Utama Blog Laman 79

Pengguna Pixel Paling Ramai Curang!: “Awak Terlalu Baik Untuk Saya, Pixel”

0

Samsung Mengalami Kesukaran Mengekalkan Kesetiaan Pengguna Galaxy, Tetapi Pixel Umpama Dicerai Talak Tiga!

Kebanyakan daripada kita sememangnya mempunyai kegemaran masing-masing. Tempat kegemaran, restoran kegemaran, masakan kegemaran, artis kegemaran malah banyak lagi. Susah untuk seseorang itu mengubah citarasa mereka setelah mereka mula sukakannya. Seperti juga cinta pertama anda, sukar untuk melupakan si dia bukan?

Lain pula yang terjadi pada Google Pixel dan Samsung Galaxy, ternyata cinta pandang pertama adalah cinta yang paling disesali. Menurut satu kajian yang dilakukan oleh SellCell, pengguna pertama peranti Google Pixel mempunyai kecenderungan tertinggi untuk beralih kepada jenama lain berbanding pengguna telefon jenama pesaing.

Sumber: Samsung News

25% pengguna Samsung mengatakan mereka akan membeli telefon lain selepas ini. Pixel? 35%! Bagaimana pula dengan Apple? Hanya 8% sahaja yang akan membeli telefon jenama lain untuk menaik taraf telefon baru mereka.

Pengguna kedua-dua jenama Samsung dan Google ini mengakui akan bertukar kepada jenama lain dalam pembelian telefon mereka yang berikutnya. Dalam erti kata lain, Apple masih lagi selesa dengan hasil kajian mendapati 92% daripada pengguna Apple bersetuju untuk kekal bersama Apple dalam pembelian telefon mereka yang akan datang.

Google Pixel 3
Sumber: Camera Jabber

Google Pixel, yang dahulunya lebih dikenali sebagai telefon mercu kini dilihat kehilangan fokus dalam penghasilan telefon mereka yang terbaru. Saya sendiri contohnya, setia bersama Google hanya sehingga generasi ketiga mereka sahaja. Masuk kepada Pixel 4, bagi saya tiada lagi keistimewaan pada Google Pixel.

Tidak ramai yang berani mengkritik Google Pixel kerana peminat susah mati mereka antara yang paling toksik di media sosial yang pernah saya jumpa. Akui sahajalah, Google Pixel adalah peranti eksperimen dan mereka akan terkubur sama seperti projek Google yang lain kerana kedegilan mereka.

Google Pixel XL
Sumber: NotebookCheck
Google Pixel 2
Sumber: The Verge

Pengalaman Saya Sebagai Pengguna Pixel

Saya hadapi masalah yang sama daripada Pixel XL (OG Pixel) hingglah kepada Pixel 3 saya. Mereka panas, memori RAM yang kecil dengan pengurusan memori yang agresif, dan keupayaan kamera yang terbatas kerana hanya hadir dalam 1 kamera sahaja. Secara puratanya, spesifikasi perkakasan mereka sangat terbatas.

Masalah utama yang paling menyakitkan hati saya adalah masalah kepanasan. Apa guna GCam yang dibanggakan itu sekiranya telefon saya terpadam dengan sendiri hanya selepas 2-3 minit merakam video kerana telefon saya terlalu panas? Permainan video jadi mustahil dan panggilan telefon menjadi proses yang menjengkelkan kerana ia jadi terlalu panas untuk muka saya.

Google Pixel 4
Sumber: NotebookCheck

Begitu juga penawaran sandaran penyimpanan gambar pada kualiti asal secara percuma di Google Photo. Google akhirnya membuang sokongan ini pada peranti mereka mulai Google Pixel 4 dan seterusnya. Google Pixel 4 bagi saya secara peribadi seolah-olah satu hukuman daripada Google kepada pengguna Pixel. Hanya kerana mempunyai pendapat sendiri tentang bagaimana telefon Pixel yang lebih baik. Mana tidaknya, Google akhirnya mendengar permintaan peminat untuk terus mendapatkan cipset mercu Snapdragon 855 yang baru, 2 kamera dan warna oren yang baru.

Tetapi, Google ibarat tidak berpuas hati dengan permintaan peminat mereka dengan memberikan Pixel 4 bateri yang kecil (2800mAh, tidak sampai 3000mAh!), tiada bicu audio, tiada kamera sudut ultra lebar (cuma telefoto yang mana tidak diperlukan sangat kerana ‘kehebatan’ GCam) dan tiada lagi penyimpanan gambar pada kualiti asal di Google Photo. Ia ibarat Google berikan anda separuh daripada apa yang anda mahu dan separuh lagi adalah jari tengah yang besar.

Google Pixel 5
Sumber: PC Mag Asia

Kita pergi pula kepada Pixel 5 yang mana satu kegagalan besar bagi saya. Sekali lagi, Google ‘mendengar’ permintaan peminat. Kini hadir dengan 3 kamera termasuklah kamera sudut ultra lebar. Bateri kini cukup besar. Sangat besar, pada 4080mAh (wow). Begitu juga dengan memori RAM yang kini dipertingkatkan kepada 8GB!

Tapi balasannya? Lubang pada skrin, MASIH lagi tiada bicu audio dan yang paling teruk, cipset pada peranti mercu baru mereka kini hadir dalam pakej pertengahan, Snapdragon 765G! Memburukkan lagi keadaan, Pixel 5 kini tiada lagi Neural Core, cip pemprosesan khas dari Google yang menguasai algoritma ajaib Google Camera yang hebat itu. Lebih lucu, Pixel 4A yang lebih murah turut menggunakan Snapdragon 765G yang sama!

Jadinya, Google cuma sekadar memasang perisian kamera yang berbeza pada Pixel 5? Seperti yang pernah saya katakan, Google masih lagi belum sedar daripada mimpi dan berbangga dengan keajaiban perisian mereka baik daripada segi kamera mahupun sistem operasi Android pada Pixel mereka. Pada masa yang sama, pesaing mereka sudahpun maju ke hadapan dengan perisian yang sentiasa ditambah baik seiring dengan keupayaan perkakasan yang berkuasa.

Masih Adakah Harapan Untuk Pixel?

Kini, ura-ura Google Pixel 6 masih belum kedengaran. Akan tetapi, saya hampir pasti, Pixel 6 akan hadir bersama SoC kelas pertengahan lagi tanpa Neural Core. Tekaan saya, sudah tentulah Snapdragon 780G yang baru. Dikatakan, Snapdragon 780G mempunyai kuasa melebihi Snapdragon 855 dan kurang daripada Snapdragon 865. Snapdragon 780G ini juga dilengkapi dengan tiga ISP yang berupaya memproses gambar daripada 3 kamera sekaligus.

Di atas kertas, Snapdragon 780G sudah cukup berkuasa dan memadai untuk sebuah telefon yang bagus. Tetapi untuk sebuah peranti mercu dengan harga yang sangat premium, adakah anda akan berpuas hati dengan hanya sekadar cipset kelas pertengahan? Sedangkan, ada telefon lain di pasaran dengan harga yang lebih murah di pasaran dilengkapi dengan SoC mercu terkini Snapdragon 888 dan mempunyai kamera yang tak kurang hebatnya daripada Pixel?

Sudah lah kemaskini pun terhad. Pixel 3, walaupun menggunakan Snapdragon 845, tidak lagi akan diteruskan kemaskini pada tahun depan. Kemaskini Pixel hanya selama 3 tahun sahaja walau kononnya Google penuh dengan magis dalam pengaturcaraannya. Untuk perbandingan, iPhone 5s yang dilancarkan pada September 2013 masih lagi menerima kemaskini daripada Apple pada bulan Mac 2021!

Google Pixel 6 ini mungkin akan jadi penentu sama ada siri Google Pixel akan kekal relevan ataupun tidak.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

XROUND VERSA : Selesa Di Telinga, Ringan Di Poket

0

Kita bertemu lagi dalam segmen ulasan dari OMGHackers. Kali ni Mamu berpeluang berkolaborasi dengan XROUND untuk ulasan TWS depa iaitu XROUND VERSA. Sebelum kita mulakan, mai Mamu ceritakan sedikit latar belakang XROUND ni pada hangpa semua.

XROUND diasaskan oleh sekumpulan audiophile dari Taiwan dengan kepakaran dalam bidang kejuruteraan audio, penyesuaian bunyi dan reka bentuk produk akustik. Mereka memanfaatkan kepakaran depa dalam bidang pemprosesan isyarat digital (DSP) untuk membuat penaiktarafan teknologi seperti Sistem Suara Realiti, Teknologi Talaan Akustik 3D, dan Sistem Auditori AI. 

Spesifikasi

Versi Bluetooth : Versi 5.0 / Kelas 2

Pengekodan Bluetooth : SBC, AAC, aptX

Cip Pemprosesan Audio : Qualcomm QCC3020

Protokol Penghantaran : AVRCP1.6 / HSP1.2 / HFP1.7 / A2DP1.3.1 / cVc 8.0

Unit pemandu : Diafragma PET bersalut titanium kalis air bersaiz 6mm

Tindak balas frekuensi : 20 ~ 20,000 Hz

Kepekaan : 103dB

Galangan : 16Ω

Mikrofon : 2 × MEMS

Jarak penghantaran : 10m / maksimum 25m

Hayat bateri : 8 jam / hayat bateri termasuk kotak pengecas 32 jam

Input kotak pengecasan : Type-C

Pengecasan tanpa wayar : memenuhi standard Qi

Klasifikasi kedap habuk & kalis air : IP67

Berat alat dengar tunggal : 4.5g 

Kotak pengecasan : 40g

Kotak VERSA ni didatangkan dalam warna hitam dengan produk terpampang jelas diluar kotak pembungkus depa. Rekabentuk yang kemas bagi Mamu dengan penampilan eksklusif. Mai kita tengok video yang Mamu dah hasilkan untuk hangpa tengok.

Bila hangpa buka kotak, hangpa akan disambut dengan garisan warna-warni. Apa fungsi ni? Depa ni kreatif bila hangpa buka kotak, garisan tu akan jadi corak gelombang bunyi yang depa kata corak gelombang XROUND VERSA bila disebut.

Bila hangpa buka kotak, hangpa akan terima earfins disebelah kiri, TWS tu ditengah, eartips extra dan juga quick start guide & kad waranti.

Ini semua yang hangpa bakal dapat dalam kotak :

  • TWS XROUND VERSA
  • Kabel Type-C
  • Noise Isolating Eartips (Saiz S & L)
  • SpinFit Eartips (Saiz S, M & L)
  • Earfins (Saiz S & L)
  • Manual


Kabel Type-C dengan earfins disertakan dari saiz L,S dan hat takdak fins. Saiz M telah tersedia terpasang kat TWS.

Noise Isolating Eartips disertakan sekali juga kalau saiz M terlalu kecik atau besar untuk hangpa. Mamu tak pakai hat nih. Mamu pakai hat lagi satu.

SpinFit Eartip yang disertakan. Banyak review kata eartip nih sedap & selesa pakai. Terbukti apa depa kata tu betul. Depa bagi 3 pasang saiz S,M dan L. Hangpa dah jimat tak perlu beli eartip lain dah.

User guide disertakan sekali. Hatni bukan jenis buku tapi macam lampiran. Ada beberapa bahasa dalam user guide ni siap bergambar. Senang untuk hangpa paham cara penggunaan VERSA.

Rekabentuk kotak simpanan VERSA berbentuk pil ni Mamu suka. Senang nak bawa pi mana-mana. Depa gunakan material jenis plastik keras dan terbukti tahan lasak bila anak-anak main baling. (haih la anak-anak)

Walaupun kotak penyimpanan VERSA tak menggunakan magnet seperti TWS dari jenama lain, bonggol pengunci dia memang selamat. Hangpa kena gunakan sedikit tenaga dalaman untuk membukanya. Kalau kotak ni jatuh sekali pun, kotak dia takkan terbuka. Kualiti yang bagi Mamu dikelas tersendiri. (ada gunanya eksperimen anak-anak main baling kotak nih)

Dari sudut pengecasan, depa menggunakan port Type-C. Tidak dilupakan VERSA menyokong pengecasan tanpa wayar. Berbaloi untuk hangpa yang memang suka produk yang menggunakan pengecasan tanpa wayar.

Rekabentuk VERSA ni kompak dan paling penting amat ringan bagi Mamu. Disini hangpa boleh tengok kedudukan mikrofon dalam segitiga tu dan reka jalur pada VERSA untuk kesenangan hangpa nak tekan fungsi kawalan.

Selama sebulan Mamu pakai VERSA ni apa yang dapat Mamu katakan ni antara TWS yang paling selesa Mamu pakai dan ear fatigue tidak timbul.Cangkuk telinga banyak membantu kedudukan VERSA ni dan tidak akan ada ketidakselesaan dalam penggunaan jangka panjang. Mamu dah cuba pakai masa naik motor dan tiada rasa bebanan bila pakai helmet.

Di bawah logo “XR” terdapat butang fizikal tersembunyi yang menyokong operasi seperti bermain, berhenti sebentar, dan langkau lagu. Perlu disebutkan juga bahawa ia menyokong kawalan kelantangan. Satu ciri yang jarang ada pada TWS pada harga ni. Tekan pendek butang telinga kanan tiga kali untuk menambah kelantangan dan kiri untuk mengurangkan kelantangan. Cukup praktikal untuk hangpa yang tak suka keluarkan telefon hangpa nak tetapan kelantangan audio. Walaupun menekan butang fizikal ni mengambil masa sedikit nak sesuaikan penggunaannya, fungsi ni amat baik bagi Mamu yang memang kuat berpeluh lagi-lagi kalau hangpa jenis bersukan seperti berlari atau berbasikal. Ini dapat mengelakkan masalah sentuhan tidak sengaja semasa hangpa beriadah.

Dari segi penghasilan bunyi pula XROUND VERSA menggunakan pemandu bersalut titanium kalis air 6mm, menggunakan cip pemproses Qualcomm dengan sokongan APTX untuk memastikan audio berkualiti tinggi dapat dihasilkan. Ini dapat dilakukan melalui Teknologi Akustik 3D XROUND di mana ia menyesuaikan gema suara melalui Peluruhan Spektrum Kumulatif 3D yang juga dikenali sebagai CSD, untuk memberi anda suara yang lebih optimum menggunakan pemproses digital Qualcomm Kalimba.

Lagu yang Mamu dengar untuk VERSA ni ada dalam playlist dibawah. Kalo hangpa nak layan, silakan naa.

VERSA ni menerima penalaan bunyi yang cantik dan menyenangkan. Kesan suaranya tidak terlalu berlebihan & penyesuaian dinamik, timbre dan vokal tepat untuk menjadikan ia sesuai untuk mendengar lagu ataupun menonton. Vokal yang dihasilkan tenang dan bertekstur. Mendengar lagu Hard To Say I’m Sorry – Az Yet feat Peter Cetera, paduan suara lebih menarik dan kejelasan agak ketara.

Muzik rentak berat seperti lagu King For A Day – Pierce The Veil cukup dinamik dengan kejelasan setiap instrumen lebih lagi jeritan Kellin Quinn dalam lagu ni. Walau bagaimanapun lagu yang mempunyai bass berat mungkin tak mencukupi untuk bass head luar sana. Untuk Mamu bass dia secukup rasa & kemas tanpa ada bunyi muddy seperti contoh lagu Call Me A Spaceman – Hardwell Feat Mitch Crown. 

Perincian muzik, jarak dan rasa ruang lebih merupakan kekuatan VERSA. Teknologi penalaan 3D dijangkakan. Mamu mainkan lagu Hotel California – Eagles perasaan stereoskopik dan jarak alunan gitar saluran kiri dan kanan cukup bagus dan instrumen dalam lagu ni jelas dan terperinci. Boleh dikatakan medan suara agak tiga dimensi dan membawa pengguna ke dalam ruang audio yang agak luas seperti dalam dewan kecil.

Kesimpulan

XROUND VERSA merupakan TWS yang berkebolehan untuk membawa genre muzik yang hangpa dengar. VERSA yang ringan ni membuatkan Mamu selalu pakai setiap hari. Keselesaan menjadi tunggak utama dalam rekabentuk VERSA ni. Pada tanda harga RM 399 salah satu TWS yang bagi Mamu berbaloi untuk beli. Mana hangpa nak beli? Hangpa boleh klik pada pautan di bawah :

XROUND Malaysia

Xround Shopee

Sehingga bertemu lagi, Mamu signing out!

 

Views: 8

Iklan Newspaper Inline

Mortal Kombat Akan Ditayangkan Lewat Seminggu Dari Tarikh Asal

0

Seperti yang abam selalu katakan, filem zaman pandemik-belum-berakhir ini akan kerap dilepaskan secara ‘hibrid‘, iaitu tayangan di kedua-dua platform tontonan – panggung dan servis penstriman.

Selepas Zack Snyder’s Justice League, Godzilla vs Kong, sekarang kita sedang menantikan pula Mortal Kombat.

Mortal Kombat ialah filem yang diadaptasikan dari permainan (konsol), dan sebelum ini ia pernah dijadikan filem pada tahun 1995. Malangnya dengan ‘kemajuan’ pada era itu, filem tersebut ‘flop’ dan dikritik sebagai antara filem paling teruk pernah dihasilkan.

Kini ia kembali, dengan pengarahan baru dan CGI lebih baik. Asalnya, filem ini dijadualkan untuk tayangan pada 16 April, namun Warner Bros membuat keputusan untuk melewatkan tarikh jadual bagi memberi laluan kepada Godzilla vs Kong untuk menggoncang dunia perfileman terlebih dahulu.

Oleh itu, tarikh terkini ialah 23 April, dan Mortal Kombat akan ditayangkan serentak di HBO Max.

Selepas itu pula, kita akan dipersembahkan dengan filem Spiral: From the Book of Saw, yang dijadualkan untuk tayangan pada 14 Mei.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Tiada Lagi ‘YouTube Rippers’ Selepas Ini?

0

Mahkamah persekutuan Virginia telah memutuskan bahawa pengendali laman ‘YouTube-rippers‘ dari Rusia iaitu FLVTO[dot]biz dan 2conv[dot]com boleh disaman di Amerika Syarikat.

Kebiasaannya, laman seperti ini digunakan untuk memuat turun kandungan video, atau menukar format video kepada MP3. Label rakaman utama percaya bahawa ‘penyalin’ kandungan YouTube adalah ancaman cetak rompak paling ketara di Internet.

Dalam pemfailan kes itu, pengendali laman itu Tofig Kurbanov sebagai defendan menentang UMG Recordings sebagai plaintif. Dengan bantuan pasukan perundangan berpengalaman, Kurbanov mengajukan usul untuk menggugurkan kes dengan alasan bahawa mahkamah AS tidak mempunyai bidang kuasa terhadap pengendali laman web Rusia yang menjalankan perniagaannya di luar AS.

Pada mulanya, mahkamah daerah bersetuju dengan pembelaan ini lalu menolak kes tersebut. Akan tetapi, label rakaman berjaya mengajukan bantahan, dan setelah petisyen Kurbanov di Mahkamah Tinggi ditolak, kes itu kini kembali dibicarakan di mahkamah daerah Virginia.

Memandangkan saman terhadap golongan pengendali ‘YouTube Rippers‘ ini sudah bermula di AS, tidak mustahil pengendali lain selain Kurbanov juga boleh disaman, dan ini boleh menjadi permulaan kepada penutupan laman-laman serupa.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

“The hierarchy of power in the DC Universe is about to change.” – Dwayne Johnson

0
Gambar dari: Entertainment Weekly.

Itulah dia ‘promo’ Dwayne Johnson yang juga dikenali sebagai The Rock dalam Instagramnya.

Seperti laporan kami sebelum ini, The Rock dikatakan ‘bertegang lidah’ dengan eksekutif Warner Bros kerana hasratnya yang ingin mengekalkan SnyderVerse.

Menurut sumber oleh Geckosity, ada beberapa pengertian yang dapat ditafsirkan dari ‘promo’ ini.

Tetapi antara yang paling menarik untuk diketahui ialah The Rock mempunyai lebih ‘kuasa’ pada suaranya dalam keputusan artistik mengenai Black Adam daripada eksekutif Warner Bros.

Ini kerana The Rock dikatakan mempunyai kebebasan kawalan kreatif (creative control) secara sepenuhnya ke atas filem Black Adam. Ini juga bermakna, apa yang diingini oleh The Rock akan lebih disebelahi atau disokong oleh AT&T.

Gambar dari: Entertainment Weekly.

Hasrat The Rock bukan hanya sekadar ingin ‘bertarung’ dengan Superman (Henry Cavill), tetapi juga keseluruhan anggota Justice League – secara khusus – Justice League versi Zack Snyder.

Jika benar ‘hierachy of power‘ dalam ‘DC Universe‘ (baca: Warner Bros) akan bertukar, harapannya di masa hadapan kita akan dapat melihat kempen #RestoreTheSnyderVerse menjadi kenyataan.

Filem Black Adam akan ditayangkan pada 29 Julai 2022.

Gambar dari: Entertainment Weekly.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

David Ayer Berharap Suicide Squad Arahannya Dilepaskan Untuk Tayangan (David Ayer’s Suicide Squad)

0

Perkara mustahil untuk Zack Snyder akhirnya menjadi realiti dan satu kejayaan buat beliau apabila filem arahannya (Zack Snyder’s Justice League) ditayangkan secara strim di HBO Max/HBO GO dan ia menggoncang seluruh struktur eksekutif Warner Bros.

Disebabkan tularnya filem Zack Snyder itu, David Ayer berharap perkara sama berlaku untuk dirinya.

Agak mengejutkan juga, kerana selepas keluarnya Justice League versi ‘panjang’ oleh Zack Snyder, peminat tidak ketinggalan juga membuat cubaan menularkan tanda pagar baru iaitu #ReleaseTheAyerCut.

Filem ini ditayangkan dahulu pada tahun 2016, iaitu setahun sebelum Justice League. Ia berjaya memperoleh 700 juta dollar seluruh dunia, namun gagal untuk mendapat ulasan baik dari kritik. Ayer mengakui kelemahan filem tersebut, dan berkata akan lakukan perkara berbeza, antaranya seperti menjadikan Joker sebagai watak penjahat utama.

Sayang sekali apabila Warner Bros kerap mencampur tangan dalam soal kreativiti pengarah dan melalui beberapa rakaman semula, mereka mengubah Suicide Squad menjadi filem yang lebih ringan.

Ayer kecewa, kerana namanya terpahat sebagai pengarah, tetapi beliau pasrah kerana semuanya adalah bisnes. Bagi pihak Warner Bros, mereka telah beralih ke projek Suicide Squad yang baru, dengan trailernya dilepaskan pada Jumaat lalu bertajuk James Gunn’s The Suicide Squad.

CEO WarnerMedia StudiosAnn Sarnoff baru-baru ini memberitahu Variety, “Kami tidak akan mengembangkan arahan David Ayer.”

Inilah dia masalahnya, apabila sesetengah ‘orang atasan’ Warner Bros cuba mengubah dan menjadikan DC sebagai klon Marvel!

Sumber: Exolore Entertainment

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Malware Android Generasi Baru Yang Menyamar Sebagai ‘System Update’

0

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, penyelidik Zimperium zLabs menunjukkan konfigurasi awan yang tidak selamat – di mana ia mendedahkan data pengguna di ribuan aplikasi Android dan iOS yang sah.

zLabs menasihatkan pengguna Android mengenai satu aplikasi Android baru yang pintar dan berniat jahat.

Perisian malware terbaru ini berbentuk aplikasi System Update yang dicipta untuk mencuri data, gambar, mesej dan rampasan kawalan ke atas keseluruhan telefon Android.

Setelah mengambil alih kawalan, penyerang akan dapat merakam panggilan audio dan telefon, melihat sejarah pelayar web (whops!), mengambil gambar dan mengakses mesej WhatsApp, antara pelbagai aktiviti yang lain lagi.

Penyelidik zLabs menemui aplikasi hasad System Update setelah mengesan aplikasi yang ditandai oleh enjin malware z9.

Setelah menjalankan siasatan, Zimperium zLabs mendapati bahawa ia merupakan kempen perisian pengintipan dengan kemampuan yang kompleks. Pihak Zimperium juga mengesahkan dengan Google bahawa aplikasi tersebut tidak pernah ada di Google Play Store.

Dengan senarai kemampuan kompromi yang luas, perisian hasad ini dapat;

  1. Mencuri mesej dari sistem pemesejan segera dan fail pangkalan data menggunakan root.
  2. Memeriksa penanda halaman dan carian penyemak imbas lalai, memeriksa penanda buku (bookmarks) dan sejarah carian dari pelayar web Google Chrome, Mozilla Firefox dan Samsung.
  3. Mencari fail dengan sambungan khusus seperti .doc, .docx, .pdf, .xls dan .xlsx.
  4. Memeriksa data papan keratan (clipboard) dan kandungan notifikasi.
  5. Mengambil foto berkala melalui kamera depan atau belakang.
  6. Melihat aplikasi yang dipasang.
  7. Mencuri gambar dan video.
  8. Memantau melalui GPS.
  9. Mencuri senarai kenalan telefon dan mesej SMS serta log panggilan.
  10. Mengekstrak maklumat peranti seperti nama peranti dan data simpanan.

Tambahan lagi, perisian hasad ini boleh ‘menyembunyikan kewujudan dirinya’ dengan menyembunyikan ikon dari menu peranti.

Malware ini berfungsi dengan cara bergerak dalam Firebase Command and Control (C&C) semasa pemasangan dari kedai aplikasi pihak ketiga (bukan Google Play Store), yang disenaraikan di bawah nama ‘update‘ dan ‘refreshAllData‘.

Untuk meningkatkan ciri kesahihannya, aplikasi ini mengandungi maklumat ciri asli seperti kewujudan aplikasi WhatsApp, peratusan bateri, statistik penyimpanan, jenis sambungan internet dan token perkhidmatan pesanan Firebase.

Setelah pengguna memilih untuk ‘mengemas kini’ maklumat yang ada, aplikasi ini akan menyusup ke peranti yang dijangkiti. Setelah menjangkitinya, C&C menerima semua data yang relevan, termasuk token Firebase yang baru dihasilkan.

Untuk mengumpul maklumat yang dicuri, satu pelayan C&C khas menggunakan ‘POST request

Komunikasi Firebase hanya digunakan untuk mengeluarkan perintah, manakala pelayan C&C khusus digunakan untuk mengumpul data yang dicuri dengan menggunakan ‘POST request‘.

Sumber: Zimperium

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

Dwayne Johnson Dilaporkan ‘Berkelahi’ Dengan WB Untuk Mengembalikan SnyderVerse

0

Kadang-kadang sukar nak faham kanak-kanak, tapi sebenarnya lebih sukar lagi nak faham ego orang dewasa.

Para peminat Zack Snyder akhirnya mendapat hajat yang mereka ingini apabila Justice League visi Snyder (Zack Snyder’s Justice League – ZSJL) dilepaskan ke HBO Max untuk tayangan.

Warner Bros (WB) dikatakan tidak berminat untuk menyambung legasi Snyder kerana mereka berhajat untuk ‘move on’ dan beralih ke agenda baru.

Tetapi disebabkan Justice League menerima sambutan hangat dari peminat dan kritik umumnya, lantas para peminat memulakan kempen baru iaitu #RestoreTheSnyderVerse sebagai usaha untuk mengembalikan visi Snyder dalam DCEU.

teh

Sumber dari pelbagai media yang sudah menemuramah orang penting WB, mendapatkan jawapan bahawa mereka mengakhiri keinginan peminat hanya setakat ZSJL sahaja – walaupun slogan mereka yang sering dilaung ialah kononnya mereka mendengar suara peminat.

Mungkin disebabkan itu, Dwayne Johnson a.k.a DJ a.k.a The Rock, masuk campur dalam hal ini.

Menurut beberapa maklumat dalaman baru yang menarik dari Small Screen, The Rock dilaporkan bertengkar dengan studio untuk mengembalikan SnyderVerse.

Beliau merupakan peminat ZSJL, sahabat kepada Henry Cavill, dan telah berusaha bertahun lamanya untuk ‘menentang’ Man of Steel sebagai Black Adam dalam DCEU.

The Rock juga merupakan peminat watak Jeremy Irons sebagai Alfred, dan sangat inginkan Black Adam lakonannya untuk berkongsi layar bersama orang gaji Batman itu.

Dwayne Johnson a.k.a DJ a.k.a The Rock dilaporkan telah menghubungi beberapa orang eksekutif di WarnerMedia dan menyatakan minatnya untuk mengekalkan SnyderVerse.

Terima kasih The Rock!

Sumber: Small Screen UK

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Boston Dynamics Stretch: Robot Khas Untuk Gudang

0

Boston Dynamics terkenal dengan robot ‘anjing’ mereka yang bernama Spot. Spot ialah sebuah mesin yang direka untuk berfungsi di pelbagai persekitaran, dari pelantar minyak luar pesisir hingga lombong bawah tanah yang dalam.

Terkini, mereka memperkenalkan pula barisan baharu robot mereka iaitu Stretch, robot khusus untuk tugasan dalam gudang.

Ia direka untuk untuk memindahkan kotak di gudang dan pusat pengedaran. Stretch tidak dimodelkan berdasarkan manusia atau haiwan, sebaliknya setiap perincian bentuknya ditala untuk praktikaliti.

Stretch mempunyai tapak mudah alih omni-directional yang kecil, lengan ringan yang direka khas dan ‘smart-gripper‘ dengan penginderaan dan kawalan canggih untuk menangani pelbagai jenis pakej.

Apa yang menghubungkan Stretch dengan mesin Boston Dynamics yang lain adalah fokus pada mobiliti. Biasanya, apabila peralatan automasi dipasang di gudang, sistem akan tersekat di satu tempat dengan aliran kerja dimodelkan di sekitarnya.

Stretch direka untuk meluncur ke tempat kerja yang ada di mana ia berguna untuk memuat atau memunggah barang.

Boston Dynamics mengatakan mereka merancang untuk memasarkan Stretch mulai tahun 2022.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Xiaomi Mempertontonkan Cip Pemproses Imej Buatan Sendiri Surge C1 ISP

0
Sumber: Research Sniper

Dalam majlis pelancarannya semalam, Xiaomi telah mempertontonkan beberapa produk dan teknologi terbaru daripada mereka. Antara yang menarik perhatian adalah pengumuman telefon dengan skrin lembut melengkung dan juga pengumuman cip pemproses imej buatan mereka sendiri, Surge C1.

Xiaomi dalam pengumumannya berkata pemproses Surge C1 ini adalah berasingan daripada SoC dan akan dipateri secara berasingan pada papan litar telefon. Ini akan membolehkan proses penggambaran pada telefon berfungsi secara bebas dengan menggunakan algoritmanya sendiri. Mengulas lanjut, syarikat gergasi itu mendedahkan bahawa perkembangan baharu mereka itu adalah hasil daripada pelaburan mereka yang bernilai lebih daripada RM88 juta.

Gambaran Surge C1 yang dipateri berasingan daripada SoC. Sumber: GizChina

Secara khususnya, syarikat itu telah berusaha selama 2 tahun dan melabur banyak peruntukan ke dalam jabatan R&D mereka untuk membina cip yang menggunakan lebih kurang kuasa pemprosesan dan memori tetapi mampu menghasilkan imej yang lebih baik. Cip ISP ini menggunakan algoritma 3A seperti berikut:

AF– Auto Focus (Fokus Automatik)

AWB– Accurate White Balance (Keseimbangan Putih Tepat)

AE– Automatic Expossure (Pendedahan Automatik)

AF berfungsi untuk mendapatkan fokus pada objek dan persekitarannya dengan lebih pantas terutama sekali dalam suasana gelap di mana ruangan untuk memfokuskan objek adalah lebih kecil dan sukar. AWB pula bertindak dengan membetulkan semula jumlah pendedahan dan warna putih di dalam gambar yang dihasilkan. AE penting untuk mengawal sebanyak mana cahaya yang diperlukan untuk menghasilkan gambar yang terbaik.

Xiaomi mengatakan Surge C1 mempunyai penyesuaian dwi-penapis yang membantu ia memproses kedua-dua frekuensi tinggi dan rendah secara beriringan. Proses ini, digabungkan bersama dengan penggunaan algoritma 3A yang berkesan, disasarkan untuk mencapai kadar efisen maklumat gambar sebanyak 100%.

Sumber: GizChina

Pembinaan cipset sendiri oleh Xiaomi telah bermula sejak tahun 2014 lagi dengan pengenalan SoC Surge S1 pada tahun 2017. Namun begitu, tidak banyak perkembangan yang dapat didengari berkenaan Surge dan Lei Jun pada semalam mengumumkan, walaupun terdapat pelbagai halangan, perkembangan cip Surge tetap akan berjalan di masa akan datang.

Paling penting, cip ISP Surge C1 ini diumumkan akan hadir tersedia dipasang pada telefon boleh lipat pertama Xiaomi, Mi MiX FOLD untuk membantu pemprosesan gambar yang lebih baik. Mungkin juga Surge C1 akan hadir pada kesemua peranti Xiaomi di masa akan datang. Tidak sabar juga untuk menunggu hasil daripada ISP ciptaan Xiaomi ini. Adakah ia akan menjadi pesaing baru Google Pixel?

Views: 3

Iklan Newspaper Inline