Utama Blog Laman 126

7 Laman Paling Mudah Untuk Menonton Filem Secara Strim Atau Muat Turun

0

Saya mendapat idea untuk menulis artikel ini selepas salah seorang admin omghackers.com bertanyakan tentang laman penstriman apakah yang paling mudah untuk dia gunakan, tanpa perlu berfikir tentang akaun baru, kad kredit atau debit yang ingin digunakan, dan sebagainya lagi.

Di sini saya tidak menyokong cetak rompak, tetapi atas dasar ingin menarik minat golongan pemula atau yang kita sebut sebagai noobies ini kepada dunia IT, maka artikel ini dikarangkan.

Jadi tanpa melengahkan masa dengan intro yang panjang, mari kita lihat laman-laman penstriman yang sangat mudah digunakan oleh semua orang.

Free Movies!

Ini ialah laman pilihan saya untuk kategori ‘paling mudah’. Hanya perlu klik pada senarai pilihan video filem yang ada, dan tekan butang ‘Watch Fast Streaming’.

Cuma disebabkan kebiasaannya ia dimuat naik di laman Openload, maka adakalanya ia telah dipadam kerana melanggar terma DMCA (itu sudah tentu).

C Movies

Laman ini menjadi laman kedua pilihan saya, dek kerana templatnya yang kemas. Dari segi pilihan pemain video, saya tiada isu dengan JW Player. Ia telah menjadi pilihan kebanyakan laman penstriman seperti ini disebabkan ia lebih lancar dan tidak membebankan pelayar.

CMoviesHD

CMoviesHD pula adalah laman yang paling kemas. Dari pengkategorian, hingga kepada susunan reka bentuk laman, navigasi dirasakan seperti sebuah laman berbayar. Cuma mereka ini sedikit lebih agresif pada jumlah video dalam katalog sehingga versi CAM juga dimuat naik. Ada juga video yang telah dipadam oleh pihak hosting, jadi anda ‘tersekat’ jika video itu telah tiada pada kesemua mirrors yang disediakan.

SeeHD.PL

SeeHD.PL bukan pilihan utama hanya kerana laman ini agak perlahan jika hendak dibandingkan dengan laman-laman lain, dan kerap pula terjadinya down time. Tetapi apa yang bagusnya, selain menyediakan pemain video untuk distrim, pembangun juga menyediakan pautan untuk anda muat turun.

123Movies

Melayari laman 123Movies seakan melayari laman YiFy versi penstriman. Anda akan dipaparkan dengan berbagai filem yang baru serta lama, semuanya dalam satu tempat khas di sini. Satu sahaja perkara yang saya tidak suka tentang laman ini ialah ia mempunyai popup tersembunyi (yang boleh disekat dengan mudah oleh Chrome dan extension uBlock Origin).

fmovies.ac

Saya tidak pasti siapa ‘salin’ siapa, tetapi dengan menjengah laman fmovies.ac ini, reka bentuknya tidaklah jauh berbeza dengan 123Movies, bahkan senarai katalognya juga adalah hampir sama. Apa yang membezakan hanyalah pilihan skim warna, dan sejujurnya saya lebih memilih fmovies.ac kerana ia tiada sebarang popup tersembunyi.

Wow Movies

Wow Movies adalah laman terakhir dalam senarai ini. Tetapi jangan tersilap, ia diletakkan terakhir bukan kerana tidak bagus, tetapi kerana pilihan pemain videonya yang terkadang bermasalah, tambahan untuk mereka yang menggunakan internet berkelajuan rendah. Trafik ke laman ini juga adalah tinggi, jadi walaupun tiada down time, anda boleh lihat ‘kesesakan’ tersebut melalui pemain videonya, iaitu apabila ia tidak memuat sebarang video.

Mujurlah ada disediakan mirrors, itu pun kadang-kadang tidak boleh diharap juga.

Jadi, inilah dia tujuh laman penstriman paling mudah untuk digunakan dan difahami meskipun boleh pemula/noobies. Diharap dengan wujudnya artikel ini, akan dapat menarik lebih ramai orang kepada dunia teknologi maklumat. Sebarkan dan kongsikan artikel ini jika anda rasa ia bermanfaat.

Views: 123

Iklan Newspaper Inline

Bagaimana Cara Anda Dijejak Atas Talian?

0

Apa Itu Tracking?

Tracking ialah kaedah yang digunakan oleh kebanyakan syarikat, tidak kiralah syarikat apa sekalipun (terutamanya kategori pengiklanan) untuk membina profil pengiklanan bagi mendapatkan sasaran tepat iklan yang akan dipaparkan. Ini akan meningkatkan potensi individu tersebut untuk membuat pembelian.

Jikaia tidak dilakukan, iklan yang terpapar sudah tentulah tiada kena mengena dengan minat individu itu. Syarikat yang popular dengan isu tracking adalah Google dan Facebook. Pengguna seakan tidak dapat ‘lari’ lagi dari trackers (Google dan Facebook) yang diletakkan di pelbagai laman sesawang.

Tetapi bagaimana cara syarikat lain pula melakukan tracking? Adakah mereka juga mempunyai trackers masing-masing?

Mari kita lihat bagaimana caranya, yang mungkin anda sendiri tidak pernah terfikir ia dapat dilakukan.

Alamat IP

Kebiasaannya, alamat IP adalah cara yang paling umum digunakan untuk mengenalpasti lokasi seseorang. Ia tidak dapat memberikan lokasi secara tepat, tetapi gambaran kasar lokasi tetap dapat diberikan. Atas sebab itulah disarankan agar anda menyembunyikan alamat IP menggunakan pelbagai tools yang ada seperti proksi dan VPN.

Anda boleh telusuri artikel-artikel kami berkaitan VPN di sini, dan antara VPN yang kami syorkan adalah ExpressVPN, NordVPN, dan TorGuard. Ulasan terbaru mengenai NordVPN akan dibuat setelah langganan TorGuard admin tamat. Jangan bimbang, NordVPN antara pilihan terbaik untuk menjaga privasi anda.

User Agent

User agent datang dari pelayar web anda, yang akan memapar data-data seperti nama pelayar web, dan perincian sistem operasi yang digunakan. Data ini boleh digunakan kembali oleh syarikat untuk mensasarkan iklan-iklan yang sesuai.

Perujuk HTTP (HTTP Referrer)

Perujuk HTTP atau HTTP Referrer adalah informasi yang terjadi apabila anda klik pada satu pautan, dan ia akan memaklumkan kepada laman tersebut anda ‘datang dari mana’. Sebagai contoh jika anda klik pada pautan lain di laman omghackers.com ini, laman tersebut akan dapat melihat pautan artikel omghackers.com, iaitu sumber trafik yang masuk.

Perujuk HTTP juga dihantar apabila anda memuat kandungan pada sesuatu laman sesawang. Jika laman tersebut mempunyai skrip iklan atau skrip penjejak (tracking), pelayar web anda akan memberitahu kepada pengiklan tentang laman apa yang anda sedang layari.

Cookies Dan Skrip Tracking

Apa itu cookies? Cookies bukan biskut, mahupun bisjut (Apa daa bisjut?). Bukan. Ia adalah satu informasi kecil yang disimpan dalam pelayar web anda. Cookies ini dapat digunakan apabila anda log masuk ke sesuatu laman sesawang, jadi apabila anda menukar tab dan kembali kepada laman tersebut, ia akan mengingati informasi log masuk anda.

Cookies juga boleh mengenalpasti maklumat anda merentasi pelbagai laman sesawang. Apa yang membimbangkan adalah cookies dari pihak ketiga. Ia dapat digunakan oleh syarikat pengiklanan untuk menjejak kembali diri anda di pelbagai laman yang dilawati. Jika dua, tiga, atau lebih laman menggunakan rangkaian penjejak yang sama, maka sejarah pelayaran web anda boleh dijejak dan dikaitkan.

Facebook juga mempunyai skrip penjejaknya yang tersendiri. Skrip butang ‘Like’ di pelbagai laman akan memaklumkan kembali kepada Facebook akan laman mana yang telah anda lawati. Oleh kerana Facebook telah menyimpan cookie dari butiran log masuk anda, maka ia akan tahu siapa diri anda apabila butang Like tersebut ditekan.

Web Browser Fingerprinting

Ini juga adalah salah satu cara paling berkesan untuk menjejak kembali siapa diri anda. Pelayar web mempunyai ‘identiti’ tersendiri yang khusus, seakan cap jari yang unik. Laman sesawang dapat menentukan apakah sistem operasi yang sedang digunakan oleh anda, jenis dan versi pelayar web, extension/addon atau plugin yang dipasang, zon masa, font sistem, dan pelbagai lagi maklumat penting.

Anda boleh semak informasi pelayar web dan apa yang dapat ‘dicungkil’ darinya di laman Panopticlick.

Super Cookies

Anda rasa cookies boleh dipadam, maka ia tidak ‘menakutkan’? Anda tersilap. Ada satu lagi jenis yang lebih menyusahkan, iaitu Super Cookies.

Super Cookies tidak dapat dipadam oleh pengguna, kerana ia tidak disimpan pada satu tempat, sebaliknya disimpan dalam pelbagai lokasi. Antaranya adalah seperti tempat simpanan lokal HTML5, tempat simpanan Silverlight, cookies Flash, dan sejarah pelayaran web.

Apabila laman sesawang mendapati bahawa anda telah memadam sebahagian daripada super cookies tersebut, maklumat itu dapat diperoleh dari lokasi lain, di mana ia disimpan. Saya akan cuba kupaskan mengenai Super Cookies dalam artikel lain.

Demikianlah sedikit sebanyak cara laman-laman sesawang dapat menjejak identiti diri anda agar dapat diciptakan profil pengiklanan yang khusus. Pastinya terdapat pelbagai lagi cara lain, yang lebih mengejutkan. Cuma kewujudannya belum lagi dikenalpasti oleh para pengkaji sekuriti.

Jika anda berminat untuk sekurang-kurangnya dapat melindungi identiti diri anda dari dijejak oleh pelbagai ‘trackers‘, anda boleh rujuk artikel-artikel lama kami yang membincangkan mengenai bagaimana caranya untuk melayari laman web secara anonymous.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Pemecah Mitos: Adakah Facebook Mendengar Perbualan Anda Melalui Mikrofon Telefon Pintar?

1

Sudah beberapa lama saya memerhatikan perkara ini; saya sedang berbual dengan seorang rakan tentang sesuatu perkara, keesokkan harinya saya melihat iklan tentang perkara yang dibualkan tersebut. Dari gym sekitar Putrajaya, hinggalah kepada pembuat makanan kucing di TTDI, semuanya menjadi sebuah iklan interaktif sama ada di laman-laman sesawang mahupun di Facebook.

Adakah ini semua satu kebetulan semata, atau sebenarnya memang Facebook ada merekodkan setiap perbualan penggunanya lalu menukar ia kepada bentuk iklan?

Di sini omghackers.com cuba mengupas serba sedikit akan bagaimana sebenarnya proses pengiklanan itu berlaku, bermula dari ‘penuaian’ data pengguna hinggalah kepada pembentukan profil.

Memecah Teori Konspirasi

Mengikut kepada beberapa teori yang berlegar di pelbagai sumber, dikatakan Facebook telah merekod dan menganalisa pelbagai data dari perbualan semasa pengguna. Ini dibangkitkan setelah melihat Google Home dan Amazon Echo yang sentiasa ‘mendengar’ arahan dari pemiliknya.

Namun, ia sebenarnya berbeza, kerana setiap pembesar suara pintar ini hanya dapat mengimbas sesetengah kata kunci sahaja, dan apabila ia mengesan kata kunci tersebut digunakan, ia akan menghantar rakaman audio pendek kembali kepada pelayan syarikat.

Untuk mendapatkan semua data perbualan, Facebook perlu merakam keseluruhan audio yang dapat ‘didengari’ oleh peranti semasa ia sedang aktif (dihidupkan). Panggilan suara melalui rangkaian atau voice-over-internet memerlukan 24kbps sehala.

Jika Facebook ingin membuat penstriman audio setengah hari (12 jam) pada sekurang-kurangnya 32kbps untuk dapat mendengar dengan jelas setiap suara yang bercakap, ia akan menghantar data berjumlah 169MB setiap hari.

Hanya di Amerika Syarikat sahaja, jika ia dilakukan, maka Facebook perlu kepada ruang penyimpanan data melebihi 20 petabytes, dengan jumlah pengguna aktif kira-kira 150 juta orang.

Ruang penyimpanan data keseluruhan Facebook hanyalah lebih kurang 300 petabytes, dengan kadar pergerakan data harian sebanyak 600 terabytes. Jika Facebook benar-benar ingin melakukannya, maka ruang penyimpanan itu perlu ditingkatkan lagi kerana ia bakal menghasilkan anggaran 33 kali lebih banyak data berbanding dengan apa yang Facebook kendalikan ketika ini.

Jadi Bagaimana Facebook Mendapatkan Data?

Mengikut sebuah portal pendidikan yang didirikan oleh Facebook pada tahun 2016, syarikat itu menjejak sekurang-kurangnya 98 titik data berbeza yang bervariasi dari perkara seperti umur atau bahasa khusus yang dituturkan, atau sesuatu yang spesifik sama ada anda menggunakan kupon ketika pembelian atau jika anda pembeli tegar sesuatu barang.

Informasi seperti ini amat mudah juga untuk diberikan kepada Facebook.

Adakah anda pernah mengepos sesuatu tentang lawatan keluarga atau mengadu tentang betapa lamanya penantian di lapangan terbang ketika anda sedang dalam perjalanan ke destinasi tertentu?

Anda mungkin telah ditandakan sebagai ‘seorang pengguna Facebook yang kerap bergerak, untuk urusan kerja atau liburan’ dalam profil pengiklanan Facebook.

Selain itu, Facebook juga boleh mendapatkan informasi mengenai penggunanya dari pihak ketiga. Mereka akan mengumpul data diri anda seperti lokasi rumah, atau pemilikan kenderaan. Syarikat-syarikat seperti Acxiom dan Epsilon akan mendapatkan kesemua data awam ini dan menjual ia kepada Facebook, yang kemudiannya akan menambah maklumat ini ke dalam profil diri anda.

Artikel ini tidaklah bermaksud menidakkan bahawa Facebook tidak pernah melakukan ‘risikan’ terhadap data peribadi anda. Mereka semestinya telah pun siap menyenaraikan kesemua maklumat diri anda yang dijadikan sebuah algoritma, seterusnya memapar iklan berdasarkan kepada apa yang anda sedang berminat dan mempunyai potensi untuk membuat pembelian ketika itu.

Cuma Facebook tidaklah melakukan perkara tersebut dengan mendengar perbualan anda melalui mikrofon telefon pintar, kerana ianya sangat tidak praktikal. Sebaliknya informasi yang sangat sensitif mengenai anda sekalipun, mereka dapat kumpulkan dengan berbagai cara, trackers yang ada di pelbagai laman sesawang, syarikat pihak ketiga, dan bermacam-macam lagi kaedah dan sumber yang mungkin anda sendiri tidak akan terfikir mengenainya.

Apa yang pasti, Facebook tahu tentang diri anda lebih dari apa yang anda rasa mereka tahu ketika ini.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

iPhone Dalam Peti Sejuk Beku? Kenapa?

0

Pada 24 jam yang lepas, pemilik iOS serata dunia telah melakukan satu kegilaan terbaru, iaitu meletakkan peranti iPhone yang kita ketahui mahal harganya dalam pembalut plastik dan kemudiannya membekukan plastik tersebut di dalam peti sejuk selama 60 saat.

Adakah sebenarnya mereka gila?

Tidak, kerana mereka ingin mengeksploitasi perisian iOS itu sendiri. (Jailbreak).

iOS 11.3.1 akhirnya dapat ditembusi, dengan aplikasi Electra yang membenarkan pemilik iOS melakukan eksploitasi perisian iOS beberapa hari lalu.

Sebelum ini, ada 2 jenis teknik pemecahan (Jailbreak) yang kononnya berjaya mengakses bahagian dalam (root) perisian (software) yang memerlukan akaun pemilik iOS (Bernilai 99USD) dan satu lagi cara pula adalah sebaliknya.

Terdapat juga teknik dimana pemilik peranti perlu log keluar dari akaun iCloud, mengaktifkan mod pesawat dan juga mematikan fungsi Siri.

Namun begitu, semua jenis teknik ini gagal dan tidak berjaya disempurnakan. Rentetan itu secara tiba-tiba datang idea gila iaitu:

Meletakkan peranti iOS mereka ke dalam peti sejuk selama 60 saat dan kemudian cuba terus eksploitasi.

Kenapa idea gila ini berlaku? Mudah sahaja, kerana semua eksploitasi ini adalah sangat sensitif kepada peranti iOS itu sendiri. Ini bererti Apple telah melakukan penambahan sekuriti yang mantap terhadap perkakas iOS.

Teorinya, apabila suhu peranti iOS menjadi begitu rendah maka, eksploitasi berjaya dilaksanakan.

Jadi, sehingga pencipta kepada aplikasi Electra sedang mencari penyelesaian lain untuk menjalankan eksploitasi, anda boleh mencuba untuk menggunakan eksploitasi terbaru ini dengan membuat pembekuan 60 saat dan berdoa agar ada cara lain yang akan dikeluarkan beberapa hari lagi.

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Chrome Dan Firefox Mengeluarkan Extension Yang Merekod Data Pengguna Dari Stor

0

Chrome dan Firefox telah membuang satu extension/addon dari stor setelah menerima laporan yang mengatakan bahawa ia merekodkan sejarah pelayaran web pengguna.

Extension atau addon tersebut ialah Stylish.

Stylish selalu digunakan untuk mengubah bagaimana rupa atau paparan sesebuah laman sesawang. Sebagai contoh, anda boleh jadikan laman Facebook berpaparan gelap, berbanding putih dan ‘cerah’ seperti kebiasaannya.

Kajian terperinci oleh Robert Heaton, seorang jurutera perisian, menunjukkan bahawa Stylish menghantar rekod pelayaran web pengguna kepada sebuah syarikat analitik yang bernama SimilarWeb.

Apa yang menjadi isu ialah data yang dihantar bukan data yang dienkrip, sebaliknya setiap data tersebut boleh dihala kembali kepada satu-satu pengguna khusus.

Bagi setiap pengguna Stylish yang memasang ia pada Firefox, anda perlu nyahpasang secara manual, manakala jika anda menggunakan ia pada Chrome, ia akan terpadam secara automatik.

Jika anda masih berminat hendak menggunakan extension yang mempunyai fungsi serupa dengan Stylish, anda boleh pasang Stylus.

Stylus untuk Chrome: Stylus – Chrome Web Store

Stylus untuk Firefox: Stylus – Add-ons for Firefox

Views: 5

Iklan Newspaper Inline

Peertube: Laman Penstriman Anti Penapisan Kandungan

0

Selaku pencipta kandungan, benda paling tidak disukai ialah apabila secara tidak semena-mena, kandungan tersebut dipadam, di-ban, di-blacklist, dan macam-macam ‘di’ lagi.

Laman yang dimaksudkan itu tidak lain tidak bukan ialah YouTube. Baru-baru ini ramai juga yang ‘merasa’ akaun mereka tiba-tiba dinyahaktif oleh YouTube tanpa notis. Alasan yang diberikan hanyalah ‘technical issue’.

Akibat dari itu ramai yang mula ‘keluar’ untuk mencari alternatif. Salah satu laman penstriman decentralized yang sedang meningkat naik ialah Peertube.

Ia tidak mempunyai paparan teratur dan menarik seperti YouTube. Boleh dikatakan hodoh juga.

Tetapi yang bagusnya, ia memberi kawalan penuh kepada para pencipta kandungan. Ini bererti, sesiapa sahaja boleh membuat dan mendapatkan laman penstriman sendiri. Hanya perlu daftar dan muat naik sahaja.

Daftar akaun Peertube di sini: #JoinPeertube

*Anda perlu memilih dari pelbagai domain yang ada. Contohnya ialah Peertube.video.

Antara pencipta kandungan popular yang menggunakan Peertube ialah Blender.

Mereka antara para pencipta kandungan yang merasa video-video mereka disekat oleh YouTube tanpa sebarang sebab. Atas kerana itulah mereka mula beralih, dan keadaan akan menjadi lebih baik jika lebih ramai yang mengikut jejak langkah ini.

Peertube merupakan laman penstriman berasaskan Peer-To-Peer. Ini bererti semakin ramai yang menggunakan laman ini, semakin baik dan pantas kelajuan penstriman yang akan anda dapat.

Decentralized juga bererti pemilik kandungan tidak akan terikat dengan sebarang peraturan, serta kandungan lebih ‘selamat’ dari dipadam berbanding laman seperti YouTube, yang semestinya dikawal selia oleh Team YouTube/Google.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Linux Mint 19 Cinnamon: Persekitaran Meja Linux Terbaik?

0

Linux Mint sudah dikenali ramai. Rasanya tidak perlu lagi untuk saya menulis panjang lebar mengenai perincian sistem operasi ini. Linux Mint 19 berasaskan Ubuntu 18.04, dan akan disokong sehingga tahun 2023 (kerana ia adalah versi LTS).

Kalau anda nak baca changelog panjang lebar, anda boleh cari laman sesawang lain. Di sini saya ingin menyentuh beberapa perkara yang saya rasakan menarik untuk ditulis, disebabkan saya hanya sempat menggunakan Linux Mint 19 ini melalui live USB sahaja.

Baiklah, mari kita lihat apa perkara menarik ada pada Linux Mint 19 dengan kod nama ‘Tara’ ini.

1. Antara perkara yang saya suka tentang Linux Mint ialah kekemasan, dan ketelitian. Ini dapat dilihat pada usaha pembangunnya untuk memperkemaskan aplikasi-aplikasi lalai yang disertakan dengan sistem operasi ini. Salah satu yang anda akan dapat lihat ialah Software Manager.

Kalau anda merupakan seorang pemula, lihatlah saja bagaimana mereka meletakkan setiap satu aplikasi pilihan editor di bahagian atas siap beserta ikonnya sekali. Dari situ anda dapat gambarkan apa yang ditawarkan oleh Software Manager ini.

Di bahagian bawah pula terpapar kategori dengan setiap satu darinya diletakkan bersebelahan. Apa yang anda hendak cari, semuanya ada, tiada yang terkecuali atau disingkir secara prejudis.

Anda mahukan Spotify? Ada! Klik ‘Install’ sahaja.

2. Salah satu perkara yang menjadi pilihan ramai pemula ialah betapa mudahnya mengendali dan menggunakan Linux Mint. GDebi Installer siap tersedia jika anda memuat turun fail pemasang .deb dari mana-mana laman sesawang.

Buat yang tak tahu, .deb ialah extension format bagi fail pemasang, serupa dengan apa yang kita dapat lihat pada Windows, iaitu .exe (untuk mudah faham).

3. Jika anda terbiasa dengan Night Mode pada Windows 10, di Linux Mint pula sudah tersedia Redshift. Redshift menyesuaikan suhu warna skrin anda mengikut persekitaran. Ia akan dapat membantu mengurangkan rasa penat pada mata jika anda memilih untuk meneruskan kerja di waktu malam.

4. Timeshift: Pada pendapat saya, ini satu-satunya ciri ‘star’ pada Linux Mint kali ini. Ia berfungsi sebagai pemulih sistem, jika ada kemaskini yang ‘buggy’, atau anda ‘ter’ pasang aplikasi yang mengubah pengalaman anda dengan sistem operasi.

5. Timeshift itu pula akan sentiasa ‘bekerjasama’ dengan Update Manager, yang pada saya pula bertindak atau berfungsi dengan cukup cemerlang. Anda tidak akan dapat mengemaskini selagi tidak memilih ‘Snapshots’ sistem operasi yang perlu anda tetapkan terlebih dahulu melalui Timeshift.

6. Selain itu, Linux Mint 19 juga menjadi ‘syurga’ buat para pengguna termaju yang suka untuk melakukan pengubahan. ‘Tweaking options’ yang ditawarkan dapat membuat pengguna untuk terus kekal melekat padanya.

Dari tema, hinggalah kepada tetapan-tetapan lalai, anda boleh tentukan apa yang anda mahu, dan bagaimana ia akan beroperasi setiap hari.

7. Tidak dilupakan juga, Linux Mint secara tradisi menjadi sistem operasi Linux yang sudah ‘siap’, bererti anda tidak perlu pasang apa-apa pun.

Aplikasi pejabat, pemain video dan audio, codec multimedia, penyunting gambar (GIMP), pelayar web (Firefox), pendek kata semuanya sudah ada. Hanya perlu pasang dan pakai sahaja. Tetapi jika masih belum memuaskan hati, anda berasa masih belum mencukupi, maka Software Manager bakal membantu anda melengkapkan sistem operasi.

Secara keseluruhannya saya amatlah berpuas hati dengan persekitaran meja Cinnamon kali ini. Ia sudah menampakkan kematangan dari sudut reka bentuk dan fungsi, serta prestasi yang amat bagus terutamanya untuk PC yang sudah berumur lanjut.

Ia juga tidak mengalami isu ketirisan memori seperti yang dialami oleh GNOME. Ini merupakan satu bonus yang amat berharga, tambahan jika memori yang digunakan hanyalah 4GB.

Jika anda berminat hendak menggunakan Linux Mint 19 ‘Tara’ ini, anda bolehlah muat turun ISO di pautan berikut: Download Linux Mint 19 Tara

Views: 3

Iklan Newspaper Inline

Apa Itu Rangkaian 5G: Perkara Yang Anda Patut Tahu Tentang Rangkaian Terpantas Ini

0

Secara asasnya, 5G adalah generasi kelima teknologi rangkaian yang membolehkan rangkaian sel untuk mengedar data.

Generasi terbaru ini, yang sedang dalam pembangunan serta dijangka bakal diuji dan dilepaskan dalam tahun 2018, menjanjikan kelajuan yang mampu menandingi WiFi terpantas.

Laporan awal mendapati kelajuannya adalah sepuluh hingga seratus kali ganda dari rangkaian 4G LTE yang ada pada hari ini.

Dikatakan juga, 5G begitu pantas sehingga ia mampu menyaingi internet optik fiber. Sebagai contoh, pengguna akan dapat memuat turun seluruh rancangan televisyen kegemaran hanya dalam beberapa saat, atau strim video berdefinisi ultra-tinggi tanpa sebarang latensi.

Rangkaian ini juga direka bentuk bagi memenuhi keperluan peranti akan datang, dari hal-hal berkaitan automobil separa autonomi kepada Internet of Things.

Seperti rangkaian hari ini, rangkaian 5G akan menggunakan gelombang udara untuk menghantar data. Sama seperti stesen radio beroperasi pada frekuensi mereka sendiri, rangkaian selular menggunakan frekuensi sendiri untuk menghantar dan mengedarkan data.

5G akan menggunakan frekuensi band yang lebih tinggi daripada rangkaian hari ini, yang bererti kelajuan frekuensi lebih tinggi secara umumnya menawarkan kelajuan pemindahan data yang lebih cepat.

Sama seperti stesen radio, kelajuan lebih tinggi bermakna julat yang lebih pendek. Untuk memberikan kelajuan tinggi yang dijanjikan oleh 5G, rangkaian akan menggunakan spektrum frekuensi yang sangat tinggi. Spektrum ini boleh menghantar data lebih pantas daripada sebarang rangkaian sedia ada, tetapi ia memerlukan perkakasan generasi baru untuk mengatasi masalah had jarak, dan kombinasi perisian serta perkakas pintar untuk meminimumkan gangguan dan masalah latensi yang berkaitan dengan rangkaian berfrekuensi tinggi.

Rangkaian 5G akan memenuhi kehendak atau kapasiti pengguna yang lebih besar, yang bermaksud apabila acara-acara seperti sukan mahupun konsert yang dipenuhi dengan pengguna data bersesak di satu tempat, ia tidak akan lagi menjadikan rangkaian tersebut tergendala. Ini juga bermaksud sama ada mesej teks ataupun WhatsApp, ia tidak lagi akan tertangguh akibat kesesakan pengguna yang begitu ramai.

Kelajuan rangkaian 5G mungkin akan menjadikan internet optik fiber tidak relevan bagi sesuatu kawasan yang memperolehinya, kerana kelajuan tersebut membuat internet optik fiber sebagai satu bentuk penurunan signifikan.

Disimpul dan diterbitkan semula dengan kebenaran dari: Parts Washers Manufacturers

Views: 7

Iklan Newspaper Inline

7 Trik WhatsApp Yang Menarik Untuk Dimanfaatkan

0

Barangkali ada yang terfikir bahawa tiada apa lagi perkara menarik yang boleh dilakukan pada aplikasi WhatsApp (rasmi). Kebiasaannya trik menarik hanya terdapat pada aplikasi dari pihak ketiga yang telah dimodifikasi sehingga mempunyai pelbagai ciri-ciri yang boleh dikatakan lebih jauh maju ke hadapan.

Tetapi kita tahu matlamat WhatsApp buat masa ini bukan untuk itu. Ia dicipta agar menjadi klien permesejan yang stabil dan mudah difahami oleh sekalian masyarakat tanpa mengira had umur. Tidak dapat dinafikan kanak-kanak juga tahu mengendalikan WhatsApp. Ini membantu para ibu-bapa juga sebenarnya. Apa senario yang sesuai, itu elok anda fikirkan sendiri.

Cuma ramai yang tidak menyedari sebenarnya masih berbaki lagi beberapa trik dalam poket yang boleh diguna dan dimaksimakan manfaatnya. Mungkin ada beberapa perkara yang anda sudah tahu, tetapi apa salahnya kita buat ‘ulang kaji’ sebentar. Mari kita lihat apakah trik-trik tersebut.

1. Akses media, dokumen, dan pautan dengan lebih pantas.

Biasanya kita akan tercari-cari gambar, dokumen, mahupun pautan ke laman-laman sesawang sama ada dengan cara skrol atau menggunakan fungsi ‘Search’ pada menu. Sebenarnya ada cara yang lebih mudah, iaitu anda cuma perlu hala ke Group media. Jika untuk individu pula cukup sekadar pergi ke pilihan ‘Media’. Di situ terkumpul semua media, dokumen-dokumen dan pautan-pautan yang pernah dihantar.

2. Semak ruang storan.

Anda boleh membuat ‘audit’ terhadap ruang storan yang telah digunakan boleh WhatsApp. Caranya ialah dengan menghala ke pilihan Data and storage usage – Storage usage.

 

Anda boleh pilih mana-mana kumpulan atau individu untuk menyemak pelbagai kategori penggunaan ruang storan. Anda juga boleh pilih dari kategori tersebut atau kesemuanya sekali untuk memadam mesej-mesej yang telah dihantar. Tidak perlu kepada aplikasi lain untuk melakukannya.

3. Sembunyikan media dari WhatsApp supaya tidak kelihatan dalam galeri gambar.

Hei, saya tidak akan judge anda, ok? Anda punya sukalah nak sorokkan gambar atau video sekalipun. Mana nak tahu ada skandal yang perlu dijaga. Tak gitu?

Ehhh..

Caranya? Pergi ke pilihan Chats – dan buangkan tanda ‘Show media in gallery’.

4. Padam mesej dari dilihat oleh semua orang.

Trik ni dah lama, tapi eloklah kalau saya nak maklumkan bahawa jika anda hendak padam, anda ada masa sebanyak 4096 saat atau 1 jam 8 minit dan 16 saat. Pilih ‘Delete For Everyone’ dan mesej anda akan dipadam dari terpapar kepada semua penerima.

Sila ambil maklum juga bahawa para pengguna WhatsApp+ dan GBWhatsApp (contohnya) mempunyai pilihan untuk ‘revoke’ atau batalkan mesej yang telah anda padam. Maka, berhati-hatilah dalam menghantar sesuatu mesej. Tambah lagi kalau melibatkan skandal. Takut terhantar kepada isteri, dan isteri pula jenis geek, pandai guna WhatsApp+. ‘Masak’ anda nanti.

Bak kata abang Hamka Kereta Mayat, woha!

5. Export profil anda.

Disebabkan WhatsApp dimiliki oleh Facebook, ramai yang agak bimbang soal keselamatan data mereka. Atas sebab itu, sekarang terdapat pilihan untuk export data dari profil anda.

Anda cuma perlu hala ke Account – Request account info – Request report.

Proses laporan profil akan mengambil masa selama 3 hari, dan apabila ia telah siap, anda akan mendapat pula pilihan ‘Export Report’. Laporan tersebut kemudian bolehlah dimuat turun.

6. Broadcast mesej kepada individu tertentu.

Jika anda hanya mahu individu tertentu sahaja yang menerima mesej anda dan bukan kesemua penerima yang ada dalam satu-satu kumpulan, anda boleh gunakan fungsi ‘New broadcast’ dan kemudian pilihlah mana-mana individu yang anda mahu.

 

7. Gunakan WhatsApp Business untuk kendalikan urusan perniagaan anda.

Serius, jika anda ingin kendalikan urusan-urusan perniagaan anda dengan lebih lancar dan teratur, WhatsApp Business boleh digunakan untuk tujuan itu. Tambahan lagi ia boleh dipasang beriringan dengan WhatsApp (dua WhatsApp dalam satu masa).

Ada pelbagai ciri yang boleh anda maksimumkan impaknya ke dalam perniagaan anda, dan semuanya adalah percuma. Anda boleh juga gunakan ia melalui WhatsApp Web.

Muat turun: WhatsApp Business

Demikianlah sedikit sebanyak info yang boleh saya kongsikan buat masa ini tentang WhatsApp. Jika anda ada sebarang tips yang ingin anda kongsikan, anda boleh pm page kami atau emelkan tips anda ke admin@omghackers.com.

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

Deepin 15.6: Pesaing Terbaik Linux Mint Dan Elementary OS

0

Seringkali apabila diajukan soalan akan sistem operasi Linux manakah yang paling sesuai digunakan oleh pemula, maka nama yang akan dicanang adalah Linux Mint, ataupun elementary OS.

Bukan nak kata kurang setuju, tetapi sebenarnya ada banyak lagi nama yang patut dipromosikan. Salah satu darinya adalah Deepin.

Deepin bermula dengan sebuah distro kecil, yang kemudiannya sedikit demi sedikit berevolusi. Dari pelbagai aplikasi atau perisian lalai yang disertakan dengannya, hinggalah kepada paparan antaramuka pengguna dan persekitaran mejanya, Deepin tampak tidak terkalah dengan lain-lain sistem operasi Linux yang sudah lama bertapak.

Versi terbarunya, 15.6 membawakan pelbagai pembaharuan yang mana akan menggembirakan hati para peminatnya, khusus buat para pemula, dan juga pengguna termaju secara amnya.

Saya sendiri setelah pertama kali boot ke dalam persekitaran meja Deepin Desktop Environment mendapati bahawa ianya telah direka bentuk dengan begitu teliti sekali. Ikon yang disertakan boleh dipilih/ditukar, menu yang boleh diubah mengikut citarasa, dan tetapan yang dengan pantas boleh dicapai dari tepi.

Orang kata, tak kenal maka tak cinta, tak lihat maka tak tahu. Mari saya tunjukkan beberapa tangkap layar yang boleh menceritakan 100 kisah mengenai Deepin ini.

Aplikasi Deepin Movie.

Untuk pertama kalinya dalam percubaan ini saya tidak memasang sebarang aplikasi lain, selain dari aplikasi lalai. Deepin Movie buat masa ini sudah mencukupi untuk memainkan apa juga jenis format video yang ada. Tidak lupa juga saya tidak memasang apa-apa codec tambahan seperti yang perlu dilakukan selepas memasang Ubuntu.

Aplikasi Deepin Music.

Anda juga tidak perlu memasang Rhythmbox, VLC, Banshee dan lain-lain jenis pemain muzik. Pemain muzik yang sedia ada dapat memainkan format-format lazim seperti mp3, OGG, dan sebagainya.

Saya akan cuba uji lagi pemain muzik ini untuk mengetahui sejauh mana hadnya. Setakat ini ia belum menghampakan.

Aplikasi Deepin Store.

Sejujurnya saya tidak begitu gemar memasang sesuatu aplikasi melalui ‘Software Center’ atau yang seumpama dengannya. Gambar di atas hanyalah untuk rujukan anda.

Tetapi untuk pemula, Deepin Store ada segala yang diperlukan.

Deepin File Manager.

Tidak pasti dari mana hendak saya mula. Tetapi Deepin File Manager ini sekali imbas ia tampak sama sahaja dengan Nautilus/Caja, atau mana-mana pengurus fail Linux amnya. Namun apabila diselongkar, diteliti, dan disemak satu persatu, didapati bahawa aplikasi ini mempunyai pelbagai tetapan yang sesuai dengan selera pengguna termaju. Cuma setakat ini saya tidak pasti lagi jika terdapat pilihan untuk mengubah warna folder.

Deepin Launcher.

Deepin Launcher, satu-satunya launcher yang amat memuaskan hati. Anda boleh jadikan ia seperti dock ala macOS, boleh tukar ia kepada bentuk seakan Start Menu pada Windows 7, boleh besarkan ia menjadi seperti launcher pada Gnome, dan boleh tukar kedudukannya sama ada kiri, kanan, atas, ataupun bawah.

Launcher dalam ‘Efficient Mode’. Menyerupai Windows 7 Start Menu.

Tidak lupa juga, saiznya boleh ditukar dari kecil kepada sederhana dan besar. Apa lagi yang anda mahukan pada sebuah launcher? Laju? Ya, itu pasti.

Deepin Settings.

Dalam Deepin Settings, kesemua perkara atau aspek yang ada pada sistem operasi dapat anda ubah di sini. Dari nama akaun/nama pengguna, font, tema, bahasa, waktu, bahkan juga pemilihan lokasi mirrors juga dapat ditukar melalui Deepin Settings.

Pendek kata jika anda merupakan pengguna pemula, anda akan cepat dapat belajar Linux melalui Deepin 15.6. Manakala jika anda pengguna termaju yang hanya inginkan supaya kerja anda dapat diselesaikan, atau bahasa Inggerisnya ‘it just works’, atau ‘work out-of-the-box’, maka Deepin adalah pilihan yang bagus (selain Fedora).

Konklusinya, setelah sekian lama menggunakan Linux, sekali-sekala ‘berehat’ dari sistem operasi yang memerlukan pengetahuan teknikal seperti Arch Linux ataupun Gentoo adalah agak ‘melegakan’. Walaupun saya masih kurang gemar dengan apt/apt-get, Deepin Desktop berjaya memujuk hati. Atas sebab itu saya bergegas mendapatkan ISO Manjaro Deepin (untuk mencuba sahaja). Hehehe.

Jika anda berminat dengan Deepin 15.6, anda boleh muat turun melalui pautan ini: Deepin 15.6

Views: 4

Iklan Newspaper Inline