Utama Blog Laman 67

Fujifilm Dilanda Ransomware

0

Serangan ransomware tidak surut, malah semakin bertambah dari masa ke masa. Pengendali ransomware sudah kerap kali menyerang organisasi besar, dan kali ini Fujifilm adalah mangsanya.

Para pengendali ransomware telah mengejar sasaran yang lebih besar pada tahun 2021, dengan mangsa baru-baru ini termasuk pemproses daging mega JBS USA, Colonial Pipeline (pembekal sekitar 20 peratus bahan bakar ke Pantai Timur AS), Canon, dan kini Fujifilm terselit dalam senarai.

Mesej yang dikirimkan kepada rakan sekerja tempatan sekitar jam 4 pagi, pagi ini mengatakan, “FUJIFILM Corporation di Tokyo menyedari kemungkinan terdapat serangan ransomware, yang telah menjangkiti banyak PC dan pelayan di Jepun.”

“Sistem ditutup atas langkah berjaga-jaga.”

“Fujifilm akan menyahaktif persekitaran rangkaian dan pelayan, dan oleh itu tidak akan dapat menerima dan memenuhi pesanan.”

Serangan demi serangan menunjukkan bahawa gelombang ini tidak akan surut, bahkan bertambah kerana pengendali ransomware melihat dapat membuat keuntungan mudah dengan peras ugut dilakukan.

Semua syarikat dan orang perseorangan diminta lebih berhati-hati dalam setiap urusan yang dilakukan.

Langkah keselamatan harus diterapkan, terutamanya untuk bidang kritikal seperti hospital dan badan beruniform.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Pixel 6 Gimbal Camera

0

Gimbal Camera‘ pada telefon pintar, pernah dibuat pada telefon dari jenama Vivo dan LG.

Ia bukan ciri baru, dan disebabkan itu syarikat lain boleh mengambil serta menambah baik fungsi ini.

Dikatakan oleh seorang tipster dengan nama ‘Tron‘, antara beberapa ciri bocor yang bakal ada pada Pixel 6 ialah kamera bergimbal.

Selain itu, ia juga bakal dilengkapi dengan sensor Samsung yang lebih besar, NPU khusus Google (unit pemprosesan neural) dan ISP yang akan mempunyai prestasi lebih baik daripada telefon pintar Pixel 5 tahun lepas.

Tron juga mendakwa bahawa telefon pintar oleh Google juga akan membawa penambahbaikan yang besar pada bahagian video.

Google telah mendapat pujian untuk pengambilan gambar biasa, gambar potret, dan juga penggambaran di waktu malam, tetapi ketinggalan dalam persaingan dari segi prestasi video. Mungkin jika informasi ini benar, Pixel 6 dapat menawarkan kualiti rakaman video yang dinantikan para pengguna Android.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

UC Browser Ialah Spyware

0

Sebelum ini kami pernah membuat pendedahan mengenai aplikasi TikTok, yang juga kami panggil sebagai spyware, pada bulan 6 tahun lepas.

Kini, bulan 6, tahun 2021, kami memberikan gelaran yang sama kepada UC Browser, pelayar web milik syarikat Alibaba dari China.

Abam lihat pelayar ini menjadi antara kegemaran di kalangan penggunanya di Malaysia lantaran selalu dipromosikan oleh ‘cakap mulut’ akan ciri muat turun yang pantas, ‘ringan’ pada sistem, dan sebagainya lagi.

Tetapi semua itu ada ‘harganya’ yang perlu dibayar oleh para penggemar.
UC Browser mengatakan ia tidak akan merekodkan sebarang aktiviti apabila pengguna mula mengaktifkan mode ‘incognito‘.

Ini semua hanyalah janji palsu, apabila ia menghantar maklumat mengenai kesemua laman web yang dilawati oleh pengguna Android mahupun iOS, ke pelayan yang dimiliki oleh UCWeb – tidak kira sama ada pengguna tersebut mengaktifkan mode incognito atau tidak.

Perkara ini ditemui oleh penyelidik sekuriti, Gabi Cirlig. Selain maklumat terperinci laman web, alamat IP pengguna juga turut dikongsikan ke pelayan yang dikawal Alibaba. Pelayan tersebut menggunakan domain .cn, tetapi didaftarkan di Amerika Syarikat.

Nombor ID juga diberikan kepada setiap pengguna, yang bermaksud aktiviti mereka di laman web yang berbeza dapat dipantau oleh syarikat berkenaan dengan berkesan, walaupun pada masa ini masih tidak jelas apa yang dilakukan oleh Alibaba dan anak syarikatnya dengan data tersebut.

Ini dapat dengan mudah mencipta satu bentuk cap jari digital kepada pengguna dan menjejak mereka kembali kepada identiti sebenar.

Sumber: Gabi Cirlig

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

TikTok Ialah Spyware: Data Anda Merupakan ‘Harga’ Yang Perlu Dibayar

0

Maaf, abam tak pernah muat turun, guna, dan menyelami apa yang asyik sangat ada pada TikTok.

Disebabkan ada fans yang meminta untuk kami ulas berkenaan aplikasi ini, maka inilah sedikit sebanyak apa yang boleh kami kongsikan.

Sesetengah orang akan berkata ‘privasi sudah mati’, hanya kerana mereka menggunakan Facebook, Instagram, Messenger, dan sebagainya lagi.

Tetapi apa yang dihantar ke pelayan oleh semua aplikasi itu tidak seperti apa yang dihantar oleh TikTok, serta API digunakan oleh variasi aplikasi dari Facebook tidak menyembunyikan (obfuscate) data yang dihantar kembali ke pelayannya.

Ini bukan tuduhan, sebaliknya TikTok bukan sahaja malware, bahkan spyware dan parasit yang hidup di dalam telefon pintar anda dengan menyedut data sulit anda, semahunya.

Aplikasi Ini dikenali sebagai Douyin di China, dan TikTok untuk pasaran luar, dimiliki oleh syarikat bertempat di Beijing, bernama ByteDance.

Seorang redditor, bangorlol, telah membuat kejuruteraan berbalik pada aplikasi TikTok, dan ini ialah apa yang beliau temui.

Sekiranya ada apa jua jenis API membolehkan TikTok untuk memungut, menuai, dan mengutip data anda, mereka akan gunakannya.

Antara data dihantar keluar ialah:

  1. Perkakas telefon (jenis CPU, ID perkakasan, dimensi skrin, DPI, penggunaan memori, ruang storan).
  2. Aplikasi selain TikTok yang dipasang di peranti, termasuk yang pernah dipasang, kemudian dinyahpasang.
  3. Semua maklumat berkenaan rangkaian.
  4. Sama ada peranti anda telah root atau jailbreak.
  5. Heartbeat.
    Apa itu heartbeat? Ia adalah ping setiap beberapa saat untuk menentu sahkan lokasi sebenar anda.
  6. Kebolehan untuk menyalahgunakan ‘transcoding media‘ melalui pelayan proksi lokal kerana ia tidak mempunyai sebarang kaedah pengesahan ID.

Kesemua pengelogan dilakukan oleh TikTok dapat dikonfigurasi dari jarak jauh (remote).
Terdapat juga beberapa potongan kod pada versi Android yang memungkinkan untuk memuat turun fail zip dari jarak jauh, membuka fail zip, dan menjalankan binari tersebut.

Secara logik, tidak ada sebab aplikasi mudah alih memerlukan semua fungsi² ini.

TikTok juga tidak menggunakan HTTPS setelah sekian lama. Aplikasi itu membocorkan maklumat emel pengguna, serta emel kedua yang digunakan untuk penetapan semula kata laluan.

Selain itu, informasi nama sebenar pengguna serta tarikh lahir juga dapat dilihat secara terbuka beberapa bulan lepas sekiranya ada individu lain membuat serangan Man-In-The-Middle.

Satu perkara kritikal mengenai semua ini, pembangun TikTok tidak mahu anda tahu berapa banyak informasi mengenai diri anda yang telah mereka kumpulkan.

Data analitik itu dienkrip menggunakan algoritma yang berubah melalui setiap kemas kini. Semuanya bertujuan untuk menyembunyikan apa yang mereka telah kumpul.

Jika sehingga tahap itu, TikTok sanggup lakukan untuk memperoleh data, anda boleh fikirkan sendiri atas tujuan apa pula mereka menuai sebegitu banyak maklumat tentang pengguna aplikasi mereka.

Agensi perisikan India telah memberi amaran mengenai TikTok dan meminta kerajaan India untuk mengharamkan terus aplikasi itu, manakala tentera Amerika Syarikat pula telah pun melarang TikTok dari dipasang pada telefon milik kerajaan.

Sumber: Reddit, ZDNet

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Pengeluar Daging, JBS USA Dilanda Ransomware

0

Belum pun reda isu yang menimpa Colonial Pipeline, yang mengakibatkan tertundanya bekalan gas di Amerika Syarikat, kini ransomware menyerang pula pengeluar daging di sana, iaitu JBS USA.

Serangan siber yang mensasarkan JBS, pengeluar daging terbesar di dunia, boleh mengganggu rantaian bekalan dan menyebabkan kenaikan harga bagi pengguna Amerika.
Fasiliti daging lembu JBS telah mengalami penutupan di seluruh negara, termasuk kilang pembungkus daging di Greeley.

Sebagai tindak balas terhadap serangan itu, JBS USA menyahaktif sistem yang dijangkiti ransomware, memaklumkan penguatkuasa undang-undang, dan mula bekerja dengan firma respons insiden luar untuk proses pemulihan.

Fasiliti JBS di Australia, AS, dan Kanada menghadapi kesulitan sejak serangan itu pertama kali dikesan pada hari Ahad.

Serangan yang menimpa JBS kini mula mengganggu rantaian industri daging, menyebabkan beberapa ladang ditutup, pekerja dihantar pulang, dan ternakan dihantar kembali kepada penternak setelah dibawa untuk penyembelihan.

Di Australia, keadaan itu memberi kesan yang sangat ketara pada rantaian bekalan tempatan, walaupun para pegawai mengatakan kesannya dapat dibendung jika JBS dapat memulihkan operasi dengan cepat.

Serangan ransomware ke atas semua jenis industri dan infrastruktur kritikal secara tidak henti-henti semakin menimbulkan keresahan dan kekacauan kepada prosedur pekerjaan harian.

Tidak lupa juga, ransomware makin berevolusi setiap kali serangan dibuat, menyebabkan pentingnya setiap pekerja memahami bagaimana serangan dan jangkitan dapat berlaku kepada sistem operasi masing-masing.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Vortex VIBE: Kecil Tapi Lengkap

 

Apa Dalam Kotak

Vortex VIBE adalah papan kekunci dengan pembungkusan yang paling unik pernah saya miliki. Mana tidaknya, bila kali terakhir anda membeli papan kekunci dan pengilang menghantar anda papan kekunci di dalam tin? Bukan itu sahaja, papan kekunci ini berada selamat di dalam tin dengan padding span yang tegap. Span ini memegang papan kekunci dengan kemas di dalam tin. Kualiti dan keselamatan papan kekunci semasa penghantaran anda pastinya tidak akan menjadi kerisauan apabila menempah Vortex VIBE anda sendiri.

Rekaan dan corak pada tin masih lagi minimalis. Paling mahal pada rekaannya sudah tentunya penjenamaan Cherry MX pada permukaan tin. Seperti Vortex Pok3r, Vortex VIBE ini juga hadir bersama suis mekanikal Cherry MX.

Di dalam tin, anda menerima sebuah papan kekunci, kabel USB Mikro, kaki papan kekunci tambahan, dan beberapa butang kekunci tambahan pelbagai warna. Semuanya dimasukkan ke dalam plastik kecil tersendiri.

Kualiti Binaan

Melihat kepada papan kekunci ini sepintas lalu, ia hadir dalam layout yang agak unik iaitu 78%. Nak dikatakan TKL, ia ada numpad. Nak dikatakan layout penuh, ia tiada butang kekunci fungsi dan anak panah. Saya masih lagi tidak menjumpai mana-mana papan kekunci lain di pasaran dengan layout ini.

Vortex VIBE mempunyai ketinggian yang rendah dengan rekaan papan kekunci tanpa bingkai. Ia juga nipis dan rendah yang berbeza dengan kebanyakan papan kekunci di pasaran. Anda boleh meniggikan sedikit papan kekunci ini menggunakan kaki yang dibekalkan bersama, tapi pilihan anda hanyalah pasang kaki atau biarkannya rata sahaja.

Hadir dengan binaan plat alumunium nipis sebagai tapaknya. Tiada kaki pelaras ketinggian, tetapi anda dibekalkan dengan dua tapak getah yang boleh diskru di bawah untuk menambah sedikit ketinggian papan kekunci ini.

Sama seperti Vortex Pok3r, anda juga boleh menukar layout papan kekunci ini kepada Dvorak, Colemak ataupun QWERTY. Bezanya, anda boleh menukarnya melalui butang kekunci sahaja, tidak lagi dengan suis DIP seperti Vortex Pok3r.

Sambungan

Vortex VIBE menggunakan sambungan berwayar dengan kabel mikro USB. Ia tidak menyokong sambungan bluetooth ataupun sambungan tanpa wayar. Kabel sambungan disediakan bersama-sama papan kekunci.

Lubang USB pada Vortex VIBE ini dibina dengan kemasan yang kemas tanpa lekukan. Sekiranya anda ingin menggunakan kabel sendiri, anda tidak perlu risau dengan saiz dan kedudukan lubang USB ini kerana ia tidak dihalang dengan mana-mana alur.

Butang Kekunci dan Suis

Vortex VIBE hadir dengan suis mekanikal Cherry MX. Untuk unit saya, ia dilengkapi dengan Cherry MX Brown. Bagi saya, Cherry MX Brown adalah satu suis yang ‘ok’, terutama sekali bagi papan kekunci dengan saiz yang besar seperti ini.

Jangan terlalu mendengar pendapat orang lain yang membenci suis ini. Bagi saya, anda perlu cuba dahulu untuk merasai dan menilai sendiri sama ada anda sesuai ataupun tidak dengan suis ini. Secara peribadi, bagi saya Cherry MX Brown adalah relevan dan ‘masuk akal’ sebagai suis yang paling ‘selamat’ buat pemula.

Butang kekunci Vortex VIBE juga daripada PBT dengan cetakan dakwat selaman. Cetakan huruf dan nombor pada butang kekunci ini dijamin tidak akan pudar kerana warnanya telah tertanam di dalam plastik PBT. Ini memberikan butang kekunci ini jangka hayat yang panjang.

Butang kekunci pada papan kekunci ini tidak mempunyai bahagian telap cahaya kerana papan kekunci Vortex VIBE ini tidak dilengkapi dengan pencahayaan pada suis ataupun papan utamanya.

Penstabil butang kekunci pada Vortex VIBE ini adalah penstabil khas daripada Vortex Keyboards sendiri. Dengan warna oren yang terang, sememangnya penstabil ini akan jelas kelihatan apabila anda mencabut butang kekunci. Besi penstabil juga telah dipralincir daripada kilang. Secara purata, bunyi dan kelancaran menaip sudah cukup cemerlang untuk sebuah papan kekunci stok.

Satu-satunya lampu LED yang ada pada Vortex VIBE adalah pada butang CAPS LOCK nya sahaja. LED merah menandakan CAPS LOCK, LED hijau menandakan Num Lock, dan LED kuning menandakan kedua-dua CAPS LOCK dan Num Lock sedang diaktifkan.

Sekiranya Vortex VIBE anda tidak mempunyai mod LED ini, jangan risau kerana anda hanya perlu mengemaskini firmware terbaru untuk mendapatkan mod LED ini. Firmware lama hanya akan menyalakan lampu apabila CAPS LOCK dihidupkan dengan LED berwarna putih. Firmware boleh didapati di laman web rasmi Vortex Keyboards.

Kesimpulan

Vortex VIBE adalah antara papan kekunci paling unik di pasaran. Dengan layout 78%, ia berbeza dengan layout papan kekunci popular di pasaran yang kebiasaannya hadir dalam 60%, 65%, TKL atau papan kekunci penuh.

Pun begitu, setelah sebulan menggunakannya, layout 78% ini terasa begitu lengkap. Saya boleh menggunakan butang anak panah dan juga numpad dengan hanya menekan satu butang pilihan.

Untuk menukar butang kekunci pula, tiada masalah kerana anda boleh sahaja membeli set butang kekunci untuk papan kekunci penuh dan ia sesuai untuk Vortex VIBE ini. Tapi secara peribadi, saya rasa butang kekunci asal sudah cukup bagus dengan plastik PBT tebal dan fon yang cukup jelas. Tambahan pula, Vortex sudah pun memberi beberapa butang kekunci tambahan sekiranya anda ingin mengubah gaya sendiri.

Kekurangan pada Vortex VIBE ini adalah ia tiada mod sambungan tanpa wayar, tiada keupayan hotswap pada suis kekunci dan tiada RGB. Namun begitu, sebagai sebuah papan kekunci di pejabat dan tempat kerja, ia sememangnya cukup sempurna. Binaan besi penuh, suis Cherry MX dan juga layout 78% yang sangat berguna. Sememangnya ini antara papan kekunci yang wajib dimiliki.

Ia ringan, kecil, dengan layout unik yang mengekalkan ciri minimalistik tanpa mengorbankan kefungsian. Menaip dengan menggunakan Vortex VIBE sememangnya satu pengalaman yang menyelesakan.

Galeri Gambar

 

 

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Apa Yang Menarik Dalam Windows 11 Binaan 21996.1?

0

Seperti tajuk dekat atas tu dan ramai yang dah tau mengenai kekecohan ISO Windows 11 terlepas keluar sebelum tarikh sebenar Microsoft nak lancarkan Windows 11 tersebut pada 24 Jun ini dalam Insider Preview.

Apabila Microsoft umumkan yang Windows 10 akan ditamatkan pada Oktober 2025, ini merupakan petanda besar yang orang ramai boleh agak, ‘nak keluar Windows baru la tu’.

Mesti ada tertanya-tanya, bukan ka Microsoft kata Windows 10 ni merupakan sistem operasi yang terbaik dan menaburkan segala janji manis. Biasa la beb, hati manusia boleh berubah, begitu juga dengan Microsoft.

Bila tertiris tangkapan layar Windows 11 di tapak web Baidu, lepas tu bermula lah pesta pautan muat-turun ISO tersebut tersebar merata tempat.

Pertama kali tengok tangkapan layar Windows 11, mesti terfikir adakah ini jelmaan Windows 10X yang Microsoft kata ia dah mati. Adakah ini menghantui Microsoft dan pengguna Windows yang lain?

Nahh, ini bukan cerita hantu jadi tenang jangan takut bagi yang duduk sorang-sorang tu. (jangan tengok bawah katil)

Pendek kan cerita, nantikan acara terbesar Microsoft pada 24 Jun ni.

Jadi, apa yang menarik sangat dekat Windows 11 kalau nak bandingkan dengan Windows 10 yang sedia ada? Tak banyak sangat tapi boleh la.

Windows 10 Pro, Binaan 21996.1 versi Dev

Laptop yang kami guna untuk bermain Windows 11 ni ialah ASUS A556U dan spesifikasi boleh rujuk gambar atas.

Nanti akan nampak gambar-gambar bawah ni kebanyakkan petak Windows hujung tak tajam, jadi segi empat sama bulat.

Rekabentuk Desktop Taskbar Yang Baru

Taskbar Windows 11

Taskbar Windows 10X11 secara lalainya berada dekat tengah dan jika ampa perasan dekat masa dan waktu jugak terdapat hari sekali, juga secara lalai.

Cortana tidak lagi berada dekat Taskbar Windows 11 sebab dia merajuk.

Jika tengok ‘Taskbar’ tu, tema unsur Aero kembali secara lalai. Kalau ampa guna tema Gelap, lagi nampak lawa. Kenapa pakai tema putih, tak sakit mata ka?

Gambar bawah ni tetapan Taskbar dalam Windows 11.

Tetapan Taskbar Windows 11

Rekabentuk Pencarian Yang Baru, Tapi…

Pencarian Windows 11

Apa yang baru? Selain daripada ikon baru, depa tukarkan bar pencarian dari bawah ke atas ja.

Ruangan Widget Sendiri

Masih ingat lagi kemaskini ‘Cumulative’ yang lalu tiba-tiba muncul benda alah bawah ni?

Widget dekat Windows 10 yang hadir tidak diundang

Lepas ramai tak suka akan kehadiran dia, dia pun pindah duduk bilik lama Cortana.

Widget Windows 11

Seperti mana ia dekat Windows 10, macam tu la dekat Windows 11. Cuma dekat Windows 11 lagi lawa dengan tema Aero, ada jam tambahan dan kad nampak menarik mungkin sebab sentuhan Aero.

Dekat Windows 10, kita boleh sorok semua kad secara terus dekat Widget tu manakala dekat Windows 11, kita kena masuk ‘Manage interests’ untuk sorok kad apa yang kita tak nak.

Nak senangkan pengguna ka nak susahkan pengguna ni?

‘Quick Action’ Mendapat Sentuhan Android 12 Pada Ruangan Notifikasi

Ruangan Notifikasi dan ‘Quick Action’ Windows 11

Ini bukan gambar yang ditampal dengan ‘QS Tiles’ Android tapi memang bentuk ‘Quick Action’ Windows 11.

Tiada yang luar biasa hanya tema Aero dan segi empat sama bulat.

Cuma terkilan dengan warna dia. Ikutkan warna tu merah 255, tapi jadi lagu ni. Tu kami kata dah macam Android punya ‘QS Tiles’.

Perubahan Start Menu Yang Baru, Lagi Menyusahkan

Start Menu Windows 11, pasti macam pernah nampak kan?

Jujur kami habaq mai, kami suka rekabentuk lagu ni. CUMA, program (dalam ni dia panggil aplikasi) yang kita semat tu, tak boleh bagi duduk dalam kumpulan macam gambar bawah ni. Hang bayangkan kalau letak banyak-banyak jadi lagu mana?

Start Menu Windows 11 apabila semat aplikasi dengan banyak

Kena tatal ke bawah (scroll down) untuk tengok halaman seterusnya aplikasi yang disematkan.

Start Menu Windows 10

Kalau sebelum ni ampa punya Start Menu dekat Windows 10 ada buat lagu ni, kirim salam laaa.

Start Menu Windows 11 ubah kedudukan ke kiri

Ini bukan tangkapan layar distro Linux, tapi Start Menu Windows 11 bagi yang tak boleh ‘move-on’ dengan Windows 10, ampa boleh ubah kedudukan ‘Start Menu’ ke kiri.

Masih tak suka? Teringat kekasih lama (Windows 10)? Biasa la ambil masa nak curi hati awak, eh.

Start Menu Windows 10 Kembali Dalam Windows 11

Nak tukar ‘Start Menu’ Windows 11 macam gambar kat atas? Klik pautan ini. (akan datang)

Perubahan Task View Memaparkan Windows Sahaja

Task View Windows 11, pi mana habis sejarah aktiviti?

Kalau ampa selalu guna ‘Task View’ dekat Windows 10, pasti akan rasa pelik kerana dalam Windows 11 hanya fokus pada Windows dan Desktop yang ampa buka sahaja.

Tiada sejarah aktiviti macam gambar bawah ni. Mungkin ada yang tak suka kot takut ‘kantoi’.
Bagi kami ok ja sebab kami tak guna pun ‘Task View’. hahahaha

Task View Windows 10, abaikan tindihan gambar

Menu Klik Kanan Start Menu Makin ‘Fit’ dan Lawa

Kiri Windows 10, kanan Windows 11

Kalau tengok dari segi fungsi dan pilihan tu sama ja, yang berubah ialah tema, ‘fit’ dan lawa.

Hah, sebut pasal klik kanan, jika ampa klik kanan dekat Taskbar Windows 11, dia tak keluar banyak-banyak pilihan dah, dia keluar satu ja macam gambar bawah ni.

Klik kanan Taskbar Windows 11

Auto HDR, Fungsi Konsul Di Windows 11

Tetapan HDR Windows 10 Insider Preview (Siaran Dev), jangan risau Windows 11 pun sama

Bagi yang pakai Windows 10 Insider Preview (terutama sekali siaran Dev), dah merasa Auto HDR ni. Bila Windows 11 dapat fungsi ni, hat geng Insider Preview tak hairan la.

Untuk maklumat lanjut pasal Auto HDR, boleh baca dekat sini.

Periksa Tahap Kesihatan Perkakasan Storan Secara Langsung

Periksa Tahap Kesihatan Perkakasan Storan Windows 11

Sebelum ni kita kena pasang pelbagai perisian untuk periksa tahap kesihatan perkakasan storan kita sama ada sihat ka, sakit ka apa.

Tapi kini, Windows 11 boleh periksa tahap kesihatan mereka untuk ampa. CUMA, dia hanya periksa kata sihat, teruk ja la. hahaha

Jadi, kami cadangkan guna perisian yang ampa selalu guna kerana maklumat lebih terperinci daripada yang ni.

Kawalan Windows Yang Baru Lebih Ringkas

Kawalan Windows, Windows 11

Sebelum ni kalau kita nak bahagi skrin kepada 2, 3 atau 4, kena klik dan seret windows/perisian yang kita nak tu ke kiri atau kanan dan akan keluar cadangan bahagian seterusnya nak pilih windows apa kan?

Kini dalam Windows 11 ampa boleh guna fungsi tersebut secara langsung tanpa nak seret-seret dah. Hanya letak anak panah dekat ‘Maximize’ dan pilih nak bahagi lagu mana.

Bunyi Windows Startup Diaktifkan Secara Lalai

Bunyi Windows Startup Diaktifkan Secara Lalai Dalam Windows 11

Ramai kata Windows 11 kembalikan semula bunyi Startup. Sebenarnya Windows 10 dah ada benda ni, cuma ia tidak diaktifkan secara lalai. Tapi jangan aktifkan dekat Windows 10 sebab buat sakit hati ja bunyi dia. hahahaha

Cuma di Windows 11, bunyi dia sedap la kalau nak bandingkan dekat Windows 10 yang masih tak boleh move-on dari kekasih lama bunyi dia.

Berbaloikah pasang Windows 11?

Atas Windows 10 Insider Preview Binaan 21390.2025 Versi Dev dan Bawah Windows 10 Binaan 21996.1 Versi Dev

Jika ada lebihan PC/Laptop atau nak hidupan yang dah lama ‘tidur’, boleh la cuba pasang Windows 11 ni untuk merasa benda ‘baru’.

Cuma kena ingat, ia memerlukan;

  • Secure Boot diaktifkan
  • TPM 2.0 diaktifkan, jika AMD aktifkan fTPM
  • UEFI

Komputer kami masih lagi guna Windows 10 Insider Preview Binaan 21390.2025 Versi Dev sebab dok main permainan dekat situ dan tak rasa nak tukar ke Windows 11 kerana apa yang ada dalam Windows 11, dah ada dalam Insider Preview.

Cuma fungsi baru tu takda la, benda lain macam Auto HDR dan ikon baru tu memang dah ada lama dalam Insider Preview.

Selain daripada itu, bukan fungsi baru sahaja yang ada dalam Windows 11 tapi ralat baru turut ada iaitu;

  • Pemasangan Microsoft .Net Framework gagal
  • Sistem kadang-kadang tersedu, mungkin perlukan air
  • Pemasangan fungsi lain gagal, termasuk pek bahasa
  • Butang pencarian di Microsoft Store kadang-kadang gagal berfungsi dengan baik
  • Ada sesetengah orang dapat Windows mereka petak tajam, bukan petak bulat
  • Taskbar hilang selepas memasang driver grafik yang terkini/beta (WDDM 3.0)
  • dan lain-lain

Perisian yang kami selalu guna dekat Windows 10, ia berfungsi macam biasa dalam Windows 11. Lagi-lagi program Guitar Pro 7 sebab kami guna program tu untuk berlatih main gitar.

Guitar Pro 7 dalam Windows 11

Kami harap, Microsoft tukar rekabentuk ‘Lockscreen’ sebab dalam Windows 11 ni sama macam Windows 10.

Lockscreen Windows 11

Jika berminat nak pasang dahulu Windows 11 ni, sila klik pautan bawah ni
Cara Memasang Windows 11 Binaan 21996.1 Yang Tertiris

Jangan risau pasal kunci lesen Windows 11 kerana ia boleh guna kunci lesen Windows 10 tau.

Sampai di sini kami merapu pasal Windows 11. InsyaaAllah jika ada kesempatan masa dah keluar versi ‘habis masak’ Windows 11, kami akan tulis lagi.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Cara Memasang Windows 11 Binaan 21996.1 Yang Tertiris

0

Pada tarikh 16 Jun 2021, kecoh dekat internet pasal ISO Windows 11 tertiris dan ramai mula mencari nak mencuba sendiri Windows tersebut, termasuk la kami sampai tak tidur malam. hahahaha

Pada asalnya, ia tertiris tangkapan layar Windows 11 di tapak web Baidu, lepas tu disusuli pesta pautan muat-turun ISO tersebut tersebar merata tempat.
Kami jumpa pautan muat-turun dekat Baidu, tapi leceh nak sedut dari sana.

Lalu terjumpa tapak forum ini, My Digital Life dan kat sana ramai kongsi pautan muat-turun ISO tu. Tunggu lagi benda dah boleh sedut.

Jadi dengan korbankan waktu tidur, sedut ISO tu dan terus pasang dekat laptop kami, ASUS A556U yang mana tengah guna Windows 10 Insider Preview Binaan 21390.2025, Siaran Dev. (sama macam PC kami)

PC kami tak pasang Windows 11 dan akan pasang dari Insider Preview, siaran Dev katanya 24 Jun ni depa bagi.

Diingatkan ini binaan beta, jadi bukan sahaja ada fungsi baru malah ia ada ralat baru juga. risiko tanggung sendiri tau..tau..tau

Tanpa kita melengahkan masa, ampa pun tak sabaq nak merasa Windows 11 lebih awal, jom kita apa yang perlu ampa sediakan dan cara-cara pemasangan Windows 11.

Apa yang ampa perlukan ialah;

  • Windows 11 Binaan 21996.1 (terima kasih luzea dari forum MDL muat-naik ISO ini)
  • Rufus
  • Seketul pendrive (lebih daripada 4GB dan 8GB pun dah mencukupi
  • Seketul mesin yang terpaksa bersedia untuk didera
  • Salinan data jika ada data penting

Selesai sedut barangan tersebut, sila ikut langkah-langkah kat bawah ni berdasarkan gambar di bawah.

Perisian Rufus yang diguna untuk pasang ISO ke Pendrive
  1. Buka perisian Rufus yang ampa sedut tadi.
  2. Bahagian ‘Device’ tu, pastikan pilih Pendrive ampa nak guna tu.
  3. Tekan ‘SELECT’ untuk bagi Rufus berkenalan dengan ISO yang ampa sedut tadi.
  4. Dekat ‘Target system’, sila ambik UEFI. Jika motherboard ampa ada CSM, ambik ‘(non CSM)’.
  5. Dekat ‘File System’, pastikan ambik FAT32. Sebab kami guna Windows 7 USB DVD Download Tool dia buat Pendrive kami jadi NTFS dan bila aktifkan ‘Secure Boot’, takda dalam senarai boot.
  6. Bila langkah 1-5 dah selesai, boleh tekan butang ‘START’ tu lalu pi la buat benda lain dulu sementara tunggu ia siap.

Dekat PC/Laptop yang ampa nak main Windows 11 ni, pastikan sudah lakukan tetapan di bawah ni pada tetapan BIOS;

  • Aktifkan ‘Secure Boot’
  • Aktifkan TPM, bagi yang guna AMD, aktifkan fTPM.

Lepas tu tunggu apa lagi, boot masuk Pendrive lah. Tapi jangan lupa sambung dahulu Pendrive nanti mesin tak jumpa dengan sapa dia nak bersembang.

Jika ampa dapat ‘PC ini tidak dapat pasang Windows 11‘, ini bermakna ampa tak aktfikan Secure Boot dan TPM serta Pendrive bukan dalam mod UEFI.

Ada cara lain nak pasang, tapi kami tengok macam rumit sebab kami pun tak pandai mana. Jadi guna cara asal-boleh ni lah.

Terlupa pulak cara pasang Windows, mudah sahaja;

  1. Ikut arahan yang terpapar dekat skrin tu, jika dia mintak kunci lesen, cakap ja takda. Dia tak marah aihh.
  2. Pastikan ampa ingat ‘Drive’ mana nak delete dan kalau boleh delete semua yang bukan tulisan ‘Primary’ kemudian ‘Create’ balik.
  3. Lepas ‘Create Partition’, tekan balik partition baru buat tadi yang paling besar ada label ‘Primary’ tu dan tekan Format.
  4. Selepas selesai format, tekan ‘Next’ dan pi la bancuh ayaq ka apa.
  5. Selesai.

Dah keluar tetapan Windows 11, ampa ikut la proses macam biasa.

Kredit gambar, Thurrott

Sampai dekat bahagian atas ni, ampa boleh tutup internet jika tak mau log masuk akaun Microsoft sebab dia takda butang ‘Skip’.

Jadi, tutup internet dan tekan butang ‘Back’ tu dan tekan ‘Next’ balik lalu boleh daftar akaun lokal.

Tambahan: Boleh pilih ‘Sign-in option’, ambik ‘Use offline account’.

Selamat bermain, dan pautan mengenai Windows 11, klik pautan bawah ni
Apa Yang Menarik Dalam Windows 11 Binaan 21996.1?

 

Views: 10

Iklan Newspaper Inline

Divoom Ditoo Plus: Pembesar Suara Bluetooth Retro Comel Dengan Pixel Art

1

Divoom pernah mengeluarkan satu pembesar suara dengan ciri yang sama sebelum ini iaitu Divoom Ditoo. Terkini, mereka keluarkan pula versi baru iaitu Ditoo Plus.

Tiada perbezaan ketara antara keduanya melainkan butang atau ‘papan kekunci’ pada Ditoo Plus mempunyai lampu RGB. Itu sahaja.

Seperti biasa, mari kita tonton dahulu video buka kotak untuk Divoom Ditoo Plus ini.

Spesifikasi Divoom Ditoo Plus

Dimensi: 90 x 114 x 121mm.
Saiz pembesar suara: 45mm.
Kuasa pengeluaran: 10W.
Nisbah isyarat ke bunyi: ≥80dB.
Kapasiti bateri: 3000mA.
Voltan bateri: 3.7V.
Tempoh pengecasan: 4 jam.
Tempoh main semula: sehingga 8 jam.
Bluetooth: v5.0.
Berat: 505g.
Tindak balas frekuensi: 80-20K Hz.
Jarak tanpa wayar: 10M/33 kaki.

Ciri Divoom Ditoo Plus

Ditoo Plus tidak terhad hanya sekadar menjadi pembesar suara bluetooth semata-mata. Divoom tahu apa yang mereka cuba tawarkan dalam pakej kecil ini.

Saya ingin menyebut mengenai kualiti audio pada pembesar suara ini terlebih dahulu. Meskipun hanya 10W, dan bersaiz agak kecil, Ditoo Plus ialah sebuah pembesar suara yang… ‘bersuara’ lantang!

Benar, lantang atau kuatnya audio belum bererti kualitinya bagus. Untuk Ditoo Plus, saya telah mencuba pelbagai jenis lagu, dan pelbagai jenis audio. Cukuplah saya katakan audionya amat memuaskan hati, terutamanya jika anda gemar strim kandungan di internet.

Jurutera audio Divoom sememangnya memahami pelbagai ragam dan kategori pengguna yang mereka cuba puaskan.

Tidak kiralah sama ada anda peminat muzik, atau peminat filem, anda akan menikmati bunyi yang memuaskan hati dari pemacu kecilnya. Kecil-kecil cili padi, bukan sebarang kecil, bunyinya menggegar rumah.

Tetapi hebatnya Ditoo Plus tidak terhad hanya pada kualiti audionya. Ia punya ciri lain yang jarang ada pada produk seperti ini.

Perkara pertama yang saya ingin sentuh ialah ciri Pixel Arts. Ia memberikan ‘rasa’ dan rupa retro, tetapi dalam masa yang sama dimodenkan dengan warna dan animasi.

Anda boleh membuat tetapan Pixel Arts yang anda sukai menggunakan aplikasi Divoom yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store. Bahkan anda juga boleh mencipta sendiri Pixel Arts, dan kongsikan dengan komuniti yang tercipta dari rangkaian pengguna Ditoo dan Ditoo Plus.

Selain itu, Ditoo Plus juga boleh digunakan sebagai penggera, pemberitahu notifikasi, radio (menggunakan aplikasi), dan sebagainya lagi. Semua ini anda boleh terokai sendiri dalam aplikasinya.

Ditoo Plus mampu dijadikan sebagai pembantu peribadi dalam urusan kehidupan seharian. Sama ada hendak mainkan lagu, hendak tahu mengenai cuaca, notifikasi aplikasi, pelbagai perkara dapat dijalankan pada Ditoo Plus, asal saja anda bersedia untuk belajar dan sabar meneliti aplikasi Divoom yang penuh dengan pelbagai pilihan.

Reka Bentuk Ditoo Plus

Mari kita lihat dan teliti beberapa bahagian pada pembesar suara Ditoo Plus ini. Kita mulakan dari hadapan dahulu.

Pada bahagian hadapan terdapat kayuria yang boleh digunakan untuk memilih pilihan dalam tetapan. Ia juga boleh digunakan untuk merekod nota suara.

Di bahagian atas terletaknya jaring yang mengeluarkan bunyi. Jangan dekatkan telinga anda di sini kalau tidak mahu menjadi pekak serta-merta.

Bahagian bawah hanya terdapat penerangan ringkas spesifikasi. Tiada apa yang menarik.

Di sebelah kayuria pula terdapat beberapa butang berupa papan kekunci kecil. Ia boleh digunakan untuk mengakses menu, menukar kadar kelantangan, kadar kecerahan, menukar paparan skrin, dan menukar pilihan dalam menu.

Di sebelah kanan pembesar suara ini ada slot untuk kad SD mikro, butang penghidup/pemati, dan slot pengecasan USB-C.

Konklusi

Divoom Ditoo Plus bukan sekadar pembesar suara bluetooth biasa. Ia juga mampu menjadi penghibur tatkala anda keserabutan, dan juga mampu membantu memperingatkan anda mengenai apa-apa acara yang patut anda ingati.

Dengan kualiti audio yang melangkaui jangkaan, ia memberi lebih nilai pada wang anda.

Buat anda yang berminat, bolehlah terus membuat pembelian melalui pautan:

Divoom Ditoo Plus Art Game Portable Bluetooth Speaker

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

AMD Bakal Membawakan Grafik RDNA2 Ke Exynos

0

Perlumbaan menaik taraf chipset tidak akan terhenti, walaupun ada yang mengatakan ini semua ‘gila’ atau ‘tidak perlu’. Inovasi dan perubahan memungkinkan kita untuk mencipta sesuatu yang lebih dinamik dan berdaya maju di masa hadapan.

Apple sudah melangkah ke depan dengan M1, manakala Qualcomm pula dengan Snapdragon. Samsung juga tidak mahu ketinggalan, dan disebabkan itu mereka perlu membawakan sesuatu yang dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi.

CEO AMD, Dr. Lisa Su ketika berucap dalam Computex 2021, mengatakan bahawa AMD bakal mengimplimentasi arkitektur grafik RDNA2 ke dalam chipset Exynos pada lewat tahun ini.

Membuat penampilan pertama pada SoC mudah alih, grafik tersuai RDNA2 oleh AMD itu akan membolehkan ciri seperti ray-tracing dan ‘variable rate shading‘ dijalankan pada chipset Exynos.

Chipset pertama yang akan menggunakan grafik RDNA 2 ini ada kemungkinan merupakan Exynos 2200. Ia akan menguasakan peranti seperti notebook dan tablet, serta terdapat khabar angin mengatakan ia mungkin digunakan juga pada telefon pintar.

RDNA2 adalah seni bina grafik terbaru AMD, dan teknologi berasaskan GPU tersebut digunakan dalam kad grafik siri AMD 6000, PS5, dan Xbox Series X | S.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline