Android TV Box dan Android Box, adalah dua kategori peranti penstriman yang berbeza ya. Janganlah lagi ‘tersilap’ dalam membeli, kerana walaupun atas kertas spesifikasinya nampak gah, tapi bila digunakan tak ubah seperti produk ‘knocked off’.
Ia boleh diibaratkan seperti Stock Android vs Custom Skin. Ada custom skin yang bagus, tetapi banyak yang bak kata orang Kodiang, ‘ceroi’.
Sebagai contoh, kini banyak Android Box yang menawarkan spesifikasi segalanya besar. RAM besar, storan besar, pemproses berkuasa (besar), dan sebagainya lagi.
Android Box tersebut menawarkan kebolehan untuk memainkan video dengan resolusi 4K, kerana atas kertas sememangnya pemproses yang digunakan lebih dari mampu untuk melakukannya.
TETAPI,
Apabila dimainkan Netflix, hanya dapat resolusi sub-HD atau maksimum 540p sahaja. Kenapa? Di mana silapnya?
Buat anda yang memang tak pernah ambil kisah perkara ini, post perkongsian ini bukan untuk anda. Anda boleh teruskan menikmati box anda itu.
Tetapi untuk jenis perfectionist, atau ringkasnya memilih Android TV Box yang optimum, maka pilihlah;
Box yang menjalankan Android TV (Android TV Box).
Android TV ialah OS Android yang dioptimumkan untuk penggunaan televisyen, sesuai dengan namanya.
Paparan antaramuka Android TV beserta aplikasi yang dicipta untuknya seperti Netflix, Hulu, YouTube, Amazon Prime, dan sebagainya lagi adalah disesuaikan dengan navigasi pada butang alat kawalan jauh, agar pengguna tidak perlu menggunakan anak panah cursor untuk mengawal fungsi aplikasi.
Kewujudan cursor pada kebanyakan ‘custom launcher’ Android Box di luar sana adalah untuk menyesuaikan paparannya yang tidak dioptimumkan untuk televisyen. Jika anda tidak percaya, carilah mana-mana peranti dengan Android TV dan buat navigasi. Anda akan dapat lihat betapa mudahnya hendak buka aplikasi dan mainkan video berbanding peranti Android Box.
Anda boleh rujuk laman ini untuk senarai peranti yang menggunakan Android TV sebagai sistem operasi: Android TV Guide.
Itulah perbezaan paling ketara sebenarnya antara Android Box dan Android TV Box.
Secara asasnya ia adalah peranti dari jenis yang sama dengan spesifikasi berbeza, cuma sistem operasi yang dijalankan di sebalik tabir adalah yang membezakan antara keduanya.
Berikut adalah contoh paparan launcher yang disertakan dalam Android Box dari jenama tertentu (tak perlu saya nyatakan nama atau jenamanya. Anda boleh cari, lihat, dan fahamkan sendiri).
Untuk lain-lain ciri, anda masih boleh mengikuti 12 Tips Memilih Android Box [2019].
Jadi, apa yang biasanya dijalankan oleh Android Box berbanding ‘Android TV Box’?
Sistem operasi yang digunakan adalah Android dan ROM pula boleh terdiri dari derivatif seperti Fire OS untuk Amazon Fire TV Stick/Fire TV Stick 4K, dan stock Android untuk lain-lain peranti.
Bagi Fire OS, ia juga seperti Android TV, di mana ia telah dicipta dan dioptimumkan untuk penggunaan navigasi pada skrin. Ia memudahkan pengguna tanpa perlunya alat kawalan jauh yang kompleks.
Bagi yang menjalankan stock Android pula, ia sama sahaja seperti apa yang terdapat pada telefon mahupun tablet. Sistem tersebut tidak optimum bagi penggunaan pada skrin, oleh itu navigasi menjadi rumit dengan terpaksanya diwujudkan cursor untuk menampung kekurangan tersebut.
Kenapa perlunya untuk kita memilih dengan baik?
Ini adalah kerana kebanyakan Android Box versi ‘umum’ yang menjalankan stock Android dengan launcher tersendiri ini biasanya tidak mempunyai pensijilan dari Google.
Akibat dari ini, tidak kiralah jika spesifikasinya seperti lelaki baru lepas makan Tongkat Ali, nampak gagah dan perkasa tetapi apabila dibuka sahaja Netflix, resolusi paling tinggi boleh dimainkan hanyalah 480-540p sahaja.
Selain itu, kerana aplikasinya adalah seperti kita menjalankan ia pada telefon pintar, maka nagivasi menggunakan alat kawalan jauh adalah sangat tidak optimal. Ia jadi leceh dan kadangkala tidak berfungsi seperti sepatutnya.
Saya tahu perkara ini, kerana saya juga pernah menggunakan Android Box bajet iaitu Tanix TX3 Mini yang telah pun saya naik taraf firmware kepada versi terbaru baru-baru ini. Malangnya navigasi masih lagi ‘sakit’ dan tidak menyenangkan.
Ia murah dan menyeronokkan bagi pengguna baru, namun untuk yang sudah lama ‘berkecimpung’ menggunakan Android Box, ia menyakitkan dan perlu ditamatkan riwayat dengan segala hormatnya.
Tidak lupa juga, Android Box umum seperti ini sukar dan jarang mendapat kemas kini penting.
Ambil contoh Mi Box S yang telah dilancar pada tahun 2018, hingga kini ia masih menerima kemas kini dan terbaru, ia mendapat Android TV OS versi Android 9.
Ini penting, kerana selain tampalan sekuriti/keselamatan, pembaikan ralat juga perlu diambil kira. Sistem operasi tidak akan dapat lari dari hal ini, dan sekiranya tiada kemas kini, anda akan tersekat di skala 6 Android versi lama.
Oleh itu, sebenarnya Android Box umum tersebut lebih sesuai untuk siapa?
1. Ia sesuai jika anda dari jenis yang tidak menonton kandungan premium servis penstriman seperti Netflix, Hulu, Amazon, dan sebagainya lagi.
2. Ia sesuai, untuk golongan yang ingin memasang beratus apk penstriman lanun kerana biasanya Android Box umum akan disertakan dengan storan dalaman yang boleh menyimpan filem-filem selama 7 keturunan.
3. Ia adalah untuk mereka yang merancang bermain pelbagai permainan di televisyen dengan menjadikan Android Box sebagai konsol bajet, pengganti PS4 dan Xbox.
Apa pun pilihan anda, selamat memilih dan selamat menonton.