Pengguna Pixel Paling Ramai Curang!: “Awak Terlalu Baik Untuk Saya, Pixel”

Samsung Mengalami Kesukaran Mengekalkan Kesetiaan Pengguna Galaxy, Tetapi Pixel Umpama Dicerai Talak Tiga!

Kebanyakan daripada kita sememangnya mempunyai kegemaran masing-masing. Tempat kegemaran, restoran kegemaran, masakan kegemaran, artis kegemaran malah banyak lagi. Susah untuk seseorang itu mengubah citarasa mereka setelah mereka mula sukakannya. Seperti juga cinta pertama anda, sukar untuk melupakan si dia bukan?

Lain pula yang terjadi pada Google Pixel dan Samsung Galaxy, ternyata cinta pandang pertama adalah cinta yang paling disesali. Menurut satu kajian yang dilakukan oleh SellCell, pengguna pertama peranti Google Pixel mempunyai kecenderungan tertinggi untuk beralih kepada jenama lain berbanding pengguna telefon jenama pesaing.

Sumber: Samsung News

25% pengguna Samsung mengatakan mereka akan membeli telefon lain selepas ini. Pixel? 35%! Bagaimana pula dengan Apple? Hanya 8% sahaja yang akan membeli telefon jenama lain untuk menaik taraf telefon baru mereka.

Pengguna kedua-dua jenama Samsung dan Google ini mengakui akan bertukar kepada jenama lain dalam pembelian telefon mereka yang berikutnya. Dalam erti kata lain, Apple masih lagi selesa dengan hasil kajian mendapati 92% daripada pengguna Apple bersetuju untuk kekal bersama Apple dalam pembelian telefon mereka yang akan datang.

Google Pixel 3
Sumber: Camera Jabber

Google Pixel, yang dahulunya lebih dikenali sebagai telefon mercu kini dilihat kehilangan fokus dalam penghasilan telefon mereka yang terbaru. Saya sendiri contohnya, setia bersama Google hanya sehingga generasi ketiga mereka sahaja. Masuk kepada Pixel 4, bagi saya tiada lagi keistimewaan pada Google Pixel.

Tidak ramai yang berani mengkritik Google Pixel kerana peminat susah mati mereka antara yang paling toksik di media sosial yang pernah saya jumpa. Akui sahajalah, Google Pixel adalah peranti eksperimen dan mereka akan terkubur sama seperti projek Google yang lain kerana kedegilan mereka.

Google Pixel XL
Sumber: NotebookCheck
Google Pixel 2
Sumber: The Verge

Pengalaman Saya Sebagai Pengguna Pixel

Saya hadapi masalah yang sama daripada Pixel XL (OG Pixel) hingglah kepada Pixel 3 saya. Mereka panas, memori RAM yang kecil dengan pengurusan memori yang agresif, dan keupayaan kamera yang terbatas kerana hanya hadir dalam 1 kamera sahaja. Secara puratanya, spesifikasi perkakasan mereka sangat terbatas.

Masalah utama yang paling menyakitkan hati saya adalah masalah kepanasan. Apa guna GCam yang dibanggakan itu sekiranya telefon saya terpadam dengan sendiri hanya selepas 2-3 minit merakam video kerana telefon saya terlalu panas? Permainan video jadi mustahil dan panggilan telefon menjadi proses yang menjengkelkan kerana ia jadi terlalu panas untuk muka saya.

Google Pixel 4
Sumber: NotebookCheck

Begitu juga penawaran sandaran penyimpanan gambar pada kualiti asal secara percuma di Google Photo. Google akhirnya membuang sokongan ini pada peranti mereka mulai Google Pixel 4 dan seterusnya. Google Pixel 4 bagi saya secara peribadi seolah-olah satu hukuman daripada Google kepada pengguna Pixel. Hanya kerana mempunyai pendapat sendiri tentang bagaimana telefon Pixel yang lebih baik. Mana tidaknya, Google akhirnya mendengar permintaan peminat untuk terus mendapatkan cipset mercu Snapdragon 855 yang baru, 2 kamera dan warna oren yang baru.

Tetapi, Google ibarat tidak berpuas hati dengan permintaan peminat mereka dengan memberikan Pixel 4 bateri yang kecil (2800mAh, tidak sampai 3000mAh!), tiada bicu audio, tiada kamera sudut ultra lebar (cuma telefoto yang mana tidak diperlukan sangat kerana ‘kehebatan’ GCam) dan tiada lagi penyimpanan gambar pada kualiti asal di Google Photo. Ia ibarat Google berikan anda separuh daripada apa yang anda mahu dan separuh lagi adalah jari tengah yang besar.

Google Pixel 5
Sumber: PC Mag Asia

Kita pergi pula kepada Pixel 5 yang mana satu kegagalan besar bagi saya. Sekali lagi, Google ‘mendengar’ permintaan peminat. Kini hadir dengan 3 kamera termasuklah kamera sudut ultra lebar. Bateri kini cukup besar. Sangat besar, pada 4080mAh (wow). Begitu juga dengan memori RAM yang kini dipertingkatkan kepada 8GB!

Tapi balasannya? Lubang pada skrin, MASIH lagi tiada bicu audio dan yang paling teruk, cipset pada peranti mercu baru mereka kini hadir dalam pakej pertengahan, Snapdragon 765G! Memburukkan lagi keadaan, Pixel 5 kini tiada lagi Neural Core, cip pemprosesan khas dari Google yang menguasai algoritma ajaib Google Camera yang hebat itu. Lebih lucu, Pixel 4A yang lebih murah turut menggunakan Snapdragon 765G yang sama!

Jadinya, Google cuma sekadar memasang perisian kamera yang berbeza pada Pixel 5? Seperti yang pernah saya katakan, Google masih lagi belum sedar daripada mimpi dan berbangga dengan keajaiban perisian mereka baik daripada segi kamera mahupun sistem operasi Android pada Pixel mereka. Pada masa yang sama, pesaing mereka sudahpun maju ke hadapan dengan perisian yang sentiasa ditambah baik seiring dengan keupayaan perkakasan yang berkuasa.

Masih Adakah Harapan Untuk Pixel?

Kini, ura-ura Google Pixel 6 masih belum kedengaran. Akan tetapi, saya hampir pasti, Pixel 6 akan hadir bersama SoC kelas pertengahan lagi tanpa Neural Core. Tekaan saya, sudah tentulah Snapdragon 780G yang baru. Dikatakan, Snapdragon 780G mempunyai kuasa melebihi Snapdragon 855 dan kurang daripada Snapdragon 865. Snapdragon 780G ini juga dilengkapi dengan tiga ISP yang berupaya memproses gambar daripada 3 kamera sekaligus.

Di atas kertas, Snapdragon 780G sudah cukup berkuasa dan memadai untuk sebuah telefon yang bagus. Tetapi untuk sebuah peranti mercu dengan harga yang sangat premium, adakah anda akan berpuas hati dengan hanya sekadar cipset kelas pertengahan? Sedangkan, ada telefon lain di pasaran dengan harga yang lebih murah di pasaran dilengkapi dengan SoC mercu terkini Snapdragon 888 dan mempunyai kamera yang tak kurang hebatnya daripada Pixel?

Sudah lah kemaskini pun terhad. Pixel 3, walaupun menggunakan Snapdragon 845, tidak lagi akan diteruskan kemaskini pada tahun depan. Kemaskini Pixel hanya selama 3 tahun sahaja walau kononnya Google penuh dengan magis dalam pengaturcaraannya. Untuk perbandingan, iPhone 5s yang dilancarkan pada September 2013 masih lagi menerima kemaskini daripada Apple pada bulan Mac 2021!

Google Pixel 6 ini mungkin akan jadi penentu sama ada siri Google Pixel akan kekal relevan ataupun tidak.

Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x