Utama Blog Laman 131

Pelakon Dari Klang Valley Mengetuai Sisters Of The League Dalam Gotham

0

Shiva Shobitha Kalaiselvan mungkin bukan satu nama yang sangat dikenali oleh ramai orang.

Akan tetapi selepas ini, ramai yang bakal mengingati beliau sebagai Lelia, ketua kepada Sisters Of The League, setelah beliau membuat kemunculan pertama dalam siri Gotham musim ke empat episod 16, ‘A Dark Knight: One of My Three Soups’.

Shiva, 34, sebelum ini pernah terlibat dalam siri CW – The Originals, dan di Malaysia beliau pernah berlakon dalam teater ‘After Juliet’ serta ‘Malaysian Girls’ di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPaC).

Sedikit latar belakang beliau, Shiva merupakan graduan dengan ijazah dalam bidang kewangan dari Indiana University pada tahun 2006 dan kemudian bekerja sebagai jurubank di Milwaukee dan London.

Beliau kemudian mengikuti kursus pascasiswazah di Columbia University, New York dan menghasilkan dua produksi teater dengan syarikatnya sendiri Next In Line Productions.

Menyentuh mengenai penglibatannya dalam Gotham, masih terlalu awal untuk mengulas. Namun penonton sudah dapat melihat mutu lakonannya sebagai Lelia ketika berkomunikasi dengan Barbara Kean (Erin Richards). Adakah Shiva akan menampilkan aksi tempur dalam episod akan datang? Sama-sama kita nantikan.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Jawapan Balas Kepada Artikel The Verge Mengenai Perjumpaan Mereka Dengan Pihak OnePlus Baru-Baru Ini

0

“You’re getting the wrong idea, dude!”.

Memetik artikel daripada The Verge baru-baru ini tentang perjumpaan mereka dengan pihak OnePlus, di mana pihak OnePlus telah mengemukakan sebab mengapa mereka akan menggunakan takuk di dalam rekaan terbaru peranti milik mereka dan membincangkan bagaimana takuk mereka ini lain daripada yang lain. 

Pendapat saya sendiri? 

Kita ada takuk pada skrin peranti kita sekarang adalah disebabkan inilah limitasi pengeluar peranti yang kita ada sekarang, inilah yang terbaik para pengeluar ni mampu lakukan untuk sebuah peranti bezel-less atau nirbingkai.

Trend yang kita boleh nampak sekarang ialah kebanyakan pengeluar ini cuma mengikut trend tanpa berfikir panjang tentang bagaimana untuk tidak menggunakan sebuah takuk pada skrin, atau sekurang-kurangnya, membuat takuk itu nampak berguna selain daripada hanya ada di atas skrin untuk menempatkan komponen-komponen pada peranti-peranti tersebut (tapi, secara jujur, cuma Apple sahaja begitu, lain-lain OEM, jatuh pada kategori pertama). 

Kita semua tahu bahawa moto agung OnePlus ialah ‘Never Settle‘, namun, mereka juga nampaknya terpaksa akur dengan kehendak pasaran hanya kerana supaya mereka mampu untuk keluarkan ‘the next big thing’ mereka tepat pada waktunya untuk kitaran tahun ini.

Mengapa pihak The Verge langsung tidak menyebut apa-apa mengenai Vivo Apex kepada pihak OnePlus memang ‘menarik’ jugak la (tak nak cerita panjang pasal ni, ni lain hari punya cerita. Hehe).

Ya, penyelesaian yang digunakan oleh pihak Vivo tidaklah begitu elegan sebenarnya (sebenarnya, mengundang lebih banyak masalah!), tetapi ia adalah langkah yang betul dalam membantu pasaran untuk berevolusi kepada bezel-less screen ini. 

Modul kamera Vivo Apex slides out. Penuh seni gitu.

Pihak OnePlus juga telah mengemukakan bagaimana takuk mereka akan menjadi berbeza daripada takuk-takuk yang ada pada peranti-peranti lain, namun bagi admin sendiri, apa yang mereka kemukakan hanyalah alasan demi alasan, dan sebenarnya secara langsung tidak mewajarkan penggunaan takuk itu pada peranti mereka seperti yang mereka katakan kepada pihak The Verge. 

Apa yang kita perlukan sekarang ialah sebuah ‘ground-breaking workaround‘ yang membolehkan kita untuk mempunyai sebuah bezel-less screen smartphone tanpa perlu menggunakan sebuah takuk yang mengganggu screen real estate. Apabila kita menggunakan sebuah takuk atau notch, secara tidak langsung pihak pembangun bagi aplikasi perlu membuat pelarasan pada paparan antaramuka mereka untuk menyesuaikan kandungan bagi mengambil kira takuk-takuk ni.

Ya, bagi aplikasi biasa seperti Whatsapp dan Facebook, memang tiada masalah untuk menyesuai kepada takuk-takuk ini, tetapi bagaimana pula dengan permainan mobil, di mana setiap inci skrin adalah berguna, terutama pada bahagian tepi skrin? 

Pernah main PUBG Mobile? Cuba bayangkan kalau ada takuk kat sebelah kanan tu. Urgh.

Saya faham bahawa penggunaan takuk ini hanyalah sebuah langkah kecil di dalam evolusi rekaan telefon pintar, tetapi, dalam penglihatan saya sekarang, tiada pengeluar yang menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka menganggap takuk ini sebagai hanya sebuah langkah kecil. Mereka secara terus hanya menganggap takuk ini adalah cara yang betul untuk membuat sebuah telefon pintar dengan nirbingkai. 

Realitinya, takuk ni hanyalah sebuah penyelesaian sementara (yang nampak teruk) bagi menuju ke arah masa depan nirbingkai. Para pengeluar (terutamanya our lord and saviour, OnePlus!) perlu menunjukkan kepada kita bahawa mereka sedang berusaha untuk tidak bergantung kepada sebuah takuk dan sedang berusaha untuk mengatasi limitasi takuk yang kita ada sekarang ni.

ATAU sekurang-kurangnya memberi sebab yang membuatkan takuk itu nampak berguna untuk wujud pada peranti mereka selain daripada hanya sebuah tempat untuk menempatkan komponen-komponen semata!

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

DxOMark: Sistem Penarafan Kamera Telefon Pintar Berdasarkan Kaedah Saintifik Fotografi

0

DxOMark ialah laman penarafan kamera yang dimiliki oleh DxO Labs. Mereka juga adalah syarikat konsultan kamera dari Perancis, dalam masa yang sama mereka menguji kamera-kamera yang dikeluarkan oleh OEM.

Terbaru, DxOMark telah memberikan penarafan sebanyak 97 kepada kamera telefon pintar Xiaomi Mi Mix 2S, yang meletakkan kedudukannya sama taraf dengan iPhone X dan Huawei Mate 10 Pro.

Ianya telah menimbulkan tanda tanya kepada pengguna, sejauh mana kredibiliti dan kebolehpercayaan laman tersebut dalam menentukan kedudukan serta kualiti sesebuah kamera.

Berikut diberikan sedikit pencerahan agar apa yang diusahakan oleh DxOMark menjadi lebih jelas kepada semua yang mengikuti mereka.

Kaedah Pengujian Saintifik Fotografi Dan Penarafan Berdasarkan Nombor Tunggal

  • DxOMark akan memberikan SATU nombor skor melalui purata nilai nombor-nombor sub-skor yang akhirnya mewakili skor keseluruhan sesebuah kamera.

Mereka melakukan lebih dari 1500 ujian untuk gambar dan dua jam durasi ujian bagi video dalam persekitaran makmal terkawal serta lebih dari 50 pemandangan ‘mencabar’ dalam dan luar bilik, menggunakan tetapan lalai kamera.

Dengan usaha untuk memberikan hasil dapatan kajian berasaskan metodologi saintifik dan fotografi sambil diadili oleh beberapa panel terpilih, kaedah yang diguna pakai boleh dikatakan agak tepat, namun dalam masa yang sama juga agak mengelirukan.

Ini adalah kerana pengguna tidak boleh melihat penarafan melalui nombor tunggal sebagai rujukan keseluruhan. Pengguna yang berminat dengan peranti perlu meneliti setiap unit nilai sub-skor yang diberikan, kerana nilai karakteristik yang berbeza, memberikan kepentingan yang berbeza pula untuk setiap individu.

Apa yang menjadi masalah, ialah setiap media yang melakukan ‘coverage‘ atau laporan berbentuk artikel bagi setiap peranti yang memperoleh satu nombor skor di DxOMark tidak memberitahu atau mendidik pembacanya bahawa nombor tersebut bukan penentu segalanya.

Kebanyakan orang akan memberi tanggapan bahawa setiap skor tersebut adalah dari satu nombor ‘besar’ per seratus. TIDAK.

Tanggapan seperti ini tidak tepat, kerana DxOMark pernah memberikan penarafan kepada sebuah sensor kamera sebanyak 108, iaitu skor yang diperolehi oleh Red Helium 8K.

Ini bererti taraf kedudukan kamera telefon pintar boleh juga mencecah 100, dan boleh melepasi nombor 100  tersebut.

Cuma secara kebetulan sahaja, skor yang diberikan ketika ini nombornya sudah pun menghampiri 100, jadi tanggapan pengguna yang melihat pastinya akan menyangka ianya adalah berdasarkan ‘markah’ per seratus seperti markah peperiksaan.

Ketika artikel ini ditulis, Huawei P20 mendapat skor 102, manakala P20 Pro pula mendapat skor total 109. Jika diteliti pada nilai sub-skornya, untuk kategori Photo, Huawei P20 Pro mendapat 114, manakala kategori Video pula ia mendapat 98.

Dari kategori ini nilai-nilai lain di bawah sub-skor menjadi penentu kualiti yang diukur melalui beberapa penanda aras. Sebagai contoh jika anda lebih berminat dengan videografi, maka anda perlu lihat sub-skor bahagian/kategori Video.

Seandainya anda pentingkan kestabilan, anda perlu teliti pula berapakah skor total untuk Stabilization dan seterusnya. Inilah dia panduan muktamad dalam memahami nombor skor tunggal yang diberikan oleh DxOMark kepada sesebuah kamera pada satu peranti.

Jika anda masih kurang faham, anda boleh tonton video dari Marques Brownlee a.k.a MKBHD ini untuk cuba lebih memahami proses sebenar di sebalik sesuatu ujian dan penanda aras gambar serta video oleh DxOMark.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Morpheus TV: Satu Lagi Alternatif Terrarium TV, TeaTV Dan FreeFlix HQ

0

“I’m trying to free your mind, Neo. But I can only show you the door. You’re the one that has to walk through it.” – Morpheus.

Ramai orang hanya ‘terikat’ dengan satu aplikasi untuk menikmati pelbagai kandungan di internet. Sama ada video, gambar, lagu, mereka seakan tidak dapat membebaskan diri dari dibelenggu kebiasaan. Mereka takut, jika mencuba sesuatu yang baru itu akan ‘merosakkan’ tabiat mereka.

Samalah halnya dengan aplikasi Terrarium. Sudah banyak artikel aplikasi alternatif yang saya tuliskan, tetapi balik-balik hanya Terrarium sahaja yang disebut-sebut.

Dari FreeFlix HQ, TeaTV, Smart YouTube TV, dan pelbagai lagi alternatif yang setara atau lebih baik darinya telah diwar-warkan. Kali ini, saya ingin perkenalkan pula Morpheus TV, aplikasi alternatif kepada Terrarium TV yang ringkas, namun cukup semua ciri untuk menonton siri televisyen kegemaran anda mahupun filem-filem yang keluar di pawagam.

Pertama sekali, Morpheus TV tidak mempunyai laman web rasmi. Pembangunnya memilih platform Aptoide untuk memuat naik aplikasi ini, mungkin kerana ianya lebih mudah dan tidak perlu mengehos sebarang fail kepada mana-mana hosting. Penjimatan ala Malaysia nampaknya di situ.

Keduanya, aplikasi ini tidak mempunyai sebarang tetapan yang terlampau rumit. Apabila ianya dibuka, ia akan terus memaparkan pilihan-pilihan yang terdiri dari Movies, TV Shows, Downloads, dan Settings. Ia tidak akan memapar paparan antaramuka seakan Terrarium TV, FreeFlix HQ, mahupun TeaTV yang dicipta khusus untuk televisyen.

Tetapi itu tidak bermakna ia tidak serasi dengan tv anda. Apabila diklik pada salah satu pilihan, contohnya Movies, ia akan memberikan beberapa opsyen seperti Trending, Popular, My Collection, My Watchlist dan Search.

Saya kurang pasti algoritma perbezaan antara Trending dan Popular, kerana kedua seakan sama. Cuma jika dilihat dengan lebih teliti, kategori popular menempatkan filem-filem trending baru dan lama, manakala kategori Trending pula lebih kepada filem-filem baru.

Jika anda klik contohnya pada kategori Trending, paparan seperti gambar di bawah akan keluar. Reka bentuk paparan ini tidaklah jauh berbeza dengan apa yang kita akan dapat lihat pada Terrarium TV dan TeaTV.

Apabila anda klik pula pada mana-mana filem yang anda ingin tonton, paparan seperti gambar di bawah akan keluar. Paparan ini berbeza sedikit dengan tetapan lalai atau default iaitu saya memilih untuk pemain videonya terus memainkan video dari sumber yang stabil.

Ini pula adalah paparan lalai, iaitu sumber perlu dipilih sendiri oleh pengguna. Bab sarikata, ianya akan dimuat turun jika serasi dengan video secara automatik.

Pemain videonya tidak boleh ditukar. Anda hanya akan dapat menggunakan pemain video terbina dalaman yang ada, dan ini tidak semestinya satu perkara yang buruk.

Pemain video Morpheus TV cukup lengkap, dengan sokongan sarikata. Cuma kekurangan yang ada ialah ia tidak menyokong isyarat (gestures) untuk fungsi menaikkan kecerahan skrin dan kelantangan pembesar suara.

Oh ya, ciri yang paling penting sekali seperti biasa, anda boleh memuat turun video yang tersenarai dari sumber-sumber yang terpapar.

Baiklah. Cukuplah dahulu artikel pengenalan terhadap aplikasi Morpheus TV ini. Jika anda berminat, anda bolehlah muat turun Morpheus TV melalui pautan yang disediakan di bawah. Pemasangan adalah melalui Aptoide.

>>> Morpheus TV

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Google Menyekat GApps Pada Peranti Tidak Disahkan, Tetapi Custom ROM Dikecualikan

0

Android, sistem operasi yang merupakan sumber terbuka, manakala iOS merupakan sumber tertutup. Sebab itu Android bagi kebebasan kepada pengeluar peranti untuk mencorak perisian mereka mengikut cita rasa mereka.

Tetapi, untuk memastikan tahap konsistensi antara semua peranti yang menggunakan sistem operasi Android, Google buat satu set peraturan di bawah Compatibility Definition Document (CDD) untuk pengeluar peranti ikut peraturan yang disediakan.

Jadi, pengeluar peranti mesti mengikuti CDD untuk lulus Compatibility Test Suite (CTS) supaya mereka boleh pra-memuat peranti mereka dengan aplikasi dan perkhidmatan Google.

Sebelum ni, peranti tak disahkan boleh menggunakan aplikasi Google tapi sekarang menjadi sukar kerana Google mula buat hal. Untuk pengguna custom ROM, Google membenarkan ampa guna GApps tau.

Baru-baru ini, ada khabar angin yang mengatakan Google telah mula sepenuhnya mengunci firmware yang baru dibina daripada mengakses GApps. Perubahan ini berlaku pada 16 Mac yang lalu dan ia mempengaruhi apa-apa perisian yang dibina dibuat selepas tarikh tersebut. Boleh rujuk gambar bawah ni

Kalau buka Settings dalam Play Store, scroll bawah sekali akan jumpa la status Device certification.

Beberapa hari yang lalu dalam forum XDA, XDA Senior Member iaitu liam_davenport menemui masalah ini pada peranti mereka, Google Pixel XL. Ini merupakan pertama kali pada masa yang lama untuk timbul isu ini. Boleh rujuk gambar bawah ni.

Kredit pada liam_davenport, XDA Senior Member.

Merujuk gambar di atas, pengguna tidak boleh melog masuk akaun Google mereka kerana peranti mereka tidak disahkan. Jadi, ada beberapa pilihan untuk mengatasi masalah ini iaitu memaklumkan kepada syarikat yang mengeluarkan peranti ini untuk mendapatkan status peranti disahkan, atau bagi pengguna yang menggunakan custom ROM, mereka perlu memasukkan ID Android mereka dekat halaman ni supaya dapat disenarai putih. Cara mudah untuk mendapatkan ID Android anda ia dengan jalankan arahan ini “settings get secure android_id” dalam ADB shell.

Ini merupakan gambaran laman sesawang tersebut, abaikan ID Android tu hahaha.

Untuk pengeluar peranti, ampa perlu masuk ke laman sesawang ini untuk menghubungi Google untuk sahkan peranti anda. Khabarnya langkah yang Google buat ni untuk memastikan bahawa pengeluar peranti tidak boleh hanya memintas CTS (Compatibility Test Suite) Google dan melancarkan peranti bersama janji bahawa pengguna hanya boleh memuatkan aplikasi dan perkhidmatan Google. Maka Google membuatkan para pengeluar peranti malu dan memaksa mereka untuk menjalani persijilan mengukut saluran yang betul.

Bila kita dapat tahu isu ni, pasti cuak kan? Tertanya-tanya apa la nasib yang pakai custom ROM ni. Syukur dan terima kasih Google kerana sedar akan kewujudan geng custom ROM ni dan membenarkan mereka menggunakan aplikasi dan perkhidmatan Google secara tidak rasmi. All hail to Google! hahaha.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Lee Chong Wei: Rise Of The Legend Paling Terbaik

0

Saya dan isteri berkesempatan menonton filem ini dan datang ke pawagam tanpa memberikan harapan positif mahupun tanggapan negatif. Keyakinan saya begitu tinggi setelah sebelum ini saya telah menonton filem sejarah lain iaitu Ola Bola.

Satu filem yang memberikan begitu inspirasi tinggi dan motivasi. Terlalu dekat dengan sejarah LCW sebenarnya. Oleh itu inilah ulasan saya tentang filem Lee Chong Wei: Rise Of The Legend.

SINOPSIS

Filem ini mengisahkan tentang Datuk Lee Chong Wei yang daripada kecil mula menyedari bahawa beliau mempunyai bakat dalam permainan badminton. Sehingga satu babak menarik apabila beliau bertemu dengan juara dua kali sukan olympik iaitu Lin Dan. Filem ini sebenarnya diarahkan oleh Teng Bee berdasarkan sejarah ‘Dare to Be a Champion’  oleh Lee Chong Wei.

ULASAN

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada semua pelakon, krew dan juga produksi filem ini kerana berjaya membawakan visual yang sangat hebat dan menarik. Efek visual yang sangat menarik bagi saya iaitu bola bulu tangkis yang berada ditengah jaring itu yang menambat hati saya. Tidak lupa juga bagaimana Eric Yeong sebagai pengarah sinematografi memberikan visual menarik terutama latihan LCW di sekitar lokasi Putrajaya.

Secara pada amnya berasa amat kagum bagaimana begitu telitinya filem ini dibuat. Dialog dalam filem ini juga sangat bermakna dan mudah difahami walaupun hampir 80% dituturkan dalam bahasa cina. Saya begitu terhibur dengan jalan ceritanya sehinggakan keluar panggung pun dialog yang teringat di kepala saya bagaimana mereka menghina LCW dengan mengatakan permainan LCW seperti haiwan di sarkas.

Filem ini sangat menyentuh perasaan saya kerana mereka berjaya mencari pelakon yang lebih kurang serupa dengan Datuk LCW. Tosh Chan yang melakonkan watak Datuk LCW memang bagi saya sangat menjiwai watak tersebut. Datuk Rosyam Nor Sebagai Misbun Sidek juga berjaya membawa emosi yang terbaik. Tidak lupa juga kepada Jake Eng yang memegang watak Datuk LCW masa kecil. Sangat terbaik bagi saya.

Filem ini wajar ditonton oleh semua peminat sukan terutama sukan badminton. Ini kerana ia bukan tertumpu kepada sejarah Datuk LCW sebenarnya, akan tetapi ia cuba memberi motivasi kepada penonton agar mengejar cita-cita dan impian dalam diri. Secara tidak langsung, filem ini sebenarnya menanamkan semangat patriotisme, dengan hanya satu perkara iaitu kita sebenarnya rakyat Malaysia bersatu menyokong pasukan tanpa mengikut bangsa dan agama.

PENUTUP

Satu filem wajib ditonton selepas kejayaan filem Ola Bola. Peminat badminton jangan lepaskan peluang untuk menonton Lee Chong Wei: Rise Of The Legend. Ajaklah keluarga, sahabat, kekasih ataupun isteri pergi menonton. Sangat berbaloi.

Dialog menarik yang terakhir yang saya ingat ialah “Jangan jadi macam saya, kamu mesti lebih baik daripada saya!”.

Oleh itu OMG! Hackers? memberikan penarafan Durian Buruk kepada filem tempatan ini sebanyak:

8/10

Sekian, jumpa lagi pada ulasan akan datang!

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Kenapa Saya Lebih Menggemari Flyme OS: Ini 10 Ciri Unik Flyme OS 6

0

Flyme OS adalah ‘ROM’ yang digunakan dalam telefon pintar Meizu. Mendapat julukan ‘400 Ciri’, saya tidak pasti sejauh mana kebenaran 400 ciri tersebut, namun ciri-ciri yang saya gunakan setiap hari sudah cukup untuk membuatkan saya ‘terpaku’ dengan ROM ini.

Sekali pandang ia nampak seakan banyak menyalin fungsi dan antaramuka iOS. Tetapi, ia bukan sesuatu yang ‘buruk’ sekiranya fungsi tersebut sangat berguna dan membantu dalam kepenggunaan harian.

Saya menggunakan Flyme sejak dari peranti Meizu M2 Note. Diakui, pada waktu itu ia bukanlah satu ROM yang menarik untuk digunakan. Tahun berlalu, Flyme berevolusi, dan kini versi terbarunya Flyme OS 6 memiliki keunikan yang dapat membezakan antara ia dengan ‘custom skin’ yang lain.

Antara ciri Flyme OS 6 yang membuat saya rasa amat senang dengannya ialah:

1. SmartTouch

Ya, saya rasa kita pun tahu dari mana Meizu mendapat idea untuk menghasilkan fungsi ini. AssistiveTouch – barangkali inilah sumber inspirasinya. Ia tidaklah 100% sama dengan ciri yang dimiliki oleh peranti Apple tersebut, tetapi sedikit sebanyak ianya agak serupa.

SmartTouch dari Meizu memanfaatkan sebuah butang kecil yang anda boleh seret dan letak di mana-mana ruang skrin telefon anda.

Buang ini akan bertindak memberikan respon kepada isyarat (gestures) yang anda telah tetapkan dan lakukan ke atasnya. Sebagai contoh seret ke atas untuk ke Home Screen, seret ke bawah untuk membuka notifikasi, tekan dua kali untuk membuka Task Manager, dan sebagainya lagi.

2. Aplikasi Security

Sekali imbas, ia tidak ubah seperti aplikasi ‘antivirus’ yang selalu dimuat turun di Google Play Store.

Tetapi ianya adalah lebih dari itu.

Aplikasi ini bukan sekadar pembersih, tetapi ia menempatkan semua ciri penjagaan keselamatan dan penyelenggaraan telefon pintar anda.

Apa yang saya suka, ia ada ‘Flyme payment protection’, yang mana ia akan menyekat proses hasad semasa anda membuat sebarang transaksi atas talian.

Ia juga mempunyai imbasan awan atau ‘cloud scanning’ untuk mengimbas aplikasi yang anda muat turun. Tidak lupa juga, segala ‘sampah sarap’ yang anda buat di siang hari akan dipadam secara automatik.

3. Screen Recorder

Sesetengah orang tak peduli dengan kewujudan fungsi ini. Ia kadangkala dipandang sebelah mata sahaja. Tetapi tidak buat saya, kerana saya berasa amat bersyukur adanya fungsi ini.

Saya dapat merakamkan apa jua yang saya lakukan pada telefon tanpa perlu memasang aplikasi lain. Kebiasaannya pada peranti yang saya gunakan sebelum ini, saya pasang DU Recorder. Dengan Flyme OS, kini DU Recorder hanya tinggal sejarah.

4. Vault

Vault ialah satu tetapan yang ditempatkan dalam aplikasi File Manager. Ianya berfungsi sebagai satu ruang penyimpanan fail yang dilindungi dengan kata laluan. Apa juga fail yang anda rasakan sulit atau rahsia, anda boleh masukkan di sini.

Ya, betul. Tidak perlu lagi aplikasi tambahan yang anda selalu muat turun dari Google Play Store. Cukup sekadar anda tetapkan kata laluan melalui bahagian tetapan, dan selepas itu anda boleh gunakan Vault sebagai kubu penyimpanan fail-fail bertaraf sulit.

Kalau anda mahu, anda juga boleh sembunyikan ikon Vault tersebut.

5. Tema Dan Wallpaper

 

Flyme mungkin bukan ‘custom skin‘ paling cantik dalam dunia. Cuma bezanya ia mempunyai satu hub tema dan wallpaper yang boleh anda muat turun secara percuma. Tema tersebut semestinya serasi dengan Flyme, dan dibuat oleh para peminat seluruh dunia.

Dari aplikasi ini anda juga boleh tetapkan gambar yang anda suka untuk dijadikan sebagai wallpaper pada Home Screen mahupun Lock Screen.

6. Game Mode

Walaupun saya bukan seorang gamer tegar, namun ciri Game Mode seperti ini adalah amat dialu-alukan. Selain ia akan mempertajam dan meningkatkan prestasi telefon ketika berada dalam permainan, ia juga akan mengaktifkan DND (Do Not Disturb) serta menyahaktif fungsi-fungsi yang tidak diperlukan ketika anda sedang fokus bermain.

Jadi, anda akan merasai kepermainan yang lancar dan tidak pula diganggu oleh SMS mahupun panggilan telefon yang tidak penting. Ya, apa juga panggilan telefon adalah tidak penting ketika anda perlu memenangi sesebuah permainan bukan?

Fokus itu adalah kunci kemenangan.

7. mBack Dan Isyarat

mBack mungkin bukan untuk semua orang. Trend yang menjadi tular ketika akhir 2017 dan awal 2018 ini ialah skrin nirbingkai atau bezelless screen. Kehadiran butang mBack hanya menjadi penghalang untuk mencapai ratio skrin penuh yang diinginkan oleh pengguna masa kini.

Hanya pada saya, keunikan Flyme terletak kepada mBack dan isyarat-isyarat (gestures). Pengguna akan dapat melakukan navigasi ke seluruh antaramuka dengan hanya satu butang, dan isyarat-isyarat yang telah ditetapkan (oleh anda).

Butang tersebut boleh diklik, dan menempatkan pengimbas jari di situ. Dengan sekali ketik, ia akan mengarahkan antaramuka untuk kembali ke belakang manakala jika ditekan pula ia akan mengarahkan anda ke Home Screen.

8. Root Dengan Mudah

Ini antara ciri yang menenangkan akal fikiran saya. Tidak lagi perlu dicari dan dibaca tutorial yang rumit. Untuk root peranti Meizu beserta Flyme adalah amat mudah apabila fungsi ini disertakan sekali dalam ruang tetapan sekuriti. Cuma dalam kemas kini versi terbaru, ianya disembunyikan.

Barangkali untuk mengelak dari kejadian root yang tidak diingini.

Kelakar pula bunyinya.

9. Low Power Mode

Kebiasaannya bateri pada M6 Note ini dapat bertahan lebih dari sehari. Jadi selalunya saya akan kembali mengecaj pada waktu malam, dan akan membiarkan bateri yang penuh tidak digunakan sehingga keesokkannya. Apa yang saya buat untuk menjaga kelangsungan bateri ialah menetapkan Low Power Mode dari pukul 12 malam hingga pukul 6 pagi esoknya.

Low Power Mode bertindak membantu mengawal fungsi Bluetooth, GPS, bunyi, getaran (haptic feedback) dengan bantuan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin. Ia akan mengurangkan efek visual dan prestasi sistem agar tiada pembaziran kuasa berlaku sewaktu anda sedang tidur.

10. One Mind AI

Saya telah mengulas mengenai fungsi ini pada ulasan Meizu M6 Note.  Anda boleh baca ulasan penuh mengenai One Mind AI di artikel tersebut. Secara ringkas, Meizu menggelarnya sebagai ‘thinking engine’, yang mana kecerdasan buatan ini akan mempelajari bagaimana anda menggunakan peranti anda, seterusnya ia akan melakukan pelarasan bagi meningkatkan prestasi peranti serta aplikasi.

Inilah satu-satunya ciri Flyme OS 6 yang menjadi penanda aras kepada kemajuan pembangunan perisian oleh Meizu. Di sebalik sebuah firmware, ada satu kepintaran/kecerdasan buatan yang memantau, mengendali, dan menyelaras peranti.

11. Bonus: mCharge, Pengecasan Pantas Versi Meizu

Berapa lama masa yang diambil oleh Google Pixel 2 XL untuk mengecaj baterinya yang bersaiz 3520mAh? 2 jam 15 minit.

Berapa lama pula masa yang diambil oleh Meizu M6 Note untuk mengecaj baterinya yang bersaiz 4000mAh?

2 jam 5 minit.

Ok, itu sahaja yang saya ingin tulis sebagai penutup. Sekian, terima kasih kerana sudi membaca.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Meizu E3 Kini Rasmi – Pencabar Terhandal Redmi Note 5 Pro?

0

Meizu telahpun mengumumkan peranti terbaru mereka iaitu Meizu E3. Di ambang kegirangan peminat Xiaomi dengan model kelas pertengahan terhebat mereka setakat ini iaitu Redmi Note 5 Pro, Meizu nampaknya tidak mahu ketinggalan. Biasanya, Meizu hadir dengan peranti yang hadir dengan tanda harga yang rendah beserta spesifikasi yang rendah. Model-model terdahulu mereka biasanya hadir dengan pemproses dari Mediatek. Ini sedikit sebanyak telah menjadi faktor peranti daripada Meizu kurang mendapat sambutan. Bermula daripada model Meizu M6 Note mereka, mereka sudah mula mengorak langkah ke arah yang betul dengan menggunakan SoC yang popular iaitu Snapdragon 625. Baca ulasan Meizu M6 Note kami di sini : Ulasan Meizu M6 Note: Peranti Bajet Dilengkapi Mod Potret Perdana.

 

 

Tanpa membuang masa lagi, ini adalah senarai spesifikasi Meizu E3 :

Chipset : Qualcomm Snapdragon 636 8-Teras 1.8GHz Kryo 260 dengan Adreno 509

Rangkaian : Wi-Fi 802.11 b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, GPS, GSM / CDMA / HSPA / EVDO / LTE

Memori : 6GB RAM, 64/128GB memori dalaman dengan slot mikro-sd hibrid

Kamera :  Dwi 12+20 MP f/1.9 + f/2.6 dengan Sony IMX362, LED dwi-tona. Kamera swafoto 8 MP f/2.0 di hadapan.

Skrin : 5.99 inci dengan ratio 18:9 IPS LCD 16M Colors (tanpa Gorilla Glass)

Bateri : 3360mAh dengan pengecasan pantas 20W (mCharge 3.0) – tidak boleh ditanggalkan

OS : Android Nougat 7.1.2 FlymeOS

FungsiTambahan : Dwi Sim hibrid, bicu audio 3.5mm, pengesan cap jari di sisi, USB type C

 

 

Menerusi senarai spesifikasinya sahaja, saya boleh katakan telefon ini memiliki binaan yang sangat berkuasa untuk kelasnya. Snapdragon 636 pula merupakan pemproses yang dibina khusus untuk pemprosesan imej kamera yang lebih baik dengan fungsi kecerdasan buatan terbina dalam. Melalui ujian kepantasan pula, Snapdragon 636 telah terbukti lebih berkuasa daripada pemproses perdana terdahulu iaitu Snapdargon 820. Ya, di tahun 2018, peranti kelas pertengahan sudah mampu menewaskan peranti perdana tahun 2017.

 

 

Ramai yang mengatakan bateri Meizu E3 terlalu kecil dengan kapasiti bateri hanya sebesar 3360mAh. Namun begitu, harus diingat, binaan Snapdragon 636 pada Meizu E3 ini menggunakan binaan Kryo 260, binaan yang sama pada Snapdragon 820. Berbanding Cortex, Kryo mampu menghasilkan lebih prestasi menggunakan bilangan teras yang lebih sedikit serta menggunakan tenaga dengan jauh lebih jimat. Sebagai perbandingan, Xiaomi Mi 6 dengan Snapdragon 835 mampu bertahan selama sehari penggunaan berat walau hanya dengan 3350mAh bateri. Snapdragon 835 juga menggunakan binaan Kryo. Lagipun, Meizu E3 hadir dengan sokongan pengecasan pantas dan USB Type C. Jadi, kehabisan bateri bagi saya bukanlah sesuatu yang sangat serius.

 

Setakat itu sahaja dahulu pandangan awal saya. Banyak lagi yang boleh diulas, tetapi saya simpan dahulu untuk sesi ulasan saya kelak. Bagi saya, dengan Snapdragon 636 dan dwi kamera dengan sensor Sony IMX362, Meizu E3 bukanlah calang-calang peranti. Ia satu pencabar yang handal buat Xiaomi Redmi Note 5 Pro buat masa ini.

 

Harga jangkaan : +/- RM1353.50

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Dark: Satu Naskhah Gelap Tentang Sisi Diri Manusia

0

Siri ini amat perlahan jalan ceritanya dan mengambil pendekatan untuk tidak menjawab persoalan penonton secara umum.

Semua jalan cerita disusun dengan rapi, seolah-olah anda tidak akan tertinggal sedikit babak sekalipun. Persembahan dramanya amatlah misteri dan luar biasa.

Itulah yang ditonjolkan dalam Dark.

Satu peringatan mesra. Apabila menonton di Netflix, anda disarankan untuk mengubah suara asal kepada bahasa Jerman. Ini kerana apabila saya cuba ubah bahasanya kepada bahasa Inggeris, seolah-olah suaranya seperti kaku dan tidak ada perasaan.

Jika anda seorang dewasa yang pernah menonton siri tv Stranger Things, siri Dark ini lebih kepada anda mempelajari budaya Jerman, dengan cara hidup masyarakat mereka pada masa itu.

https://www.youtube.com/watch?v=zy0b9e40tK8

 

SINOPSIS

Cerita bermula apabila terdapat satu plot entiti supernatural, yang berlaku di Winden Jerman apabila dua budak lelaki yang hilang mempunyai perkaitan persaudaraan antara empat keluarga.

Ulrich Nielsen (Oliver Masucci), seorang pegawai polis dan bapa kepada tiga orang anak yang menipu isterinya dengan menjalinkan hubungan dengan seorang wanita psychopath yang baru kehilangan suami akibat berlakunya peristiwa bunuh diri antara babak paling awal dalam cerita ini.

Jonas Kahnwald (Louis Hofmann), digambarkan sebagai seorang remaja yang memberontak telah bersama rakannya untuk mencari dadah yang ditinggalkan di dalam sebuah gua dalam hutan yang gelap dan menakutkan. Setelah itu berlaku satu tragedi yang membawa kepada episod kehilangan budak lelaki paling muda iaitu Mikkel Nielsen (Daan Lennard Liebrenz).

Siri ini secara konseptualnya lebih kepada kegelapan, penuh dengan tipu helah, rahsia sesama sendiri, pembunuhan yang sangat mengerikan, dan paling penting sekali dalam cerita ini ialah burung mati jatuh dari langit seperti hujan batu dan kematiannya sangat tragis. 

ULASAN

Pada mulanya saya beranggapan ia sama seperti dengan siri tv Stranger Things. Tetapi jangkaan saya meleset sama sekali. Ia tidak sama, dan tidak ada perkaitan sama sekali dengan siri tv tersebut.

Seram, menakutkan.

Perasaan ketika saya menonton siri ini seperti dalam filem Donnie Darko. Salah satu siri Netflix yang saya rasakan lain dari cerita yang saya pernah tonton (Narcos, Daredevil,The Punisher, Altered Carbon).

Soalan bermula pada episod pertama dan akan dijawab pada episod ketiga. Ia semakin lama semakin menimbulkan banyak persoalan misteri di dalamnya.

Juga terdapat mesin merentas masa, cerita zaman silam yang tidak terjawab serta persoalan daripada masyarakat dari kawasan tersebut. Adakah mereka sudah hilang kewarasan atau moral? Adakah anda sanggup menyimpan sejarah silam dan kemudiannya anak cucu anda sendiri kena membayar harga untuk apa yang telah anda lakukan?

Sekurang-kurangnya apa yang saya nampak dalam cerita ini ialah dunia mereka sangat indah walaupun kehidupan mereka carca marba.

Pada siri tv ini terdapat keindahan dan kesepian yang menempatkan satu perkara misteri di dalam hati anda yang kebiasaannya suka menonton cerita seram ataupun alam ghaib. Ini bukan siri yang anda tonton untuk menceritakan sahaja secara terus tentang burung-burung mati, ataupun budak yang telah meninggal dunia.

Tetapi ia lebih pada persoalan apa yang menghubungkan mereka melalui satu pertalian darah. Adakah anda sanggup menjalin hubungan dengan adik beradik anda sendiri? Jika anda diberikan mesin masa yang mampu mengubah masa lampau, apa yang anda lakukan terhadap diri anda sendiri? Inilah yang cuba dijawab didalam siri Dark.

PENUTUP

Saya terpikat untuk menonton Dark sehingga akhir. Sangat mendebarkan dan membuatkan saya terfikir, adakah sebenarnya Tuhan benar adil pada diri anda? Seharusnya kita patut bersyukur dengan apa yang kita ada.

Siri tv ini hanya sesuai ditonton oleh orang dewasa kerana mempunyai aksi seks yang keterlaluan (Kategori 18SX). Jika anda mahu seram dengan jalan cerita gelap, ini siri tv terbaik untuk anda.

Oleh itu OMG! Hackers? memberikan penarafan Durian Buruk sebanyak:

7/10

Sekian, jumpa lagi pada ulasan akan datang!

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Tronsmart U5TF Titan Plus: Pengecas Dekstop Paling Berkuasa Dan Berkualiti Tinggi

2
Properties of omghackers.com

Berbagai pengecas keluar dari pelbagai syarikat, dan ia terus menjadi satu lambakan dalam market. Pelbagai jenis dari bermacam jenama boleh diperolehi, namun mencari satu yang benar-benar berkualiti, apatah lagi berkualiti tinggi adalah sukar.

Situasinya anda mungkin punyai bermacam-macam pula peranti di rumah atau di pejabat. Setiap satunya mempunyai pengecas masing-masing, malah boleh jadi didatangkan tanpa pengecas.

Amat menjengkelkan apabila terpaksa membawa satu pengecas untuk satu peranti, jika anda merancang untuk mengecas kesemua peranti anda serentak. Multi-tugas-lah katakan.

Dengan wayar sambungan, anda cuba mengecas peranti-peranti anda. Saya percaya, ia akan menjadi parti wayar-wayar berselirat dengan cepat. Di sinilah di mana sebuah peranti seperti Tronsmart Titan hadir untuk menyenangkan kerja anda.

Ia adalah sebuah pengecas dekstop, dengan 5 port USB, yang setiap satunya disertakan dengan teknologi VoltiQ.

Spesifikasi

Model: U5TF
Teknologi: Qualcomm Quick Charge 3.0, Voltiq, Huawei FCP
Input: AC 100-240V, 50-60Hz, 2.4A (Maksimum)
Output: Maksimum 5-6.5V/3A, 6.5-9V/2A, 9-12V/1.5A; 5V/2.4A
Kuasa total: 90W
Material: PC
Dimensi: 159*81*29mm
Berat: 300g
Warna: Hitam
Persijilan: CE, FCC, RoHS

Apa yang akan anda dapat dalam kotak?

1 pengecas desktop Tronsmart Titan Plus
1 kabel penyalur kuasa
1 manual pengguna
1 kad waranti

Oh ya, tidak lupa juga saya dibekalkan dengan satu bentuk risalah berupa penerangan spesifikasi dan senarai produk-produk Tronsmart.

Reka Bentuk Dan Fungsinya

Tronsmart Titan ialah sebuah pengecas desktop yang agak besar. Atas sebab itu, sesuai dengan saiznya, ia mempunyai 5 port USB, setiap satu darinya mampu menyalurkan kuasa sebanyak 18W, yang jika digunakan serentak adalah penyaluran kuasa penuh sebanyak 90W.

Setiap satu port dikuasakan dengan teknologi Quick Charge 3.0 serta VoltiQ, juga serasi dengan teknologi FCP dari Huawei. Tidak lupa juga, ia mempunyai ciri ‘keserasian ke belakang’ (Backward Compatibility) dengan Quick Charge 2.0.

Nota: Apa itu VoltiQ?

VoltiQ ialah teknologi pengecasan yang dapat mengenal pasti peranti serta tahap kuasa yang diperlukan untuk setiap peranti yang bersambung dengan pengecas, lalu menyalurkan kuasa maksimum yang dapat ditanggung oleh peranti-peranti tersebut. Secara ringkasnya, setiap port secara ‘bijak’ mengenal pasti peranti yang disambungkan dan menyampaikan kelajuan pengecasan yang paling cepat.

Bukan itu sahaja, ianya dibekalkan dengan ciri keselamatan seperti perlindungan dari lebihan voltan, lebihan arus kuasa, litar pintas, suhu melampau panas, dan juga mempunyai waranti selama 18 bulan.

Di sebelah bahagian port penyalur kuasanya, terdapat suis penghidup, yang pada saya adalah amat berguna jika anda berasa ‘malas’ hendak mencabut plug kuasanya. Ini juga adalah satu bentuk perlindungan, dan ciri penjimatan kuasa, agar arus elektrik tidak sentiasa mengalir ke dalam pengecas ini.

Di bahagian hadapan pula kelihatan lima port USB dengan setiap satu darinya ‘ditandai’ dengan warna hijau di sebelah dalam.

Pada saya, ini memudahkan pengguna untuk dapat melihat dan membezakan antara satu port dengan port yang lainnya, tambahan pula warna luarannya adalah hitam. Warna hijau juga seperti menjadi satu bentuk trademark kepada Tronsmart untuk produk-produknya yang menggunakan port USB.

Anda boleh rujuk ulasan kami mengenai Tronsmart Presto 10000mAh Quick Charge 3.0 Power Bank.

Kepenggunaan

Saya sememangnya sudah lama ingin menggunakan pengecas seperti ini. Agak rimas apabila saya sentiasa cuba mengecas peranti di tepi katil, namun ianya berselerak, bersepah dengan wayar-wayar pengecas untuk setiap satu peranti yang saya gunakan.

Oleh itu saya gantikan wayar sambungan, dan kesemua pengecas-pengecas itu dengan hanya satu pengecas sahaja, iaitu Tronsmart Titan. Ianya amat melegakan otak dan menyegarkan mata, apabila melihat segalanya terurus, yang mana hanya ada pengecas, dan wayar USB sahaja. Tronsmart Titan menjadi hub pengecas pantas, dan nampaknya pengecas lain saya sudah pun simpan di dalam almari.

Apa yang seronoknya, walaupun mengecas berbeza peranti, saya tidak perlu lagi terfikir tentang keserasian bagi pengecas yang digunakan, apabila teknologi VoltiQ mampu mengendalikan keperluan kuasa setiap peranti tersebut. Kadar kuasa? Lebihan arus? Ahhh, itu semua tidak penting lagi. Hanya perlu plug masuk, dan biarkan ia penuh.

Pro:

  1. Satu peranti untuk semua. Amat memudahkan anda jika anda menggunakan pelbagai peranti yang perlu dicaj dengan cepat.
  2. Mempunyai ciri keselamatan yang jitu. Anda tidak perlu bimbang lebihan arus kuasa atau litar pintas.
  3. Kelajuan pengecasan Quick Charge 3.0, VoltiQ, dan FCP (Huawei) diterapkan ke dalam pengecas.

Kontra:

  1. Saiznya agak besar. Oleh itu jika anda jenis suka berkembara, anda perlu sediakan ruang yang cukup untuknya.
  2. Beratnya mungkin tidak terlalu ketara, tetapi semestinya lebih berat dari membawa pengecas biasa anda.
  3. Tidak disertakan dengan kabel pengecas USB. Anda perlu menggunakan kabel anda sendiri, semestinya.

Konklusi

Apa lagi yang dapat saya perkatakan tentang produk ini. Tiada sebarang aduan mahupun rungutan yang dapat saya sungutkan. Saya amat mengesyorkan pengecas desktop ini kepada sesiapa yang mahu mengatur pengecasan peranti dengan lebih baik lagi. Tidak perlu membawa wayar sambungan dan pelbagai pengecas ke mana-mana. Cukup hanya sekadar satu peranti ini sahaja bagi melengkapkan keperluan anda.

Anda yang berminat bolehlah membeli Tronsmart U5TF Titan Plus ini melalui pautan-pautan di bawah:

  1. Lazada: 
  2. Shopee: 

Views: 1

Iklan Newspaper Inline