7 VPN Terbaik Pilihan OMG Hackers [2018]

Di penghujung tahun 2018 ini, sukalah untuk kami buat penggulungan terhadap semua artikel-artikel ulasan terhadap VPN yang pernah dicoretkan di sini. Lebih dari 10 penyedia servis VPN yang telah kami guna, uji, dan ulas. Hanya 5 yang memasuki senarai terbaik sepanjang tahun.

1. TorGuard

Di tempat pertama, TorGuard sememangnya menjadi servis yang dipercayai. Meskipun berada dalam negara Lima Mata, namun rekod trek mereka menunjukkan bahawa data pengguna masih terjaga dan tidak berada dalam keadaan terancam.

Ia mempunyai pelbagai ciri yang mengagumkan, disamping klien yang sarat dengan berbagai pilihan tetapan. Jika anda sudah biasa menggunakannya, anda pasti tahu apa yang saya maksudkan.

Satu kekurangannya, ia tidak menyediakan kemudahan dalam plan premium untuk para peminat laman penstriman seperti Netflix untuk terus dapat menikmati kandungan, sebaliknya pengguna perlu melanggan IP tambahan bagi tujuan itu.

2. ProtonVPN

ProtonVPN menjadi pilihan seterusnya kerana syarikat yang mengendalikan servis ini sudah cukup popular dengan perkhidmatan mereka sebelumnya iaitu ProtonMail. Jika anda tercari-cari alternatif paling bagus bagi menggantikan Gmail, beralihlah kepada ProtonMail.

ProtonVPN pula walaupun masih baru, tetapi ia sedang rancak dibangunkan dan menuju kepada kematangan. Kliennya tidaklah mempunyai fungsi yang sarat, cuma bagi pengguna yang baru hendak berjinak dengan VPN premium, ia sangat senang dikendalikan.

Sama ada Windows atau Android (iOS masih peringkat beta), anda tidak akan hampa menggunakannya.

3. NordVPN

Dahulu saya pernah berasa kurang senang dan tidak suka dengan NordVPN. Ia dirasakan seperti satu nama yang sangat dipuji secara berlebihan oleh lain-lain laman blog teknologi. Setelah saya mencubanya sekali lagi pada tahun ini dengan hati terbuka, baru saya dapat merasakan keistimewaannya.

Dari Obfuscated Servers, CyberSec, dan Dedicated IP Servers, NordVPN menjadi salah satu servis yang saya akan letakkan dalam senarai alternatif apabila yang lain secara tiba-tiba ‘gagal’.

Ada sesetengah pengguna mengalami isu kelajuan yang menurun secara mendadak. Saya pula hanya ‘berkesempatan’ merasai kelajuan yang perlahan pada tahun 2017, iaitu kali pertama saya mencubanya. Masuk kali yang kedua, nampak seperti NordVPN berjaya membuat penebusan kepada kegagalannya yang pertama itu. Kelajuan pantas seperti sediakala, dan kliennya tidak sesekali membebankan sistem operasi.

4. ExpressVPN

ExpressVPN, satu nama yang cukup unggul dan tidak perlu diperkenalkan lagi. Punyai klien yang sangat ringkas, namun ulasan terhadapnya adalah antara yang paling panjang pernah saya tulis.

Jika ada pun kelemahan, satu-satunya kelemahan paling ketara pada ExpressVPN ialah harga langganan. Walaupun kliennya ‘biasa-biasa’, tetapi kadar langganan bulanannya adalah paling mahal antara semua.

5. CyberGhost

CyberGhost berjaya mengejutkan saya dengan klien barunya. Versi 7 menunjukkan pembaharuan ketara pada reka bentuk, susunan fungsi, serta kepelbagaian pilihan mengikut jenis penggunaan.

Jika hendak dibuat perbandingan dengan yang lain, sebenarnya saya lebih gemar sekiranya mereka berjaya membuat satu pelayan yang punyai multi-fungsi. Bererti jika anda boleh strim dengan pelayan tersebut, maka sepatutnya anda juga boleh muat turun torrent melaluinya.

Namun saya faham atas sebab notis DMCA dan sebagainya lagi yang menghalang dari ia terjadi, atas kerana itulah klien CyberGhost mempunyai fungsi yang terbahagi kepada beberapa jenis kefungsian. Ada pelayan yang khusus untuk strim, ada yang khusus untuk torrent dan sebagainya lagi.

6. Private Internet Access

Private Internet Access atau PIA adalah VPN ‘underdog’. Kliennya tidak sedikit pun berjaya membuat diri saya berasa kagum, tetapi jangan pandang rendah kepadanya. Ciri yang ada padanya walaupun ‘cukup makan’, ia tetap dapat buat anda berasa selamat berada atas talian.

Paling penting, kadar langganan bulanan baginya adalah yang termurah. Seperti TorGuard, ia berada dalam negara Lima Mata, dan rekodnya juga adalah sangat bersih kerana telah terbukti servis dari syarikat ini boleh dipercayai.

7. BolehVPN

VPN terakhir dalam senarai ini juga adalah ‘underdog’, kerana jarang sekali ada laman teknologi yang membicarakan mengenainya. Ia bertapak di sini, di Malaysia, dan saya selaku rakyat Malaysia berbangga dengan syarikat ini.

Jangan tak percaya, kliennya adalah lebih menarik berbanding PIA, serta sedap mata memandang pula.

BolehVPN mempunyai pelbagai ciri-ciri yang patut ada pada sesebuah klien, lebih-lebih lagi xCloakRouted, iaitu pelayan Anti-DPI. Saya tidak pasti sama ada mereka sudah memasukkan pelayan yang serasi dengan laman penstriman, kerana kali terakhir saya mencubanya mereka masih lagi berusaha ke arah itu. Anda bolehlah cuba sendiri dengan harga langganan mampu bayar iaitu RM30 sebulan.

Sekian dahulu dari saya untuk artikel ini. Di tahun hadapan, saya berharap agar lebih banyak lagi alternatif yang akan muncul memeriahkan persada perkhidmatan VPN bagi melengkapkan senarai seterusnya. Hal hak privasi, sekuriti, dan ketanpanamaan adalah milik setiap individu, bukan kepada golongan elit atau pakar IT sahaja.

Signing out,

Arya Putra.

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x