Kebocoran data akibat aktiviti penggodaman bukan benda baru, malah ada data yang dijual secara berleluasa di deep web (orang la kata, saya tak tau).
Kebiasaannya kita hanya akan tahu akaun yang kita miliki telah ‘dilanggar Garuda’, metafora yang bermaksud digodam orang – setelah segalanya terlambat.
Akaun diambil alih, atau data sulit dijual kepada pihak ketiga.
Tetapi ini semua dapat dicegah sekiranya kita diberikan amaran apabila berlakunya perlanggaran sekuriti terhadap akaun, sama seperti usaha memasang kamera litar tertutup dan penggera untuk mengesan penyamun.
Atas niat tersebut, Firefox membuat satu laman khas untuk memantau akaun-akaun yang dimasuki menggunakan emel, dari sebarang aktiviti mencurigakan. Laman tersebut adalah Firefox Monitor.
Papan pemuka Firefox Monitor.
Ianya bekerja dengan cara yang sangat ringkas, di mana anda cuma perlu log masuk menggunakan akaun Firefox anda dan ia akan membuat imbasan terhadap alamat emel tersebut.
Sekiranya ada kebocoran ada akibat dari sebarang aktiviti penggodaman sama ada yang telah lepas atau baru berlaku, ia dengan segera akan memaklumkan kepada anda senarai laman-laman yang terlibat.
Anda boleh baca dengan teliti setiap maklumat diberikan agar anda dapat menentukan apa yang harus dibuat pada akaun-akaun tersebut. Jika perlu, tukar kata laluan dengan segera.
Contoh akaun yang telah dipecah masuk adalah seperti berikut.
Apabila menerima informasi seperti ini, disyorkan supaya anda tukar kata laluan bagi akaun di laman tersebut. Jika kata laluan anda sama untuk akaun-akaun di laman lain, maka lebih baik anda tukar juga kata laluan untuk laman-laman itu.
Bagi memudahkan kerja anda, gunakanlah pengurus kata laluan, contohnya Bitwarden.
Seperti yang saya tegaskan dahulu, kita menyokong penuh usaha MCMC memerangi lanun cetak rompak, dan kami di OMG Hackers akan sentiasa membantu usaha untuk mendaulatkan Undang-Undang terutamanya berkaitan dengan teknologi.
Apabila ada syarikat yang sedang ‘menuju ke arah itu’, kita perlu buka ruang dan peluang agar semua dapat merasa nikmatnya strim dan menonton rancangan televisyen bersama keluarga tanpa fikirkan tentang ‘kesahan’ peranti.
*Gambar muka depan kredit kepada: Zamaye.com.
Spesifikasi LongTV:
Selain dari ‘Google Certified‘, kita juga ada ‘MCMC Certified device‘. LongTV salah satu contohnya. Dengan 1GB RAM. Diulangi, 1GB RAM dan 8GB ruang storan dalaman, anda akan memperolehi sebuah Android Box yang disahkan oleh MCMC.
Ia dapat digunakan pada mana-mana peranti berspesifikasi rendah dan kecil.
Ini dapat mengurangkan kos pembuatan peranti, sekaligus mengurangkan harga jualan (sepatutnya). Dengan harga RM399, anda akan dapat membeli sebuah LongTV bagi menikmati kandungan dalam talian dan dapat pula menggunakan sistem operasi Android yang ada padanya.
Pada saya harganya agak keterlaluan, dan harga yang patut bagi peranti ini adalah RM250-299. Saya tidak pasti sama ada lesen dari MCMC menjadi penyebabnya, atau mereka satu-satunya ‘player’ yang mendapat kelulusan, oleh itu mereka bertindak menjual dengan harga yang tinggi seperti Astro selepas memonopoli hak penyiaran negara.
TETAPI, jika saya pandang kepada alternatif sumber hiburan yang sah, dan sudah ‘siap’ apabila dibeli, tidak seperti Android Box lain, LongTV ada tempatnya yang tersendiri. Box ini menyokong resolusi 4K dan HDR, serta mempunyai sokongan selepas jualan dari LongTVteam.
Sama seperti Android Box lain yang punyai pelbagai port, LongTV juga ada port seperti USB 3.0 dan 2.0, yang anda boleh guna jika ingin mainkan sesuatu dari pemacu USB.
Tentang ciri lain, saya tidak dapat ulas sepenuhnya kerana masih belum berkesempatan melihatnya depan mata. Jadi, kalau ada pihak LongTV yang terbaca artikel ini dan ingin menaja sebuah LongTV bagi tujuan ulasan, kami amat mengalu-alukannya.
Setakat yang saya tonton dari video-video promo di Shopee, saya rasa LongTV akan dapat memuaskan hati mereka yang sudah jemu tercari-cari Android Box terbaik dan dapat digunakan untuk satu tempoh yang panjang. Jika anda berminat untuk membuat pembelian, boleh dapatkan dari wakil penjual yang sah.
ASMR ialah singkatan dari Autonomous Sensory Meridian Response.
Saya cuba terangkan ia dengan mengambil dahulu definisinya dari Wikipedia (sebab ia paling mudah) iaitu:
ASMR atau dalam bahasa Melayunya – Tindak Balas Meridian Deria Autonomi adalah pengalaman deria rasa yang bercirikan sensasi seperti statik atau kesemutan pada kulit yang biasanya bermula pada kulit kepala dan bergerak ke belakang leher dan terus ke atas tulang belakang.
ASMR menandakan pengalaman subjektif ‘euforia kelas rendah’ yang dicirikan oleh;
“Gabungan perasaan positif dan sensasi keseronokan statik yang serupa pada kulit”.
Ia biasanya dicetuskan oleh rangsangan auditori atau visual tertentu, dan bukan melalui rangsangan yang dikawal.
Mikrofon yang digunakan untuk membuat video ASMR.
Bermula pada tahun 2010, ia merupakan satu bentuk sensasi yang menenangkan, yang sering bermula pada kulit kepala dan bergerak ke bawah badan. Juga dikenali sebagai ‘urutan otak’, ia dicetuskan oleh pemandangan dan bunyi yang tenang seperti bisikan, percakapan, dan bunyi ‘pecah-pecah’.
Kebiasaannya bunyi atau video ASMR ‘dicari’ ketika seseorang itu mahukan ketenangan, dan memudahkan dirinya untuk tidur.
Antara terma yang popular dalam kata kunci carian adalah ‘ASMR Sleep’, dan memang ia kerap dicari pada waktu tengah malam. Manakala bunyi yang selalu digunakan adalah seperti bunyi petir, guruh, hujan, ketukan jari, suara stereo, dan sebagainya lagi.
Tidak semua orang boleh merasa sensasi ini. Ada juga sesetengah orang yang mengakui bahawa mereka tidak merasai apa-apa ketika mendengar bunyi dari video ASMR.
Penggunaan fon kepala untuk mendengar dengan lebih ‘nikmat’.
Ramai juga dari kalangan ‘YouTuber’ yang membuat video seperti ini dengan menggabungkan kareer atau ‘niche’ mereka, contohnya ada pemilik saloon yang membuat video menggunting rambut, sambil menjadikan ia sebagai video ASMR.
Sambil menyelam, minum air.
Ada pula yang buat ‘ASMR aneh’, seperti ASMR memakan donut, ASMR penculikan, dan ASMR putus cinta.
Apa pun yang dibuat, jika anda salah seorang darinya, kekalkan keaslian, dan pastikan matlamat anda tercapai. Jangan hanya sekadar mengikut trend dan bangun keesokan harinya ketinggalan apabila ia tidak lagi dicari orang.
Teknologi tidak terhad kepada peranti atau gajet yang kita gunakan seharian. Pada kenderaan yang kita bawa setiap hari itu juga terkandung teknologi yang memacunya ke depan.
Yamaha memang tidak asing lagi dengan inovasi.
Teknologi Blue Core dan VVA bukan benda baru, dan disebabkan saya sudah merasa sendiri dua teknologi ini, saya terpanggil menulis sedikit untuk mereka yang ingin tahu mengenainya.
Apa Itu Blue Core?
Blue Core dalam erti kata penerangan pendeknya ialah pengoptimuman pada enjin.
Antara manfaat dari teknologi ini ialah ia akan dapat meningkatkan kecekapan pembakaran, mengurangkan kadar kerosakan mekanikal, mendapatkan pengawalan bahan api dan masa pembakaran paling tepat, serta menambah baik kecekapan penyejukan enjin. Kesemua talaan dilakukan untuk mengekstrak kuasa terbaik dan dalam masa yang sama menjimatkan penggunaan bahan api.
Secara mudah faham, ianya adalah kombinasi beberapa pembangunan dan penambahbaikan pada teknologi enjin lama Yamaha dan mencipta enjin generasi baharu yang lebih tinggi prestasinya, tetapi dalam masa yang sama lebih cekap penggunaan bahan bakar.
Kesemua ini dilakukan dengan cara mengoptimumkan proses pembakaran terlebih dahulu. Bagi memastikan pembakaran lebih efisien, reka bentuk enjin perlulah diperbaharui dan setiap kiraan bagi reka bentuknya haruslah tepat.
Ketepatan boleh dicapai dengan mengemas kini reka bentuk intake port, penyusunan semula atau membentuk semula injap, meningkatkan nisbah mampatan dan sebagainya lagi. Selain itu, Yamaha juga membuat kebuk pembakaran padat untuk menghasilkan pembakaran paling optimum.
Gambar ehsan dari: Yamaha.
Apa Itu VVA?
VVA adalah singkatan dari Variable Valve Actuation.
Ia merupakan teknologi injap yang menggunakan mekanisma untuk beralih atau bertukar diantara profil camshaft (aci sesondol?) apabila enjin berkelajuan rendah meningkat kepada kelajuan tinggi. Ini dipacu oleh nilai RPM semasa pada enjin. Dengan profil cam boleh berubah ini, ujian menunjukkan ia telah dapat menambah prestasi model R15 sebanyak 18 peratus.
Dengan mengatur bukaan injap, bahan bakar yang keluar akan dapat disesuaikan dengan kelajuan motosikal. Keberkesanan kaedah ini akan dapat dilihat pada penggunaan bahan bakar yang lebih hemat berbanding motosikal dengan sistem tradisional.
Tujuan untuk kesemua ini tidak lain tidak bukan untuk menghasilkan kuasa enjin yang seimbang dan serata pada RPM berbeza, sama ada ketika ia rendah mahupun tinggi. Apabila ini berlaku, tenaga yang dihamburkan bagi setiap kelajuan adalah bersesuaian dengan apa yang ‘diminta’ oleh enjin.
Apabila kedua teknologi ini digabungkan, maka terhasillah sebuah enjin yang berkuasa lebih tinggi dari sistem tradisional, tetapi ia tidak pula menggunakan bahan bakar yang melampau walaupun ketika pendikit dipulas banyak. Maklum saja, apa guna ada enjin yang jimat penggunaan petrol, tetapi tidak kita gunakan dengan ‘sebaiknya’ bukan?
Enjin generasi baharu ini dapat dilihat pada model-model seperti Nmax, NVX, dan R15. Jika anda ingin merasainya sendiri, saya syorkan anda datang ke kedai wakil-wakil Yamaha terdekat untuk temu janji uji pandu.
Dari saya tingkatan satu lagi saya teringin hendak memiliki sebuah ‘cyber pet’ yang bernama Tamagotchi ini. Pernah juga bermain ‘tikam’ dan ia ‘mengena’, tetapi silapnya saya bawa ia ke sekolah pula, lalu dirampas oleh guru. Nak marah pun tak boleh juga, maklumlah, saya kena jaga nama baik mak saya yang mengajar di situ. Hehehe.
Masa berlalu, dan sekarang setelah semuanya sirna, minat hendak memilikinya masih ada.
Lalu saya cuba dapatkan generasi terkini Tamagotchi iaitu Gen 2, yang mempunyai variasi warna baru serta makhluk asing yang berbeza. Sebelum kita teruskan, eloklah kita buka kotak terlebih dahulu.
Di dalam kotaknya terdapat sebiji Tamagotchi, dan satu buku panduan pengguna. Selain dari ini, anda tidak akan jumpa apa-apa ‘harta karun’ yang menarik.
Tamagotchi dikeluarkan, dan lihatlah ia sebelum ia dibangkitkan dari tidurnya.
Secara asasnya, antara Tamagotchi versi pengeluaran semula iaitu Gen 1 dan Gen 2 ini, tiadalah ia banyak berbeza melainkan warna dan sedikit kelainan pada permainannya.
Tamagotchi yang sedang dieram dari telurnya.
Tamagotchi ini masih lagi mengekalkan reka bentuk serta ciri yang sama pada versi sebelumnya. Ia dibina dari bahan berasaskan plastik, dan skrinnya pula bukanlah skrin berwarna, serta tidak bernyala apabila ia diaktifkan.
Tamagotchi saya sudah keluar dari telurnya!
Sepertimana versi asal yang dipasarkan pada sekitar tahun 90an, Tamagotchi ini memerlukan begitu banyak perhatian. Berbeza dengan zaman tersebut di mana kurangnya notifikasi yang datang dari telefon pintar, kini agak mencabar juga rasanya hendak menjaga bayi makhluk asing yang banyak kerenah ini.
Apa yang saya kurang gemar pada teknologi ‘generasi lama’ ini ialah skrin LCD-nya yang tidak bernyala.
Jika anda gunakan ia pada keadaan cahaya optimum, maka tiada masalah. Anda akan dapat lihat ‘haiwan’ peliharaan anda itu dengan baik.
Tetapi jika anda mula mencuba untuk melihat ia dalam gelap, semoga berjaya. Memang tak nampak, dan ini satu kekurangan yang agak nyata di era skrin terang berwarna.
Jangan salah anggap dengan apa yang saya kata. Bukanlah ia bersifat negatif, melainkan lebih baik kiranya ia bernyala, sekurang-kurangnya kita akan dapat menjaga kebajikan makhluk tersebut apabila ia lapar, hendak mandi, atau bermain. Kelebihan skrin ini, ia tidak menggunakan bateri yang mudah didapati. Bateri digunakan adalah dari jenis CR2032, yang anda boleh dapati dengan mudah di kedai-kedai jam.
Sebut tentang bermain, pada model Gen 2 ini ia hadir dengan permainan berbeza, di mana anda perlu meneka nombor. Anda akan diberikan pilihan antara nombor 1 hingga 10, dan teka apakah nombor seterusnya lebih tinggi atau rendah dari nombor yang dipaparkan.
Ia tidak sama seperti Digimon, kerana tiada pilihan sambungan kepada Tamagotchi lain. Ini kekal hinggalah Bandai melancarkan Tamagotchi On, yang mana ia bercirikan skrin berwarna, serta dapat berhubung dengan Tamagotchi lain, berkahwin dan mempunyai anak.
Tamagotchi On.
Saya berhasrat (harapan baru!) untuk memiliki Tamagotchi On suatu hari nanti, apabila harganya sudah turun sedikit. Bukan apa, kalau ia boleh berhubung dengan Tamagotchi lain, tak puaslah kalau hanya beli sebiji sahaja. Kita mesti mahu dua!
Kembali kepada Gen 2, jika anda inginkan ‘cyber pet’ nostalgia ini dengan reka bentuk dan warna lama, anda boleh cari Gen 1. Jika anda inginkan warna baru, belilah Gen 2.
Harganya juga sudah lebih mampu dimiliki (lebih kurang RM70+). Sekarang, saya ingin tidurkan haiwan peliharaan saya ini. Selamat malam dan hasta la vista semua!
Kalau terma ‘machine learning’ dan ‘artificial intelligence’ membuatkan anda terasa seperti sedang berada dalam filem, maka terma baru ini iaitu Robotic Process Automation (RPA) akan buat anda terkesima apabila ia akan berkait secara langsung dengan hidup anda.
Apa Itu Robotic Process Automation (RPA)?
RPA ialah satu teknologi baharu yang membenarkan mana-mana individu untuk membuat konfigurasi atau tetapan perisian komputer, atau boleh digelar sebagai ‘robot’ untuk membuat kerja-kerja berinteraksi dengan sistem digital bagi melancarkan proses-proses bisnes harian.
‘Robot’ yang dimaksudkan bukanlah robot fizikal seperti dalam filem Terminator (cyborg), sebaliknya ia merupakan proses automasi dari perisian pada mesin fizikal atau maya.
RPA dicipta secara khusus bagi menyiapkan tugasan berulang berasaskan komputer dan juga kerja-kerja harian di pejabat.
Idea asasnya ialah buat satu perisian bagi mengambil alih kerja-kerja tersebut, dalam usaha menggantikan manusia dalam melakukan kerja seperti mengklik butang, menyalin tampal nilai, dan menaip data ke dalam ruang kerja.
Jika kerja tersebut boleh dilakukan berulang-ulang secara tetap, maka ia boleh diprogramkan. Hanya perlu tambah kecerdasan buatan dan anda akan dapat RPA pintar yang mampu ‘berfikir’ sendiri.
Kerja seperti memproses borang tuntutan dan borang cuti akan dapat dibuat dengan lebih cepat sebaik sahaja ia diserahkan. Tidak lagi perlu bergantung kepada manusia yang bias, selalu cuti/MC, atau ‘konon sibuk’ 24 jam.
Secara asasnya idea ini akan dapat membuatkan pejabat terus bergerak tanpa manusia dan nadinya hanyalah perisian.
Persoalan utama yang menjadi buah fikiran ketika ini ialah adakah RPA bakal membuat ramai pekerja hilang punca pendapatan apabila digantikan dengan perisian yang kurang bayaran penyeliaannya (mungkin) berbanding membayar gaji pekerja?
Ia juga memang akan buat interaksi ‘orang besar’ dengan pekerja bahawannya menjadi kurang atau bahkan tiada, apabila hanya ‘robot’ yang menguruskan semua borang.
Unit Sumber Manusia dan unit pentadbir tidak lagi memerlukan ‘budak pejabat’. Apa yang tinggal di pejabat hanyalah ‘bos’ sahaja.
Adakah ini yang mereka inginkan?
Adakah ini matlamat akhir, mengurangkan ‘beban’ tanggungan pekerja dengan memecat mereka semua?
Mungkin saya tersalah erti atau tanggapan, namun ini boleh menjadi salah satu kemungkinan, melainkan kilang atau tempat anda bekerja memang memerlukan tenaga pekerja ‘asli’ dari manusia, contohnya kilang percetakan. Itu pun bukan semua bahagian memerlukannya.
Sama-samalah kita nantikan permulaan era RPA di Malaysia ini.
Umum mengetahui NordVPN bukan ‘player’ baru dalam hal ehwal VPN. Mereka sudah lama berkecimpung dalam bidang ini, dan rekod trak mereka juga bersih dari sebarang skandal penjualan data.
Kini mereka mengorak langkah lagi dengan percubaan memperkenalkan protokol terbaru yang dinamakan sebagai NordLynx.
Protokol ini adalah berasaskan kepada WireGuard, yang mana ia dikatakan sebagai protokol terbaru yang penuh dengan ciri-ciri keselamatan unggul, dan kelajuan yang lebih baik.
WireGuard menggunakan cryptography canggih dan disokong oleh penyelidikan akademik yang menyeluruh. Dengan kombinasi ini, ia melangkaui kemampuan dan kelajuan protokol utama semasa iaitu OpenVPN dan IPSec.
WireGuard terdiri daripada hanya 4000 baris kod, menjadikannya mudah untuk digunakan, diaudit, dan dicari kerentanan padanya.
Sebagai perbandingan:
OpenVPN dijalankan pada 400,000 baris kod, yang bererti WireGuard akan membentuk hanya 1% daripada arkitektur OpenVPN yang besar itu.
Pun begitu, protokol ini masih dalam pembangunan yang pesat, dan ia jauh dari kesempurnaan. WireGuard dapat menjanjikan kecepatan sambungan rangkaian lebih baik, tetapi kemampuannya untuk membuat pengguna berada dalam keadaan ‘anonymous’ dikatakan tidak beberapa sempurna lagi.
Oleh kerana itu, NordVPN membangunkan sistem NAT (Network Address Translation) berganda.
Penerangan mudahnya, sistem NAT berganda ini akan membuat dua antaramuka rangkaian lokal untuk setiap pengguna. Antaramuka pertama memberikan alamat IP lokal kepada semua pengguna yang disambungkan ke pelayan. Tidak seperti protokol WireGuard asal, setiap pengguna mendapat alamat IP yang sama.
Apabila VPN mula bersambung, antaramuka rangkaian kedua dengan sistem NAT dinamik akan aktif. Sistem ini memberikan alamat IP yang unik untuk setiap sambungan. Dengan cara ini, paket internet boleh bergerak di antara pengguna dan destinasi yang dikehendaki tanpa bercampur antara satu sama lain.
Berikut adalah keputusan ujian kelajuan muat turun, muat naik, dan latensi selepas menggunakan NordLynx.
Gambar sumber dari: PCMag.
Buat masa ini, NordLynx hanya terdapat pada sistem operasi Linux.
Anda boleh merujuk kepada artikel ini untuk mengetahui cara pemasangan dan penggunaannya: Meet NordLynx.
Jika anda ingin melanggan, gunakan pautan ini bagi mendapatkan diskaun: .
Siri produk Tronsmart masih belum ada yang mengecewakan. Dari pengecas meja (desktop charger) hinggalah kepada pengecas dinding, kesemuanya memberikan prestasi yang konsisten.
Untuk pengetahuan anda, saya masih lagi menggunakan power bank Tronsmart Presto dari tahun 2017. Anda boleh agak bagaimana kualiti pembuatannya apabila hampir dua tahun ia masih memberikan prestasi yang sama ketika baru digunakan.
Atas sebab itulah saya tidak ragu mendapatkan satu lagi power bank yang bernama Trim. Kenapa namanya Trim? Kerana ianya sangatlah nipis. Jika anda rasa beg dompet anda nipis disebabkan kekurangan wang, jangan sedih, sebab power bank ini boleh menggantikan takhtanya.
Mari kita buka kotak.
Apa yang ada dalam kotak sebaik dibuka? Ada power bank Trim yang dibalut kemas dengan plastik lembut. Baiklah, mari kita ketepikan dulu power bank dan lihat apa yang ada disebalik belakang power bank tersebut.
Di dalamnya terdapat lanyard USB mikro, kad waranti, kad informasi VoltIQ, dan buku panduan pengguna.
Seperti yang dinyatakan di atas, Tronsmart Trim adalah sangat nipis dan ringan, dengan berat sebanyak 194.3g. Ia ada kemasan (finishing) seakan getah bercampur plastik (rubberized feel) yang selesa untuk dipegang.
Di bawahnya terdapat tiga port iaitu port input/output USB Type-C, port output USB-A, dan port input USB mikro.
Di sebelah tepinya pula terdapat butang penghidup beserta lampu 4 tahap indikator/penunjuk kuasa bateri.
Sama seperti produk Tronsmart yang lainnya, power bank ini menyokong teknologi pengecasan Quick Charge 3.0, Power Delivery 3.0, VoltIQ, dan serasi dengan teknologi FCP dari Huawei.
Dengan kapasiti sebanyak 10,000mAh, ia akan dapat mengecaj peranti anda sepantas pengecaj dinding biasa kerana output maksimumnya adalah 18W output berkembar. Bererti anda akan dapat mengecaj dua peranti serentak dengan kelajuan pengecasan yang sama.
Untuk menganggarkan saiznya bagaimana, anda boleh lihat gambar di bawah sebagai pengukuran perbezaan antara power bank tersebut dengan tangan saya.
Gambar di bawah ini pula adalah lanyard USB mikro yang diberikan. Jika anda mengguna peranti USB Type-C, nampaknya anda perlu membeli sendiri kabel untuk tujuan pengecasan. Dalam hal ini saya menyeru agar Tronsmart mula bergerak melangkah ke hadapan dengan menyokong juga USB Type-C, berikanlah sekali dengan kabel USB mikro.
Hanya ini sahaja kontra yang dapat saya fikirkan mengenai power bank Tronsmart Trim. Selain dari ‘isu’ ini, saya tidak dapat fikirkan kelemahannya yang lain. Barangkali selepas ini Tronsmart buat kapasiti lebih besar pula, contohnya 20,000mAh? Saya fikir itu lebih bagus untuk produk dengan ketahanan atau jangka hayat yang lebih lama.
Rasanya kos jadi tidaklah terlalu mahal bukan?
Kesemua produk Tronsmart mempunyai ciri keselamatan standard. Ia dilindungi dengan ciri seperti pencegahan dari litar pintas, arus, voltage, pengecasan dan discaj berlebihan, serta perlindungan dari suhu melampau.
Jika anda sudah berminat hendak menggantikan takhta beg dompet anda yang nipis itu dengan Tronsmart Trim (itu punchline), anda bolehlah membelinya melalui pautan berikut:
Ya, ia agak overpriced. Saya harap Tronsmart dapat membuat rasionalisasi harga terhadap kesemua produknya. Walaupun saya peminat jenama ini, tetapi mahal tetap mahal.
Jangan sesekali menindas pengguna yang meminati jenama anda dengan harga yang tinggi, sedangkan terdapat pelbagai lagi pilihan lain di luar.
Pada April lalu Meizu melancarkan model 16s, dan terkini dikatakan mereka akan keluarkan model 16s Pro, yang semestinya dengan spesifikasi baru.
Model 16s Pro ini akan menggunakan Snapdragon 855 Plus, beserta skrin AMOLED 90Hz, 120Hz touch sample rate. Tidak lupa juga terdapat in-display fingerprint scanner.
Kombinasi RAM dan memori pula adalah maksimum 12GB RAM dan 256GB ROM (UFS3.0).
Kelajuan pengecasan ialah 24W, beserta sokongan ‘mCharge Wireless‘ dengan kelajuan 18W.
Buat anda yang memang tak suka notch, atau motorized pop-up camera, haa. Reka bentuk ni sesuai sangatlah dengan citarasa anda tu.
Kamera di belakang dah jadi 3, iaitu gabungan 48MP kamera utama, dan telefoto 20MP. Satu lagi tu tak pasti lagi berapakah megapixels dan fungsinya. Maklumlah, maklumat bocor.
Seperti biasa, dari satu ke satu produk Tronsmart masuk ke laman ini, dan saya juga tiada plan untuk menghalang mereka dari menghantarnya kerana saya sudah lama menggunakan produk mereka.
Setakat ini senarai produk Tronsmart yang saya sedang gunakan masih berfungsi dengan baik dan saya berpuas hati akan kualitinya.
Oleh itu dari kita membuang masa, lebih baik kita terus buka kotak dan lihat apa yang ada dalam pakej pengecas pantas dari Tronsmart ini.
Seperti biasa, anda akan diberikan adapter, satu kabel USB-C, buku manual pengguna, kad waranti dan kad info mengenai VoltIQ™.
Apa itu VoltIQ? Ianya adalah satu kaedah pengecasan yang menyesuaikan aliran elektrik dan watt kepada ratio maksimum yang diperlukan oleh peranti. Ini bererti peranti anda tidak akan dicaj secara berlebihan, atau dicaj kurang pula dari kapasiti maksimum yang mampu diterima olehnya.
Pengecaj ini juga menyokong Quick Charge 3.0, dan ia merupakan ‘Quick Charge Certified Charger’. Anda tidak perlu bimbang akan kualiti dan keselamatannya kerana ia telah disahkan oleh pihak Qualcomm. Anda boleh semak atau muat turun senarai pengecaj yang mendapat pengesahan sokongan rasmi Quick Charge dari Qualcomm di sini: Quick Charge Device List.
Apakah perbezaan antara teknologi Quick Charge dan VoltIQ?
Quick Charge adalah teknologi pengecasan pantas dari Qualcomm, yang hanya serasi dengan peranti yang menggunakan pemproses Snapdragon.
Manakala VoltIQ pula teknologi yang diterapkan ke dalam pengecas Tronsmart, serasi dengan mana-mana peranti. Ia akan menyelaraskan kelajuan pengecasan sesuai dengan spesifikasi dan kemampuan penerimaan peranti.
Apa yang bagusnya, selain menyokong Quick Charge 3.0, ia juga menyokong ‘keserasian ke belakang’ atau backwards compatible dengan peranti yang mempunyai teknologi Quick Charge 1.0 dan 2.0.
Tetapi pada saya ciri paling mantap dan paling penting pada pengecas ini ialah ciri keselamatannya.
Pengecas WC1T ini mempunyai ciri perlindungan dari pengaliran arus dan voltage berlebihan, perlindungan dari litar pintas, dan juga perlindungan dari suhu panas melampau.
Keseluruhan material, kemasan akhir, dan kualiti binaan tidak perlu dipertikaikan lagi. Tronsmart merupakan salah satu jenama pertama yang mana produknya dibuat menggunakan teknologi dan kelulusan dari Qualcomm untuk mengimplementasi pengecasan pantas Quick Charge 2.0.
Atas sebab itu Qualcomm tidak ragu memberi kelulusan bagi variasi produk baru yang mengguna pakai Quick Charge 3.0 pula kepada mereka. Di sini saya juga sangat berharap agar Tronsmart menjadi antara peneraju pengecas Quick Charge 4/4+.
Kemasan pengecas ini dapat anda lihat pada gambar berikut. Ia tidak hanya semata-mata beberapa litar ringkas, sebaliknya dipenuhi dengan fungsi-fungsi keselamatan unggul. Dari luar reka bentuknya biasa sahaja. Nampak tiada apa yang terlalu istimewa. Cuma saya sukakan ‘finishing’ atau kemasan warna hitam matte padanya.
Di sini saya tunjukkan dua sampel kelajuan pengecasan pada dua peranti yang saya miliki iaitu Redmi Note 7 dan Mi 9T.
Kelajuan pengecasan pada Redmi Note 7.
Kelajuan pengecasan pada Mi 9T.
Baiklah, jika anda berminat dan ingin mendapatkannya, anda boleh hala ke pautan di bawah: