Utama Blog Laman 109

Zorin OS 15 Lite: PC Tua Kembali Bernyawa Dengannya

0

Kali pertama saya mencuba Zorin OS adalah pada tahun 2011, iaitu ketika mula-mula laman ini ditubuhkan. Tetapi saya pada waktu itu bersifat distro hopper, tak pernah setia dengan satu distro hinggalah saya mencuba Arch Linux.

Dari situ tidak pernah pula saya beralih ke distro lain, hinggalah saya cuba kembali Zorin OS 15 Lite, yang dikatakan amat ringan kepada sistem tetapi masih mengekalkan ciri astetik.

Dan tertanya mereka tidak berbohong. Persekitaran mejanya berasaskan XFCE, tetapi tidak pernah saya melihat XFCE secantik ini. Dari jauh ia kelihatan unik, yang bila kebanyakan pengguna Windows 7 melihatnya pasti dengan segera akan tertarik.

Ia mungkin tidak mempunyai keunikan yang sama dengan distro dari China iaitu Deepin, yang mempunyai paparan antaramuka pengguna mirip macOS sambil menyelitkan ciri-ciri tersendiri. Tetapi ia sangat sesuai dijadikan sistem operasi perkenalan kepada para pemula, khususnya peminat tegar Windows 7.

Selain paparan antaramukanya yang sangat mesra pengguna, ia juga amat ringan kepada sistem. XFCE memang sudah lama terkenal dengan prestasinya yang tidak membebankan sistem perkakasan lama, oleh itu ia amat sesuai dibuat sebagai pengganti Windows 7 pada peranti tua dalam usaha menghidupkan ia kembali.

Lihatlah pada gambar di atas, susun atur menu dan aplikasi pengurus failnya tak ubah seperti Windows 7. Senang cerita bagi mereka yang baru nak beralih kepada Linux tidak akan terasa begitu kekok dalam permulaan menggunakannya.

Seperti yang dapat anda lihat juga, saya telah menukar temanya kepada tema gelap. Saya tidak begitu berminat dengan tema asalnya yang terlalu putih, tetapi saya faham jika ada yang meminatinya kerana jika hendak dibandingkan dengan skema warna Windows 7, ini kelihatan lebih ‘ceria dan meriah’.

Anda boleh lihat contohnya pada tangkap layar berikut.

Disebabkan ia berasaskan Ubuntu, maka sudah tentulah sistem pengurusan pakej adalah sama, dan juga stor perisiannya juga serupa. Pengguna baru yang hendak berjinak hanya perlu melancarkan aplikasi ‘Software’ dan klik sahaja butang ‘Install’ untuk memasang mana-mana perisian yang diingini.

Tak perlu tercari-cari Terminal dan baris perintah. Sistem operasi Linux sudah menyediakan satu pusat pemasangan yang memerlukan penggunanya hanya perlu tahu apa yang hendak dipasang, klik butang cari dan ‘Install’ sekiranya ada.

Satu perkara menarik mengenai Zorin ialah ia mempunyai versi berbayar yang bernama Zorin OS 15 Ultimate.

Kenapa perlu bayar, sedangkan Linux itu percuma? Anda boleh baca di sini: Why does it cost?.

Versi berbayar atau Ultimate ini semestinya mempunyai lebih ciri yang mana jika pengguna baru Linux membelinya, ia lebih dari sekadar berbaloi.

Dengan kos sebanyak $39 (USD), apa yang anda dapat ialah:

1. Zorin Appearance Extended (Premium) – paparan antaramuka pengguna atau persekitaran meja ekstra, yang mempunyai paparan lain seperti macOS layout, Windows layout, Ubuntu layout, dan sebagainya lagi.

2. Business & Media apps and Games – aplikasi multimedia dan permainan tersedia dipasang. Tak perlu cari dan pasang sendiri lagi.

3. Sokongan selepas jualan – anda boleh hubungi team Zorin secara terus sekiranya ada apa-apa masalah berbangkit selepas pemasangan.

Berminat? Anda boleh muat turun secara percuma versi Lite di sini: Download – Zorin OS.

*Terdapat juga versi Zorin OS 15 Core dan Zorin OS 15 Education.

Anda boleh rujuk gambar berikut bagi mengetahui perbezaan antara versi Core, Lite, dan Ultimate.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Cara Memindahkan Senarai Main Spotify Kepada YouTube Music

0

YouTube Music sudah mula dapat digunakan bersama YouTube Premium di Malaysia. Saya sendiri sudah menggantikan Spotify dengan YouTube Music yang pada saya mempunyai terapan ‘kuasa’ algoritma Google yang hebat. Oleh kerana peralihan itu, perlunya ada satu medium bagi melakukan pemindahan dengan mudah.

Perkenalkan, Soundizz.

Soundizz ialah laman sesawang aplikasi pemindahan senarai main, dari satu platform ke satu platform yang lainnya. Meskipun tajuk ini adalah untuk memindahkan dari Spotify ke YouTube Music, anda juga boleh pindahkan ia ke platform penstriman seperti Deezer, TIDAL, Google Play Music, Apple Music, dan sebagainya.

Anda juga boleh pindahkan dari YouTube Music (contohnya) ke platform lain juga. Jadi, ia tidak berhenti di setakat had Spotify ke platform lain sahaja.

Tanpa melengahkan masa, mari kita terus ke cara-caranya.

1. Anda perlu daftarkan satu akaun dahulu di Soundizz.

Kemudian, anda log masuk ke setiap akaun servis penstriman yang anda ada.

Sudah? Bagus. Bila dah siap log masuk, klik terus pada butang ‘convert’, seperti yang anda boleh lihat pada paparan tangkap layar di atas, atau klik pada ‘Transfer’, pun boleh juga.

2. Berikan satu deskripsi kepada senarai main anda, jika anda mahu. Klik ‘Save configuration’. Klik pada ‘Delete Duplicate Tracks’ sekiranya anda hendak mengelakkan dari lagu yang sama berulang-ulang dalam senarai main tersebut.

Boleh juga ‘Set Privacy as Public’ jika anda tidak kisah untuk pengguna lain memanfaatkan senarai main anda.

3. Semak senarai trak lagu. Anda boleh tambahkan lagu setelah ia dipindahkan. Di sini, anda boleh menyemak dan membuang lagu yang anda tidak mahu, dan boleh menambahkan lagu baru apabila ia telah siap dipindah.

4. Pilih platform yang anda mahu. Di sini saya memilih YouTube Music. Jika anda lebih gemar gunakan Deezer, atau TIDAL, jangan lupa log masuk untuk tujuan pemindahan.

5. Lagu sedang dipindahkan. Anda boleh bancuh teh tarik dahulu atau masak Maggi sambil menunggu ia siap. Kalau rajin, hantarlah sikit ke pejabat kami.

6. Oh maaf, belum sempat nak bancuh, dah siap rupanya. Anda boleh tekan pada butang ‘Show’ untuk melihat kesemua lagu-lagu yang dah pun berada di platform baru.

7. Siap. Sekarang anda boleh hala ke YouTube Music dan mula mendengar lagu dari situ. Seperti yang saya tuliskan di atas, anda boleh pindahkan lagu-lagu dari platform penstriman lain, ke platform yang anda mahukan. Jika anda ada senarai main dari YouTube Music yang anda ingin ia berada dalam Spotify, maka bolehlah gunakan cara ini tanpa perlu bersusah payah membuat senarai main yang baharu.

Jom layan headbanging dengan senarai main saya: From the Twisted Mind of Arya Putra.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Tronsmart Spunky Beat: TWS Untuk Audiophile?

1

TWS sudah menjadi buah mulut masyarakat siber atau netizen sejak ia dilancarkan. Ramai memilih untuk menggunakan fon kepala berwayar kerana ia memberikan bunyi yang lebih baik.

Inilah dia cabaran yang perlu dihadapi bagi pengeluar TWS kerana terdapat penanda aras yang tinggi dari kebanyakan fon kepala/telinga berwayar.

Dikatakan codec aptX™ dapat memenuhi keperluan terhadap bunyi berkualiti tinggi bagi peranti Bluetooth. Maka berbondong-bondonglah syarikat berebut dalam mengeluarkan produk sendiri berteraskan codec itu.

Tronsmart tidak mahu terkecuali dan ketinggalan apabila mereka melancarkan produk terbaru iaitu Spunky Beat.

Sebelum ini saya telah menggunakan Spunky Pro yang mengguna pakai codec AAC. Ianya memuaskan, berharga mampu milik, dan mempunyai kualiti binaan akhir yang begitu baik sekali.

Tetapi apabila saya cuba sahaja Spunky Beat buat pertama kali, saya terdiam sebentar.

Ini adalah apa yang dapat saya catatkan sepanjang penggunaan saya beberapa hari ini.

Tapi sebelum kita teruskan, seperti biasa ada eloknya kita buat buka kotak dulu.

Apa yang ada dalam kotaknya?

1x Spunky Beat.
1x Paket silikon penutup telinga (ada dua saiz berbeza di dalamnya).
1x Manual panduan pengguna.
1x Kad waranti.
1x Kabel pengecas USB-C.
1x Bekas penyimpanan yang juga berfungsi sebagai bekas pengecas.

Anda boleh lihat gambar-gambar yang saya ambil di bawah untuk mendapat gambaran apa yang ada dalam pakej.

Jadi, macam mana kualitinya, dari segi binaan akhir dan bunyi?

Tronsmart menggunakan Cip Bluetooth Qualcomm untuk Spunky Beat, yang seperti disebutkan di atas, mempunyai codec aptX bagi menghasilkan kualiti bunyi berdefinisi ‘studio’.

Apakah senarai main yang saya gunakan dalam penilaian?

Lio – I Wonder
Method Man & Snoop Dogg – Eastside feat. iNTeLL
Machine Gun Kelly – Hollywood Whore
Coolio – Gangsta’s Paradise
Too Phat – Just A Lil’ Bit
I Prevail – Come And Get It
Dissection – Thorns of Crimson Death
Like A Storm – Love the Way You Hate Me
Slipknot – Orphan
From the Twisted Mind of Arya Putra (senarai main saya).

Apa yang boleh saya rumuskan?

Saya cuba simpulkan melalui tiga pecahan frekuensi bunyi. Sebenarnya terdapat 7 tahap frekuensi audio, iaitu Sub-bass > Bass > Low midrange > Midrange > Upper midrange > Presence > Brilliance.

Tetapi saya hanya ambil tiga sahaja iaitu rendah (low), pertengahan (mid), serta tinggi (upper/high). Anda boleh rujuk ulasan QCY T2C untuk mengetahui apa itu frekuensi rendah, pertengahan, dan tinggi itu.

Frekuensi Rendah

Saya amat menyukai bunyi di frekuensi ini. Ianya tidak menenggelamkan bunyi penting dari frekuensi pertengahan, sebaliknya ada karakter tersendiri yang memisahkan identitinya. Contohnya lagu Lio – I Wonder, bass kedengaran begitu jelas sekali, menonjolkan karakter lagu tersebut yang sememangnya punyai bunyi bass tebal, namun bunyi drum tidak tenggelam bahkan setiap ketukan amat jelas, diiringi vokal Lio yang merdu, memeriahkan lagi lagu tersebut.

Frekuensi Pertengahan

Inilah frekuensi yang menjadi kekuatan Spunky Beat. Saya mendengar Killswitch Engage – The Signal Fire, bunyi gitar utama dilapis oleh gitar rhythm dan gitar bass, tidak terdengar terlalu kasar dan bingit. Namun, terdapat juga kelemahan di beberapa tempat yang barangkali menjadi kontra kepada kekuatannya ini. Contoh di lagu Parasite Inc – The Pulse of the Dead, bunyi bass (hanya tekaan saya, kerana tak pasti apakah alat muzik tersebut. Boleh jadi juga ia adalah keyboard piano. Tetapi ahli band ini tiada pemain keyboard piano pula) tidak begitu kuat bunyinya.

Frekuensi Tinggi

Bunyi-bunyian di frekuensi ini agak ‘bersih’, dan memenuhi lagu dengan lapisan bunyi yang tidak menyakitkan telinga. Anda boleh cuba dengar sendiri lagu dari Soilwork iaitu As We Speak. Bunyi cymbal adalah sedap didengari.

Jangka Hayat Bateri

Setiap satu earbud mempunyai bateri berkapasiti 35mAh, manakala bekas pengecasnya pula berkapasiti 350mAh. Tronsmart menjanjikan masa main selama 7 jam pada tahap suara/bunyi 50%. Dari ujian penggunaan yang saya lakukan, saya sentiasa gunakan ia melebihi 50%, tetapi setakat ini ia berjaya melepasi 3 jam. Jika ditambah dengan sandaran kuasa dari bekas pengecas, boleh mengulang dengar sehingga 24 jam.

Oleh itu, masa main yang ditawarkan Spunky Beat ini tidak perlu dibimbangi pengguna. Terbukti cip Qualcomm jimat/hemat dalam hal penggunaan bateri.

Ia boleh dicaj melalui port USB-C, ataupun menggunakan kabel yang bersambung dengan USB-A (rujuk gambar di atas).

Konklusi

Adakah ini jawapan kepada audiophile, bagi mendapatkan peranti fon telinga Bluetooth TWS yang mampu memberikan eargasm? Saya tidak mahu menjawab bagi pihak anda, tetapi saya rasa untuk diri saya sendiri, tak perlu tercari-cari lagi TWS lain.

Cukuplah Spunky Beat menemani saya dalam bilik mesyuarat sewaktu saya sudah bosan mendengar perbincangan orang lain yang tidak melibatkan diri saya. Harganya tak terlalu mahal seperti model dari Sennheiser atau Beyerdynamic, tetapi kualiti bunyinya mampu bersaing, bahkan memuaskan hati.

Tronsmart Spunky Beat Earbuds boleh dibeli di platform Shopee dan Lazada pada pautan di bawah:

Shopee:
Lazada:

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Akaso Fitness Tracker H-Band3: Peneman Aktiviti Kecergasan Anda

0

Saya belum pernah menggunakan fitness tracker bersiri dari Akaso ini. Versi ‘H-Band3‘ adalah versi pertama yang saya dapat cuba.

Tak semua orang inginkan jam pintar atau smartwatch kerana ada sesetengah individu hanya inginkan sesuatu yang ringkas dan dapat memenuhi matlamat.

Jadi pada saya fitness tracker (pengesan/penjejak kecergasan?) seperti ini boleh dijadikan sebagai alat yang sama dalam merekod aktiviti-aktiviti senaman yang dilakukan tanpa perlu melabur beratus ringgit.

Sebelum kita bereksplorasi lebih jauh, eloklah kita buka kotak terlebih dahulu.

Apa yang ada dalam kotaknya?

1x Akaso Fitness Tracker H-Band3
1x Manual Panduan Pengguna

Ya, itu sahaja. Tiada apa-apa lagi di dalamnya walaupun anda korek, koyak, dan campak.

Pening kepala sekejap dibuatnya. Saya cuba cari juga di mana pengecasnya, tetapi memang apa yang diberi hanyalah jam/penjejak kecergasan itu sahaja.

Saya buka manual panduan pengguna, baca, dan inilah hasilnya.

Anda perlu cabut terlebih dahulu talinya dan ia akan mendedahkan panel pengecasan USB. Lihat pada gambar di bawah, beginilah cara saya mengecasnya dahulu sebelum digunakan.

Anda perlu mencabut tali yang bertanda/berlabel/berlogo bateri. Untuk makluman anda, kedua-dua bahagian boleh dicabut, tetapi itu jika anda hendak menukar talinya kepada warna yang lain.

Terdapat satu kelebihan dan satu kelemahan pada cara pengecasan ini. Kelebihannya, jika anda bekerja di depan komputer, anda akan sentiasa dekat dengan sumber pengecasan. Hanya perlu tanggalkan sahaja tali dan masukkan ia ke dalam slot/port USB.

Kelemahan juga datang dari sumber yang sama. Sebagai contoh, jika anda berada di kawasan yang menyukarkan anda untuk mendapatkan port USB, anda berkemungkinan terpaksa menunggu sehingga dapat pulang ke rumah atau pejabat sebelum dapat mengecasnya semula.

Ini adalah satu ciri yang saya harap Akaso dapat tukar di versi seterusnya. Saya lebih gemar kepada pengecas luaran, kerana sekurang-kurangnya ia boleh dihubungkan kepada adapter yang kita boleh beli dan peroleh di mana-mana dengan mudah.

Apabila saya hubungi wakil Akaso, katanya kebanyakan penjejak kecergasan (ada nama atau terjemahan yang lebih bagus tak?) dari jenama lain juga menggunakan sistem pengecasan seperti ini.

Saya tidak pasti sama ada saya yang lebih cenderung ke arah cara ‘tradisional’, atau mereka yang terlebih maju ke hadapan. Tetapi jika benar katanya, yang mana ramai orang sudah pun selesa dengan cara ini, maka terpulanglah. Saya memilih pengecasan dengan port USB/USB-C kerana ia lebih mudah didapati dan lebih laju juga.

Sebut tentang kelajuan pengecasan, langsung tidak dinyatakan pada spesifikasinya. Apa yang ada diberitahu (melalui laman jualan Lazada dan kotaknya) ialah kapasiti baterinya adalah 110mAh dan jangka hayat pula selama 3-5 hari untuk penggunaan ‘berat’, manakala ia akan bertahan sehingga 7 hari jika anda tidak begitu aktif menggunakannya.

Bagi penggunaan fungsi-fungsi yang ada pula, ia bersumberkan satu butang sesentuh, dan berhubung kepada telefon anda melalui aplikasi ‘H Band‘ yang boleh dimuat turun di Google Play Store atau Apple App Store.

Berikut adalah paparan antaramukanya:

Setakat ini berdasarkan kepada pilihan menu yang ada pada aplikasi H Band, dapat dirumuskan bahawa ia ada ciri sensor pedometer, pembaca kadar degupan jantung, dan pembaca corak tidur.

Sama seperti penjejak kecergasan lain, ia akan mengesan dan membaca secara automatik langkah kaki anda, jarak perjalanan, dan berapakah degupan jantung semasa.

Apa yang istimewanya di sini, ia mempunyai penarafan kalis air IP68 yang membolehkan anda menggunakan HBand3 ini untuk aktiviti renang tanpa perlu bimbang sama ada ia akan rosak akibat dimasuki air.

Melalui fungsi pemantauan waktu tidur, anda boleh melihat data berapa lama anda berada dalam keadaan tidur, deep sleep, dan waktu berjaga. Kualiti tidur adalah penting bagi menjaga kestabilan hormon, emosi, dan akal kita. Oleh itu pantaulah tidur anda supaya waktu anda sedang terjaga pada siang esoknya mempunyai lebih tenaga dan dapat berfikir dengan rasional.

Selain itu, ia juga boleh memapar notifikasi dari telefon seperti notifikasi Facebook, Instagram, SMS, dan sebagainya lagi. Pun begitu, saya tidak gunakan sangat ciri ini kerana lebih selesa melihatnya terus di skrin telefon.

Terdapat juga fungsi pemantauan waktu/tempoh haid untuk wanita. Saya tidak dapat melihat ciri ini dengan lebih lanjut buat masa ini kerana saya masih seorang lelaki dan belum terasa hendak menukar kelelakian saya. Tetapi percayalah, ia amat berguna kepada kaum hawa.

Harga?

Harga yang ditetapkan ialah RM79.99, dan boleh dibeli melalui platform Lazada atau Shopee.

>>

>>

Berbaloi atau tidak?

Kalau tanya saya, ia berbaloi jika anda benar-benar serius hendak memantau aktiviti kecergasan harian, memantau kualiti tidur, memantau tempoh haid, dan melihat notifikasi. Harganya tidaklah semahal model jenama lain, dan ada pilihan warna hitam, biru, serta merah jambu pula.

Mungkin perlukan sedikit masa untuk belajar cara menggunakannya, dan untuk kaum hawa yang tidak beberapa gemar kepada komitmen, mungkin penjejak kecergasan ini kurang sesuai buat anda kerana anda perlu mengecasnya setiap selang 3, 5, atau 7 hari.

Kalau anda tidak suka mengecas dengan kerap, bolehlah beli model lain seperti Amazfit Bip (contoh), tetapi harganya dah tentulah tidak akan dapat RM79.99. Jika anda seperti saya, yang lebih gemar ke arah cara mengecas yang tradisional iaitu memakai adapter atau orang kita panggil ‘kepala charger’, anda juga barangkali perlu cari model lain.

Tiada masalah dengan semua itu?

Jangan fikir lagi. Beli.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Linksys MR8300 Tri-Band Gaming Mesh Router: Router Untuk ‘Gamers’!

0

• MR8300 memenuhi permintaan pengguna semakin meningkat yang mahukan permainan mudah alih lebih lancar dan pengalaman hiburan 4K di kediaman
• Penghala menunjukkan 93% masa ping (rangkaian kependaman) lebih rendah daripada produk pesaing dalam persekitaran berbilang pengguna

KUALA LUMPUR – November 13, 2019Linksys®, segmen kediaman yang terhubung bersama entiti yang baharu bergabung, Belkin International dan Foxconn Interconnect Technology (FIT), hari ini mengumumkan pelancaran Linksys MR8300 Max-Stream Tri-Band Gaming Mesh WiFi AC2200 Router di Malaysia.

MR8300 adalah penghala berprestasi tinggi yang menyampaikan kelajuan sehingga 2.2 Gbps dan sesuai untuk kediaman yang memerlukan jalur lebar yang kukuh untuk hiburan dan permainan mudah alih puncak. Penghala ini dikuasakan oleh prosesor 716 MHz quad-core yang meningkatkan prestasi rangkaian keseluruhan lebih pantas berwayar, wayarles, dan kelajuan WAN kepada LAN.

Di dalam ujian penanda aras Tolly, prestasi MR8300 sekurang-kurangnya 71% lebih baik daripada penghala pesaing dalam persekitaran dunia sebenar sesak yang terdiri daripada enam permainan telefon bimbit pelanggan dan 21 lagi peranti aktif (dan tanpa tujuan) yang telah disambungkan kepada penghala diuji. MR8300 mencapai purata masa ping 7.3ms berbanding penghala pesaing lain sewaktu ia sesak dengan pelanggan permainan mudah alih dan trafik aplikasi latar belakang. Bagi hiburan, MU-MIMO dan teknologi Beamforming juga bertujuan memastikan bahawa peranti berprestasi tinggi seperti TV pintar, komputer riba dan telefon – boleh sambung ke Internet melalui saluran WiFi yang diperuntukkan dan pantas.

“Asia Pasifik menyumbang 47% pegangan pasaran permainan mudah alih global dan dijangka menjana lebih $72.2 bilion menjelang akhir 2019. Dengan jumlah itu yang dijangka berkembang setiap tahun, Linksys bersedia untuk memperkenalkan penyelesaian rangkaian bersesuaian dengan permintaan pengguna.” kata Jenny Ng, Pengurus Besar bagi Asia. “MR8300 adalah penghala hibrid yang menggabungkan ciri prestasi tinggi daripada siri Max-Stream kami dengan Intelligent Mesh daripada Linksys Velop Mesh WiFi System yang memenangi anugerah dan diterima baik di peringkat global.”

“Pasaran permainan mudah alih Malaysia berkembang pesat. Menurut Statista, NewZoo dan ChartBoost, dianggarkan bahawa pada tahun 2018, lebih empat juta pemain menyumbang kepada pendapatan sebanyak AS$54 juta – lebih separuh daripada AS$100 juta pasaran permainan keseluruhan Amerika Syarikat. Sektor ini akan berkembang lebih jauh kerana ia dijangka menigkat nsebanyak 16.9 peratus tahun ini.” kata Echo Leong, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Linksys Malaysia. “Dengan peningkatan pemain permainan mudah alih yang santai di Malaysia, pengguna kini boleh merasai pengalaman perayauan WiFi yang lancar di dalam rumah di samping bermain permainan dalam masa sebenar tanpa bersusah payah menukar nama rangkaian. Selain itu, MR8300 Tri-Band Gaming Mesh Router, yang dilengkapkan dengan dua 5GHz radio membolehkan anda untuk melakukan penstriman video, dengan masa ping yang lebih rendah walaupun mempunyai berbilang pengguna yang disambungkan kepada rangkaian Wi-Fi yang sama.

Menikmati perayauan lancar sambil bermain permainan mudah alih menerusi Teknologi Linksys Intelligent Mesh

Penghala Linksys MR8300 dihasilkan dengan Teknologi Linksys Intelligent Mesh dan pengguna mempunyai fleksibiliti untuk meningkatkan liputan WiFi di dalam kediaman mereka dengan menambah nod Velop™ ke dalam sistem.

• Atur-Sendiri – MR8300 dan nod Velop™ bekerjasama untuk menampung mana-mana pelan bangunan dan jejak WiFi

• Optimum-Sendiri – Frekuensi WiFi dan saluran disesuaikan berdasarkan tabiat WiFi anda

• Pulih-Sendiri – Jika nod kehilangan kuasa atau sambungan kepada sistem, nod selebihnya mewujudkan semula sambungan kepada satu sama lain dan internet

• Satu Jaringan – Menyokong satu nama rangkaian dan kata laluan, satu login admin, satu antara muka untuk pengurusan dan pemantauan, dan satu rangkaian tetamu untuk seisi rumah

• Perayauan Lancar bagi permainan keseluruhan kediaman – Apabila anda menambah satu atau lebih nod Velop™ kepada MR8300, ia akan berkomunikasi di antara satu sama lain untuk membentuk rangkaian wayarles bersatu tunggal.

MR8300 AC2200 Router mempunyai satu set kukuh menawarkan kemajuan:

Technical SpecificationDetails
Tri-Band AC2200• Empat antena tetap luaran dengan amplifier berkuasa tinggi
• WiFi AC2200 867 Gbps (2 – 5 GHz) + 400 Mbps (2.4 GHz)* dengan MU-MIMO
• 5 GHz radio - 867 Mbps*
• 2.4 GHz radio - 400 Mbps*
Pemproses & Memori• 716 MHz Quad Core
• 256 MB Flash dan 512 MB SD RAM
Sambungan WAN dan LAN• 5 Gigabit Ethernet Ports
• 1x WAN
• 4x LAN
Keselamatan• WPA2/WPA-Mixed, WPA2-Personal
Integrasi Wtfast
(6-bulan akses Premium)
• 6 bulan PERCUMA keahlian wtfast
• wtfast menghapuskan kelembapan dengan mengoptimumkan trafik permainan anda melalui rangkaian permainan swasta terbesar di dunia
• Menerima akses tanpa had PERCUMA meliputi PC Game Launchpad dengan sokongan lebih 1000 permainan dalam talian
Linksys Shield• Linksys Shield adalah perkhidmatan perisian langganan premium bagi pengguna untuk menghalang kandungan/kategori yang tidak diingini dan menyediakan lapisan tambahan perlindungan digital protection bagi peranti anda dan keluarga yang terhubung.
• Pengguna mempunyai keupayaan untuk menetapkan dasar terperinci bagi memastikan orang yang tersayang dan anak-anak mereka selamat di dunia digital
• Maklumat Linksys Shield firmware akan dikeluarkan bagi MR8300 pada Q1 2020

Harga & Ketersediaan

TMR8300 Max-Stream Tri-Band Gaming Mesh WiFi AC2200 Router kini boleh didapati pada cadangan harga runcit sebanyak RM799 di peruncit yang sah.

Mengenai Belkin International

Pada 2018, Foxconn Interconnect Technology bergabung dengan Belkin International (Belkin®, Linksys®, Wemo®, Phyn®) untuk mencipta pemimpin elektronik pengguna global. Hari ini, kumpulan ini menghubungkan orang ramai dengan teknologi di kediaman, tempat kerja dan di mana sahaja meliputi aksesori (“Benda Terhubung” – jenama Belkin) dan kediaman pintar (“Kediaman Terhubung” – Linksys, Wemo dan jenama Phyn) pasaran.

Views: 17

Iklan Newspaper Inline

10 Langkah Mudah Cara Melanggan Disney+ Bagi Rakyat Malaysia

1

Ke tepi, ke tepi!

Netflix dah ada pesaingnya yang agak gagah perkasa, dan ianya adalah Disney+. Sebelum ini, Netflix juga tidak terdapat untuk negara Malaysia, dan Disney+ nampaknya mengikut jejak langkah itu.

Ada cara (workaround) untuk melanggan dan kita ambil tempoh percubaan untuk ‘melihat-lihat’ ke dalam terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada hendak terus melanggan ataupun tidak.

Apa Yang Diperlukan?

1. VPN dengan alamat IP US (ambil US teruslah, senang cerita).

Saya syorkan Surfshark.

Langgan Surfshark melalui pautan ini: .

Oh ya, Surfshark ni boleh dikongsi dengan beberapa orang rakan. Nak mudah, langgan sahaja bersama 10 orang lagi (termasuk anda) dan buat satu group WhatsApp.

2. Akaun Google.

Akaun Google ini perlu dicipta dengan anda terhubung kepada alamat IP US. Kita akan bicarakan dengan lebih lanjut lagi di bawah.

3. Kad Debit yang sudah diaktifkan pembayaran negara luar.

Saya gunakan nombor akaun CIMB Kwik – sebab dalam akaun tu tiada duit. Hanya sekadar ingin menguji.
Kah kah kah.

Cara-Caranya:

1. Pertama sekali, sambungkan rangkaian anda kepada VPN dengan alamat IP US terlebih dahulu.

2. Kemudian, pergi ke pautan ini: Create a Gmail account.

Atau pautan ini: Gmail – di sini, klik ‘Create an account’.

3. Seperti biasa, masukkan perincian akaun yang anda mahukan.

4. Seterusnya, bagi nombor telefon, saya gunakan sahaja ‘fake US phone numbers generator’ (sila Google ya). Malah tak perlu pening-pening memilih, ambil sahaja nombor yang tersedia ada, tak perlu jana pun.

Tetapi, sila PASTIKAN landing page anda adalah SAMA seperti tangkap layar di bawah. Jika tidak, anda akan terus diminta untuk melalui pengesahan nombor telefon. Senang cerita, tutorial tak menjadi dan kita tak mahu itu berlaku!

Apa yang boleh anda lakukan jika tidak masuk ke landing page seperti di bawah ialah:

a. Tukar alamat IP. Sebaiknya IP statik (Surkshark ada ciri ini). Jika tidak pun, tukar sahaja keseluruhan perincian akaun dan alamat IP sehingga anda berjaya.

b. Pakai pelayar tanpa extension/addon atau guna incognito mode. Saya telah mengambil langkah ‘kronik’ iaitu menggunakan Internet Explorer. Fuh, mujurlah menjadi (sebab sebelum itu, saya dah siap pun buat satu akaun Google dengan nombor telefon US. Barangkali, cookies/cache serta alamat IP menyebabkan terjadinya ‘ralat’).

Betul, boleh padam cookies/cache tu, tapi saya belum terasa nak padam lagi. Heh.

Sedikit tips di sini, sila pastikan juga alamat emel untuk ‘Recovery email address’ adalah alamat emel yang anda selalu gunakan! Ini bagi memastikan anda akan dapat semula akaun sekiranya berlaku apa-apa ‘masalah’.

Betul, kita nak buat ‘fake account’ (well, kind of) – tetapi ini adalah ‘fake account’ yang kita nak simpan atau kekal pakai. Jadi, informasi yang kita masukkan juga perlulah yang kita sentiasa ingati.

5. Klik Next setelah mengisi kesemua perincian, dan apabila tiba di landing page seperti di bawah ini pula, tekan butang ‘Not Now‘ dengan penuh rasa gembira.

6. Setelah itu, skrol ke bawah dan klik ‘I Agree‘.

7. Siaplah sudah akaun Google yang dibuat dengan nombor telefon US.

Tunggu apa lagi? Log masuk akaun tersebut ke dalam telefon anda. Jangan lupa aktifkan VPN dengan alamat US dahulu.

8. Buka Google Play Store dan cari aplikasi Disney+. Jangan bimbang, ia akan keluar kerana yang pertama, akaun tersebut ‘dari US’, dan peranti anda juga beralamat IP dari negara yang sama.

Pasangkan terus aplikasi Disney+ tersebut tanpa prejudis.

9. Masukkan kesemua perincian akaun, dengan menggunakan akaun ‘Google US’ anda itu. Apabila tiba di kategori pembayaran, masukkan pula perincian akaun bank anda.

Seperti yang saya tuliskan di atas, saya telah gunakan akaun CIMB Kwik.

Anda juga boleh gunakan PayPal, tetapi isunya di sini, akaun PayPal tersebut perlulah mempunyai ‘origin’ atau asal dari US juga, termasuklah akaun untuk pembayaran dan penerimaan wang, kerana Disney+ akan terus menolak akaun PayPal yang mempunyai pembayaran dari Malaysia.

Ya, ya, benda tu boleh dibuat tapi itu perlukan satu tutorial berasingan. Tak cukup panjang lagi ke artikel ni?

Jadi jika nak mudah, masukkan sahaja butir pembayaran akaun dari kad debit anda.

*Saya tidak pasti lagi mengapa Disney+ menolak pembayaran melalui akaun PayPal yang dihubungkan kepada kad debit/credit dari Malaysia, tetapi menerima pula pembayaran secara terus melalui kad debit. Magic? Glitch?

Tetapi kalau nasib anda tidak serupa, contohnya Disney+ menolak pembayaran melalui kad debit Maybank anda (contohnya), maka rajin-rajinkanlah diri anda membuka akaun CIMB dan kemudian buka pula CIMB Kwik ya. Heheheh.

Pilihlah tempoh percubaan yang anda mahu. Langganan ini diuruskan melalui Google Play, oleh itu jika anda tidak mahu meneruskan langganan, anda boleh batalkan sahaja melalui Play Store.

Berikut adalah contohnya.

 

10. Selesailah sudah tutorial 10 langkah melanggan Disney+ untuk rakyat Malaysia. Anda boleh log masuk ke akaun yang telah dibuat di pautan Disney+ | Movies and Shows atau mainkan melalui aplikasi Disney+ yang telah anda pasang pada telefon.

Jangan lupa kongsikan ya artikel ini kepada rakan-rakan anda. Manalah tahu, mereka juga berminat nak langgan bersama. Kan dah jimat sekali lagi di situ (atas tadi dah jimat juga bila berkongsi akaun Surfshark).

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Brave Melancarkan Brave 1.0: Pelayar Web Berteraskan Privasi Dan Sekuriti

0

Setelah sekian lama berada dalam status beta iaitu lebih kurang 4 tahun, kini Brave melancarkan pelayarnya keluar dari status tersebut dengan versi stabil 1.0. Selain dari platform desktop serta Android, Brave juga kini sudah terdapat untuk iPhone dan iPad.

Dengan Brave, pengguna akan dapat menikmati lebih privasi oleh kerana ciri lalai (default) yang ada padanya dari kategori ‘Shields’ seperti penyekat iklan (Brave Ad Block), penyekat penjejak (trackers), penyekat fingerprinting, menaiktaraf sambungan kepada HTTPS, dan juga penyekat skrip (sekiranya pengguna mengaktifkan ciri tersebut).

Kesemua ciri ini sudah tersedia ada dalam pelayar Brave dan tidak memerlukan sebarang extension dari Chrome Web Store untuk mengaktifkan ciri ekstra tersebut.

Apa yang menarik, Brave juga menyokong muat turun torrent secara native. Ini bermakna tanpa sebarang klien torrent pun, pengguna masih dapat memuat turun sebarang kandungan dari laman-laman torrent dengan hanya memasang pelayar ini.

Berikut saya demokan bagaimana rupa pelayar Brave dengan sokongan pemuat turun torrent:

Paparan selepas klik pautan magnet atau muat turun fail .torrent.

 

Muat turun sedang berjalan.

Tetapi hightlight atau tumpuan Brave bukan hanya sekadar ciri privasi atau sekuritinya semata.

Brave, selain menyekat iklan secara lalai, ia juga turut menyediakan platform bagi pengguna untuk membuka iklan untuk mendapatkan Basic Attention Token (BAT) – matawang crypto yang diusahakan oleh Brave.

70 peratus pendapatan hasil dari sistem atau model pengiklanan berasaskan blockchain akan disalurkan terus kepada pengguna.

Iklan yang keluar adalah berlaku secara langsung dari peranti, oleh itu tiada sebarang data yang dihantar kembali kepada pelayan Brave.

Buat yang tinggal di Malaysia seperti saya, jika anda hendak menggunakan Brave beserta ada keinginan untuk memperoleh BAT, sila tukar region sistem operasi kepada negara-negara yang disokong oleh Brave Rewards, contohnya Amerika Syarikat (United States). Tetapi jangan lupa tukar juga alamat IP anda menggunakan VPN ya.

Jika anda masih belum mengetahui cara untuk mengeluarkan BAT, saya akan usaha untuk tuliskan ia dalam satu artikel berasingan. Tetapi jangan risau, ia tidaklah sesukar yang disangka.

Jangan lengahkan masa lagi, gunakan Brave dari sekarang dan nikmati lebih kelajuan sehingga 3 hingga 6 kali ganda berbanding pelayar lain.

Muat turun di sini: Brave Browser.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Voyager GS 18.04: Linux Untuk ‘Gamer’

0

Saya mungkin bukan ‘gamer’ tegar, dan tidak perlukan sistem operasi yang ditala ke arah tujuan tersebut.

Tetapi saya memahami, bahawa golongan ini juga harus dikumpul rapi di satu tempat dan diberikan kemudahan kerana mereka adalah satu niche tersendiri.

Oleh itu, sebuah distro yang menduduki tempat ke 40 di DistroWatch iaitu Voyager, membuka peluang kepada gamers dari Windows untuk mencuba Linux melalui versi istimewa mereka – Voyager GS (Gamer Special?) 18.04, yang dibina dari Xubuntu LTS.

Disebabkan ini adalah versi LTS dan mendapat kemas kini sehingga tahun 2021, adalah sesuai juga kiranya saya perkenalkan ia kepada anda semua.

Jika dilihat dari reka bentuk paparan antaramukanya, ia mempunyai tema yang agak ceria, dengan kemasan warna oren, ungu dan kelabu (paparan persekitaran meja saya telah diubahsuai, jadi sila boot atau pasang sendiri untuk melihatnya).

Seperti yang kita ketahui, Xubuntu menggunakan XFCE, yang amat ringan pada sistem meskipun PC-PC lama, dan atas kerana itu jika tidak digunakan ke arah kepermainan sekalipun, ia masih dapat dijadikan sebagai distro untuk kegunaan harian.

Meneliti ke dalam menu permainan, apa yang menarik ialah Lutris dan Stream telah pun tersedia dipasang. Steam, tidak perlu lagi diperkenalkan kepada semua. Namun Lutris pula ialah satu platform permainan untuk Linux yang memerlukan satu artikel berasingan bagi memperkenal perincian mengenainya.

Cukup sekadar dikatakan Lutris ialah medium terbaik dalam memperbolehkan para gamers untuk bermain permainan yang popular dalam Linux tanpa perlu menggunakan perantara seperti WINE.

Permainan-permainan yang telah dipasang tidak begitu menarik untuk diketengahkan. Jika saya jadi pengguna, saya akan terus menyahpasang kesemuanya dan hanya tinggalkan Steam serta Lutris sahaja.

Dari segi multimedia pula, terdapat pelbagai pemain media yang ada seperti Clementine, Kodi, PulseEffects, SMTube, dan VLC.

Saya amat meminati PulseEffects, dan jika anda menggunakan distro lain, lalu teringin hendak gunakan ia juga, maka anda boleh ke tutorial di sini untuk mengetahui cara pemasangannya:

Cara Pasang PulseEffects Pada Ubuntu Atau Linux Mint

Dari segi perkara lain ianya adalah Xubuntu yang diberikan steroid. Bererti Voyager ini penuh dengan pelbagai aplikasi yang ada antaranya mungkin tidak perlu untuk dipasang secara lalai dan saya anggap ia sebagai bloatware.

Tetapi bagi pemula, ini satu perkara yang memudahkan mereka, terutamanya jika mereka datang dari golongan gamer, seperti nama dan matlamat asal distro ini dibina.

Buat anda yang berminat, bolehlah hala ke pautan di bawah untuk muat turun:

Voyager GS18.04 LTS – Gamers.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Ini Adalah Sejarah Gcam – Khusus Untuk Peminatnya

0

Fotografi Komputasi (Computational Photography) bukan perkara baru. Istilah ini menjadi popular apabila Google memperkenal ia melalui aplikasi kamera Android pada Nexus 5 dan kemudian Nexus 6 pada tahun seterusnya.

Gcam bermula pada tahun 2011 apabila Sebastian Thrun, ketua X (anak syarikat Google) tercari-cari cara untuk menempatkan kamera di dalam Google Glass.

Ia bukan satu kerja mudah, kerana terdapat pelbagai masalah melanda dalam usaha menjadikan kamera dalam Google Glass suatu kenyataan kerana saiz kamera dan lensa yang kecil menyebabkan imej kekurangan cahaya lalu menghasilkan gambar berkualiti rendah.

Selain itu sensor pengimejan juga kecil, yang mengurangkan lagi prestasi julat dinamik serta tangkapan pada cahaya malap.

Disebabkan idea bagi membesarkan saiz kamera bukan satu pilihan kerana Google Glass perlulah ringan bila dipakai, maka satu-satunya solusi ialah dengan mencipta perisian baharu bagi mengatasi kekurangan tersebut.

Di sinilah hadirnya Marc Levoy, pakar fotografi komputasi dari Universiti Stanford (ketika itu, dan kemudian bekerja dengan Google).

Marc menubuhkan sebuah kumpulan/pasukan di X yang bernama Gcam pada tahun 2011.

Misi pertama pasukan Gcam ini adalah untuk mencari cara menambah baik fotografi mobil dengan mengaplikasikan teknik fotografi komputasi. Bagi mengatasi kekurangan Google Glass, mereka mencuba kaedah ‘Image Fusion’, iaitu mengambil beberapa keping imej yang pantas lalu menggabungkan kesemuanya bagi memperoleh imej akhir yang berkualiti tinggi.

Inilah dia ‘tapak’ asal bagi HDR+.

Image Fusion membuat penampilan pertama dalam Google Glass pada tahun 2013, dan pasukan Gcam beralih ke peranti telefon pintar Android iaitu Nexus 5 dengan mengimplimentasi ciri HDR+, satu bentuk naik taraf dari Image Fusion.

Gambar oleh: Marc Levoy. Peranti: Google Pixel.

Baca juga: Bagaimana Night Sight Pada Pixel/Gcam Berfungsi?

Baca juga: Bagaimana Cara Pixel 4 Mengambil Gambar Dengan Mode Astrophotography?

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

R.I.P Openload, Streamango Dan Verystream

0

Openload, laman perkongsian fail (terutamanya video) telah bersetuju untuk menutup servisnya. Streamango juga mengambil langkah yang sama apabila mereka mencapai persetujuan dengan beberapa studio Hollywood dan syarikat-syarikat pencipta kandungan lain.

Meskipun laman-laman ini menghoskan banyak kandungan yang sah, ia juga telah mengganggu-gugat pemegang hak cipta kerana seringkali pengguna memuat naik kandungan cetak rompak.

The Alliance for Creativity and Entertainment (ACE), yang termasuk ahli studio Motion Picture Association dan beberapa lagi syarikat lain di seluruh dunia berkata, laman-laman itu juga bersetuju untuk membayar sejumlah wang atas terma ‘kerosakan’. ACE telah meneruskan tuntutan sivil di Jerman dan perkara ini diselesaikan di luar mahkamah.

Tidak lupa juga, laman Verystream kini hanya memaparkan ralat ‘503 Service Unavailable’. Tidak dapat dipastikan sama ada pentadbir laman ini juga menerima notis yang sama seperti kedua laman di atas, tetapi setelah beberapa hari ia masih belum aktif kembali, bolehlah dikatakan ada kemungkinan laman tersebut terus ditutup.

Setakat ini kesemua domain Openload seperti oload.cc, oload.club, oload.download, openload.pw dan oloadcdn.net sudah pun tidak lagi beroperasi. Jika dibuka juga, pengguna akan dihalakan kepada laman ACE.

Dengan jumlah lawatan ke laman setiap bulan mencecah 65 juta, nampaknya mereka perlu mencari ‘port’ baru untuk bernafas semula sebagai lanun tegar.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline