Utama Blog Laman 124

Ubuntu 18.10: Adakah Berbaloi Menggunakannya?

0

Versi terbaru sistem operasi Ubuntu ini mengundang sedikit perhatian dek kerana ia menggunakan GNOME versi terbaru iaitu 3.30. Para pembangun GNOME telah meluangkan masa selama 6 bulan bagi menangani pelbagai isu memori dan prestasi.

Diberi kod nama ‘Cosmic Cuttlefish’, ia menggunakan kernel Linux 4.18 dan akan disokong selama 9 bulan berbanding versi LTS iaitu selama 5 tahun bagi versi desktop dan pelayan.

Apa yang menjadi pokok persoalan kepada Ubuntu rilisan terbaru ini ialah adakah ia masih menanggung masalah versi lama, iaitu ketirisan memori, dan prestasi (shell) yang perlahan?

Bagi menjawab persoalan ini, saya telah mencubanya selama beberapa hari sejak ia dilepaskan.

Apa yang saya dapati, meskipun apa yang saya tetapkan dan pasang adalah sama bagi setiap peranti, namun penggunaan memorinya adalah berbeza.

Animasi bagi ‘Show Applications’ terasa agak perlahan bagi PC dengan spesifikasi (pemproses) lama.

Namun apa yang bagusnya, tiada lagi isu memori buat masa ini. Cuma jika minimum spesifikasi diberikan ialah 2GB RAM, maka saya rasakan ianya adalah tidak tepat.

Sedangkan dalam keadaan melahu pun ia sudah menggunakan sebanyak 1.2GB RAM, apatah lagi jika anda buka pelayar web dan lain-lain perisian serentak. Oleh itu untuk menggunakan Ubuntu tanpa sebarang isu ‘lag’ atau perlu menutup perisian yang sedang digunakan, maka sekurang-kurangnya 6GB RAM perlu dipasang.

Tema baru untuk Ubuntu 18.10 yang dinamakan sebagai ‘Yaru’ walaupun sudah ‘menghilangkan’ tema warna asal – perang, namun kini pembangun menggantikannya dengan warna oren di pelbagai tempat.

Pada saya sendiri, ia adalah langkah bagi menonjolkan ciri antaramuka Ubuntu supaya kelihatan lebih profesional.

Saya tidak akan komen mengenai tema dan ikon ini dengan lebih lanjut kerana sama ada ia cantik atau tidak adalah bergantung kepada mata yang melihatnya. Anda boleh pasang dan lihat sendiri bagaimana rupa tema baru ini.

Selain itu, GNOME Disk juga menerima ciri baru iaitu sokongan enkripsi VeraCrypt. Anda boleh terus melakukan pengenkripsian terus dari GNOME Disk tanpa perlu melibatkan aplikasi pihak ketiga.

Satu perkara yang saya tidak beberapa suka iaitu bagaimana Ubuntu mempunyai pelbagai ‘bloatware’, tidak ubah seperti Windows 10.

Dari aplikasi Amazon, hinggalah kepada pelbagai permainan asas seperti AisleRiot Solitaire, Mahjong, dan Mines yang pada saya tidak diperlukan. Mereka boleh mengurangkan saiz ISO, namun dek kerana bloatware ini, saiznya sudah mencecah 2GB.

Boleh dikirakan sebagai agak ‘melampau’ kerana saiz bagi ISO Linux Mint 19 adalah 1.8GB dan apabila anda selesai pasang, anda tidak perlu lagi menambah apa-apa codec kerana ia sudah pun tersedia sepertimana tradisi Linux Mint. Namun pada Ubuntu anda masih perlu memasang codec tambahan ‘ubuntu-restricted-extras’ untuk mendapatkan kebolehan memainkan media yang sama (proprietary codecs).

Konklusi

Jadi seperti tajuk artikel, adakah berbaloi anda menggunakannya?

Pada saya jika anda adalah peminat Ubuntu dan telah lama menunggu rilisan ini, barangkali berbaloi. Akan tetapi jika anda masih punyai PC lama, dengan jumlah RAM yang kecil, saya sarankan sama ada anda naik taraf PC anda, tambahkan RAM, atau gunakan saja sistem operasi Linux yang lain.

Ubuntu kini menggunakan pendekatan komersial ala Windows. PC lama bukan lagi sesuatu yang difikirkan oleh pembangunnya. Sekarang reka bentuk perlu cantik, secantik macOS, jadi spesifikasi untuk menggunakannya juga pasti adalah setara.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Winamp Akan Membuat Kemunculan Semula Pada Tahun 2019

1

Winamp sebelum ini telah menemui ‘ajal’, namun ia bakal mendapat hayat baru setelah ia dibeli bersama laman penstriman muzik Shoutcast oleh Radionomy dari bekas pemiliknya iaitu AOL.

Berita ini datang dari Ketua Pegawai Eksekutif Radionomy, Alexandre Saboundjian. Menurut beliau:

“Akan ada versi baru tahun depan, dengan ciri ‘warisan’ Winamp tetapi bersama pengalaman mendengar yang lebih lengkap. Anda boleh mendengar MP3 yang mungkin anda miliki di rumah, tetapi juga pada (storan) awan, podcast, stesen radio penstriman, dan senarai main yang mungkin anda telah bina.”

Versi baru Winamp tersebut dikatakan akan hadir bagi platform iOS dan Android. Tidak dilupakan juga bagi versi desktop, Winamp 6 sedang dalam fasa pembangunan bagi pelepasan bersama pada tahun depan.

Dalam masa yang sama, versi Winamp 5.8 telah pun tertiris/bocor oleh seorang pengguna tanpa nama. Antara perubahan menarik ialah Winamp kini (atau akan?) menjadi perisian/aplikasi freeware 100%. Juga terdapat banyak penambaikan, perbaikan ralat dan pengoptimuman.

Berikut adalah paparan antaramuka Winamp 5.8:

Nampak seperti tidak banyak perubahan, tetapi paling penting sekali ialah pembaikan ralat yang telah dibuat dan setakat ini, ia stabil. Anda berminat hendak mencuba? Kalau begitu anda boleh muat turun pada pautan di bawah:

>>> Winamp 5.8 Beta

Sumber: TechCrunch

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Ulasan: Audra Internet Business Security

0

Jika anda seorang pengurus pejabat tentunya anda risau tentang serangan malware dan juga soal produktiviti di pejabat anda.

Audra ialah sejenis peranti ekosistem yang berfungsi untuk mengawal dan menjamin keselamatan internet rumah dan pejabat dengan menetapkan aturan anda sendiri. Peranti Audra juga memberi anda kawalan untuk menetapkan peraturan sepenuhnya kawalan pada ibu bapa di rumah atau pengurusan produktiviti di tempat kerja.

Spesifikasi

Model: Audra Internet Business Security
Teknologi: Peranti Kelestarian Digital Audra
Input: AC 100-240V, 50-60Hz, 2.4A (Maksimum)
Output: 9 V – 1 A
Kuasa total: 90W
Material: Besi warna Hitam
Dimensi: 6.50cm*17.50cm*28cm
Berat: 0.95 kg
Warna: Hitam
Persijilan: CE, FCC, RoHS

Apa yang akan anda dapat dalam kotak?

1 Peranti Audra

1 Kabel Penyalur Kuasa

1 Kabel Internet

1 Manual Pantas Pengguna

Reka Bentuk Dan Fungsinya

Secara amnya peranti ini agak berat dan besar juga. Mempunyai 1 sambungan WAN dan juga 4 Sambungan LAN. Apa yang pastinya peranti ini mampu menyokong sehingga 100Mbps. Peranti ini didatangkan sekali dengan plan langganan selama setahun oleh pengurusan Audra.

Aplikasi Pengurusan Audra membolehkan anda mengurus rangkaian peranti Audra anda di pejabat dan juga dirumah. Anda boleh menyambung dan mengurus semua aspek peraturan penggunaan internet pejabat dari mana saja di dunia dari jauh dengan Aplikasi Pengurusan Audra.

Pada saya, peranti ini agak mudah dipasang dan cara penyambungan ke internet agak begitu mudah dan senang. Sambungkan sahaja peranti internet anda ke peranti Audra, kemudian log masuk secara dalaman. ( Ada dalam manual pantas ).

Audra menyokong sepenuhnya TM UNIFI dan juga MAXIS. Tetapi jangan risau jika anda menggunakan penyedia perkhidmatan internet yang lain kerana peranti ini masih menyokong mana-mana penyedia perkhidmatan lain asalkan sambungan internet bersambung di dalam peranti Audra ini.

Penetapan pada peranti ini juga terdapat kawalan LAN automatik, set masa dan juga kemas kini firmware. Satu ciri menarik yang ada pada peranti ini ialah anda boleh mencegah daripada berlakunya serangan DDoS.

Mudah bukan? Tetapi ini baru sambungan dalaman. Untuk log masuk ke dashboard, anda perlu log keluar terlebih dahulu dan lancarkan pelayar web anda ke pautan http://manage.audra.io.

Di sini anda boleh nampak senarai peranti aktif yang berada di rumah anda.

Apa yang menariknya, peranti Audra memaparkan juga berapa penggunaan internet anda selama harian dan juga bulanan.

Hebat bukan? bukan itu sahaja. Paling menarik anda boleh tetapkan pada peranti yang bersambung itu.

Konklusi

Peranti ini sesuai digunakan pada pejabat kerana ia dapat meningkatkan produktiviti pekerja yang menggunakan internet. Secara tidak langsung, pengurus pejabat tidak perlu risau akan bahaya dan ancaman dari dalam internet itu sendiri.

Anda yang berminat bolehlah membeli Audra Business ini anda boleh gunakan pautan di bawah:

>>> 11 Street: Audra Business 11 Street

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Kelestarian Digital : Apa Yang Anda Perlu Tahu?

0

Kelestarian Digital telah tiba dan ini adalah beberapa perkara penting yang anda perlu tahu

 

Kelestarian Digital yang merupakan sebuah konsep yang telah diasaskan oleh para pakar pengamal kesihatan, kini semakin mendapat tempat di kalangan pemain industri teknologi terbesar dunia. Namun begitu, adakah Kelestarian Digital ini merupakan satu perkara yang sahih? Ataupun hanyalah sepatah perkataan gimik semata-mata yang tidak bertujuan untuk menaakul permasalahan  sebenar di dalam dunia maya dan teknologi yang semakin berkembang pesat dari hari ke hari?

 

 

Hari demi hari, kita semua berhubung di antara satu sama lain pada kadar yang sangat pantas dan tanpa halangan.

 

Perniagaan menggunakan teknologi untuk memacu operasi mereka dan memperkasa tenaga kerja mereka. Para pelancong di luar negara boleh berhubung dengan keluarga di rumah melalui aplikasi sembang atas talian dalam masa sebenar dan secara langsung. Para pelajar tidak lagi perlu menyeksa diri membawa beg berat yang berisi bahan ulangkaji ke sana ke mari. Mereka kini sudah cukup sekadar membawa tablet atau komputer riba tanpa perlu berdepan risiko kecedaraan tulang belakang untuk melakukan ulangkaji dan menelaah pelajaran.

 

Pun begitu, setiap yang baik itu pasti ada juga buruknya. Dalam konteks teknologi secara amnya, dan internet khususnya, golongan pakar dan para pengamal undang-undang mula melahirkan kebimbangan mereka terhadap kesan buruk teknologi yang membawa kepada perubahan tingkahlaku manusia yang digelar sebagai “ketagihan teknologi“.

 

Ayuh bersama kita fahami konsep Kelestarian Digital. Ia adalah satu usaha global yang diasaskan untuk membawa keseimbangan di antara kepesatan perkembangan teknologi dan juga kesihatan individu. Melaluinya, usaha ini berharap untuk mencipta pendekatan yang holistik dan tunggal dalam penggunaan internet yang lebih bertanggungjwab.

 

Keinginan kita semua untuk terus berhubung di antara satu sama lain

 

Sekarang merupakan zaman yang menyeronokkan untuk hidup. Teknologi pada hari ini telah membebaskan dan memperkasakan kita semua dengan gaya hidup yang tidak pernah terjangkau dengan fikiran kita dan dianggap mustahil pada suatu ketika dahulu.  Lebih daripada separuh penghuni dunia disambung dengan internet dan penggunaan telefon pintar pintar semakin meningkat saban hari. Hampir semua orang di dunia kini menikmati dan mampu mendapatkan sambungan internet dan seterusnya mengakses bahan-bahan di atas talian.

 

Tetapi, ada sisi yang tidak enak didengar dalam keupayaan capaian ini.

 

 

Platform atas talian – tidak kira samada rangkaian sosial, portal e-dagang atau permainan – pada hari ini seringkali menggunakan pujukan dan teknik motivasi untuk mengumpan para pengguna mereka. Menurut World Health Organization (WHO), ini termasuk :

  • Kelangkaan : snap atau status hanya aktif untuk sementara waktu; memaksa pengguna untuk sentiasa terburu-buru ke internet.
  • Bukti sosial : beribu-ribu pengguna telah retweet atau berkongsi artikel, jadi anda harus pergi ke dalam talian dan membacanya juga.
  • Pemperibadian : suapan berita direka untuk menyaring dan memaparkan kandungan berdasarkan minat seseorang. Ini sering membawa kepada penciptaan ‘ruang gempa’; dan
  • Kesalingan : menjemput lebih banyak rakan ke rangkaian untuk mendapatkan mata tambahan. Ia menjadi lebih sukar bagi seseorang atau rakan-rakan mereka untuk meninggalkannya apabila sudah terjebak.

Adakah taktik-taktik ini kedengaran dan nampak biasa bagi anda? Hampir seharian kita telah menggunakan peranti dan gajet sepanjang tempoh sedar kita tidak kira samada untuk urusan kerja, bermain, mahupun bersosial. Selain daripada menyuap diri sendiri dengan berita semasa (atau mengelakkan kita daripada berasa ketinggalan di zaman yang serba pantas ini), taktik-taktik ini digunakan dan diterap berdasarkan keinginan semulajadi kita untuk bersosial. Kita sudah terlalu terbiasa untuk bersosial pada skrin berbanding dengan melakukannya secara fizikal dan peribadi.

 

Dengan Wi-Fi yang hebat, lahirnya tanggungjawab yang hebat

 

Bukanlah perkara yang negatif sepenuhnya untuk menggunakan internet dengan lebih menyeluruh dalam rutin seharian kita. Seperti juga hal-hal yang lain, kesederhanaan itu adalah kunci utama. Menggunakan internet dengan lebih banyak tetapi tanpa tanggungjawab hanya akan mendedahkan kita kepada lebih banyak berita-berita palsu, dan juga menyebabkan ketagihan untuk sentiasa berada di atas talian sepanjang masa untuk terus-menerus mendapatkan maklumat terkini.

 

 

Bagi baby boomers hari ini, (dan juga millenials), kita masih ingat zaman di mana capaian internet tidaklah sebegitu mudah didapati seperti pada hari ini. Ini berbeza dengan generasi-Z, di mana zaman remaja dan perkembangan mereka telah dibentuk secara langsung seiring dengan penggunaan dan perkembangan internet.

 

Dengan risiko yang semakin meningkat melalui penggunaan rangkaian internet yang semakin pantas dan menyeluruh, syarikat-syarikat teknologi utama dunia juga bimbang teknologi masa kini telah menjadikan kita lebih jauh dan terputus daripada dunia realiti.

 

Di satu sisi, Apple baru-baru ini mengumumkan ciri baru pada iOS yang membolehkan pengguna memantau tempoh masa yang mereka gunakan pada peranti mereka; termasuklah meletakkan had masa pada penggunaan aplikasi, mengawal selia tahap gangguan daripada notifikasi, dan juga menghadkan penggunaan peranti oleh kanak-kanak.

 

 

Di satu sisi yang lain, Google merancang untuk menambah lebih banyak ciri pada Android OS mereka untuk memudahkan pengguna memantau penggunaan peranti mereka. Ini termasuklah papan pemuka yang memberitahu pengguna sebanyak mana masa yang telah digunakan ke atas peranti dan aplikasi mereka.  Syarikat tersebut juga telah memperkenalkan fungsi ‘Wind Down Mode‘- yang mana merupakan fungsi seperti ‘Do Not Disturb‘ yang akan menukar warna skrin peranti kepada warna kelabu pada tempoh sebelum waktu tidur bagi mengelakkan gangguan sebelum waktu tidur kepada pengguna, sekaligus memberi  tidur yang lebih berkualiti kepada pengguna.

 

Langkah-langkah ini sememangnya bagus dan membuktikan bahawa teknologi sudah banyak berkembang dari semasa ke semasa, namun ia masih lagi menggunakan  peranti untuk membantu kita dalam menjalani rutin hidup yang lebih normal dan teratur. Perlu diingatkan, peranti sepatutnya hanyalah sekadar sebuah alat yang digunakan untuk membantu kita dalam melakukan tugasan seharian, bukannya alat untuk mengawal kehidupan seharian kita.

 

Lantas, apakah yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan kefahaman agensi dan majikan kita supaya menggunakan teknologi dengan lebih bertanggungjawab?

 

Detoksifikasi Digital

 

Kita membenarkan teknologi memberitahu kita apa yang perlu dilakukan dan bukan sebaliknya. Kita sudah terlalu terikat dengan peranti peribadi dan rangkaian sosial dalam talian sehinggakan jika terpisah dengannya walau hanya untuk seketika, kita akan berasa cemas, panik dan mungkin juga depresi.

 

Namun seperti juga komputer, otak kita juga perlu merehatkan kuasa memprosesnya. Ia juga perlu membuang segala ‘cache‘ dan data sisa untuk beroperasi dengan optimum.

 

Antara trend popular dalam kelestarian digital pada hari ini adalah tabiat ‘detoksifikasi digital‘. Ketika pemaju teknologi tanpa henti mengeluarkan alatan dan sistem bagi membantu kita untuk mencapai keseimbangan dalam menggunakan peranti peribadi, titik tolaknya sebenarnya terletak pada diri kita sendiri untuk menggunakan teknologi dengan lebih berhemah.

 

Ini boleh dilakukan dengan cara semudah menyimpan telefon anda di dalam beg atau membuat peraturan kepada diri sendiri untuk tidak menggunakan telefon semasa waktu makan (walaupun mungkin sukar dilakukan oleh individu yang gemar mengambil gambar makanan untuk dimuatnaik ke dalam Instagram). Dalam kes ini, meletakkan peranti anda jauh dari pandangan mata dan capaian anda adalah satu langkah yang lebih bermanfaat untuk diri sendiri.

 

 

Menariknya juga, proses ‘detoksifikasi digital‘ ini tidak memerlukan masa yang panjang. Walaupun dengan hanya 3 hari sahaja, ia sudah cukup untuk mengurangkan stress dan kebergantungan berlebihan kita terhadap teknologi. Rahsianya cukup mudah; seseorang individu perlu menjauhkan diri mereka daripada skrin untuk mula menghargai dunia sebenar dan peri pentingnya untuk mengimbangi di antara kehidupan digital dan kehidupan realiti.

 

Kesimpulannya : ambil semula kawalan hidup anda daripada teknologi

 

Internet telah menjadi salah satu penggerak sosioekonomi terbesar sejak beberapa abad yang lalu dan tidak menunjukkan sebarang tanda kemerosotan.

 

Tetapi kita manusia adalah makhluk analog, bukan digital. Kita hanya mampu menerima dan memproses maklumat yang terhad dalam satu-satu masa yang sama. Oleh itu, penting untuk kita sentiasa berhati-hati dan mengawal diri sendiri dalam menggunakan teknologi.

 

Dengan mewujudkan garis panduan dan sempadan yang sihat dalam konteks hubungan kita dengan teknologi, kelestarian digital mengingatkan kita manusia bahawa kita adalah tuan kepada internet; dan bukan sebaliknya.

 

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Erti Sebenar Ketanpanamaan Dan Mempunyai Ruang Privasi

0

Terdapat salah faham yang umum apabila merujuk kepada isu ketanpanamaan (anonymity) dan privasi untuk pengguna, dan VPN yang kami rasa harus dijelaskan.

Apabila matlamat utama pengguna adalah untuk mengendalikan semua perkara secara peribadi mungkin, butiran yang tampak tidak beberapa mengancam dapat memberi perbezaan ketara terhadap setiap usaha yang dibuat.

Oleh itu, terlebih dahulu elok kiranya kita bermula dari asas, iaitu ketahui apa itu ertinya melayari internet secara tanpa nama (anonymous) dan apa maksudnya untuk mempunyai privasi.

Ketanpanamaan (Anonymity)

Menjadi manusia tanpa nama (anonymous) dan mempunyai privasi jelasnya adalah dua perkara berbeza. Ketanpanamaan bukan sesuatu yang berubah. Ia bererti, jika anda tahu apa yang anda lakukan, anda akan berada dalam keadaan ketanpanamaan dari satu titik dan hanya dari sudut itu ciri identiti anda adalah sahih. Sebelum titik waktu itu, boleh dikatakan anda telah menghidupkan rakaman hayat anda sepanjang masa.

Menjadi tanpa nama adalah seperti berikut, katakan negara (seperti Malaysia) memberi nombor ID kepada semua warganya, oleh itu setiap individu yang lahir dapat diberikan satu identiti unik atas kertas yang membezakan setiap seorang. Jika nombor ID itu digugurkan dari ciri unik, maka kita hanya akan mendapat ID luaran atau perincian fizikal seperti warna rambut, ketinggian, berat badan – sesuatu yang tidak unik, namun jika digabungkan kesemuanya kita akan mendapat sesuatu yang dipanggil sebagai ID pseudo.

Oleh itu menjadi manusia tanpa nama dalam talian bererti identiti pseudo ID atau karakteristik unik anda menjadikan anda tidak berbeza dari satu kumpulan individu yang besar.

Anggapkan nama anda adalah Hafiz, dan 90% dari individu bernama Hafiz di seluruh dunia mempunyai ciri warna kulit, warna rambut, dan lain-lain keunikan tertentu, dan anda menjadi salah seorang di antaranya. Jika anda adalah ‘Hafiz’ dari kelompok 10% yang lain, anda boleh warnakan rambut anda lalu menjadi seorang ‘tanpa nama’ mulai dari titik itu (tidak dapat dikenalpasti dari berjuta-juta Hafiz).

Menjadi secara tanpa nama secara asasnya bermakna menjadi sebahagian daripada kumpulan ‘Hafiz’ yang lebih besar, jadi sebaik sahaja anda menjadi individu tanpa nama/tidak dikenali, sepatutnya anda harus benar-benar rumit untuk dicari di seluruh dunia. Ia juga bermakna adalah lebih sukar untuk menjadikan ia realiti.

Kenapa? Kerana anda mungkin dapat menggunakan semua perisian dan aplikasi di dunia untuk menjadi tanpa nama, tetapi pada satu ketika anda mungkin akan bersikap dengan cara tertentu – seperti menulis sesuatu perkataan lebih daripada yang lain, atau taip pada halaju tertentu, atau sentiasa muncul dalam talian dalam bingkai masa yang sama – maka dengan itu anda akan serta-merta menghilangkan penyamaran yang telah anda cipta.

Privasi

Privasi pula mempunyai pengertian yang sedikit berbeza. Anda boleh mendayakan atau menyahaktif privasi pada waktu yang anda kehendaki (jika anda tahu apa yang anda lakukan dan berhati-hati). Seseorang pengintip akan mengetahui siapakah diri anda, tetapi dalam hal ini anda boleh pilih untuk membiarkan sama ada pengintip tersebut dapat melihat apa yang anda sedang lakukan, ataupun tidak.

Privasi adalah menyembunyikan data daripada orang lain selain diri anda. Data ini boleh jadi merupakan satu bentuk fail, atau ia mungkin apa yang anda hantar dan terima melalui sambungan WiFi anda setiap saat.

Privasi ialah pintu yang anda tutup apabila anda pergi ke bilik mandi, atau sebaliknya, pintu yang anda pilih untuk ditutup.

Masalah utama tentang privasi, adalah perlu mengetahui di mana pintu-pintu tersebut berada dan bagaimana pula untuk menutupnya dengan betul.

Hujah utama terhadap keinginan privasi yang saya selalu dengar adalah,

“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan”.

Kepada mereka ini saya katakan: adakah anda membiarkan orang lain menonton dan merekodkan anda semasa anda berada di bilik mandi?

Oleh itu, ia adalah tentang persempadanan dan mengetahui bahawa sempadan tersebut tidak boleh dipecahkan. Ia tentang mengetahui bahawa walaupun anda sedang direkodkan semasa berada di bilik mandi anda, kamera itu tidak akan dapat menangkap apa-apa yang berbaloi, iaitu video itu akan bersifat statik. Tidak kiralah kamera mana yang anda gunakan, tidak mungkin anda akan dapat melihat saya – di mana saya tidak mahu dilihat.

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

NordVPN: Pilihan Terbaik Untuk Kelajuan, Sekuriti Dan Privasi

0

Sebelum ini kami pernah mencuba dan mengulas NordVPN. Percubaan pada tahun 2017 itu telah meninggalkan kesan dan pengalaman negatif kepada kami.

Namun untuk berlaku lebih adil, sekali lagi NordVPN diberi peluang setelah lebih dari setahun ia tidak digunakan.

Adakah NordVPN akan dapat menebus kembali dan memberikan kesan positif pada kali ini? Mari kita jengah apa yang telah berubah.

Baiklah, gambar di atas ini menunjukkan paparan antaramuka klien NordVPN pada tahun 2017. Dapat dilihat ia mempunyai ciri seperti pelayan khas untuk peer-to-peer (P2P), Onion over VPN, Double VPN, Anti DDoS, dan Dedicated IP.

Di sebelah kanannya pula terdapat info mengenai pelayan yang telah dipilih, serta kelajuan internet semasa.

Mari kita bandingkan pula dengan paparan antaramuka klien NordVPN terbaru ini (2018).

Tiada lagi pelayan Onion over VPN dan Anti DDoS. Apa yang tinggal adalah P2P, Double VPN, dan Dedicated IP. Sejujurnya saya memang tidak beberapa gemar dengan pelayan yang digugurkan tersebut, kerana saya hanya tumpukan kepada pelayan P2P ataupun Dedicated IP sahaja.

Apa yang saya rasa agak kurang senang ialah ciri paparan kelajuan internet semasa yang telah dibuang dari klien. Pada saya ia sebenarnya menambah lagi ‘keserian’ paparan klien, dan setidak-tidaknya letaklah paparan jumlah bandwidth yang telah digunakan (seperti klien TorGuard).

Saya dapati, apabila ciri CyberSec dihidupkan, kelajuan internet menjadi semakin perlahan. CyberSec ini tujuannya adalah untuk menghapuskan iklan, dan melindungi pengguna dari serangan malware, phishing, dan sebagainya lagi. Jadi, jika anda rasa extension/addon adblock serta antivirus sudah mencukupi, pada saya tiada masalah untuk menyahaktif ciri ini.

Obfuscated Servers pula adalah pelayan yang dilengkapi dengan Anti-DPI.

Ia juga sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada kelajuan internet. Sekiranya anda rasakan ia terlalu perlahan, anda boleh nyahaktif dan hanya gunakan pelayan biasa, melainkan anda sememangnya mempunyai plan untuk menggunakan ia pada rangkaian yang agak kuat firewall-nya, seperti di universiti dan pejabat.

Keistimewaan NordVPN ialah anda tidak perlukan langganan berbeza bagi mendapatkan pelayan yang mampu melepasi sekatan pada Netflix (dan lain-lain laman penstriman yang telah menyekat VPN).

Ia mempunyai ciri Dedicated IP Servers, yang mampu memainkan video-video di Netflix tanpa sebarang masalah dan tanpa tetapan-tetapan tambahan. Hanya perlu pilih pelayan, tekan sambung dan terus layari serta strim.

Konklusi

NordVPN tidak mempunyai tetapan banyak, yang sesuai atau dihalakan kepada sasaran pengguna termaju. Sebaliknya tetapan klien NordVPN agak ringkas, dan biasanya pengguna pertama kali tidak akan berasa takut untuk mencuba.

Apa yang menarik, dengan satu langganan pengguna akan memperoleh kesemua ciri-ciri yang disebutkan di atas, tanpa perlu kepada langganan tambahan (ya, seperti TorGuard).

Dari segi kekurangannya, harga langganan bulanannya yang agak mahal mungkin akan menjadi faktor utama penentu kepada seseorang sama ada hendak melanggan ataupun tidak. Jika harga bukan menjadi isu, maka NordVPN pasti tidak akan menghampakan.

Jika anda berminat, anda boleh dapatkan akaun percubaan selama 3 hari melalui pautan di bawah:

 NordVPN 3-Day Free Trial 

Dapatkan promosi 2 tahun langganan NordVPN khusus melalui omghackers.com dengan menggunakan pautan berikut:

➡ 

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Munafik 2 : Baik, Namun Tidak Sebaik Filem Munafik

0

Saya telah menonton Munafik pada tahun 2016 yang lalu, dan baru-baru ini pada Sabtu lepas, saya berkesempatan menonton Munafik 2 bersama isteri saya di IOI City Mall Putrajaya. Saya mengakui memang ramai menonton sehingga penuh sampai ke kerusi hadapan. Namun, ini adalah sedikit coretan ulasan saya tentang filem ini.

SINOPSIS

Dua tahun selepas peristiwa dalam filem pertama, lautan kehidupan Ustaz Adam (Syamsul Yusof) kembali tenang selepas dihantui oleh peristiwa kematian isteri dan anaknya. Dia mula menjadi pendakwah bebas dan meneruskan tanggungjawab membantu golongan yang terkena gangguan sihir/jin di merata tempat.

Ujian yang menimpa sebelum ini telah mengajarnya untuk lebih tawadhu’ kepada Ilahi. Namun apa yang mengelirukan, Adam sentiasa dihantui dengan imbasan-imbasan silam tentang kematian Maria. Adam juga sering didatangi seorang wanita misteri yang mempersoalkan tentang keimanan dan takdir Tuhan. Dalam masa yang sama, di seberang kampung tinggal seorang wanita bernama Sakinah (Maya Karin) dan anak perempuannya, Aina.

Sakinah terpaksa menjaga anaknya yang mengidap penyakit misteri. Kehidupan Sakinah yang daif memberi tekanan kepadanya ditambah pula dia dan anaknya itu beberapa kali diganggu syaitan. Sakinah percaya apa yang dihadapinya berpunca dari Abu Jar (Nasir Bilal Khan), seorang lelaki munafik dan ketua ajaran sesat di kampung yang sama. Abu Jar mempunyai pengikut yang ramai dan digeruni penduduk kampung. Sakinah atau sesiapa sahaja yang masih berpegang pada ajaran Islam adalah musuh Abu Jar.

Abu Jar menggunakan sihir/jin untuk menghancurkan sesiapa yang tidak mengikut ajarannya. Ini memaksa Sakinah untuk mencari Ustaz Adam. Kedatangan Ustaz Adam ke kampungnya telah menimbulkan kemarahan Abu Jar. Adam bukan sahaja terkejut dengan apa sebenarnya yang berlaku pada keluarga Sakinah tetapi juga dengan ajaran sesat Abu Jar yang memesongkan akidah orang Islam di kampung itu.

ULASAN

Pertama sekali, ini bukan filem seram seperti mana yang saya jangka.

Ia adalah seperti filem dakwah Islamiah ‘versi Syamsul Yusof’. Kalau anda menonton Munafik sebelum ini, kreabiliti Ustaz Adam tidak ditonjolkan secara penuh namun dalam sequelnya, watak itu telah ditonjolkan dengan lebih lagi apabila dia selalu diperlukan pada banyak situasi. Beliau telah menyuntik sedikit elemen filem seram lama yang saya rasakan agak berjaya.

Ustaz Adam merupakan satu karekter yang ‘hidup’. Selain itu, tidak lupa juga kepada Sakinah (Maya Karin), dan Abu Jar (Nasir Bilal Khan). Watak jahat dalam filem ini sangat berkesan dan berjaya membuatkan penonton rasa geram terhadap mereka terutamanya Umar (Fauzi Nawawi).

Dari segi latar (pemilihan) tempat, VFX, dan lain-lain pada saya ianya harus dipuji kerana Syamsul mendapatkan hasil akhir yang lebih baik daripada filem sebelum ini. Saya harus puji juga yang sebenarnya beliau menaik taraf dirinya menjadi seorang pengarah berdedikasi apabila membacakan beberapa potongan ayat Al-Quran dengan betul (jarang dapat dilihat pada zaman ini – ya, ia realiti pahit).

Kalau dilihat filemnya sekarang lebih berkisar kepada kepentingan mengikuti Al-Quran dan Hadith. Namun begitu terlalu mudah orang meramal apa yang bakal berlaku seterusnya. Sedikit plot twist di hujung filem merancakkan kembali reaksi penonton.

KELEMAHAN

Saya agak bersetuju juga dengan beberapa post dari rakan Facebook yang mengatakan bahawa Munafik 2 tidak lebih dari sekadar filem KL Gangster versi Islamik.

Anda cuba tukarkan watak Shark bertutur dengan kata-kata dakwah, sambil memakai kopiah, maka itulah yang akan anda dapat dalam Munafik 2. Terlalu banyak dialog-dialog kaku yang tidak perlu, serta tidak berpaksi kepada realiti.

Diibaratkan anda bayar harga tiket wayang, selain untuk kepuasan menonton filem bolehlah juga dikatakan anda membayar untuk mendengar ceramah agama sepanjang-panjangnya.

Begitulah diibaratkan betapa banyaknya dialog-dialog ‘keagamaan’ yang sekali lagi (pada saya) tidak kena pada tempatnya.

Babak-babak tidak logik seperti tahap kebodohan orang kampung yang teramat mudah percaya dengan Abu Jar juga sangat mengecewakan, di mana kelihatan mereka seakan hanya berada di set penggambaran untuk menjadi pak pacak semata-mata. Dialog yang sepatutnya diberikan lebih banyak kepada orang kampung tidak pula diberi, manakala kemunculan Abu Jar yang hanya menuturkan kata-kata berbentuk villain versi ‘munafik’ menambah kebosanan.

Tidak ada seorang pun dari orang kampung yang terfikir untuk membuat laporan polis. Seriuslah?

Tidak dilupakan juga realiti ajaran sesat diasaskan oleh Abu Jar yang tampak tidak beberapa ‘wujud’ dan tida dekat dengan realiti, kerana jika hendak dibandingkan dengan ajaran kerajaan langit oleh Ayah Pin (contoh), kita boleh lihat sendiri Ayah Pin tidak mengenakan pakaian melampau. Cukup sekadar berbaju T beliau dapat mengumpulkan jemaah pengikut yang ramai dari serata pelusuk negeri dan bangsa, manakala Abu Jar pula mengenakan jubah hitam serta bertongkat, dan pengikutnya hanya berskala kecil, dari kalangan bangsa Melayu sahaja.

Di akhir filem, kekecewaan saya untuk melihat Abu Jar ditembak mati oleh pihak berkuasa polis atau tentera tidak kesampaian – cukup setakat itu untuk mengelakkan spoiler.

Penarafan Durian Buruk:

6.5/10.

Views: 5

Iklan Newspaper Inline

Kemas Kini Terbaru EMUI: Apa Itu GPU Turbo?

0

*Gambar muka hadapan dari YugaTech.

Masih ada lagi yang bertanya tentang GPU Turbo dari Huawei nampaknya. Oleh itu, post ini akan membincangkan serba sedikit berkenaan dengan kemas kini terbaru ini.

Jadi apa sebenarnya GPU Turbo?

Pertama sekali, kita kena faham Huawei mempunyai akses bagi ‘low-level tuning’ atau penalaan halus pada system-on-a-chip (SoC) mereka iaitu HiSilicon Kirin.

Atas sebab itu mereka berpeluang untuk mengoptimumkan integrasi antara perkakasan dan perisian peranti.

GPU Turbo secara asasnya ialah penalaan halus pada sistem peringkat rendah (low-level system) dengan menyusun rangka kerja grafik tradisional.

Gambar dari GameBench.

Apa yang menarik, Huawei membangunkan satu algoritma pintar bagi pemacu GPU itu sendiri, jadi peranti dan firmware akan ‘bekerjasama’ dan mengetahui imej apa yang perlu dijana untuk bingkai baru.

Ini bererti prestasi GPU bertambah apabila ia tidak lagi menjana imej-imej yang tidak perlu, sekaligus menjadikan penggunakan sumber perkakas dan perisian lebih efisien.

Dengan adanya pengoptimuman sistem peringkat rendah ini, kemas kini firmware GPU Turbo dapat meningkatkan prestasi peranti ketika menjalankan aktiviti peranti melibatkan grafik terutamanya permainan.

Selain itu, kecekapan pemprosesan grafik dikatakan meningkat sehingga 60 peratus, manakala penggunaan kuasa secara keseluruhan dijimatkan pula sebanyak 30 peratus.

Buat masa ini dua permainan yang telah dioptimumkan dengan GPU Turbo ialah PUBG Mobile dan Mobile Legends: Bang Bang.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Bagaimana OnePlus Reka Bentuk Semula Antaramuka Pengguna Baru OxygenOS?

0

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, bertemu lagi kita dalam artikel mengenai produk OnePlus, kali ini mengenai sistem operasi OnePlus, iaitu OxygenOS. Tapi ini bukan OxygenOS yang lama, tapi yang diberi nafas baru.

Anda boleh lihat perubahan ini di OxygenOS Open Beta yang terkini pada peranti OnePlus 5/5T serta Android Pie Developer Preview (nama lain Android Pie Beta) pada OnePlus 6. (Dulu namanya Android P Beta, tapi dah keluar nama Pie, Pie la. Bukan Pei, tu Carl Pei, pengasas OnePlus)

OxygenOS, seperti mana anda semua tahu, ia merupakan hampir stok Android (seperti produk peranti Google) tapi menyediakan penyesuaian, ubah ikut suka anda yang tidak terdapat pada stok Android serta kurang bloatware.

Kecuali HydrogenOS, terdapat boleh tahan banyak bloatware aplikasi Cina. (Bloatware, perisian yang tidak berguna yang habiskan memori dan ruang penyimpanan sahaja)

Ini kerana HydrogenOS ni untuk penguna di China manakala OxygenOS untuk pengguna global. Peranti set China pada awalnya memakai HydrogenOS, tapi bila sampai dekat negara lain, akan dipasang OxygenOS (bergantung pada kedai, pengedar atau penjual).

Eh, jauh pulak sembang, kita kembali pada topik asal. OxygenOS yang baru ini mengikut citarasa pengguna dengan melakukan beberapa survey serta maklum balas pengguna OnePlus 5/5T (pada OxygenOS Open Beta) lalu memperbaiki serta melihat apa kekurangan serta kelemahan reka bentuk yang terdahulu.

Lalu timbul-lah empat kata kunci ini iaitu Rata dan Minimal, Pengurangan, Tebal dan Bersih serta Percubaan dan Ujian.

Rata dan Minimal

Mereka (pemaju reka bentuk  OxygenOS) mahukan reka bentuk yang minimal dan nipis, jadi pengguna dapat fokus pada perkara yang penting kerana mereka percaya bahawa sedikit itu lebih baik.

oos3.0.1.png
Contoh gambar untuk maksud di atas, kredit pada Forum OnePlus.

Pengurangan

Menyediakan reka bentuk yang semula jadi, tidak terlalu merah memberi reka bentuk yang baik. Mengurangkan ruang yang lebih dan cuba meletakkan semuanya dalam satu antaramuka.

Contoh gambar bergerak untuk maksud di atas, kredit pada Forum OnePlus.

Tebal dan Bersih

Memberi pengguna fokus yang lebih baik kepada skala dan perkataan pada antaramuka, jadi pengguna dapat tahu apa yang mereka tekankan apa yang penting kepada pengguna.

oos.3.0.2.png
Contoh gambar untuk maksud di atas, kredit pada Forum OnePlus

Percubaan dan Ujian

Mereka memulakan reka bentuk mereka (dari reka bentuk lama, mula dari awal) berdasarkan kata kunci yang mereka nyatakan di atas. Meskipun bukan mudah, tapi berbaloi.

Kini, mereka telah menyediakan versi baru dengan gaya visual mereka dengan tulisan (font) yang istimewa serta ikon yang baru untuk memberi rasa OnePlus yang sebenar.

Kredit pada Forum OnePlus

Tapi, disebalik kejayaan ini, semasa fasa awal peninjauan mereka, tidak berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Ada sesetengah ahli pasukan mereka menandakan isu-isu yang terdapat pada reka bentuk baru ini.

Kenapa warna merah? Kenapa petak? Kenapa banyak sangat garisan? Macam ni reka bentuk dia? Kenapa kedudukan avatar di sebelah kanan?

oos3.0.4.png

Masa makin singkat, nak reka semula semula tak sempat, jadi mereka memperbaiki reka bentuk secara organik. Demo pun dah siap untuk dilepaskan, mereka lancarkan survey kedua pulak dan rata-rata pengguna suka dengan reka bentuk tersebut.

Apa yang anda mintak, anda mahukan maka mereka pun tambah, letak dan ikut apa yang anda cadangkan. Mereka juga tahu, ya benar ada jurang di antara reka bentuk atas kertas dengan bagaimana ia berfungsi di dunia nyata.

Kredit pada Forum OnePlus

Maklum balas dari pengguna

Boleh dikatakan 80% pengguna beta (penguji beta, Open Beta) lebih suka reka bentuk baru ni. Ini menunjukkan usaha mereka sebelum ini, berbaloi.

Kredit pada Forum OnePlus

Tapi, ada juga yang tak suka, tapi mereka terima keputusan tersebut dan akan cuba sempurnakan reka bentuk OxygenOS ni. Ini kerana mereka nak menyediakan pengalaman Android yang terbaik untuk pengguna. Kena dengan trademark OnePlus, Never Settle.

Senarai ahli pasukan reka bentuk ROM OnePlus, kredit pada Forum OnePlus

Sebab tu komuniti OnePlus lain macam sikit. Tak semua suara mereka dengar, tapi tak semua pendapat dari pengguna mereka tolak. Pada 19/08 ni, dalam minggu tu akan keluar OxygenOS Open Beta 1 pada OnePlus 6, semestinya reka bentuk baru ada juga. Boleh lihat contoh dekat sini : HydrogenOS Open Beta 1

Jadi, apa pendapat anda, komen kat bawah atau dekat Facebook. Jumpa lagi artikel akan datang. Saya undurkan diri, Assalamualaikum.

Sumber : How We designed the new UI of OxygenOS

 

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Kekarutan Momo Challenge: Psikopat Pendorong Bunuh Diri Di WhatsApp

0

Satu lagi cabaran tidak berfaedah muncul dan bermula dari Facebook apabila beberapa orang pengguna dicabar untuk berkomunikasi dengan nombor yang tidak dikenali.

Akaun Momo tersebut seterusnya akan menghantar beberapa cabaran dan ‘aktiviti’ yang perlu dilakukan sebelum dapat berjumpa dengan ‘Momo’.

Malangnya ‘aktiviti’ tersebut melibatkan keganasan dan berakhir dengan bunuh diri. Seandainya pengguna enggan melengkapkan cabaran, Momo mengugut mereka dengan pelbagai gambar tragis.

‘Momo’ menggunakan gambar sebuah patung yang hodoh bagi mengundang rasa ingin tahu dari kalangan kanak-kanak. Patung tersebut merupakan arca dari syarikat kesan khas Jepun iaitu Link Factory yang dinamakan sebagai Mother Bird.

Ia ditayangkan di galeri seni seram Tokyo, Vanilla Gallery.

Dibuat oleh seorang pereka bentuk Jepun iaitu Midori Hayashi, arca tersebut sebenarnya tiada kaitan langsung dengan cabaran Momo.

Setakat ini pihak polis Argentina menghubungkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dengan cabaran Momo. Gadis cilik itu telah merakamkan aktiviti yang perlu dilakukan sebelum membunuh diri.

Pihak berkuasa mengesyaki terdapat individu yang mendorong gadis tersebut membunuh diri. Akaun Momo dikesan terhubung kepada tiga nombor di Jepun, Mexico dan Columbia. Penjenayah sedang diburu dan ibu-bapa dinasihatkan agar memantau serta mengawasi anak-anak daripada membuat sebarang perkara yang mengundang padah.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline