Utama Blog Laman 135

[Pendapat] Kenapa ‘Stock’ Android Bukan Lagi Versi ‘Android Terbaik’

0

Kalau kita buat perbandingan antara Android dan iOS, apa yang digemari oleh pengguna akan menjadi lebih subjektif. Bagi yang lebih suka kepada keringkasan, iOS akan menjadi pilihan, manakala untuk yang suka kepada ubahsuai ‘sini sana’, Android adalah jawapannya.

Tetapi apabila Android dibandingkan sesama ‘sendiri’, ia mula menjadi sensitif dan perbincangan akan lebih terarah pada penghinaan kepada syarikat-syarikat yang membuat ‘Skinned’ Android atau bahasa mudahnya versi Android yang telah diubah dari ‘Stock’.

Sejak sekian lama ‘Android Purist’ seperti saya lebih menggemari dan memilih ‘Stock’ Android kerana pada saya ianya lebih baik dari segala segi.

‘Skinned Version’ seperti Sense (HTC), TouchWiz/Samsung Experience (Samsung), Color OS (Oppo), MIUI (Xiaomi), EMUI (Huawei), Vibe (Lenovo) dan Flyme (Meizu) sering menjadi bahan ejekan, kutukan, dan makian para ‘pencinta’ stock Android dek kerana beberapa sebab yang bertahun lamanya menjadi titik noktah kepada penolakannya.

Antara hujah-hujah lapuk yang sering menjadi permainan di bibir peminat stock Android adalah:

  • Versi ROM yang dibuat oleh OEM adalah hodoh dan jelik di pandangan mata.
  • Lembab.
  • Bloated‘. Penuh dengan pelbagai aplikasi yang bertindan fungsinya.
  • Kemas kini perlahan.
  • Paparan antaramuka yang bercelaru.
  • Lebih banyak menggunakan kuasa bateri.
  • Pelbagai ralat dan pepijat (bugs) yang ada.

Namun itu semua cerita lama.

Semakin tahun bertambah, skin juga semakin berubah.

Bukan sahaja dari segi kelajuan ia bertambah, ciri-cirinya juga semakin banyak.

Benar, Android versi Google atau ‘stock’ ini sememangnya menjanjikan prestasi yang terbaik. Namun seiring dengan kemajuan pemproses dan pelbagai spesifikasi lain, Android versi skin juga terasa semakin baik dari segi kelajuan, animasi, dan ciri tambahan.

Apa yang menarik, ciri-ciri asas seperti memaparkan jumlah kuasa bateri di sebelah ikon bateri telah lama ada dalam skinned Android, namun baru sahaja diimplementasi dalam versi stock 8.0, Oreo.

Bukan itu sahaja. Ciri seperti split screen dan floating windows telah lama ada dalam TouchWiz, namun juga baru sahaja dijadikan ‘ciri baharu’ dalam stock Android.

Apabila TouchWiz digugurkan dan Samsung mula memperkenalkan ‘Samsung Experience’ yang lebih ‘ringan’ pada S8, ramai yang mengatakan bahawa mereka tidak mengalami sebarang penurunan prestasi selepas menggunakan peranti tersebut beberapa bulan.

Perkara pokok paling penting yang orang selalu lupa bukan betapa baiknya jika OEM memasang stock Android pada peranti mereka, namun sokongan padu dari pembangun yang amat diperlukan selepas sesuatu peranti itu dilepaskan.

Jangan kita lupa pula sebaik-baik Android yang kita gelarkan ‘stock’ itu, tidak lagi ideal kepada Google. ROM yang ada pada telefon Pixel meskipun tampak seperti ‘stock’, namun pelbagai ciri lain yang ‘jauh’ dari stock (ala-Nexus) telah dimasukkan ke dalamnya.

OxygenOS, dengan tampilan ala-stock Android, juga mengimplementasikan pelbagai ciri tambahan berlainan dari stock Android agar ia kekal unik dengan identiti tersendiri, selain ROM tersebut juga mendapat sokongan dari pembangun yang ramai. Custom ROM dan kemas kini tidak lagi menjadi isu, manakala tampalan sekuriti sering diberikan bagi menangani kerentanan terkini.

Oh ya, anda sanggup menggunakan aplikasi kamera dari AOSP?

Saya tidak sanggup.

Saya lebih suka dan cenderung memilih aplikasi kamera dari OEM seperti Asus, Samsung, OnePlus, Meizu, bahkan Lenovo, kerana ia mempunyai lebih banyak fungsi, lebih banyak ciri menarik, dan hasil gambar yang diambil juga lebih jitu dan ‘padu’.

Masakan tidak, aplikasi kamera pada Pixel dan Pixel 2 juga banyak berubah, bukan?

Antara ciri-ciri lain yang ada pada skin adalah kebolehan untuk mengubah font (tak pasti ia sudah diimplementasi atau belum dalam Pixel. Ada sesiapa nak sponsor?), isyarat jari untuk mengaktifkan sesuatu fungsi atau aplikasi ketika skrin terpadam, menukar tema, menggunakan mode satu tangan, dan mengaktifkan perakam skrin.

Banyak lagi sebenarnya yang saya boleh senaraikan, namun cukuplah setakat itu sahaja untuk anda berfikir dan terus berfikir, dan dengan minda yang terbuka saya rasa anda mampu menghadamnya dengan baik.

Saya masih lagi menggemari Android yang mana paparannya lebih terarah kepada stock, seperti OxygenOS. Namun saya juga tidak lagi akan keberatan untuk menggunakan mana-mana skin dari OEM kerana saya tahu, para pembangun mereka sudah melakukan sehabis baik untuk membuat skin tersebut tidak lagi menjadi suatu ‘beban’ kepada sistem, sebaliknya menawarkan pelbagai ciri unik yang menjadi identiti kepada syarikat dan peranti tersebut.

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Jangka Hayat Sesebuah Komputer: Apa Perkara Dan Tips Yang Anda Perlu Tahu

0

Hari ini, teknologi komputer berkembang dengan lebih maju dan pantas. Namun begitu, tahukah anda tentang jangka hayat komputer yang anda gunakan sekarang?.  Di sini OMG! Hackers? akan membincangkan persoalan umum yang sering kali ditanya dengan menjawab bagaimana anda sendiri dapat memaksimumkan jangka hayat pc anda.

Apabila anda mengeluarkan sejumlah wang untuk membeli komputer baru, anda mengharapkan ia akan bertahan untuk jangka masa yang lama, bukan? Jawapannya TIDAK.

Hayat purata komputer meja sekitar 3 hingga 5 tahun.

Terdapat banyak faktor yang dapat mengurangkan jangka hayat, seperti berapa banyak sesi yang anda gunakan dalam sehari, haba dan kelembapan alam sekitar, habuk, dan serangga. Ya, komputer anda benar-benar boleh mempunyai serangga di dalamnya jika tidak dijaga dengan baik.

Sepanjang saya berkerja dengan agensi kerajaan, ada komputer masih boleh digunakan selepas 10 tahun. Itu pun sangat jarang belaku, kerana kebanyakan sistem hari ini memerlukan ciri atau fizikal teknologi baru. Jika anda hanya menggunakan komputer untuk kegunaan pejabat sahaja, saya yakin ianya memang mampu bertahan dengan lebih lama.

Jika dalam tempoh terdekat ini, anda ingin membeli komputer baru dan tidak berhasrat untuk menambah keperluan lain dalam tempoh waktu terdekat, saya sarankan anda supaya membeli komputer dengan spesifikasi semaksimum mungkin yang tidak perlukan naik taraf untuk waktu yang agak lama. Hanya perlu menggantikan komponen individu yang mungkin rosak, seperti cakera keras anda.

Berikut adalah beberapa faktor penting yang perlu anda ketahui:

Ruang cakera keras – Adakah ruang penyimpanan cakera keras masa sekarang cukup untuk memenuhi keperluan anda? Bolehkah anda memasang cakera keras tambahan untuk penyimpanan tambahan kemudian? Walaupun anda tidak dapat menambahkan cakera keras tambahan, kemungkinan besar anda akan dapat menggantikan cakera keras yang ada dengan yang lebih besar.

Sistem Operasi – Jika anda membeli komputer untuk jangka panjang, anda mungkin perlu berubah dan membuat peralihan ke versi Windows terkini. Tidak semua versi Windows diterima secara meluas. Windows Vista dan Windows 7, 8, 8.1 sebagai contoh, nampaknya sering menjadi sasaran penggodam untuk penyebaran virus dan juga perisian hasad. Sistem pengendalian yang lebih baru akan memastikan bahawa perkakasan dalam sistem akan serasi dengan perisian masa hadapan dan pemacu untuk peranti anda.

Memori / RAM – Untuk prestasi terbaik dengan Windows terkini iaitu Windows 10, anda perlu pastikan terdapat sekurang-kurangnya 4GB RAM yang dipasang dalam sistem, Windows 32-bit mempunyai batasan pada berapa banyak RAM fizikal yang serasi. Manakala Windows 10 Enterprise 64-bit memaksimumkan memori sebanyak 2TB RAM.

Rujukan 

Naik Taraf Slot – Semak untuk melihat berapa banyak slot tambahan tersedia pada papan induk (Motherboard) anda untuk peningkatan masa depan. Semakin banyak; lebih baik. Ini termasuk modul RAM, PCI, PCI express, dan USB.

Kesalahan Yang Biasa Dilakukan – Membeli sistem dengan Video “On-Board”, Audio, atau LAN mungkin lebih murah. Walau bagaimanapun, jika mana-mana daripadanya gagal untuk berfungsi, anda perlu kepada penggantian papan induk yang lengkap, yang lebih mahal jika tidak dilindungi oleh jaminan daripada kilang.

Tips OMG! Hackers?

Untuk memastikan komputer anda berada dalam keadaan terbaik, sentiasa pastikan anda membuka casis secara tetap, dan bersihkan apa-apa habuk habuk di dalamnya. Pastikan anda mencabut kabel kuasa terlebih dahulu sebelum membersihkan komputer anda. Cara yang paling terbaik ialah membersihkan komputer dengan angin gas yang termampat di dalamnya. Anda boleh membeli tin ini di hampir semua kedai komputer atau kedai perkakasan rumah. Anda juga mungkin mahu mengeluarkan modul RAM dan membuang debu di dalam bekas dan memastikan tiada habuk di dalam USB dan slot yang lain.

Saya pernah menjumpai lipas dan cicak di dalam casis komputer dan sememangnya tidak dijaga dengan baik. Jika ini berlaku kepada anda, tetapkan beberapa perangkap umpan serangga di dalam bilik anda, dan jauhkan segera makanan dan minuman dari meja anda. Sentiasa periksa untuk memastikan semua sambungan dalaman didalam komputer ketat sebelum meletakkan penutup belakang pada PC anda.

Untuk membantu menjaga kelembapan, pastikan komputer anda tidak berhampiran dengan tingkap. Walaupun tingkap ditutup hampir sepanjang masa, kondensasi boleh berlaku pada kaca rumah anda. Sekiranya anda mempunyai tingkap yang terbuka, anda akan membiarkan air hujan atau air lain mengenai komputer anda.

Akhir sekali, jika terdapat ribut atau ribut kilat, jangan hanya mematikan komputer anda. Sila pastikan plug komputer anda secara fizikal dicabut dari dinding. Jika anda gagal berbuat demikian ditakuti kilat pada hujan boleh merosakan sistem anda walaupun dimatikan! Petua ini saya selalu amal untuk memastikan jangka hayat maksimum dari perkakasan komputer saya sendiri.

Views: 7

Iklan Newspaper Inline

[Eksploit] StreamCR: Strim Crunchyroll Cara Lanun

0

Sementara lubang kerentanan sekuriti masih terbuka, maka selama itulah anda akan dapat strim kandungan-kandungan dari Crunchyroll melalui satu enjin carian penstriman ‘lanun’.

StreamCR, sebuah enjin carian yang dikhususkan untuk mencari pelbagai kandungan video yang boleh distrim secara percuma. Apa yang menarik, mereka berjaya mencari kerentanan pada Crunchyroll dan telah mendapatkan cara untuk strim kandungan dari laman tersebut tanpa membayar.

Menurut sumber dari TorrentFreak, StreamCR menggunakan akaun Crunchyroll yang aktif untuk mendapatkan pautan video lalu ia ditempatkan terus ke laman mereka (embed).

Namun disebabkan ini adalah sebuah kerentanan dan kemampuan StreamCR untuk membenarkan pengguna strim kandungan Crunchyroll adalah secara eksploit, berkemungkinan ‘keseronokan’ ini hanyalah sementara sahaja.

Sebaik sahaja kerentanan ditampal, maka StreamCR perlu mengindeks/memberikan pengguna pautan alternatif.

Seperti penafian saya sebelum ini, saya tidak menggalakkan langsung aktiviti lanun atau cetak rompak. Jika anda membuat keputusan untuk menggunakan laman tersebut dan menikmati isi kandungannya, saya juga tidak dapat melarang.

Apa yang menarik, selain kandungan video dari Crunchyroll, terdapat juga pelbagai video yang diindeks dari laman-laman penstriman lanun lain seperti YesMovies, 123MoviesHub, dan 9anime.

Seperti gambar tangkap layar di atas, sebaik sahaja anda memasukkan kata kunci carian, ia akan memberikan kepada anda beberapa hasil keputusan yang boleh anda pilih. Apabila klik sahaja pada salah satu darinya, laman tersebut akan terus memainkan video.

Tiada apa-apa tetapan yang perlu anda ubah. Hanya perlu cari, klik, dan strim. Jika anda berminat hendak mengetahui lebih lanjut mengenai laman ini, anda boleh ke: StreamCR

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

Filem Pendek Ini Telah Dirakam Sepenuhnya Menggunakan iPhone X

0

Mungkin anda tidak percaya, tetapi ya. iPhone Singapura dengan kerjasama pengarah filem iaitu Peter Chan, telah membuat satu filem pendek sempena Tahun Baru Cina tahun ini menggunakan sepenuhnya – iPhone X.

Tajuk filem There Minutes, mengisahkan kisah sebenar pertemuan menyayat hati sebuah keluarga di stesen kereta api yang hanya berlangsung selama 3 minit. Jika ada bertemu dengan keluarga anda selama tiga minit, apa yang anda akan lakukan?

https://www.youtube.com/watch?v=ySLn-2MZenU

Setiap keluarga mempunyai tradisi pertemuan yang unik. Jadi siapa sebenarnya yang lebih baik daripada anda untuk mengarahkan filem kisah keluarga anda? Tentulah anda sendiri bukan?

Dalam video-video berikut, Peter Chan berkongsi tips dan trik untuk merakam filem di hari Tahun Baru Cina anda dengan iPhone X.

https://www.youtube.com/watch?v=OSpmkHEVqL4

https://www.youtube.com/watch?v=x2b_EupoY5c

https://www.youtube.com/watch?v=sD12gUA74HU

https://www.youtube.com/watch?v=zu8CmTiFepw

https://www.youtube.com/watch?v=SIMQ9-xC2w8

Tiada ada alasan lagi untuk mengatakan telefon pintar itu tidak penting kerana anda boleh merekod detik-detik yang menghiburkan dan mencipta kenangan yang indah dan kekal untuk keluarga anda.

Jumpa lagi pada artikel akan datang!

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Apa Itu Android Box Dan Bagaimana Ia Berfungsi?

0
Kredit gambar kepada IPTV Insider.

Android Box amat popular dari kalangan cord cutters atau bahasa Melayunya golongan yang sudah tidak lagi menggunakan televisyen ‘tradisional’ sebagai cara untuk menikmati kandungan siaran tv.

Tapi apa sebenarnya Android Box ini?

Sebenarnya ia hanyalah sebuah peranti yang direka khusus untuk menjalankan proses penstriman dengan sistem operasi Android sebagai teras.

Ia serasi dengan alat kawalan jauh, manakala pelancar atau launcher direka untuk memudahkan navigasi kepada aplikasi, dan perkakas dalamannya juga tidak ubah seperti apa yang terdapat pada telefon pintar Android anda.

Itu sahaja. Jangan peningkan kepala dengan pelbagai terminologi yang memualkan.

Android TV Box, IPTV Box, set top box, itu semua adalah merujuk kepada peranti yang sama.

Peranti yang membolehkan anda untuk strim kandungan dari internet terus ke televisyen anda.

Apa yang menjadikan ia Android Box?

Anda pasti pernah dengan Roku, Apple TV, kan?
Secara asasnya semua peranti ini menjalankan kerja atau tugas yang sama. Sama seperti pemain mp3 kepada iPod.

Cuma disebabkan peranti bergelar ‘Android Box’ ini mempunyai spesifikasi beserta paparan antaramuka mesra pengguna yang lebih terarah kepada penstriman di televisyen, maka ia lebih cenderung dipilih untuk digunakan berbanding model lain.

Kesemua peranti ini jatuh kepada kategori ‘peranti penstriman’.

Apakah jenis Android Box yang ada?

Sama seperti telefon pintar, peranti ini juga hadir dengan pelbagai spesifikasi dari rendah kepada tinggi untuk dipilih.

Sesetengah Android Box mempunyai pemproses high-end dan ruang storan yang agak besar untuk sesuatu yang tugasnya hanyalah menjalankan penstriman, namun harganya juga menjadi sedikit mahal.

Ada juga yang didatangkan dengan pemproses low-end, ruang storan dalaman yang agak kecil, serta harga yang murah. Namun spesifikasinya hanya sekadar ‘cukup-cukup makan’ untuk strim kandungan video berdefinisi tinggi. Sedikit lag adalah patut dijangkakan.

Cara terbaik untuk memilih adalah dengan menentukan bajet anda terlebih dahulu, kemudian baca dan tonton ulasan mengenai produk yang anda minati untuk mendapatkan sedikit gambaran mengenai prestasi sebenarnya.

Maklum saja, terkadang spesifikasi tidak menggambarkan prestasi. Jika ekspektasi anda untuk peranti tersebut adalah tinggi, maka siapkan juga modalnya. Namun pada masa ini, peranti yang berharga bermula dari RM180 hingga RM250 sudah pun cukup untuk memberikan anda kepuasan terhadap kualiti penstriman yang anda mahukan.

Selamat memilih, membeli, dan selamat menonton!

Views: 21

Iklan Newspaper Inline

Altered Carbon Dalam Siri Netflix Ialah Suatu Paparan Kegilaan Manusia

0

Tayangan terbaru di netflix banyak mengembirakan orang seperti saya yang sukakan era teknologi “cyberpunk” tetapi siri cerita ini mengambil untuk masa saya memahami keseluruhan jalan cerita yang sebenar. Banyak istilah baru yang saya tahu ketika menonton Altered Carbon.

Dari Stack kepada Meths, anda boleh mengikuti setiap perkembangannya pada setiap episod.

https://www.youtube.com/watch?v=dhFM8akm9a4

SINOPSIS

Siri ini berlangsung lebih dari 350 tahun pada masa akan datang. Kisah bermula apabila Takeshi Kovacs (Joel Kinnaman) telah dihidupkan semula selepas 250 tahun. Puncanya ialah apabila seorang lelaki terkaya di dunia iaitu Bancroft (James Purefoy) yang mahukan Takeshi Kovacs supaya membantu menyelesaikan kes pembunuhan dirinya sendiri.

Berdasarkan novel klasik siber cyberpunk oleh Richard K. Morgan, Altered Carbon adalah cerita yang menarik tentang pembunuhan, cinta, seks, dan pengkhianatan yang ditetapkan lebih dari 350 tahun pada masa akan datang.

Masyarakat telah berubah dengan teknologi baru iaitu kesedaran manusia (human consciousness) telah digunakan secara digital, badan manusia pada masa zaman itu boleh ditukar ganti dan paling penting sekali ialah kematian tidak lagi kekal abadi. Terdapat sebanyak 10 episod dalam siri ini. Anda disarankan jangan memotong babak penting ketika menonton kerana dikhuatiri anda akan keliru dengan jalan cerita seterusnya.

ULASAN

Apa yang saya boleh katakan, saya hampir separuh gila menonton siri ini. Ianya sangat menarik, tersusun plot jalan ceritanya. Mungkin pada awal penceritaan, ada terdapat sedikit tempo yang perlahan dalam pengembangan cerita, namun setiap babak yang perlahan digantikan dengan aksi yang sangat menarik!.

Mungkin anda akan menyangkakan ia seperti filem Blade Runner, tetapi sepatutnya filem tersebut mengambil contoh terbaik dari Altered Carbon. Mungkin ada sesetengah daripada anda yang menonton Altered Carbon tidak bersetuju bahawa elemen bogel terlalu banyak dalam setiap babak, tetapi bagi saya sendiri, saya merasakan bahawa ia (iaitu Altered Carbon) mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Anda akan memahami maksud sebenar apa yang ingin disampaikan, contohnya siapa yang kaya dan berkuasa adalah mereka yang mampu mengawal dunia. Aksi dalam drama ini sangat teliti dan terbaik.

Efek CGI, para pelakon dan juga muzik yang dihidangkan seakan buatkan kita berkhayal pada masa depan. Secara jujurnya, selepas menonton saya merasakan akan menonton lagi untuk musim kedua. Namun, tidak dapat dipastikan lagi dari pihak Netflix sama ada mereka akan memperbaharui ia untuk musim baru atau tidak.

PENUTUP

Altered Carbon adalah siri tv yang terbaik untuk pembukaan tahun 2018. Namun begitu, siri ini tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak kerana mempunyai adegan bogel, seks melampau dan aksi ganas. Jika anda seorang penggemar cerita dan muzik cyberpunk, ini adalah siri tv yang sesuai untuk anda.

Oleh itu OMG! Hackers? memberikan penarafan Durian Buruk sebanyak:

7/10

Sekian, jumpa lagi pada ulasan akan datang!

Views: 6

Iklan Newspaper Inline

Telegram Kini Mempunyai Fungsi Night Mode Automatik Dan Strim Video

0

Dalam versi terbaru Telegram (4.8), pembangun telah memperkenalkan beberapa fungsi baru. Antara fungsi tersebut adalah strim video, iaitu pengguna akan dapat menonton video tanpa perlu menunggu ia dimuat turun sepenuhnya terlebih dahulu.

Berikut adalah contoh yang saya ambil tangkap layarnya dari sebuah Deleted Account yang sepi.

Contoh video yang boleh strim, akan ada anak panah ke bawah.

Sebaik sahaja anda tekan butang main di tengah tersebut, video akan terus dimainkan, dengan adanya jalur kelabu sebagai penanda jumlah video yang telah dimuat turun.

Selain itu, terdapat juga Auto-Night Mode, yang boleh dijadualkan mengikut kemahuan pengguna. Disebabkan Telegram menyokong custom theme, maka anda boleh gunakan mana-mana tema yang anda suka untuk disesuaikan dengan Night Mode.

Juga ada fungsi Telegram Login Widget, iaitu fungsi ‘Logged in with Telegram’ yang akan menyenaraikan kesemua laman yang telah anda log masuk menggunakan Telegram.

Anda boleh mengemaskini aplikasi Telegram anda melalui Google Play Store kepada versi terkini untuk mendapatkan kesemua fungsi baru di atas.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

SpotOn – Sleep & Wake Timer For Spotify: Kejutkan Diri Anda Dengan Lagu Dari Spotify

0

Berapa lama anda menggunakan satu lagu untuk dijadikan sebagai ringtone penggera anda?

Serius, kalau saya, saya jenis yang hanya akan gunakan satu sahaja lagu sampai ke tahap bosan melampau. Lepas rasa bosan (teruk sangat bosan), barulah saya akan tukar atau cari lagu baru.

Kalau saya tukar juga kepada lagu lain dalam tempoh masa yang singkat, alamatnya saya akan lewat bangun keesokan hari disebabkan otak masih belum ‘diselaraskan’ sepenuhnya dengan lagu baru tersebut.

Tetapi jika anda pula adalah jenis perlu dengar lagu baru setiap hari sebagai lagu penggera, dan anda pula memang menggunakan Spotify Premium sebagai bahan dendangan untuk halwa telinga, maka eloklah anda mencuba aplikasi ini, iaitu:

SpotOn – Sleep & Wake Timer For Spotify.

Secara asasnya, ia bertindak menggantikan aplikasi jam penggera anda.

Cuma apa yang menjadi kekuatan aplikasi ini ialah ia akan digunakan secara terhubung dengan Spotify, oleh itu anda mempunyai kepelbagaian lagu untuk dipilih dari beribu-ribu lagu dalam katalog Spotify untuk dijadikan sebagai lagu penggera.

Fungsinya terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Sleep dan Wake. Pada bahagian Sleep, anda boleh mainkan mana-mana senarai main yang telah anda buat sebelum itu ketika anda hendak tidur, dan tentukan masa untuk ia ditamatkan secara automatik.

Jadi sekurang-kurangnya apabila anda telah tidur dengan lena dan nyenyak, lagu-lagu tidak dimainkan secara berterusan.

Menarik bukan?

Paparan antaramuka penetapan lagu adalah sama seperti mana-mana aplikasi jam/jam penggera. Cuma kelebihannya, anda boleh pilih mana-mana lagu yang anda suka dari Spotify sebagai lagu ‘lullaby’ anda, dan juga lagu penggera. Sebelum tidur strim lagu kegemaran, waktu hendak terjaga juga strim lagu kegemaran anda.

WOW.

 

Anda boleh tambahkan waktu untuk jam penggera anda memainkan lagu, boleh tunda (snooze), boleh membuat lagu fade in terlebih dahulu agar anda tidak terkejut badak, dan tetapkan kelantangan bunyi.

Apa lagi yang anda mahu dari sebuah aplikasi jam penggera? Aplikasi ini adalah satu jam penggera unik lagi menarik untuk dijadikan sebagai pelengkap dunia penstriman anda.

Muat turun ia di Google Play Stor: SpotOn – Sleep & Wake Timer For Spotify

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Nelson: Mainkan Lagu Berdasarkan ‘Algoritma Cadangan’ Yang Pintar Oleh Spotify

0

Jurutera Advokat Pemaju di Spotify, Arielle Vaniderstine telah mengepos satu Tweet kepada projek yang sedang diusahakan olehnya bernama Nelson.

Nelson ialah aplikasi pelayar web yang menggunakan API Spotify Recommendations dan SDK Web Playback untuk menjana senarai main yang dibuat oleh algoritma pintar Spotify.

Aplikasi web ini mempunyai paparan yang membolehkan pengguna Spotify Premium untuk memilih genre-genre kegemaran, kemudian menjana satu senarai main yang akan dimainkan terus secara automatik.

 

Dari antaramuka Nelson, selepas siap menjana senarai main yang dicipta berdasarkan kepada ‘kepintaran’ algoritma cadangan oleh Spotify, pengguna juga boleh mengubah beberapa slider audio yang bertujuan menambah baik kualiti dan pengalaman mendengar muzik anda.

Anda boleh rujuk mengenai setiap fungsi audio tersebut di sini.

Setakat ini, boleh dikatakan saya berpuas hati dengan 20 lagu yang telah dijana oleh Nelson. Tentang slider audio itu pula, tidak banyak yang dapat saya perkatakan kerana ianya masih sangat baru.

Tetapi jika anda ‘bermain’ dengan slider tersebut, anda akan dapat lihat senarai main anda berubah. Anda boleh talakan ia sehingga anda berpuas hati dengan hasil akhir.

Layari Nelson di sini: Nelson | Spotify Recommendations Jukebox – Glitch

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

Gaduh Di Facebook? Berbaloi ke?

0

Malaysia adalah Top 10 dalam kadar penggunaan Facebook di dunia. Jauh meninggalkan rakan-rakan lain di ASEAN. Ramai yang telah berjaya membina kerjaya melalui Facebook. Tak kurang juga yang telah mencipta nama, produk dan servis melalui platform ini.

 

Israel dan Malaysia bersaudara?

 

Namun, dalam kejayaan dan positifnya platform ini, pasti ada sisi gelap dan sudah tentu ada juga pengguna yang lebih sibuk meneroka aspek negatif platform ini.

Aspek yang diperkatakan saya ini adalah kegemaran para pengguna untuk berkelahi sesama pengguna baik di profil peribadi, group, ataupun pages di Facebook.

Saya tanya secara jujur. Adakah anda rasa berbaloi mencuri masa makan anda yang tenang untuk membalas komen demi komen dengan perasaan marah? Berbaloikah tidur lewat malam demi menunggu balasan komen daripada pergaduhan di ruangan komen? Berbaloikah menghendap profil pengguna yang lain demi mencari walau secebis maklumat atau kejengkelan mereka supaya anda boleh mengejek mereka dalam pergaduhan lantas memalukan mereka?

Kalau anda saya tanya saya, jawapan saya mudah saja. TIDAK.

 

Buruan Menteri Pasola

 

Sedarlah kalian, bahawasanya pergaduhan mahupun kemenangan di Facebook itu tidak membawa apa-apa hasil pun kepada anda. Anda bukan menteri yang boleh menukar dasar sekiranya anda menang debat Facebook. Anda bukan pendekar yang akan menerima anugerah apabila menang gaduh di ruangan komen. Anda tidak akan dapat walau satu sen pun gaji untuk setiap masa anda ‘bekerja’ mencari maklumat lawan anda di Facebook.

 

Pendekar ini tak berlawan di Facebook.

 

Untuk itu, gunakanlah Facebook secara berkadar sahaja. Ia medium yang bagus untuk membina kerjaya dan meningkatkan nilai dan pengenalan diri. Namun jika salah guna, banyak buruknya daripada baik. Jadikanlah Facebook sebagai penghias masa lapang anda sahaja, dan bukannya unjuran daripada kehidupan peribadi anda.

Asingkan kehidupan peribadi anda daripada Facebook. Apa yang ada dan berlaku di Facebook, biarkan sahaja ia di Facebook. Fikir apa yang anda mampu fikir sahaja. Dunia tidak berputar mengelilingi anda dan Facebook anda.

#CaknaPrivasi
#OMGHEditorial

Views: 3

Iklan Newspaper Inline