Utama Blog Laman 123

Cara Mendaftar Akaun Profil Di Forum 4PDA

0

Bagi penggemar modifikasi Android pada telefon pintar mereka, saya pasti nama 4PDA Forum tidak lagi asing bagi mereka. 4PDA adalah forum berbahasa Rusia yang menjadi tempat perbincangan dan berkumpul para pembina. Bagi kebanyakan orang, forum berbahasa Inggeris, XDA Forum sudah memadai. Namun, bagi sesetengah individu dan peranti, forum XDA tidak memadai atau memenuhi citarasa mereka dan terpaksa mencari sumber lain di 4PDA.

Forum 4PDA biasanya membuat pautan dan muat naik ke Google Drive. Pautan ini dapat diakses oleh sesiapa sahaja walaupun tanpa membuka akaun profil di forum 4PDA. Walaupun begitu, ada sesetengah fail telah dimuat naik ke dalam pelayan awan 4PDA sendiri di forum 4PDA dan tidak boleh diakses melainkan oleh akaun yang telah berdaftar di 4PDA.

Sepertinya tiada masalah bukan? Tetapi tidak. Ini kerana 4PDA adalah laman berbahasa Rusia. Maka proses untuk membuka akaun profil di 4PDA juga tersedia dalam bahasa Rusia dan agak merumitkan bagi bukan pengguna bahasa Rusia. Masalah akan timbul ketika proses untuk mengesahkan caption security yang ditulis dalam bahasa Rusia. Bagi mereka yang tidak mempunyai kemahiran dalam bahasa Rusia, sudah tentunya gagal dalam melepasi saringan keselamatan ini. Namun jangan bimbang, kerana dalam artikel kali ini, saya akan membuat tutorial untuk mencipta akaun profil di 4PDA dan seterusnya log masuk ke forum 4PDA.

Cara-caranya :

1. Pertama sekali, muat turun aplikasi 4PDA di Google Play Store.

2. Seterusnya, buka aplikasi 4PDA di telefon pintar anda dan tekan pada pilihan yang telah ditanda. Ini untuk membawa anda ke halaman daftar akaun baru.

Tekan pada ruangan ditanda kotak merah.

3. Tandakan pada ruangan yang ditanda sebagai pengakuan bahawa anda telah membaca terma dan syarat untuk mendaftar di forum 4PDA. Kemudian tekan pada butang biru di bawah yang bermaksud “SETUJU“.

Tandakan terima di ruangan ditanda kotak merah kemudian tekan butang biru di bawah.

4. Masukkan maklumat yang anda kehendaki. Bahagian dengan tanda-tanda titik adalah bahagian untuk anda memasukkan kata laluan yang anda mahukan. Kemudian, tekan butang biru di bawah yang bermaksud “TERUSKAN

Tekan kotak biru di bawah setelah siap mengisi maklumat.

5. Akaun anda telah siap dan anda kini boleh melayari laman 4PDA menerusi telefon pintar anda!

Selesai!

Bagaimana Pula Caranya Untuk Kegunaan Di Komputer?

Untuk log masuk ke forum 4PDA di komputer, anda akan mengalami kesukaran kerana perlu menjawab the caption di dalam bahasa Rusia. Untuk itu, anda perlu mencipta akaun terlebih dahulu menggunakan aplikasi 4PDA di telefon pintar anda seperti yang ditulis di atas. Untuk contoh, saya menggunakan pelayar Google Chrome pada Android. Akan tetapi, ia sama sahaja dengan versi dekstop.

1. Layari laman forum 4PDA di komputer anda dan tekan login. Untuk proses ini saya mencadangkan agar menggunakan pelayar Google Chrome kerana fungsi auto terjemah pada pelayar tersebut.

Pilih “login”.

2. Anda akan diminta memasukkan maklumat profil anda untuk log masuk. Masukkan sahaja maklumat yang telah anda cipta dalam proses mencipta akaun profil anda di aplikasi mudah alih 4PDA. Tandakan kotak di sebelah kiri di bawah ruangan input kata laluan. Kemudian, tandakan pada kotak di bawah ruangan caption sebelum menekan butang biru di bawah yang bermaksud “LOG MASUK“.

Tandakan di kedua-dua kotak merah sebelum menekan butang biru di bawah.

3. Anda kemudiannya akan menerima emel daripada 4PDA yang telah anda gunakan untuk mencipta akaun. Sekiranya tiada emel diterima dalam kotak masuk emel anda, anda boleh memeriksa di kotak spam anda. Tekan pautan yang diberikan. Pilih pautan yang paling panjang untuk log masuk.

4. Anda telah berjaya log masuk ke laman desktop forum 4PDA pada komputer anda!

Tambahan :

Pada pertama kali membuka aplikasi mudah alih 4PDA, anda akan dipaparkan dengan tutorial. Anda boleh melihat kesemuanya atau menekan sahaja tanda pangkah di bucu kanan atas skrin.

Itu sahaja daripada saya pada kali ini. Semoga bermanfaat!

Views: 16

Iklan Newspaper Inline

Lazada Scam! : Bagaimana Penjual Boleh Mencuri Wang Anda Melalui Lazada

0

Belum habis lagi dengan isu masalah diskaun dan tawaran harga runtuh, saya terpanggil lagi untuk menulis tentang penipuan lain yang ada di Lazada. Bezanya kali ini, penipuan ini pula adalah penipuan yang dibuat oleh pihak penjual ataupun pihak ketiga dengan cara mengeksploitasi kelemahan dan kerentanan sistem di gedung atas talian tersebut.

Bagi pengguna tetap Lazada, pastinya sudah biasa dengan istilah dan kegunaan Lazada Wallet. Lazada Wallet adalah dompet digital anda di Lazada di mana anda boleh memasukkan wang secara kredit ke dalam akaun Lazada Wallet di akaun Lazada anda dalam proses pembayaran di dalam gedung Lazada. Jadi, daripada anda membayar debit secara terus dari akaun bank anda, Lazada sebaliknya menawarkan alternatif supaya duit anda dimasukkan terlebih dahulu ke dalam Lazada Wallet sebelum dibayar kepada penjual. Rumit bukan? Namun ia ada kelebihannya.

Lazada Wallet.

Kelebihan menggunakan Lazada Wallet ini selain daripada mendapat potongan harga ekstra dalam transaksi terpilih, ia juga menawarkan lebih banyak keselamatan dalam urusan jual beli anda. Sekiranya berlaku penipuan dalam urusan jual beli, anda boleh memaklumkan kepada Lazada dan pihak Lazada akan menarik semula duit daripada akaun penjual masuk ke dalam Lazada Wallet anda. Penjual tidak dapat melihat maklumat bank anda kerana anda telah membuat pembayaran daripada Lazada Wallet, bukannya melalui debit atas talian bank anda.

Modus Operandi?

Penjual akan menghubungi pembeli secara peribadi melalui Whatsapp. Seterusnya, penjual akan meminta 6 digit nombor kod yang akan dihantar oleh Lazada kepada nombor telefon pembeli. Melalui nombor kod ini, penjual tadi kemudiannya boleh log masuk ke dalam akaun pembeli.

Penggodam boleh masuk ke akaun anda sekiranya anda memberikan mereka kata laluan anda.
Penggodam akan memasukkan nombor telefon anda ke ruangan login dan seterusnya menekan “send” pada ruangan kod. Penggodam seterusnya akan meminta kod tersebut dari anda melalui Whatsapp. Sekiranya diberikan, mereka seterusnya akan berjaya log masuk ke dalam akaun anda.

Penjual seterusnya akan menukar segala maklumat keselamatan akaun pembeli seperti nombor telefon dan emel lalu merampas akaun pembeli. Kemudian, penjual akan membatalkan pesanan pembeli tadi daripada akaun asal penjual dan wang belian tadi akan masuk semula ke Lazada Wallet. Seperti yang saya katakan tadi, akaun pembeli telah dirampas daripada pembeli maka penjual bebas menggunakan akaun pembeli dan wang di dalam Lazada Wallet tadi.

Penggodam seterusnya akan menukar nombor telefon dan emel pembeli kepada maklumat sendiri. Akaun pembeli kini sudah dirampas.

Bagaimana Ia Dilakukan?

Lazada memberikan pilihan untuk log masuk ke akaun samada menggunakan emel ataupun nombor telefon. Disebabkan itulah penjual meminta nombor kod 6 digit yang dihantar oleh Lazada kepada nombor telefon pembeli. Penjual menghubungi pembeli secara peribadi kerana ingin mengelak daripada dikesan Lazada. Dalam kes ini, Lazada tidak lagi boleh membantu pembeli kerana mereka telah berurusan di luar daripada sistem Lazada dan Lazada tidak lagi akan mengambil tanggungjawab terhadap urusan di luar daripada sistem Lazada.

Perlu diingat bahawa sebarang kod yang diberi oleh Lazada adalah untuk kegunaan anda sendiri dan tidak boleh dikongsi kepada sesiapa pun. Bijak privasi, wang selamat.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Lazada Slash Dan 11.11 Sales 2018 : Kegembiraan Dibalas Penipuan

0

Tidak dapat disangkal lagi, gedung belian atas talian sudah menjadi sinonim dengan rakyat Malaysia. Pelbagai servis dan saluran gedung atas talian, tidak kira baru atau sudah lama bertapak di negara ini, kekal menjadi pilihan untuk membeli belah. Ini dirancakkan lagi dengan penyediaan aplikasi mudah alih pada telefon pintar oleh gedung-gedung ini yang membolehkan pengguna memilih dan memesan produk di atas talian pada bila-bila masa, dan di mana jua.

Lazada Malaysia kekal menjadi gedung atas talian yang utama di Malaysia. Menewaskan pencabar terdekat mereka Shopee dan pelbagai lagi gedung atas talian yang lain seperti Lelong, 11Street, Zalora dan lain-lain. Antaramuka yang senang digunakan dan juga pelbagai tawaran potongan harga mungkin menjadi tarikan utama pembeli untuk membeli di gedung mereka.

Menjelang jualan 11.11 mereka baru-baru ini, Lazada Malaysia telah mengadakan peraduan diskaun terhadap barangan yang terpilih. Pengguna perlu “slash” barangan yang mereka pilih dan berkongsi pautan “slash” mereka. Semakin ramai orang “slash” pautan mereka, semakin banyak potongan harga yang mereka perolehi. Buat mereka yang mempunyai ramai kawan atau pengikut, dengan mudah sahaja mereka berupaya menikmati potongan harga sehingga ribuan ringgit terhadap barangan yang berharga mahal.

Namun, langit tidak selalu cerah. Dengar guruh di langit tidak bermakna hari hendak hujan. Selepas kempen tamat, ramai pengguna Facebook telah melahirkan rasa tidak puas hati kerana potongan harga yang dijanjikan tidak kunjung tiba. Ada yang pesanan mereka dibatalkan tanpa sebab. Ada yang mengalami kegagalan untuk membuat pembayaran lalu pesanan mereka dibatalkan secara automatik. Malahan, ada juga yang mendapat bayaran balik daripada Lazada tanpa mereka minta atas alasan pesanan mereka telah dibatalkan.

Sebagai sebuah gedung atas talian yang kekal menjadi gedung nombor 1, masalah ini tidak seharusnya berlaku. Ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebuah publisiti murahan dan menjijikkan daripada sebuah syarikat korporat besar yang tidak mahu mengeluarkan belanja untuk promosi (sekiranya “kemalangan” ini disengajakan).

Mengapa saya berkata sedemikian? Dalam kempen “slash” ini, pembeli akan berkongsi pautan ke Lazada untuk mendapat potongan harga. Rakan atau pengguna lain seterusnya akan melawat laman Lazada dan melihat senarai produk di Lazada. Di sini, Lazada sudah mendapat 2 aliran trafik di laman mereka dengan mudah. Bayangkan ribuan orang menyertai kempen ini dan setiap satu daripada mereka menjemput 10 orang pengguna lain? Berapa banyak trafik telah Lazada perolehi dengan mudah?

Apabila pengguna memperoleh potongan harga, Lazada kemudiannya membatalkan potongan harga tersebut dan cuma membayar jumlah kecil, yakni harga “selepas diskaun”. Sebagai contoh, katakan seorang pengguna berusaha dengan gigih untuk membeli sebuah telefon pintar berharga RM2200. Dengan 130 “slash” daripada rakan-rakannya yang lain, dia akhirnya berjaya membeli telefon tersebut dengan harga RM200. Pembayaran dibuat dan pengguna tersebut tersenyum dan puas dengan usahanya yang menbuahkan hasil. Namun, beberapa hari kemudian, Lazada telah menhantar emel permohonan maaf dan membuat pulangan wang sebanyak RM200 yang telah dibayar atas alasan pesanan dibatalkan. LAZADA TELAH MENDAPAT 130 PUBLISITI PERCUMA TANPA PERLU MENGELUARKAN 1 SEN PUN!

Perkongsian daripada pengguna di laman Facebook juga menyatakan perkara yang sama. Rata-rata pengunjung mengadu menerima nasib yang sama baik daripada tawaran kempen “slash”, tawaran baucer kupon, mahupun diskaun 11.11.

Samada masalah ini berpunca daripada Lazada Malaysia ataupun penjual sepatutnya bukan menjadi isu kepada pengguna kerana Lazada Malaysia sebagai penyedia servis seharusnya bertanggungjawab secara penuh dan bukannya meletakkan kesalahan dan masalah ke atas bahu pembeli. Sekiranya penjual bermasalah, Lazada Malaysia seharusnya membuang mereka daripada platform dan meminta mereka membuat gantian produk yang sama. Bukannya sekadar membuat gantian wang yang kecil. Lagipun, ini bukan pertama kali mereka menjalankan servis ini. Pengguna ke platform anda untuk membeli produk tersebut, bukannya untuk mendapat baucer maaf.

Antara perkongsian pengguna :

Setakat ini, tiada maklum balas rasmi daripada Lazada Malaysia. Amat mendukacitakan apabila masalah yang sama kerap berlaku setiap kali jualan murah dan juga kempen diskaun. Lebih memalukan apabila masalah ini menimpa sebahagian besar pengguna. Kempen dan taktik memualkan ini seharusnya dibendung dan mungkin perlu campur tangan daripada KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA (KPDNHEP) atas kesalahan penipuan dan manipulasi harga.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

WatchSoMuch: Pengganti Seven Torrents

0

Muat turun fail menggunakan torrent sudah menjadi satu kaedah yang selalu digunapakai oleh ramai orang.

Selain fail-fail umum seperti dokumen, ISO, dan perisian, filem-filem dan drama juga menjadi sasaran pengguna torrent.

Tidaklah kami mahu mempromosikan aktiviti ‘lanun’ ini, cuma laman yang kami ingin perkenalkan mempunyai reka bentuk menarik yang perlu dikongsikan.

Laman tersebut ialah WatchSoMuch.

WatchSoMuch memperoleh ‘publisiti’ pertamanya setelah laman Seven Torrents ditutup. Laman tersebut mengumumkan penutupan beserta pautan ke WatchSoMuch sebagai penggantinya.

Tidak sia-sia nampaknya kerana WatchSoMuch mempunyai pelbagai ciri dan pilihan yang membolehkan seseorang pengguna termaju atau advance user menerokai laman tersebut dengan penuh rasa kepuasan.

Terdapat tiga kategori utama yang terpapar di muka hadapannya iaitu Top Movies, New Movies, dan New TV Episodes. Bagi Top Movies, anda boleh klik pada pilihan Browse Top Movies, manakala bagi kategori New Movies dan New TV Episodes pula anda boleh klik pada Browse All.

Sebagai contoh, apabila anda klik pada Browse All (untuk New Movies), anda akan diberikan pelbagai pilihan dari senarai filem-filem terbaru yang dikemaskini setiap hari. Secara asasnya apa yang ‘diberikan’ adalah hasil indeks dari laman-laman torrent lain, tetapi pada saya itu tidak penting, kerana apa yang lebih penting ialah WatchSoMuch memberikan kemudahan kepada pengguna akhir dalam memilih kualiti terbaik.

Apabila anda pilih satu tajuk, anda boleh lihat pada tangkap layar di bawah akan bagaimana terperincinya reka bentuk dan pilihan. Terdapat filem-filem lain berkaitan terpapar untuk tatapan anda sekiranya anda berminat juga untuk muat turun.

Juga ada sinopsis filem, beserta trailer. Lengkap, seperti YTS cuma bezanya senarai fail torrent yang diberikan adalah lebih dari sekadar resolusi 720p dan 1080p (BluRay) apabila terdapat juga pilihan WebRip bagi filem-filem yang ‘sangat baru’ ditayangkan.

Apabila butang ‘Download’ diklik, dipaparkan pilihan lalai iaitu 720p dan 1080p, manakala jika anda klik pada Advanced, beberapa pilihan resolusi lain akan diberikan. ‘View All’ pula adalah untuk melihat kesemua jenis resolusi dan kualiti yang ada bagi filem atau drama tersebut.

Setelah itu, apabila resolusi dipilih, anda akan diberikan pula dengan pilihan kaedah muat turun, sama ada melalui pautan magnet ataupun muat turun fail .torrent. Juga terdapat sarikata bagi anda yang mahukan ia yang apabila diklik, anda akan dihalakan kepada laman Subscene.

Demikianlah laman WatchSoMuch yang menarik ini. Anda boleh terus ke pautan WatchSoMuch untuk mula memuat turun filem-filem yang anda sudah lama tercari-cari, dan akhir kata mohon jangan jadi leechers. Sila seed torrent tersebut sekurang-kurangnya ratio 1:1.

Views: 10

Iklan Newspaper Inline

ProtonVPN: Satu Servis VPN Yang Semakin Matang

0

Penggunaan VPN adalah bergantung kepada dasar kepercayaan. Tanpa kepercayaan kepada penyedia servis/khidmat VPN, pengguna akan tersepit antara rasa keperluan dan hak penjagaan privasi serta keselamatan data.

Kontroversi, skandal, bukan perkara baru dalam arena ini. NordVPN dan ProtonVPN pernah dikaitkan dengan Tesonet, sebuah syarikat penggalian data. Cuma sebagai media dan pengulas, kami tidak boleh berat sebelah dan hanya mendengar dari sebelah pihak. Atas sebab itu kami dapatkan jawapan dari pihak ProtonVPN/ProtonMail dan ini merupakan apa yang mereka kongsi di Twitter rasmi pada Jun lepas.

Selain dari hal ini, rekod ProtonVPN adalah bersih. Bersempena berita terbaru mereka membuat kerjasama dengan Mozilla bagi menawarkan plan VPN kepada sebilangan kecil pengguna rawak, kami berasa terpanggil untuk mencuba dan mengulas mengenai servis ini.

Pertama sekali, aplikasi (Windows) ProtonVPN mempunyai pilihan dua paparan antaramuka, iaitu paparan beserta graf trafik, sesi trafik, dan peta lokasi. Manakala satu lagi ialah pilihan untuk menyembunyikannya (paparan minima).

ProtonVPN dengan paparan antaramuka penuh.

 

Paparan minima yang masih memberikan pilihan sempurna.

Seperkara yang perlu diketahui tentang ProtonVPN ialah ia masih baru. Dilancar pada 20 Jun 2017, ia diasaskan bagi melengkapi pengguna ProtonMail dengan sambungan rangkaian yang mempunyai enkripsi. Oleh itu tidak menghairankan sekiranya aplikasi bagi servis ini masih terasa seperti dalam status beta.

Namun dari penggunaan, soal sekuriti tidak lagi menjadi satu persoalan. Tiada isu ketirisan alamat IP sama ada melalui DNS, WebRTC mahupun IPv6.

Tiada ketirisan alamat IP melalui ujian.

Bagi aplikasi Android pula, agak menghampakan apabila ia hanya menawarkan protokol IKEv2, tanpa OpenVPN. Tetapi ia masih ada ciri istimewa yang diwarisi dari klien Windows iaitu ‘Secure Core’.

Secure Core pada saya adalah sama seperti ciri ‘Double VPN’ pada NordVPN, iaitu rangkaian yang bersambung kepada dua lapisan pelayan VPN. Ini meningkatkan lagi tahap sekuriti, namun dalam masa yang sama berkemungkinan kelajuan akan ‘terkorban’.

Saya petik kata-kata dari seorang rakan, “Hendak dapatkan sesuatu, kena korbankan sesuatu”.

Satu ciri yang saya paling suka ada pada ProtonVPN ini ialah pelayan premium mereka yang dilabel dengan huruf P, boleh digunakan untuk strim laman-laman yang telah menyekat servis VPN seperti Hulu dan Netflix.

Setakat ini tiada masalah sama ada di Windows, atau di Android. Hulu dan Netflix dapat distrim dengan lancar sekali.

Selaku pendatang baru, ciri ini amatlah dialu-alukan dan boleh dikatakan juga ia agak mengagumkan kerana contoh servis VPN veteran seperti Private Internet Access juga masih belum menyokong ciri ini.

ProtonVPN digunakan untuk strim Netflix.

 

ProtonVPN digunakan untuk strim Hulu.

 

Adakah anda patut langgan ProtonVPN?

Jika anda tanya saya, ProtonVPN dapat memberikan kepuasan dari segi paparan antaramukanya, yang mana walaupun kelihatan agak ‘sibuk’ dengan pelbagai indikator trafik dan peta yang tidaklah menambah fungsi signifikan, namun saya lebih menggemari paparan seperti itu kerana ia lengkap dengan info-info yang saya suka, seperti berapa banyak bandwidth yang telah saya gunakan pada hari itu.

Juga tidak dilupakan ciri sokongan laman penstriman seperti Netflix yang agak jarang sudah didengarkan implementasinya pada sesebuah servis, menjadikan ia ciri terbaik selain sekuriti yang mantap.

Kalau pun ada kekurangannya, saya cuma berharap protokol OpenVPN akan ditambah pada klien Android dan rangkaian lebih stabil apabila permulaan ketika membuka aplikasi Hulu (kerap berlaku ralat). Ya, setakat ini, itu sahaja perkara yang saya ingin pembangun perbaiki di rilisan akan datang.

Langgan ProtonVPN: ProtonVPN

Views: 5

Iklan Newspaper Inline

Pewdipie Vs T-Series : Pengakhiran Takhta Sang Raja Youtube?

0

 

Setelah hampir 7 tahun di puncak dan dinobat sebagai “Raja YouTube“, bintang popular dari Sweden, Felix Arvid Ulf Kjellberg ataupun lebih dikenali sebagai PewDiePie mungkin akan benar-benar kehilangan takhtanya pada kali ini. Saluran YouTube beliau kini dicabar dekat oleh pencabarnya, saluran T-Series dengan jumlah perbezaan pengikut kurang dari 500,000 orang.

Sepanjang 7 tahun dinobat sebagai Raja YouTube, bintang ini tidak asing dengan pencabar untuk merebut takhtanya di samping beberapa kontroversi yang telah sedikit sebanyak menggugat reputasi dan kedudukan beliau di tangga YouTube.

Pengikut setia pastinya masih ingat bagaimana saluran PewDiePie mula melonjak dengan pantas ke tangga teratas melalui videonya bermain permainan video Happy Wheels dan juga beberapa permainan video seram yang lain seperti Amnesia dan SlenderMan. PewDiePie telah menjadi pelopor genre video yang merakam pengalaman dan permainan video di YouTube yang mana pada ketika itu masih lagi dianggap sebagai suatu perkara yang mengarut. Boleh juga dikatakan, tanpa PewDiePie, mungkin tiada Twitch pada hari ini.

 

 

Sebelum ini juga, banyak juga kontroversi yang melanda bintang ini seperti mana kontroversi dengan laman khidmat Fiver di mana PewDiePie telah menggunakan khidmat Fiver untuk membuat video ucapan “Hitler did nothing wrong” (Hitler tidak membuat sebarang kesalahan). Tindakannya itu telah menangkap perhatian hampir kesemua media massa dunia yang telah melabelkan tindakannya itu sebagai anti-semantik ataupun anti-yahudi walaupun PewDiePie berkali-kali menafikannya dan menjelaskan tindakannya itu hanya sekadar untuk berjenaka. Hasil kontroversi ini, rancangan YouTube premiumnya, Scare PewDiePie Season 2 juga telah dibatalkan.

Tidak lupa juga pencabarnya yang lalu, saluran YouTube Ryan’s ToyReview yang telah mendapat pengikut dengan terlalu pantas tetapi akhirnya tetap gagal menyaingi jumlah pengikut saluran PewDiePie walaupun telah diiklankan dan dicanang dengan hebat sebagai saluran yang akan menyaingi saluran PewDiePie dengan mudah pada bila-bila masa.

Namun lain pula dengan pencabarnya pada kali ini iaitu T-Series yang merupakan sebuah syarikat korporat dari India dengan formula kejayaan yang betul dan sasaran penonton yang betul. Bagi yang belum mengenali T-Series, saluran T-Series menyajikan kandungan video muzik India yang mana menjadi kegemaran masyarakat India. India juga, seperti yang kita ketahui, mempunyai jumlah penduduk sebanyak 1.3 bilion. Di atas kerja sahaja, T-Series kelihatannya hampir pasti mampu memintas PewDiePie dalam masa terdekat ini.

 

Felix bersama tunangya, Marzia telah bersama melancarkan jenama pakaian mereka sendiri, “Tsuki”.

 

Berbeza dengan PewDiePie, T-Series tidak perlu bersusah payah menghasilkan kandungan original mereka sendiri dan juga tidak perlu berhati-hati dengan muat naik mereka supaya digemari penduduk di serata dunia. Mereka dengan mudah sahaja berjaya dengan “niche” mereka sendiri yang memfokuskan satu golongan sahaja.

Setelah 7 tahun dinobat sebagai Raja YouTube, dan telah berjaya mengharungi pelbagai siri kegagalan dan kontroversi seperti Revel Mode, Adpocalypse, dan juga pelbagai fitnah sensasi daripada pelbagai media massa, PewDiePie telah menjadi ikon yang bagus secara keseluruhannya. Malahan, tunangnya, Marzia juga telah membuat video berjudul “Goodbye Youtube” yang mengatakan beliau akan berhenti dari membuat video YouTube baru-baru ini.

 

Marzia Bisognin, 26, mengumumkan akan berhenti daripada membuat video YouTube.

 

Setelah berjaya menempatkan diri di dalam senarai penggiat YouTube terkaya di dunia, menjadi duta, model, dan juga menghasilkan produk pakaian mereka sendiri, PewDiePie dan Marzia kelihatan tidak takut dengan perebutan ini. Tidak dinafikan, PewDiePie telah menjadi pengaruh besar dalam dunia internet dan telah berjaya menjadi jenamanya tersendiri.

Selamat maju jaya, Pewds.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

MyTV Tiada Siaran? Adakah Ia Akan Ditamatkan?

0

 

Pada 11 Oktober 2018 yang lalu, laman Facebook Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung gangguan siaran dan perkhidmatan Televisyen Terestial Digital (DTT), MyTV. Pengguna dan kawasan yang terjejas akan mendapati dekoder MyTV mereka akan menunjukkan kod ralat dan pemberitahuan tiada signal.

 

Kenyataan media yang disiarkan di laman Facebook rasmi MCMC.

 

Pada mereka yang terjejas, anda tidak perlu bimbang samada dekoder anda rosak, ataupun membuat perkiraan untuk menukar antena. Hal ini kerana, masalah siaran ini berpunca daripada masalah di pusat siaran DTT, dan bukan daripada masalah perkakasan pengguna. Pada yang masih belum biasa dengan terma “siaran digital” ini, siaran digital adalah siaran televisyen dengan format baru yang akan menggantikan format penyiaran televisyen tradisional iaitu format siaran analog.

 

Kenyataan media daripada MyTV di laman Facebook rasmi mereka.

 

Siaran digital adalah lebih baik dan moden berbanding siaran analog yang sudah ketinggalan zaman. Siaran digital memberikan gambar siaran yang lebih jelas dan terang berbanding siaran analog. Selain kualiti gambar, kualiti bunyi juga mempunyai penambahbaikan yang ketara. Dengan perkakasan elektrik di rumah yang semakin maju, siaran analog tidak lagi sesuai untuk digunakan bersama peralatan baru.

Contohnya, saiz televisyen. Rata-rata daripada pengguna sudah beralih daripada televisyen Tiub Sinaran Katod (CRT) yang lama kepada televisyen samada Paparan Hablur Cecair (LCD) atau Diod Pancaran Cahaya (LED). Malahan, hampir kesemua televisyen moden sudah dihasilkan menggunakan skrin LED. Televisyen dengan skrin LCD atau LED mempunyai saiz dan definisi yang jauh lebih tinggi daripada televisyen dengan skrin CRT.

 

TV CRT. Masih ingatkah lagi TV ini?

 

TV LED yang lebih moden dan terkini.

 

Dengan siaran analog, paparan dan definisi yang tinggi ini akan terbazir kerana siaran analog tidak berupaya memancarkan isyarat gambar pada definisi dan kejelasan yang tinggi. Anda akan menonton siaran televisyen dengan gambar yang kabur walaupun anda telah membeli televisyen LED yang mahal!

Begitu juga dengan bunyi. Rata-rata pengguna juga memasang set pembesar suara tambahan pada televisyen mereka untuk bunyi yang lebih jelas dan kuat. Dengan siaran analog, keupayaan pembesar suara tambahan ini juga tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana definisi dan ketajaman bunyi yang rendah daripada siaran analog  berbanding dengan siaran digital.

Menurut sumber tidak rasmi, gangguan perkhidmatan ini berpunca daripada kelewatan pembayaran kepada vendor penyiaran DTT di kawasan yang terlibat. Sejauh mana kebenaran dakwaan ini tidak dapat dipastikan kerana masih tiada pengesahan daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Walau bagaimanapun, kami di Omg? Hackers! Berharap insentif kerajaan terdahulu ini akan diteruskan demi menuju Wawasan 2020 yang gemilang. Wawasan 2020 adalah buah fikiran bernas Perdana Menteri ke-4 kita. Diharapkan Perdana Menteri ke-7 kita akan memastikan agar insentif DTT ini dapat diteruskan sehingga ke tahap 100% liputan di seluruh negara seiring dengan harapan baru kerajaan untuk menghapuskan monopoli kapitalis dalam pelbagai bidang termasuklah bidang penyiaran televisyen.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

CyberGhost VPN: Servis VPN Elit Dengan Sedikit Kepincangan

0

CyberGhost bukan nama baru dalam arena servis VPN. Mereka telah lama berkecimpung bidang ini dan memberikan servis terbaik kepada pengguna.

Evolusi demi evolusi berlaku selama 7 tahun mereka memberikan khidmat. Dari klien asas, hinggalah versi 7 sekarang ini yang menyokong pelbagai ciri menarik, CyberGhost dilihat sebagai pesaing elit yang mampu bertapak tanpa goyah.

Tetapi bagaimana pula dengan penggunaan sebenar. Adakah klien dari servis ini punyai kelebihan tersendiri, selain negara bidang kuasa mereka iaitu Romania yang tidak terlibat dengan Five Eyes?

Jawapan ringkasnya, ya.

Klien VPN Pelbagai Ciri

Secara umum, pelbagai servis lain juga mampu melakukan apa yang dibuat oleh CyberGhost. Namun dengan rilisan versi 7, klien CyberGhost menciptakan jarak yang jelas antara apa yang mereka tawarkan dengan para pesaing.

Dari versi 6, CyberGhost menawarkan pelayan-pelayan berbeza bagi setiap fungsi berlainan. Antaranya ialah pelayan khusus untuk aktiviti torrent, penstriman, dan lain-lain pelayan umum. Ini berkemungkinan bertujuan untuk mengurangkan risiko pelayan ditutup akibat notis DMCA dari aktiviti muat turun fail torrent.

Pilihan Tetapan Sambungan

Klien CyberGhost juga ada beberapa pilihan bagi pengguna termaju yang mahu mencuba sesuatu yang baharu pada VPN.

Pilihan tersebut adalah kebolehan klien untuk menyekat iklan pada laman-laman sesawang, sekatan terhadap laman berniat jahat, sekatan kepada penjejakan, pengalihan HTTPS automatik, serta pemadatan data bagi mereka yang ingin menjimatkan penggunaan bandwidth.

Ianya boleh diaktif dan dinyah aktif mengikut cita rasa pengguna. Sekiranya salah satu pilihan menyebabkan kelajuan berkurangan, maka nyahaktifkan ia tanpa ragu.

Sokongan Laman Penstriman (Netflix, Hulu, dsb)

Anda suka dengan Netflix? ‘Melekat’ dengan Hulu selepas menonton Ghosts Adventures?

Jangan bimbang. CyberGhost menyokong pelbagai laman penstriman dan boleh strim tanpa masalah. Hanya perlu pilih salah satu dari pelayan ‘For streaming‘, klik untuk disambungkan kepadanya dan anda boleh strim tanpa dikesan menggunakan VPN sebagai pengantara.

Isu Sekuriti?

Anda tidak perlu bimbang. Setakat pengujian selama sebulan menggunakannya, belum pernah lagi ada isu ketirisan DNS, IPv6, dan lain-lain masalah melibatkan sekuritinya.

Apa yang buat saya kurang berkenan dengan CyberGhost VPN ialah bagaimana cara mereka menguruskan log masuk dan muat turun senarai pelayan (server list retrieval).

Ini adalah satu-satunya ‘kepincangan’ atau kekurangan yang dinyatakan pada tajuk.

Jika anda menggunakan CyberGhost pada rangkaian rumah (fiber), rangkaian pada telefon, maka ia tidak akan ‘bermasalah’. Masalah wujud apabila anda cuba untuk menggunakannya pada rangkaian yang disekat dengan firewall. Anda akan bersusah-payah dan ‘bergelut’ untuk membolehkan ia log masuk.

Selepas dapat log masuk, anda akan dapati bahawa ia gagal memuat turun senarai pelayan kerana firewall tidak membenarkan ia melepasi sekatan. Melainkan hanya dengan cara anda;

  1. Hapuskan/nyahpasang firewall yang digunakan di pejabat, atau
  2. Format PC pejabat, putuskan sambungan pada domain, dan buat seperti PC sendiri,

Maka anda tidak akan dapat gunakan VPN ini. Masalah ini saya dapati berlaku juga kepada ExpressVPN (bagi log masuk), namun setelah berjaya log masuk, tiada masalah lagi untuk mencipta sambungan VPN.

Ini tidak berlaku kepada CyberGhost. Saya telah menghubungi wakil mereka tentang hal ini namun dari respon yang saya dapat, ia seolah-olah isu yang tidak boleh mereka perbaiki.

Jadi, adakah patut anda langgan CyberGhost VPN?

Patut, jika anda suka kepada torrent, suka strim Netflix, Hulu, dan pelbagai laman penstriman yang lain, serta inginkan VPN premium dengan pelbagai ciri menarik.

Manakala tidak patut pula, jika anda ingin menggunakan ia di pejabat, sekolah, atau lain-lain tempat yang mempunyai sekatan terhadap rangkaian. Bagi tujuan itu, TorGuard adalah lebih disarankan.

Langgan CyberGhost beserta promo/diskaun melalui pautan ini: CyberGhost VPN Promo

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Winamp 5.8 Dilepaskan Secara Rasmi Dengan Sokongan Windows 10

0

Beberapa hari lepas kita dikejutkan dengan berita kembalinya Winamp ke persada dunia audio. Serentak dengan itu tersebar juga versi tertiris yang telah dimuat turun oleh ramai peminat.

Terbaru, Radionomy mengumumkan pelepasan Winamp versi 5.8 secara rasmi dengan sokongan terhadap Windows 8.1 dan Windows 10.

Quote post dari Winamp:

A leaked version of Winamp 5.8 recently spread over the Internet. Consequently, we have decided to make this new version available to you, revised by us.

We therefore recommend that you download this version rather than any other as we guarantee it is safe for you to use.

This version is not an ongoing project but be sure that we are currently working hard on a future new Winamp.

Jika anda berminat hendak mendapatkan Winamp 5.8, anda boleh terus muat turun dari laman rasmi Winamp di sini: Winamp

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Mozilla Bekerjasama Dengan ProtonVPN Bagi Menawarkan Plan Langganan VPN Premium

1

Langkah menawarkan atau mengimplementasi VPN ke dalam pelayar web bukan benda baru. Opera telah lama melakukannya, dengan kerjasama dari SurfEasy.

Terkini, Mozilla melakukan kerjasama dengan ProtonVPN dalam usaha mereka menawarkan plan langganan VPN bertujuan meningkatkan sekuriti dan privasi pengguna.

Cuma VPN ini bukanlah berbentuk embedded pada pelayar web seperti Opera, sebaliknya ia dipasang seperti biasa kepada sistem operasi yang sedang digunakan.

Buat masa ini ia ditawarkan kepada sebilangan kecil pengguna dari Amerika Syarikat.

Mereka yang ditawarkan akan mendapat popup seperti di bawah.

Setakat ini apa yang pasti dari tangkap layar yang dikongsikan oleh Mozilla, harga bagi langganan adalah 10USD.

Menurut Mozilla, sebahagian dari bayaran langganan ini akan digunakan untuk pembangunan Firefox.

Sumber: Mozilla

Views: 2

Iklan Newspaper Inline