Utama Blog Laman 128

[Tips Dan Trik] Kekunci Pintas Untuk Laman YouTube

0

Agak seronok sebenarnya bila menggunakan kekunci pintas pada papan kekunci ketika menggunakan laman YouTube. Dengan set kekunci pintas seperti ini, YouTube dirasakan menjadi lebih ‘menyeluruh’ walaupun tanpa menggunakan tetikus.

Tambahan pula untuk mereka yang menggunakan tetikus tanpa wayar atau wayarles, sekurang-kurangnya apabila bateri sudah kehilangan kuasanya, anda masih boleh melakukan navigasi tanpa sebarang masalah.

Berikut disenaraikan beberapa pintasan papan kekunci untuk laman YouTube.

Main dan menghentikan video

Mudah sahaja. Caranya adalah dengan menekan papan kekunci spacebar atau huruf K untuk memainkan video, atau menghentikan ia sejenak (pause).

Membesarkan video kepada skrin penuh

Tekan kekunci ‘F’ untuk menjadikan video skrin penuh, dan tekan sekali lagi untuk kembali kepada mode normal. Anda juga boleh menggunakan kekunci Esc untuk keluar dari mode skrin penuh.

Kembali kepada permulaan video

Tekan kekunci nombor 0 untuk kembali kepada permulaan video. Anda juga boleh menekan kekunci ‘Home’ untuk mendapatkan kesan yang sama.

Hala ke akhir video

Menekan kekunci ‘End’ akan menghalakan video kepada pengakhirannya. Manakala jika anda menggunakan kekunci tersebut dalam satu senarai main, ia akan memainkan video yang berada dalam senarai yang seterusnya.

Majukan atau mundur

Jika anda mahu memajukan video atau memundurkan ia dengan penambahan 5 saat, tekan kekunci anak panah kiri atau kanan. Jika anda perlu lebih dari 5 saat, maka tekan kekunci Ctrl sambil menekan kekunci anak panah. Ini akan menambah maju atau mundur sebanyak 10 saat.

Selain itu, jika anda tekan kekunci 1 hingga 9, ia akan menghala kepada peratusan yang diingini pada video tersebut. 1 untuk 10%, 2 untuk 20%, dan seterusnya.

Menguatkan suara

Juga amat mudah untuk difahami. Tekan sahaja kekunci anak panah ke atas untuk menaikkan kekuatan suara, manakala tekan kekunci anak panah ke bawah untuk menurunkannya. Tekan pula kekunci ‘M’ untuk mematikan fungsi suara dan tekan sekali lagi untuk mengaktifkan ia.

Ada lagi yang anda ingin tambah? Jika ada, sila tambahkan di ruang komen!
Jangan lupa juga untuk kongsikan artikel ini kepada rakan-rakan anda!

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

EaseUS Data Recovery Wizard Free: Penyelamat Data Anda!

0

EaseUS merupakan syarikat pembangun perisian yang tidak asing lagi kepada omghackers. Kami pernah membuat ulasan tentang beberapa dari barisan pelbagai produk mereka. EaseUS Data Recovery Wizard Free adalah sebuah perisian pemulihan data yang dapat digunakan pada sistem operasi Windows dan juga Mac.

kebanyakan daripada kita terutamanya pengguna akhir dan juga pengguna purata tidak pernah mengambil kisah atau peduli mengenai salinan sandaran pada fail-fail penting, terutamanya yang melibatkan hal-hal kerja. Apabila data tersebut rosak, mulalah tercari-cari cara untuk mendapatkan semula fail-fail tersebut. Disinilah perisian EaseUS Data Recovery Wizard bertindak menjadi penyelamat.

Perisian ini mampu memulihkan data dari PC, laptop, cakera keras, SSD, USB, kad memori, kamera digital dan sebagainya lagi.

EaseUS Data Recovery Wizard ini mampu mengembalikan data untuk keadaan pemadaman/kehilangan data secara tiba-tiba, memformat, kerosakan cakera keras, serangan virus terutamanya serangan ransomware / malware, kegagalan sistem, kehilangan volume, operasi yang tidak betul atau sebab-sebab lain.

Di bawah ini saya sertakan gambar tangkap layar paparan antaramuka pengguna EaseUS Data Recovery Wizard.

Tatacara penggunaan perisian ini adalah amat mudah. Seseorang itu tidak memerlukan pengetahuan teknikal yang mendalam bagi mengendalikannya. Apabila anda memulakan program ini, anda akan terus dipaparkan kesemua ruang storan yang dilekapkan pada peranti.

Apa yang anda perlu lakukan ialah:

  1. Klik sahaja pada mana-mana ruang storan yang anda mahu, kemudian klik ‘Scan’.
  2. Seterusnya EaseUS Data Recovery akan mula melakukan imbasan.

Untuk pengetahuan anda, imbasannya akan terbahagi kepada dua bahagian. Satu ‘Quick Scan’, dan kedua adalah ‘Deep Scan’.

Quick Scan adalah satu bentuk imbasan asas, manakala Deep Scan pula ialah imbasan lebih ‘mendalam’ yang akan menjejak semua dokumen-dokumen yang hilang atau dipadam/terpadam, foto-foto dan fail-fail media dengan teliti. Bukankah ini satu ciri yang sekian lama anda tercari-cari?

Setelah itu, pilih mana-mana fail yang anda mahu lalu klik butang ‘Recover’.

Tunggu sehingga proses pemulihan selesai. Itu sahaja. Mudah bukan? Ianya bukan sahaja mudah, tetapi juga sangat pantas dan berkesan mendapatkan kembali pelbagai data yang terpadam secara sengaja mahupun tidak.

Buat masa ini, versi percuma membolehkan anda mengembalikan data sebanyak 2GB (rujuk laman sesawangnya). Anda boleh naik taraf dari versi percuma kepada versi Pro atau Pro + WinPE melalui pautan ini:

>>> EaseUS Data Recovery Wizard

Pada pendapat saya, versi Pro sudah mencukupi untuk kebanyakan pengguna di luar sana. Ia dapat digunakan selama mana yang anda mahu. Tetapi jika anda naik taraf pula kepada versi Pro + WinPE, anda akan dapat menggunakan fungsi bootable media, yang akan diperlukan sekiranya sistem operasi gagal untuk dimulakan atau boot.

Terdapat juga versi ‘Technician’ yang lebih mahal namun menawarkan ciri komunikasi dengan pelanggan, sesuai bagi mereka yang bekerja sebagai Juruteknik Komputer. Selain itu, jika anda hendak menaik taraf perisian ini dengan lebih mudah, klik sahaja pada butang ‘Upgrade Now’, dan tekan pula pada ‘Buy Now’.

Berikut saya paparkan pula contoh hasil dari imbasan Deep Scan:

Sememangnya amat memuaskan hati dan berbaloi, sesuai dengan harganya yang ditawarkan. Jika anda mampu, saya sarankan supaya anda naik taraf agar anda dapat menggunakan sepenuhnya ciri-ciri premium yang ada pada versi Pro. Harganya dalam Ringgit Malaysia lebih kurang RM280.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Projek MKUltra: Satu Kajian Rahsia tentang Kejuruteraan Manusia Yang Mengejutkan Sepanjang Zaman

0

Projek MKULTRA, atau MK-ULTRA, adalah nama kod bagi program penyelidikan manusia CIA yang tersembunyi, yang dikendalikan oleh Pejabat Perisikan Sains. Program kerajaan A.S ini secara rasminya bermula pada awal tahun 1950-an lagi dan pada tahun 1960-an, warga Amerika Syarikat dan Kanada dijadikan sebagai bahan uji kaji eksperimen.

Pada asalnya CIA menggunakan program ini untuk memastikan ejen dibawah mereka tidak dimanipulasi apabila ditangkap dan disoal siasat apabila melakukan pengintipan. Hasil ujikaji pertama mereka berjaya apabila seorang askar darat Amerika yang telah diberi dadah LSP dan juga PSP dalam keadaan tidak sedar membuat pergerakan sendiri tanpa mengikut mana-mana arahan lain.

Projek MKULTRA telah didedahkan ke perhatian umum pada tahun 1975 oleh Kongres Amerika Syarikat melalui penyiasatan oleh Jawatankuasa Gereja, dan oleh sebuah suruhanjaya presiden yang dikenali sebagai Suruhanjaya Rockefeller. Namun begitu, usaha penyelidikan terhenti oleh Pengarah CIA Richard Helms yang mengarahkan semua fail yang berkaitan MKULTRA dimusnahkan pada tahun 1973. Ini berikutan susulan daripada hasil penyiasatan mendakwa mendapat pengakuan daripada bekas peserta yang mendedahkan bahawa mereka telah menyertai ujikaji tersebut.

Hasil penyiasatan mendapati bahawa, projek MKULTRA ini banyak melibatkan penggunaan metodologi untuk memanipulasi keadaan mental individu dan juga mengubah fungsi otak, termasuk penggunaan dadah, renjatan elektrik, suntikan mengejut dan juga pelbagai teknik lain. Mereka yang terlibat juga kurang deria rasa dan bau, mengasingkan diri, mula bercakap seorang diri dan juga kehilangan nafsu seksual.

Walaupun CIA menegaskan bahawa projek MKULTRA ini telah berkubur, namun veteran CIA, Victor Marchetti telah mendedahkan bahawa penyelidikan ini sebenarnya telah diteruskan. Dalam wawancara video pada tahun 1977, Marchetti mengatakan sebenarnya ia mempunyai kod program lain iaitu Projek Montauk dan juga Projek Monarch.

Apa pula kaitan Projek Montauk dan juga Projek Monarch pada zaman masa kini? Sama-sama kita nantikan pada artikel yang akan datang.

Views: 5

Iklan Newspaper Inline

Mengapa VPN Percuma Tidak Bagus (Untuk Semua Sebab)

1

Ramai antara pembaca omghackers.com yang selalu bertanyakan soalan ‘VPN manakah yang bagus tetapi percuma?’. YA, kerajaan dah bertukar baru tapi corak pemikiran orang kita masih lagi di purbakala sana.

Untuk pengetahuan anda, VPN percuma bukan sahaja tidak bagus malahan berbahaya kepada sekuriti dan privasi data anda. YA, berbahaya! Sentiasa ingat sifirnya, jika sesuatu itu percuma, maka anda adalah PRODUKNYA.

Anda kena sentiasa ingat, VPN dikendali menggunakan pelayan, dan pelayan dikendali menggunakan wang. Mereka yang menjalankan servis seperti ini bukan membuat kerja amal, memberikan anda sesuatu secara percuma dengan niat amal jariah untuk mendapat pahala.

Berikut adalah beberapa sebab lain mengapa anda perlu mula menggunakan VPN premium/berbayar mulai dari sekarang:

1. Penjualan Data

Ini adalah satu-satunya sebab mengapa adalah ditegah untuk menggunakan VPN percuma. Dari mana mereka hendak menjana pendapatan bagi menampung kos penggunaan pelayan jika mereka ‘menyewakan’ ia kepada anda secara percuma pula?

Salah satu caranya adalah dengan menjual data anda kepada pihak ketiga. Zaman ini data adalah satu-satunya bentuk kandungan digital paling mahal boleh diurusniagakan.

2. Pemantauan

Budaya pemikiran ‘saya tiada apa-apa perkara untuk disorok’ adalah sangat tidak munasabah. Apabila diminta kata laluan akaun Facebook masing-masing tahu pula tidak mahu memberikannya walaupun kami berjanji hanya akan melihat dan memantau sahaja, tidak lebih dari itu.

Tahu pula tidak selesa? Jadi mengapa mahu berikan kemudahan sama kepada penyedia servis VPN percuma ini, iaitu kebolehan untuk mereka memantau aktiviti anda? Integriti adalah satu bahan jenaka sahaja kepada mereka.

3. Tiada sokongan

Kalau VPN premium/berbayar biasanya mempunyai sistem sokongan selepas jualan yang mantap, anda fikir VPN percuma ada masa hendak melayan masalah anda dengan ‘servis’ percuma mereka. Sudahlah percuma, apa lagi yang kau mahu? Begitulah situasinya, melainkan anda melanggan VPN premium seperti TorGuard, ExpressVPN, dan Goose VPN.

Mereka menawarkan sokongan yang biasanya berjalan 24 jam, di samping sistem chat pada laman web mereka.

4. Kelajuan Internet Perlahan

Ada sesetengah VPN premium yang diakui menjadikan kelajuan internet semakin perlahan. Isunya pelbagai, tetapi itulah dia gunanya sistem sokongan pada poin ke tiga. Anda boleh adukan masalah kelajuan kepada staf-staf penyedia servis VPN tersebut. Kebiasaannya isu akan dapat ditangani dengan menukar protokol dan lokasi pelayannya.

Berbanding VPN percuma, disebabkan satu pelayan digunakan oleh pengguna yang sangat ramai, maka sambungan yang tidak stabil serta kelajuan yang perlahan adalah suatu perkara yang sangat normal.

Anda hendak mengadu kepada siapa? Semoga berjaya mencari individu yang boleh anda adukan nasib.

5. Menggunakan Bandwidth Anda

Anda masih ingat lagi tentang Hola? Hola adalah VPN percuma yang mempunyai rangkaian pengguna yang sangat ramai. Disebabkan itu Hola berjaya menggunakan bandwidth para pengguna mereka yang sedang melahu (idle) sebagai SUMBER kepada sebuah servis VPN BERBAYAR mereka sendiri iaitu Luminati.

Apa akan terjadi kepada mereka yang menggunakan plan data dengan kuota?

Nasiblah. Siapa suruh guna VPN percuma.

6. Malware Dan Malvertising

Aplikasi/servis VPN percuma yang banyak terdapat di Google Play Store mempunyai ciri-ciri:

*18% darinya tidak melakukan enkripsi data!
* 38% menyuntik malware dan malvertising ke dalam peranti.
*84% membocorkan/meniriskan trafik pengguna.
*80% menggunakan permission yang agak explicit untuk mendapatkan data peribadi/sulit pengguna seperti akaun-akaun dan mesej teks.
*75% menggunakan kaedah tracking libraries dari pihak ketiga.

Alasan sesebuah servis VPN itu untuk memberikan perkhidmatan percuma dengan tawaran ‘versi percuma dengan iklan’ adalah bertentangan dengan ciri VPN itu sendiri iaitu melindungi data anda dari dibaca oleh pihak ketiga, sedangkan iklan yang ditayang pula mestilah datang dari ‘pembacaan’ data anda yang dikongsikan oleh servis itu sendiri.

Percayalah, penyedia servis VPN percuma seperti ini adalah tergolong dalam kategori penjenayah siber!

7. Bandwidth Dan Ciri Terhad

Kebiasaannya VPN percuma akan mengehadkan pelbagai perkara, contohnya akses pelayan, jumlah peranti yang boleh disambungkan pada satu akaun, berapa lama sesuatu sambungan boleh dibuat, dan pelbagai lagi had serta sekatan. Bandwidth juga ada had tertentu, yang mana hanya sekadar cukup untuk anda gunakan selama beberapa hari sebelum ia habis.

Saranan OMG! Hackers?:

Gunakanlah servis VPN berbayar yang tinggi integritinya.

Gunakan servis dari yang PAKAR, yang betul-betul ARIF tentang VPN, yang tahu selok-belok menjaga pelayan, bukan hanya tahu menyewa pelayan murah dan lembab semata-mata, kemudian jual ‘servis’ tersebut kepada anda atau menjadikan ia versi ‘percuma’ namun penuh dengan pelbagai muslihat lain bagi menjana keuntungan.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Apa Itu Military Grade Encryption?

0

Apa Maksud Encryption?

Encryption atau enkripsi ialah satu proses pengekodan mesej atau maklumat di mana hanya pihak yang sah sahaja akan dapat membacanya. Ia mengubah data yang anda hantar di seluruh internet ke dalam format yang hanya boleh dibaca apabila memiliki kunci penyahsulitan, yang menyediakan kod untuk menguraikan enkripsi tersebut.

Apa Itu Military Grade Encryption?

Military Grade Encryption merujuk kepada enkripsi dengan standard AES-256. AES adalah singkatan dari perkataan Advanced Encryption Standard.

Pada asalnya, istilah ini tidak lebih dari sekadar marketing terms/gimmick, untuk pelbagai servis di luar sana, dan ia selalu juga digunakan dalam filem-filem bagi menggambarkan kekuatan enkripsi yang diimplementasi oleh sesuatu organisasi.

Tetapi dalam masa yang sama kita tidak dapat menafikan bahawa agensi seperti National Security Agency (NSA) juga menggunakan standard enkripsi AES-25 dalam mengendalikan dokumen-dokumen dan informasi-informasi sulit serta berstatus rahsia. Jabatan kerajaan (yang prihatin tentang enkripsi), tentera, dan bank-bank menggunakan standard ini bagi melindungi data-data sensitif.

Atas sebab itu tidak salah juga untuk istilah ‘Military Grade Encryption’ ini diguna pakai bagi merujuk kepada AES-256 kerana sememangnya ia diaplikasikan oleh badan ketenteraan di serata negara.

Setakat ini, enkripsi dengan cipher AES-256 adalah enkripsi terkuat bagi melakukan penyulitan terhadap data. Kebanyakan servis VPN akan menggunakan terma ini bagi memudahkan pemahaman untuk sesiapa yang sudah sedia mengetahui tentang standard pengenkripsian.

Secara ringkasnya kebanyakan sistem dan servis pada masa kini sudah pun mengaplikasikan standard enkripsi ini.

Untuk pengetahuan anda, AES termasuk dalam kategori NSA Suite B Cryptography.

Rujukan: Advanced Encryption Standard

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Cara Memasang Dan Menggunakan Enjin Carian Dalam qBittorrent

2

Apabila satu demi satu enjin carian torrent ditumpaskan oleh penuntut akta hak cipta, ramai juga yang mula hilang arah. Tidak tahu ke mana hendak dituju.

Kebiasaannya saya sendiri akan menggunakan enjin carian Sky Torrents kerana ia bebas iklan dan mempunyai indeks hasil carian yang sangat banyak. Akan tetapi setelah laman asalnya ditutup, dan kini digantikan dengan laman yang sudah mempunyai ciri ‘minimal tracking’, nampaknya ia tidak lagi sama seperti dahulu.

Oleh itu buat anda yang sudah tidak mahu lagi termanggu-manggu mencari enjin carian paling bagus untuk digunakan bagi mencari kandungan atas talian yang anda mahu, sebenarnya aplikasi qBittorrent boleh membantu anda dalam hal ini. qBittorrent mempunyai pelbagai enjin carian torrent yang terbina dalaman, hanya menunggu diaktifkan sahaja untuk dapat digunakan.

Jadi bagaimanakah caranya?

Tutorial kali ini akan menunjukkan kepada anda cara mengaktifkan, memasang, dan menggunakan enjin-enjin carian torrent pada qBittorrent. Ya, ‘enjin-enjin’, bererti terdapat lebih dari satu setelah ia diaktifkan, dan anda boleh tambah pula mana-mana enjin yang anda suka.

Pertama sekali, pada aplikasi qBittorrent, hala kepada View – dan klik pada Search Engine.

Jika anda masih belum memasang Python, satu popup kecil seperti di atas akan keluar. Hanya perlu klik pada Yes dan ia akan memuat turun Python untuk anda.

Kemudian, pasangkan Python sehingga selesai.

Kini qBittorrent sudah mempunyai satu bahagian khas untuk menggunakan enjin carian. Tetapi disebabkan masih belum ada satu pun enjin carian yang diaktifkan, maka anda belum boleh memanfaatkannya. Jadi klik pada ‘Search plugins‘ di bahagian bawah tersebut.

Seterusnya klik pada ‘Check for updates‘. Pemasangan enjin carian akan dilakukan oleh qBittorrent secara automatik sahaja. Jadi anda boleh pergi bancuh kopi tongkat ali sementara menunggu ia siap dipasang.

Oh maaf, kopi belum sempat minum, dah siap rupanya. Sekejap sahaja tempoh waktu yang diperlukan. Itu pun jika kelajuan internet anda tidak seperti siput sedut lah. Anda akan dapat lihat beberapa enjin carian diaktifkan pada qBittorrent seperti BTDB, Legit Torrents, The Pirate Bay, dan sebagainya.

Jika anda masih berasa ia tidak mencukupi, anda boleh pasangkan enjin carian yang baru. Klik pada ‘Install a new one‘. Manakala untuk mendapatkan pautan bagi pemasangan enjin carian yang lain, anda boleh klik pada pautan yang ditunjukkan melalui anak panah pada gambar di atas.

Setelah anda mendapatkan pautan enjin carian yang anda mahu, masukkan ia pada bahagian ‘Web link‘. Rujuk gambar di atas.

Klik butang Web link untuk mengeluarkan kotak ‘New search engine plugin URL‘. Di atas adalah contoh saya memasang enjin carian 1337x.

Selesai sudah semuanya. Sekarang anda boleh gunakan bahagian enjin carian ini untuk mencari, dan memuat turun apa-apa kandungan yang ada pada kesemua enjin carian torrent yang anda pasang. Ia lebih mudah berbanding jika anda membuka satu demi satu laman-laman enjin carian tersebut.

Gambar di bawah pula adalah contoh enjin carian yang telah saya pasang. Saya cuma menambah 1337x dan RuTracker sahaja. Anda boleh tambahkan berapa pun yang anda suka, cuma mungkin ia akan melambatkan sedikit proses carian kerana indeks yang telah meningkat berkali ganda.

Anda juga boleh nyahpasang mana-mana enjin carian yang anda tidak suka, jika anda mahu. Caranya adalah dengan klik kanan pada enjin tersebut, dan klik ‘Uninstall‘.

Baiklah. Selamat mencuba, dan jangan lupa seperti biasa kongsikanlah tutorial ini dengan kawan-kawan anda di wall Facebook!

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

ExpressVPN: Sebuah Analisis Dan Ulasan Servis VPN Ternama Dunia

2

Buatlah carian ulasan tentang servis VPN, kerap kali nama ExpressVPN akan berada dalam senarai. Sama ada top 5 atau top 10, yang pastinya nama ExpressVPN akan berada terselit di celahannya.

Ada sebab yang munasabah juga kenapa ia begitu popular di kalangan peminat ‘topik’ ini. Saya akan kongsikan beberapa sudut pandang dan sedikit ulasan tentang apa yang saya gemari mengenai ciri ExpressVPN ini dan apa pula yang saya rasa masih boleh ditambah baik padanya.

Sudut Bidang Kuasa

Kita sudah perbahaskan hal ini secara halus dan jitu dalam artikel Kajian Kes Bidang Kuasa: PureVPN, Private Internet Access, Dan ExpressVPN. Dari sudut bidang kuasa negara, sememangnya tiada tekanan dan cengkaman dari kuasa negara-negara 14 Eyes, juga telah dibincangkan sebelum ini dalam artikel Perikatan Perisikan Antarabangsa: 5 Eyes, 9 Eyes, Dan 14 Eyes.

Ini adalah kerana ExpressVPN dikendalikan di British Virgin Islands (BVI), yang mana walaupun taraf kerakyatan mereka adalah British, tetapi Undang-Undang mereka tidak terikat kepada European Union (EU). Disebabkan itu mereka mempunyai rang Undang-Undang tersendiri dan tidak tertakluk kepada saman DMCA atau tuntutan pelanggaran hak cipta.

Dari kenyataan dalam blog ExpressVPN sendiri, mereka menegaskan bahawa,

ExpressVPN is a premium VPN provider focused on user privacy and anonymity. Our network is built around specifically NOT knowing the internet activities of our users. As privacy is a core part of our service offering, ExpressVPN is in the business of protecting our users’ private internet data.

Pada pandangan saya sendiri, jika mereka menjual ‘ciri’ ini sahaja ianya sudah menjadi satu ‘boom factor’. Banyak juga servis VPN yang bertempat dalam negara-negara 14 Eyes, dan ini menyebabkan mereka terpaksa berhempas pulas bekerja keras bagi meyakinkan pengguna bahawa data mereka selamat bersama dengan servis yang dilanggan.

Walaupun begitu, track record ExpressVPN adalah cemerlang dan bersih, dan dibuktikan selepas terjadinya satu episod rampasan pelayan oleh pihak berkuasa Turki. Mereka berjaya membuktikan bahawa walaupun pelayan dirampas, pihak berkuasa dari Turki itu tidak dapat memperolehi apa-apa data sekalipun, kerana ExpressVPN tidak menyimpan sebarang log yang boleh menjejak kembali kepada pengguna.

Anda boleh rujuk: Turkish investigation proves ExpressVPN does not keep user logs, to the relief of its users

Oleh itu, ringkasnya semua pengguna ExpressVPN boleh menarik nafas lega. Mereka menunaikan janji dan mengekalkan integriti walaupun diserbu oleh pihak berkuasa. Servis seperti ini, yang di luar bidang kuasa 14 negara perisik, serta tidak goyah apabila didatangi Undang-Undang, adalah satu servis yang sangat boleh diharap.

Ciri-Ciri ExpressVPN

Mari kita semak serba sedikit apa yang ditawarkan oleh aplikasi ExpressVPN. Kita cuba lihat dahulu pada aplikasi Windows.

Begini, terus terang saya katakan ciri ExpressVPN tidaklah sehebat TorGuard dari segi penawaran ‘wow factor’.

TorGuard mempunyai Stealth connection, yang dapat melepasi sekatan Deep Packet Inspection (Anti-DPI). Trafik yang dilindungi oleh sambungan Stealth, sama ada Stealth VPN atau Stealth Proxy tidak akan dapat disekat oleh sebarang firewall.

Apa yang ada dalam pilihan tetapan aplikasi ExpressVPN adalah protokol normal sepertimana servis-servis VPN yang lainnya, dari UDP dan TCP (OpenVPN), L2TP/IPSec, PPTP dan SSTP. Disebabkan protokol lain pada saya tidak begitu relevan, maka saya hanya menggunakan UDP.

Ini agak sedikit mengecewakan, kerana untuk perkhidmatan yang mengenakan caj agak mahal, saya menjangkakan ada sesuatu yang luar biasa pada cirinya.

Menyentuh mengenai aplikasinya, seperti yang disebutkan di atas ianya adalah straight forward, tiada sebarang tambahan pada tetapannya yang membolehkan seseorang pengguna termaju (advanced users) untuk berasa teruja.

Apa yang boleh dipuji, klien ExpressVPN ini telah dikod dengan begitu bersih dan kemas sekali (cleaned and polished). Jika hendak dibandingkan dengan NordVPN, atau BolehVPN, aplikasi Windows dan Android dari ExpressVPN ini hanya mempunyai satu menu hamburger di sebelah kirinya, dan apabila dibuka, ia memberikan tetapan ringkas. Sedangkan NordVPN mempunyai pelbagai pilihan yang agak rumit bagi pemula, dan mengujakan bagi pengguna termaju. BolehVPN pula lebih memilih pendekatan ‘in your face’, hampir semua tetapan yang diperlukan berada di hadapan.

Klien ExpressVPN untuk Windows.

Klien Linux Yang Mengecewakan

Bagi aplikasi atau klien Linux pula, tidak seperti TorGuard (sekali lagi) yang mempunyai GUI paling kemas untuk Linux, ExpressVPN pula hanya mengguna pakai klien dalam bentuk baris perintah.

Ini amat mengecewakan saya kerana setelah lama menggunakan klien TorGuard yang amat kemas dalam bentuk GUI dengan pelbagai ciri yang sama, ada pada klien Windows-nya, klien baris perintah ExpressVPN dirasakan seakan ‘klien malas’.

Anda boleh lihat sendiri ia beraksi pada gambar di bawah.

Klien Linux ExpressVPN berfungsi sambil muat turun torrent di belakangnya.

Banding beza pula dengan klien Linux oleh TorGuard.

Klien Linux TorGuard pula beraksi sambil muat turun torrent di belakangnya.

Oleh itu jika setakat fungsi kill switch (yang dipanggil Network Lock pada ExpressVPN), perlindungan dari kebocoran IPv6, perlindungan dari kebocoran WebRTC dan DNS, ciri seperti ini sudah pun diterapkan ke dalam servis-servis lain yang jauh lebih murah.

Jadi di mana ciri yang menyerlah atau istilah lain, keistimewaan unggul pada ExpressVPN sebenarnya? Berikut saya cuba senaraikan apa yang saya rasakan sebagai faktor penentu mengapa VPN ini kerap kali menjadi pilihan pengulas dan blogger di luar sana.

Enkripsi

Ya, pada saya ini adalah ciri ExpressVPN yang paling bagus sekali. Enkripsi yang diimplementasi oleh ExpressVPN merupakan antara enkripsi terbaik dan paling kuat yang ada dalam standard industri. Mereka menggunakan cipher AES 256-bit yang digabungkan dengan pengesahan maklumat SHA-512 HMAC beserta kekunci 4096-bit RSA.

Tambahan lagi, ExpressVPN menggunakan Perfect Forward Secrecy yang dirundingkan melalui pertukaran kekunci Diffie-Hellman.

Secara konklusinya bolehlah digelarkan ia sebagai ‘military grade encryption’, seperti dialog-dialog di dalam filem Hollywood.

Kelajuan

Apabila menggunakan VPN, selalunya ia dikaitkan dengan ‘keperlahanan’ internet. Walaupun kebiasaannya servis VPN sekarang dapat memberikan kelajuan yang memuaskan, tetapi ExpressVPN lebih menyerlah dalam bab ini.

Meskipun menggunakan enkripsi yang sangat kuat, kelajuannya tidaklah perlahan tambahan pula untuk internet di Malaysia yang rata-ratanya tidak melebihi 50Mbps.

Pendek kata, kalau bab kelajuan, anda tidak perlu bimbang. Bahagian ini telah dikendalikan dengan cemerlang.

Split Tunneling

Antara ciri yang jarang diwar-warkan. Mungkin kerana ia hanya terdapat untuk klien Windows dan Mac OS sahaja. Malang sekali tidak terdapat untuk Linux, Android dan iOS. Cuma untuk mengatasi kelemahan ini, caranya hanyalah dengan memasang ExpressVPN pada router.

Juga cara yang sama digunakan bagi mengatasi had peranti yang cuma dibenarkan sebanyak 3 peranti sahaja.

Bagi anda yang mungkin tercari-cari VPN dengan ciri seperti ini, anda tidak tersalah pilihan. Saya juga ada mengeluarkan beberapa aplikasi dari sambungan VPN, contohnya aplikasi perbankan – melainkan jika anda pula dari jenis yang memang suka bersambung pada jaringan internet percuma di restoran-restoran mamak, maka lebih digalakkan pula untuk menghubungkan kesemua aplikasi pada saluran VPN.

Torrent

Selain TorGuard, ExpressVPN adalah servis VPN yang paling boleh diharap untuk aktiviti torrenting. Memuat turun menggunakan torrent memerlukan pelayan dengan prestasi tinggi dan berkelajuan paling memuaskan. Muat turun tidak lagi terasa begitu perlahan, kerana kelajuan sememangnya menjadi identiti ExpressVPN.

Disebabkan bidang kuasa BVI berada di kepulauan bebas yang tidak dapat dicengkam oleh DMCA dan akta hak cipta, pengguna boleh muat turun fail torrent dengan minda yang tenang. Berbeza dengan VyprVPN yang langsung tidak menggalakkan torrenting, bahkan akan menamatkan (terminate) akaun anda sekiranya mendapat amaran dari DMCA, ExpressVPN tidak akan mengambil tahu langsung tentang apa pun jua aktiviti anda.

Juga pelayan ExpressVPN yang premium tidak akan sekali-kali menjejaskan pola muat turun anda. Kelajuan akan sentiasa stabil, tanpa had bandwidth seperti sesetengah penyedia servis VPN yang lain.

Netflix Dan Hulu

Satu-satunya VPN yang bekerja di-luar-kotak untuk laman-laman penstriman seperti Netflix dan Hulu. Tanpa perlu kepada apa-apa tetapan tertentu yang komplex lagi rumit, penggunaan SmartDNS, ataupun Dedicated IP.

Cukup sekadar pilih pelayan dari US yang anda mahu, atau dapatkan khidmat nasihat/pengesyoran dari pembantu ExpressVPN terlebih dahulu bagi mengetahui pelayan yang mana satu dapat digunakan untuk strim laman Netflix/Hulu.

Menurut staf mereka, ExpressVPN menggunakan kaedah pelayan cluster untuk membenarkan penggunanya strim dengan bebas di Netflix tanpa sebarang sekatan.

Mainkan video di Netflix bersama ExpressVPN tanpa masalah.

Khidmat Bantuan/Sokongan Selepas Jualan

Mereka ini memang patut dipuji, dari segi khidmat sokongan selepas jualan. Jika anda memulakan perbualan (chat) melalui tetingkap yang disediakan di lamannya, tidak sampai beberapa minit anda akan dilayan.

Antara perkara yang sempat saya tanyakan kepada staf ialah bagaimana mereka melepasi sekatan Netflix, yang pada mulanya dijawab seakan-akan oleh kecerdasan buatan ala Google Assistant atau sedikit robotik, dan kemudiannya apabila saya pertikaikan jawapan beliau, barulah jelas bahawa yang menjawab soalan tersebut adalah seorang manusia.

Terus terang, walaupun saya adalah fanboy TorGuard, tetapi dalam bab sokongan ini saya lebih memuji staf ExpressVPN yang lebih ‘dirasakan’ manusia berbanding staf TorGuard, apatah lagi Goose VPN yang kerap kali lebih cepat memberikan jawapan dalam bentuk pautan rujukan kepada halaman F.A.Q mereka. Kalau setakat nak buka F.A.Q, lebih baik saya tak payah tanya mereka, kan?

Harga Langganan

Bagi bahagian harga langganan ini, diakui ExpressVPN adalah sebuah servis VPN premium, oleh itu harga bagi langganannya juga adalah termasuk dalam kategori itu.

Ya, saya tidak akan menidakkan yang ianya agak mahal, tambahan pula jika orang Amerika Syarikat sendiri yang mengatakan sebegitu, apatah lagi buat kita orang Malaysia yang wangnya perlu didarabkan dengan 3.94 (ketika artikel ini ditulis).

Tetapi untuk mendapatkan harga langganan yang lebih murah, ‘triknya’ sama sahaja dengan servis-servis yang lain, sama ada anda langgan 6 bulan, atau langgan terus satu tahun.

Security Checker Tools

Tidak dilupakan, ExpressVPN ada menyediakan beberapa tempat pemeriksaan sekuriti di lamannya. Anda boleh semak;

Alamat IP di sini: What Is My IP?

Kebocoran DNS di sini: DNS Leak Test

Kebocoran IP melalui WebRTC di sini: WebRTC Leak Test

Pro Dan Kontra

Kita mulakan dengan pro terlebih dahulu. ExpressVPN menjadi terkenal bukan hanya kerana adanya blog-blog seperti omghackers ini yang menulis ulasan mengenainya. Ia membina rangkaian melalui keutuhan servis dan prestasi kepantasan pelayan-pelayannya.

Buat yang sememangnya inginkan privasi yang jitu, ExpressVPN adalah pilihan tepat. Bidang Kuasa BVI akan buat anda rasa selamat, dan sekuriti pada aplikasinya yang menggunakan enkripsi paling kuat menjadikan ia lebih terkedepan.

Dari segi kontra pula, ciri pada klien atau aplikasi ExpressVPN boleh dikatakan agak menghampakan. Ia terlampau ringkas, hingga menyebabkan pengguna termaju akan cepat merasakan seakan tiada apa yang istimewa padanya.

Klien Linux yang hanya dalam bentuk baris perintah lebih menambahkan lagi rasa sedikit kecewa tersebut. Mungkin disebabkan keringkasan cirinya membuat para pembangun berasa seperti Linux tidak perlukan klien dalam bentuk paparan antaramuka pengguna.

Tetapi disebalik semua ini, jika anda amat-amat mementingkan privasi paling mantap, keamanan minda dengan sekuriti paling kuat, dan kelajuan VPN paling memuaskan hati, ExpressVPN berada di dalam kelasnya yang tersendiri.

Tambahan pula ExpressVPN berfungsi dengan cemerlang pada pelbagai laman yang menyekat VPN seperti Netflix dan Hulu. Jadi anda tidak perlukan sebarang pengetahuan ekstra dalam memanfaatkan fungsi ini kerana anda hanya perlu pilih pelayan, tekan butang ON di tengahnya dan mainkan sebarang video di laman tersebut.

Tidak dapat dinafikan lagi ia adalah top 5 VPN dunia yang mempunyai sebab kenapa ia berada di kedudukan itu, tetapi hanya jika anda melanggan sahaja anda akan tahu sebabnya.

Untuk melanggan ExpressVPN, anda boleh gunakan pautan yang diberikan di bawah:

>>>

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

[Tutorial] Transformasi Firefox Supaya Privasi Lebih Terjaga

0

Terus terang, Firefox bukan pilihan utama saya untuk melayari laman-laman sesawang, dan juga streaming. Chrome masih menjadi pilihan utama untuk tujuan itu.

Cuma jika inginkan sedikit lebih privasi, tidak dapat tidak, Firefox adalah pelayar yang menjadi pemacu di depan. Ini adalah kerana nadinya sendiri, apabila ia dicipta dengan kepentingan privasi berada di atas sekali.

Ada yang memilih Tor Browser, tetapi jika mahu, kita boleh jadikan Firefox lebih mantap lagi seakan pelayar tersebut dalam melindungi data peribadi diri serta mengurangkan risiko dijejaki. Bagaimana caranya? Artikel ini akan mengupas sedikit sebanyak. Mari kita mulakan.

1. Pasang semua addon pilihan anda. Ini penting sebelum kita mematikan fungsi browser fingerprinting kerana selepas ini, laman addon Firefox hanya akan dapat ‘membaca’ pelayar anda dengan versi 52 (walaupun anda menggunakan versi 59 dan ke atas).

Addon yang saya syorkan adalah:

a) uBlock Origin/Nano Adblocker/uMatrix
b) Decentraleyes
c) HTTPS Everywhere
d) Privacy Badger
e) NoScript

Tidak semestinya semakin banyak addon privasi, semakin tinggi kebarangkalian untuk anda sukar dijejaki itu meningkat. Pilihlah addon yang benar-benar anda dapat manfaatkan, dan mahir kendalikan. Kerana semakin banyak addon, semakin ‘unik’ pula ciri pelayar anda. Juga, addon yang banyak boleh mengurangkan prestasi pelayar.

Kurangkan pertindanan addon yang memainkan peranan lebih kurang serupa.

2. Mari kita lakukan sedikit modifikasi melalui about:config. Taipkan about:config pada bar URL, dan tekan butang Enter. Dengan beraninya, klik pada ‘I accept the risk!’.

Masukkan Preference Name berikut ke dalam bar carian:

privacy.resistFingerprinting

Klik dua kali untuk menukar nilainya kepada true. Ini akan menjadikan Firefox lebih mantap dalam menepis fingerprinting.

media.peerconnection.enabled

Ubah nilainya kepada false. Tetapan ini adalah untuk menyahaktifkan terus WebRTC. Ini bagi mengelakkan dari kebocoran identiti (alamat IP) melaluinya.

geo.enabled

Tetapan ini membolehkan Firefox untuk menggunakan Google Location Services untuk mengetahui lokasi pengguna. Firefox akan menghantar kepada Google alamat IP anda, informasi wireless access point berhampiran, dan pengesan klien rawak yang ditetapkan oleh Google.

Pendek cerita, tukarkan ia kepada false. Pengesan Geolokasi pada Firefox ini akan dinyahaktifkan.

privacy.firstparty.isolate

Menukar tetapan ini kepada true, akan mengasingkan cookies kepada domain pihak pertama (first party domain), yang akan bertindak menghalang penjejakan merentas domain berbilang.

media.navigator.enabled

Tukar ia kepada false. Ini akan menyekat laman-laman sesawang dari mengesan status mikrofon dan kamera pada peranti anda.

network.dns.disablePrefetch

Tukar ia kepada true. Tetapan ini akan menyahaktif ‘prefetch’ untuk permintaan DNS. Prefecth secara asasnya memang akan membantu dalam melajukan pemuatan laman web, tetapi ia juga membantu mengurangkan privasi anda.

network.prefetch-next

Sama seperti tetapan di atas, tukarkan ia kepada false. Ini akan menyahaktifkan fungsi prefetch pada Firefox untuk laman-laman.

webgl.disabled

Ubah nilai preference ini kepada true. Nilai ini akan menyahaktifkan WebGL. Anda boleh rujuk pautan ini untuk mengetahui mengenai potensi risiko sekuriti yang disebabkan oleh WebGL.

network.cookie.cookieBehavior

Ubah nilai integer ini kepada 1. Rujuk Network.cookie.cookieBehavior.

network.cookie.lifetimePolicy

Ubah nilai integer ini kepada 2. Rujuk Network.cookie.lifetimePolicy.

3. Setelah itu, pastikan telemetri dinyahaktif.

Anda boleh berbuat demikian dengan menghala ke Options – Privacy & Security – Firefox Data Collection and Use. Buang tanda ☑ pada semua pilihannya.

4. Hidupkan Tracking Protection

Tracking Protection berada dalam kategori tetapan yang sama dengan Telemetry. Adalah lebih baik jika anda letakkan ia pada pilihan ‘Always’. Juga pilihan yang sama dibuat untuk ‘Do Not Track’.

5. Ubah Enjin Carian

Enjin carian Google memang hebat, tetapi atas risiko mendedahkan maklumat diri kepada syarikat tersebut. Saya sarankan tukar kepada DuckDuckGo. Tetapan ini berada pada kategori ‘Search’.

Baiklah. Selesai sudah tutorial kita untuk kali ini. Di masa akan datang pelbagai lagi tutorial akan dikongsikan kepada anda. Jika anda mahu lebih banyak artikel seperti ini menjengah wall Facebook anda, jangan keberatan untuk kongsikan dengan rakan-rakan.

Sentiasa ingat, better safe than sorry. Menjegah lebih baik dari mengubati.

Jangan sudah terhantuk baru nak terngadah.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Kajian Kes Bidang Kuasa: PureVPN, Private Internet Access, Dan ExpressVPN

0

Kerap kali apabila berbicara mengenai pemilihan VPN terbaik, maka bidang kuasa (jurisdiction) negara akan menjadi sebutan. Ianya tidak dapat lari, kerana ia saling berkait antara kepercayaan dan rasa selamat yang diperlukan.

Jadi, mana-mana negara yang termasuk dalam kumpulan negara risikan 14 Eyes, sering ditolak keluar kerana bimbangkan privasi dan sekuriti data peribadi. Namun benarkah begitu? Adakah negara atau kawasan yang tidak termasuk jajahan takluk 14 Eyes selamat? Atau adakah mana-mana servis yang tidak berada dalam penguasaan 14 Eyes ini ‘boleh diharap’?

Artikel ini menyingkap serba sedikit isu bidang kuasa negara, dan kes-kes yang membuktikan bahawa tiada yang benar-benar boleh diharap jika hanya bergantung kepada satu faktor sahaja. Kesemua faktor dari penguasaan sesebuah negara kepada ketelusan penyedia servis VPN itu sendiri memainkan peranan dalam memastikan keselamatan data kita terjamin.

1. PureVPN

Kami pernah menulis berita mengenai PureVPN dan pembohongan mereka dalam terma dan syarat yang menyatakan ‘tiada log dibuat’ sedangkan perbuatan log dari PureVPN telah membantu FBI untuk memberkas seorang ‘cyber stalker’. Ia juga adalah VPN sama yang membocorkan alamat IP pengguna.

Oh ya, PureVPN berada dalam bidang kuasa kehakiman Hong Kong. Ini bererti mereka tidak berada di bawah penguasaan negara-negara 14 Eyes, tetapi masih lagi memberikan kerjasama penuh kepada FBI, dan paling penting servis yang mengatakan tiada log sepenuhnya, adalah satu dusta semata-mata apabila log digunapakai oleh FBI dalam memerangkap individu.

Benar, adalah amat menyedihkan apabila VPN digunakan bagi membuat jenayah. Tetapi dalam masa yang sama ia juga menyedihkan apabila syarikat atau organisasi yang berikrar untuk melindungi privasi penggunanya tidak menunaikan janji tersebut.

Rujuk: FBI Solves Case Thanks to PureVPN Lies

2. Private Internet Access

Ini adalah servis VPN kedua yang pernah didatangi oleh FBI. Private Internet Access (dirujuk sebagai PIA) adalah penyedia servis VPN dari USA, negara 5 Eyes saudara dan saudariku sekalian.

Walau bagaimanapun, sepina yang diserahkan kepada mereka oleh FBI telah berjaya membuktikan bahawa servis VPN yang berada dalam taklukan kuasa negara 5 Eyes pun belum tentu boleh digoyah apabila FBI tidak menemukan apa-apa data yang berguna pada PIA.

“During the course of the investigation, subpoenas and search warrants have been directed to various companies in an attempt to identify the internet protocol (IP) address from where the email messages are being sent,” – Demikian, antara rangkap yang telah difaikan oleh FBI.

“All of the responses from [email provider] 1&1, Facebook, Twitter, and Tracfone have been traced by IP address back to a company named London Trust Media [doing business as] PrivateInternetAccess.com.”

“A subpoena was sent to London Trust Media and the only information they could provide is that the cluster of IP addresses being used was from the east coast of the United States,”.

FBI gagal menemui sebarang bukti yang mengaitkan pesalah tersebut dengan PIA, tetapi mereka berjaya mendapatkan maklumat melalui satu syarikat lain.

“Although the investigation has not revealed any payment by McWaters to London Trust, he did make a purchase from AnchorFree Inc [HotspotShield VPN] on October 23, 2015,” the complaint notes.

“After scrutinizing the validity of the subpoena and confirming it, we restated as we always do the content of our privacy policy and then we notified the agent that we do not log any user activity. The agent confirmed his understanding of our company’s policy and position and then pursued alternative leads.” – Pengerusi Eksekutif London Trust Media, Andrew Lee.

Rujuk: VPN Provider’s No-Logging Claims Tested in FBI Case

3. ExpressVPN

Dalam hal ini, ExpressVPN dikendali di British Virgin Islands (dirujuk sebagai BVI), sebuah kawasan yang jauh dari penguasaan negara 14 Eyes, dan mereka mempunyai prinsip serta Undang-Undang privasi yang tersendiri.

Dalam satu kes, pihak berkuasa Turki merampas pelayan VPN yang dikendalikan oleh ExpressVPN kerana menurut mereka servis dari syarikat tersebut telah diguna untuk menyembunyikan informasi mengenai pembunuhan Duta Rusia ke Turki, Andrei Karlov.

Pihak berkuasa Turki menyerbu pusat data dan merampas pelayan dengan harapan dapat menjejaki individu yang menghapuskan Facebook dan akaun Gmail pembunuh, bersama-sama dengan perbualan yang berguna untuk siasatan.

Individu tersebut berbuat demikian dengan menyembunyikan alamat IP melalui ExpressVPN.

Berikut adalah respons dari ExpressVPN:

“As we stated to Turkish authorities in January 2017, ExpressVPN does not and has never possessed any customer connection logs that would enable us to know which customer was using the specific IPs cited by the investigators. Furthermore, we were unable to see which customers accessed Gmail or Facebook during the time in question, as we do not keep activity logs. We believe that the investigators’ seizure and inspection of the VPN server in question confirmed these points.”.

Walaupun Turki tidak termasuk langsung dalam negara 14 Eyes beserta sekutunya, ExpressVPN tetap memberikan kerjasama kerana bagi mereka tiada apa yang dapat diperolehi melalui serbuan itu kerana tiada sebarang log yang disimpan.

Ini juga membuktikan VPN yang berada di dalam wilayahnya yang tersendiri, tetap juga boleh diserbu oleh pihak berkuasa, yang tidak termasuk dari negara 14 Eyes.

Dalam masa yang sama ExpressVPN berjaya menyatakan kepada semua penggunanya dan seluruh dunia bahawa mereka berpegang kepada janji – tiada log disimpan yang boleh diguna untuk menjejak kembali kepada para pengguna.

Rujuk: ExpressVPN server seized in Turkey turns up nothing in assassination case, verifying “no logs” policy

Konklusi

Secara ringkas, penyedia servis VPN yang berada di mana-mana negara juga tidak terlepas dari bidang kuasa negara tertentu. Cuma cepat atau lambat sahaja yang menentukannya kerana kes tersebut perlu disebut dan dibicarakan di bawah negara mana syarikat VPN itu berada.

Juga, servis VPN yang kita gunakan juga perlulah dipercayai, dan mempunyai track record yang terbaik seperti Private Internet Access dan ExpressVPN. Jika syarikat tersebut dengan rela hati menyerahkan log (walaupun dalam terma mengatakan tiada log) tambah lagi mereka berada di luar bidang kuasa FBI, CIA, ataupun NSA, syarikat seperti itu perlu terus dijauhi selama-lamanya.

Tidak semestinya jika penyedia servis VPN itu berada di Amerika Syarikat (AS), maka ia patut ditolak mentah-mentah (terbukti melalui PIA), dan tidak patut juga jika ia berada di kepulauan sendiri, ia diterima bulat-bulat. Semuanya terletak kepada sejauh mana mereka mengekalkan integriti yang utuh, dan sepakar mana mereka berjaya mengendalikan sepina serta serbuan dari pihak berkuasa tempatan ataupun luar.

Paling penting, VPN yang anda gunakan haruslah TIADA LOG yang mereka SIMPAN.

Jika ada sesuatu yang boleh kembali menjejak anda, jauhkan diri dan carilah alternatif lain yang lebih baik.

Views: 5

Iklan Newspaper Inline

10 Distro Popular Dikalangan Pemula Yang Anda Mungkin Tidak Tahu

1

10 Distro Popular Dikalangan Pemula Yang Anda Mungkin Tidak Tahu

Susunan berdasarkan populariti di DistroWatch.

1. Linux Mint (pilihan editor)
Linux Mint adalah distro berasaskan Ubuntu yang matlamatnya adalah untuk menyediakan pengalaman diluar kotak yang lebih lengkap dengan memasukkan plugin pelayar, sokongan untuk pemain DVD, Java dan komponen lain. Ia juga menambah desktop dan menu yang dibuahsuai tersendiri, beberapa alat konfigurasi yang unik, dan antaramuka pemasangan pakej berasaskan web. Linux Mint serasi dengan repositori perisian Ubuntu.

2. Ubuntu
Ubuntu adalah sistem operasi Linux desktop yang lengkap, percuma dengan sokongan komuniti dan profesional. Komuniti Ubuntu dibina berdasarkan idea-idea yang termaktub dalam Manifesto Ubuntu iaitu sesuatu perisian itu harus disediakan secara percuma, alat perisian harus digunakan oleh orang dalam bahasa tempatan mereka, walaupun ada kecacatan, dan orang harus memiliki kebebasan untuk menyesuaikan dan mengubah perisian mereka dengan cara yang patut. “Ubuntu” adalah perkataan Afrika purba, yang bermaksud “kemanusiaan kepada orang lain”. Distro Ubuntu membawa semangat Ubuntu ke dunia perisian.

3. Solus (pilihan editor)
Solus adalah distro Linux yang dibina dari awal tanpa berasaskan dari apa-apa jenis distro lain. Ia menggunakan versi pengurus pakej PiSi, dikekalkan sebagai “eopkg” dalam Solus, dan persekitaran antaramuka yang dipanggil “Budgie”, dibina oleh pembangun-pembangun dalaman diketuai oleh bekas ketua jurutera Intel. Antaramuka Budgie, yang boleh ditetapkan untuk meniru rupa dan nuansa desktop GNOME 2, terintegrasi dengan timbunan GNOME. Distro ini tersedia untuk komputer 64-bit sahaja. Solus masih agak baru dalam gelanggang namun sudah menempa nama dalam senarai paling popular dalam masa tersingkat. Ini kerana keupayaannya dalam menguruskan pakej dengan kemas dan kebolehan dalam mengadaptasikan pakej luar kedalam distronya dengan baik. “New kid in the block” tapi mampu menjadi sinar alternatif bagi Arch Linux.

4. elementary OS
elementary OS ialah distro berasaskan Ubuntu. Antara ciri yang lebih menarik termasuk persekitaran desktop yang diubahsuai sendiri yang dipanggil Pantheon dan banyak aplikasi tersuai termasuk Foto, Muzik, Video, Kalendar, Terminal, Fail, dan banyak lagi. Ia juga dilengkapi dengan beberapa aplikasi biasa seperti pelayar Epiphany dan mail Geary.

5. Zorin OS
Zorin OS adalah distro Linux berasaskan Ubuntu yang direka khusus untuk pendatang baru ke Linux. Ia mempunyai antara muka pengguna grafik seperti Windows dan banyak program yang serupa dengan yang terdapat dalam Windows. Zorin OS juga dilengkapi dengan aplikasi yang membolehkan pengguna menjalankan banyak program Windows. Matlamat utama distro ini adalah untuk menyediakan alternatif Linux kepada Windows dan membolehkan pengguna Windows menikmati semua ciri-ciri Linux tanpa komplikasi. Zorin OS sesuai bagi mereka yang hanya mahukan antaramuka Windows namun menggunakan sistem Linux.

6. PCLinuxOS
PCLinuxOS adalah distro Linux yang mesra pengguna dengan sokongan tersedia diluar kotak untuk banyak grafik-grafik dan kad yang popular, serta peranti peralatan lain. DVDnya menyediakan pemasangan grafik yang mudah digunakan dan pelbagai aplikasi popular untuk pengguna biasa, termasuk plugin pelayar dan pemain multimedia yang lengkap. Alat konfigurasi sistem intuitif termasuk Synaptic untuk pengurusan pakej, Addlocale untuk menambah sokongan kepada banyak bahasa dan Mylivecd untuk membuat CD live yang bolehdiubahsuai.

7. Linux Lite
Linux Lite adalah distro Linux yang mesra pemula berdasarkan pelepasan sokongan jangka panjang Ubuntu (LTS) dan memaparkan desktop Xfce. Linux Lite terutamanya mensasarkan pengguna Windows. Ia bertujuan menyediakan satu set lengkap aplikasi untuk membantu pengguna dengan keperluan pengkomputeran harian mereka, termasuk suite penuh pejabat, pemain media dan perisian harian penting lainnya.

8. Ubuntu MATE
Ubuntu MATE adalah distro Linux yang bertujuan untuk membawa kesederhanaan dan keanggunan sistem operasi Ubuntu melalui persekitaran desktop yang klasik dan tradisional – desktop MATE. MATE adalah kesinambungan persekitaran desktop GNOME 2 yang digunakan sebagai desktop asal Ubuntu sehingga 10.10 (apabila ia digantikan oleh Unity). Projek ini memulakan hidupnya sebagai “remix” Ubuntu, tetapi bermula dengan versi 15.04, ia secara rasmi diterima sebagai ahli rasmi keluarga Ubuntu distribusi Linux.

9. Sabayon
Sabayon adalah distro berasaskan Gentoo yang mengikuti falsafah berfungsi diluar kotak, bertujuan untuk memberikan pengguna sejumlah besar aplikasi yang sedia untuk digunakan dan sistem operasi yang dikonfigurasi sendiri. Sabayon menawarkan pengguna ruang kerja yang mudah digunakan dengan rupa yang menawan, pengesanan perkakasan yang baik dan sebilangan besar pakej perisian terkini yang dipasang secara lalai, dengan perisian tambahan yang tersedia dari repositori. Sabayon boleh didapati dalam beberapa perisa yang memaparkan persekitaran desktop KDE, GNOME dan Xfce.

10. Netrunner
Netrunner adalah distro berasaskan Debian yang mempunyai desktop KDE yang sangat disesuaikan dengan aplikasi tambahan, codec multimedia, Flash dan plugin Java, dan rupa dan rasa yang unik. Pengubahsuaian ini direka untuk meningkatkan keramahan pengguna persekitaran desktop sambil mengekalkan kebebasan untuk tweak. Edisi “Rolling” berasingan, berdasarkan Manjaro Linux, dilancarkan pada tahun 2014, telah dihentikan dan dilancarkan semula pada tahun 2017.

Nama lain yang berbaloi untuk dilihat

Black Lab Linux, Robolinux, SolydXK, Ubuntu DesktopPack, Projek Korora, Emmabuntüs, Pinguy OS (pilihan editor), ChaletOS, Toutou Linux, Rebel Linux

Saya mengatakan Pinguy OS adalah salah satu pilihan adalah kerana ia merupakan antara linux terawal yang saya pernah gunakan dan ia sangat baik bagi mereka yang ingin belajar Linux atau yang cuma inginkan OS yang terus berfungsi dan lengkap setelah siap dipasang. Ia sarat diisikan dengan pelbagai aplikasi dan konfigurasi yang agak unik bagi pemula. Cuma amaran saya, disebabkan ia diisi dengan pelbagai aplikasi, mestilah memerlukan komputer yang agak tinggi spec

Views: 4

Iklan Newspaper Inline