Ulasan Maxis Fibre Internet Dari Penggunanya Yang Terawal

Intro

Menurut Wikipedia, Maxis Fibre Internet dilancarkan pada 30 Mac 2011. Kalau tak salah ingatan, saya mula melanggannya lebih kurang dua hingga tiga bulan selepas tarikh ia dirasmikan.

Walaupun sudah tiga bulan ia dilepaskan kepada umum, pada waktu itu orang masih belum mempunyai keyakinan terhadap kemampuan Maxis memberikan khidmat internet berasaskan fiber.

Pelbagai khabar angin dan gosip didengari.

“Maxis guna orang TM”,

“Maxis tumpang TM untuk bagi internet fiber”,

“Maxis fiber ada kuota”,

Dan pelbagai lagi cakap bual ditokok-tambah untuk menyedapkan cerita, walhal mereka yang memberikan cerita versi kedai kopi itu tidak pun menggunakan Maxis Fibre sama sekali. Ada yang benar, tetapi lebih banyak yang palsu.

Tetapi saya nekad, biar apa pun terjadi saya mesti pasang juga di rumah. Saya ke Warta Bangi (sekarang Kipmall) dan mendaftar untuk tujuan pemasangan di situ. Plan yang saya daftarkan adalah 10Mbps, RM148 sebulan. Ketika itu ia adalah plan ‘paling murah’ dan ‘paling laju’ untuk internet fiber. Antara sebab juga mengapa saya tidak berdaftar dengan Unifi, kerana mereka menawarkan plan 5Mbps sahaja dengan harga yang lebih kurang sama (atau lebih, saya sudah tidak ingat lagi).

Setelah beberapa tahun menggunakannya, pelbagai perubahan berlaku kepada plan tersebut. Dari Rm148 ia turun, turun, dan terus turun harga bulannya hingga dirasakan plan 10Mbps tidak lagi relevan. Saya juga pernah seketika menamatkan langganan, kemudian sambung kembali, dan terbaru saya ‘menurun taraf’ bayaran bulanan kepada RM89 manakala kelajuannya pula ‘dinaiktaraf’ dari 10 kepada 30Mbps.

Bridge

Dari 2011 hinggalah sekarang, ada sebab mengapa saya tidak beralih dari perkhidmatan ini.

Adakah kerana operator Maxis bekerja dengan baik ketika saya buat panggilan bagi mengadukan masalah atau sesuatu isu? Oh tidak. Bahkan saya selalu ‘ditinggalkan’ dengan lagu yang tidak sedap didengari, berpuluh minit lamanya hinggalah saya sendiri tamatkan panggilan.

 

Gambar dari Carousell (sebab router sendiri dah ditukarkan – tak sempat ambil gambar).

Ada juga cabaran hendak buat temujanji pemasangan router baharu, dan juga dongle yang disertakan dalam plan terbaru ini. Ada ketikanya agak menguji kesabaran juga kerana apabila panggilan dibuat, kata operator “tiada sebarang temujanji dibuat untuk encik pada tarikh ini”.

Maxperts yang datang ke rumah bagi pemasangan dongle.

Apa yang membuatkan saya terus kekal ‘melekat’ dengan Maxis Fibre Internet atau sekarang namanya adalah MaxisONE Home Fibre, ialah kerana kelajuan yang dijanjikan – katakan 10Mbps maka pasti anda akan mendapat 10Mbps bahkan kadangkala lebih (11Mbps maksimum, contohnya).

Jika plan tersebut 30Mbps, anda pasti akan mendapat seperti diiklankan. Anda tidak akan mendapat kelajuan separuh, suku, apatah lagi terputus-putus. Jika anda sangat gemar menikmati kandungan atas talian dengan hanya strim, anda tidak akan lihat bulatan penimbalan akibat sambungan rangkaian yang menghampakan.

Apa yang akan anda nikmati ialah pengalaman menggunakan internet pada potensi maksimumnya.

Bukan saya hendak kata ia tidak punyai sebarang masalah.

Oh, masalah tetap ada, maklum saja ia ‘menumpang’ infrastruktur dari TM. Jadi apabila Unifi bermasalah, maka Maxis fibre akan turun terpalit kesannya. Kadangkala apabila bangun pagi terlihat pada router lampu berwarna merah menyala menandakan sambungan ke rangkaian internet sedang terputus.

Di sinilah saya lihat di mana Maxis menitik beratkan betapa perlunya ia diselesaikan dengan segera. Pengguna tidak akan dibiarkan terlalu lama berada dalam keadaan begitu – ‘kosong’ tanpa internet. Jika anda buat panggilan kepada Maxis, dan ia berpunca dari masalah tetapan pelayar web atau tetapan peranti, anda akan dibantu sehingga berjaya melayari semula.

Andai ia berpunca dari masalah infra fiber, juruteknik dari Maxis dengan pantas akan menyelesaikan isu.

Router baru versi dual band dengan sokongan dongle.

Keadaan bertambah bagus apabila plan terbaru (RM89 – 30Mbps) menawarkan router dual band. Router ini punyai kekuatan pemancar wayarles berbeza dengan router sebelumnya (gambar ada di awal artikel). Apa yang menggembirakan ialah ia turut disokong oleh dongle WiFi dengan kekuatan 4G.

Ini bererti tiada lagi istilah ‘down time’ untuk Maxis Fibre kerana jika rangkaian tersebut bermasalah, ia akan segera beralih kepada rangkaian 4G Maxis. Saya tidak pasti tentang kuota, tetapi oleh kerana setakat ini belum lagi saya berhadapan dengan ‘down time’, jadi anda terpaksa tunggu hingga saya punyai peluang menggunakan dongle tersebut.

Outro

MaxisOne Home Fibre bukanlah satu servis yang sempurna. Jauh dari definisi itu. Operator Maxis perlu lebih ilmu dalam mengendalikan pelanggan dan ilmu tentang servis Maxis Fibre itu sendiri agar mereka dapat membantu semaksimum mungkin. Juga isu liputan, andainya Maxis dapat meneroka dengan lebih jauh ke kawasan-kawasan selain bandar major, pastinya ada sesuatu yang positif menanti kerana bukan semua orang kampung tidak ambil tahu tentang kemudahan berinternet.

Namun pada saya setelah beberapa generasi plan ini berubah, berevolusi dari harga kepada kelajuannya, dan saya masih setia menjadi seorang pengguna (sedangkan saya amat cerewet), cukuplah sekadar itu sebagai penutup agar saya tidak terlampau memuji ataupun mengeji.

Sekarang saya telah menjadi pengguna bagi MaxisONE Prime pula. Dikombinasikan dengan MaxisONE Home Fibre, saya berharap agar plan ini dapat ‘dibina semula’ agar tidak terlalu membebankan.

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x