Munafik 2 : Baik, Namun Tidak Sebaik Filem Munafik

Saya telah menonton Munafik pada tahun 2016 yang lalu, dan baru-baru ini pada Sabtu lepas, saya berkesempatan menonton Munafik 2 bersama isteri saya di IOI City Mall Putrajaya. Saya mengakui memang ramai menonton sehingga penuh sampai ke kerusi hadapan. Namun, ini adalah sedikit coretan ulasan saya tentang filem ini.

SINOPSIS

Dua tahun selepas peristiwa dalam filem pertama, lautan kehidupan Ustaz Adam (Syamsul Yusof) kembali tenang selepas dihantui oleh peristiwa kematian isteri dan anaknya. Dia mula menjadi pendakwah bebas dan meneruskan tanggungjawab membantu golongan yang terkena gangguan sihir/jin di merata tempat.

Ujian yang menimpa sebelum ini telah mengajarnya untuk lebih tawadhu’ kepada Ilahi. Namun apa yang mengelirukan, Adam sentiasa dihantui dengan imbasan-imbasan silam tentang kematian Maria. Adam juga sering didatangi seorang wanita misteri yang mempersoalkan tentang keimanan dan takdir Tuhan. Dalam masa yang sama, di seberang kampung tinggal seorang wanita bernama Sakinah (Maya Karin) dan anak perempuannya, Aina.

Sakinah terpaksa menjaga anaknya yang mengidap penyakit misteri. Kehidupan Sakinah yang daif memberi tekanan kepadanya ditambah pula dia dan anaknya itu beberapa kali diganggu syaitan. Sakinah percaya apa yang dihadapinya berpunca dari Abu Jar (Nasir Bilal Khan), seorang lelaki munafik dan ketua ajaran sesat di kampung yang sama. Abu Jar mempunyai pengikut yang ramai dan digeruni penduduk kampung. Sakinah atau sesiapa sahaja yang masih berpegang pada ajaran Islam adalah musuh Abu Jar.

Abu Jar menggunakan sihir/jin untuk menghancurkan sesiapa yang tidak mengikut ajarannya. Ini memaksa Sakinah untuk mencari Ustaz Adam. Kedatangan Ustaz Adam ke kampungnya telah menimbulkan kemarahan Abu Jar. Adam bukan sahaja terkejut dengan apa sebenarnya yang berlaku pada keluarga Sakinah tetapi juga dengan ajaran sesat Abu Jar yang memesongkan akidah orang Islam di kampung itu.

ULASAN

Pertama sekali, ini bukan filem seram seperti mana yang saya jangka.

Ia adalah seperti filem dakwah Islamiah ‘versi Syamsul Yusof’. Kalau anda menonton Munafik sebelum ini, kreabiliti Ustaz Adam tidak ditonjolkan secara penuh namun dalam sequelnya, watak itu telah ditonjolkan dengan lebih lagi apabila dia selalu diperlukan pada banyak situasi. Beliau telah menyuntik sedikit elemen filem seram lama yang saya rasakan agak berjaya.

Ustaz Adam merupakan satu karekter yang ‘hidup’. Selain itu, tidak lupa juga kepada Sakinah (Maya Karin), dan Abu Jar (Nasir Bilal Khan). Watak jahat dalam filem ini sangat berkesan dan berjaya membuatkan penonton rasa geram terhadap mereka terutamanya Umar (Fauzi Nawawi).

Dari segi latar (pemilihan) tempat, VFX, dan lain-lain pada saya ianya harus dipuji kerana Syamsul mendapatkan hasil akhir yang lebih baik daripada filem sebelum ini. Saya harus puji juga yang sebenarnya beliau menaik taraf dirinya menjadi seorang pengarah berdedikasi apabila membacakan beberapa potongan ayat Al-Quran dengan betul (jarang dapat dilihat pada zaman ini – ya, ia realiti pahit).

Kalau dilihat filemnya sekarang lebih berkisar kepada kepentingan mengikuti Al-Quran dan Hadith. Namun begitu terlalu mudah orang meramal apa yang bakal berlaku seterusnya. Sedikit plot twist di hujung filem merancakkan kembali reaksi penonton.

KELEMAHAN

Saya agak bersetuju juga dengan beberapa post dari rakan Facebook yang mengatakan bahawa Munafik 2 tidak lebih dari sekadar filem KL Gangster versi Islamik.

Anda cuba tukarkan watak Shark bertutur dengan kata-kata dakwah, sambil memakai kopiah, maka itulah yang akan anda dapat dalam Munafik 2. Terlalu banyak dialog-dialog kaku yang tidak perlu, serta tidak berpaksi kepada realiti.

Diibaratkan anda bayar harga tiket wayang, selain untuk kepuasan menonton filem bolehlah juga dikatakan anda membayar untuk mendengar ceramah agama sepanjang-panjangnya.

Begitulah diibaratkan betapa banyaknya dialog-dialog ‘keagamaan’ yang sekali lagi (pada saya) tidak kena pada tempatnya.

Babak-babak tidak logik seperti tahap kebodohan orang kampung yang teramat mudah percaya dengan Abu Jar juga sangat mengecewakan, di mana kelihatan mereka seakan hanya berada di set penggambaran untuk menjadi pak pacak semata-mata. Dialog yang sepatutnya diberikan lebih banyak kepada orang kampung tidak pula diberi, manakala kemunculan Abu Jar yang hanya menuturkan kata-kata berbentuk villain versi ‘munafik’ menambah kebosanan.

Tidak ada seorang pun dari orang kampung yang terfikir untuk membuat laporan polis. Seriuslah?

Tidak dilupakan juga realiti ajaran sesat diasaskan oleh Abu Jar yang tampak tidak beberapa ‘wujud’ dan tida dekat dengan realiti, kerana jika hendak dibandingkan dengan ajaran kerajaan langit oleh Ayah Pin (contoh), kita boleh lihat sendiri Ayah Pin tidak mengenakan pakaian melampau. Cukup sekadar berbaju T beliau dapat mengumpulkan jemaah pengikut yang ramai dari serata pelusuk negeri dan bangsa, manakala Abu Jar pula mengenakan jubah hitam serta bertongkat, dan pengikutnya hanya berskala kecil, dari kalangan bangsa Melayu sahaja.

Di akhir filem, kekecewaan saya untuk melihat Abu Jar ditembak mati oleh pihak berkuasa polis atau tentera tidak kesampaian – cukup setakat itu untuk mengelakkan spoiler.

Penarafan Durian Buruk:

6.5/10.

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x