Utama Blog Laman 108

UnlockMyTTV: Kelahiran Semula Terrarium TV

0

Penafian: Kami tidak menggalakkan cetak rompak, malah kami menggalakkan pembaca agar sentiasa membeli atau membayar untuk menikmati kandungan video yang dilindungi Akta Hak Cipta. Artikel adalah sekadar ulasan umum. Sebarang penggunaan kandungan laman adalah diluar tanggungan pihak omghackers.com.

Dunia penstriman jarang sekali sunyi, melainkan mereka yang gemar menggunakan aplikasi cetak rompak, dek kerana kebanyakannya sama ada akan dihentikan pembangunan setelah menerima surat saman, atau kemas kini yang tak kunjung tiba akibat pembangun sudah tidak menjenguk lagi ke aplikasi sendiri.

Buat mereka yang menggunakan Netflix, Hulu, YouTube, dan lain-lain servis penstriman yang sah, mereka tidak bimbangkan perkara seperti ini. Pembangunan aplikasi contohnya Terrarium TV, terhenti begitu sahaja setelah pembangunnya disyaki diburu oleh pihak berkuasa.

Tetapi ada juga yang tegar, mengambil semula kod aplikasi tersebut dan mencipta fork dari aplikasi Terrarium TV yang sudah kembali ke rahmatullah ditinggalkan, dan menamakan ia semula kepada UnlockMyTTV.

*Buat yang keliru, UnlockMyTTV adalah berbeza dengan UnlockMyTV. UnlockMyTTV ialah fork kepada Terrarium TV, manakala UnlockMyTV pula ialah fork atau klon kepada Cinema HD.

Jadi bagaimana rupanya aplikasi ini? Mari kita lihat.

Secara asasnya, rupa aplikasi UnlockMyTTV ini saling tak tumpah seperti Terrarium TV, cuma diberikan sedikit ‘nafas baru’. Bagaimana pula rupanya ketika memainkan video?

Lihat pada paparan tangkap layar di bawah. Saya mengintegrasikan aplikasi MX Player Pro kepada UnlockMyTTV. Oleh itu setiap pautan strim yang berjaya didapatkan akan dimain terus pada MX Player Pro.

Dari segi prestasinya, tidak banyak yang hendak saya rungutkan. Jika anda berpuas hati dengan Terrarium TV, maka anda akan berpuas hati juga dengan UnlockMyTTV ini.

Tetapannya sama sahaja dengan Terrarium, barangkali pembangun hendak mengekalkan ia sebagai satu cara untuk membuat pengguna berasa selesa dan ‘terbiasa’.

Seperti yang anda dapat lihat, saya telah memilih untuk aplikasi tersebut hanya memaparkan pautan video HD sahaja, dan itulah yang dibuat olehnya.

Biar pautan nampak sedikit sahaja seperti ini, asalkan anda tahu kesemuanya adalah beresolusi definisi tinggi penuh atau full HD.

Ia juga seperti biasa, mempunyai pilihan untuk memuat turun sarikata dari OpenSubtitles, Subscene, Makedie, dan SubHD.

Tak perlu rasanya saya menulis dengan lebih panjang lagi. Anda boleh muat turun, pasang, dan lihat sendiri bagaimana ia berfungsi.

Muat turun di sini: UnlockMyTTV.

**Sekiranya pautan telah ‘mati’, minta supaya anda komen dan beritahu kami ya.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Pop!_OS: Ini Bagaimana Ubuntu Sepatutnya Dijalankan

0

Pop!_OS antara pendatang baru dalam dunia Linux. Bermula dari tahun 2018 dengan versi 18.04, ia menerjah masuk dengan satu kenyataan bahawa mereka boleh tawarkan dan berikan sesuatu yang lebih baik.

Berasaskan dari distribusi Ubuntu, Pop!_OS juga masih mengekalkan GNOME sebagai persekitaran meja. Pun begitu, tanpa sebarang solekan ekstra dari Canonical, ia menyediakan perisa vanila GNOME yang segar.

Tanpa modifikasi paparan antaramuka oleh tim Ubuntu, GNOME yang ditampilkan adalah ‘bersih’. Namun, ia tidaklah boleh dipanggil sebagai ‘Ubuntu dengan solekan berbeza’ kerana di dalam terasnya tersemat beberapa ciri yang menjadikan ia unik dan tersendiri. Mari kita lihat apa yang menarik pada sistem operasi ini.

Vanilla GNOME DE

Secara jujurnya saya bukan peminat GNOME, tidak kiralah ia datang dari Ubuntu, Fedora, mahupun Pop!_OS ini. Pada saya ia memerlukan klik ekstra dalam menjalankan operasi melainkan anda buat modifikasi pada sistem dengan memasang GNOME extension.

Cuma kelebihannya, disebabkan ia tersedia dalam keadaan GNOME yang bersih dari sebarang pengubahsuaian, maka ia lebih mudah ‘disolek’ sendiri oleh anda.

Cukup sekadar memasang beberapa extension dan ia sudah lengkap untuk digunakan.

 

Aplikasi Pra-Pasang

Aplikasi yang tersedia dipasang juga tidaklah seperti Ubuntu, di mana kebanyakan darinya boleh dikatakan sebagai bloatware. Apa yang ada dalam Pop!_OS sekadar cukup untuk anda mulakan sebuah sistem operasi.

Benar, terdapat pilihan pemasangan minimal dalam aplikasi pemasang Ubuntu, tetapi Pop!_OS sudah siapkan ia untuk anda. Tidak perlu anda fikirkan tentang bloatware lagi.

Kalau anda pun pakej atau aplikasi yang saya akan buang dan ganti ialah LibreOffice. Saya lebih gemarkan WPS Office lagi kerana paparannya lebih hampir kepada Microsoft Office.

Pop!_Shop

Pop!_Shop ialah pusat aplikasi bagi Pop!_OS. Dalam hal ini, Ubuntu Software Center (GNOME Software) tampil lebih baik (bolehlah dikatakan begitu) apabila ia menyokong pakej snap.

Sesetengah pengguna tidak gemarkan snap, manakala saya pula lebih bersikap neutral. Pop!_OS juga menyokong pakej ini, cuma anda tidak akan dapat jumpa pakej tersebut dalam Pop!_Shop.

Partisi Pemulihan

Partisi pemulihan atau Recovery Partition pada Pop!_OS ialah salinan penuh fail pemasangan sistem operasi. Ia boleh digunakan sama seperti salinan ‘live disk’ yang di-boot dari USB.

Seperti Windows 10, sistem operasi dapat dipasang semula atau diperbaiki menggunakan partisi pemulihan ini. Terdapat dua pilihan iaitu refresh dan clean install.

Refresh akan memadam pemasangan sistem operasi yang sebelumnya tetapi dalam masa yang sama ia akan mengekalkan data yang tersimpan dalam folder home. Clean install, seperti namanya akan memadam keseluruhan fail pada pemacu dan memberikan anda sistem operasi seperti baru.

Power Daemon

Ini salah satu ciri yang saya suka. Pop!_OS memberikan manfaat TLP yang akan memaksimakan kuasa bateri pada laptop anda.

Terdapat beberapa profil seperti high performance, balanced, dan battery saver.

Pengurus Firmware

Dalam Pop!_OS terdapat pengurus firmware yang akan bertindak mengemaskini firmware pada peranti sekiranya ada. Ia diintegrasikan pada aplikasi tetapan GNOME dan dapat diakses dengan mudah. Apabila terdapat kemas kini, cukup sekadar klik butang ‘Update’ dan pemasangan fail terus dibuat, sama seperti kemas kini untuk sistem operasi.

Konklusi

Ubuntu ialah sistem operasi matang, yang tidak dikhususkan untuk mana-mana perkakasan. Pop!_OS pula ditala kepada perkakas System76.

Cuma untuk mengatakan salah satu adalah lebih baik dari pesaingnya itu adalah agak sukar, kerana buat sesiapa yang dah biasa dengan Ubuntu, pasti lebih memilih paparan antaramuka dan temanya. Saya pula, cukup sekadar adanya pemilihan tema gelap, saya sudah berpuas hati.

Bagi Pop!_OS, dengan adanya versi untuk pengguna Intel/AMD dan versi berbeza untuk Nvidia, ia memudahkan pengguna dalam mendapatkan keserasian terhadap peranti masing-masing.

Apa yang anda pilih adalah apa yang anda percaya lebih sesuai dengan cara kerja anda.

Saya suka dengan Pop!_OS dan menganggap inilah dia bagaimana caranya Ubuntu sebagai sebuah sistem operasi patut dijalankan. Animasinya lebih lancar tanpa tersekat-sekat, dan modifikasi dapat dibuat tanpa UI bercanggah dengan extension.

Muat turun: Pop!_OS.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Linux Mint 19.3 Dengan Kod Nama Tricia: Boleh Dimuat Turun Sekarang

0

Saya ternampak post dari OMG! Ubuntu! yang mana Linux Mint 19.3 sudah boleh dimuat turun. Tanpa melengahkan masa, saya terus hala ke laman rasminya.

Tapi anehnya, laman Linux Mint sendiri tiada sebarang kemas kini mengenai versi stabil 19.3. Apa yang ada hanyalah versi beta sahaja.

Apabila saya rujuk kembali, ternyata Joe tidak sabar lagi hendak menulis mengenai Linux Mint rilisan terbaru ini, atas kerana itu artikelnya bersumberkan pautan ‘separuh rasmi’ (kerana masih belum diumumkan di laman webnya).

Berikut adalah antara pembaharuan (changelogs) untuk Linux Mint 19.3 ini:

  • Sistem laporan yang baru
  • Menetapkan zon masa dari tetapan bahasa.
  • Sokongan HiDPI yang lebih baik.
  • Aplikasi Celluloid menggantikan VLC.
  • Aplikasi GNote menggantikan Tomboy.
  • Aplikasi Drawing menggantikan GIMP.
  • Saiz teks zon panel bebas.
  • Keupayaan untuk mengkonfigurasi menu konteks Nemo.
  • Aplikasi Bluetooth Blueberry diberikan pembaharuan kepada paparan antaramukanya.
  • Pilihan untuk menyahdaya pad sesentuh apabila tetikus dihubungkan.
  • Logo Linux Mint yang baru.
  • Skrin GRUB yang diubahsuai.

Anda yang tidak sabar seperti Joe bolehlah muat turun melalui pautan di bawah:

Linux Mint 19.3 Cinnamon

Kalau anda berminat dengan variasi lain, bolehlah cari di sini: Linux Mint 19.3.

Kemas Kini Berita (19/12/19):

Secara rasminya versi 19.3 sudah boleh dimuat turun pada pautan yang tersedia di laman webnya. Jika anda hendak gunakan Cinnamon, bolehlah klik pada pautan ini: Linux Mint 19.3 (64-bit).

Untuk lain-lain variasi, anda bolehlah hala ke pautan ini: Linux Mint Download.

Sumber: OMG! Ubuntu!.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Zorin OS 15.1 Core: Peralihan Lancar Untuk Pengguna Windows 7

0

14 Januari 2020 nanti, berakhirlah hayat Windows 7 apabila Microsoft menamatkan sokongan ke atasnya. Bukan tak boleh pakai, tetapi segala kerentanan yang masih ada atau akan datang nanti tidak lagi diberikan tampalan ke atasnya.

Buat yang masih berkira-kira untuk tidak menaik taraf kepada Windows 10, maka Zorin OS 15.1 Core adalah satu sistem operasi yang memudahkan peralihan, dari Windows ke Linux.

Sejak dari ia mula dibangunkan, Zorin OS sememangnya sudah sentiasa menggunakan paparan antaramuka pengguna yang sangat hampir dan mirip kepada Windows 7.

Paparan Antaramuka Ala Windows

Pada saya jika kerajaan berusaha untuk memperkenalkan Linux bermula di sekolah-sekolah, maka Zorin OS adalah sistem operasi yang patut digunakan.

Paparan antaramuka yang begitu menyamai Windows 7 sedikit sebanyak akan membantu para pemula khususnya dari golongan pelajar beralih secara perlahan-lahan dan mempelajari sistem ini dengan berkesan.

Pokoknya di sini, rupa bentuknya yang seakan tidak asing kepada pengguna baru akan mengalihkan rasa takut kepada sistem operasi asing yang perlukan masa untuk menguasainya.

LibreOffice

Saya bukan peminat kepada LibreOffice, kerana saya lebih memilih WPS Office lagi sebagai pengganti kepada Microsoft Office.

Tetapi saya faham jika ia dijadikan sebagai perisian lalai dalam Zorin kerana ia percuma, sumber terbuka, dan kini mempunyai lebih keserasian dengan Microsoft Office serta prestasinya juga bertambah baik.

Anda boleh lihat sendiri pada tangkap layar di bawah, bagaimana rupanya (LibreOffice Writer = Microsoft Word).

Ini pula adalah LibreOffice Calc = Microsoft Excel.

Dan ini, ialah LibreOffice Impress = Microsoft PowerPoint.

 

GameMode

Dalam Windows 10, satu ciri unik yang saya rasa memang patut ditambah pada Linux ialah ‘Game Mode’. Oleh itu, Zorin memasukkan ciri ini khusus untuk golongan pemain permainan mudah alih dan ia serasi dengan Steam.

GameMode pada Zorin tidak mempunyai paparan antaramuka, dan ia akan dijalankan secara automatik pada mana-mana permainan yang disokong olehnya.

Untuk Steam, permainan boleh dijalankan dengan GameMode dengan cara klik kanan pada permainan tersebut di Steam Library > Properties > Set Launch Options… – dan masukkan perintah ini:

gamemoderun %command%

Bagaimanapun, anda boleh lihat status aktifnya menggunakan GNOME Shell extension ini: GameMode by gicmo.

Tema Cerah Dan Gelap Automatik

Salah satu ciri Windows 10 yang saya agak rindu di Linux ialah tema gelapnya. Zorin mengimplimentasi tema gelap beserta suisnya yang anda boleh ubah ketetapan masa penukaran.

Ianya ciri yang ringkas tetapi memberi impak kepada kepenggunaan, terutamanya jika anda memang penggemar tema gelap.

Zorin OS mempunyai beberapa variasi, termasuklah versi berbayar.

Jika anda baru hendak memahirkan diri, saya syorkan anda muat turun sahaja versi ‘Core’ kerana ia percuma dan masih mempunyai ciri-ciri yang disebutkan di atas.

Muat turun di sini: Zorin OS 15.1 Core.

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

Pembesar Suara Tronsmart Element T6 Mini: Kecil Tetapi Padu!

0

Sebelum ini saya ada mengguna dan mengulas mengenai Tronsmart Element T6 Plus. Ia adalah pembesar suara premium, berciri TWS, boleh dihubungkan dengan T6 Plus lain bagi memberi kesan bunyi stereo dan kesan lebih mantap.

Terkini, lahirnya Element T6 Mini yang mana bersaiz kecil seperti namanya, tetapi masih padat dengan ciri-ciri yang serupa dengan T6 Plus.

Sebelum kita teruskan, mari kita sama-sama buka kotak dahulu.

Apa yang ada dalam kotaknya?

1x Pembesar Suara Element T6 Mini,
1x Kabel pengecas USB-C,
1x Kabel audio 3.5mm,
1x Tali boleh tanggal,
1x Kad waranti,
1x Manual panduan pengguna.

Pembesar suara bersaiz kecil ini juga bercirikan TWS, di mana ia boleh dihubung dengan satu lagi T6 Mini yang lain bagi mencipta suasana pendengaran stereo.

Apa yang menarik, ia mempunyai pemacu 360 darjah yang mampu memberikan kesan bunyi lebih padu berbanding pembesar suara yang sama saiz dengannya.

Disebabkan saiznya yang kecil juga, ia lebih sesuai dibawa ke mana-mana tanpa rasa terbeban dengan berat ataupun dimensi lebarnya.

Apa yang saya suka tentang T6 Mini?

Pertamanya, ia dicaj dengan USB-C. Betapa mudah nak masukkan pengecasnya, tanpa perlu terbelek-belek.

Kedua, ianya kalis air. Kalau anda memang jenis suka membuat bising di tepi pantai, maka sesuai sangatlah anda bawa ia ke sana. Asal saja jangan sampai ditendang orang sudahlah.

Ketiga, baterinya sangat tahan lama. Kalau mengikut spesikasi, ia dapat memainkan lagu sebanyak 500 buah selama 24 jam. Sepanjang percubaan saya sendiri, memang sukar nak habiskan baterinya sebelum saya terlelap di atas sofa atau katil!

Bermula dari tarikh 5.12.19 hingga 9.12.19, semua pembeli akan mendapat pulangan wang sebanyak 10% untuk setiap pembelian produk Tronsmart.

Anda boleh gunakan kod kupon ini untuk mendapatkan diskaun 10% bagi T6 Mini: 12TRO84D1

Jika anda berminat nak sambar Tronsmart Element T6 Mini, sila hala ke pautan di bawah:

Shopee:
Lazada:

Sekarang adalah masa paling sesuai kalau anda nak membeli gajet atau produk-produk IT seperti ini kerana masing-masing berebut memberikan diskaun serta pelbagai faedah lain seperti pulangan wang.

Jika Tronsmart Element T6 Plus saya gunakan untuk menonton filem atau drama, Element T6 Mini pula saya gunakan dalam bilik untuk mendengar lagu-lagu kegemaran.

Lagu pertama yang saya mainkan sebaik ia dibuka ialah Coolio – Gangsta’s Paradise.

Bass kedengaran agak punchy, manakala vokal pula jelas tanpa gangguan bunyi dari alat muzik di paras mid-range. Bagi anda yang gemar mendengar lagu-lagu rock atau metal pula, mungkin T6 Mini tidaklah memberi definisi terbaik pada gitar dan rhythm, tetapi paling penting pada saya bunyinya tidak ‘pecah’, dan masih ‘gemersik’ serta merdu.

Lagu seperti Cradle of Filth – From the Cradle to Enslave, masih dapat dilayan dengan baik. Vokal Dani hanya sedikit mendap, tetapi lagu-lagu lain contohnya Dimmu Borgir – Mourning Palace, vokal (Shagrath) kedengaran sangat nyaring sepertimana yang sepatutnya didengar.

Pendek kata, dengan harganya yang lebih murah (selepas diskaun), saiz yang kompak, serta ciri-ciri premium yang disebutkan di atas, saya rasa anda tidak akan berasa hampa menggunakannya.

Saya harap akan ada lebih ramai lagi yang mula meminati produk-produk dari Tronsmart, kerana walaupun adakalanya harga yang ditawarkan adalah lebih mahal berbanding produk dari jenama lain, saya berani katakan bahawa kualitinya menyaingi produk-produk tersebut, sesuai dengan apa yang ditawar pada ciri-ciri gajet keluaran mereka.

Bak kata orang Kuala Kangsar,

“You get what you pay for”.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Ubuntu Cinnamon: Sekadar Distro Baru Dengan Perubahan Kosmetik, Atau..?

0

Cinnamon merupakan persekitaran meja Linux hasil dari pembangunan yang dibuat oleh pasukan pembangun Linux Mint. Secara jujur, saya bukan peminat tegar bagi Cinnamon, kerana ia ‘terlalu windows’ untuk saya. Tambahan pula pemilihan skema warna pada Linux Mint yang terlalu kehijauan membuat saya tiada selera untuk menggunakannya.

Hinggalah terlahir Ubuntu Cinnamon.

Ubuntu Cinnamon ialah distro (Linux distribution) terbaru yang berasaskan Ubuntu 19.10. Tetapi dari menggunakan GNOME 3 yang menjadi persekitaran meja lalai pada Ubuntu waktu kini, ia mengguna pakai Cinnamon dengan skema warna hitam dan oren.

Pertama kali saya boot masuk ke desktop, saya sudah jatuh hati kepada wallpaper dan pemilihan skema warnanya. Hitam, oren, dan kilauan antara keduanya membuatkan saya berasa lebih selesa berbanding tema hijau alam oleh Linux Mint.

Dari luar, terdapatnya perubahan kosmetik dari segi tema, tetapi apabila menjengah ke dalam, ada beberapa komponen Ubuntu yang dibuang, dan beberapa darinya adalah aplikasi yang saya selalu gunakan.

Antara contohnya ialah aplikasi gnome-screenshot, dan gnome-system-monitor. Saya tidak beberapa faham mengapa mereka mengambil keputusan untuk membuangnya, kerana kalau hanya sekadar ingin berbeza sedikit dari Ubuntu atau Linux Mint, maka lebih baik kekalkan dua aplikasi tersebut tetapi ubah yang lain.

Sebut mengenai perubahan, Ubuntu Cinnamon menukar beberapa aplikasi, kepada pilihan mereka sendiri. Contohnya aplikasi pembuka gambar ditukar kepada gThumb, dan boleh juga dibuka dengan ‘Photos’.

Untuk aplikasi pejabat, Libre Office sudah tersedia dipasang. Saya memang tidak beberapa berminat dengan Libre Office, maka saya akan gantikan ia dengan WPS Office nanti.

Berbeza dengan Linux Mint yang sudah ada semuanya untuk multimedia, Ubuntu Cinnamon nampaknya masih mengekalkan ‘resepi’ Ubuntu yang minimal. Anda perlu pasang kesemuanya sendiri melainkan pemain video sedia ada iaitu GNOME MPV.

Selain itu, tiada apa-apa sangat yang hendak diperkatakan. Ia adalah Ubuntu, yang disertakan dengan Cinnamon – buat masa ini. Menurut pembangunnya iaitu Joshua Peisach, versi akan datang bakal memasukkan beberapa ciri baru dan penambahbaikan.

Anda boleh muat turun Ubuntu Cinnamon di sini: Ubuntu Cinnamon.

Anda juga boleh hala ke pautan lamannya, yang masih lagi dalam pembinaan: ubuntucinnamon.org.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Mio Mivue 792 Dashcam: Ejen M.A.T.A Dalam Kereta

0

Sebagai seorang Grab driver, dashcam antara komponen penting dalam kereta waktu memandu & mamu dah pakai dashcam dari Mio ni masuk 2 bulan. Ini merupakan unit kedua mamu pakai kerana unit pertama mamu dapat ada defect. Bab hat tu mamu akan ulas kemudian punca-punca masalah pada dashcam yang mamu pakai.

Mio merupakan jenama dibawah syarikat MiTAC Digital Technology Corp yang menghasilkan Magellan, NavMan (elektronik automotif) & TYAN (perkakasan pelayan). Mio ditubuhkan pada May 2002 & berpengkalan di Taiwan. Depa juga mempunyai operasi di China, Eropah, Asia & Timur Tengah.

Mamu akan mulakan dengan packaging dashcam ni sendiri. Dalam kotak hangpa akan dapat dashcam, memory card 16GB, dashcam mount jenis sticker (Ini bergantung nasib pasai ada hat dapat jenis suction cup), quick start guide & kabel USB sepanjang 3 meter dengan cigarette port power adapter.

Antara gripe yang mamu tak suka adalah :

  1. Port mini USB.
  2. Proprietary power adapter.
  3. Sticker mount.
  4. Ventilation hole.

Port Mini USB

Kita dah masuk tahun 2020, masih nak pakai mini USB lagi? Ini agak leceh kalau hangpa nak download footage pada waktu kemalangan. Lani kebanyakan dashcam pakai micro USB port. At least senang nak power up dashcam hangpa pakai powerbank.

Proprietary Power Adapter

Kalau nak design lagu ni sepatutnya ada 2 USB port. Senang la untuk nak pakai caj phone. Bagi mamu, sebaiknya depa design hujung pakai USB Type A pasai kebanyakan driver akan ada satu in-car charger dual port untuk caj phone depa.

Satu benda mamu bole puji, depa gunakan 20AWG untuk kabel power so hangpa tak perlu risau kabel hangpa nak rosak pasai kabel ni memang tebal.

Sticker Mount

Hat bab ni terpulang atas preference masing². Mamu lebih prefer suction cup mount pasai senang hangpa nak align dashcam kat cermin kereta hangpa bila time pasang.

Ventilation Hole

Tadi mamu ada sebut pasai dashcam mamu yang 1st unit defect. Mamu suspek sebab nih la. Pasai pa mamu cakap lagu tu? Kat Taiwan, cuaca lebih sejuk berbanding kat Malaysia. Kita ada 3 cuaca ja yang mamu tau. Musim panaih menghelit, musim sejuk mengedik & musim durian. Memandangkan mamu selalu drive time siang dengan cuaca panaih & ventilation hole macam takdak, antara punca kemungkinan dashcam nih overheat & jadi haywire masa 3 minggu pertama mamu pakai.

Ok, sekarang kita cerita pasai performance dashcam nih plak time mamu drive. Mivue 792 ni ada beberapa ciri yang canggih:

  • Sony STARVIS Sensor
  • 1080p 30fps/60fps
  • Built in GPS/GLONASS
  • Integrated WiFi
  • Advanced Driver Assistant System (ADAS)
  • Forward Collision Warning System (FCWS)
  • Lane Departure Warning System (LDSW)
  • Parking monitor mode (perlu SmartBox)
  • Dual camera system support (bukan semua model support & kena beli asing camera untuk belakang)

Video Performance

Mamu tak nafikan performance video dari dashcam ni memang menggamit jiwa. Aperture dengan bukaan f1.8 digabungkan dengan sensor Sony, low light performance dia membuatkan video low light nampak lebih crisp & clear. Hangpa boleh tengok sample yang mamu dah rakam menggunakan dashcam nih.

??? https://youtu.be/rI_W1vAZjYI

*Best viewed at 1080p.

Advanced Driver Assistant System Features

Tak semuanya indah belaka dengan dashcam nih. Sistem ADAS ada kat dashcam nih agak mengecewakan. Dari video sample mamu tu hangpa sendiri boleh tengok FCWS tetiba dia bagitau mamu ada kereta kat depan. LDSW pun sama gak walaupun mamu dok kat lane mamu tanpa bertukar lorong. Maybe depa bole update firmware untuk dashcam bagi sistem ADAS nih lebih berguna. Owh sebelum lupa, kat dashcam nih boleh set untuk remind hangpa dah drive berapa lama. Mamu set 4 jam so bila cukup 4 jam, dia akan bagitau ‘You have been driving for too long. Please take a break’. Lebih kurang lagu tu dia cakap.

Video Recording Option

Rakaman kat dashcam nih terhad pada 2 option sahaja:

  • 1080p 30fps
  • 1080p 60fps

Mamu set pada 1080p 30fps untuk video rakaman mamu. Video hangpa boleh set untuk 1 minit, 3 minit atau 5 minit. Mamu set 1 minit satu video & saiz video untuk 1 minit lebih kurang 120MB. Depa bundle sekali memory card microSD 16GB untuk kegunaan hangpa. Kalau rasa tak cukup, hangpa boleh tukar pakai kapasiti lebih besar.

Memory card dalam dashcam akan dibahagikan untuk 3 benda:

  • Event (2GB)
  • Video (11GB)
  • Gambar (2GB)

Hangpa boleh set besar mana partition untuk setiap function tu. Mamu kurangkan saiz partition untuk gambar & besarkan saiz partition untuk video. Untuk transfer video nih, hangpa kena pakai app Mio di telefon atau Mio Manager untuk laptop.

GPS/GLONASS & WiFi

GPS lock untuk dashcam nih agak laju. Mamu biasa dapat lock dalam 20 saat & masa untuk video dia sync dengan GPS timing. Belum pernah lagi ada masalah sejak pakai bab lock GPS.

Bab WiFi, transfer rate dia bagi mamu agak slow. Mamu dapat dalam 10Mb/s. Satu video ambil masa dalam lebih kurang 5 minit untuk transfer. Mungkin untuk versi akan datang, depa boleh gunakan 5Ghz WiFi protocol.

Mio App / Mio Video Manager

Mio app untuk telefon agak straight forward. Pernah gak sekali dua dashcam tak dapat connect dengan app. Layout main menu dia seperti dibawah:

Live View = hangpa boleh tengok apa dashcam tengah rakam masa driving. Sesuai nak tengok placing dashcam betul di tengah cermin hadapan.

Settings = kat sini hangpa boleh set refresh rate, exposure compensation & nak format memory card dalam dashcam.

SD Card = sini hangpa boleh view video event yang dah trigger, video recording, parking & gambar yang dah diambil guna dashcam.

Info = kat sini basically hangpa boleh check info firmware, device name, safety cam version & nama WiFi dashcam hangpa.

Untuk option kedua yang logo folder, function sama cuma beza hangpa boleh view semua video yang dah dimuat turunkan ke telefon hangpa.

Option paling last adalah check storage location, check ada firmware update, Help section & About section.

Satu kekurangan app nih adalah hangpa tak boleh preview video hangpa dah rakam & ini menjadi masalah untuk pilih video yang hangpa perlu muat turun ke telefon hangpa. Mamu harap function nih ada untuk model akan datang. Yicam action camera mamu yang dah 4 tahun pakai pun ada function nih kot.

Mio Video Manager adalah app untuk PC/laptop hangpa. Hangpa boleh view video & info g-force dari sudut berlainan kereta hangpa. Kalo jadi pelanggaran, hangpa boleh agak dari mana impak tu berlaku. App nih hangpa boleh view ja. Kalau boleh edit sekali memang senang kerja nak trim video kita nak pakai tu.

Secara kesimpulannya, Mio Mivue 792 Dashcam adalah salah satu produk yang all-rounder bagi sebuah dashcam dalam pasaran dashcam Malaysia. Bagi mamu, Mio Mivue boleh bersaing dengan dashcam brand lain jika kekurangan yang mamu utarakan dapat direktifikasi untuk model akan datang. Terima kasih pada Mio kerana memberi peluang mamu untuk review dashcam dari company hangpa.

Akhir kata majulah sukan untuk negara.

-MamuSembangGG-

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Ulasan YouTube Premium: Nikmati YouTube Dan YouTube Music Tanpa Iklan

0

Bagi anda yang dah sebati dengan piracy dan YouTube Vanced, post ini bukan untuk anda.

Saya sudah lama mengidamkan langganan YouTube Premium, kerana selain Netflix, YouTube adalah antara aplikasi dan servis penstriman yang saya gunakan dengan begitu kerap sekali.

Atas sebab itu saya berazam dan tekad, sekiranya ia dilancarkan di Malaysia, saya akan nyahpasang Vanced dengan segera dan terus melanggannya.

YouTube Premium menawarkan penstriman tanpa iklan untuk semua video YouTube. Dalam masa yang sama, pengguna dapat menikmati YouTube Music dan kandungan YouTube Originals dengan langganan sebanyak RM17.90 (harga asal sebelum cukai digital 6% dikenakan nanti).

Jadi, apa pendapat saya mengenainya? Adakah berbaloi melanggan?

Aplikasi YouTube (Android) Masih Bodoh

Pertama sekali, mari kita sebutkan tentang perkara negatif terlebih dahulu. Aplikasinya masih lagi ‘kebodoh-bodohan’ apabila yang pertamanya, tidak memberikan pilihan kepada pengguna untuk memainkan video pada resolusi tetap. Keduanya, menurut artikel panduan dari Google sendiri, pengguna hanya perlu memilih sekali sahaja untuk resolusi yang diingini dan aplikasi YouTube akan ‘mengingati’ pilihan tersebut.

Tetapi bukan itu yang terjadi, kan?

Resolusinya selalu berubah kembali kepada 480p terutamanya pada waktu malam. Saya masih belum dapat merungkai misteri ini, akan mengapakah ia terjadi sedangkan resolusi 1080p sudah pun dipilih. Ini satu-satunya ciri yang saya rasa patut Google dan YouTube perbaiki kerana ia dapat merosakkan mood ketika menonton.

Anda boleh rujuk artikel panduan tersebut di sini: Change the quality of your video.

Menurut ‘YouTube Help’ itu lagi, antara faktor yang merubah resolusi ialah kelajuan internet, saiz skrin, dan kualiti asal video yang dimainkan. Walau bagaimanapun, jika kesemua keperluan di atas dipenuhi, dan resolusi masih lagi kembali ke 480p dan ‘menetap’ pula tanpa naik ke 1080p, apa lagi alasan Google/YouTube untuk tidak memasukkan fungsi ‘default resolution’ pada aplikasi, sama seperti yang ada pada YouTube Vanced?

*Kebiasaannya ini terjadi hanya pada waktu malam sahaja. Pada waktu siangnya, tiada masalah pula.

**Saya uji sekali lagi pada malam sebelum artikel ini diterbitkan, dan nampaknya ‘karakter’ ini semakin menghilang. Teori saya, video perlu dimainkan pada skrin penuh agar resolusi 1080p dapat ‘dinaikkan’ oleh aplikasi. Tetapi ini hanya sekadar teori saya sahaja. Kadangkala tak perlu main dengan skrin penuh pun ia akan naik juga kepada 1080p. Untuk pengetahuan, saya menggunakan aplikasi YouTube versi beta.

***Saya masih dengan pendapat saya, bahawa YouTube perlu memberikan pilihan kepada pengguna untuk memilih satu resolusi tetap yang digemari, tidak kiralah bagaimana keadaan atau kelajuan internet itu sekalipun.

Selain dari bebas iklan, apakah ciri lain yang ditawarkan oleh YouTube Premium?

Seperti yang dinyatakan di atas, anda akan dapat menggunakan YouTube Music (Premium) dan juga menikmati kandungan YouTube Originals.

Selain itu, YouTube Premium juga menawarkan;

1. Memainkan video pada latar (background playback). Anda boleh mainkan video tanpa perlu membuka aplikasi YouTube, sambil menggunakan aplikasi lain serentak.

2. Muat turun video bagi tontonan luar talian.

Berbaloi atau tidak langganan YouTube Premium ini?

Pada saya, jika anda bukan penonton YouTube yang tegar, maka adalah lebih baik anda hadap sahaja iklan yang ada (saya tidak akan sesekali mengesyorkan YouTube Vanced, kerana ia adalah satu bentuk piracy).

Saya sendiri pasti akan gunakan YouTube melebihi 3 jam setiap hari. Jadi tiada isu sama ada penggunaan saya ‘tegar’ atau tidak, kerana tempoh seperti itu sudah boleh membuatkan anda habis menonton beberapa buah filem.

Sebelum ini saya adalah pengguna setia Spotify. Dengan bayaran sebanyak RM14.90 sebulan, saya dapat mendengar lagu-lagu kegemaran dengan hanya strim tanpa perlu menyimpannya di dalam storan. Jadi apabila YouTube Premium dilancarkan di Malaysia, saya mengambil keputusan untuk melanggannya dan mengganti Spotify kepada YouTube Music Premium – hanya perlu tambah RM3 sahaja.

Apa komen saya mengenai YouTube Music?

Pada saya, YouTube Music masih perlukan masa untuk berkembang menjadi matang. Katalognya masih belum seluas dan sebesar Spotify. Ini terbukti apabila saya memindah senarai main dari Spotify ke YouTube Music, terdapat beberapa buah lagu yang tidak masuk ke dalam senarai.

Selain itu, aplikasi Android juga perlukan banyak penambahbaikan. Antara contohnya, saya gemar mendengar hanya satu lagu pada satu ketika, dan YouTube Music pula ‘gemar’ terus memainkan lagu-lagu lain secara automatik (autoplay). Ciri ini masih belum diberi pilihan untuk nyahaktif, dan ini agak menjengkelkan.

Dari segi kualiti audio pula, YouTube Music tidak menawarkan apa-apa kualiti melebihi 256kbps – AAC, yang menurut Google menyamai kualiti 320kbps mp3 (constant bitrate). Saya sebenarnya berharap YouTube Music memberikan pilihan yang lebih baik dari ini, meskipun ia bukan lossless.

Akhir Kata

YouTube Premium bukan untuk semua orang. Ada majoriti di luar sana yang lebih gemar menggunakan aplikasi ‘modded’ a.k.a lanun dan percuma, dan ada pula yang lebih suka kepada servis penstriman yang menawarkan variasi lebih menarik.

Saya pula berada dalam status ketagihan terhadap paparan antaramuka YouTube serta kandungan yang ada dalamnya. Kerana saya cenderung menonton YouTube, maka saya melulus justifikasi bayaran bulanannya agar dapat saya nikmati akaun premium.

Saya tiada apa komentar mengenai kandungan YouTube Originals, kerana setakat ini saya baru hanya menonton dokumentari kucing bertajuk ‘Kedi’. Apa yang saya boleh catatkan, tiada lagi servis lain yang mempunyai algoritma pencadangan/pengesyoran sebaik YouTube, dan ia akan menjadi semakin baik dan bahkan aneh, dari semasa ke semasa.

Views: 5

Iklan Newspaper Inline

MaxSpeedBox.com: Kombo Seedbox, Penjana Pautan Premium, Dan Storan Awan

0

Penggunaan seedbox dan premium link generator bukan benda baru. Dari dulu lagi ia sudah popular, dan kelihatan belum lapuk dek zaman kerana terdapat begitu banyak laman pengehos fail yang memerlukan akaun premium bagi mendapat kelajuan muat turun yang lebih laju.

Bagi mereka yang gemar memuat turun fail dari laman torrent, seedbox adalah peneman setia. Terdapat banyak servis seperti ini, dari yang percuma kepadalah yang berbayar. Biasanya yang percuma akan mempunyai had tertentu, manakala servis berbayar pula menawarkan ciri-ciri ekstra yang menjadi sasaran para pemuat turun tegar.

MaxSpeedBox hadir dan menyertakan kedua-dua ciri tersebut dalam satu servis. Anda boleh gunakan ia sebagai seedbox, premium link generator, dan juga sebagai penyimpan fail awan (cloud storage).

Kenapa servis seperti ini wujud dan diperlukan?

Selalunya bagi mereka yang gemar muat turun fail bersaiz besar dari laman-laman pengehos fail, kebiasaan perkara yang terjadi ialah akan ada ralat dihujung proses, dan terpaksa memulakan muat turun dari awal. Bila nak dimuat turun semula, terpaksa pula menunggu masa pengehad penggunaan sehingga tamat, barulah boleh muat turun fail tersebut.

Bagi pengguna torrent pula, tak semua gemar untuk memasang aplikasi torrent, dan tak ramai juga yang suka biarkan komputer mereka terpasang lama semata-mata untuk selesaikan seed (seed-lah, jangan jadi pemuat turun tak bertauliah. Dah sedut, padam pula. Kurang asam jawa namanya tu).

Jadi, jika anda solusi yang boleh membantu menukar kedua-dua kaedah muat turun di atas, kepada pautan muat turun secara terus atau direct link, sudah pastilah pengguna akan memilih cara tersebut.

MaxSpeedBox menawarkan pelbagai ciri menarik, dalam satu servis. Ciri semua dalam satu ini, dengan tawaran harga mampu bayar untuk sebulan langganan iaitu $8.8USD atau lebih kurang RM36. Jika nak langgan bagi tempoh pendek pun boleh juga, iaitu sebanyak $3.8USD atau RM15.

Terdapat juga dua tiers lain iaitu 90 hari dan 180 hari, masing-masing dengan bayaran sebanyak $20.8 (RM86) dan 37.8 (RM157) – semua harga ini adalah direct convert.

Menurut pembangun MaxSpeedBox, untuk satu akaun hanya boleh digunakan oleh satu orang sahaja.

Pada tangkap layar di atas, saya demokan bagaimana ia menukar pautan muat turun laman 1fichier.com kepada pautan muat turun terus dengan mudah.

Tangkap layar ini pula menunjukkan kelajuan maksimum yang saya berjaya perolehi sewaktu muat turun fail tersebut. Saya dapati tiada lagi sekatan terhadap kelajuan muat turun, dan fail bersaiz 4.15GB itu dapat dimuat turun dalam masa hanya lebih kurang 10 minit sahaja. Pautan muat turun tersebut dapat digunakan oleh aplikasi pemuat turun Internet Download Accelerator tanpa perlu bimbang sama ada ia akan menjadi fail html atau bahasa mudahnya gagal ‘ditarik keluar’ oleh aplikasi IDA itu.

Namun dalam percubaan saya, tidak semua pautan berakhir dengan gembira. Ada juga yang gagal ditukar kepada pautan terus. Sebagai pengguna, anda perlu mencari pautan yang dapat ditukarkan dengan jaya. Saya tidak pasti sama ada ia disebabkan oleh ralat, pepijat, atau pautan tersebut tidak ‘sah’ lagi digunakan, tetapi yang pastinya laman itu tersenarai dalam laman-laman yang disokong secara rasmi oleh MaxSpeedBox.

Berikut antara laman-laman yang saya maksudkan. Terdapat 60 buah laman kesemuanya.

Kemudian, kita lihat pula fungsi pemuat turun torrent.

Ini adalah fungsi yang saya sendiri gemari kerana saya lebih cenderung mencari fail melalui torrent, dan bukan melalui laman pengehos fail. Anda akan diberikan sebanyak tiga kaedah muat naik fail iaitu muat naik secara terus, remote URL, dan pautan magnet.

Pada tangkap layar di bawah, saya menggunakan pautan magnet bagi mendapatkan fail.

Masukkan dulu pautan magnet.

 

Proses sedutan sedang berlangsung.

 

Sedutan dah siap. Tiba masa untuk bawa ia keluar.

 

Sungguh enak sekali kelajuannya itu.

Seperti yang dapat anda lihat, kelajuannya juga tidak menghampakan. Sebentar sahaja masa untuk menanti ia siap, pejam celik, pejam celik, tahu-tahu saja belum sempat kopi dibancuh ia dah pun tersedia.

Selain itu, antara ciri lain yang paling saya suka ada padanya ialah ciri pengurus fail dan storan. Pengurus fail dan storan ini menyokong seret dan lepas (drag and drop), seperti yang dapat anda lihat pada gambar berikut ini.

Ia juga didatangkan dengan fungsi statistik, di mana anda boleh lihat berapakah jumlah muat turun bagi fail yang telah anda kongsikan, dan berapa pula baki ruang storan awan setelah anda gunakan ia untuk menyimpan fail dan menyedut pula dari torrent.

Anda juga boleh sunting fail yang telah siap dimuat naik, seperti menamakan ia semula, meletakkan kata laluan, serta menyalin pautan muat turun untuknya.

Anda tidak akan berasa rugi apabila melanggan kerana anda boleh juga muat naik fail yang ingin disimpan dengan selamat dalam storan awan. Inilah dia kombinasi paling padu setakat yang saya pernah cuba – seedbox, penjana pautan muat turun premium dan juga storan awan yang disokong oleh pengurus fail mantap.

Kalau ada satu perkara yang saya ingin lihat ia ditambah atau diubah ialah, saya harap dalam pengurus fail nanti akan ada pilihan untuk memadam terus fail tanpa meletakkan ia ke dalam ‘Trash Can’.

Pilihan ‘Permanently Delete’ itu sudah sepatutnya disediakan dari awal operasi, supaya tidak perlu ‘buat kerja dua kali’ apabila pengguna perlu hala ke Trash Can pula untuk padam fail sekali lagi.

Konklusi

Saya bukan pemuat turun dari laman pengehos fail yang tegar, tetapi bila satu servis itu menempatkan kepelbagaian ciri semua dalam satu, tidak dapat tidak saya rasa agak kurang bijak untuk menolaknya, tambahan pula langganan bulanan tidaklah terlalu mahal.

Kombo ciri-ciri yang ada sudah cukup untuk buat anda tidak keluar rumah apabila saban hari mencari sesuatu yang baru untuk dimuat turun. Tapi jangan sampai sang puaka menegur pula ya, maklumlah anda tidak keluar mencari kawan, sebaliknya hanya berkawan dengan sahabat angker di rumah.

Anda boleh langgan ia melalui pautan ini: MaxSpeedBox.com

Promosi sempena pembukaan laman sehingga 15 Disember 2019 – pelanggan baru akan diberikan diskaun sebanyak 15% untuk semua pakej menggunakan kod: GET15OFFTODAY.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Cleanmgr+: Pembersih Sistem Operasi Dan Pengganti Windows Disk Clean-Up

1

Melainkan anda menggunakan Windows 7, maka anda tidak akan dapat lagi melancarkan ‘cleanmgr’ kerana Microsoft telah menggantikan ia dengan Storage Sense pada Windows 10.

Disebabkan paparan antaramuka Storage Sense tidak begitu menarik walaupun intuitif, maka hadirlah Cleanmgr+ (menurut pembangunnya, UI Storage Sense bersifat ‘gigantic’).

Secara asasnya Cleanmgr+ ialah Windows Disk Clean-up Tool yang diberi nafas baru. Ia mempunyai kepelbagaian fungsi yang membolehkan pengguna membuat pembersihan pada sistem operasi Windows dengan lebih menyeluruh pada satu paparan antaramuka sahaja.

Contoh UI Storage Sense. Gambar dari: Windows Central.

The Disk Cleanup experience (“cleanmgr.exe”) is being deprecated. We’re retaining the Disk Cleanup tool for compatibility reasons. There’s no need to worry since Storage Sense’s functionality is a superset of what the legacy Disk Cleanup provides!Aniket Naravanekar, Microsoft.

Cleanmgr+ selain ringan kepada sistem dan mempunyai UI yang moden, ia mempunyai satu lagi kelebihan lain iaitu pembangunnya mencipta ia sebagai satu alat (tool) yang menggunakan sumber dari sistem Windows sendiri, dan itu bererti hanya pembersihan yang mengikuti ciri asal sistem operasi sahaja yang akan dijalankan.

Ini juga bererti ia tidak akan melakukan segala perkara yang di luar kebiasaan sistem operasi (rogue operations).

Pengguna tidak perlu bimbang sama ada penggunaannya akan ‘menjahamkan’ sistem operasi atau tidak.

Cara penggunaanya adalah mudah. Anda cuma perlu muat turun Cleanmgr+ dan terus klik untuk menjalankannya kerana ia bersifat mudah alih (portable).

Kemudian, pilihlah mana-mana opsyen yang terdapat pada UI Cleanmgr+, dan klik pada ‘Cleanup’. Ia akan mula menjalankan perintah di belakang tabir yang kemudiannya menjalankan pula sistem pembersihan Windows yang sedia ada tanpa perlu melibatkan interaksi dari pengguna.

Ia bersifat semua dalam satu. Hanya perlu klik, dan tunggu sehingga operasi selesai.

Jika anda memilih pada opsyen ‘more’, ia akan memberi lebih pilihan untuk proses pembersihan bagi pelayar web, memadam pelaporan ralat, cache, dan sebagainya lagi. Tetapi hati-hati dalam memilih, kerana contohnya memilih untuk memadam ‘Windows Downloads’ akan memadamkan kesemua fail yang berada dalam folder tersebut.

Melainkan anda memang sudah mahu menyimpan apa-apa, maka tiada masalah, pilihlah opsyen apa pun.

Muat turun di sini: Cleanmgr+.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline