Saya dan isteri berkesempatan menonton filem ini dan datang ke pawagam tanpa memberikan harapan positif mahupun tanggapan negatif. Keyakinan saya begitu tinggi setelah sebelum ini saya telah menonton filem sejarah lain iaitu Ola Bola.

Satu filem yang memberikan begitu inspirasi tinggi dan motivasi. Terlalu dekat dengan sejarah LCW sebenarnya. Oleh itu inilah ulasan saya tentang filem Lee Chong Wei: Rise Of The Legend.

SINOPSIS

Filem ini mengisahkan tentang Datuk Lee Chong Wei yang daripada kecil mula menyedari bahawa beliau mempunyai bakat dalam permainan badminton. Sehingga satu babak menarik apabila beliau bertemu dengan juara dua kali sukan olympik iaitu Lin Dan. Filem ini sebenarnya diarahkan oleh Teng Bee berdasarkan sejarah ‘Dare to Be a Champion’  oleh Lee Chong Wei.

ULASAN

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada semua pelakon, krew dan juga produksi filem ini kerana berjaya membawakan visual yang sangat hebat dan menarik. Efek visual yang sangat menarik bagi saya iaitu bola bulu tangkis yang berada ditengah jaring itu yang menambat hati saya. Tidak lupa juga bagaimana Eric Yeong sebagai pengarah sinematografi memberikan visual menarik terutama latihan LCW di sekitar lokasi Putrajaya.

Secara pada amnya berasa amat kagum bagaimana begitu telitinya filem ini dibuat. Dialog dalam filem ini juga sangat bermakna dan mudah difahami walaupun hampir 80% dituturkan dalam bahasa cina. Saya begitu terhibur dengan jalan ceritanya sehinggakan keluar panggung pun dialog yang teringat di kepala saya bagaimana mereka menghina LCW dengan mengatakan permainan LCW seperti haiwan di sarkas.

Filem ini sangat menyentuh perasaan saya kerana mereka berjaya mencari pelakon yang lebih kurang serupa dengan Datuk LCW. Tosh Chan yang melakonkan watak Datuk LCW memang bagi saya sangat menjiwai watak tersebut. Datuk Rosyam Nor Sebagai Misbun Sidek juga berjaya membawa emosi yang terbaik. Tidak lupa juga kepada Jake Eng yang memegang watak Datuk LCW masa kecil. Sangat terbaik bagi saya.

Filem ini wajar ditonton oleh semua peminat sukan terutama sukan badminton. Ini kerana ia bukan tertumpu kepada sejarah Datuk LCW sebenarnya, akan tetapi ia cuba memberi motivasi kepada penonton agar mengejar cita-cita dan impian dalam diri. Secara tidak langsung, filem ini sebenarnya menanamkan semangat patriotisme, dengan hanya satu perkara iaitu kita sebenarnya rakyat Malaysia bersatu menyokong pasukan tanpa mengikut bangsa dan agama.

PENUTUP

Satu filem wajib ditonton selepas kejayaan filem Ola Bola. Peminat badminton jangan lepaskan peluang untuk menonton Lee Chong Wei: Rise Of The Legend. Ajaklah keluarga, sahabat, kekasih ataupun isteri pergi menonton. Sangat berbaloi.

Dialog menarik yang terakhir yang saya ingat ialah “Jangan jadi macam saya, kamu mesti lebih baik daripada saya!”.

Oleh itu OMG! Hackers? memberikan penarafan Durian Buruk kepada filem tempatan ini sebanyak:

8/10

Sekian, jumpa lagi pada ulasan akan datang!