Siri ini amat perlahan jalan ceritanya dan mengambil pendekatan untuk tidak menjawab persoalan penonton secara umum.

Semua jalan cerita disusun dengan rapi, seolah-olah anda tidak akan tertinggal sedikit babak sekalipun. Persembahan dramanya amatlah misteri dan luar biasa.

Itulah yang ditonjolkan dalam Dark.

Satu peringatan mesra. Apabila menonton di Netflix, anda disarankan untuk mengubah suara asal kepada bahasa Jerman. Ini kerana apabila saya cuba ubah bahasanya kepada bahasa Inggeris, seolah-olah suaranya seperti kaku dan tidak ada perasaan.

Jika anda seorang dewasa yang pernah menonton siri tv Stranger Things, siri Dark ini lebih kepada anda mempelajari budaya Jerman, dengan cara hidup masyarakat mereka pada masa itu.

 

SINOPSIS

Cerita bermula apabila terdapat satu plot entiti supernatural, yang berlaku di Winden Jerman apabila dua budak lelaki yang hilang mempunyai perkaitan persaudaraan antara empat keluarga.

Ulrich Nielsen (Oliver Masucci), seorang pegawai polis dan bapa kepada tiga orang anak yang menipu isterinya dengan menjalinkan hubungan dengan seorang wanita psychopath yang baru kehilangan suami akibat berlakunya peristiwa bunuh diri antara babak paling awal dalam cerita ini.

Jonas Kahnwald (Louis Hofmann), digambarkan sebagai seorang remaja yang memberontak telah bersama rakannya untuk mencari dadah yang ditinggalkan di dalam sebuah gua dalam hutan yang gelap dan menakutkan. Setelah itu berlaku satu tragedi yang membawa kepada episod kehilangan budak lelaki paling muda iaitu Mikkel Nielsen (Daan Lennard Liebrenz).

Siri ini secara konseptualnya lebih kepada kegelapan, penuh dengan tipu helah, rahsia sesama sendiri, pembunuhan yang sangat mengerikan, dan paling penting sekali dalam cerita ini ialah burung mati jatuh dari langit seperti hujan batu dan kematiannya sangat tragis. 

ULASAN

Pada mulanya saya beranggapan ia sama seperti dengan siri tv Stranger Things. Tetapi jangkaan saya meleset sama sekali. Ia tidak sama, dan tidak ada perkaitan sama sekali dengan siri tv tersebut.

Seram, menakutkan.

Perasaan ketika saya menonton siri ini seperti dalam filem Donnie Darko. Salah satu siri Netflix yang saya rasakan lain dari cerita yang saya pernah tonton (Narcos, Daredevil,The Punisher, Altered Carbon).

Soalan bermula pada episod pertama dan akan dijawab pada episod ketiga. Ia semakin lama semakin menimbulkan banyak persoalan misteri di dalamnya.

Juga terdapat mesin merentas masa, cerita zaman silam yang tidak terjawab serta persoalan daripada masyarakat dari kawasan tersebut. Adakah mereka sudah hilang kewarasan atau moral? Adakah anda sanggup menyimpan sejarah silam dan kemudiannya anak cucu anda sendiri kena membayar harga untuk apa yang telah anda lakukan?

Sekurang-kurangnya apa yang saya nampak dalam cerita ini ialah dunia mereka sangat indah walaupun kehidupan mereka carca marba.

Pada siri tv ini terdapat keindahan dan kesepian yang menempatkan satu perkara misteri di dalam hati anda yang kebiasaannya suka menonton cerita seram ataupun alam ghaib. Ini bukan siri yang anda tonton untuk menceritakan sahaja secara terus tentang burung-burung mati, ataupun budak yang telah meninggal dunia.

Tetapi ia lebih pada persoalan apa yang menghubungkan mereka melalui satu pertalian darah. Adakah anda sanggup menjalin hubungan dengan adik beradik anda sendiri? Jika anda diberikan mesin masa yang mampu mengubah masa lampau, apa yang anda lakukan terhadap diri anda sendiri? Inilah yang cuba dijawab didalam siri Dark.

PENUTUP

Saya terpikat untuk menonton Dark sehingga akhir. Sangat mendebarkan dan membuatkan saya terfikir, adakah sebenarnya Tuhan benar adil pada diri anda? Seharusnya kita patut bersyukur dengan apa yang kita ada.

Siri tv ini hanya sesuai ditonton oleh orang dewasa kerana mempunyai aksi seks yang keterlaluan (Kategori 18SX). Jika anda mahu seram dengan jalan cerita gelap, ini siri tv terbaik untuk anda.

Oleh itu OMG! Hackers? memberikan penarafan Durian Buruk sebanyak:

7/10

Sekian, jumpa lagi pada ulasan akan datang!