Kita teruskan tahun ini dengan kempen #CutTheCord dan #CutTheCable.
Cut The Cord/Cut The Cable ialah kempen kami yang membawa maksud, menggugurkan/menamatkan langganan televisyen satelit untuk menggunakan alternatif video dan siaran televisyen atas talian.
Benar, kempen ini bukan untuk semua orang, namun buat mereka yang dapat memanfaatkannya kami ucapkan tahniah, kerana telah berjaya mengubah gaya hidup anda menjadi lebih baik dan menjimatkan.
Fakta: Astro telah sekian lama mencengkam rakyat Malaysia dengan hak eksklusif penerbitan pelbagai saluran televisyen dengan bayaran langganan bulanan yang sangat tinggi.
Maaf Astro, ini adalah hakikat dan saya rasa anda juga tidak akan dapat menafikannya. Plan yang ditawarkan juga agak ‘berselirat’ dengan pilihan A, ditambah pilihan B sekiranya mahu, dan lain-lain lagi.
Contoh pakej langganan: [Super Pack Plus 4 = 225.78 x 12 = RM2709.36 (Harga promosi tu!)]
Kita dilayan seakan tidak punya pilihan lain selain melanggan Astro sahaja untuk menonton rancangan kegemaran. Saya faham kita rakyat Malaysia ni bukan siapa-siapa pun. Ibarat mentimun, memukul sakit, digilis pun sakit.
Kita tidak mampu ‘melawan’ sebuah syarikat penerbitan berskala besar dan gergasi seperti Astro.
Tetapi betulkah begitu? Benarkah kita tiada pilihan?
Secara teknikalnya tidak. Kita bukanlah hendak ‘berlawan’ dengan mereka, sebaliknya hanyalah ingin mencari dan menggunakan alternatif mesra rakyat marhaen (dari segi pendapatan). Bukankah lebih bagus jika dapat berjimat?
Berikut ialah panduan dari omghackers.com akan bagaimana caranya untuk anda mengurangkan belanja bulanan yang digunakan bagi membayar bil Astro.
Rakyat Malaysia masih mempunyai pilihan, asalkan saja mereka mempunyai:
1. Kemahuan untuk berubah.
2. Bersedia belajar dan buat perkara baru.
3. Internet yang stabil – 4Mbps ke atas adalah digalakkan.
Bab langganan internet ini saya serahkan kepada anda untuk menentukan ia sendiri. Saya tidak akan ‘menentukan’ ia untuk anda kerana ia adalah subjek yang subjektif (Wah, ayat).
Saya bahagikan cara membebaskan diri dari Astro kepada 3 bahagian iaitu:
- Dapatkan akaun atau servis penstriman (bahasa lainnya silalah langgan).
- Strim dari sumber-sumber percuma.
- Dapatkan Android TV Box bagi melengkapkan matlamat ini.
Bahagian Pertama: Akaun/Servis Strim
Akaun strim terbahagi kepada dua jenis. Satu, untuk anda strim rancangan-rancangan kegemaran anda, secara terus atau istilah lainnya On Demand. Kedua, untuk anda strim rancangan-rancangan televisyen secara langsung.
Bagi jenis yang pertama, antara contoh-contohnya ialah Netflix, iflix, Hulu, HBO GO, Screambox dan sebagainya lagi. Dengan akaun-akaun ini, anda boleh strim pelbagai filem dari pelbagai genre. Anda tidak lagi perlu menunggu ia disiarkan dengan waktu yang telah ditetapkan, sebaliknya anda boleh terus strim dan mainkan mana-mana filem yang anda suka.
Dengan memanfaatkan servis seperti Netflix, anda tidak akan terlepas mana-mana rancangan yang anda gemari kerana tiada apa-apa siaran langsung padanya. Terdapat beribu-ribu video yang terdiri dari filem dan drama, seperti The Dark Knight, Guardians of the Galaxy Vol. 2, The Conjuring, dan lain-lain lagi. Banyak, sangat banyak pilihan!
Selain itu, Netflix dan iflix juga mempunyai pilihan rancangan istimewa yang khusus untuk para pelanggannya iaitu Netflix Originals dan Only On iflix. Oleh itu, ciri unik pada kedua servis penstriman ini sekurang-kurangnya menjadikan ia berbaloi dijadikan sebagai ganti kepada televisyen purba. Ahhh, maksud saya televisyen berkabel anda.
Untuk jenis kedua pula, antara yang boleh dicuba ialah Sling TV. Sling TV adalah perkhidmatan penstriman yang membolehkan anda strim pelbagai saluran televisyen secara langsung melalui internet. Selain itu, DirecTV juga boleh dipertimbangkan sekiranya anda seperti saya, berminat dengan saluran-saluran seperti FOX, FX, CNN, Cartoon Network, Disney dan semestinya Food Network. Oh ya, terdapat juga pelbagai siaran langsung sukan, jika anda memang jenis tidak dapat hidup jika tidak menonton aksi-aksi kesukanan.
Bahagian Kedua: Penstriman Percuma
Untuk bahagian kedua ini, kami telah pun menghuraikan ia kepada pelbagai pecahan aplikasi-aplikasi yang (contohnya) terdiri dari:
Bab penstriman percuma ini tidak terhad hanya kepada aplikasi-aplikasi, malah laman-laman yang menempatkan pelbagai video untuk distrim juga jatuh kepada kategori ini. Anda boleh rujuk contoh pada post Apa Yang Abam Buat Bila Abam Berhentikan Langganan Ast**?.
Baca juga: 10 Laman Terbaik Muat Turun Serta Strim Filem Dan Drama
Baca juga: 10 Laman Tempat Muat Turun Dan Strim Filem
Bahagian Ketiga: Android TV Box
Jadi, untuk menggabungkan bahagian pertama dan kedua, kita memerlukan bahagian ketiga ini, iaitu peranti penstriman. Peranti untuk penstriman boleh juga terbahagi kepada pelbagai jenis, namun jenis yang paling popular, mudah diingati, dan mudah pula didapati ialah Android TV Box atau lebih dikenali dengan nama Android Box.
Dengan peranti ini, anda dapat memasang pelbagai aplikasi yang akan menjalankan kesemua servis-servis penstriman yang telah anda langgan itu. Antara contoh peranti yang pernah kami ulas ialah Tanix TX3 Mini.
Setelah kesemua anda sediakan dan tetapkan, anda akan dapat menikmati saluran-saluran, rancangan-rancangan, dan filem-filem kegemaran anda di televisyen. Barulah lengkap segala keperluan anda untuk menonton di kaca skrin besar.
Tidak lupa juga, peranti seperti ini dapat memainkan apa juga video yang anda muat turun, atau strim video-video menarik di YouTube. Semuanya dengan kuasa sistem operasi Android.
Apa yang penting, anda kajilah dulu sebaik mungkin peranti yang anda ingin beli, sebelum membuat sebarang pembelian. Terdapat berbagai jenis dengan spesifikasi mengikut bajet anda. Pilihlah dengan betul.
Kita sudah berada di penghujung artikel. Sebuah artikel panduan untuk anda tamatkan langganan Astro, sudah pun tamat (Wah, peningnya ayat ini).
Saya tidak menggalakkan anda melanggan mana-mana servis penstriman lanun, seperti WDHD, MYIPTV, Moon HD, dan sebagainya lagi. Anda mungkin akan terdedah dengan tindakan undang-undang dari pihak yang berkenaan. Maklum sajalah, barang cetak rompak.
Tetapi saya juga tiada kuasa untuk menghalang anda. Buatlah apa sahaja, asalkan fikir dahulu untung ruginya. Sekian sahaja panduan dan tips dari saya. Seperti biasanya, jangan lupa kongsikan artikel ini dengan semua rakan, ahli keluarga, teman sepejabat, bos, cleaner, budak Milo, dan sesiapa sahaja yang anda rasa dapat memanfaatkan isi kandungan dari artikel ini.
Terima kasih dan jumpa lagi pada artikel akan datang.
#CutTheCord #CutTheCable #GengStreaming