Utama Blog Laman 131

Spesifikasi Nokia 9 Tertiris: Telefon Android Terbaik?

1
Gambar sekadar hiasan.

Nokia 9 sepatutnya diumumkan pelancarannya oleh HMD Global pada acara Mobile World Congress 2018 baru-baru ini di Barcelona. Atas sebab-sebab tertentu, mereka melancarkan model Nokia 8 Sirocco.

Tetapi apabila spesifikasi Nokia 9 terbocor keluar, dan jika ianya sahih, jelaslah ada sebab mereka menangguhkan pengumumannya.

Antara spesifikasi Nokia 9 yang bakal menjadi bualan blog-blog dan saluran-saluran teknologi di YouTube ialah trikamera (seperti Huawei P20/P20 Pro) dan pengimbas jari dalam skrin (in-display/in-glass fingerprint reader).

Spesifikasi umumnya pula ialah ia bakal mempunyai pemproses Snapdragon 845, RAM sebanyak 8GB, perlindungan skrin Gorilla Glass 5, kemasan emas 18 karat pada panel belakang dan penarafan IP68.

Selain itu, ia juga akan mempunyai skrin selebar 6.01 inci, QHD + AMOLED dengan aspek nisbah 18:9, serta dijalankan dengan Android 8.1. Storannya pula adalah 256GB.

Semua aspek spesifikasinya anda boleh rujuk gambar yang dipapar di bawah.

Semua spesifikasi itu boleh kita letak ke tepi dahulu, kerana meneliti segala aspeknya adalah membosankan. Tetapi paling penting sekali apa yang bakal menjadi suatu inspirasi yang menonjol pada model Nokia kali ini ialah kameranya.

Selain kerjasama dengan Zeiss dalam penghasilan optiknya, spesifikasi untuk kamera sahaja sudah cukup mengagumkan.

Ia akan dikuasakan oleh sensor 41MP, dengan saiz pixel sebesar 1.4-micron, OIS, lensa sudut lebar, dan aperture boleh ubah (variable aperture) dari f/1.5 kepada f/2.4. Digabungkan dengan kamera lensa telephoto 20MP beserta OIS, pixel 1-micron, dan aperture f/2.4. Sementara lensa terakhir mempunyai sensor monochrome, 9.7MP.

Tidak dapat dipastikan sejauhmana kebenaran spesifikasi ini, kerana ia datang dari sumber yang tidak beberapa kukuh. Jika berita ini sememangnya benar, maka persiapkan modal, tunggu masa dan ketika, apabila ia dilancarkan sahaja teruslah dapatkan sebuah.

Sumber dari: SuomiMobili

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Netflix Menggunakan Kecerdasan Buatan Untuk Memberikan Kualiti Video Terbaik Walaupun Internet Perlahan

1

 

“Kami alergik kepada penimbalan”, Todd Yellin, Naib Presiden Inovasi Netflix.

Baru-baru ini, Netflix memperkenalkan Dynamic Optimizer, teknik pengekodan video menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisa setiap bingkai video secara individual bagi memadatkan ia sebanyak mungkin tanpa menjejaskan kualiti imejnya.

Kaedah pengekodan terbaru ini mengurangkan penggunaan data dan disasarkan kepada penonton yang menggunakan peranti mobil dan tablet.

‘The Crown’, pada kelajuan 100kbps di sebelah kiri (pengekodan lama) dan kanan dengan Dynamic Optimizer.

Sebelum ini, Netflix menggunakan H.264/AVC secara eksklusif bagi tujuan penstriman, manakala kandungan yang dimuat turun pula menggunakan pengekodan VP9, codec video sumber terbuka yang dibangunkan oleh Google. Matlamatnya ketika itu masih sama, iaitu untuk memberikan kualiti video yang sama dengan penggunaan data yang lebih sedikit, atau memberikan kualiti video yang lebih baik pada amaun data yang sama.

Isu yang dihadapi dengan VP9 ialah ianya tidak disokong oleh industri. Disebabkan ianya datang dari Google, sudah pasti ia dijalankan pada Android (aplikasi YouTube) dan pelayar web syarikat gergasi tersebut iaitu Google Chrome. Cuma, seperti biasa, Apple dengan kedegilannya tidak memberikan apa-apa tanda untuk menyokong VP9 pada iPhone.

Atas sebab itu Netflix masih lagi menggunakan pengekodan H.264/AVC yang sedikit berbeza untuk video yang boleh dimuat turun (pada iPhone).

Dengan hadirnya Dynamic Optimizer, mereka melengkapkan lagi kitaran pengoptimuman untuk video-video di Netflix dan aplikasinya itu sendiri. Pada tahun 2015, para pembangun ini melepaskan per-title encoding, yang menjalankan analisis kepada tajuk individual untuk menentukan pengekodan optimal berdasarkan kepada kerumitannya. Kemudian, mereka melepaskan pula pengekodan menggunakan AVCHi-Mobile dan VP9-Mobile, seperti yang telah diterangkan di atas untuk melancarkan strim serta muat turun.

Dynamic Optimizer pula menjadikan keseluruhan proses pengoptimuman ini lebih mantap dengan memasukkan elemen AI ke dalam rangkaian mereka. Ini bererti selain aplikasi dan perisian Netflix semakin hari semakin baik, elemen yang memproses pengekodan di sebalik tabir juga akan menjadi lebih pintar dari semasa ke semasa.

Views: 7

Iklan Newspaper Inline

Cloudflare Melancarkan DNS 1.1.1.1 Untuk Melajukan Internet Anda

3

1 April, ya, tetapi ia bukan April Fool.

DNS tersebut sememangnya dilancarkan oleh Cloudflare, bertujuan untuk membantu melancar dan melajukan internet penggunanya.

Syarikat tersebut menggunakan kombinasi 1.1.1.1 dan 1.0.0.1 sebagai penyelesaian DNS kepada komputer anda.

Berbeza dengan OpenDNS dan Google DNS, Cloudflare memfokuskan juga kepada privasi pengguna yang mana mereka akan memadam kesemua log DNS selepas 24 jam.

Suka untuk kami ingatkan, ia bukan satu solusi tunggal bagi mendapatkan privasi penuh. Anda masih perlu menggunakan VPN, dan lain-lain tetapan privasi seperti Incognito Mode bagi memanfaatkan sepenuhnya servis ini.

Cuma apa yang kami boleh katakan, pertamanya kami berasa lega kerana ia bukan April Fool (yang ternyata tiada faedah kepada pembaca) dan keduanya, DNS ini benar-benar melonjakkan kelancaran internet.

Jika anda berminat hendak mencuba, masuk ke bahagian konfigurasi rangkaian dahulu.

Buka Network and Sharing Center,

Seterusnya klik pada Local Area Connection – Properties – Internet Protocol Version 4 (TCP/IPv4).

Dari situ, masukkan DNS 1.1.1.1 pada Preferred DNS Server, dan 1.0.0.1 pada Alternate DNS Server. Ikut panduan gambar di bawah.

Tekan butang OK, dan selepas itu, anda boleh terus mencuba tetapan DNS tersebut. Sebarang maklum balas mengenai DNS ini anda boleh tuliskan di ruang komen.

Views: 12

Iklan Newspaper Inline

[Tips] Cara Menggunakan Google Chrome Sebagai Antivirus

3
Gambar sekadar hiasan.

Sejak tahun lepas, Google telah bekerjasama dengan ESET untuk mengimplementasi fungsi antivirus ke dalam Google Chrome. Ianya sebagai satu langkah awal pengesanan malware daripada dapat dijalankan dalam sistem operasi apabila ianya dimuat turun atau diedar melalui laman-laman sesawang hasad.

Tidak ramai yang tahu, bahawa fungsi ini sebenarnya boleh digunakan untuk melakukan imbasan kepada sistem operasi Windows anda. Benar, ianya tidak boleh diguna pakai bagi menggantikan antivirus peringkat pertama, tetapi adalah bagus untuk mengetahui bahawa kita dapat memanfaatkan fungsi ini, yang mana ianya dikuasakan dengan imbasan awan oleh ESET.

Bagaimana caranya? Ikuti langkah di bawah.

Cara Menggunakan Google Chrome Sebagai Antivirus

Buka tetapan Google Chrome di Settings – Advanced.

Skrol terus ke bawah dan cari fungsi Clean up computer.

Seterusnya, cari fungsi Find and remove harmful software – klik pada butang FIND di sebelahnya.

Seterusnya, biarkan sahaja Chrome membuat imbasan. Anda boleh bertenang, bancuh kopi tongkat ali, minum dan tunggu hingga imbasan selesai dibuat.

Apabila imbasan telah pun berjaya, paparan seperti di bawah akan dipaparkan. Jika ada perisian hasad yang dikesan, anda akan diminta untuk membuang/memadamkan ia.

SELESAI.

Begitulah kaedahnya untuk menggunakan pelayar web Google Chrome anda sebagai antivirus.

Tutorial ini telah dibawakan kepada anda oleh omghackers.com. Jika anda suka dengan artikel seperti ini, kongsikan kepada rakan-rakan Facebook anda agar ia dapat dimanfaatkan oleh semua.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Pelakon Dari Klang Valley Mengetuai Sisters Of The League Dalam Gotham

0

Shiva Shobitha Kalaiselvan mungkin bukan satu nama yang sangat dikenali oleh ramai orang.

Akan tetapi selepas ini, ramai yang bakal mengingati beliau sebagai Lelia, ketua kepada Sisters Of The League, setelah beliau membuat kemunculan pertama dalam siri Gotham musim ke empat episod 16, ‘A Dark Knight: One of My Three Soups’.

Shiva, 34, sebelum ini pernah terlibat dalam siri CW – The Originals, dan di Malaysia beliau pernah berlakon dalam teater ‘After Juliet’ serta ‘Malaysian Girls’ di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPaC).

Sedikit latar belakang beliau, Shiva merupakan graduan dengan ijazah dalam bidang kewangan dari Indiana University pada tahun 2006 dan kemudian bekerja sebagai jurubank di Milwaukee dan London.

Beliau kemudian mengikuti kursus pascasiswazah di Columbia University, New York dan menghasilkan dua produksi teater dengan syarikatnya sendiri Next In Line Productions.

Menyentuh mengenai penglibatannya dalam Gotham, masih terlalu awal untuk mengulas. Namun penonton sudah dapat melihat mutu lakonannya sebagai Lelia ketika berkomunikasi dengan Barbara Kean (Erin Richards). Adakah Shiva akan menampilkan aksi tempur dalam episod akan datang? Sama-sama kita nantikan.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Jawapan Balas Kepada Artikel The Verge Mengenai Perjumpaan Mereka Dengan Pihak OnePlus Baru-Baru Ini

0

“You’re getting the wrong idea, dude!”.

Memetik artikel daripada The Verge baru-baru ini tentang perjumpaan mereka dengan pihak OnePlus, di mana pihak OnePlus telah mengemukakan sebab mengapa mereka akan menggunakan takuk di dalam rekaan terbaru peranti milik mereka dan membincangkan bagaimana takuk mereka ini lain daripada yang lain. 

Pendapat saya sendiri? 

Kita ada takuk pada skrin peranti kita sekarang adalah disebabkan inilah limitasi pengeluar peranti yang kita ada sekarang, inilah yang terbaik para pengeluar ni mampu lakukan untuk sebuah peranti bezel-less atau nirbingkai.

Trend yang kita boleh nampak sekarang ialah kebanyakan pengeluar ini cuma mengikut trend tanpa berfikir panjang tentang bagaimana untuk tidak menggunakan sebuah takuk pada skrin, atau sekurang-kurangnya, membuat takuk itu nampak berguna selain daripada hanya ada di atas skrin untuk menempatkan komponen-komponen pada peranti-peranti tersebut (tapi, secara jujur, cuma Apple sahaja begitu, lain-lain OEM, jatuh pada kategori pertama). 

Kita semua tahu bahawa moto agung OnePlus ialah ‘Never Settle‘, namun, mereka juga nampaknya terpaksa akur dengan kehendak pasaran hanya kerana supaya mereka mampu untuk keluarkan ‘the next big thing’ mereka tepat pada waktunya untuk kitaran tahun ini.

Mengapa pihak The Verge langsung tidak menyebut apa-apa mengenai Vivo Apex kepada pihak OnePlus memang ‘menarik’ jugak la (tak nak cerita panjang pasal ni, ni lain hari punya cerita. Hehe).

Ya, penyelesaian yang digunakan oleh pihak Vivo tidaklah begitu elegan sebenarnya (sebenarnya, mengundang lebih banyak masalah!), tetapi ia adalah langkah yang betul dalam membantu pasaran untuk berevolusi kepada bezel-less screen ini. 

Modul kamera Vivo Apex slides out. Penuh seni gitu.

Pihak OnePlus juga telah mengemukakan bagaimana takuk mereka akan menjadi berbeza daripada takuk-takuk yang ada pada peranti-peranti lain, namun bagi admin sendiri, apa yang mereka kemukakan hanyalah alasan demi alasan, dan sebenarnya secara langsung tidak mewajarkan penggunaan takuk itu pada peranti mereka seperti yang mereka katakan kepada pihak The Verge. 

Apa yang kita perlukan sekarang ialah sebuah ‘ground-breaking workaround‘ yang membolehkan kita untuk mempunyai sebuah bezel-less screen smartphone tanpa perlu menggunakan sebuah takuk yang mengganggu screen real estate. Apabila kita menggunakan sebuah takuk atau notch, secara tidak langsung pihak pembangun bagi aplikasi perlu membuat pelarasan pada paparan antaramuka mereka untuk menyesuaikan kandungan bagi mengambil kira takuk-takuk ni.

Ya, bagi aplikasi biasa seperti Whatsapp dan Facebook, memang tiada masalah untuk menyesuai kepada takuk-takuk ini, tetapi bagaimana pula dengan permainan mobil, di mana setiap inci skrin adalah berguna, terutama pada bahagian tepi skrin? 

Pernah main PUBG Mobile? Cuba bayangkan kalau ada takuk kat sebelah kanan tu. Urgh.

Saya faham bahawa penggunaan takuk ini hanyalah sebuah langkah kecil di dalam evolusi rekaan telefon pintar, tetapi, dalam penglihatan saya sekarang, tiada pengeluar yang menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka menganggap takuk ini sebagai hanya sebuah langkah kecil. Mereka secara terus hanya menganggap takuk ini adalah cara yang betul untuk membuat sebuah telefon pintar dengan nirbingkai. 

Realitinya, takuk ni hanyalah sebuah penyelesaian sementara (yang nampak teruk) bagi menuju ke arah masa depan nirbingkai. Para pengeluar (terutamanya our lord and saviour, OnePlus!) perlu menunjukkan kepada kita bahawa mereka sedang berusaha untuk tidak bergantung kepada sebuah takuk dan sedang berusaha untuk mengatasi limitasi takuk yang kita ada sekarang ni.

ATAU sekurang-kurangnya memberi sebab yang membuatkan takuk itu nampak berguna untuk wujud pada peranti mereka selain daripada hanya sebuah tempat untuk menempatkan komponen-komponen semata!

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

DxOMark: Sistem Penarafan Kamera Telefon Pintar Berdasarkan Kaedah Saintifik Fotografi

0

DxOMark ialah laman penarafan kamera yang dimiliki oleh DxO Labs. Mereka juga adalah syarikat konsultan kamera dari Perancis, dalam masa yang sama mereka menguji kamera-kamera yang dikeluarkan oleh OEM.

Terbaru, DxOMark telah memberikan penarafan sebanyak 97 kepada kamera telefon pintar Xiaomi Mi Mix 2S, yang meletakkan kedudukannya sama taraf dengan iPhone X dan Huawei Mate 10 Pro.

Ianya telah menimbulkan tanda tanya kepada pengguna, sejauh mana kredibiliti dan kebolehpercayaan laman tersebut dalam menentukan kedudukan serta kualiti sesebuah kamera.

Berikut diberikan sedikit pencerahan agar apa yang diusahakan oleh DxOMark menjadi lebih jelas kepada semua yang mengikuti mereka.

Kaedah Pengujian Saintifik Fotografi Dan Penarafan Berdasarkan Nombor Tunggal

  • DxOMark akan memberikan SATU nombor skor melalui purata nilai nombor-nombor sub-skor yang akhirnya mewakili skor keseluruhan sesebuah kamera.

Mereka melakukan lebih dari 1500 ujian untuk gambar dan dua jam durasi ujian bagi video dalam persekitaran makmal terkawal serta lebih dari 50 pemandangan ‘mencabar’ dalam dan luar bilik, menggunakan tetapan lalai kamera.

Dengan usaha untuk memberikan hasil dapatan kajian berasaskan metodologi saintifik dan fotografi sambil diadili oleh beberapa panel terpilih, kaedah yang diguna pakai boleh dikatakan agak tepat, namun dalam masa yang sama juga agak mengelirukan.

Ini adalah kerana pengguna tidak boleh melihat penarafan melalui nombor tunggal sebagai rujukan keseluruhan. Pengguna yang berminat dengan peranti perlu meneliti setiap unit nilai sub-skor yang diberikan, kerana nilai karakteristik yang berbeza, memberikan kepentingan yang berbeza pula untuk setiap individu.

Apa yang menjadi masalah, ialah setiap media yang melakukan ‘coverage‘ atau laporan berbentuk artikel bagi setiap peranti yang memperoleh satu nombor skor di DxOMark tidak memberitahu atau mendidik pembacanya bahawa nombor tersebut bukan penentu segalanya.

Kebanyakan orang akan memberi tanggapan bahawa setiap skor tersebut adalah dari satu nombor ‘besar’ per seratus. TIDAK.

Tanggapan seperti ini tidak tepat, kerana DxOMark pernah memberikan penarafan kepada sebuah sensor kamera sebanyak 108, iaitu skor yang diperolehi oleh Red Helium 8K.

Ini bererti taraf kedudukan kamera telefon pintar boleh juga mencecah 100, dan boleh melepasi nombor 100  tersebut.

Cuma secara kebetulan sahaja, skor yang diberikan ketika ini nombornya sudah pun menghampiri 100, jadi tanggapan pengguna yang melihat pastinya akan menyangka ianya adalah berdasarkan ‘markah’ per seratus seperti markah peperiksaan.

Ketika artikel ini ditulis, Huawei P20 mendapat skor 102, manakala P20 Pro pula mendapat skor total 109. Jika diteliti pada nilai sub-skornya, untuk kategori Photo, Huawei P20 Pro mendapat 114, manakala kategori Video pula ia mendapat 98.

Dari kategori ini nilai-nilai lain di bawah sub-skor menjadi penentu kualiti yang diukur melalui beberapa penanda aras. Sebagai contoh jika anda lebih berminat dengan videografi, maka anda perlu lihat sub-skor bahagian/kategori Video.

Seandainya anda pentingkan kestabilan, anda perlu teliti pula berapakah skor total untuk Stabilization dan seterusnya. Inilah dia panduan muktamad dalam memahami nombor skor tunggal yang diberikan oleh DxOMark kepada sesebuah kamera pada satu peranti.

Jika anda masih kurang faham, anda boleh tonton video dari Marques Brownlee a.k.a MKBHD ini untuk cuba lebih memahami proses sebenar di sebalik sesuatu ujian dan penanda aras gambar serta video oleh DxOMark.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Morpheus TV: Satu Lagi Alternatif Terrarium TV, TeaTV Dan FreeFlix HQ

0

“I’m trying to free your mind, Neo. But I can only show you the door. You’re the one that has to walk through it.” – Morpheus.

Ramai orang hanya ‘terikat’ dengan satu aplikasi untuk menikmati pelbagai kandungan di internet. Sama ada video, gambar, lagu, mereka seakan tidak dapat membebaskan diri dari dibelenggu kebiasaan. Mereka takut, jika mencuba sesuatu yang baru itu akan ‘merosakkan’ tabiat mereka.

Samalah halnya dengan aplikasi Terrarium. Sudah banyak artikel aplikasi alternatif yang saya tuliskan, tetapi balik-balik hanya Terrarium sahaja yang disebut-sebut.

Dari FreeFlix HQ, TeaTV, Smart YouTube TV, dan pelbagai lagi alternatif yang setara atau lebih baik darinya telah diwar-warkan. Kali ini, saya ingin perkenalkan pula Morpheus TV, aplikasi alternatif kepada Terrarium TV yang ringkas, namun cukup semua ciri untuk menonton siri televisyen kegemaran anda mahupun filem-filem yang keluar di pawagam.

Pertama sekali, Morpheus TV tidak mempunyai laman web rasmi. Pembangunnya memilih platform Aptoide untuk memuat naik aplikasi ini, mungkin kerana ianya lebih mudah dan tidak perlu mengehos sebarang fail kepada mana-mana hosting. Penjimatan ala Malaysia nampaknya di situ.

Keduanya, aplikasi ini tidak mempunyai sebarang tetapan yang terlampau rumit. Apabila ianya dibuka, ia akan terus memaparkan pilihan-pilihan yang terdiri dari Movies, TV Shows, Downloads, dan Settings. Ia tidak akan memapar paparan antaramuka seakan Terrarium TV, FreeFlix HQ, mahupun TeaTV yang dicipta khusus untuk televisyen.

Tetapi itu tidak bermakna ia tidak serasi dengan tv anda. Apabila diklik pada salah satu pilihan, contohnya Movies, ia akan memberikan beberapa opsyen seperti Trending, Popular, My Collection, My Watchlist dan Search.

Saya kurang pasti algoritma perbezaan antara Trending dan Popular, kerana kedua seakan sama. Cuma jika dilihat dengan lebih teliti, kategori popular menempatkan filem-filem trending baru dan lama, manakala kategori Trending pula lebih kepada filem-filem baru.

Jika anda klik contohnya pada kategori Trending, paparan seperti gambar di bawah akan keluar. Reka bentuk paparan ini tidaklah jauh berbeza dengan apa yang kita akan dapat lihat pada Terrarium TV dan TeaTV.

Apabila anda klik pula pada mana-mana filem yang anda ingin tonton, paparan seperti gambar di bawah akan keluar. Paparan ini berbeza sedikit dengan tetapan lalai atau default iaitu saya memilih untuk pemain videonya terus memainkan video dari sumber yang stabil.

Ini pula adalah paparan lalai, iaitu sumber perlu dipilih sendiri oleh pengguna. Bab sarikata, ianya akan dimuat turun jika serasi dengan video secara automatik.

Pemain videonya tidak boleh ditukar. Anda hanya akan dapat menggunakan pemain video terbina dalaman yang ada, dan ini tidak semestinya satu perkara yang buruk.

Pemain video Morpheus TV cukup lengkap, dengan sokongan sarikata. Cuma kekurangan yang ada ialah ia tidak menyokong isyarat (gestures) untuk fungsi menaikkan kecerahan skrin dan kelantangan pembesar suara.

Oh ya, ciri yang paling penting sekali seperti biasa, anda boleh memuat turun video yang tersenarai dari sumber-sumber yang terpapar.

Baiklah. Cukuplah dahulu artikel pengenalan terhadap aplikasi Morpheus TV ini. Jika anda berminat, anda bolehlah muat turun Morpheus TV melalui pautan yang disediakan di bawah. Pemasangan adalah melalui Aptoide.

>>> Morpheus TV

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Google Menyekat GApps Pada Peranti Tidak Disahkan, Tetapi Custom ROM Dikecualikan

0

Android, sistem operasi yang merupakan sumber terbuka, manakala iOS merupakan sumber tertutup. Sebab itu Android bagi kebebasan kepada pengeluar peranti untuk mencorak perisian mereka mengikut cita rasa mereka.

Tetapi, untuk memastikan tahap konsistensi antara semua peranti yang menggunakan sistem operasi Android, Google buat satu set peraturan di bawah Compatibility Definition Document (CDD) untuk pengeluar peranti ikut peraturan yang disediakan.

Jadi, pengeluar peranti mesti mengikuti CDD untuk lulus Compatibility Test Suite (CTS) supaya mereka boleh pra-memuat peranti mereka dengan aplikasi dan perkhidmatan Google.

Sebelum ni, peranti tak disahkan boleh menggunakan aplikasi Google tapi sekarang menjadi sukar kerana Google mula buat hal. Untuk pengguna custom ROM, Google membenarkan ampa guna GApps tau.

Baru-baru ini, ada khabar angin yang mengatakan Google telah mula sepenuhnya mengunci firmware yang baru dibina daripada mengakses GApps. Perubahan ini berlaku pada 16 Mac yang lalu dan ia mempengaruhi apa-apa perisian yang dibina dibuat selepas tarikh tersebut. Boleh rujuk gambar bawah ni

Kalau buka Settings dalam Play Store, scroll bawah sekali akan jumpa la status Device certification.

Beberapa hari yang lalu dalam forum XDA, XDA Senior Member iaitu liam_davenport menemui masalah ini pada peranti mereka, Google Pixel XL. Ini merupakan pertama kali pada masa yang lama untuk timbul isu ini. Boleh rujuk gambar bawah ni.

Kredit pada liam_davenport, XDA Senior Member.

Merujuk gambar di atas, pengguna tidak boleh melog masuk akaun Google mereka kerana peranti mereka tidak disahkan. Jadi, ada beberapa pilihan untuk mengatasi masalah ini iaitu memaklumkan kepada syarikat yang mengeluarkan peranti ini untuk mendapatkan status peranti disahkan, atau bagi pengguna yang menggunakan custom ROM, mereka perlu memasukkan ID Android mereka dekat halaman ni supaya dapat disenarai putih. Cara mudah untuk mendapatkan ID Android anda ia dengan jalankan arahan ini “settings get secure android_id” dalam ADB shell.

Ini merupakan gambaran laman sesawang tersebut, abaikan ID Android tu hahaha.

Untuk pengeluar peranti, ampa perlu masuk ke laman sesawang ini untuk menghubungi Google untuk sahkan peranti anda. Khabarnya langkah yang Google buat ni untuk memastikan bahawa pengeluar peranti tidak boleh hanya memintas CTS (Compatibility Test Suite) Google dan melancarkan peranti bersama janji bahawa pengguna hanya boleh memuatkan aplikasi dan perkhidmatan Google. Maka Google membuatkan para pengeluar peranti malu dan memaksa mereka untuk menjalani persijilan mengukut saluran yang betul.

Bila kita dapat tahu isu ni, pasti cuak kan? Tertanya-tanya apa la nasib yang pakai custom ROM ni. Syukur dan terima kasih Google kerana sedar akan kewujudan geng custom ROM ni dan membenarkan mereka menggunakan aplikasi dan perkhidmatan Google secara tidak rasmi. All hail to Google! hahaha.

Views: 5

Iklan Newspaper Inline

Lee Chong Wei: Rise Of The Legend Paling Terbaik

0

Saya dan isteri berkesempatan menonton filem ini dan datang ke pawagam tanpa memberikan harapan positif mahupun tanggapan negatif. Keyakinan saya begitu tinggi setelah sebelum ini saya telah menonton filem sejarah lain iaitu Ola Bola.

Satu filem yang memberikan begitu inspirasi tinggi dan motivasi. Terlalu dekat dengan sejarah LCW sebenarnya. Oleh itu inilah ulasan saya tentang filem Lee Chong Wei: Rise Of The Legend.

SINOPSIS

Filem ini mengisahkan tentang Datuk Lee Chong Wei yang daripada kecil mula menyedari bahawa beliau mempunyai bakat dalam permainan badminton. Sehingga satu babak menarik apabila beliau bertemu dengan juara dua kali sukan olympik iaitu Lin Dan. Filem ini sebenarnya diarahkan oleh Teng Bee berdasarkan sejarah ‘Dare to Be a Champion’  oleh Lee Chong Wei.

ULASAN

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada semua pelakon, krew dan juga produksi filem ini kerana berjaya membawakan visual yang sangat hebat dan menarik. Efek visual yang sangat menarik bagi saya iaitu bola bulu tangkis yang berada ditengah jaring itu yang menambat hati saya. Tidak lupa juga bagaimana Eric Yeong sebagai pengarah sinematografi memberikan visual menarik terutama latihan LCW di sekitar lokasi Putrajaya.

Secara pada amnya berasa amat kagum bagaimana begitu telitinya filem ini dibuat. Dialog dalam filem ini juga sangat bermakna dan mudah difahami walaupun hampir 80% dituturkan dalam bahasa cina. Saya begitu terhibur dengan jalan ceritanya sehinggakan keluar panggung pun dialog yang teringat di kepala saya bagaimana mereka menghina LCW dengan mengatakan permainan LCW seperti haiwan di sarkas.

Filem ini sangat menyentuh perasaan saya kerana mereka berjaya mencari pelakon yang lebih kurang serupa dengan Datuk LCW. Tosh Chan yang melakonkan watak Datuk LCW memang bagi saya sangat menjiwai watak tersebut. Datuk Rosyam Nor Sebagai Misbun Sidek juga berjaya membawa emosi yang terbaik. Tidak lupa juga kepada Jake Eng yang memegang watak Datuk LCW masa kecil. Sangat terbaik bagi saya.

Filem ini wajar ditonton oleh semua peminat sukan terutama sukan badminton. Ini kerana ia bukan tertumpu kepada sejarah Datuk LCW sebenarnya, akan tetapi ia cuba memberi motivasi kepada penonton agar mengejar cita-cita dan impian dalam diri. Secara tidak langsung, filem ini sebenarnya menanamkan semangat patriotisme, dengan hanya satu perkara iaitu kita sebenarnya rakyat Malaysia bersatu menyokong pasukan tanpa mengikut bangsa dan agama.

PENUTUP

Satu filem wajib ditonton selepas kejayaan filem Ola Bola. Peminat badminton jangan lepaskan peluang untuk menonton Lee Chong Wei: Rise Of The Legend. Ajaklah keluarga, sahabat, kekasih ataupun isteri pergi menonton. Sangat berbaloi.

Dialog menarik yang terakhir yang saya ingat ialah “Jangan jadi macam saya, kamu mesti lebih baik daripada saya!”.

Oleh itu OMG! Hackers? memberikan penarafan Durian Buruk kepada filem tempatan ini sebanyak:

8/10

Sekian, jumpa lagi pada ulasan akan datang!

Views: 8

Iklan Newspaper Inline