperti Xiaomi, Samsung, dan sebagainya lagi, ia menawarkan kelengkapan yang maksimum buat para penggemar modifikasi.

FWUL telah dibangunkan oleh seorang pembangun senior dari XDA iaitu steadfasterX, yang bertujuan mendekatkan pengguna Windows kepada Linux. Menurutnya kebiasaan masalah yang dialami oleh para pengguna Windows dapat diselesaikan melalui distro Linux, oleh itu mengapa tidak mereka ini terus gunakan sahaja Linux, yang menjadi penyelesai kepada masalah tersebut?

Begitulah senario yang biasa dihadapi oleh beliau sehingga ‘memaksa’ dirinya untuk membangunkan satu sistem operasi dari Linux untuk membantu peralihan bagi pengguna baru.

Berikut adalah bagaimana paparan FWUL ketika anda mula-mula boot ke desktopnya.

FWUL terdapat dalam dua varian iaitu Forgetful dan Persistent.

Forgetful ialah versi di mana ia tidak akan menyimpan sebarang tetapan mahupun data. Setiap kali anda reboot, segalanya akan menjadi seperti baru.

Persistent pula ialah versi sebaliknya, yang mana setiap tetapan dan apa yang anda ubah mahupun muat turun akan tersimpan. Apabila anda reboot, semuanya akan kekal seperti keadaan sebelumnya.

Bagi persistent, ia terdapat dalam 3 variasi, iaitu 8GB (minima 8GB kapasiti pemacu), 15GB (minima 16GB kapasiti pemacu), dan 30GB (minima 32GB kapasiti pemacu). Apa yang bagusnya, versi persistent ini juga turut mempunyai forgetful mode, sekiranya ingin digunakan oleh anda.

Jika anda berminat hendak gunakan versi persistent, saiz atau kapasiti paling kecil yang diperlukan ialah 8GB. Jika kecil dari itu, anda haruslah menggunakan versi forgetful.

Juga digalakkan agar anda flash FWUL ke dalam pemacu yang mempunyai spesifikasi read/write yang laju. Jika perlahan, ia akan menjejaskan prestasi FWUL ketika sedang digunakan dan boleh jadi ia akan ‘hang’, tak ubah seperti anda gunakan Windows.

Jika anda ingin mengetahui senarai alat-alat yang disediakan, anda boleh hala ke forum XDA dan dapatkan info di sana: [LIVE-ISO][FWUL]adb/fastboot without any installation and driver issues [v3.1].

Bukan apa, alat-alatnya agak banyak juga, dan akan jadi seperti pertindanan pula jika ditulis di sini.

Untuk muat turun, anda boleh klik pada pautan di bawah:

> Forgetful

> Persistent

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Unifi Plus Box: Hadir Dengan Android TV, Sokongan Video 4K Dan HDR

1

Unifi Khabar Baik!

Info dari pembaca omghackers.com dan penjual set-top box, Unifi dah mula hendak menyahut kempen Cut The Cord dengan menawarkan peranti Android TV Box.

Harga bulanan yang ditawarkan bersama peranti, nampaknya boleh menyebabkan hidung berdarah dan peminat dari Geng Streaming berkemungkinan akan berkata;

“Take my money!”.

Dengan bayaran bulanan dari RM149, anda akan mendapat sebuah unifi Plus Box secara percuma, 70+ saluran hiburan premium dari unifi TV Ultimate Pack, dan kelajuan internet fiber sebanyak 30Mbps.

Ini bererti anda cuma perlu tambah RM60 sahaja dari plan asas MaxisONE Home Fibre sebanyak RM89 sebulan tersebut.

Ehem, Maxis, tak nak fight back ke tu?

Untuk rujukan F.A.Q, anda boleh baca pada PDF ini: FAQ FOR unifi 30MBPS UNLIMITED DATA WITH unifi PLUS BOX.

Bagi plan lain yang turut menyertakan unifi Plus Box, ia bermula dari RM159, Rm189, dan RM199. Semuanya berbeza pada kelajuan internet fiber, jumlah panggilan suara percuma, dan lain-lain langganan sampingan seperti Viu.

Terima kasih unifi kerana bersama kami dalam menyahut seruan kempen Cut The Cord. Semoga tahun ini lebih ramai yang akan bersama-sama menonton siaran secara strim.

Untuk spesifikasi box, menurut laman Android TV Guide, ia menggunakan pemproses Amlogic S905X2, RAM sebanyak 2GB, dan storan dalaman sebanyak 8GB.

Android yang digunakan ialah versi Android TV (Android 9), dan box tersebut menyokong kandungan 4K serta HDR. Pengeluar bagi Android TV Box ini ialah syarikat Skyworth.

P/s: Dah macam Mi Box S pula spesifikasinya.

Sedikit tambahan info dari saudara Muhamad Jasli melalui Android TV Guide juga, nampaknya box ini tidak mempunyai pensijilan untuk Netflix. Sama ada ia akan dikemas kini oleh Skyworth atau pihak unifi, itu kita kenalah tunggu terlebih dahulu.

Harapnya unifi dapat selesaikan isu ini sebelum peminat ‘buat bising’ di Facebook masing-masing nanti.

Selamat melanggan semua!

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Berhentilah Dari Membeli Android TV Box Yang ‘Salah’

1

Android TV Box dan Android Box, adalah dua kategori peranti penstriman yang berbeza ya. Janganlah lagi ‘tersilap’ dalam membeli, kerana walaupun atas kertas spesifikasinya nampak gah, tapi bila digunakan tak ubah seperti produk ‘knocked off’.

Ia boleh diibaratkan seperti Stock Android vs Custom Skin. Ada custom skin yang bagus, tetapi banyak yang bak kata orang Kodiang, ‘ceroi’.

Sebagai contoh, kini banyak Android Box yang menawarkan spesifikasi segalanya besar. RAM besar, storan besar, pemproses berkuasa (besar), dan sebagainya lagi.

Android Box tersebut menawarkan kebolehan untuk memainkan video dengan resolusi 4K, kerana atas kertas sememangnya pemproses yang digunakan lebih dari mampu untuk melakukannya.

TETAPI,

Apabila dimainkan Netflix, hanya dapat resolusi sub-HD atau maksimum 540p sahaja. Kenapa? Di mana silapnya?

Buat anda yang memang tak pernah ambil kisah perkara ini, post perkongsian ini bukan untuk anda. Anda boleh teruskan menikmati box anda itu.

Tetapi untuk jenis perfectionist, atau ringkasnya memilih Android TV Box yang optimum, maka pilihlah;

Box yang menjalankan Android TV (Android TV Box).

Android TV ialah OS Android yang dioptimumkan untuk penggunaan televisyen, sesuai dengan namanya.

Paparan antaramuka Android TV beserta aplikasi yang dicipta untuknya seperti Netflix, Hulu, YouTube, Amazon Prime, dan sebagainya lagi adalah disesuaikan dengan navigasi pada butang alat kawalan jauh, agar pengguna tidak perlu menggunakan anak panah cursor untuk mengawal fungsi aplikasi.

Kewujudan cursor pada kebanyakan ‘custom launcher’ Android Box di luar sana adalah untuk menyesuaikan paparannya yang tidak dioptimumkan untuk televisyen. Jika anda tidak percaya, carilah mana-mana peranti dengan Android TV dan buat navigasi. Anda akan dapat lihat betapa mudahnya hendak buka aplikasi dan mainkan video berbanding peranti Android Box.

Anda boleh rujuk laman ini untuk senarai peranti yang menggunakan Android TV sebagai sistem operasi: Android TV Guide.

Itulah perbezaan paling ketara sebenarnya antara Android Box dan Android TV Box.

Secara asasnya ia adalah peranti dari jenis yang sama dengan spesifikasi berbeza, cuma sistem operasi yang dijalankan di sebalik tabir adalah yang membezakan antara keduanya.

Berikut adalah contoh paparan launcher yang disertakan dalam Android Box dari jenama tertentu (tak perlu saya nyatakan nama atau jenamanya. Anda boleh cari, lihat, dan fahamkan sendiri).

Untuk lain-lain ciri, anda masih boleh mengikuti 12 Tips Memilih Android Box [2019].

Jadi, apa yang biasanya dijalankan oleh Android Box berbanding ‘Android TV Box’?

Sistem operasi yang digunakan adalah Android dan ROM pula boleh terdiri dari derivatif seperti Fire OS untuk Amazon Fire TV Stick/Fire TV Stick 4K, dan stock Android untuk lain-lain peranti.

Bagi Fire OS, ia juga seperti Android TV, di mana ia telah dicipta dan dioptimumkan untuk penggunaan navigasi pada skrin. Ia memudahkan pengguna tanpa perlunya alat kawalan jauh yang kompleks.

Bagi yang menjalankan stock Android pula, ia sama sahaja seperti apa yang terdapat pada telefon mahupun tablet. Sistem tersebut tidak optimum bagi penggunaan pada skrin, oleh itu navigasi menjadi rumit dengan terpaksanya diwujudkan cursor untuk menampung kekurangan tersebut.

Kenapa perlunya untuk kita memilih dengan baik?

Ini adalah kerana kebanyakan Android Box versi ‘umum’ yang menjalankan stock Android dengan launcher tersendiri ini biasanya tidak mempunyai pensijilan dari Google.

Akibat dari ini, tidak kiralah jika spesifikasinya seperti lelaki baru lepas makan Tongkat Ali, nampak gagah dan perkasa tetapi apabila dibuka sahaja Netflix, resolusi paling tinggi boleh dimainkan hanyalah 480-540p sahaja.

Selain itu, kerana aplikasinya adalah seperti kita menjalankan ia pada telefon pintar, maka nagivasi menggunakan alat kawalan jauh adalah sangat tidak optimal. Ia jadi leceh dan kadangkala tidak berfungsi seperti sepatutnya.

Saya tahu perkara ini, kerana saya juga pernah menggunakan Android Box bajet iaitu Tanix TX3 Mini yang telah pun saya naik taraf firmware kepada versi terbaru baru-baru ini. Malangnya navigasi masih lagi ‘sakit’ dan tidak menyenangkan.

Ia murah dan menyeronokkan bagi pengguna baru, namun untuk yang sudah lama ‘berkecimpung’ menggunakan Android Box, ia menyakitkan dan perlu ditamatkan riwayat dengan segala hormatnya.

Tidak lupa juga, Android Box umum seperti ini sukar dan jarang mendapat kemas kini penting.

Ambil contoh Mi Box S yang telah dilancar pada tahun 2018, hingga kini ia masih menerima kemas kini dan terbaru, ia mendapat Android TV OS versi Android 9.

Ini penting, kerana selain tampalan sekuriti/keselamatan, pembaikan ralat juga perlu diambil kira. Sistem operasi tidak akan dapat lari dari hal ini, dan sekiranya tiada kemas kini, anda akan tersekat di skala 6 Android versi lama.

Oleh itu, sebenarnya Android Box umum tersebut lebih sesuai untuk siapa?

1. Ia sesuai jika anda dari jenis yang tidak menonton kandungan premium servis penstriman seperti Netflix, Hulu, Amazon, dan sebagainya lagi.

2. Ia sesuai, untuk golongan yang ingin memasang beratus apk penstriman lanun kerana biasanya Android Box umum akan disertakan dengan storan dalaman yang boleh menyimpan filem-filem selama 7 keturunan.

3. Ia adalah untuk mereka yang merancang bermain pelbagai permainan di televisyen dengan menjadikan Android Box sebagai konsol bajet, pengganti PS4 dan Xbox.

Apa pun pilihan anda, selamat memilih dan selamat menonton.

Views: 26

Iklan Newspaper Inline

Feren OS: Distro Varian KDE Plasma Terbaik

0

Linux mempunyai masalah yang sama dengan derivatifnya, Android, iaitu fragmentation yang diakibatkan dari banyaknya distro di luar sana dengan pembangunan berbeza-beza.

Lalu Linux terpecah menjadi pelbagai varian, yang boleh dikatakan sebagai satu rahmat dan sumpahan serentak kepada sistem operasi ini.

Kita boleh bicarakan ia sehari suntuk dan ia tidak akan habis dengan sempurna. Tetapi dari pemecahan atau fragmentasi ini, kita memperoleh berbagai jenis distro yang menarik untuk digunakan bagi tujuan kerja seharian.

Salah satunya ialah Feren OS.

Kita sebut terus perkara negatif mengenainya yang saya tidak suka iaitu laman rasmi distro ini dihoskan di Weebly. Tampak tidak begitu profesional dan meyakinkan.

Pun begitu, letakkan perkara negatif itu ke samping kita, Feren OS setelah dipasang kelihatan matang dan agak menyeronokkan untuk diguna. Berikut adalah paparan bagaimana rupanya setelah ia dipasang.

Feren OS kini tidak lagi berasaskan Linux Mint, sebaliknya ia berasaskan Ubuntu, dan menurut pembangunnya ia adalah Ubuntu ‘stripped down version’. Bererti pembangunnya telah mencorak dan mengubah Ubuntu sehingga tiada lagi identiti yang tinggal.

Perkara yang menarik pada saya, ia sudah beralih kepada KDE Plasma dari Cinnamon yang digunakan pada suatu masa dahulu. KDE Plasma sudah melalui evolusi yang banyak, dan boleh dikatakan ia sangat ringan kepada sistem dan tidak banyak menggunakan sumber memori peranti.

Sistem operasi Feren OS tidak menggunakan menu tradisional KDE Plasma, sebaliknya ia telah menyediakan Simple Menu yang pada saya, lebih cantik, dan lebih mesra pengguna kerana ia tampak tidak ubah seperti Slingshot Menu pada elementary OS.

Apa yang agak mengejutkan saya ialah sistem operasi ini tidak menggunakan pelayar Firefox seperti kebiasaan yang kita dapat lihat pada distro-distro Linux yang lain.

Ia menyediakan pelayar Vivaldi, yang bukan bersumber terbuka, Pelayar tersebut berasaskan Chromium (yang bersumber terbuka) tetapi ia diubah (forked) dan kodnya tidak terdapat pada orang luar untuk dilihat atau dinilai.

Pun begitu, saya adalah peminat Vivaldi, dan langkah ini adalah amat dialu-alukan.

Walaupun begitu, jika anda tidak sukakan Vivaldi, anda boleh memasang pelayar web yang lain dengan begitu mudah sekali hanya dengan menggunakan Web Browser Manager yang sememangnya menjadi ‘trademark’ Feren OS sejak dulu.

Hanya perlu klik butang install pada mana-mana nama pelayar yang anda mahu dan tunggu sehingga prosesnya selesai. Tidak perlu tercari-cari lagi. Inilah dia yang diperlukan oleh para pengguna baru Linux, iaitu sesuatu yang memudah dan melancarkan pembelajaran mereka.

Selain itu, apa yang saya suka ialah betapa mudahnya untuk pengguna mengubah apa yang mereka inginkan pada persekitaran meja ini dengan semudah ABC. Contohnya tema, jika hendak menjadikan ia berubah kepada tema gelap hanya perlu cari aplikasi Global Theme, dan ubahlah ia kepada Feren OS Dark.

Oh, percayalah, segalanya jadi lebih cantik setelah ia gelap.

Kesemua yang saya catatkan di atas hanyalah permukaan sahaja kepada Feren OS. Masih banyak lagi yang tak mampu saya tulis dalam satu artikel. Maka langkah yang lebih sesuai buat anda ialah, cuba sendiri dan rasai apa yang berbeza dengan sistem operasi berlogo burung yang tidak diketahui spesisnya itu.

Muat turun fail ISO di laman rasmi, di sini: Feren OS.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

VivaTV: Pengganti TeaTV Dan Alternatif Terbaik Terrarium TV

0

Penafian: Kami tidak menggalakkan cetak rompak, malah kami menggalakkan pembaca agar sentiasa membeli atau membayar untuk menikmati kandungan video yang dilindungi Akta Hak Cipta. Artikel adalah sekadar ulasan umum. Sebarang penggunaan kandungan laman adalah diluar tanggungan pihak omghackers.com.

Pencarian terhadap alternatif kepada Terrarium TV nampaknya masih belum berakhir. Selagi belum ada yang dikatakan terbaik, selagi itulah peminat akan terus memasang yang baru, mencuba, dan mengganti hingga hati berasa puas.

Tetapi nampaknya mungkin pencarian boleh dihentikan. Satu aplikasi yang baru sahaja mempunyai rilisan tersendiri, hasil dari fork kepada aplikasi TeaTV mula menjadi buah mulut para peminat penstriman.

Ia adalah VivaTV, yang mana mempunyai paparan antaramuka sedikit berbeza dari aplikasi asal. TeaTV yang sebagaimana kita ketahui juga merupakan klon Terrarium TV, mempunyai UI yang tidak ubah seperti klonnya itu.

VivaTV mengambil pendekatan berbeza dan sedikit berani apabila pembangunnya mengubah bahagian hadapan UI agar kelihatan lebih profesional, namun masih mudah diingati.

Mari kita lihat dahulu tangkap layarnya.

Seperti yang dapat anda lihat, ia mempunyai tiga tab di bawah yang terbahagi kepada Discover, Watchlist, dan Search.

Discover adalah tempat di mana anda boleh lihat senarai filem dan drama yang sedang trending, atau baru selesai ditayang di pawagam.

Watchlist bahagian senarai filem dan drama yang anda telah masukkan ke dalam senarai main akan datang, dan Search, adalah butang untuk anda cari apa-apa yang anda mahu mainkan.

Di bahagian atas pula terdapat tiga butang iaitu Movies, TV Shows, dan HD Release.

HD Release tidak semestinya rilisan berkualiti rendah, sebaliknya ia seakan curated list bagi filem-filem yang baru dan ‘yang tak beberapa nak baru’, contohnya saya lihat di hujung senarai ada terselit dua filem tahun 2018 dan satu filem tahun 2017. Jangan tanya bagaimana mereka meletakkan ia di situ, saya pun tidak faham.

Di bahagian tepinya seperti biasa terdapat menu hamburger dan terselitnya beberapa pilihan beserta tetapan. Anda boleh periksa versi terbaru sekiranya ada dengan menggunakan butang Check Update.

Bahagian tetapannya pada saya adalah ‘stripped down version’ dari Terrarium TV. Banyak pilihan-pilihan yang telah dibuang, dan ada yang diganti baru. Tetapi yang pasti tidak ada yang tidak berguna kepada pengguna.

Jika mengikut kepada VivaTV, ia mengesyor kepada pengguna untuk memasang dan memakai TPlayer, kerana ia dapat mengurangkan iklan. Tetapi sepanjang yang saya telah cuba, rasanya lebih baik jika digunakan MX Player Pro sahaja berbanding TPlayer tersebut, kerana tidak pula berkurangnya iklan setelah dipasang dan digunakan.

Berikut adalah paparan iklan yang keluar dan juga tangkap layar TPlayer.

Berikut pula adalah tangkap layar MX Player Pro.

Jika anda terasa hendak mencuba VivaTV pada peranti Android anda, sama ada telefon mahupun Android Box, anda bolehlah muat turun fail apknya di pautan ini: VivaTV.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Tronsmart Onyx Neo: TWS Bajet Dengan Codec AptX

0

Saya telah menggunakan beberapa TWS dari Tronsmart sebelum ini. Spunky Pro dan Spunky Beat adalah model yang telah memperkenalkan saya kepada produk-produk TWS Tronsmart yang berkualiti.

Terkini, Tronsmart mengeluarkan satu lagi produk baru iaitu Onyx Neo, yang mana merupakan derivatif dari Spunky Beat.

Ianya masih mengekalkan ciri dan reka bentuk yang tampak lebih kurang sama, namun ada beberapa ciri yang dikurangkan, berkemungkinan untuk juga mengurangkan harganya. Ya, Onyx Neo lebih murah berbanding Spunky Beat.

Onyx Neo ini pada saya adalah percubaan Tronsmart untuk mengeluarkan TWS dengan codec aptX yang lebih mampu milik berbanding model sebelumnya (Spunky Beat). Ini sudah semesti mempunyai sedikit kekurangan, tetapi apa yang telah ‘dibuang’ dari versi sebelumnya?

Sebelum kita teliti TWS baru ini, mari kita buka kotak dahulu.

Apa yang ada dalam kotaknya?

1x TWS Onyx Neo.
1x Bekas penyimpanan yang juga berfungsi sebagai pengecas.
1x Kabel pengecas USB-C.
1x Manual panduan pengguna.
1x Kad waranti.
3x Silikon penutup telinga dengan dua saiz.

Dari segi kapasiti bateri TWS, bateri bekas pengecasnya, dan lain-lain ciri, semuanya adalah sama dan serupa dengan Spunky Beat. Tiada apa yang membezakan antara keduanya melainkan dengan sedikit perbezaan pada bentuk TWS tersebut dan juga material (serta ciri) pada bekas pengecas.

Onyx Neo adalah ‘carbon copy’ kepada Spunky Beat, melainkan;

1. Bekas pengecasnya tiada integrasi dengan kabel pengecas USB, dan,
2. Bekas pengecasnya tiada pencangkuk/bahagian tempat penggantung.

Oleh itu, rasanya tak perlu lagi saya ulas panjang mengenai kualiti bunyinya kerana seakan sama sahaja antara keduanya. Untuk ulasan kualiti audio, anda boleh rujuk ulasan Spunky Beat di sini: Tronsmart Spunky Beat.

Kalau ada yang saya ingin catatkan sedikit di sini ialah tentang pairing, yang mana agak aneh sedikit pada Onyx Neo ini. Kebiasaannya kita akan membuat pairing antara dua TWS hanya dengan berhubung kepada satu nama dan satu TWS sahaja, kerana ia akan membuat ‘pasangan’ dengan sebelah lagi secara automatik.

Tetapi sebaliknya berlaku dengan Onyx Neo, yang mana anda perlu buat pairing dengan kedua-dua belah TWS secara manual. Ia tidak berjalan serentak, dan ini mungkin akan buat anda berasa sedikit kekok untuk pertama kali.

Saya telah membuat penetapan semula atau reset sebanyak beberapa kali bagi memastikan perkara ini, dan nampaknya tetapan dari Tronsmart sudah sememangnya begitu.

Ketika baru menggunakannya, terasa pairing tidak beberapa lancar apabila sambungan seringkali terputus-putus di sebelah kanannya. Setelah membuat penetapan semula dan re-pair dengan peranti, barulah bunyinya kurang gangguan dan tidak lagi terputus.

Barangkali ia hanya berlaku kepada unit yang diperolehi oleh saya sahaja, jadi anda boleh beli dengan hati yang tenang (ada waranti kan? Belasah saja sementara masih ditanggung beres oleh Tronsmart). Setakat beberapa hari penggunaannya ini, saya rasa prestasi atau kualiti sambungan Bluetooth-nya yang lancar itu banyak dibantu oleh chip dari Qualcomm tersebut.

Berapakah harga Onyx Neo ini?

Ianya berharga sebanyak RM159 di Shopee:

Dan RM199 di Lazada:

Bagi yang ‘kejar’ pemulangan wang dari aplikasi ShopBack terutamanya pembelian kali pertama, lebih berbaloi anda sambar dari Lazada walaupun mahal sedikit, kerana kadar pemulangannya adalah sebanyak 8% (maksimum).

Dari ketiga-tiga model ini, saya sememangnya paling sukakan Spunky Beat, kerana ia kurang bermasalah, dan memberikan prestasi audio terbaik. Onyx Neo berada di tempat kedua, dan Spunky Pro di tempat ketiga.

Codec aptX sememangnya memberikan kualiti audio lebih baik dari AAC, dan buktinya dapat didengari melalui Spunky Pro, yang mempunyai kualiti bunyi paling rendah antara kesemuanya.

Kehadiran Onyx Neo menjadi penyeri kepada siri TWS Tronsmart kerana ciri-ciri yang dikurangkan dari Spunky Beat tidak mempunyai impak signifikan kepada reka bentuk apatah lagi kualiti bunyi. Dengan harga yang lebih murah, Onyx Neo mampu bersaing dengan jenama lain yang setara harga dengannya.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Typhoon TV: Satu Lagi Klon Dan Pengganti Terrarium TV

0

Penafian: Kami tidak menggalakkan cetak rompak, malah kami menggalakkan pembaca agar sentiasa membeli atau membayar untuk menikmati kandungan video yang dilindungi Akta Hak Cipta. Artikel adalah sekadar ulasan umum. Sebarang penggunaan kandungan laman adalah diluar tanggungan pihak omghackers.com.

Semalam kita baru sahaja berkenalan dengan UnlockMyTTV, yang merupakan klon atau fork kepada Terrarium TV.Kali ini kita cuba lihat pula aplikasi yang bernama Typhoon TV ini.

Typhoon TV juga ialah sebuah bentuk fork kepada Terrarium TV. Kalau dilihat kepada paparan antaramukanya dengan UnlockMyTTV, tidak banyak perbezaan yang dapat dirungkai.

Ini lebih ketara lagi jika anda membuka pada bahagian tetapannya.

Bagaikan kembar seiras, jika ada beza pun tidak begitu signifikan.

Satu perbezaan yang mungkin membolehkan pengguna menjadi lebih yakin dengan rilisan UnlockMyTV berbanding Typhoon TV ialah ia mempunyai pilihan ‘Force-Update Download’ – yang bila diklik akan membawa anda kepada pautan ini: UnlockMyTTV  – App Release.

Ini memudahkan pengguna untuk mendapatkan versi paling baru tanpa perlu tercari-cari di mana sumber ‘rasminya’, tidak seperti Typhoon TV yang mana fail apknya tersebar luas di merata-rata.

Pun begitu, disebabkan ia dibuat semula dari kod Terrarium TV, yang berubah hanyalah logo, dan juga pengiklanan, yang tampaknya tidak kelihatan pada kedua-dua klon ini (atau, mungkin apk Typhoon TV yang saya muat turun ini sudah terlebih awal dibuang iklannya? Lihat pada tangkap layar berikut).

Sama seperti aplikasi asal, kedua-dua menggunakan scraper/crawler, yang akan mencari pautan video tersedia dalam laman-laman pengehos seperti Google Drive, dan sebagainya lagi.

Setakat yang saya telah cuba, tiada masalah atau isu dalam memainkan video-video pada pautan yang telah disenaraikan. Pada pandangan saya, aplikasi seperti ini adalah ‘Kodi’ yang telah dipermudahkan.

Tak perlu lagi anda cari addon, pasangkan pelbagai addon terlebih dahulu, sebelum dapat menikmati kandungan media yang diingini.

Secara keseluruhan, jika selepas ini UnlockMyTTV pula ‘bungkus ikat tepi’ atau gulung tikar, anda boleh jadikan Typhoon TV sebagai sandaran, atau sebaliknya juga.

Saya tidak berani jamin akan ada pengganti demi pengganti selepas satu demi satu aplikasi telah jatuh silih berganti, namun satu perkara yang pasti, dunia penstriman tidak akan senantiasa sunyi.

Muat turun apk: Typhoon TV.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline